Sunday, July 26, 2009

BUDAYA BERTERIMA KASIH

Budaya ini ada kaitan dengan bersyukur. Dalam konteks hubungan manusia, kita akan berterima kasih atas apa yang kita dapati. Hakikatnya kita kena bersyukur pada Tuhan yang memberi nikmat dan rahmat melalui manusia yang dipilih-Nya.

Dalam SC, banyak ilmu silat yang kita peroleh. Ilmu ini yang meliputi aspek pergerakan silat, pegangan dan fahaman, sepatutnya kita aplikasikan dalam kehidupan kita. Pengamalan atas ilmu yang telah kita peroleh sepatutnya juga melahirkan sifat berterima kasih dalam kalangan pengamal SC. Berterima kasih pada mereka yang telah mencurahkan ilmu tersebut.

Berdasarkan adab dan adat yang ada dalam SC, pada pengamatan saya, konsep berterima kasih yang wujud dalam SC dapat dikesan melalui perbuatan tersirat dan tersurat. Semestinya yang tersurat adalah melalui pertuturan. Menuturkan perkataan terima kasih mungkin jelas dan senang kita tafsirkan. Dengan balasan ’sama-sama’ , dapat kita rasakan kepuasan pada diri sendiri untuk menerangkan pada diri bahawa kita yang memberi dapat diterima dengan senang hati oleh penerimanya.

Cuba kita lihat dalam kelas-kelas latihan. Saya menulis berdasarkan pengalaman dan fahaman saya. Selesai pelajaran pada malam tersebut, amat jarang kita dengar para penuntut memunculkan perkataan daripada mulutnya ucapan terima kasih. Seolah-olah telah menjadi tanggungjawab jurulatih untuk mengajar dek yuran yang dibayar setiap bulan. Tapi kita ada budaya bersalam tangan. Pada tanggapan saya, salam itu rupa-rupanya membawa banyak makna.

Dalam kelas-kelas silat, kebiasaannya, terdapat sekurang-kurangnya empat kali kita bersalam tangan. Salam pertama melambangkan hormat atas pertemuan sulung pada ketika itu. Sambil ucapan mulut, tangan dihulur tanda hormat. Salam pertama membawa ketenangan. Penuntut yang lambat datang, jika terus masuk ke kelas tanpa bersalam dengan Jurulatih, akan dianggap biadap dan pastinya akan menyebabkan ketegangan fikiran pada Jurulatih. Dengan memberi salam seolah-olah sebagai satu bentuk memberi hormat dan memohon maaf atas kelewatan. Jurulatih akan menjadi tenang atas sifat budi bahasa yang ditunjukkan oleh para penuntut.

Salam tangan yang kedua berlaku apabila Jurulatih ingin menurunkan buah atau pelajaran. Salam ini mengingatkan Jurulatih bahawa mereka telah mendapat mandat untuk menurunkan pelajaran daripada Guru Utama. Penuntut yang bersalam pula melambangkan sifat ikhlas untuk menerima pelajaran yang diturunkan. Selesai ’menerima’ pelajaran tersebut, berlaku pula salam tangan yang ketiga. Jurulatih ikhlas menurunkan ilmu manakala si penuntut, berterima kasih atas ilmu yang diturunkan dan atas sifat ikhlas menerimanya. Sungguh cantik budaya adat dan adab yang ada dalam SC.

Selesai kelas silat, para penuntut akan datang kepada Jurulatih sama ada secara berbaris atau seorang demi seorang untuk bersalam sebelum meninggalkan kelas. Perbuatan memberi salam tangan tersebut melambangkan ucapan berterima kasih para penuntut kepada Jurulatih. Amat jarang kita dengar daripada mulut para penuntut perkataan terima kasih sambil menghulurkan tangan. Walau bagaimanapun, menghulurkan tangan tersebut memadai untuk menunjukkan sifat berterima kasih.

Selain daripada bilangan perbuatan memberi salam tangan tersebut, terdapat juga para penuntut yang bersalam apabila Jurulatih yang berkemampuan menerangkan sesuatu ilmu yang baru untuk pengetahuan para penuntut sama ada secara individu atau secara kumpulan. Penuntut yang menerima ilmu pengetahuan tersebut akan bersalam tangan sebagai tanda mengucapkan terima kasih pada Jurulatih tersebut. Pastinya perbuatan ini jarang terjadi kerana salam jenis ini sangat bergantung pada ilmu dan mandat yang ada pada Jurulatih tersebut.

Masa ijazah pun konsep berterima kasih bukanlah sesuatu yang asing pada kita. Salam tangan yang pertama tanda perkenalan. Ketika ijazah, kita bersalam tangan sekali lagi. Akan berlakulah proses penurunan ilmu. Ikhlas guru memberi dan ikhlas murid menerima. Salam tangan berikutnya adalah tanda kita berterima kasih pada guru kita yang memberi tunjuk ajar kepada diri kita sebelum kita beredar daripadanya.

Saya sangat yakin bahawa dalam SC, adat dan adab berterima kasih dalam kalangan penuntut SC adalah satu budaya yang dipupuk sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Pada mereka yang menyedarinya, perbuatan tersebut dapat dilakukan secara sedar. Manakala yang kurang menyedarinya konsep tersebut juga dipupuk pada para penuntut dalam suasana minda separuh sedar.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah kepada kita betapa pentingnya budaya tersebut dikekalkan dan dipandang berat oleh Jurulatih. Hal ini terutamanya dalam kelas-kelas silat ketika proses penurunan ilmu SC berlaku. Jangan abaikan perbuatan memberi salam dengan tangan tersebut. Tekankan pada para penuntut. Yang lupa, ingatkan. Yang tak berapa hendak memberi salam tangan ini, paksakan. Inilah salah satu budaya kita. Jangan dibaikan. Begitulah cantiknya SC.

Cuma ketika saya kenang-kenangkan, kalaulah budaya berterima kasih ini begitu berat dalam SC dan diamalkan dengan sepenuh hati, karenah-karenah buruk dalam SC masih boleh dikawal atau dihindari. Malangnya, mungkin sifat mudah lupa masih menjadi pertualang dan halangan pada kita.

Saya suka merujuk pada diri saya sendiri. Sifat dan sikap saya banyak sakali dipengaruhi oleh SC. Maka saya sangat berterima kasih pada Allahyarham Ustaz Hanafi. Bersabitnya banyak ilmu yang saya dapat. Sama ada ilmu fizikal atau ilmu fahaman. Semangat berterima kasih ini saya zahirkan dengan pengorbanan saya dalam perjuangan SC seterusnya. Ilmu yang ada, saya lanjutkan kepada para penuntut atas mandat yang diberi oleh guru yang ada. Saya tertarik untuk mengulas atas fahaman saya sendiri.

Saya sangat memandang berat soal berterima kasih. Setakat ini saya sangat berpuas hati dan memahami atas apa yang saya pegang ketika ini bagi meneruskan ucapan terima kasih. Saya mengingatkan diri saya, meneruskan perjuangan atas landasan yang bukan hak, pada saya adalah perbuatan zalim dan tidak berterima kasih pada guru yang mendidik saya; Ustaz Hanafi. Kini, mandat yang sah adalah pada En Mat. Sebelum ini saya berjuang di bawah naungan Pak Ak sehinggalah mandat diserah kepada En Mat. Saya tetap memegang satu sikap bahawa En Mat adalah orang yang berhak untuk menaung atas semua perjuangan seterusnya. Beliau tidak pernah menyerahkan sebarang mandat pada orang lain untuk perjuangan seterusnya. Oleh itu dakwaan wujudnya guru yang baru adalah merupakan satu perbuatan fitnah dan tidak bermoral. Buktikanlah dengan apa alasan sekalipun. Semuanya tawar belaka. Tapi pada mereka yang ikhlas berjuang yang hanya memahaminya.

Politik dalam SC tidak boleh dipengaruhi oleh stail politik negara. Konsep rakyat menyingkir pemimpin adalah merupakan satu konsep biadap apabila kita cuba masukkan fahaman tersebut dalam SC. Murid tidak boleh menyingkir guru. Tapi apakan daya. Adab kita semakin longgar. Murid boleh menyingkir guru, sama seperti apa yang belaku tatkala si anak menyingkir kedua ibu bapanya. Sungguh biadap dan tidak beradab.

