Tuesday, September 28, 2010

Sambungan....BUAH POTONG

Dalam SC, kaedah adalah merupakan pelajaran utama. Buah-buah yang ada adalah sebagai ’alat’ untuk memahirkan kaedah yang empat itu. Penguasaan pada Kaedah SC akan membolehkan pesilat itu menghadapi pelbagai jenis tumbukan dari segenap penjuru. Jika Kaedah ’menjadi’ maka buah SC yang menyusul tidak mendatangkan bebanan bagi menguasainya. Misalnya, jika Kaedah A ’menjadi’ maka banyak buah yang boleh digunakan berdasarkan Kaedah tersebut. Sesuaikan dengan minat dan perwatakan diri pesilat itu sendiri.

Pelajaran potong ada prinsipnya. Pada tanggapan saya, prinsip potong dikaitkan dengan pelakuan ’memintas’. Kita akan memintas gerak pasangan dengan menggunakan prinsip-prinsip yang telah ditentukan. Prinsip-prinsip tersebut dapat kita bincangkan dalam penulisan seterusnya.

Prinsip utama ialah memintas Kaedah dalam proses pasangan kita membuat buah. Kehebatan SC adalah berkait erat dengan Kaedah. Dari Kaedah menjadi buah. Ramai juga dalam kalangan kita yang mengajar para penuntut supaya memotong buah. Penegasan itu juga tidak tepat dan mengelirukan penuntut. Bila pasangan berjaya buat buah maka barulah usaha memintas gerak dilakukan. Perbuatan tersebut adalah sangat lambat dan kurang menyakinkan keselamatan diri.

Dalam pelajaran potong, pesilat yang menumbuk tidak perlu mengetahui jenis buah yang akan dibuat oleh pasangannya. Tumpuan dan fokas kita ialah pada Kaedah yang akan digunakan oleh pasangan kita. Kaedah itu perlu ’dibunuh’ oleh pengamal SC. Tapi ingat. Proses memintas Kaedah itu adalah dalam proses pasangan kita membuat buah. Seperti yang saya tegaskan, Kaedah dan buah jatuh adalah umpama irama dan lagu. Tidak boleh dipisah-pisahkan. Setiap kaedah perlu diiringi dengan buah.

Pada pandangan saya, dalam aspek ini telah timbul beberapa kekeliruan. Penuntut disuruh memotong Kaedah tanpa perlu membuat buah. Maka terhentilah pergerakan penuntut di tahap Kaedah. Jurulatih mengarahkan potong Kaedah itu. Kalau pesilat yang loyar buruk, maka dia akan mengeraskan tangan ketika membuat Kaedah. Maka ’matilah’ pesilat yang menumbuk untuk membuat buah potong. Payahnya banyak. Akhirnya memungkinkan pesilat itu kehilangan keyakinan. Kalau kita hanya mementingkan potong pada Kaedah maka eloklah selepas habis pelajaran Kaedah, teruskan saja pelajaran potong. Tak payah ajar buah-buah jatuh. Selepas empat hari belajar Kaedah maka ijazahlah untuk mandi potong. Potong Kaedah.

Oleh itu, bagi mempelajari buah potong maka perbetulkan falsafah dan konsepnya. Potong Kaedah sahaja tidak tepat dan potong buah juga tidak tepat. Konsepnya ialah memotong Kaedah dalam proses pesilat membuat buah.

Prinsip kedua yang perlu ditekankan ialah betapa pesilat akan bertindak apabila tangan yang menghantar penumbuk telah disentuh di mana-mana bahagian. Tangan kita pantang disentuh ketika menyerang. Tentunya prinsip ini berbeza dengan perbuatan menyerang bila disentuh. Dalam konsep yang berlainan ini, anu yang main peranan. Sebaliknya dalam prinsip SC, ketika tangan kita disentuh, pesilat itu akan bertindak balas untuk membuat pintasan pada buah jatuhan yang bakal dibuat oleh pesilat berkenaan. Sentuh aje ’kena’. Aplikasikannya bersama isteri kita. Isteri sahaja.

Prinsip ketiga yang ditekankan ialah satu langkah maju ke depan. Langkahan tersebutlah telah digelar sebagai langkah spring. Gerak spring hanya dikaitkan dengan pelajaran potong. Langkah ini besar ertinya pada kita. Satu langkah ke hadapan membolehkan kita berada dalam situasi yang selamat.

Langkahan tersebut menjadikan pesilat berada di belakang pasangannya. Ketika itu pesilat dapat memerhatikan sepenuhnya pergerakan pasangan, berbanding dengan pasangannya yang tidak dapat melihat sesuatu yang berada di belakang. Sebabnya, mata pasangan berada di muka depan kepalanya. Tak ada mata di bahagian belakang.

Oleh itu prinsip belakang mengadap belakang bukanlah prinsip amalan kita. Hal yang demikian telah saya timbulkan ketika berbincang tentang Pasung Kemanga. Kalau pesilat membelakangkan pasangannya maka hilanglah pandangan mata kepalanya. Tapi nak buat macam mana. Ketika ini ramai Jurulatih yang memandang ikut mata hati. Hinggakan hadiahpun telah bergelar cenderahati. Segala-galanya menggunakan hati. Sama tarafnya dengan orang buta yang berpandukan hati.

Prinsip keempat ada kaitan dengan soal langkahan. Dalam hal-hal yang tertentu, terdapat kekecualian daripada langkah spring. Potong boleh dilakukan dalam keadaan tidak perlu melangkah. Kita bertindak berdasarkan sentuhan yang ada pada tangan kita. Buah-buah yang rapat dengan badan, perlu tindakan segera. Melangkah akan mencuri masa.

Walau bagaimanapun, semua buah SC boleh diaplikasikan dengan kedua-dua jenis kaedah potong tersebut, sama ada melangkah atau tidak melangkah. Hal yang demikian akan diterangkan semasa pelajaran kemahiran. Misalnya, buah Pertama. Untuk memotong, tanpa melangkah pun kita masih boleh membuat potong. Maknanya, bagi menentukan kesesuaian sama ada melangkah atau tidak melangkah, kita lebih berfokas pada kesesuaian buah tersebut pada situasi yang ada.

Prinsip kelima, dalam situasi boleh melakukan potong pada pelbagai tempat atau kaedah, kita akan memberi keutamaan pada gerak yang lebih membahayakan kita. Misalnya pada buah Kuntau Kiri. Antara sentuhan kaedah D dan sentuhan pada tangan, kita utamakan potong hujung tangan, menandakan bahayanya lebih, berbanding dengan sentuhan Kaedah D. Begitu juga dengan buah Gayung Petani. Antara sentuhan hujung tangan dengan sentuhan rasa Kaedah A, maka keutamaan kita ialah memotong sentuhan di hujung tangan yang lebih membahayakan diri kita.

Prinsip seterusnya, ketika pasangan membuat buah, apabila dipotong kaedahnya maka buah yang ingin dibuat akan ’terbatal’ dengan sendirinya. Kita tidak mempedulikan apa jenis buah yang ingin dibuatnya. Proses membuat buah pada pasangan tetap ada. Akan tetapi bagi kita, fokas yang diberi adalah pada Kaedah yang digunakan pasangan. Jika disentuh maka bertindaklah kita. Walau bagaimanapun buah-buah yang terbatal itu akan digunakan semula oleh pesilat untuk menyambung gerak pada pasangannya. Tindakan kita ialah meneruskan proses gerak kaedah potong yang dibuat. Buah jatuh digunakan semula.

Prinsip yang ketujuh adalah terletak pada pergerakan fizikal pesilat. Genggaman penumbuk mulai kuat. Secara langsung akan menjadikan tangan pesilat ada sikit keras. Tangan aje. Hal yang demikian tentunya tidak memudaratkan pasangan. Ketika itu pasangan silat itupun telah menguasai kaedah dengan lebih tepat, tangkas dan kemas. Oleh itu, mengeraskan penumbuk tidak mendatangkan masalah. Sikit-sikit penumbuk terlepas di dada, tidak menjadi masalah utama. Masih boleh tahan. Langkahan kaki perlu keseimbangan antara kaki kanan dan kaki kiri. Jangan diberatkan pada mana-mana kaki. Keseimbangan berat itu akan memudahkan pergerakan seterusnya.

Mempelajari pelajaran potong memerlukan kesungguhan seperti mana pelajaran buah jatuh. Jangan gopoh untuk menguasi buah-buah pelajaran. Fahami prinsip setiap buah yang diberi. Dapatkan dan fahamkan seni buah potong pada setiap buah terlebih dahulu sebelum berlatih secara ’kasar’ atau secara ’keras’. Pelajaran potong adalah penting kerana pelajaran itu menjadi asas yang mustahak bagi menghebatkan aspek serangan. Kalau pelajaran potong menjadi, maka besar gunanya apabila pesilat itu memasuki pelajaran seterusnya iaitu serangan yang satu.

Penuntut yang menguasai pelajaran jatuh dan potong maka secara langsung akan bermulalah penguasaan penuntut pada pelajaran pertahanan diri dan pelajaran menyerang. Maka lengkaplah keperluannya sebagai pesilat dalam SC.

Sekian dan terima kasih.

Monday, September 27, 2010

BUAH POTONG.

Setelah habis pelajaran jatuh maka para penuntut berpeluang mengikuti pelajaran ke peringkat lain iaitu pelajaran buah potong. Ketika inilah para penuntut telah diiktiraf sebagai ahli silat. Pengiktirafan sebagai ahli silat mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri. Terlebih dahulu mereka perlu diijazah mandi silat. Tak payah kain putih. Tapi perlu memberi dan menerima ’isyarat.’ Ketika melangkah ke pelajaran potong , sepatutnya hati dan perasaan penuntut mula terpaut pada SC. Mereka yang tidak selari atau tidak dapat menerima SC pastinya telah ’melarikan diri’ ketika pelajaran asas atau jatuh lagi. Kini, mereka yang berada dalam kelas potong adalah merupakan pesilat yang telah teruji ketahanan mental dan fizikalnya.

Sebelum mempelajari buah potong, para penuntut diperkenalkan dengan pelajaran pisau yang dikenali sebagai pelari pisau. Itu adalah tanda isyarat betapa pelajaran pisau boleh dan perlu diperkenalkan ketika masuk pelajaran potong. Walau bagaimanapun, kita hanya memberatkan latihan pada beberapa buah sahaja. Buah yang popular ialah Gayung Petani. Saya tidak menyentuh secara teliti tentang pelari pisau berdasarkan buah Gayung Petani tersebut.

Semasa membicarakan tentang buah jatuh Gayung Petani, saya kurang menyentuh tentang asal usul perkataan Gayung Petani. Pada setiap nama buah, saya cuba hubungkan antara pengertian istilah buah dengan bentuk pergerakannya. Saya berpendapat, sebagai Jurulatih kita perlu tahu asal usul nama buah-buah berkenaan dengan sedaya upaya yang boleh. Nama kerap kali akan melambangkan sifat.

Sengaja saya tidak membincangkan asal usul nama Gayung Petani ketika menulis tentang jatuhannya. Sebabnya saya sendiri akan ke Patani. Telah pergi pun. Sekurang-kurangnya akan ada maklumat yang boleh ditulis dalam ruangan seterusnya. Kebenarannya kena kaji sendiri.

Sebelum ini saya anggap istilah ’Petani’ ada kaitan dengan sawah. Rupa-rupanya, anggapan tersebut adalah tidak tepat. Namun begitu, perkara pastinya, Gayung Petani adalah berasal dari tempat yang bernama Pattani. Di daerah itulah pada satu masa dahulu terdirinya kerajaan Melayu tua yang bergelar kerajaan Langkasuka. Kawasannya berdekatan dengan laut. Aktiviti bersawah bukannya menjadi kegiatan utama.

Dalam lawatan saya ke tempat tersebut, terdapat sebuah perigi yang dinyatakan pada satu papan kenyataan sebagai ’Perigi Hang Tuah’. Saya difahamkan bahawa keberadaan Hang Tuah di Pattani adalah sangat pasti dalam kalangan penduduk yang saya temui.

Petani adalah dieja dengan nama Pattani. Menurut penduduk yang saya temui, terdapat dua versi tentang asal usul perkataan Pattani. Versi pertama, Pattani dihubungkan dengan nama orang yang bergelar Pak Tani. Beliau adalah seorang nelayan yang menangkap ikan di laut. Kelebihan yang ada pada orangnya telah menjadikan tempat tersebut mengikut namanya iaitu Pak Tani. Akhirnya bergelarlah tempat itu sebagai Pattani.

Versi kedua ada kaitan dengan metos pelanduk putih yang terdapat di pantai pada kawasan tersebut. Kemunculan pelanduk tersebut membawa petanda kelebihan yang ada pada tempat itu. Maka hebohlah kemunculan pelanduk itu ”di pantai ini.” Akhirnya terkenallah tempat itu sebagai Pattani.

Kita harus faham tentang konsep kerajaan di zaman dahulu. Tempat sultan yang bergelar istana adalah merupakan pusat kerajaannya. Tempat-tempat lain dinamakan sebagai jajahan takluknya. Begitu juga dengan konsep kampung. Pada zaman dahulu, konsep kampung merujuk pada kawasan masyarakat yang mempunyai pertalian darah. Itu sebabnya kita berasa bangga apabila disuruh balik ke kampung. Akan tetapi istilah itu begitu sensitif sekarang. Bila disuruh balik kampung maka diri kita berasa terhina kerana konsep kampung sekarang ini adalah merujuk pada sempadan.

Istilah Gayung juga adalah bermaksud pukulan, tetakan atau tikaman. Petani adalah merujuk pada kawasan Pattani. Maka pada pandangan saya, eloklah jika Petani dieja sebagai Patani. Walaupun ada yang kata remeh tapi berguna juga untuk maksud kefahaman.

Kaedah mengambil buah pisau Gayung Petani semestinya seperti asas pelajaran Gayung Petani. Cuma bezakan antara tangan kosong dengan pisau. Ketepatan, ketangkasan dan kekemasan perlu ada ketika mempelajari senjata pisau. Tekankan seni-seni mengambil pisau antara pangkal ibu jari dan pangkal telunjuk tangan pasangan kita. Semasa tusukan balik pisau pada pasangan, pastikan siku tangan kanan pasangan kita diangkat bagi memberi ruang pada hujung tangan yang memegang pisau, membuat tusukan pada badan pasangan itu sendiri. Payah dicerita dalam ruangan tulisan ini.

Pelajaran potong boleh dianggap asas untuk menyerang. Tumbukan yang kita lepaskan perlu mendatangkan hasil. Jika ada halangan maka halangan tersebut akan diatasi secara spontan. Untuk mengatasi rintangan ketika menyerang, SC mempunyai pelbagai kaedah yang tertentu. Istilah ’spring’ selalu dikaitkan dengan pembelajaran buah potong. Spring bermakna melangkah satu tapak lagi ke hadapan. Jangan ikut fikiran sendiri dengan mengaitkan konsep spring dengan gelek. Konsep spring tidak sama dengan konsep gelek. Spring adalah spring. Gelek adalah gelek. Dua gerak yang berlainan.

