Monday, August 2, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN

Biasanya masuk minggu kedua latihan dan latihan-latihan seterusnya, kita telah ada hubungan dengan para penuntut. Kita telah dapat memahami sedikit sebanyak tentang mereka. Rasanya para penuntut juga turut memahami perwatakan yang kita ada. Dalam masa pengajaran buah-buah asas, hubungan antara kita dengan para penuntut perlu dirapatkan lagi. Biarlah mereka faham akan kesungguhan dan hala tuju kita membawa mereka dalam persilatan dalam kelas kita. Hubungan rapat antara Jurulatih dan penuntut akan memudahkan proses penurunan buah berlaku.

Ketika inilah kita mula berbicara tentang kelebihan SC yang ada. Kalau kita katakan SC amatlah mudah maka tunjukkan sifat mudah yang ada dalam konteks persilatan dan bukannya aspek latihan. Dalam latihan, kalau kita mengambil mudah maka hasilnya kurang memberi kesan. Modal seringgit tidak mungkin mendatangkan keuntungan ribuan. Kecualilah konsep loteri bola.

Dalam pantun kita, terdapat perkataan ‘mudah’. ”Silat Cekak amatlah mudah”. Saya bependapat, kita perlu memahami dan menghayati perkataan tersebut. Kita tidak mahu oleh sebab dikatakan ‘mudah’ maka akhirnya penuntut kita akan ‘ambil mudah’. Kerja yang mudah hasilnya pasti tak seberapa. Kalau berniaga bermodalkan 10 sen jangan harap untuk untung seringit. Mencari sepuluh sen lebih mudah daripada mencari seringgit.

Pada saya, sememangnya Silat Cekak itu kalau dipandang secara keseluruhan, memang mudah. Tapi saya tidak pernah permudahkan pelajarannya. Kita katakan mudah adalah berdasarkan pandangan keseluruhan kepada silatnya. Mudahnya SC adalah kerana falsafah, konsep dan prinsip yang terkandung dalam pelajarannya adalah jelas dan dapat diterima akal. Kerana itu juga penggunaan kata atau istilah amat kita ambil berat.

Jelaslah, dalam konteks keseluruhan silat, untuk mempelajari SC adalah amat mudah. Hanya wang dan kain putih dijadikan syarat utama. Kalau silat-silat Melayu yang lain, karenah belajar amat banyak. Wang adalah sesuatu yang boleh kita usahakan walaupun kurang berkemampuan. Tapi kalau disuruh membawa jarum, garam, sintuk, anak ayam, ibu ayam, bapak ayam dan sebagainya maka banyak sekali karenahnya. Walaupun bahan-bahan tersebut biasa dan mudah didapati, pencariannya juga boleh mendatangkan kepayahan dalam konteks masa. Itu sebabnya mempelajari SC dikira amatlah mudah.

Mudah juga dapat dirujuk pada proses penyampaian pelajarannya. Berdasarkan pengalaman ketika menuntut salah satu silat Melayu satu ketika yang lalu, setiap kali pelajaran silat, gurunya akan bertanya pada anak muridnya tentang pelajaran sebelumnya. Maknanya guru silat tersebut mengajar berdasarkan kaedah ‘IT’ – ikut terlintas. Begitu juga dengan silat lain yang saya tuntut. Belajar tumbuk dan kemudiaannya akan diajar buah. Gerak silatnya adalah lebih berdasarkan gerak hafalan. Hal ini demikian kerana tiada sistem dalam proses pengajarannya. Kalau dibandingkan dengan sistem kita, pelajaran yang diajar adalah bersekali antara kaedah dan buahnya.

Oleh sebab banyak pengalaman dengan silat Melayu yang lain, maka saya dapat rasakan betapa mudahnya mempelajari SC. Hal ini demikian kerana SC mempunyai sistem penyampaian dalam proses penyampaian isi kandungan pelajarannya. Daripada kaedah kita melakukan gerak asas. Mahir gerak asas maka barulah dibuat jatuhan. Kita juga mempunyai sistem pelajaran untuk menunggu serangan musuh dan sistem pelajaran untuk menyerang.

