Tuesday, July 27, 2010

Sambungan....MENGAJAR KAEDAH (3).

Cara kita menyampaikan Kaedah pada permulaan pembelajaran biarlah secara berperingkat. Ketika ini kaedah berbaris sangat popular dan dianggap sebagai satu kemestian. Walau bagaimanapun kepelbagaian bentuk latihan mesti ada. Berbaris kadang kala menyekat kreativiti penuntut untuk berlatih dalam bentuk yang dikehendaki mereka. Namun begitu berbaris dapat mempastikan semua penuntut berlatih menurut kehendak Jurulatih. Hal ini demikian terutamanya ketika para penuntut mula ’curi tulang’.

Kadang kala biarkan mereka berlatih bersendirian dengan pasangan yang ada. Tugas kita ialah mengawasi mereka. Bukannya memberi arahan dari atas bangku tapi turun padang. Dari masa ke masa buatlah tumbukan pada mereka yang kita pilih. Lagi ramai penuntut yang kita libatkan maka lagi baik. Secara langsung kita akan tahu kemampuan mereka dalam silat. Konteks peribadi dengan penuntut dapat dijalinkan. Sekurang-kurangnya kita juga dapat mengeluarkan peluh dan memantapkan pergerakan.

Kaedah penyampaian setiap Kaedah secara berperingkat eloklah diteruskan. Mula-mula letak tangan. Kanan dan kiri. Pemberatan tetap pada kanan. Namun begitu tumbukan kiri jangan diketepikan. Kita suruh penuntut menepis hingga kita berpuas hati akan seni tepisannya. Kemudian kita tumbuk tanpa mengerakkan kaki. Mula-mula perlahan dan kemudiannya bertambah laju dan ’beratkan’ penumbuk. Apabila mendatangkan tekanan kepada penuntut maka kita perlahankan kembali tumbukan kita tersebut. Seterusnya kita menumbuk beserta pergerakan kaki. Masa yang diambil mungkin hingga beberapa minit setiap orang. Jangan begitu gopoh untuk ’memasukkan’ semua pelajaran Kaedah dengan segera pada para penuntut.

Masa saya, semua penuntut akan merasa ditumbuk oleh Jurulatih. Kalau ada dua atau lebih Jurulatih maka bolehlah dipecahkan mereka secara kumpulan. Itupun setelah semua penuntut faham atas satu penerangan daripada seorang Jurulatih yang diberi mandat menurun buah. Penerangan daripada seorang Jurulatih sahaja dalam setiap kelas latihan adalah penting. Penuntut tidak akan bercelaru dengan kepelbagaian maklumat jika ramai Jurulatih yang membuat penerangan. Jika penerangan yang diberi oleh seorang Jurulatih tidak lengkap pada pemerhatian Jurulatih yang lain maka Jurulatih berkenaan boleh membisikkan kepada Jurulatih yang membuat penerangan tersebut. Biar dia sahaja yang membuat pembetulan atau menambah maklumat. Sentiasa ingat. Jurulatih mampu berperanan untuk menaik atau menjatuhkan semangat para penuntutnya. Berfikiranlah. Jangan gopoh atau menurut perasaan ketika memberi pelajaran kepada para penuntut yang baru mengenali alam persilatan SC.

Jelaslah apa yang berlaku seterusnya dalam pembelajaran SC, banyak bergantung pada permulaan pelajaran. Pemulaan pelajaran adalah Kaedah. Kalau semuanya betul pada pemulaan pelajaran maka akhirnya pun pelajaran yang diterima penuntut akan jadi betul juga. Kalau dari mula telah salah maka penamatnya juga akan salah. Kehebatan penuntut akan menjadi tak tentu hala. Kasarnya pun tak tentu hala walaupun dari pandangan kaca mata nampak hebat. Oleh itu, ambil berat pada pelajaran kaedah A hingga kaedah D. Berikan tumpuan pada pembelajaran kaedah agar para penuntut yang kita latih akan belajar bersungguh-sungguh. Kesungguhan mereka akan menyebabkan penguasaan mereka dalam gerak SC menjadi hebat. Lembutpun hebat dan kasarpun hebat.

Pada peringkat permulaan pembelajaran ini juga, hal-hal fizikal yang kita tidak gemari jangan mudah dibuat teguran. Misalnya pada mereka yang bergelang atau bersubang atau berantai. Sudah menjadi sifat mereka memakai alat tambahan tersebut sejak sekian lama. Mana mungkin dalam sekelip masa kita dapat mengubah tabiat mereka. Mungkin mereka akan menurut kehendak kita kerana kepentingan bersilat. Tapi tidak tunduk di hati. Meninggalkan perbuatan tersebut hanya sewaktu latihan. Mereka akan berpura-pura. Bersabarlah akan masa perubahannya. Buat ikatan hubungan terlebih dahulu.