Dalam perbualan, Ustaz pernah mengaitkan konsep ijazah dalam SC dengan ’pinang’ tapak. Ijazah pertama menandakan kita mempelajari satu tapak, ijazah kedua kita belajar satu tapak lagi yang dikenali sebagai spring dan ijazah ketiga, kita ’meminang’ satu tapak lagi yang membolehkan pelajaran enam tolak enam diperoleh. Hinggakan ada dalam kalangan kita menganggap bahawa mandi ijazah ialah mandi tapak.

Mempelajari buah potong bermakna kita mempelajari rahsia SC. Kita telah diakui sebagai ahli silat. Sebaliknya, sebagai ahli persatuan memang terbukti melalui yuran pendaftaran dan borang yang perlu diisi.

Zaman dulu-dulu, kami tersangat sensitif dengan pelajaran potong. Semasa latihan, jika ada orang luar atau ahli yang belum tamat hadir bersama maka kami akan menghentikan latihan. Malah jika sesama kami pun, perasaan cemburu tentang pelajaran ini tetap ada. Jika ada antara kami yang belum mengambil buah potong pada satu-satu buah yang tertentu maka kami akan pastikan latihan buah tersebut tidak berlaku. Sehinggalah penuntut itu ditunjukkan cara potong buah daripada Jurulatih maka barulah kami berlatih kaedah potong. Apatah lagi jika orang yang bukan ahli, hadir melihat latihan kami. Lagi kami berasa cemburu. Begitulah betapa rahsia dan cemburunya kami pada pelajaran potong.

Pelajaran potong ada falsafahnya. Ada antara pesilat kita yang menimbulkan persoalan. Pelajaran asas dan jatuhan yang dipelajari dengan bersungguh-sungguh hingga melibatkan masa yang banyak, akhirnya dipotong begitu saja dengan mudahnya. Pada saya jelas terbukti bahawa kita tidak bergantung pada buah jatuhan. Buah yang kita pakai berkemungkinan tidak akan dipakai akhirnya. Lahirlah falsafah, pakai tak pakai, tak pakai, pakai. Itu sebabnya mereka yang meninggalkan SC ketika pelajaran jatuh, tidak memberi makna pada kita. Rahsia kita belum mereka peroleh. Mereka pun belum mandi untuk disahkan sebagai ahli SC.

Saya selalu tegaskan pada para pesilat tentang konsep pelajaran potong. Pelakuan yang kita potong ialah pada kaedah dalam proses pesilat itu membuat buah. Kita tidak membuat potong setelah pesilat selesai membuat buah. Itulah bermalam juga namanya. Kebanyakan silat Melayu membuat tindakan apabila kuncian telah dilakukan. Silat-silat itu mempunyai teknik melepaskan kuncian. Hal yang demikian amat berbeza dengan SC. Kita tidak rela diri dikunci. Jika terkunci maka akan mendatangkan sedikit masalah. Itu sebabnya, apabila ada soalan, ”Kalau kita dikunci, nak buat macam mana.”
Maka kita jawab,”Jangan bagi kunci. Sentuh aje, makan.” Senangnya.

Sambung lagi.

Monday, September 20, 2010

Sambungan...KESIMPULAN BUAH JATUH.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dulu dan sekarang, saya berpendapat bahawa konsep memandu banyak maknanya. Pandulah para penuntut supaya mereka benar-benar menguasai SC. Hal yang demikian akan memberi impak yang besar pada gelagat Jurulatih yang mengajar silat. Mereka perlulah benar-benar bertanggungjawab, berinovasi dan berkreatif dalam pengendalian kelas.

Dari segi gerak silat, sebarang kesilapan akan mengundang faedah yang tidak baik pada diri Jurulatih. Silap tumbuk, kena, silap buat buah pun ada kesannya pada mereka. Hal yang demikian menjadikan Jurulatih berada dalam keadaan yang perlu bersikap awas sentiasa semasa mengajar pergerakan dua tangan dan dua kaki. Pengajaran perlu bersistem. Sistem-sistem ini termasuk sistem kelas secara keseluruhan. Sistem memberi buah sama ada buah semasa atau buah yang lepas, sistem pemantauan pelajaran dan sistem latih tubi. Pengkayaan ilmu dalam kalangan Jurulatih perlu dititikberatkan. Ilmu-ilmu tersebut meliputi ilmu persilatan dan ilmu pengurusan persatuan. Dengan cara itu, secara langsung pengurusan kelas SC berkenaan semakin mantap di samping kemantapan dalam penyampaian ilmu persilatan.

Pengajaran kita adalah berfokaskan pada pesilat. Perwatakan pesilat perlu diambil perhatian. Perwatakan ini meliputi watak luar dan watak dalam. Perwatakan luar boleh dirujuk pada bentuk fizikal mereka. Tinggi atau rendah, kurus atau gemuk, tangan panjang atau tangan pendek, kaki panjang atau kaki pendek, tengkok panjang atau tengkok pendek dan sebagainya. Semuanya pasti akan memberi kesan pada pergerakan silat mereka. Hal yang demikian perlu diberi perhatian oleh Jurulatih. Setiap arahan yang diberi berkaitan dengan silat, perlu dikaitkan dengan watak luaran mereka. Dengan cara itu sama ada pengharapan kita pada mereka boleh diberi sepenuhnya atau tidak adalah bergantung erat pada perwatakan tersebut. kita akan lebih tenang dan sentiasa bersikap positif. ”Kalau tak boleh tenang dan asyik baran, nak buat macam mana.”

Zaman Ustaz, penuntut-penuntut OKU tetap diberi keutamaan. Kalau kaki pendek maka diberi peluang curi tapak. Tapi pada mereka yang kaki panjang jangan biarkan mereka curi peluang. Akan merugikan mereka sendiri. Begitu juga dengan gerak-gerak lain yang diberi kekecualian pada golongan OKU tersebut.

Semasa kita ’memandu’ penuntut kita, pupuk pemberatan pada pelajaran kaedah. Daripada kaedah maka akan datangnya buah. Kaedah boleh dikuasai dengan latihan yang bersungguh-sungguh. Jangan bersikap gopoh semasa menyampaikan pelajaran. Kegopohan itu termasuklah keinginan menghabiskan pelajaran dalam waktu yang singkat. Sesungguhnya perbuatan yang tersebut amat merugikan penuntut pada masa jangka panjang.

Kita juga perlu sedar, dalam senarai buah yang sebanyak sembilan belas itu, berdasarkan versi lama ketika saya belajar, bukan kesemuanya boleh dikuasai oleh para penuntut secara sepenuhnya. Ada dalam kalangan buah-buah tersebut yang tidak sesuai dengan perwatakan penuntut dari segi fizikalnya. Namun begitu, pasti akan terjadi, pada diri setiap penuntut itu ada buah ’favorites’nya. Sebagai Jurulatih, peranan kita perlu juga mengembangkan potensi mereka pada buah-buah yang mereka minati.

Kita juga perlu menekankan pada penuntut betapa setiap buah yang ada itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Tunjukkan kelebihan buah dengan cara pembuktian. Setiap buah yang diturunkan perlu dibuat dengan sebenarnya. Mana yang perlu dipukul maka pukullah. Mana yang perlu dikunci maka kuncilah. Perkara yang penting, setiap pukulan dan kuncian itu perlu dibuat dengan sepenuh hati. Kecualilah jika akibatnya membawa pengsan atau maut. Tidaklah perlu bagi kita membuktikan kesan-kesan tersebut. Akan menyusahkan kita sendiri.

Terdapat perbuatan dalam buah-buah asas atau jatuh yang berkait rapat dengan pelajaran rahsia SC. Hanya masa dan habuan yang akan menentukan pembelajarannya. Misalnya pada buah Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. Pelajarilah buah-buah itu dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Kedua-dua buah tersebut menjadi punca utama untuk pelajaran rahsia SC seterusnya. Oleh itu, pada Jurulatih, ajari para penuntut dengan sempurna dan betul. Manakala pada para penuntut, belajar bersungguh-sungguh tanpa banyak persoalan.

Ada dalam kalangan Jurulatih yang cuba membuat inovasi atau pembaharuan dalam kelas-kelas latihan buah jatuh. Salah satu pembaharuan tersebut ialah mengumpul buah dalam satu kumpulan berdasarkan kaedah. Latihan secara latih tubi hanya berkisar dalam kumpulan berkenaan dan beralih dari satu kumpulan kepada kumpulan yang lain. Maknanya berlatih Kaedah A akan melibatkan buah Pertama, Kilas Depan, Kidung Kiri dan seterusnya. Kalau sudah A maka akan A semuanya. Kalau buah berdasarkan gelek maka dikumpulkan pulak buah-buah berkenaan dalam satu kumpulan dan dibuat latihan.

Pada saya, hal yang demikian tidak mendatangkan masalah. Pelbagai bentuk latihan boleh diwujudkan bagi merangsang pembelajaran para penuntut. Itulah kreativiti dan inovasi dalam sistem pembelajaran. Walau bagaimanapun, jangan ada usaha-usaha untuk menyusun kedudukan buah-buah dalam SC berdasarkan kaedah dan dijadikan sukatan pelajaran secara tetap dan menjadi dasar. Tiada asalnya jika mendakwa Pusaka Hanafi.

Setiap perubahan yang ingin dijadikan satu ketetapan, haruslah ditolak. Saya selalu tegaskan. Hormati Ustaz dengan cara memelihara pusakanya. Pelajaran yang kita dapat adalah diperoleh sebagaimana pelajaran di zaman Ustaz. Mustahil kita boleh mengubahnya dalam konteks menghormati pemimpin agung yang kita banggakan.

Kita tetap yakin bahawa susunan yang dibuat Ustaz pasti ada kaitannya dengan sesuatu yang ingin dicapainya bagi maksud memahirkan pemikiran penuntut. Fikiran penuntut tidak terikat dengan satu struktur atau satu pola yang tersusun dalam penguasaan buah SC. Kedudukan buah berdasarkan Kaedah yang pelbagai tanpa disusun mengikut kaedah akan menjadikan fikiran penuntut kita berfikir dalam keadaan semula jadi. Tanpa dipolakan pemikiran mereka. Secara langsung juga, SC menggalakkan supaya ahlinya sentiasa berfikir sebelum menerima sesuatu yang diberi.

Saya sering tegaskan betapa kelas-kelas SC yang dikendalikan oleh para Jurulatih perlu berkonsepkan situasi ”menang menang.” Lagi lama Jurulatih berkecimpung dalam SC maka lagi banyaklah kelas dan penuntut SC yang dilahirkannya. Bersepadu dengan kejayaan-kejayaan itu maka lagi hebatlah Jurulatih itu dari segi pengetahuan, pengalaman, ketangkasan, kekemasan dan ketepatannya mengambil buah-buah yang ada dalam SC. Semestinya daya tahan dan staminanya bertambah dan dapat dipertingkatkan.

Peranan Jurulatih bukannya umpama lilin yang membakar diri bagi menerangi suasana sekitarnya. Peranannya umpama Matahari yang sentiasa bersinar sepanjang zaman. Berehat di malam hari dengan membiarkan bulan sebagai pengantaranya. Amat malang pada Jurulatih yang banyak melahirkan penuntut serta berkecimpung dengan begitu lama dalam SC tetapi hanya berada di tahap yang sama dalam aspek-aspek yang saya nyatakan di atas. Golongan ini sah umpama lilin. Membakar diri yang tak rentung-rentung. Buat tak kisah sahaja.

Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran banyak dipengaruhi oleh para Jurulatih yang ada di kelas-kelas berkenaan. Apa pun, tumpuan kita tetap pada pencapaian yang hebat dalam kalangan penuntut kita. Di samping kehebatan kita bersilat, saya selalu tekankan betapa Jurulatih itu perlu mempunyai kemahiran asas dari segi keberkesanan komunikasi, kebolehan menyelesaikan masalah, kemahiran memberi motivasi dan kemahiran berhubung dengan manusia iaitu para penuntutnya sendiri. Jika kebolehan-kebolehan itu dapat dikuasai maka para Jurulatih tersebut boleh membangunkan keperibadian yang tinggi dalam kalangan penuntutnya dalam konteks SC. Berusahalah mencapai makam yang tertinggi dalam SC.

Sekian setakat ini.Sambung dengan potong.

Sunday, September 19, 2010

KESIMPULAN BUAH JATUH

Saya telah menyentuh konsep buah jatuh seperti yang saya faham sejak menerimanya daripada Ustaz dan menurunkannya pada mereka yang menuntut daripada saya dari dulu hingga sekarang. Jadikan panduan dan rujukan yang sepatutnya. Umur saya telah hampir enam puluh tahun. Lebih tiga puluh tahun bergelumang dengan SC. Semuanya dalam fikiran. Tiba masanya saya tulis untuk dijadikan bahan rujukan.

Kalau kurang berguna sekarang, pasti berguna pada puluh tahun yang akan datang atau tahun-tahun yang mendatang sebagai salah satu bahan rujukan. Perlu ditegaskan juga, penulisan saya adalah berdasarkan tanggapan saya. Tanggapan yang diasaskan melalui pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh dari Ustaz. Biar pembaca benar-benar faham. Malangnya saya tiada dokumen untuk membuktikan kenyataan saya tersebut pada mereka yang inginkan dokumen sebagai pembuktian. Tapi apa perlunya pembuktian. Tak setuju maka tak perlu pakai. Apapun, sekurang-kurangnya ada bahan tulisan tambahan untuk dijadikan rujukan dan perbincangan secara sihat terutamanya pada mereka yang pernah bersama saya. Kesediaan saya menulis ada juga kaitannya dengan pelajaran sekarang yang tidak sama dengan pelajaran yang saya terima. Tapi mendakwa Pusaka Hanafi. Namun begitu ada pelajaran yang sama dan ada pelajaran yang tidak sama. Mana boleh main sekerat-kerat. Mana sedapnya.

Janganlah kita bercakap tentang SCM yang telah diterajui oleh kepemimpinan yang tak tentu punca. Kalau pemimpinnya pun tak pasti punca, pastinya isi pelajaranpun akan jadi tak tentu hala. Bagaimana pula dengan isi pelajaran dalam persilatan kita yang ada, tapi berpecah dua. Tidak kira di sebelah mana. Masing-masing juga mendakwa Pusaka Hanafi. Nampak juga macam-macam cara pelajaran yang ada. Kalau pelajaran dari satu punca, mana mungkin ada beza-beza sesama mereka. Oleh itu, ramai juga yang tertanya-tanya tentang asal usul pelajaran yang diterima. Nak dirujuk pada siapa. Hak guru jangan cuba kita persoalkan. Tapi, kita juga teringin sangat nak tahu puncanya. Sekurang-kurangnya ada tulisan buat pengetahuan atau tuntutan ilmiah yang lahir dari hati kecil dalam sunabari kita.