Maka wujudlah manusia-manusia yang tidak tahu berterima kasih. Lebih malang lagi apabila wujudnya manusia yang terpaksa menjilat ludah yang telah diludahkan. Paling-paling malang lagi apabila wujudnya munusia yang menjilat ludah yang berada atas tahi yang beranika bau dan rupa. Mereka inilah golongan mat-mat jilat yang rakus umpama jin bertelur. Tapi kadang-kadang hairan juga. Ramai juga pengikut mereka. Yang pastinya, bukan semua ilmu SC yang boleh menyerap dalam badan kita. Tafsiran kita pelbagai. Tafsiran ini akan menjadi tembok penghalang yang utama. Tafsiran selalunya dipengaruhi oleh kepentingan. Beristiqamahlah banyak mana sekali pun. Akhirnya kepentingan diri akan menentukan segala.
Sekian setakat ini.

Monday, July 20, 2009

JANGKAAN

Menjadi satu keperluan betapa pentingnya sifat berani, yakin diri dan semangat, pada diri para penuntut SC. Ketiga-tiga sifat tersebut adalah antara keperluan asas yang mesti ada bagi menjamin kehebatan kita sebagai pengamal SC. Sifat-sifat ini boleh dipupuk dan perlu dipupuk. Dampingilah mereka yang hebat dalam SC. Bergaul dengan pembuat minyak wangi, pasti akan tersebar keharumannya pada diri kita. Sifat berani dan yakin diri selalu saya bincangkan pada tulisan yang lalu. Dalam tulisan saya sebelum ini, saya mengenengahkan semula konsep jantan. Konsep ini bukan perkara baru. Mungkin sekarang ini kurang diperkatakan. Bolehlah kita hubungkan konsep jantan dengan istilah semangat agaknya. Semangat juga selalu dikaitkan dengan istilah mood atau hati - ada atau tak ada mood – ada atau tak ada hati. Maka mood ini berkait-kait dan akan melalutlah sifatnya pada pergerakan silat kita. Maka berkait pula dengan istilah perform atau tak perform dan banyaklah lagi. Dalam permainan pun, kadang-kadang saya perhatikan juga masalah ini timbul. Misalnya dalam permainan bola sepak. Ada para pemain yang hebat tapi dikeluarkan pada separuh masa pertama. Bukan tak hebat tapi ketika itu pastinya tidak menunjukkan bakat sebenar. Kalau ada bakat yang hebat tapi ketika itu bakat tersebut tidak ‘keluar’, mana perginya bakat itu. Dalam konteks diri, kalau selalu bersemangat tapi tiba-tiba hilang semanagat, maka ke mana hilangnya dan bagaimana kita dapat mencari balik semangat tersebut.

Walau bagaimanapun dalam SC, kita ada pelajaran yang boleh memupuk sifat-sfat berani, yakin dan bersemangat sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung. Untuk kekuatan dalaman yang tak nampak, kita ada petua-petua tertentu. Kaedah mandi, konsep langkah di bumi selamat dan sebagainya adalah antara lain yang dapat membina keberanian, keyakinan dan semangat dalam diri kita. Di lain masa mungkin saya akan membincangkan tajuk ini. Dari segi fizikal, gerak SC yang sedia ada amat memadai dan tersangat mantap bagi menghadapi sebarang ancaman. Jangan diubah-ubah atau dikurangi atau di tokok tambah pada geraknya. Setiap perubahan akan meninggalkan kesan. Kesannya adalah dalam jangka masa panjang.

Dalam tulisan yang lalu, saya membincangkan konsep jantan. Konsep ini juga perlu ada pada kita. Bila diri kita terangsang maka bersemangatlah kita. Bila ada semangat maka penuhlah jantan kita. Berapa round pun tidak mengapa. Diri sentiasa bersemangat dan tidak mahu mengalah. Mungkin kerana ini jugalah kita dapat lihat betapa para penuntut yang bengkak di tangan atau di kaki, yang biru di badan atau anggota tubuh yang lain tetap tidak menjadikan petaka tersebut sebagai sesuatu yang merungsing hati atau menjadikannya sebagai penghalang bagi meneruskan latihan pada kelas berikutnya.

Bersemangat akan melahirkan keberanian. Secara langsung, diri kita akan bertekad. Kalau terpenuh jantan, maka kita akan hanya memikirkan kemenangan dan kejayaan. Halangan yang sebagaimana sekalipun, keyakinan menang, mesti menang. Mungkin kemenangan ini dapat ditafsir dalam pelbagai bentuk dan ukuran. Tidak hairanlah bila kita dengar murid yang ‘bertry’ dengan orang lain, mempunyai keyakinan yang tinggi, ”Kalau tak menang sekalipun, kalah tak mungkin tapi ‘draw’ mungkin.”

Kita banyak mempusakai kisal-kisah perjuangan hebat pendekar-pendekar silam. Kehebatan mereka sering diceritakan secara turun menurun. Mungkin sekarang ini telah terhenti akibat nilai dan sikap yang berubah dalam kalangan masyarakat kita. Betapa diceritakan kepada kita tentang kisah pejuang-pejuang yang sanggup berjuang setelah dibacakan sejarah perjuangan pahlawan Islam terlebih dahulu. Betapa dengan air jampi telah membolehkan semangat yang kental untuk mereka berani berjuang. Betapa dengan berbekalkan tangkal azimat menjadikan semangat berjuang dalam diri mereka berkobar-kobar. Malah ketika demonstrasi dalam kalangan siswa siswi dulunya, peranan ‘speker’s corner’ amat penting bagi menyuntik semangat kuat sebelum mereka melalak di jalanan. Jelaslah betapa perlunya pendorong dalam menggerakkan semangat juang kita. Faktor pendorong inilah yang saya anggap sebagai daya penggerak.

Dalam perjuangan seharian, ada antara kita yang memerlukan juga daya penggerak bagi memotivasikan diri. Tanpa daya penggerak ini, ramai yang kecundang sebelum mencapai puncak kejayaan. Tidak hairanlah mengapa ramai yang sanggup berjuang hanya setelah dilengkapi diri dengan pelbagai dorongan. Bubuk Jawa, Tongkat Ali, Misai Kucing atau Jarum Mas adalah antara pendorong dan penguat semangat yang utama.

Hal ini mungkin berbeza dalam gerak SC. Bagi pengamalnya, perangsangnya agak berlainan. Banyak faktor yang akan mempengaruhi rangsangan kita. Akan tetapi dalam tulisan ini, ditekankan pada salah satu faktor penting sebagai pembekal rangsangan dalam SC. Pembekal rangsangan itu ialah kepintaran dan keupayaan kita membuat jangkaan atau andaian. Saya juga amat memberati akan konsep ini. Menjangka amat berguna dalam gerak silat kita. Kita perlu berkemahiran untuk menjangka gerak lawan.

Dalam bidang pertahanan, bila lawan kita menumbuk maka kita perlu pandai menjangka di bahagian mana akan datangnya penumbuk tersebut. Sama ada di bahagian badan, muka atau di bahagian penyawa. Secepat kilat kita telah bersedia dengan persiapan untuk menyambut penumbuk tersebut. Maka konsep cecah amat memberi makna kepada pertahanan diri kita. Silap membuat jangkaan maka tersinggahlah penumbuk di dada atau di muka. ‘Tunggu kena baru ambil’ tanpa disertai jangkaan yang tepat maka lebamlah jawabnya bahagian yang terkena.

Menggunakan buah yang sesuai pada lawan, juga ada kaitan dengan jangkaan dan andaian kita. Maklumat yang betul akan membolehkan otak kita menggunakan buah-buah tertentu secara semula jadi. Faktor-faktor besar kecil, gemuk kurus, keras lembik dan sebagainya akan diandaikan oleh pemikiran kita secara terus bagi pergerakan gerak untuk menghadapi lawan. Di sinilah pentingnya pengetahuan yang luas dan pengalaman yang banyak bagi mempastikan andaian dan jangkaan kita itu betul dan tepat. Jangan teragak-agak untuk bertekad ketika melakukan gerak silat.