Pelajaran yang sedemikian mempunyai turutan dan mudah diikuti. Jika inginkan kehebatan bersilat, maka setiap penuntut perlu mengikuti turutan pelajaran tersebut dalam keadaan tidak boleh tidak. Jika ada para penuntut yang berhenti sekerat jalan maka beliau tidak boleh mendakwa telah menguasai SC. Hal ini demikian kerana mempelajari SC bermakna perlu mempelajari keseluruhan isi pelajarannya. Penuntut tersebut perlu menguasai semua isi pelajaran daripada Kaedah hingga tamat dengan kaedah menyerang. Tanpa penguasaan pelajaran tersebut beliau hanya mempelajari sebahagian daripada pelajaran SC. Oleh itu, beliau tidak layak mendakwa dirinya sebagai ahli SC, melainkan sebagai ahli persatuan SC sahaja.

Kita pun tidak terasa rugi apabila ada dalam kalangan penuntut yang meninggalkan SC pada sekerat jalan pembelajarannya. Kita diyakinkan bahawa penuntut berkenaan tidak mempunyai habuan atau rezeki untuk mempelajari keseluruhan pelajaran. Pelajaran yang ada padanya tidak akan memberi makna kerana pelajaran yang seterusnya akan mengatasi ilmu SC yang dipelajarinya itu.

Pelajaran SC yang berturutan memudahkan kita mengikuti latihan dan cepat faham. Konsep ‘berlawanan’ yang menjadi lumrah alam, ada dalam SC. Misalnya kalau ada pelajaran bertahan maka ada pula pelajaran menyerang. Kalau dikunci ada pembukanya. Kalau dipukul ada pintasannya. Kita boleh nampak bagaimana daripada Kaedah lahirnya gerak-gerak seterusnya yang mempunyai kesinambungan. Hebat dan mudah diikuti. Hal yang demikian akan menimbulkan kepuasan dalam kalangan penuntut yang mempelajari SC.

Penggunaan istilah ‘kelas’ silat dapat dilambangkan betapa mudahnya pembelajaran SC. Pembelajaran SC adalah lebih tersusun dan terancang. Perkataan kelas tentunya berbeza akan konsepnya dengan perkataan gelanggang. Kalau gelanggang ada upucara pembukaan gelanggang dan penutup gelanggang. Oleh sebab konsep kita adalah berdasarkan kelas maka konsep kelas tersebut melambangkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku adalah dalam keadaan sempurna. Para penuntut dibimbing supaya dapat mengusai proses penurunan ilmu.

Sesuai dengan konsep kelas juga kaedah penyampaian pelajaran amat dititikberatkan. Para pengajar SC yang bergelar Jurulatih adalah bertanggungjawab mempastikan para penuntut dalam kelas berkenaan dapat menguasai pelajaran silat dengan sempurna. Kaedah penyampaian adalah pelbagai. Kaedah-kaedah tersebut seperti berbaris, latih tubi, arahan, penerangan, syarahan dan sebagainya dapat dijadikan panduan dalam proses penyampaian dan penerimaan ilmu. Saya selalu tegaskan antara konsep memandu dengan konsep mengajar. Kalau niat kita sebagai memandu para penuntut maka tindak tanduk kita tentunya berbeza, berbanding jika kita bertindak sebagai pengajar.

Konsep kelas juga dihubungkan dengan prinsip ujian, peneguhan pelajaran dan pemulihan. Mereka yang diuji, jika tidak mencapai hasrat pembelajaran maka akan dibuat pemulihan. Bentuk pemulihan juga adalah pelbagai. Perkara pentingnya ialah penuntut berkenaan, akhirnya dapat juga menguasai pelajaran SC yang disampaikan.

Saya berpendapat kalaulah Jurulatih asyik menonjol diri atau asyik ‘melepas perasaan’ kepada penuntut silat secara mengherdik atau melalui pelakuan yang bersifat panas baran maka eloklah ditukarkan istilah kelas tersebut kepada istilah gelanggang. Konsep gelanggang amat bersesuaian untuk dihubungkan dengan pelakuan penonjolan kehebatan, panas baran atau memberi arahan dari atas kerusi. Umpama direktor filem zaman P. Ramlee.

Dalam konsep kelas, di samping kebolehan kita mengajar silat, kita juga perlu mempunyai aspek-aspek kebolehan asas yang lain seperti kebolehan menyampai, menguji, membuat peneguhan, pemulihan, motivasi, komunikasi dan sebagainya. Kalau para Jurulatih kurang kemampuan dalam penguasaan pelbagai kemahiran tersebut maka Lembaga Pelajaran perlulah memikirkan kursus-kursus yang sesuai dan berkenaan untuk para Jurulatih.

Sekian.