Dengan ilmu yang ada bersama Ustaz, maka saya ingin melibatkan diri dalam perbincangan tentang persoalan yang ada. Pastinya tafsiran saya adalah berdasarkan pengalaman dan pengalamian saya sepanjang berkecimpung dalam SC. Rugi rasanya kalau saya tidak mengeluarkan pandangan. Lebih-lebih lagi ketika usia yang ada. Ingin meluahkan isi hati yang terbuku di dada. Bukannya isi perut yang sentiasa diluahkan setiap masa.

Kesimpulan pandangan saya, jangan diubah-ubah pelajaran yang telah ada. Kebolehan dan kehandalan kita, malah kebolehan dan kehandalan ahli-ahli silat yang ada tentunya hasil sistem pelajaran yang telah dirangka oleh Ustaz Hanafi pada ketika dulunya. Kalau kita sendiri cuba mengubahnya bermakna kita tidak berpuas hati dengan kebolehan dan kehandalan kita yang sedia ada. Perubahan yang berlaku dalam sistem pembelajaran akan memberi kesan jangka masa panjang pada penuntut kita yang berikutnya. Ketika itu para pengubah sistem pelajaran yang ada, akan tak tentu adanya. Penguasa yang ada ketika itu pasti akan buat perubahan lagi dan lagi.

Maka mana rujukan asalnya. Kalau kita banggakan dengan Pusaka Hanafi maka pertahankan keaslian yang diturunkan oleh Ustaz Hanafi. Malangnya ketika ini para pendokong SC pada suatu masa yang lalu, asyik sibuk dengan perjuangan peribadinya. Soal persatuan lebih banyak keutamaan berbanding dengan soal persilatan. Kita bergaduh kerana persatuan. Kita berpolimik kerana persatuan. Bila persatuan inginkan mantap maka bidang persilatan akan menjadi mantat. Soal silat telah menjadi isu peribadi dan terpencil. Hancok wak betul.

Mendidik para penuntut dalam silat bukannya mudah. Kita mengajar silat yang menggunakan pergerakan dua tangan dan dua kaki. Bukannya mengajar tarian yang lembut serta mengasyikkan. Pencapaian penuntut kita perlu diberi keutamaan. Kehebatan mereka melambangkan juga kehebatan kita. Oleh itu, pastikan para penuntut kita benar-benar dapat menguasai semua pelajaran SC yang diturunkan kepada mereka seperti mana yang pernah kita terima. Maka janganlah kita menokok atau mengurangkan pelajaran asal yang ada. Hormatilah Ustaz kita dengan mengekalkan isi pelajaran yang telah disampaikannya.

Sepanjang pengalaman saya dalam SC, saya mempunyai pendapat tersendiri tentang falsafah, konsep dan prinsip buah jatuh. Ketiga-tiga aspek tersebut adalah hasil kesimpulan sejak penglibatan bersama Ustaz. Mungkin Ustaz tidak menyentuh perkara yang dibincangkan dalam tajuk-tajuk berkenaan. Namun begitu penerangan secara lisan atau secara praktisnya dapat saya buat kesimpulan untuk diri saya sendiri dan untuk mereka yang saya pimpin. Dalam tulisan ini kita syer bersama.

Buah-buah jatuh adalah bermula dari Kaedah. Jadi kaedah, maka jadilah buah. Tak jadi kaedah maka tak jadilah buah. Itulah falsafah yang saya pegang tentang buah jatuh. Buah-buah jatuh yang kita latih adalah untuk memahirkan kaedah. Satu masa yang lalu, setelah saya berpindah ke rumah di kampung, Ustaz pernah singgah. Di situlah Ustaz pernah berpesan lagi kepada saya supaya ambil berat pada Kaedah. Ditunjuk kepada saya cara melatih Kaedah hingga gerak menepis dapat dilakukan tanpa perlu mengetahui arah tumbukan yang datang. Datanglah tumbukan dari sudut mana. Kaedah kita masih berupaya. Secara spontan Kaedah kita akan menyambutnya dengan Kaedah yang betul pada arah yang ada. Malah menurut Ustaz, ketika kita menyambut cabaran dari silat lain beradu kehandalan, latihan Kaedah dijadikan keutamaan. Jelas kepada kita betapa buah jatuh yang ada banyak bergantung pada Kaedah yang ada.

Pengajaran Buah Jatuh berkonsepkan ’memandu’ dan bukannya mengajar. Gerak-gerak dalam SC adalah berdasarkan gerak semula jadi. Semua pesilat mempunyai gerak yang sedemikian. Tugas kita, dengan gerak yang mereka ada kita pandu mereka untuk melakukan gerak semula jadi yang bersesuaian dengan prinsip silat kita.

Buah Jatuh mempunyai prinsip yang tersendiri. Prinsip dapat dikaitkan dengan ciri-ciri yang melambangkan sifat pergerakannya. Prinsip utamanya ialah jangan mengelak badan. Saya pernah tegaskan bagaimana badan kita umpama raja. Tangan dan kaki umpama askar atau soldadunya. Askar akan pertahan rajanya agar raja tidak bergerak kerana takutkan musuh. Oleh itu, setiap buah jatuh yang kita lakukan, jangan elak badan. Gunakan kaedah yang empat. Kaedah-kaedah itu adalah lengkap bagi menghadapi sebarang jenis tumbukan dari sebarang sudut tumbukan. Para pesilat perlu kita didik supaya sekurang-kurangnya mempunyai sifat yakin diri dan jangan teragak-agak ketika membuat jatuhan. Bergeraklah dengan penuh yakin.

Prinsip buah jatuh yang lain dapat digambarkan dengan satu perkataan iaitu ’serentak’. Perbuatan serentak melibatkan pergerakan kaki dan tangan untuk membuat jatuhan. Pesilat tidak boleh memisahkan gerak tangan dan kaki dengan begitu lama, hingga nampak jaraknya dengan mata kepala. Walaupun beberapa gerak serentak dalam satu ketika dianggap satu gerak akan tetapi perpisahan gerak-gerak tersebut tidak dapat dikesan dengan mata kepala. Serentak juga melambangkan tidak boleh wujud gerak bermalam.

Prinsip ketiga, secara keseluruhannya buah-buah jatuh berkehendakkan kita berada di belakang pasangan. Mata kita sentiasa memerhatikan gerak pasangan. Setiap gerak pasangan kita yang menyimpang, akan kita buat tindakan. Prinsip berada di belakang tidak sama dengan prinsip membelakangkan pasangan. Ketika kita berada di belakang, pasangan kita akan tenggelam punca. Pergerakan kita akan berada di luar dari kawalan pasangan kita. Tapi, belakang dengan belakang, nak nampak apa. Kecualilah brother kita yang boleh buat bayangan.

Prinsip keempat ialah buah jatuh mementingkan pukulan. Walaupun ada kekecualian, namun pukulan adalah prinsip buah jatuh secara keseluruhan. Jangan abaikan prinsip ini semata-mata menjaga hati. Ikut kata hati maka mati. Yang mati ialah kehebatan kita nanti.

Seterusnya prinsip yang lain, membuat buah jatuh jangan sekali-kali bermalam. Perbuatan bermalam akan mengundang padah pada diri pesilat. Latih diri supaya pergerakan yang dilakukan sentiasa dalam proses yang berterusan. Dalam latihan, perbuatan lambat boleh dicepatkan. Masih dalam proses membuat jatuhan. Tapi jika bermalam, nampak terhenti pergerakan.

Melakukan pergerakan buah jatuh perlu berhati-hati bagi menjaga keselamatan. Itu merupakan salah satu prinsip SC. Perbuatan kita ada hadnya. Tidak melepaskan pukulan sesuka hati. Dengan cara itu SC dapat dilatih berkali-kali. Saya telah sentuh hal yang demikian semasa membicarakan beberapa buah jatuhan. Misalnya buah-buah Kuntau yang menggunakan kaki.

Berdasarkan falsafah, konsep dan prinsip buah jatuh, kita perlu sentiasa ingatkan jurulatih. Jadikan pegangan untuk mendidik para penuntut supaya pengajaran Jurulatih ada hala tujunya. Jangan buat suka hati. Banyak wang, masa dan tenaga yang mereka korbankan. Tugas Jurulatih ialah memberi pulangan yang setimpal. Maka sentiasalah ingatkan pada Jurulatih kita. Para Jurulatih atau Penyelia Kelas yang ada perlu diingatkan dari masa ke masa supaya sentiasa mewujudkan sistem pelajaran yang berkesan. Jika menghadapi masalah dalam sistem penyampaian, pihak penguasa perlu bantu mereka. Jangan layan karenah Jurulatih, gara-gara gagal menyampaikan pelajaran yang ada. Jangan diubah pelajaran yang ada dek kerana ingin menyesuaikan pelajaran dengan kelemahan Jurulatih kita.

Sesetengah perubahan yang ada telah juga menyusahkan Jurulatih-Jurulatih lama yang telah terlepas cakap. Misalnya, dulu dikatakan buah Sengkak telah diketepikan kerana prinsipnya telah ada dalam pecahan ketiga Gayung Petani. Buah tersebut juga dikatakan berbahaya pada diri si pelaku. Namun, kita katakan, mengetepikan buah Sengkak tidak akan mendatangkan kerugian apa-apa. Gayung Petani pecahan ketiga tetap ada. Tapi sekarang, cakap-cakap itu tidak relevan lagi. Pecahan ketiga telah tiada. Agaknya, elok pencen saja Jurulatih yang telah terlepas cakap dengan contoh yang dah tak kena lagi. Ketinggalan zamankah mereka.

Ada yang menganjurkan pengajaran SC secara berperingkat. Setiap peringkat mengandungi beberapa buah yang tertentu. Penuntut akan diajar asas bersekali dengan jatuh dalam satu-satu peringkat. Semua perubahan tersebut adalah disesuaikan dengan kehendak atau bagi memudahkan penuntut. Nampaknya, kita banyak memikirkan kemudahan bagi para penuntut. Bukannya penuntut yang harus berfikir bagi menyesuaikan diri dengan pelajaran yang ada dalam SC. ”Dulu kita bukak silat ikut suka hati. Rasa sesuai, kita buka kelas latihan. Sekarang penuntut belajar silat ikut suka hati. Malangnya sekarang ini kita mesti ikut suka hati penuntut.”

Sambung esok.

Thursday, September 16, 2010

BUAH HEMPUK.

Buah hempuk adalah merupakan buah terakhir dalam senarai yang diajar kepada kami. Buah ini juga sangat popular dan mendapat tepukan dalam pertunjukan. Perbuatan menumbuk bahagian penyawa setelah jatuhan amat mencemaskan penonton. Pandai pulak pasangan silat yang kena tumbukan melakonkan diri. Nampak macam kena betul-betul.

Pada zaman saya, setiap kali pertunjukan pisau dan tongkat maka perlu dilibatkan buah Hempuk. Buah Hempuk sangat sesuai digunakan ketika musuh menyerang dari bahagian atas dengan menggunakan senjata pendek terutamanya pisau dan tongkat.

Berdasarkan istilah, hempuk dikaitkan dengan istilah menghempuk yang membawa makna membantingkan atau menghempaskan sesuatu. Kerap kali perkataan hempuk dikaitkan dengan perasaan panas baran. Hal yang demikian dapat digambarkan dengan kata-kata, ” Jangan kacau aku. Nanti aku hempuk kepala kau, baru tahu.”

Dalam konteks buah Hempuk, dalam silat kita masih boleh dikaitkan antara perbuatan melakukan buah ini dengan makna istilah. Buah yang bermula dari atas hingga berakhir ke bahagian bawah, boleh dikaitkan dengan kaedah ’hempuk’. Namun begitu, cubalah kait-kaitkan sendiri.

Buah Hempuk menggunakan Kaedah D. Buah inilah satu-satunya buah yang menggunakan kaedah D apabila kita diserang di bahagian atas. Ketika mengambil buah ini, tangan kiri dan tangan kanan serta kaki kiri kita akan bergerak secara serentak dan bersepadu dalam satu proses. Seperti yang selalu saya tegaskan, mana dulu dan mana kemudiannya amat sukar dikesan melalui mata kepala. Perbezaannya adalah ketika. Saya selalu ulang-ulangkan kenyataan ini agar para pesilat dan Jurulatih khasnya, benar-benar memahami dan menghayati konsep itu. Pengulangan ayat-ayat tersebut samalah dengan apa yang diulang dengar pada saya dulu.

Tangan kiri pesilat mestilah menolak siku kanan pasangan, manakala tangan kanan akan memegang bahagian kaki kanan pasangan kita. Kaki kiri persilat yang mara ke depan akan memasak kaki kiri pasangan. Pasakan pada kaki pasangan kita tersebut adalah tersangat banyak faedahnya. Saya akan buat penjelasan dalam bahagian akhir tulisan ini.

Buah ini juga tidak ada pukulan pada pelajaran asas melainkan pada jatuhannya. Pukulan pada jatuhannya amat berbahaya di bahagian penyawa. Selalunya acah sahaja dengan satu pukulan yang genggam tangan. Tangan tidak dibuka. Nanti orang kata pukulan meraba. Mungkin enak juga rasanya pada geng yang suka membelakangkan badan.
Pernah berlaku, buah ini dipecahkan menjadi dua, gara-gara angka dua puluh satu. Buah Hempuk menjadi buah yang kedua puluh dan pecahannya menjadi buah dua puluh satu. Hal yang demikian kerana buah Kuntau Kiri Gantung dijadikan buah yang kesembilan. Bagi pecahan kedua Hempuk, jatuhannya adalah berbeza sekali. Kaedah D yang digunakan itu, disertai dengan perbuatan pesilat menolak dan menangkap siku kanan pasangannya. Ketika berlaku perbuatan menolak siku, tangan kanan akan mengenakan pukulan di bahagian rusuk pasangan. Proses seterusnya, pesilat akan membuat jatuhan seperti buah kuntau kiri. Nampaknya pelajaran pecahan itu tidak kekal lama. Akhirnya, pecahan kedua dimansuhkan. Semuanya gara-gara dua puluh satu.

Setelah itu diganti pula dengan senarai baru buah SC. Jelas menunjukkan bahawa prinsip mengekalkan angka dua puluh satu telah menjadi satu ketetapan. Maka dimasukkan buah Luncur dan Siku Potong. Saya kurang pasti tentang kemasukan buah-buah tersebut, hasil cadangan siapa dan sejak bila serta di zaman mana. Setahu saya ketika masih berada di pusat, perubahan buah tidak ada. Saya hanya ketahui adanya penambahan buah apabila datangnya pesilat luar meneruskan pelajaran Silat Cekak di Cawangan saya. Terperanjat juga. Tidak pernah berbincang, tiba-tiba telah ada. Mana punca kuasanya. Malas nak tanya. Tapi bila disebut istilah luncur maka tergambar perbuatan luncur di samudera luas. Ramai yang meluncur ketika berselerak duyung dan dugong.