Ketika menyerang, kita perlu membuat andaian atau jangkaan berasaskan pergerakan di luar daripada andaian atau jangkaan pihak lawan. Andaian dan pemikiran kita tersebut mesti berasaskan pada pemikiran kita yang mantap. Pemikiran itu pula mestilah di luar daripada kebiasaan pemikiran orang lain. Kerana itu agaknya ada konsep yang mengatakan orang masuk melalui pintu, kita pula masuk melalui tingkap. Tapi jalan kemasukan anu, masih tetap satu. Jangan diubah-ubah. Bila kita menyerang dalam keadaan luar dari kebiasaan gerak dan di luar jangkaan pihak lawan, maka mudahlah serangan kita tersebut. Itu sebabnya perangkap gerak yang dipasang oleh lawan kita mudah di atasi.

Dengan berpijak di bumi selamat, ‘dua campur dua pasti akan menjadi empat’. Melalui petua-petua yang ada dalam SC, kadang kala semangat yang ‘lari’ boleh diambil kembali. Semuanya bergantung pada petua dan keberkatan Guru. Tapi ramai yang tidak berguru. Bila sebut guru jangan lupa mandat dan warisan sah. Tapi gunanya tetap ada. Bergurukan Guru Wawasan, pelajarilah petua menghadapi Manchester united atau pasukan bola sepak Selangor. Bergurukan Guru Persatuan ambillah petua mengenepikan orang.

Selain daripada pergerakan silat, janganlah lupa untuk kita membuat jangkaan tentang apa akan jadi pada lima tahun yang akan datang. Mana satu antara ‘guru-guru’ yang ada, boleh bertahan. Terpatahkah dahan pautan kita. Jatuhnya di bumi mana. Bumi Melayu masih lagi selamat. Bumi Afghanistan, lumatlah dikerjakan Taliban.

Sekian setakat ini.

Saturday, July 18, 2009

JANTAN

Singgah di kedai makan nasi lemak. Lauknya sotong. Terpandang sotong teringat kata-kata seorang orang lama yang masih bergiat dari masa ke masa dalam SC. “Budak-budak sekarang nampak macam sotong ketika bersilat. Tangan pun dah jadi tangan sotong.” Bukan mereka cerita. Entah mengapa agaknya ramai ahli-ahli lama yang suka bercerita tentang silat dengan saya. Dalam kesebokan, saya tetap menjadi pendengar yang baik. Gasaklah apa yang mereka ingin cakapkan. Sebagai pendengar, tugas saya hanya cuba memahami apa yang diluahkan dan bagus juga untuk saya membuat ulasan dalam tulisan di blog ini.

Orang yang baru sekalipun, cukup tempoh akan masuk dalam golongan lama. Tidak ada satu ukuran masa yang standard bagi menentukan gelaran orang lama. Perasaan sahaja yang memahaminya. Tapi yang paling terajisnya, sudahlah lama tapi tua pulak. Golongan ini sering dilupakan. Orang baru pun semakin lupakan jasa mereka. Dari segi psikologi, mereka juga memerlukan tempat dan perhatian daripada golongan baru. Tambahan pula apabila merasakan diri seorang yang hebat di satu masa yang lalu. Tapi nak buat macam mana. Umpama harimau bergigi palsu. Gahnya tetap ada. Tapi gigitannya kurang bermakna. Kalau di persatuan pusat, golongan ini boleh bermain politik silat. Isu boleh direka. Yang pentingnya nama mereka perlu dikenang dan tetap ada dalam kesebokan persatuan. Hinggakan Guru pun boleh menjadi mangsa.

Tidak boleh dinafikan betapa mereka telah memainkan peranan yang besar bagi melahirkan para pesilat SC yang hebat. Ramai antara hasil pesilat yang dilahirkan menjadi Jurulatih atau memegang tampuk persatuan bagi kesinambungan perjuangan SC seterusnya. Di cawangan-cawangan, ramai antara mereka yang terkeliru akibat pepecahan persatuan. Mereka tidak dapat menerima akan hakikat pepecahan. Pada mereka SC tetap satu. Pendirian mereka inilah yang telah menyulitkan para pesilat generasi baru. Pada generasi baru,geng mana adalah merupakan pasport utama bagi menyambung hubungan. Keadaan yang berlaku mendukacitakan mereka. Kalau ikutkan hukum, apa susahnya. Lahirkan pendirian. Tapi golongan ini kurang mengikuti perkembangan. Tak terfikir di benak mereka akan keperluan menyebelahi sesiapa. Oleh sebab tak menyebelahi mana-mana pihak maka telah menyebabkan ahli-ahli SC yang berpecah persatuan berasa serba salah atas kehadiran mereka. Ramai yang terpaksa bermanis mulut akan keperluan kehadiran ahli-ahli lama ini. Jadilah orang-orang lama ini umpama melukut di tepi gantang. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Seperti kata pantun Melayu,” Buah bacang masak serangkai, Burung dekut meniti batang. Mereka dagang tidak terpakai, Macam melukut di tepi gantang.” Kadang kala mereka sendiri menganggap diri mereka sudah tidak penting kerana kehadiran mereka dalam kelas-kelas SC tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada penguasa kelas-kelas latihan SC tersebut. Semacam keperluan untuk mengenepi atau melupakan mereka. Terpaksalah dibuat acara atau program khas untuk mengalu-alukan kedatangan mereka. Menjaga hati pada pihak yang tersayang. Itulah perkembangan yang berlaku. Kekadang nampak akan lucunya. Entah mana perginya pegangan. Nak kata ke Hadyai, mana mungkin. Kan ke kawasan itu sedang bergolak.

Berbalik pada kata-kata sahabat lama tersebut. Saya cuba memahami maksudnya. Asas dakwaannya berasaskan gerak dalam silat. Pukulan dah jadi lembut. Sama seperti tangan sotong yang lembut. Bila potong sepatutnya kita tegas mengatasi gerak lawan. Tapi bukannya buah potong yang digunakan tapi buah sotong. Sedap betul komennya. Saya kurang menyambut kata-katanya tapi berfikir-fikir betapa dia boleh mengeluarkan kenyataan tersebut.

Ramai yang bersetuju betapa orang yang bersilat dalam SC nampak macam bukan orang silat. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. SC adalah berdasarkan pergerakan semula jadi. Oleh itu pembawaan seseorang itupun adalah berdasarkan pergerakan semula jadinya. Lainlah pada mereka yang perlu mengeraskan tangan sebagai pelajaran silatnya. Bila tangan dah keras, semasa berjalan, tangan pun terpaksa mengepak. Secara langsung orang boleh tahu tentang diri kita yang belajar silat. Di sinilah letaknya salah satu kelebihan SC. Ketinggian ilmu silatnya sukar diukur daripada mata kepala.

Penumbuk dalam SC pun dikenali sebagai penumbuk jantan. Kalau penumbuknya bergelar penumbuk jantan, secara langsung penumbuk itu lahir daripada manusia yang bersifat jantan. Maka geraknya semestinya gerak jantan. Istilah jantan dalam SC mempunyai konsep yang tersendiri. Konsep jantan ada sifatnya. Bila nak atau naik syeikh, maka semula jadi akan terangsang dan bersifat keras. Dalam keadaan biasa dia lembut dan tunduk sahaja. Dalam kontek silat, ketika biasa dia bersifat lembut. Tapi ketika bersilat nampak perbezaan sifatnya yang keras dan tegas akibat adanya rangsangan. Sentuhan tangannya tak sama dalam pergaulan biasa dan ketika bersilat. Itulah salah satu kehebatan yang ada pada pengamal SC. Maka jadilah silat yang kita amalkan berkonsep lembut tapi keras, tenang tapi tangkas. Pantang terangsang. Bertukarlah sifatnya. Kalau dulu-dulu dalam silat tari, pengamalnya akan tergedik-gedik apabila mendengar tiupan serunai dan gendang silat. Dirinya terangsang. Tapi jantan mereka tak sama dengan jantan kita.

Tapi kalau gerak bersilat pun lembut sama seperti gerak dalam pergaulan biasa, maka kuranglah menepati konsep jantan dalam SC. Bacalah buku-buku sastera lama. Dalam pergaduhan yang melibatkan cabar mencabar, konsep jantan memainkan peranan. Malah, konsep jantan ini merupakan satu halangan untuk mengatasi pihak lawan dengan cepat dan mudah. Mereka memerlukan ketenangan untuk mengatasi kejantanan lawan.