Sebelum ini, pelbagai cara kita lakukan dalam kalangan penuntut kita bagi memahamkan mereka tentang kepentingan Kaedah dalam SC. Satu daripada usaha tersebut adalah melalui kefahaman yang sedia ada pada kita. Kita selalu difahamkan tentang pertalian antara huruf, perkataan dan ayat dalam proses pengajaran dan pembelajaran SC. Pertaliannya adalah bersepadu, bertali arus dan tidak boleh dipisahkan. Pelajaran kaedah dilambangkan sebagai perbuatan mengenal huruf. Buah asas dinggap sebagai perkataan dan apabila disambungkan menjadi ayat maka berlambangkan buah jatuhan. Penerangannya amat logik dan mudah diterima oleh para pendengar dalam sebarang majlis penerangan SC.

Masih tergambar majlis penerangan yang dibuat Ustaz. Saya ada bersama. Disuruhnya rakan saya menumbuk dan saya menepis berdasarkan kaedah SC. Diterangkannya kaedah tepisan itu adalah huruf ’A’. Kalau berdasarkan buah pertama, Kaedah A dihurufkan A. Asas buah Pertama dieja menjadi perkataan ’Ayam’. Sebelum saya membuat jatuhan Ustaz mengayat, ”Ayam makan padi.” Maka saya pun buat jatuhan. Demikian juga dengan buah-buah lain berdasarkan setiap kaedah. Begitulah pertalian yang kita cuba buktikan antara kaedah dan jatuhan.

Pada para pendengar tentunya menarik minat mereka akan sistem yang ada dalam SC. Bagi kita yang telah mengetahui akan kelebihan sistem itu perlu meneguhkan fahaman kita betapa kaedah yang dilambangkan sebagai huruf, amat besar makna dan peranannya. Tanpa huruf mana boleh kita membuat perkataan dan seterusnya membuat ayat. Maknanya, tanpa kaedah yang mantap mana boleh kita membuat buah asas dan jatuhan yang kemas. Oleh itu, sebagai Jurulatih kita perlu sentiasa ingat betapa perlunya kita memantapkan penguasaan kaedah A, B, C dan D pada diri kita. Kalau prinsip ini dikuasai maka tidak perlu kita risaukan pelbagai bentuk penumbuk yang tiba daripada penuntut kita.

Semasa kami berlatih di Lorong Haji sirat ada tiang-tiang kayu bagi memahirkan latihan Kaedah. Jurulatih akan bersandar pada tiang tersebut untuk menepis tumbukan rakan. Semasa saya membuka kelas latihan di cawangan, bentuk latihan pada tiang masih diteruskan. Tiang yang ada memaksa kita berdiri tegak tanpa dapat menggerakkan badan. Ada juga dalam kalangan kami yang mengikat badan bagi mengkakukan pergerakan badan. Konsep badan diumpamakan raja. Manakala tangan yang menepis umpama pahlawan. Bila datang serangan musuh, para pahlawan perlu bertindak melindungi raja. Mana boleh raja dicederakan. Mana boleh raja melarikan diri ketika pahlawannya ada bersama. Kalau pahlawan tak mantap maka kedudukan raja akan mantat. Jika pahlawan tersangat mantap maka raja yang dilindung akan bertambah hebat.

Menurut Ustaz, ketika kita menyahut cabaran untuk berentap dengan satu silat yang lain pada satu ketika dulu, penekanan pada latihan kaedah amat diberatkan. Latihan tersebut telah dilakukan kerap kali bagi memastikan penguasaan mantap pada Kaedah. Kita yakin bahawa daripada Kaedah, pelbagai bentuk pukulan atau buah dapat dihasilkan. Atas keyakinan tersebutlah kita berani meletak syarat patah, pengsan dan mati sebagai perjanjian utama untuk berentap dengan silat berkenaan. Kita yakin bahawa penguasaan Kaedah yang ada dalam SC amat memberi manfaat pada para pengamal SC. Jangan permudahkan pelajaran Kaedah dalam SC.

Oleh itu, dalam kalangan Jurulatih berfikirlah cara-cara untuk mengusai kaedah-kaedah yang ada dalam SC secara mantap pada diri dan dalam kalangan penuntutnya. Pada akhir pelajaran Kaedah, wujudkan kemahiran gerak menepis serangan secara spontan tanpa berpakat menyatakan sasaran tumbukan. Walaupun kekemasannya mungkin tidaklah seratus peratus tetapi asasnya perhatian para penuntut telah ditarik supaya mementingkan Kaedah dalam proses penerimaan ilmu SC. Latihan berdasarkan badan bersandar pada tiang masih boleh diguna pakai. Elok juga kalau dapat dihidupkan. Kalaupun kurang sesuai digunakan untuk latihan pada para penuntut baru, akan tetapi pada para Jurulatih yang ada bolehlah guna pakai bentuk latihan tersebut. Sekurang-kurangnya seminggu sekali latihan.

Kita berharap apabila tamat nanti, serangan-serangan yang berlainan arah, berkemampuan disambut dengan kaedah-kaedah yang telah ditentukan. Hebat Kaedah maka akan hebatlah pesilat berkenaan dalam penguasaan SC.

Sekian. Lepas ini kita bincang tentang asas dan jatuhan.