Dalam tulisan ini saya tidak memasukkan perbincangan tentang kedua-dua buah baru tersebut. Buah Luncur dan buah Siku Potong. Hal itu kerana semasa saya belajar dulu, kami tidak diajar buah-buah berkenaan sebagai mata pelajaran asas dan jatuhan. Malah ada Jurulatih ketika itu yang berkata betapa buah Luncur telah diketepikan kerana kurang praktikal. Buah Siku Potong ada juga kepentingannya. Tapi dikatakan sebagai asas untuk pelajaran lading. Tidak sesuai dimasukkan dalam senarai buah jatuh. Sabar sahaja. Sampai masa maka buah Siku Potong akan diajar pada pesilat.

Saya sendiri pernah bertanya Ustaz tentang buah-buah yang telah diprosesnya hingga terkeluar daripada senarai pelajaran. Banyak yang saya faham. Ketika memimpin kelas latihan, terutamanya pada masa kelas kemahiran, baru disentuh buah-buah yang terkeluar buat pengetahuan. Buah Luncur dan buah Rasa, saya jadikan latihan kemahiran. Tarafnya sama dengan Gayung Petani iaitu menanti gerak lawan. Walau bagaimanapun gerak lawan pada Gayung Petani telah diaturkan. Tapi akhirnya ada pulak pecahanan yang dibuang. Namun begitu, tindak balas pada buah Luncur dan buah Rasa, ada sikit kebebasan. Pasangan bebas membuat gerakan. Perkara pentingnya ialah para pesilat berupaya mematikan gerak tindakan pasangannya berdasarkan asas buah-buah berkenaan. Ada fokas pelajaran.

Begitupun, semasa latihan buah-buah SC berdasarkan sukatan pelajaran, buah Luncur tetap diketepikan. Buah Luncur yang ada sekarang ini, fokasnya pun saya tak faham. Perbuatannya, setakat masuk memegang pasangan tanpa ada apa-apa riaksi gerak dari pasangan. Kalau begitu kaedahnya maka buah Luncur amat sesuai untuk mereka yang sedang bercinta. Rapat badan dan rapat muka. Tak payah buat apa-apa. Tapi tangan kanan elok juga dialihkan ke dada. Barulah nampak bahagia dan ada tujuannya. Potong pun tak guna. Sedap rasanya. Cadangan sahaja.

Dalam tulisan ini rasanya tak perlulah saya beri penekanan utama tentang buah-buah tersebut. Mungkin saya hanya akan sentuh ketika membincangkan buah-buah yang telah kita ketepikan termasuk buah Rasa dan buah Sengkak dalam satu tajuk yang khusus. Itupun masih terikat dengan kaedah IT.

Berbalik semula pada buah Hempuk. Ketika kaki kiri pesilat membuat jatuhan dengan mengenakan lutut pada pelipat, pasak yang dibuat jangan dibuka dengan sewenang-wenangnya. Biarkan pasak tersebut hingga kita membuat jatuhan. Perbuatan memasak kaki pasangan kita ada gunanya. Tidak mungkin kita diajar dengan begitu sahaja tanpa ditunjukkan gunanya. Saya sendiri akan menunjukkan tindak balas musuh apabila ditanya. Saya buktikan betapa pasakan tersebut sangat bermakna kerana pasakan itu akan memelihara kesejahteraan dan keselamatan kita semasa membuat buah Hampuk jika berhadapan dengan musuh.

Tapi ada juga antara Jurulatih yang telah lupa kaedah memasak. Maklumlah. Pasak memasak kerja orang jantan. Silat kita pun silat jantan. Penumbuk silat kita pun penumbuk jantan. Kalau hilang atau lemah sifat jantan, mana bisa buat pasakan. Hanya mampu buat himpitan. Tapi tidak ada kesudahan. Sedapnya kurang.

Ketika membuktikan kehebatan buah-buah SC, Jurulatih perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas. Pembuktian tersebut perlulah secara praktikal. Seperti yang saya katakan terdahulu, gerak persilatan Melayu sangat suka mengereng atau menggelek. Ketika itulah mereka akan bertindak. Tindakan mereka adalah dari pelbagai sudut bagi maksud melepaskan diri. Buah Hempuk yang kita lakukan masih boleh diberi tindak balas oleh pesilat-pesilat yang lain. Saya pernah mengalaminya. Nasib baik kita ada perbuatan memasak kaki. Tindak balas lawan sangat mudah diatasi. Ketika itu tergambar betapa hebatnya Guru Utama Ustaz Hanafi. Pelajaran yang disusunnya ada tujuan dan bukannya dibuat sesuka hati. Gerak mencuba mereka itu, senang disekat. Jelas sekali betapa hebat pasak yang kita lakukan. Jangan diabaikan prinsip ini ketika membuat buah Hempuk. Itupun pada mereka yang mengerti.

Sekian setakat ini.

Wednesday, September 15, 2010

KEPUTUSAN LINTAU.

Semasa menuntut, buah Lintau adalah antara buah yang dianggap hebat dan diri setiap penuntut akan berasa puas setiap kali berlatih menggunakan buah itu. Semasa belajar dulu pun, hati saya berasa yakin setelah memperoleh buah Lintau. Penuntut-penuntut lain pun rata-ratanya berperasaan begitu. Kami berlatih berkali-kali bagi mempastikan ketepatan, ketangkasan dan kekemasan pada gerak kami. Latihan boleh dilakukan berkali-kali. Hal ini adalah kerana buah Lintau tidak mempunyai tangkapan yang boleh menyulitkan kita. Tambahan pula ketika berlatih buah Lintau, sakitnya kurang kerana ada awasan daripada tangan kiri kita. Namun begitu sakit yang diterima tidak memudaratkan anggota badan.

Buah Lintau tidak mempunyai tangkapan. Geraknya pantas dan boleh dibuat secara kasar. Kalau dibuat secara perlahan, buah Lintau kurang menjadi. Saya sangat suka gerak-gerak yang sebegitu. Namun begitu, terfikir juga dalam fikiran, ketika berbincang sesama kami. Kalau tumbukan dilakukan pada bahagian dada, adakah buah Lintau boleh diaplikasikan. Minat kami pada buah Lintau terbawa-bawa dengan harapan buah ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis tumbukan. Geraknya yang ringkas amat sesuai dengan pembawaan gerak SC yang ringkas.

Serangan yang dibuat dari bawah, nampak jelas betapa buah Lintau dapat digunakan dengan berkesan. Namun begitu amat jarang bagi mereka yang menyerang lawannya dengan membuat tumbukan pada bahagian bawah. Kalau pun serangan menggunakan senjata kerambit senang ditangkis melalui buah ini tapi penggunaan senjata itu sangat terhad. Membawa senjata kerambit adalah satu kesalahan undang-undang. Kalau ada pun yang membawanya, cara penggunaan, banyak yang menyimpang. Pasti serangan kerambit akan dijadikan serangan di bahagian atas. Serangan bawah hanya ketika menyerang anu yang lain, tak sama dengan yang dia ada. Jadi, serangan menggunakan tangan lebih kerap dilakukan. Pasti dibahagian dada atau muka.

Maka mencuba-cubalah kami membuat buah ini berdasarkan tumbukan di bahagian dada. Ketika tumbukan datang ke bahagian dada, penggunaan Kaedah C nampak sangat tidak sesuai. Ada yang cuba menggunakan kaedah B, seperti Sendeng Atas dengan gelek masuk ke dalam bagi membuat pukulan. Nampak juga janggalnya. Pukulan menjadi lambat dan tangan kiri yang menepis akan mengambil masa yang panjang untuk sampai ke bahagian pinggang.

Begitulah hebatnya buah ini. Ramai yang berharap dapat menggunakan buah ini dalam pelbagai bentuk dan jenis tumbukan. Tidak kira tumbukan tersebut datangnya dari atas atau bawah. Namun begitu perbincangan tersebut tidak memakan masa yang lama. Banyak masalah dan susahnya untuk menyesuaikan kaedah mengambil buah Lintau dengan corak tumbukan yang lain. Kehendak sukatan pelajaran perlu dituruti bersama. Tidak boleh dibahas-bahas lagi. Ikut sahaja. Tumbukan bawah yang diarah maka bawahlah empunya buah tersebut.

Gerak asas buah ini sama seperti terlak. Tangan kanan berperanan sebagai maksud awasan. Tiada pukulan oleh tangan kanan tersebut. Kurang isu berbanding dengan buah Terlak. Manakala, kaki kanan masuk ke pelipat musuh. Secepat mungkin, tangan kiri kita akan menampar bahagian pinggang pasangan dengan kuat, diikuti dengan pukulan-pukulan yang lainnya.

Pukulan pertama dalam buah Lintau memberi kenangan kepada saya. Saya adalah penerima pertama dalam setiap buah yang diperturunkan Ustaz dalam kelas kami. Kesan pukulan secara menampar pada bahagian pinggang adalah amat mengejutkan. Akibat pukulan, saya dapat rasakan betapa bintang berkerlipan pada pandangan. Pukulan juga menimbulkan rasa umpama wujud aliran letrik di badan.

Begitulah hebatnya pukulan Lintau yang membawa kesan yang hebat pada pasangan. Tamparan yang pertama itu adalah tersangat mustahak. Kuasainya secara bersungguh-sungguh. Pastikan pukulan hanya dibuat di bahagian pinggang. Tempat tersebut tersangat lembut dan tidak ada penahan tulang.

Semasa beri buah Lintau, saya akan membuat pukulan keras di bahagian berkenaan. Bagi penuntut merasa. Tapi tidaklah hingga menyebabkan kecederaan pada mereka. Walau bagaimanapun pukulan itu tidak boleh berulang sentiasa. Saya akan suruh pasangan yang kena pukulan supaya telentangkan tangan kiri di bahagian berkenaan. Maka bolehlah pesilat membuat tamparan keras mengikut kehendaknya. Hal yang demikian bagi mengelakkan kecederaan. Boleh berlatih berkali-kali.

Ketika ini, berdasarkan pemerhatian, tempat pukulan sudah merata-rata. Ada tampar di bahagian belakang. Kumpulan yang suka akan belakang. Ada yang menampar betul-betul membelakang perut. Diikuti dengan pukulan tangan kanan di bahagian perut. Tangan kiri menampar belakang perut, tangan kanan pesilat menampar pada bahagian depan perut. Maka bernamalah pukulan Lintau sebagai pukulan perut.

Ustaz pernah memberitahu saya, pada awal pelajaran buah Lintau yang diperoleh Ustaz daripada Pak Ya, pukulan buah ini hanya setakat di bahagian pinggang sahaja. Setelah ’dicungkil’ Ustaz, barulah Pak Ya membenarkan wujudnya kesinambungan dengan pukulan-pukulan yang berikutnya.

Hal yang demikian membuktikan betapa pukulan pertama dalam buah Lintau adalah amat mustahak dan perlu dibuat dengan penuh yakin, tepat dan kemas. Proses berikutnya merupakan proses iringan bagi mematikan pergerakan pasangan kita. Pukullah seperti mana yang diarahkan Jurulatih. Diikuti pula dengan pukulan dengan menggunakan tangan kiri. Pukulan tangan kiri itu tidak perlu dibuat dengan sebenarnya. Memadai pukulan angin. Hal yang demikian bagi mengelakkan kecederaan pada pasangan. Tentunya pukulan tangan kiri kita amat bahaya jika terkena bahagian muka.

Ketika pasangan kita jatuh, maka kaki kiri akan setapak ke depan. Langkah kaki kiri itu perlu dilakukan kerana jatuhan pasangan kita secara automatik akan berada jauh sikit daripada kita. Hal yang demikian amat berbeza dengan jatuhan buah Hentak dan buah Gari pertama. Kedua-dua buah itu menjadikan pasangan kita datang merapatkan badan ke arah kita secara automatik. Maka mudahlah kita membuat kuncian atau pukulan.

Setelah pasangan jatuh dan kaki pesilat rapat ke badan, pergerakan kita cukup setakat itu. Pergerakan tersebut sama dengan gerakan buah Pertama. Perhatikan tindak balas berikutnya daripada pesilat. Ketika pelajaran buah jatuh, sifat kita jangan gopoh. Jangan inginkan aksi yang hebat. Tugas pesilat ialah menguasai pelajarannya. Tenangkan diri untuk mendapatkan pelajaran.

Walau bagaimanapun, dalam pertunjukan, pasti aksi menunggu akan kurang menyakinkan penonton. Sebaliknya, setelah pasangan dikenakan pukulan dan ketika pasangan tersebut jatuh, pesilat akan terus melakukan pukulan. Tangan kanannya akan membuat tumbukan. Jarang sangat yang saya lihat pesilat berkenaan membuat hentakan kaki. Namun begitu, pukulan tangan menampakkan kehebatan dalam pertunjukan. Ramai penonton yang memberikan tepukan. Rasa puas di hati pesilat berkenaan.

Buah Lintau adalah kaya dengan pukulan. Itu sebabnya ketika mengajar buah Lintau, para Jurulatih perlu mewujudkan bentuk awasan. Jaga keselamatan penuntut terutamanya murid sekolah. Seperti yang saya tegaskan, anjurkan pasangan silat supaya melindung bahagian yang akan ditampar dengan tangan kirinya. Telentangkan tangan. Tapi jangan bayangkan hal yang bukan-bukan. Dengan adanya alas tangan maka hal yang demikian membolehkan pesilat membuat pukulan dengan sepenuhnya tanpa mendatangkan kemudaratan jangka panjang kepada pasangannya. Pukulan kedua dan ketiga juga perlu berhati-hati. Silap tampar akan menyenakkan badan. Oleh sebab buah Lintau adalah dalam proses yang berterusan dan amat pantas, sesudah membuat buah baru kita tahu akan kecederaan yang diterima. Itu sebab kita perlu berhati-hati ketika berlatih dengan buah Lintau.

Sekian dan sambung lagi.

Tuesday, September 14, 2010

KEPUTUSAN TERLAK.

Silat Terlak adalah merupakan salah satu silat Melayu yang dikatakan asli. Perkataan Terlak kadang kala dieja sebagai Teralak. Dalam kamus, terlak juga dimaksudkan sebagai silat atau pencak. Oleh itu, silat Terlak bermaksud juga silat pencak. Sebut saja pencak, maka tergambar gerak-gerak bunga yang begitu indah dan lembut. Saya kurang pengetahuan tentang jenis silat ini berbanding dengan sedikit pengetahuan yang ada tentang silat Lintau. Saya ada pengalaman dalam persilatan Lintau.

Semasa menuntut dahulu, ketika diperkenalkan buah Terlak, kami nampak ada sedikit kejanggallan. Setelah sekian lama mengalami pemberian buah Kilas Depan, maka baharulah jenis tumbukan yang sama digunakan kembali. Kami diarah supaya membuat tumbukan di bahagian bawah. Kali ini kami difahamkan bahawa serangan Terlak lebih berbentuk serangan kerambit.