Saya juga berpengalaman berbincang dengan Ustaz tentang konsep jantan ini. Pernah berlaku betapa pendekar-pendekar dulu yang bertarung mengambil masa yang begitu lama. Pada satu ketika pihak yang dicabar tak berani keluar bertarung kerana jantannya yang tidak ‘penuh’. Bila terasa penuh, lawannya akan dicabar bertarung. Tapi jika lawannya pulak belum penuh jantannya, maka pertarungan tersebut akan ditunda di lain masa. Kalau asyik memeriksa jantan yang ada pada diri masing-masing maka tentunya pertarungan tersebut akan memakan masa yang lama.

Orang-orang lama tentu pernah mendengar ilmu Tangkap Jantan yang pernah dinyatakan oleh Ustaz. Betapa dengan satu sentuhan, parang di tangan boleh gugur ke tanah dan badan musuh akan menggigil ketakutan. Alangkah hebatnya jika kita memiliki ilmu tersebut. Tajuk ini sukar dibincangkan dalam tulisan kerana Ustaz sendiri amat jarang bercakap mengenainya. Tapi jangan pulak kita tersilap sangka. Bukannya tangkap jantan bermaksud tangkap anunya.

Ketika ini, pasukan sukan negara bukan setakat ada jurulatihnya malah ada juga pakar psikologi ketika bersaing dengan pihak lawan. Di samping teknik dan taktik, kekuatan mental amat penting. Gelagat kita boleh melemahkan lawan. Belum bertanding, pasukan lawan menjadi lemah. Agaknya itu juga ada kaitan dengan konsep tangkap jantan. Jangan pulak ada yang membuat cakap lucu, “kalau perempuan nak tangkap jantan macam mana.” Maka jawapan lucunya, gunakan wali jantan. Pasti menang.

Walau bagaimanapun dalam SC, kita tak kisah sangat tentang ilmu jantan tersebut kerana telah wujud petua-petua tertentu. Tindakan kita tentunya bersebab. Jangan diikut hawa nafsu. Teringat kata-kata Ustaz, kalau setakat orang terpijak kaki kita, tak kan pulak menyebabkan kita ajak bergaduh. Tapi kalau diri dan keluarga terancam maka perlulah kita bertindak. Peduli apa ilmu yang ada pada pengancam kita. Untuk mempastikan jantan kita sentiasa ada, banyak langkah yang boleh dilakukan. Jantan mesti dipupuk. Dalam silat, apabila bersilat maka kita mesti benar-benar bersilat. Bukannya menari. Kalau takut sakit, masuk kelas tarian. Sedap. Dalam silat, sakit perkara biasa. Kadang kala ada yang bermegah atas kebengkakan dan kesakitan yang dialami. Puas rasa di hati. Kalau gerak di luar silat lembut sama seperti gerak dalam silat, itulah agaknya maka sahabat lama tersebut menggelarkannya sebagai gerak sotong.

Sekian setakat ini.

Friday, July 10, 2009

BERTANGGUH JAWAPAN

Telah saya bincangkan kualiti para penuntut SC yang tamat amat bergantung pada Jurulatih yang yang melatihnya. Kekuatan sesorang Jurulatih itu banyak bergantung pada ilmu dan pengalamannya dalam SC. Dikuat pula dengan kesungguhannya melatih maka penuntut yang dihasilkan setelah tamat nanti akan berada dalam satu kategori pesilat yang hebat.

Kehebatan penuntut akan lebih terserlah jika Jurulatih juga memainkan peranan penting bagi melayan semua soalan dan persoalan yang dikemukakan oleh para penuntut ketika bersama dengan mereka. Hal ini meliputi ketika berada dalam kelas atau di luar waktu kelas latihan. Persoalan yang ada pada kalangan penuntut, jika tidak diselesaikan segera, akan menghantui mereka dan menganggu konsentrasi mereka dalam menguasai pergerakan SC sepenuhnya. Akan tetapi, hal ini bukanlah sesuatu yang mudah. Hinggakan terdapatnya jurulatih yang akan menangguh daripada memberi jawapan pada persoalan yang dikemuka pada satu masa yang tidak ada kepastian dan ketetapan. Tapi ramai juga yang lupa akan tanggungjawab memberikan jawapan tersebut. Akibatnya, penuntut yang bertanya akan menunggu jawapan umpama menunggu buah yang tak akan jatuh. Hingga tamat silat, jawapan masih belum diperoleh. Pada kalangan Jurulatih yang agak agressif, Jurulatih tersebut akan memarahi penuntut yang asyik bertanya dengan alasan ikut sahaja dan jawapannya akan diberitahu kemudian.

Sama ada seseorang Jurulatih itu dapat memberikan jawapan secara spontan atau tidak, banyak bergantung pada situasi dan kategori pembawaan sikap dan nilai seseorang itu. Ada penerangan yang agak terhad. Ketika buah asas, mustahil baginya menerangkan tentang pelajaran buah jatuh. Apatah lagi buah potong dan pelajaran-pelajaran seterusnya. Ada juga Jurulatih yang menangguhkan jawapan atas persoalan bagi membolehkannya merujuk pada orang lain. Jika tanggungjawab ini diabaikan, selalunya jawapan yang sepatutnya diberi kepada penanya akan terlupa dan hal inilah merupakan salah satu faktor penanya akan berasa tertunggu-tunggu dan seterusnya tidak berpuas hati.

Ada juga Jurulatih yang tidak melayan persoalan penuntut. Bukan haknya menjawab. Tapi Jurulatih itu memberi penerangan betapa persoalan tersebut hanya Guru yang layak menjawabnya. Namun begitu ada juga Jurulatih yang mengandaikan serba tahu dan secara spontan memberi jawapan tanpa memikirkan kekeliruan yang mungkin timbul. Lebih malang lagi apabila terdapatnya Jurulatih yang suka bercerita dan bercakap tentang sesuatu yang di luar daripada gerak SC kepada penuntut. Ini akan memancing soalan dan persoalan daripada penuntut.
Ustaz ada mengatakan kepada saya, ”Macam mana nak tabligh kalau diri tak baligh.” Pada fahaman saya, kalau kita hendak menceritakan suasana atau apa saja tentang sesuatu tempat, sepatutnya kita telah sampai ke tempat itu terlebih dahulu. Pernah Ustaz kiaskan, ” Macam mana nak cerita tentang Singapore kalau diripun tak pernah sampai ke sana.”

Teringat akan saya satu peristiwa penjual ubat di pasar malam. Bagi menarik perhatian ramai, beliau telah mencabut keris daripada sarung dan meletakkan keris dan sarung tersusun secara bersebelahan. Beliau menarik perhatian ramai dengan mengatakan bahawa keris itu akan memasuki sarungnya secara perlahan-lahan melalui pengamalan ilmunya. Apa lagi, ramailah orang yang sanggup menunggu untuk melihat kebenaran kata-katanya. Kata-kata yang menegaskan kebolehannya yang membolehkan senjata memasuki sarungnya tanpa dibantu. Agaknya minat pendengar yang semuanya lelaki untuk terus menunggu, mungkin kerana ada hubung kait dengan aktiviti harian mereka. Si penjual ubat pula mulalah menceritakan kelebihan ubat yang dibawanya. Sudah tentu, ubat itu ada kaitannya dengan senjata masuk sarung. Selesai orang ramai membeli, selamba saja dia mengambil keris dan memasukkan keris tersebut dalam sarung berkenaan dan mengemaskan peralatannya. Orang ramai terpinga-pinga. Sampai ke sudah janji yang diberi pada para penonton tidak kesampaian.

Jadi, pelbagai watak Jurulatih yang akan dihadapi oleh para penuntut ketika mengajukan sebarang soalan atau persoalan. Dalam hal ini, saya berpendapat Guru Utama atau Lembaga-Lembaga yang ada, perlu berperanan besar untuk mempastikan ’wakil’ guru sentiasa mempunyai ilmu yang mantap dan maklumat yang kemas kini. Merekalah golongan pelaksana yang akan menentukan kualiti malah kuantiti para penuntut SC. Jangan biarkan mereka berwatak seperti tukang jual ubat di pasar malam.


Semasa zaman Ustaz dulu pun konsep bertangguh memberi jawapan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Penangguhan tersebut adalah pelbagai. Saya akan berkongsi pengalaman menceritakan bentuk-bentuk penagguhan yang saya dan rakan-rakan alami berdasarkan pengalaman kami bersamanya.

Ada satu ketika saya bertanyakan soalan. Ustaz hanya mendiamkan diri beberapa ketika daripada bercakap. Akhirnya Ustaz bercakap tapi tidak begitu lancar. Maka Ustaz telah memberhentikan tajuk perbualan itu dengan mengatakan di lain masa Ustaz akan menjawab. Menurutnya semacam ada sesuatu sekatan di tekaknya bagi membolehkannya memberikan jawapan. Tapi di lain waktu apabila sesuai dengan masa dan situasi, tajuk itu akan ditimbulkannya kembali.
Kerap juga saya menimbulkan persoalan yang berkaitan dengan gerak-gerak dalam SC. Bukan semuanya Ustaz memberikan jawapan. ”Belajar dulu. Jangan tanya-tanya. Satu masa nanti akan tahu gunanya.” Itulah antara lain jawapannya terhadap soalan saya kalau Ustaz tidak ingin memberikan jawapan. Tetapi apabila sampai masanya baharulah saya faham akan maksud Ustaz. Persoalan saya ada kaitannya dengan buah Kuntau Kiri, Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. Buah-buah itu tidak ada pukulan sama ada pada tangan atau pada kaki. Melainkan pada jatuhnya. Kaedah menghenyak pelipat menjadikan persoalan kepada saya. Rupa-rupanya kaedah tersebut adalah mukaddimah terpenting apabila gerak pukulan pada pelipat menjadi amalan. Amat besar faedahnya ketika pelajaran menengah. Baru saya faham akan jawapan persoalan tersebut setelah menunggu sekian lama.

Namun begitu ada persoalan yang berkaitan dengan buah-buah tersebut yang ditanya dan dijawab secara spontan. Ustaz sendiri yang memberikan soalan dan jawapan. Misalnya, mana letaknya pukulan pada buah kuntau kiri. Ustaz bertanya dan ustaz sendiri yang menjawab secara praktikalnya. Ada juga soalan yang diberikan tapi jawapannya amat lama. Hal ini selalunya ada kaitan dengan petua-petua. Pernah persoalan tersebut terjawab setelah lima belas tahun berlalu. Kadang kala saya lupa akan soalan yang dikemukakan. Entah bagaimana, terpancul suara daripada Ustaz,” Tentang soalan engkau dulu........”

Dalam satu-satu majlis yang tidak formal, Ustaz juga akan menjawab persoalan berdasarkan situasi. Pernah satu ketika sahabat saya mengemukakan persoalan. Ustaz tidak menjawab secara sepontan. Sebaliknya dia masuk ke dalam bilik dan keluar semula dengan songkak di kepala. Maka baharulah Ustaz menjawab persoalan tersebut.

Dalam SC sendiri kita dilarang menunjukkan pelajaran yang masih belum tiba masanya pada para penuntut. Penuntut yang belajar buah asas, dilarang kepada mereka dipertontonkan buah jatuh. Apatah lagi buah potong. Mustahil sekali buah serang. Kita tidak melayan soalan mereka jika berkaitan dengan pelajaran seterusnya. Keadaan ini adalah merupakan peraturan silat kita yang wajib dipatuhi. Tapi akhirnya persoalan mereka terjawab juga setelah memenuhi syarat ijazah.

Namun begitu masalah yang wujud di kalangan penuntut ialah persoalan yang dikemukakan kepada Jurulatih yang tidak terjawab sepanjang hayat mereka bersama SC. Inilah yang menyebabkan para penuntut berasa tidak puas hati dan sentiasa memendam perasaan. Oleh itu saya berpendapat bahawa para Jurulatih perlu memperkayakan diri dengan ilmu dan jauhi diri daripada berperanan sebagai penjual ubat yang saya ceritakan di atas.

Saturday, July 4, 2009

KURAFAT DALAM SILAT

”Banyak betul kurafat dalam silat kita masa ni.” Kata kawanku ketika membincangkan masa depan gerak dalam SC. Itulah keluhan hatinya. Pastinya cakap-cakap tersebut terkeluar hasil bandingan dengan apa yang dipelajarinya dulu. Tak banyak yang boleh saya komen sebagai melanjutkan percakapannya. Ayat-ayat tersebut merupakan satu falsafah atas kebenaran yang dia sendiri fahami dan jiwai. Biasanya kurafat dihubungan dengan pertentangan atas amalan agama yang diajari oleh agama kita. Dalam konteks ini mungkin kurafat yang dimaksudkannya ialah amalan-amalan fizikal yang ada dalam SC. Pastinya amalan fizikal tersebut telah bertentangan dengan amalan fizikal di zamannya dahulu. Saya cuba memahaminya. Kebenarannya mungkin ada berdasarkan kata kias yang diluahkan. Maka lahirlah idea untuk menulis di ruangan ini.

Dari segi prinsip, kita mungkin tidak boleh membuat teguran sedemikian secara terbuka. Siapalah kita untuk berbuat demikian. Tambahan pula jika orang yang berkata itu tidak dapat mengaitkan dirinya dengan satu punca kuasa yang diberi oleh yang empunya hak dalam bidang persilatan. Lainlah yang bercakap itu merupakan ahli dalam Lembaga Jurulatih atau wakil khas Guru Utama.

Tapi kita tetap tidak boleh menahan seseorang itu daripada bercakap. Pastinya percakapan itu berdasarkan perbandingan atau pegangan yang sedia ada pada diri seseorang. Berdasarkan pegangan tersebut mereka akan membuat perbandingan. Semestinya komen yang diberi adalah menurut pandangan dan tafsirannya sendiri. Tafsiran ini erat kaitannya dengan tinggi atau rendah ilmu pengetahuannya, pengalamannya dan tentunya juga faktor hubungan rapat dengan Guru. Ketiga-tiga faktor utama itu akan memberi impak yang besar atas setiap cakap yang terpancul daripada mulutnya.

Kita tidak boleh menafikan betapa SC itu sendiri mengalami proses pertukaran kepemimpinan dalam melanjutkan perjuangan SC. Kalau didasarkan sejak Guru Utamanya Ustaz Hanafi, selepas Allahyarham, SC dipimpin oleh Pak Ak yang kemudiannya dipimpin oleh anaknya En Mat. Seiring dengan kepimpinan En Mat maka muncul pula Guru Persatuan En Jo. Belum lagi kita membicarakan tentang Guru Wawasan yang sangat suka mengubah-ngubah kesenian SC dek tonjolan diri.

Setiap mereka ada orang kanannya. Kelas semakin berkembang. Guru semakin sebok. Banyak urusan silat yang diberi peluang kepada orang kanan mereka untuk mengendalikan SC. Orang-orang kanan ini ada pelbagai jenis. Ada yang merujuk pada guru dan ada yang sangat pandai-pandai sendiri. Ramailah jurucakap yang lahir dan bercakap berdasarkan tafsiran sendiri. Malah kebolehan menerangkan sesuatu pergerakan silatpun banyak bergantung pada kebolehan dan tafsiran sendiri. Maka bercabanglah tafisran dan pandangan pada setiap pergerakan silat.

Kita ambil contoh pada Buah Pertama. Secara kasarnya kita boleh membuat gambaran pada penuntut SC, tentang penguasaan buah tersebut yang akhirnya jatuh ke tanah setelah dipijak pelipat seiring dengan pukulan dirusuk. Tapi bagaimana aspek penerangan dan kemantapan buah tersebut seperti yang dikehendaki. Saya cuba membuat bandingan berdasarkan pengalaman saya bagaimana buah tersebut saya sampaikan. Tapi sukar juga penerangan tersebut secara tulisan.