Walau bagaimanapun, apabila kami ingin membuat tumbukan secara kerambit, kami dilarang berbuat demikian. Pada kami, kalau dikatakan hanya untuk serangan kerambit maka buatlah tumbukan cara kerambit. Kalau suruh tumbuk bawah maka arahkan saja tumbukan di bawah. Jangan kait-kait dengan benda lain umpamanya kerambit. Semasa kelas, Ustaz pun tak cakap. Cuma penerangan dari Jurulatih yang cuba melogikkan penuntut tentang tumbukan tersebut. Namun begitu kami akur atas arahan yang diberi walaupun timbul beberapa persoalan dalam hati.

Asas buah Terlak tersangat mudah dan ringkas sekali. Gerak asasnya tidak menampakkan kasar atau keras. Asas buah Terlak lebih senang berbanding dengan jatuhannya. Setelah diri dibiasakan dengan pukulan yang mengiringi kaedah, pelajaran buah ini begitu hambar sekali. Kehebatannya belum diketahui kalau setakat pelajaran asasnya.

Ketika pelajaran jatuh, buah Terlak boleh digolongkan dalam kategori buah yang susah dibuat. Asasnya mudah tapi sambungannya agak payah. Oleh itu, untuk membuat jatuhan buah Terlak pesilat perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan melalui latihan yang bersungguh-sungguh. Buahnya agak ’berbelit’ dan memerlukan kefahaman yang kuat.

Kaedah C yang digunakan perlu diterangkan dengan berhati-hati dan jelas. Hal yang demikian bagi mengelak fahaman pesilat yang menganggap kaedah C tersebut sebagai membangkang. Jika membangkang selalunya kita akan hubungkan sebagai gerak sukan. Kita tetap berpegang dengan konsep bahawa setiap gerak yang terdapat dalam SC, tidak menggunakan gerak membangkang. Oleh itu, kita tegaskan kepada pesilat. Kaedah yang disertai dengan gelek maka kita tafsirkan bukan gerak membangkang. Bererti juga bahawa SC bukannya silat sukan seperti mana yang dianggap pada silat olahraga. Buah-buah yang bersifat gelek berserta kaedah terdapat juga pada buah Sendeng Atas dan Lintau.

Membuat buah ini pada pelajaran asas memerlukan pergerakan yang bersepadu antara tangan kiri dan tangan kanan berserta gerak kaki kiri. Bentuk badan pesilat perlu mengereng sedikit sesuai dengan konsep gelek silat ketika mengambil kaedah. Kaki kiri hendaklah masuk lurus ke pelipat pasangan silatnya. Tangan kanan pesilat mengawasi bahagian bahu kiri pasangan dalam keadaan tangan kita lurus, sesuai dengan gerak lurus semula jadi. Badan pesilat berada dalam posisi yang tegap.

Kita perlu mengingatkan pesilat bahawa tangan kanan pesilat bukannya semata-mata berperanan untuk ’memakan’ bahu kiri pasangan. Lebih-lebih lagi jika badan pasangan itu berada dalam keadaan mengereng semasa membuat tumbukan. Hal ini ditegaskan kerana terdapat dalam kalangan Jurulatih yang menyuruh pesilatnya menumbuk dalam keadaan memberi badan supaya pasangannya mudah membuat pukulan di bahu pasangan. Lucu pun ada. Boleh arah-arah pasangan menumbuk ikut arahan pesilat. Masa Pasung Kemanga, diarahkan tumbuk lajak. Masa Terlak diarah tumbuk secara beri badan. Semuanya gara-gara nak menyenangkan diri. Golongan ini apabila berada dalam situasi pergaduhan akan menyuruh musuhnya menumbuk mengikut arahan. Aparahh.

Pada hal peranan tangan kanan pesilat itu adalah bermaksud awasan dan tetap dalam proses yang berterusan bagi menolak bahu pasangannya bagi membuat kuncian. Kerap kali ketika saya menumbuk sebagai ujian, tangan kiri saya akan menyusul untuk membuat pukulan. Akan tetapi, pada pesilat yang mengikut arahan, tentunya perbuatan saya itu tidak mendatangkan kesan. Tangan kanan pesilat tersebut telah bersedia memberi pelindungan.

Tolakan bahu kiri pasangan adalah secara kejutan. Kerap kali nampak seolah-olah pukulan. Tapi ada Jurulatih yang mengatakan, pukulan di bahu untuk mencederakan bahu pasangan. Dikatakan bahawa kecederaan itu memungkinkan terkeluar bahu pasangan, agaknya. Kalau bahu pasangan atau musuh cedera teruk, nak tangkap apa lagi. Ludahkan muka dan terus pergi. Tak susah-susah tangan perlu dikunci. Nak kunci apa lagi kalau tangan kiri telah teruk dicederakan.

Tangan kiri pesilat berperanan menyambut tangan kiri pasangannya untuk membuat kuncian. Itupun kalau masih ada bahu lagi. Tidak tertanggal akibat pukulan.

Kuncian pada tangan kiri tersebut adalah secara mengendung tangan pasangan. Dalam proses yang berterusan ini kaki kiri yang melangkah akan memainkan peranan untuk menemukan bahagian lutut dengan pelipat pasangan kita. Teknik yang diterangkan selama ini tidak ada percanggahan pendapat. Maka teruskan membuat buah dengan gambaran buah berkenaan.

Setelah kuncian dapat dilakukan maka pesilat akan berada dalam situasi yang lebih selamat. Ekorannya, pesilat akan teruskan sambungan dengan perbuatan jatuhan. Maka teknik jatuhan adalah sama dengan buah-buah jatuhan yang sedemikian rupa. Perkara utama semasa membuat buah ini, pastikan pergerakan pesilat dalam proses yang berterusan dan jangan sekali-kali suka bermalam. Semasa jatuhan, kaki kanan pesilat tetap tidak ke mana-mana, melainkan membuat jatuhan di tempat yang sama. Akan terasa sakitnya pada pasangan kita.

Semasa kuncian, tangan kiri pesilat yang mengampu tangan kiri pasangan akan berperanan untuk mempastikan pasangannya ’merana’. Lagi tinggi tangan kiri pesilat diangkat maka lagi sakit pasangannya. Pendek kata, kalau tangan kanan pasangan melilit tengkok pesilat, tidak akan mendatangkan kemudaratan. Kuncian kemas pada tangan kiri akan melonggarkan lilitan tersebut.

Namun begitu, ketika membuat kuncian, tangan kanan pesilat akan memegang tangan kanan pasangannya dan diletakkan atas bahu pesilat. Sama seperti buah Selendang. Cuma, jangan ada lurutan tangan seperti mana buah Selendang. Tak ada dalam pelajaran yang saya tuntut. Mungkin kita terkeliru dengan pertunjukan Terlak yang menggunakan senjata. Perlu lurutan untuk mendapatkan senjata bagi ditikam di dada atau di mana-mana. Kalau ditikam mana perlu dipegang hujung jari lagi. Musuh telah kecundang.

Buah Terlak kerap kali digunakan dalam pertunjukan pisau. Biasanya pesilat akan menggunakan dua bilah pisau untuk menyerang. Satu pisau di tangan kanan dan satu pisau lagi di tangan kiri. Ketika menikam, pesilat berkenaan akan menampakkan tikaman secara susunan. Mulakan tikaman kanan. Kemudian susuli pula tikaman tangan kiri. Nampakkan turutan. Apabila pesilat ’ditangkap’ melalui buah Terlak, jatuhannya amat cantik dengan kedudukan pisau di hujung tangan dan sebilah lagi di celah badan. Pisau di tangan kanan akan diambil dengan teknik yang betul, diikuti dengan tusukan di bahagian dada pasangan. Sungguh mengerikan pada para penonton tapi tetap menghiburkan. Teringat pertunjukan pisau maka akan teringat pasangan Tombei dan Nordin. Amat hebat dalam pertunjukan berkenaan.

Sekian.

Sunday, September 12, 2010

KEPUTUSAN PASUNG KEMANGA.

Buah Pasung Kemanga kurang saya minati semasa menuntut dahulu. Melakukan gerak buah ini terdapat sedikit kesukaran. Biasanya pergerakan kita terpaksa bermalam sebelum pasangan kita dapat dikunci dengan sempurna. Pukulan kita pada genggaman tangan pula mengambil masa. Memerlukan saat berbanding dengan ketika. Buah ini tersangat popular jika diiringkan dengan senjata pendek seperti pisau.

Namun begitu setelah dibuat kuncian, pelakuannya amat menarik hati. Kalau dalam pertunjukan, biasanya pesilat akan menggunakan senjata pisau. Setelah kuncian, pisau dapat digunakan secara menyembelih leher musuh. Aksi itu sangat menyeramkan penonton. Mungkin penonton membuat kesimpulan bahawa di sebalik peradaban, ada kalanya kita boleh berada di tahap yang ’kejam’ tidak ada keperimanusiaan.

Istilah pasung tidak asing bagi kita. Pasung dirujuk sebagai alat daripada kayu berlubang yang dipasang pada kaki atau tangan atau leher orang salah atau orang gila sebagai hukuman supaya tidak lari. Kalau disesuaikan dengan gerak buah ini maka pengertian istilah itu adalah tepat. Kedua-dua tangan musuh akan terkunci, melambangkan tangan tersebut telah dipasung. Walau bagaimanapun, istilah ’kemanga’ sukar dikesan. Saya berpandangan bahawa Kemanga merupakan nama khas, khusus merujuk pada satu-satu perkara sama ada berbentuk gerak atau objek. Hanya pereka namanya sahaja yang lebih faham dan lebih arif tentang pengertiannya. Pasti ada pengalamannya yang tersendiri. Pada kita, kalau susah sangat nak faham istilah, maka lebih baik faham akan cara-cara mengambil buah itu dengan sempurna.

Menurunkan buah ini pada para penuntut sangat tidak disukai oleh Jurulatih yang kekurangan ilmu dan kekurangan pengalaman. Aspek kuncian lebih mudah dilakukan berbanding dengan kaedah memulakan gerak mengambil buah. Hal yang demikian telah menyebabkan timbul gejala, para Jurulatih memudahkan tumbukan pesilat bagi menyenangkan diri mereka mengambil buah. Pada jangka masa panjang perbuatan tersebut amat merugikan dalam konteks mengekalkan gerak asal dalam SC.

Oleh kerana inginkan kecantikan dan kesenangan ketika membuat buah, ada penuntut yang disuruh tumbuk lajak. Nampak sangat haru birunya. Mana mungkin kita beza-bezakan tumbukan penuntut yang sama pada buah-buah tertentu. Berubah-ubah dan tidak tetap pendirian. Pada buah lain, pesilat disuruh tumbuk sebagai pesilat SC. Akan tetapi untuk buah Pasung Kemanga, pesilat disuruh pulak menumbuk sebagai musuh dengan cara melajakkan tumbukan. Satu lagi sifat membelit fikiran penuntut.

Itulah gara-gara mengambil mudah pada pembelajaran SC. Golongan yang tidak tetap pegangan. Pasti golongan ini adalah jenis mereka yang mencampuradukkan penggunaan tumit dan hujung kaki. Jenis tak tetap pendirian. Agaknya.

Kaedah mengambil buah Pasung Kemanga agak pelik sedikit. Banyak persoalan yang telah ditimbulkan oleh penuntut. Logik mereka sememangnya ada. Dalam hal ini, pandai-pandailah Jurulatih memberi penerangan berdasarkan prinsip SC yang ada. Jangan baran ketika memberi jawapan dan penerangan.

Jika kita cuba hubungkan cara mengambilnya dengan kaedah kita yang empat, agak mencelarukan. Tiada kaedah tepat yang boleh kita kaitkan dengan buah ini. Kalau dikatakan untuk mengambil buah ini perlu menggunakan kaedah gelek, juga akan mencelarukan ketetapan fikiran penuntut kita selama ini. Pesilat telah difahamkan bahawa gelek bukanlah satu kaedah utama, melainkan gerak sokongan pada kaedah-kaedah kita yang sebanyak empat tersebut.

Walau bagaimanapun, agak sukar juga untuk menerangkan prinsip mengambil buah ini pada mereka yang mementingkan ketepatan istilah. Namun begitu, pembelajaran buah Pasung Kemanga setakat ini tidak menimbulkan isu yang besar. Malah rujukan kaedah ketika mengambil buah Pasung Kemanga tidak menimbulkan isu yang besar. Ikut saja arahan Jurulatih.

Buah Pasung Kemanga diambil dengan cara kita gelek. Gelekan tersebut perlu dibantu oleh gerak kaki kanan. Kaki kiri tetap statik pada tempatnya. Peranan kaki kanan ialah berpusing dengan menggunakan hujung kaki. Cuma peminat tumit kaki masih tetap dengan minat penggunaan tumit pada buah ini, agaknya.

Kadar pusing kaki kanan nampaknya menimbulkan beberapa pendapat. Dalam tulisan ini, saya akan menerangkan gerak pusing tersebut berdasarkan apa yang saya dapat dan saya ajar dari zaman dulu-dulu hingga sekarang. Ketika gelek, tangan kiri kita tidak menampar dengan Kaedah A. Melainkan kita sambut penumbuk yang tiba pada bahagian siku pasangan sambil kaki kanan kita bergerak pusing. Tangan kiri yang menyambut, jangan cuba menyiku rusuk pasangan untuk mematahkan tulang rusuk. Nyahkan mimpi berkenaan.

Kaki yang berpusing perlu lurus semula dengan kaki kiri. Sama seperti ketika menunggu pasangan. Kalau dikirakan darjah adalah seratus lapan puluh darjah. Di sinilah lahirnya perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat ini, saya kira ada kaitan dengan latihan papan sekeping. Bagi menyesuaikan kehendak papan sekeping maka ada yang menegaskan supaya kaki dipusing hingga tiga suku darjah daripada keseluruhan tiga ratus enam puluh darjah. Maknanya kaki pesilat berpusing hingga berada dalam kedudukan selari dengan pasangannya. Maknanya juga, perbuatan tersebut akan membelakangkan badan belakang kita dengan badan belakang pasangan yang membuat tumbukan. Pastinya kehendak mereka ialah punggung bertemu punggung. Hai ya! Cukuplah sekali punggung bertemu punggung pada buah Kilas Belakang. Itu pun bukan keseluruhan punggung. Hanya sebelah sahaja dalam keadaan gerak pasangan terkunci dan kita masih boleh memandang pasangan kita.

Mana boleh nak bertemu punggung memanjang. ”Brother An punya geng ka”. Gerak belakang itu sangat menyimpang daripada kefahaman SC. Janganlah kita membelakangkan pasangan dengan belakang kita. Konsep kita ialah berada di bahagian belakang. Berada di bahagian belakang bermakna kita nampak belakang pasangan kita. Tapi awas. Bab-bab belakang jangan tumpu pada anunya seperti brother kita. Nanti jadi kes.

Ketika gelek, tangan kanan kita akan menampar penumbuk pasangan. Tekankan konsep tampar yang amat berbeza dengan konsep tepuk. Tamparan yang kemas dan padat akan menyebabkan terasa semacam ada aliran letrik pada tangan pasangan. Itu sebabnya buah ini amat sesuai disertakan senjata. Apabila ditampar pada pemegang senjata tersebut, secara automatis genggamannya akan terbuka.

Proses gerak tetap berterusan. Jangan bermalam di mana-mana. Ketika proses tamparan, tangan kiri bersegera mencengkam atas bahu atau lengan kanan pasangan. Bahagian pelipat kaki kanan pasangan kita akan dipijak dengan menggunakan kaki kiri. Apabila dapat kuncian maka badan pasangan kita akan dirapatkan ke badan. Sejauh mana kita dapat ’sakitkan’ pasangan, banyak bergantung pada kekemasan tangan dan kaki kiri kita semasa membuat kuncian.

Ketika-ketika tertentu, saya akan menumbuk para penuntut. Semasa menumbuk, saya akan memerhatikan jangka masa mereka membuat pukulan dan tangkapan. Jika masa yang diambil ’tersangat lama’ dalam konteks persilatan, maka saya akan tumbuk sekali lagi. Sakit juga tangan saya yang ditampar kerana menumbuk berulang kali.

Kuncian pesilat akan saya uji dengan menggunakan tangan kiri. Kalau tangan kiri boleh membuat cengkaman pada badan pesilat maka kuncian tersebut kurang ada erti. Kemaskan kuncian. Dalam kelas kemahiran, ketangkasan, ketepatan dan kekemasan mengambil buah akan saya titik beratkan. Gelekan, pukulan, kuncian tangan kiri pasangan dan perbuatan tekan pelipat perlu ada kesinambungan dalam kiraan ketika. Itulah resepi yang saya terima tentang buah Pasung Kemanga dari dulu hingga sekarang. Selamat mencuba. Sekian.

Wednesday, September 8, 2010

BUAH PARAS.

Ketika mendapat buah ini, didapati gerak asasnya begitu mudah dan ringkas. Pada pandangan saya, kalau gerak kaedah buah ini dibuat secara tepat, buah yang terhasil amat membahayakan pasangan. Konsep patah, pengsan atau mati terdapat dalam buah Paras. Namun begitu, semua kesan tersebut bergantung pada gerak pukulan yang kita lakukan, sama ada gerak tetakan atau tepukan. Pergerakan asasnya ada dua pecahan. Ketika jatuhan akan menjadi tiga buah. Buah ini mempunyai kuncian yang agak kompleks, berbanding dengan buah-buah yang lain . Masa yang lama akan diambil bagi memastikan pesilat berjaya membuat kuncian dengan kemas dan tepat.

Istilah ’paras’ juga merupakan istilah biasa. Tiada istimewa namanya dalam konteks nama-nama buah dalam persilatan Melayu. Paras boleh dikaitkan juga dengan istilah aras. Istilah-istilah itu dapat dikaitkan dengan had sesuatu yang tidak tinggi dan juga tidak rendah. Walau bagaimanapun, paras juga boleh dikaitkan dengan rupa. Saya berpendapat, buah-buah Paras juga dapat menggambarkan rupa atau lambang . Misalnya pada pecahan ketiga. Pecahan tersebut merupakan bentuk paras tulisan jawi ’Ahmad’. Mungkinkah itu suatu kebenarannya. Tak berani cakap.

Mengambil buah ini dengan menggunakan Kaedah A, menyerupai konsep Kaedah A dalam buah Pertama. Mungkin yang nampak bezanya ialah peranan tangan. Pada buah Pertama, tangan yang menepis dapat berperanan dengan sepenuhnya. Manakala pada buah Paras, genggaman tangan itu tidak akan sepenuhnya ketika tangan pasangan ditarik ke bawah. Jari tangan kita pula yang akan lebih berperanan.

Kita difahamkan bahawa gerak tangan kiri dengan kaki kanan atau kaki kiri perlu serentak. Sebagai Jurulatih, eloklah kita benar-benar menguasai kefahaman ’serentak’ tersebut. Seperti yang tegaskan terlebih dahulu, istilah serentak pasti merujuk pada dua atau lebih gerak yang dikira bersepadu. Kalau kita berpandu pada konsep SC, gerak tidak boleh berlaku sebanyak dua atau lebih dalam satu ketika. Istilah ketika perlu difahami dengan sepenuhnya. Perbuatan Kaedah A dan gerak kaki ada beza pada ketikanya. Walau bagaimanapun, berdasarkan mata kepala, perbezaan gerak tersebut tidak dapat dikesan. Tidak nampak langsung mana dulu dan mana kemudiannya.

Tangan yang ditepis perlu ditolak ke bawah dalam proses yang berterusan. Kaki kiri atau kaki kanan akan melangkah ke depan berdasarkan pecahan. Jauh atau dekat langkahan kaki pesilat itu, banyak bergantung pada tubuh badannya. Kita perlu akui betapa panjang badan dari pusat ke atas tidak mungkin sama dengan panjang badan dari pusat ke bawah. Terdapat pesilat yang pendek badan tapi kaki panjang. Begitu juga sebaliknya. Ada yang nampak tinggi tapi kakinya pendek sedikit berbanding dengan yang panjang. Kesemua bentuk itu pastinya banyak mempengaruhi gerak tangan dan gerak kaki.

Tangan kanan pesilat berperanan membuat pukulan. Tapi, cara pukulan juga telah menyebabkan perselisihan. Berselisih tentang bentuk pukulan sama ada tetakan atau gerak tepukan. Semuanya gara-gara kekurangan ilmu. Pada pandangan saya, persoalan tersebut tidak perlu menjadi isu utama. Pada buah Pertama, Ustaz pernah menggunakan pukulan dengan pelbagai cara. Sekurang-kurangnya pukulan secara genggaman penumbuk atau secara cucukan tangan. Namun begitu dalam kalangan Jurulatih, rata-rata menggunakan tangan yang genggam. Kaedah cucukan tangan pada ketiak pasangan adalah tidak popular.

Walau bagaimanapun, pada buah Paras, pukulan bahagian itu adalah merupakan bahagian yang terpenting. Sambungan gerak seterusnya tidaklah sepenting bahagian kaedah dan pukulan. Menetak atau menepuk membawa implikasi pada musuh dalam konteks pukulan yang mantap dan tepat. Dalam situasi sebenar, menetak perlu di tengkok. Tetakan di tengkok boleh membawa kematian. Sama kesan dengan pesalah yang dijatuhi hukuman gantung. Manakala perbuatan menepuk hendaklah di bahagian atas sikit daripada tengkok. Kena sasarannya maka musuh akan jatuh pengsan. Setakat itu konsep mati dan pengsan amat ketara pada buah Paras.

Pukulan jenis pertama iaitu secara tetakan, belum pernah saya lihat hasilnya. Tak berani pun nak lihat atau buktikan. Takut ke penjara. Manakala pukulan secara menepuk, pernah nampak hasil yang nyata. Ada pengalaman melihat pesilat yang jatuh tersungkur umpama babi hutan yang menyongdol ke depan. Kalau dilakukan pada pesilat, pasti pengsan.

Berdasarkan betapa bahayanya pukulan tersebut maka kerap kali saya lihat para Jurulatih menggalakkan pesilatnya tepuk atau tetak di bahagian belakang badan. Tepuk tetap tepuk. Cuma yang berbeza dengan buah Pertama, kerana takutkan kemudaratan maka pukulan diubah dari genggam kepada buka tangan. Manakala dengan buah Paras, gerak pukulannya tetap sama. Cuma kita alihkan tempat bagi memenuhi keperluan membuat pukulan. Saya sangat berharap, Jurulatih yang ada perlu faham akan arahan pukulan yang diberikan. Tahu akan sebab dan akibatnya.

Semasa menurunkan buah ini, istilah hentakan dan henyakan adalah istilah-istilah yang sentiasa bermain di bibir saya. Selepas pukulan pada setiap pecahan, siku kanan akan membuat hentakan bagi mengambil buah. Setiap buah itu dikejutkan dengan henyakan. Mungkin sukar difaham dalam ruangan ini tanpa ditunjuk gerak praktisnya.

Pada pecahan pertama, sebelum tangan kanan kita terlentang untuk mengambil tangan pasangan, peranan hentakan dan henyakan perlu ada. Kedua-dua gerak itu menghasilkan kejutan. Pastikan siku tangan kanan kita betul pada tempatnya. Memang sejengkal dari mata. Jika tidak betul kedudukan, ketika kita mengambil tangan kirinya dan membuat gerak seterusnya, badan pasangan mungkin berpusing dan hal yang demikian akan melonggarkan kuncian. Kuncian buah tersebut tidak menjadi. Sebagai Jurulatih, perbetulkan kuncian pasangan pesilat berkenaan tanpa perlu diarah menumbuk sekali lagi. Setelah sempurna kuncian maka eloklah pesilat menegakkan badan. Lagi nampak kekemasan kunciannya.

Untuk pecahan yang kedua, gerak kaki dan gerak tangan sentiasa dalam proses yang berterusan. Tangan dan lutut akan turun serentak. Keseluruhan badan pasangan kita akan turun setelah dikenakan pukulan, hentakan dan henyakan. Dengan mudah kita memasukkan tangan pasangan kita dari belakang. Kedudukan kaki kanan hendaklah tegak, manakala kaki kiri akan berdiri atas lututnya. Apabila tangan kiri kita masuk melalui celah leher pasangan maka biarlah tangan itu membuat capaian pada tangan kanan kita. Bahagian tangan yang dicari adalah berdasarkan kesesuaian dan gerak semula jadi. Ketika kita menegakkan badan pasti akan kedengaran raungan.

Pecahan tiga menampakkan perbezaan pada kaki pesilat. Setelah dikenakan pukulan, hentakan dan henyakan maka tangan kanan pasangan akan dihantar jauh ke dalam. Kedatangan tangan itu ’disambut’ oleh kaki kiri kita. Ketika itu kaki kiri kita akan tegak, manakala kaki kanan pula yang akan berdiri atas lutut. Setelah kemas kuncian awal maka tangan kanan kita akan berperanan mengemaskan kuncian sebelum kaki kiri kita pijak tangan kanan pasangan. Apabila kita berdiri kedua kaki kita berperanan mengawal gerak kuncian atas pasangan. Pasangan kita terkunci dan menampakkan paras keseluruhan kuncian perkataan ’Ahmad’. ”Patutlah digelar buah paras”, kata hati ketika melihat dan membuat buah pecahan ini. Jika lutut pasangan dipijak, tangannya yang terkunci pasti patah. Sempurnalah konsep mati, pengsan dan patah seperti yang dilaung-laungkan tentang kehebatan SC. Pada buah Paras ternampak akan keistimewaannya itu.

Semasa latihan, para Jurulatih perlu menegaskan betapa buah Paras amat berbahaya dan perlu dilatih tanpa cuba main-main. Jika hal yang demikian tidak diambil peduli, maka tinggikan suara. Tindakan kita itu adalah tersangat penting bagi menjamin keselamatan penuntut dan keselamatan kita juga daripada didakwa dakwi, terutamanya ketika mengajar murid-murid sekolah. Hal yang demikian kerana dalam buah Paras kesan-kesan yang serius iaitu patah, pengsan dan mati adalah terdapat dalamnya. Kita menyakini akan kesan-kesan yang bakal menimpa jika buah Paras digunakan dengan sempurna.

Sekian setakat ini. Selamat Hari Raya. Cuti lama.

Tuesday, September 7, 2010

BUAH GARI.

Saya suka membincangkan tentang istilah yang ada dalam buah-buah SC. Ada antara istilah tersebut begitu asing pada diri saya atau istilah tersebut berupa istilah biasa yang mudah dan kurang melambangkan identiti persilatan dulu-dulu. Hal yang demikian termasuklah dengan istilah ’gari.’

Berdasarkan kamus, gari bermaksud sepasang gelang daripada logam yang digunakan untuk membelenggu pergelangan tangan. Kalau dihubungkan dengan silat kita, jelaslah maksud gari dapat dikaitkan dengan prinsip buah Gari dalam SC. Kita menggunakan pergelangan tangan musuh bagi mengikat pergerakan tangannya daripada bertindak.

Buah Gari mempunyai dua pecahan berdasarkan Kaedah B. Sifat asas kaedah ini mungkin ada persamaan ketika kita membuat buah Kuntau Jatuh, Kuntau Kanan Gantung dan buah Ali Patah Sudah. Ketika pelajaran buah Gari, penggunaan kaedah B tidak lagi asing pada kita. Telah banyak buah sebelum ini yang menggunakan kaedah B. Sepatutnya para penuntut semakin yakin dan cekap menggunakan kaedah itu dalam melakukan gerak membuat buah-buah tersebut.

Perbezaan antara Gari dengan buah-buah lain yang berasaskan kaedah B ialah pukulan. Buah Gari tidak mempunyai pukulan berdasarkan isi pelajarannya. Oleh itu, ketika menggunakan buah ini, aspek-aspek yang selalu saya tekankan iaitu ketangkasan, kekemasan dan ketepatan perlu diberi penekanan. Jika para penuntut gagal menguasai ketiga-tiga aspek tersebut, pasti akan menampakkan pergerakan yang bermalam. Pasangan akan menunggu dan hanya memerhatikan rakannya membuat buah tanpa apa-apa tindakan, kerana arahan. Pada hal, dalam situasi sebenarnya, kelembapan gerak tersebut pasti akan membawa kemudaratan.

Menggunakan Kaedah B memerlukan kesepaduan gerak tangan dan gerak kaki kanan. Perbuatan kaki dan tangan kanan adalah serentak. Peranan tangan kanan pesilat ialah mencapai tangan kiri melalui celah tangan kanan pasangannya. Ketika itulah masalah gerak pada pesilat tersebut akan berlaku. Untuk mencapai tangan kiri tersebut bukan mudah dan memerlukan teknik yang betul. Jika teknik tersebut tidak tercapai, akan menyebabkan pesilat itu menggunakan tangan kirinya sendiri bagi membantu menangkap tangan kiri pasangannya. Hal yang demikian sangat tidak digalakkan. Oleh itu Jurulatih perlu berusaha memperbaiki teknik pesilat itu untuk memudahkannya mencapai tangan kiri pasangan silatnya.

Saya perhatikan, oleh sebab perbuatan untuk mencapai tangan kiri pasangan pesilat itu agak sukar, akan menyebabkan gerak pesilat itu akan bermalam terlalui lama. Konsep bermalam itu saya maksudkan dalam konteks gerak silat. Berhati-hatilah dengan situasi itu kerana hal yang demikian amat membahayakan diri pesilat. Kepala pasangan kita ’hidup’ dan perlu diawasi gerak kepala itu dengan cara memberikan juga tumpuan dalam proses menangkap buah.