Pada saya, tampar A perlu kejutan. Ini hanya boleh terjadi jika lawan menumbuk di bahagian dada kiri kita. Tapi banyak yang tak menjadi apabila penumbuk yang dihulur kalau tak ditepispun akan meyimpang daripada badan. Saya akan tegas dalam soal ini. Tumbukan yang meyerong amat saya benci. Akan saya tinggikan suara. Mungkin ada jurulatih yang tak ambil kisah. Lanjutan daripada kaedah A, tepisan, pukulan dan gerak kaki pada pelipat mesti serentak. Tapi ingatlah prinsip kita. Mana boleh tiga gerak dalam satu ketika. Akan tetapi ’timing’ dalam gerak-gerak tersebut berturutan dalam kiraan saat. Masih lagi nampak serentak. Saat dan ketika adalah ukuran yang begitu pantas sekali dan merupakan konsep yang hanya boleh diterangkan secara praktikal sahaja. Dalam konteks pukulan dan gerak kaki pada pelipatpun akan mendatangkan banyak tafsiran. Pada saya pukulan tangan mesti digenggam. Letak kaki kita di bahagian pelipat mesti rapat di punggung lawan. Tapi ada jurulatih yang lain pengamalan. Ada muridnya yang patah tulang rusuk akibat pukulan di rusuk. Maka jadilah pengajaran Buah Pertamanya sebagai sesuatu yang memfobiakannya. Disuruhnya penuntut membuka tangan. Takut patah lagi tulang rusuk penuntut. Kalau ini terjadi macam dia tak hormati prinsip kehidupan. Bukankah kejadian temannya daripada tulung rusuk lelaki! Agaknya. Itu baru asas, belum lagi jatuh.

Perbuatan menjatuhkan buah tersebut mesti diasaskan pada gerak asas. Timbul lagi perbezaan penekanan. Ada Jurulatih yang pentingkan jatuh. ”Gasaklah engkau pada buah asas. Janji jatuh.” Namun begitu, pada saya, tak akan saya sahkan jatuhan kalau asas tak betul. Malah kalau lutut kaki yang menekan pelipat renggang dari punggung lawan, maka jatuhan itu dikira tak sah. Buat balik. Biar berpuluh kali. Masa jatuh ada pulak jurulatih yang mengajar cara jatuhan. Jatuhan mesti telentang. Tapi ada yang tak peduli. Mana ada orang silat jatuh telentang. Tambahan pula silat Melayu yang asli. Setiap jatuhan yang diajar mesti mengereng. Tapi kita dah biasa telentang. Bukankah telentang itu banyak nikmatnya. Setelah telentangpun banyak songehnya. Ada yang suruh tumbuk, ada yang suruh pijak dan ada yang bediri tegak melihat gerak lawan berikutnya. Semuanya bergantung pada hala tuju yang ada pada benak setiap Jurulatih tersebut. Belum masuk lagi buah potong.

Jelas di sini betapa penekanan Jurulatih pada gerak sesuatu buah itu akan memainkan peranan sama ada buah yang dibuat itu mantap atau sebaliknya. Inilah yang membezakan kualiti seseorang penuntut yang dihasilkan. Itu baru buah pertama. Nampak sangat pengalaman dan pengetahuan silat yang ada pada setiap Jurulatih itu akan memainkan peranan penting.

Zaman saya dulu-dulu terdapat juru-jurulatih yang ada kelebihan tersendiri. Tergambar muka Pak Ak maka tergambar akan kebolehannya menyudahkan tangkapan. Tangkapannya amat kemas. Sukar nak bergerak dan sakitnya tak boleh cakap. Teringatlah pulak rakan Pak Wan, beliau sangat mementingkan pukulan. Pukul mesti pukul. Itu sebabnya kalau nak tetak tangan pada Buah Kidung sebagai contoh, siku kita mesti disendal pada rusuk. Beliau terkenal dengan penekanan tersebut. Tapi lama-lama timbul cerita betapa perlunya siku dirusuk sebab boleh mematahkan tulang rusuk lawan. Pulak dah!

Kalau Pak Jo, hebat dengan penerangannya. Mukadimahnya panjang. Kalau diukur masa dalam sepuluh minit, pastinya tujuh minit diuntukkan teori dan tiga minit membuat buah. Akibatnya ramai yang menguap ketika membuat buah. Beliau mementingkan kekemasan membuat buah. Berbeza pulak dengan Pak Sir. Seorang yang berani dan sentiasa yakin atas setiap gerak yang dibuatnya. Gerak silatnya sentiasa menjadi dan kasarnya boleh tahan juga. Sahabat setianya Pak Am agak berbeza sedikit. Gerak silatnya lembut tapi akalnya panjang. Beliau sering berkreatif dalam gerak-gerak baru SC terutamanya dalam pelajaran umum. Pak Yg banyak ilmunya. Kadang kala para penuntut berasa celaru antara fakta dan bukan fakta. Dan antara benar dan palsu. Masa itu Pak Bai dan Datuk K tak banyak muncul. Nama-nama yang saya sebutkan adalah nama-nama dulu di ibu pejabat. Di peringkat cawangan belum terserlah lagi kelebihan mereka. Tapi sekarang ini banyak yang berbeza. Mungkin ada tokoh-tokoh persilatan lain yang saya tidak bicara. Apatah lagi sekarang ini semakin ramai yang hebat dalam penguasaan SC.

Perbicaraan tentang topik di atas sukar untuk dijelaskan secara tulisan. Namun ketelitian pada setiap gerak dalam SC kadang kala dirasakan perlu diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Begitu juga fakta silat kita kaya dengan adat dan adabnya. Kebanyakannya tidak bertulis dan berlangsung begitu sahaja dari masa ke masa. Elok juga kalau ada pihak-pihak tertentu yang mengambil anisiatif untuk menulisnya sebagai bahan rujukan. Mungkin saranan ini membolehkan kita mengurangkan amalam kurafat dalam gerak Silat Cekak.

Friday, July 3, 2009

ANTARA KAEDAH MENYINGKAP RAHSIA CEKAK

Mempelajari SC dengan lebih mendalam sepatutnya menjadi bulat dan tekad di hati setiap penuntut. Saya juga tidak terkecuali. Banyak peristiwa yang menyebabkan saya bersikap demikian. Penerangan Ustaz dan peristiwa bersudi dengan Ustaz benar-benar meyakinkan saya betapa SC adalah hebat.

Orang selalu cakap betapa Guru selalu menyimpan buah atau pelajaran silat. Agaknya dalam SC pun begitu. Ajar sepuluh, dua disimpan. Bila saya fikir-fikirkan, sifat tersebut adalah perlu. Walaupun kita bersilat berdasarkan pergerakan semula jadi tapi penggunaan akal yang pintar dan cerdas adalah perlu. Melalui akal yang berjalan, kita dapat dan akan menimbulkan persoalan. Maka di sinilah berlakunya penerangan lanjut daripada guru berkenaan. Kita yang bertanya dan dijawab pulak soalan yang sama; sama ada secara teori atau praktik maka itulah habuan tambahan pengetahuan kita.

Persoalan mesti ada dalam fikiran kita. Untuk menimbulkan persoalan maka kita memerlukan ilmu dan pengalaman membina soalan. Misalnya, persoalan boleh timbul berdasarkan prinsip kehidupan kita. Benda hidup dan tidak hidup biasanya adalah berpasangan. Dari sini maka kita boleh timbulkan persoalan. Kalau ada tumbuk jantan maka mana pulak tumbuk betinanya. Kalau ada kuntau kiri maka tentu ada yang kanan. Kalau ada kidung kiri maka mana pulak kidung kanannya. Kalau jatuh mesti ada yang berdiri. Kalau ada kuntau jatuh maka mana pulak kuntau berdirinya. Tangan dan kaki mana boleh kita pisah-pisahkan. Kalau ada serang dengan tangan bagaimana pulak rupanya serang dengan kaki.

Itu adalah antara lain persoalan yang membolehkan kita berfikir dan mencari-carikan jawapan. Kalaulah persoalan kita tersebut terjawab maka akan berlakulah penambahan ilmu pada diri kita. Berdasarkan persoalan itu juga akan meningkatkan pengetahuan kita. Jadi, yang dua ilmu yang dikatakan disimpan oleh guru itu terungkap dek usaha dan persoalan yang kita timbulkan.

Silat Cekak hebat. Itulah wirid kita. Tapi kita kena berpijak di bumi nyata. Sakit demam maka kita sahaja yang mengetahuinya. Kalau orang kata kita sihat pada hal kita rasa diri kita demam maka perasaan kita itulah yang sebenarnya benar. Jadi, kebolehan kita bersilat hanya kita sendiri yang boleh mentafsir dan mengetahuinya.