Proses seterusnya ialah menarik ke arah atas tangan kiri pasangan pesilat itu melalui ketiak kanannya. Lagi cepat proses itu berjalan maka lagi ’selamat’lah pesilat itu daripada tindak balas pasangannya. Tariklah ke atas tangan pasangan kita seberapa daya yang boleh dalam gerak semula jadi, tanpa menggunakan kekuatan yang melampau. Seperti yang dinyatakan, kepala pasangan kita, memungkinkan gerak yang mengancam keselamatan pesilat itu. Itu sebabnya perbuatan ’secepat kilat’ dalam proses mematikan gerak kepala pasangan kita perlu dilakukan dengan tangkas, kemas dan tepat. ’Mematikan’ gerak kepala pasangan pesilat itu telah melahirkan dua pecahan dalam buah Gari. Pecahan tersebut melambangkan fokas yang berlainan bagi mematikan gerak.

Bagi pecahan pertama, tangan kiri akan melilit leher pasangannya sebelum memaut pada leher sendiri. Sekali lagi peranan tangan kiri pesilat yang melilit itu perlu difahamkan geraknya. Peranan tangan itu juga adalah mengawasi gerak kepala pasangannya bagi memudahkan kepala kita masuk rapat. Sebaik sahaja kepala kita masuk rapat, kuncian yang dibuat perlu dikemaskan secara kita menegakkan kedudukan leher kita. Dalam hal ini ketinggian pesilat akan banyak mempengaruhi kekemasan kuncian tersebut. Kalau ketinggian tidak seimbangan antara pasangan pesilat itu maka pelbagai kemungkinan ’sakit’ akan berlaku. Pastinya jika pasangan pesilat itu lebih pendek maka beliau akan menampakkan ’gerak rayu’ secara automatik supaya melonggarkan kuncian.

Kepala pesilat itu juga tidak akan masuk rapat jika kepala pasangannya tidak dikunci pergerakannya dengan kemas. Hal yang demikian sangat perlu diberi perhatian oleh Jurulatih. Kadang kala saya sendiri akan menguji kuncian yang dibuat itu. Tangan kiri saya akan menolak muka pasangan silat yang diuji. Kalau tangan saya itu berjaya mengena muka pasangan silat maka kuncian yang dibuat adalah tidak kemas. Secara spontan saya arahkan bahagian-bahagian yang perlu dikemaskan termasuk peranan siku kirinya yang melilit tengkok. Kerap kali ketika itulah saya akan meninggikan suara apabila penuntut yang saya tumbuk tersebut agak lembab sikit untuk membuat tindakan.

Jangan kira ambil mudah buah Gari ini. Nampak tersangat hebat, tapi jika tidak dilakukan dalam fikiran ’sedar’ akan membawa bahaya pada diri pembuatnya. Pastikan penuntut kita memahami setiap gerak yang dilakukan atas dasar sebab dan akibat. Secara langsung kita akan memupuk sifat waspada dan sikap berfikir dalam kalangan penuntut yang kita didik.

Proses menendang kaki kanan pasangan silat, kerap kali menjadi pertengkaran. Pada pandangan saya, proses gerak itu pada buah Gari tidaklah sepenting dengan proses kita mematikan gerak kepala. Apabila leher pasangan telah dikunci maka kita telah berada dalam zon selamat. Proses berikutnya itu merupakan anti klimaks.

Menendang atau menyepak pelipat tidak pernah ada dalam zaman saya. Tumpuan sepakan adalah antara pelipat ke bahagian buku lali. Semua gerak kaki yang kita lakukan adalah berdasarkan bentuk badan dan gerak semula jadi yang ada pada pesilat itu. Hasil anugerah Tuhan. Kalaulah pesilat itu mempunyai kaki yang panjang jika diarah menyepak di bahagian bawah sikit daripada pelipat maka akan menyeksa diri pesilat berkenaan. Geraknya akan menjadi gerak tonggek kerana tindakan yang dibuat tidak sesuai dengan bentuk semula jadi badannya yang ada. Tempat sepakan yang sesuai bagi golongan ini adalah pada bahagian bawah antara buku lali ke atas sejengkal.

Jatuhan yang baik akan menyebabkan pesilat akan berada ’sebaris’ dengan kepala pasangannya. Hal yang demikian akan memudahkan pesilat itu meletakkan lutut atas bahu pasangannya tanpa perlu bergerak banyak. Dalam proses jatuhan, dulunya kami dibenarkan mengampu jatuhan badan pasangan. Walau bagaimanapun saya tidak pernah berbuat demikian ketika belajar. Saya pula tidak melarang pasangan saya berbuat demikian.

Pecahan Gari yang kedua dikenali sebagai Gari Gunting. Tangan kiri pesilat akan memainkan peranan untuk menekan leher pasangan secara teknik yang betul. Teknik hirisan sukar digambarkan melalui tulisan. Secara langsung kepala pasangan pesilat itu akan rapat ke badan. Jika teknik itu kurang kemas maka jatuhan yang terhasil akan menyusahkan kita dalam proses mengunci pergerakan pasangan kita. Apabila tangan kiri dan tangan kanan kita berada dalam keadaan yang kemas maka bolehlah kita menyambungkan proses jatuhan. Proses ini kurang mendatangkan masalah dan kurang menggugat kedudukan pesilat. Seperti yang saya katakan, proses kita mendapatkan tangan kiri pasangan dan mengunci gerak kepala adalah merupakan satu peroses yang sangat penting.

Buatlah kuncian dengan sempurna ketika leher pasangan kita berada di kaki kiri kita. Sejauh mana kedudukan kaki kanan dan kaki kiri tegak, maka bergantunglah pada bentuk badan pesilat dan pasangannya dan situasi semasa yang ada. Cuma ingat satu perkara. Buah ini perlu dilatih dengan sempurna. Kegagalan berbuat demikian akan mengundang bahaya kepada diri kita.

Sekian.

Sunday, September 5, 2010

BUAH SELENDANG.

Apabila kami diperkenalkan dengan buah Selendang, hati berasa semacam sahaja dengan istilah ’selendang’ tersebut. Selendang biasanya dikaitkan dengan sifat perempuan yang berwatak lemah lembut dalam sebarang tindakan. Kalau diertikan pada istilah bahasa, selendang membawa maksud kain panjang yang digunakan untuk menutup bahagian kepala iaitu leher atau bahu. Kalau dilihat pada hasil buah ini jelas dapat kita hubung kaitkan istilah selendang dengan pergerakan silat kita. Tangan pasangan kita sememangnya diletakkan atas bahu. Badan pasangan adalah berkeadaan rapat sesama mereka.

Ketika masuk dengan Kaedah A, proses awalnya sama seperti Kidung Kiri. Proses akhirnya sama dengan pecahan kedua Gayung Petani. Hal yang demikian adalah meliputi gerak tangan dan kaki. Melakukan buah ini memerlukan keberanian, keyakinan dan kebolehan diri tanpa ragu-ragu ketika kita gelek ke dalam. Penuntut yang ragu-ragu akan menampakkan elakan badan ketika membuat buah. Tugas Jurulatih ialah memberi teguran. Ulang penumbuk hingga penuntut itu mempunyai keyakinan.

Seperti Kidung Kiri, perhatikan juga gerak kaki. Kaki kanan tetap mantap pada posisi asal. Jika beralih tempat ketika melakukan buah, berhentikan tumbukan. Arah pesilat tersebut tumbuk semula. Biar berkali-kali. Namun begitu, saya percaya. Buah Kidung Kiri telah memantapkan pergerakan penuntut kita. Kalau masih kurang mantap, bermakna penuntut kita itu dalam golongan yang perlu diberi perhatian.

Kita akui bahawa, setiap buah itu ada penekanannya yang tersendiri. Mengambil Kaedah A pada buah selendang tidak memerlukan tetakan pada tangan pasangan. Gerak Kaedah A pun agak berlainan sikit. Tidak berhenti dekat dengan badan kita. Dalam proses pergerakan tangan kiri pesilat yang menepis, tangan kanan terus memegang pergelangan tangan. Apabila tangan pasangan diletakkan atas bahu, tangan kiri pesilat telah berada pada badan pasangan dengan cara tangan diluruskan. Semua pergerakan berlangsung dalam proses yang bersepadu dan berterusan. Tidak ada mana-mana gerak yang ’bermalam’. Semua pergerakan dalam proses yang dinyatakan di atas adalah merupakan gerak yang diberi penekanan utama. Kemudian barulah lihat gerak-gerak seterusnya seperti terkandung pada pelajaran kita.

Setelah kaki betul-betul berada di belakang pelipat, maka buatlah jatuhan. Badan pesilat adalah tetap berada dalam keadaan tegap dan tegak. Jangan bongkok. Tangan kiri pesilat yang mengunci pergerakan badan pasangan, tetap berada dalam keadaan lurus dan genggam tangan. Sejauh mana tangan kiri pesilat menekan ke belakang badan pasangannya. Semuanya terletak pada tindak balas atau riaksi pasangan. Lagi ke belakang maka lagi baik.

Ketika jatuhan, jangan biarkan kaki kanan pesilat kita beralih tempat. Di mana kaki memijak maka di situlah pesilat itu membuat jatuhan. Jatuhan Buah Selendang ini nampak mudah, akan tetapi memberi ruang pada pasangan untuk membuat tindakan. Oleh itu, ada masanya saya menumbuk pesilat untuk mereka buat buah Selendang. Ketika jatuhan, tangan kiri saya akan cuba bertindak meraba muka pesilat berkenaan. Jika tangan boleh sampai ke mukanya maka bermakna kuncian gerak badan tidak membawa erti. Perbaiki kuncian lagi dan lagi.

Satu lagi persoalan yang mungkin timbul ialah ketika tangan kanan pesilat meletakkan tangan pasangan atas bahu. Perbuatan meletakkan tangan di atas bahu memerlukan teknik yang betul. Tangan pasangan perlu berada dalam posisi sikunya di bawah. Hal yang demikian membolehkan kita menarik tangan tersebut ke bawah dan memberi rasa sakit padanya. Gerak kita yang sedemikian juga dapat menyekat pasangan daripada melilit leher kita sendiri.

Setelah jatuhan, pesilat akan diarah supaya tangan yang memegang tangan kanan pasangan membuat gerakan melurut bagi mendapatkan jari. Teknik membuka genggaman tangan pasangan juga kerap kali mendatangkan masalah kepada pesilat. Bantu mereka dengan teknik membuka genggaman yang betul.

Persoalan yang timbul ialah keperluan kita melurut tangan bagi mendapatkan jari pasangan ketika tangan diletak atas bahu. Perbuatan tersebut hanya terdapat pada buah Selendang, tidak terdapat pada buah yang bersamaan dengannya dalam konteks memegang pergelangan tangan ketika tangan pasangan berada di bahu. Bandingkan dengan buah Terlak. Pada hal buah Terlak juga memerlukan pegangan tangan ketika tangan pasangan berada di bahu kecuali pertunjukan menggunakan senjata. Mungkin ada alasan-alasannya kenapa buah Terlak tidak memegang ’hujung tangan’. Alasan terbaik adalah kerana sifat buah Selendang itu sendiri yang memerlukan pegang hujung tangan hingga mendapatkan jari pasangan. Nama pun Selendang. Jawapan mudah. Fikirlah sendiri.

Walau bagaimanapun, pada pemerhatian saya, buah Selendang ada bahayanya jika diambil sambil lewa. Kalaulah pasangan kita menjatuhkan lutut kirinya semasa pesilat membuat jatuhan maka buah Selendang kurang kemenjadiannya. Tetapi, dengan cara hujung tangan pasangan dapat dipegang, maka bolehlah kita jadikan hujung tangan itu umpama ’gear’ bagi mematikan gerak balas pasangan. Dalam kelas kemahiran akan dimahirkan gerak yang sedemikian.

Sekian setakat ini. Sambung lagi.

Friday, September 3, 2010

BUAH ALI PATAH SUDAH.

Istilah ’sudah’ sangat menarik perhatian saya. Dari ”atas” maka pergi pulak ke ”sudah.” Apa yang sudahnya. Ketika belajar dulu, persoalan tersebut bermain-main di kepala. Tapi tidak sampai merungsingkan fikiran. Satu masa saya bertekad untuk bertanya. Tapi bila sampai masanya terasa macam tak nampak faedahnya untuk bertanya. Maka lebih baik saya tafsir sendiri tentang konsep ’sudah’ pada pengertian saya. Lagi pun yang pentingnya bukanlah istilah tetapi kebolehan kita menghasilkan gerak membuat buah.

Buah Ali Patah Sudah boleh memberi kesan jangka panjang. Kunciannya akan menyebabkan kita sukar menelan air liur. Terasa macam bengkak di halkom. Bila diraba tak terasa apa-apa. Itu sebabnya setelah mengajar buah ini, saya rajin bertanya pada penuntut yang mengambil buah daripada saya. ”Macam mana. Rasa apa.” Bila dijawab mereka betapa susahnya menelan air liur maka hati saya berasa puas. Puas di sini bukan kerana menyakitkan penuntut tetapi berasa puas kerana berjaya menyampaikan ilmu seperti mana yang saya terima daripada Ustaz.

Saya rasa buah ini ada kelainan sikit. Asas dan jatuhan sama sahaja. Saya kurang pasti bagaimana Jurulatih menyampaikan pelajaran buah ini untuk menunjukkan perbezaan antara pelajaran asas dan jatuhannya. Di kelas saya, perbezaannya adalah pada kuncian akhir. Pada pelajaran asas, kuncian lebih longgar berbanding ketika pelajaran jatuhan. Kesan tidak boleh menelan air liur adalah ekoran daripada perbuatan jatuhan buah Ali Patah Sudah. Buah ini mempunyai dua pecahan yang bersandarkan pada dua Kaedah yang berlainan iaitu Kaedah A dan Kaedah B. Walau bagaimanapun kedua-dua pecahan buah ini tetap ada pukulannya.

Prinsip melakukan gerak berdasarkan Kaedah A buah Ali Patah Sudah adalah sama dengan buah Ali patah Atas dan buah Kilas Belakang. Pergerakan kaedah adalah bersepadu dengan langkah kaki kanan dan serentak dengan pukulan di leher. Nampak serentak tanpa ketara ketikanya. Penuntut perlu menguasai pergerakan asas pada ketiga-tiga jenis buah tersebut. Tangan kiri yang menampar penumbuk tidak akan bermalam lama. Pergerakan susulan tangan kiri adalah berserta dengan kejutan bagi membolehkan tangan kanan bergerak mengawasi kepala pasangan kita. Gerak ini berlaku setelah tangan kanan membuat satu pukulan di leher. Hebat buah ini. Tak ada tipu-tipu gerak antara pelajaran jatuhan dan pelajaran potong. Gerak pukulannya adalah sama.

Pemerhatian saya, gerak buah ini nampak lucunya pada gerak mereka yang tak tentu hala. Ada yang memberi tabik hormat pada pasangannya. Ada yang berumpama sedang takbir dan pelbagai aksi lucu.
Ketika tangan kiri mencangkuk atau melilit leher, bahaya yang mungkin ada ialah tindak balas kepalanya. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak mendatangkan masalah besar kerana tangan kanan kita telah bersedia pada kedudukannya. Tapi ada juga penuntut yang endah tak endah akan bahaya tersebut. Ketika kepala musuh boleh bertindak ganas, dia tetap memberi tabik hormat. Bekas askar agaknya.

Ketika PA menjadi guru kita, beliau pernah menyuarakan perasaan tak puas hati pada saya tentang tindak tanduk Guru Wawasan yang menyelaras gerak tabik pada Buah Ali Patah Sudah. Antara lain sepanjang ingatan saya, PA pernah terkeluar kata, ”Nanti satu masa saya nak suruh dia ambil buah tu. Biar saya hentak kepala. Baru dia tau.” Saya diam sahaja kerana tidak pernah menjadi ahli kumpulan belit itu.

Satu lagi penekanan yang saya beri ialah ketika membuat kuncian. Tangan yang mencangkuk atau melilit tengkok tidak perlu mencederakan halkomnya. Halkom pasangan kita perlu berada pada sendi tangan. Kalaulah pasangan kita terbatuk-batuk kerana tidak dapat bernafas apabila dibuat kuncian maka itulah tandanya kuncian kita tidak betul. Kuncian yang betul akan menyebabkan leher pasangan sahaja yang berasa sakit kerana perbuatan himpitan. Kesannya adalah pada masa jangka panjang. Keesokan harinya hilang kepuasan meneguk air.

Oleh itu jika kita faham dan yakin kesannya maka kuncian berikutnya dalam latihan tidak perlu dibuat dengan sepenuh hati. Hal yang demikian demi menjaga keselamatan penuntut. Mudarat untuk jangka masa panjang.

Mungkin ada dalam kalangan penuntut yang bertanya tentang kedudukan kedua tangan kita setelah dibuat kuncian. Ada Jurulatih yang memberi arahan supaya kedua-dua jari tangan kita genggam silang, atau memadai letakkan kedua tangan di tengkok sahaja. Dalam hal ini, tengoklah saiz badan pasangan kita. Jangan main arah-arah.

Buah Ali Patah Sudah juga dihasilkan melalui Kaedah B. Penggunaan Kaedah B dianggap oleh sesetengah penuntut lebih senang, berbanding dengan penggunaan Kaedah A. Hal yang demikian kerana Kaedah B mudah digunakan. Walau bagaimanapun, ketika penuntut menggunakan Kaedah B, bermula daripada buah Kuntau Jatuh lagi, beberapa pelakuan gerak yang menyimpang dari kekemasan kaedah ini perlu ditegur secara spontan.

Ketika mengambil kaedah ini genggaman tangan perlu ada. Setelah berjaya menepis penumbuk daripada kawasan dada maka barulah genggaman tersebut boleh dibuka. Dalam proses membuat buah, perhatikan gelagat tangan penuntut. Jangan benarkan tabiat pesilat memegang tangan pasangan yang menumbuk dalam proses membuat buah. Dalam proses itu, pegang-pegang tangan dilarang sama sekali. Walaupun nampak memudahkan pergerakan, tapi tidak sesuai pada pelajaran jatuhan. Ketika proses menepis Kaedah B, penumbuk pasangan yang menggenggam boleh dijadikan senjata. Buah Kuntau Jatuh menjelaskan prinsip berkenaan.

Namun begitu gerak Ali Patah Sudah lain situasinya. Genggaman tangan kanan yang menepis tidak perlu membuat apa-apa tindakan pukulan. Maka timbullah persoalan akan tempat pukulan seperti yang didakwa. Dalam soal pukulan ini, saya berpendapat gerak tangan kanan yang mencangkuk leher musuh boleh ditafsirkan sebagai pukulan. Pukulan itu terjadi dalam proses gerakan yang ’keras’ akibat cangkukan atau lilitan tangan pada leher atau tengkok pasangan kita. Kawasan tangan antara pergelangan hingga ke siku boleh dianggap senjata pukulan.

Apabila tengkok pasangan kita dapat dicangkuk, maka tangan kanan berperanan untuk berada di belakang kepala bagi maksud awasan. Dalam proses yang tetap berterusan, dalam kiraan saat dan ketika, tangan kanan yang telah bersedia perlu bawa tengkok rapat ke bahagian kanan badan pesilat. Dengan pantas tangan kiri pesilat bergerak dicelah tangan kiri pasangannya, bagi menyertai tangan kanan untuk membuat kuncian. Proses tersebut yang pantas adalah selaras dengan pergerakan kaki kiri pesilat.

Kalau berdasarkan dua kaedah tersebut, saya berpandangan, proses menghasilkan buah berdasarkan Kaedah B agak sukar dan berbahaya sedikit berbanding dengan Kaedah A. Hal ini demikian kerana penggunaan Kaedah A membolehkan pelakuan pukulan segera di leher sebelum tangan tangan berperanan membuat awasan. Berbeza dengan Kaedah B, pukulan yang berlaku agak lewat sedikit dan proses tangan kanan memberi pelindungan pada ’rajanya’ juga agak terkemudian.

Namun begitu, setelah buah Ali Patah Sudah terhasil melalui Kaedah A atau B, buatlah kejutan pada tengkok untuk kali pertama sahaja bagi memberi rasa kepada pasangan kita. Lihat saja kesannya. Tapi jangan diulang selalu kerana perbuatan tersebut akan memudaratkan mereka. Sekali lagi Jurulatih perlu berfikiran luas sebelum memberi arahan dan dalam proses menghebatkan penuntutnya. Tengok badan penuntutnya sama ada badannya tinggi atau rendah, kepalanya besar atau kecil, tangannya panjang atau pendek. Semuanya memberi kesan kemantapan buah Ali Patah Sudah. Sumber maklumat tersebut memberi makna kepada kita untuk membangunkan kehebatan penuntut kita. Buatlah sikit kajian sebelum mengeluarkan arahan yang sewenang-wenang.

Setelah mengetahui hasil pergerakan Ali Patah Sudah maka diri sendiri boleh membuat tafsiran akan makna sudah. Tafsirlah sendiri.

Wednesday, September 1, 2010

BUAH ALI PATAH ATAS.

Dua buah yang berikutnya ada kaitan dengan perkataan Ali. Apakah maksud Ali tersebut. Nama pencipta buahkah atau boleh dihubungkan dengan Kahalifah Islam yang hebat kerana gagah dan beraninya. Tersangat molek jika para Jurulatih ada sedikit sebanyak pengetahuan mengenai perkara itu.

Buah Ali Patah Atas adalah tidak asing bagi saya. Dalam silat yang dituntut terdahulu, gerak buah ini ada dipelajari. Malah babak pertarungan dalam wayang Melayu juga selalu melakonkan gerak buah jenis ini. Pastinya cara mengambil buah dan penyudahnya sahaja yang berbeza. Silat Melayu yang lain amat suka ’menganakkan’ buah supaya kelihatan cantik dan mudah membuat pertunjukan. Buah hiburan untuk para penonton.

Mengajar buah ini juga memerlukan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu. Pertamanya, kejutan Kaedah A berserta pukulan di tengkok adalah merupakan satu kemestian. Kalau kemestian maknanya mesti buat. Jangan teragak-agak daripada melakukan pukulan tersebut. Setakat ini belum pernah ada penuntut yang dimasukkan ke hospital gara-gara pukulan Ali Patah Atas. Pukulan di tengkok adalah berbentuk ’cucukan’ jari tangan yang terbuka.

Penekanan kedua adalah pada tangan kanan yang melakukan pukulan. Setelah membuat pukulan maka tangan kanan bertindak berada di bahagian belakang tengkok pasangan secara telentang. Bayangkan telentang duyung di tepi pantai. Indah. Berbeza dengan dugong. Op! Jangan mengelamun ketika buat buah. Ingat balik peranan tangan kanan pesilat. Peranannya juga bermaksud awasan. Keselamatan diri perlu dijaga. Tangan kanan boleh memainkan peranan untuk maksud tersebut.

Penekanan ketiga ada kaitan dengan pergerakan kaki kanan pesilat. Seiring dalam proses jatuhan, kaki kanan pesilat perlu melangkah serentak dan bersepadu. Langkahan kaki adalah berdasarkan langkah semula jadi. Kaki pendek pasti langkahnya pendek. Kaki panjang pasti langkahnya panjang. Jangan langkah memaksa atau langkah yang dibuat-buat. Panjang atau pendek adalah berdasarkan gerak semula jadi. Tapi ada panjang dan pendek yang dijadi. Minyak lintah di Pulau Langkawi.

Setelah semua proses yang ditekankan di atas dapat dilakukan maka pesilat itu akan berada dalam zon ’selamat’. Proses jatuhan berikutnya dapat dilakukan tanpa ada kerisauan yang nyata.

Ada juga yang saya perhatikan, mengambil buah ini tanpa pukulan. Penuntut hanya dibenarkan membuat pukulan ketika pelajaran buah potong. Ketika itu baru mereka tahu buah ini ada pukulan. Hal yang demikian kerana tanpa pukulan mana mungkin dapat diturunkan pelajaran buah potong. Maknanya juga, masa mengajar buah jatuh, lain geraknya dan semasa mengajar buah potong maka lain pulak geraknya. Berbelit-belit, hancok wak, tidak tetap pendirian dan berubah-ubah-ubah.

Hal yang demikian pastinya akan memberi kesan pada pembentukan peribadi penuntut yang kita ajar. Pada mereka, akan terbina dengan sikap dan fikiran yang suka berubah-ubah. Orang yang berubah-ubah akan bersifat berbelit-belit. Sifat itu selalu dikaitkan seperti ular. Kata orang tua-tua kalau ada ular bersama dengan manusia jenis itu maka sukar dibeza belit yang ada; antara belit manusia dan belit ular tersebut. Itu sebabnya ketika bertindak, ramai yang memukul manusia belit yang lebih teruk daripada belit ular.

Setelah berlangsung pergerakan kaki dan tangan kiri, maka penekanan seterusnya, kaki kiri yang melangkah jangan sekali-kali diundurkan semula. Kaki kiri perlu berada pada kedudukan tempat yang sama, hanya kaki kanan yang berperanan untuk menekan pelipat pasangan kita. Ketika itu rapatkan badan pasangan pada bahagian kanan kita. Kalau pesilat itu lebih tinggi daripada pasangannya maka perbuatan tersebut lebih mudah, kemas dan kelihatan bersahaja.

Apabila berlakunya jatuhan maka akan diiringi oleh satu pukulan. Tangan kiri pesilat akan memainkan peranan dalam pukulan tersebut. Cuma jangan dijadikan isu tentang jenis pukulan dan tempat pukulan tersebut. Ketika ini pesilat itu telah berada dalam zon ’selamat’. Buatlah apa saja. Pada saya, kedua-dua aspek itu umpama ranting yang tak perlu dibahas ketika tangan pasangan kita telah terkunci.

Dalam buah Ali Patah Atas ini, terdapat juga beberapa persoalan. Persoalan tangan kiri pesilat yang menolak bahagian siku tangan kiri pasangan, ada ditimbulkan juga. Macam-macam persoalan ada. Ada kata tangan yang ditolak hendaklah bergerak dari bahagian dalam depan badan pasangan. Takut cedera kata mereka. Semuanya mereka takut. Hinggakan timbul gara-gara ambil buah tanpa pukulan. Takut tak tentu punca.

Sepatutnya tidak ada isu yang timbul. Buatlah macam manapun. Janji, tangan pasangan kita dapat dikunci. Ada yang kata kedua tangan pasangan kita yang dikunci akan membentuk huruf A. Dua tangan pasangannya menjadi tiang dan tangan kanan pesilat menjadi penghubung antara dua tiang tersebut dan membentuk huruf A. Daripada huruf A itulah jadinya Ali. Kalau Abu tak sedap sebutannya. Kalau Anu lagi tak sedap. Pada saya, malas nak layan hipotisis berkenaan. Ya pun tidak, nafi pun tidak. Buat lawak sahaja tapi ada logiknya.

Kita juga perlu sedar bahawa bukan semua penuntut silat kita yang berasa sakit dengan kuncian Ali Patah Atas. Ada dalam kalangan mereka yang tidak berasa apa-apa kesakitan apabila dibuat kuncian. Selamba sahaja. Hal yang demikian bukan salah pesilat tetapi pada kebiasaannya kerana badan pasangan pesilat itu terlebih anjal. Jurulatih perlu memahami keadaan tersebut.

Itu sebab agaknya dalam kelas saya dulu, kami diajar pecahan pada jatuhan buah ini. Dalam pecahan buah ini, setelah membuat jatuhan pada pelipat pasangan kita, lutut kanan akan disendal pada bahagian belakang. Lutut kiri pesilat jatuh ke bawah. Kalau tangan yang dikunci tidak sakit, pasangan kita akan merasai sakit pada bahagian yang lain pula. Mereka akan berasa kesakitan pada bahagian belakang. Lagi kita tegakkan kaki kanan kita maka lagi kuatlah raungannya. Pasti berlaku. Ketika itu juga tangan kiri pesilat boleh lagi membuat pukulan. Buatlah di mana sahaja. Malas nak pukul maka buka saja zip atau ikatan seluarnya. Dapat juga diperiksa akan jenis anunya.

Di kelas saya, pecahan tersebut tetap saya tunjuk dan saya ajar pada penuntut. Hal yang demikian kerana itulah pecahan yang saya terima daripada kelas saya dulu kala. Apa yang saya terima maka akan saya sampaikan kepada para penuntut. Zaman Ustaz, zaman Pak Ak dan zaman En Mat, perbuatan tersebut adalah berterusan. Kalau Ustaz perturun buah sebegitu pada kami maka tentu ada sebabnya Ustaz berbuat demikian. Kekalkan pusaka Hanafi. Jangan buat hal dengan syok sendiri.

Pada gelaran buah ini ada perkataan atas. Maka ada yang bertanya bawahnya. Pada kebiasaannya pada ketika ini, isu atas dan bawah kurang timbul lagi. Hal ini kerana istilah atas dan bawah telah menjadi perkara biasa. Cuma kita saja membuat andaian tentang bawahnya. Di samping kedua pecahan tersebut ada juga pecahan yang telah ditiadakan atas sebab-sebab yang tertentu agaknya.

Berdasarkan gerak pecahan tersebut, ketika kaki kanan menekan pelipat, lutut pesilat mengampu badan pasangannya. Tangan kiri akan mengambil alih peranan tangan kanan. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, oleh sebab pengetahuan mengenainya tidak diperoleh melalui kelas ketika saya belajar dulu kala, maka gerak itu saya sentuh sahaja ketika kelas kemahiran.

Apapun, pegangan saya ialah, ”Sampaikan apa saja yang telah orang lain sampaikan kepada kita semasa belajar dalam kelas.” Jangan tokok-tambah atau kurang-mengurang. Tak adil bagi Ustaz yang telah membangunkan Silat Cekak. Sekian dan sambung lagi.