Kita patut berbangga dengan kebolehan silat kita. Maka kita juga mestilah berkebolehan untuk membuktikan dakwaan kita tersebut adalah benar. Selaraskan kehebatan diri dengan pengetahuan yang ada dalam SC. Dengan itu baharulah kita boleh mendabek dada mengatakan silat kita hebat. Silat kita hebat kerana diri kita juga hebat. Sebagai penuntut yang sentiasa inginkan kebolehan diri sentiasa meningkat, periksalah dan nilailah ilmu yang telah ada pada kita. Boleh buat senarai semak tentang falsafah, konsep dan prinsip yang ada dalam setiap pelajaran SC dan semestinya telah dikuasai oleh kita. Tapi panduan daripada mereka yang mahir dalam SC mesti ada. Baharulah kita tahu akan duduk sebenar diri kita dalam penguasaan ilmu SC. Antara lain dalam karangan ini, diberikan beberapa contoh sebagai tinjauan pada diri sama ada kita telah menguasai konsep atau falsafah-falsafah yang berikut.

Kefahaman ”pakai tak pakai dan tak pakai pakai” perlu disingkapkan rahsia dalam falsafah tersebut. Kefahaman dan penguasaan falsafah tersebut menjadikan diri kita dapat mengaplikasikan pelajaran SC dengan hebat. Ketika membuat sesuatu buah yang kita ingin pakai, apabila timbul masalah maka secepat kilat kita berupaya menukar buah dan memakai buah yang tidak terlintas nak pakai. Semuanya berlangsung tanpa dirancang tapi lebih secara gerak semula jadi. Berupayakah kita memahami konsep ini.

Konsep buah ringkas dan hujung elok diperdalami. Hal ini kerana penguasaan konsep buah ringkas atau hujung, banyak membantu kita ketika sesak. Andai membawa kereta, bila sesak tak payah pakai signel. Bukan mudah menjatuhkan pelipat lawan atau bukannya mudah mengilas belakang pada orang yang lebih besar daripada kita. Tapi ingat. Buah-buah yang ada dalam SC dapat digunakan dalam apa bentuk keadaan. Namun penyesuaiannya mesti ada. Buah hujung akan memainkan peranan utama.

Lihat juga serangan kita. Apakah konsep dan falsafah di sebaliknya. Cara serangan juga perlu disingkap rahsianya. Jangan pulak kita memberi tabit hormat kepada musuh sebelum kita menyerang. Tak cantik sungguh. ”Nampak macam pondan Siam.” Antara komen yang diberi oleh kawan-kawan yang berasa rimas dengan tabit hormat. Fahami konsep tumbuk serang sebagai tumbuk gerak. Apakah maksud tumbuk gerak dalam falsafah serangan kita. Saya telah membincangkan dalam penulisan yang lalu. Hal ini akan menjadikan kita yakin dengan serangan yang kita kirim kepada lawan kita. Jangan timbulkan persoalan yang meragukan kita bilamana musuh berundur di belakang. Jangan pulak kita mencari-cari jawapan berdasarkan tumbuk gerak kita. Falsafahnya bukan demikian untuk mereka yang undur ke belakang. Itu sebabnya ramai yang kurang faham hingga mencari-cari jawapan tentang keupayaan tumbuk serang pada mereka yang lari ke belakang. Mereka-rekalah mereka dalam suasana tidak memahami tentang konsep tumbuk gerak yang dinamakan juga tumbuk serang.

Rahsia falsafah tentang tangan di tangan dan kaki di kaki, hendaklah kita fahami betul-betul. Berpijaklah di bumi nyata. Agaknya sepak minang sebagai pengenalan blok ini memberi tanda betapa tak ikut konsep dan prinsip sebenar akan membawa bencana besar pada diri. Sayangilah telur anda. Bukannya mudah dicari ganti. Takut-takut terkejut hingga hilang bisa yang tak terperi.

Kalau sudah sampai ke pelajaran menengah, ramai yang berdiam diri.Tak tahu nak berlatih macam mana. Setengahnya beralasan rahsia sangat. Semua ini akan merugikan diri. Tanyalah diri. Yakinkah diri pada pelajaran tersebut. Janganlah kita bermegah dengan pemilikan pelajaran menengah jika ada keraguan diri. Kalau rasa ragu-ragu, apa tindakan yang patut diambil. Usahakan diri bagi menguasai gerak yang sejati dan sebati. Banyak rahsia dalam SC yang boleh diungkap bagi mempertajamkan diri. Tapi kenalah cari dan usahakan diri. Yakinkan diri dengan pengetahuan yang kukuh dan sebati.

Saya timbulkan persoalan-persoalan di sini buat generasi baru untuk berfikir. SC akan ”menjadi” pada mereka yang sentiasa berfikir. Saya tak boleh jelaskan maksud saya dalam tulisan ini. Mana ada punca kuasa. Rapatlah dengan Guru. Hormatinya sungguh-sungguh. Tunjukkan kesetiaan agar membolehkan istilah kepercayaan terpancul daripada hati guru. Biarlah orang lain nak kata-kata apa tentang kita. Bodekkah, Taksubkah, mengada-ngadakankah atau apa-apa kah yang lain, jangan diambil hati. Tapi yang pentingnya ialah pentingkan diri kita terlebih dahulu. Kita keluar sorang-sorang maka kita matipun sorang-sorang. Dalam menuntut SC, pentingkan diri sendiri untuk menambah ilmu. Tapi jangan lupa pula ajaran SC tentang perkara-perkara yang bersabit dengan kita. Bersabit dengan kelahiran kita ialah kedua ibu bapa dan Guru. Tentunya atas kehendak Tuhan.

Saya sangat yakin, dengan cara kita menimbulkan persoalan dan sentiasa berfikir maka semakin banyak rahsia dalam SC yang tersingkap sebagai habuan pada diri kita. Seperti yang saya katakan, jangan lupa atas syarat mutlaknya. Syaratnya ialah kita mesti mengelakkan perasaan was-was dengan keistimewaan yang ada pada SC. Tetapkan di hati yang SC itu hebat. Peranan istilah istiqamah penting sekali. Istiqamahlah untuk diri bagi membangunkan diri. Kurang enak beristiqamah untuk diri bersabit dengan diri orang lain.

Tugas kita sebagai penuntut yang ingin membangunkan diri dalam SC ialah mencari kehebatan SC itu sendiri. Kehebatan tersebut adalah merupakan keistimewaan kita. Luar daripada kebiasaan yang ada. Kalau biasa maka kuranglah hebatnya. Mana-manapun boleh dapat. Sesuatu yang luar biasa amat sukar dicari. Pencarian tersebut secara langsung akan menjadikan diri kita hebat dan sentiasa hebat. Percayalah.

KENANGAN JALAN PUTERA

Banyak kenangan di Ibu Pejabat Jalan Putera. Di situlah para Jurulatih selalu membuat latihan kamahiran di bawah bimbingan Ustaz Hanafi. Boleh dikatakan setiap minggu pada malam yang tiada kelas, kelas-kelas kemahiran tersebut diadakan. Biasanya malam Jumaat. Saya selalu menjadi patner En Jo dan jarang kali juga dengan Pak Wan.

Dalam satu peristiwa, ketika kami sedang berlatih, datang rakan kami, SB bercakap sesuatu dengan Ustaz. Kami hanya pandang ke arah mereka kerana perhatian Ustaz telah dialihkan daripada memberi tumpuan kepada latihan kami. Dari jauh, Ustaz mengangguk-anggukkan kepala. Ada sesuatu yang dibincangkan. Seketika kemudian sahabat saya SB memohon diri tapi tiba-tiba muncul kembali bersama orang puteh lelaki dengan seorang budak. Kemudian baharu kami tahu yang budak itu adalah anaknya. Orang puteh tersebut difahamkan adalah daripada kedutaan Perancis. Secara sepontan kami disuruh membuat persembahan SC. Kacau sungguh. Bukannya senang membuat persembahan tanpa susunan terlebih dahulu. Tapi apakan daya. Arahan Ustaz mesti dipatuhi.

Maka bermulalah pertunjukan persembahan yang dibuat tanpa pakat. Depan orang puteh pulak tu. Memang sifat kita agaknya suka menunjukkan kebolehan pada bangsa asing. Maka kenalah tunjukkan kehebatan masing-masing. Masa saya menumbuk partner saya, dibuatnya buah Sendeng Atas. Hayunannya betul-betul bawah dagu saya. Mana boleh potong. Pecah bibir saya. Darah yang keluar terpaksa dilap. Tapi banyak yang ditelan. Geramnya hati. Macam terjatuh kewibawaan dan kehandalan diri. Hati melonjak untuk membalas kembali apa yang diterima. Kehebatan yang ternoda harus ditebus kembali. Bisikan iblis agaknya. Tapi sampai giliran, orang lain pulak yang menumbuk saya. Oleh sebab ada keinginan untuk membalas kembali dengan pukulan Buah Sendeng Atas, maka rakan yang menyerang disambut dengan buah yang sama. Tapi entah macam mana, kaki pulak gatal melibas pelipat rakan yang menumbuk. Bukannya buah jatuh Sendeng Atas, tapi pukulan buah sendeng yang menggunakan kaki untuk melibas pelipat. Allah! Lututnya terkeluar pulak. Timbul kesal pada diri. Tapi bisikan hati terus berkata. Jadi juga sepakan kaki.

Berminggu-minggu rasanya rakan tersebut berbalut kaki. Karier silat sebagai Jurulatihnya telah terjejas. Timbul kekesalan di hati. Semuanya berpunca daripada perasaan untuk bermegah diri di depan orang puteh. Ramai rakan yang tercedera akibat persembahan tanpa disusun pada malam tersebut. Apa yang dapat?. Si orang puteh tersebut hanya tersenyum puas dan mengesyorkan anaknya belajar SC. Sesuatu yang amat mustahil ketika itu. Walau bagaimanapun, selesai persembahan, semuanya bersalam-salaman dengan kesakitan merata tempat dibadan. Padan muka dek ingin berlagak. Itulah cakap-cakap dalam hati. Ketika iblis dah cabut lari.

Di Jalan Putera jugalah kami mendapat petua pelajaran menengah secara rasmi yang bersaksikan semua Jurulatih yang ada. Namun ada juga antara kami yang telah mempelajarinya. Tapi pada malam itu Ustaz menerangkan kembali petua menengah secara terperinci. Saya masih ingat peristiwa yang berlaku ketika petua pelajaran tersebut diperturunkan Ustaz kepada kami. Setiap orang perlu melakonkannya kembali. Seorang sahabat yang terkenal lucunya, telah dimarahi Ustaz kerana sepakan kakinya tidak menjadi. Pada hal sebelum ini pelajaran menengah telah diikuti. Cuba bayangkan jika tangan terikat, sepakan tak jadi, maka jawabnya kan parah diri sendiri.

Ustaz menunjukkan aksi marahnya.”Tu la! Dulu suruh buat buah jatuh sungguh-sungguh tapi tak ambil peduli.” Lebih kurang itulah ayat yang perpancul keluar daripada mulut Ustaz yang memarahi rakan saya yang tidak kemas pukulan kakinya. Melalui penerangan kembali Ustaz Hanafi adalah jelas bahawa asas pelajaran menengah berkait rapat pada buah asas dan buah jatuh Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. Daripada pelajaran asasnya lagi kena betul. Apatah lagi jatuhnya yang sangat-sangat kena betul. Kalau kedua-dua pelajaran buah tersebut pada asas dan jatuhnya telah tempang maka jangan harap pelajaran menengah boleh dikuasai dengan mudah. Itulah kesimpulan yang saya dapat. Saya berasa puas. Walaupun sampai ke sudah tak pernah merasa sijil menengah. Pelajarannya ada tapi bukti sijilnya tiada.

Saya sering juga melihat penuntut-penuntut SC yang sedang mempelajari SC ketika membuat buat asas dan jatuh pada kedua-dua buah tersebut. Rasanya susah sikit kot untuk menguasai pelajaran menengah kalau ada habuannya nanti. Kadang kala berlainan kelas, berlainan pulak penekanannya. Apa sudah jadi. Tapi saya no komen. Pada mereka yang telah diturun petuanya, cuba tanya diri secara jujur. Yakinkah pelajaran tersebut di hati. Hanya diri sendiri yang boleh menjawab. Maklumlah. Jika tangan diikat maka keselamatan kita menjadi tanggungjawab kaki. Kalau sepakan tak menjadi ketika diri diserang, maka apa akan jadi. Kalau tak cabut lari maka tergantunglah kaki di hospital. Cuba bayangkan kalau cabut lari dengan tangan terikat. Kalah lawak Mat Sentul agaknya.

Di Jalan Puteralah saya terlibat dengan pelarasan buah-buah SC yang dikendalikan oleh Ustaz Hanafi sendiri. Dalam satu peristiwa berlaku pertengkaran tentang pintasan buah Teralak. Potongnya adakah perlu ditekan pelipat dengan menggunakan kaki kanan atau kaki kiri. Satu puak kata sedap kaki kanan dan satu puak lagi sedap kaki kiri. Saya menegaskan kaki kanan. Ketika masing-masing asyik berbahas, saya dipanggil oleh Ustaz ke tepi tanpa orang lain sedari. Ditunjukkan kaedah yang lebih ringkas. Tapi ustaz mengeluarkan kata terhadap saya, ”Tak payah bahas-bahas, ikut saja keputusan mereka” Saya puas. Ada benda lain yang saya dapat.

Yang hebatnya pada masa pelarasan tersebut PA dan PJ juga adalah rakan bersilat membuat buah. Dah jadi guru rupanya mereka ketika ini.

Pada saya majlis pelarasan buah pada hari tersebut merupakan satu-satunya pelarasan yang dikendalikan oleh Ustaz sepenuhnya. Itulah punca kuasa kita menyebarkan pelajaran SC seperti yang sepatutnya dan seperti yang dikehendaki. Kalau ada majlis pelarasan selepas itu maka saya anggap bukannya pelarasan lagi, tapi hanya majlis peneguhan pada pengetahuan yang ada.

Tapi selepas itu di zaman Pak Ak, ada juga majlis yang dikatakan pelarasan buah. Si budak Bai yang empunya anisiatif. Nak selaras apa lagi. Habis rosak seni yang sejati. Nak tunjuk kehebatan diri. Sampai Pak Ak sebagai pemegang amanah guru pun diketepi. Bersungut orang tua itu pada saya di suatu hari. Tapi, berkaitan pelarasan yang dikendalikan oleh Si Bai, saya tak ambil peduli. Pelarasan yang dulu telah mantap telah cuba dimantatkan. Tak akan kuubah dari dulu hingga kini. Apa yang saya dapat dari dulu maka itulah yang diberi. Pada saya inilah Pusaka Hanafi. Orang lain nak cakap apa, apa saya peduli. Dalam artikal terdahulu ada saya nyatakan. Selepas pelarasan buah di zaman Ustaz Hanafi maka sudah tidak ada pelarasan lagi. Kalau adapun pelarasan, prinsip pelarasan tersebut ialah untuk meneguhkan ingatan dan membetulkan kelemahan dalam masa pengajaran dan pembelajaran SC pada penuntut dan jurulatih. Kalau diubah-ubah buahnya maka pusaka apa namanya.

Namun kita jangan salah faham. Ketika ini teraju SC telah dikemudi oleh guru yang lain. Mereka bertanggungjawab dalam bidang persilatan. Menjadi hak mereka pada ilmu yang diamanahkan kepada mereka. Kalau nak diubah atau hendak diperbaiki, itu semua adalah tugas hakiki mereka. Jangan pulak dijadikan satu polimik antara kita. Dalam artikal ini saya hanya menceritakan pengalaman peribadi ketika bersilat di bawah naungan Ustaz Hanafi.

Mungkin banyak lagi cerita yang akan saya ungkapkan buat tatapan generasi baru SC. Tidak boleh dinafikan bahawa segala penceritaan di ruangan ini adalah berdasarkan pandangan saya sendiri. Pada saya itulah kebenaran yang tertanam pada diri. Pada orang lain agak susah untuk saya ambil peduli.

Jumpa lagi.