Thursday, August 26, 2010

KUNTAU KIRI GANTUNG.

Prinsip asas ketika membuat asas Kuntau Kiri Gantung adalah sama dengan Kuntau Kiri. Prinsip gelek dan gerak kaki perlu diberi tumpuan. Penggunaan Kaedah B dan D adalah berpasangan. Gerak gelek menjadi sokongan. Seperti buah Kuntau Kiri, penekanan utama ialah tangan kanan jangan memegang penumbuk pasangan, ketika asas lagi. Memadai dengan sentuhan sahaja. Kalau penekanan itu tidak dikuasai maka akan saya suruh mereka mengulang lagi tumbukan berkali-kali hingga gerak sebenar telah mereka kuasai.

Perbezaan yang ada antara Kuntau Kiri dengan Kuntau Kiri Gantung adalah berkait rapat dengan penggunaan kaki yang diletakkan atas pelipat pasangan kita. Dalam gerak Kuntau Kiri Gantung, peranan kaki adalah tersangat penting. Sendi kaki kiri diletak di belakang pelipat musuh. Sekali lagi penekanan pada kaki perlu diberi perhatian berat. Pantang saya jika kaki yang diletak itu bermula dengan sepakan. Peranan kaki tersebut hanya berbentuk sentuhan pada pelipat pasangan kita. Jangan dipukul pelipat atau memberatkan badan pada pasangan kita.

Ingatkan juga pada penuntut. Kaki kita jangan mencangkuk pelipat pasangan kita. Nampak pun buruk. Kita perlu akui bukan senang meluruskan tapak kaki kita. Lutut kita perlu direndahkan bagi membolehkan kaki tidak mencangkuk, hanya membuat sentuhan di belakang pelipat. Persoalannya adalah pada bahagian mana. Kalau ditafsir sebagai belakang pelipat, banyak tempatnya. Setiap tempat memberi kesan yang berbeza dalam proses jatuhan. Sukar ditulis dalam ruangan ini melainkan secara praktikal. Pada mereka yang pernah bersama, tentu tahu akan maksud penerangan saya.

Melakukan gerak gantung kaki kita di pelipat pasangan amat terlalu sukar pada mereka yang berbadan besar atau kaki yang pendek atau kaki yang berisi umpama ubi gajah. Peraturan asas kita tersebut amat menyusahkan mereka. Apa kan daya. Pelajaran kita perlu dilalui juga. Tapi kemudahlenturan sikap kita sebagai Jurulatih mesti ada. Jangan dibebankan mereka tak tentu hala.

Ingatkan juga pada mereka. Buah asas ada sambungannya. Pergerakannya tidak terhenti di situ sahaja. Mungkin beberapa saat sahaja singgah di belakang pelipat. Ketika pelajaran asas, jangan diberatkan badan kita yang besar pada pasangan. Lebih-lebih lagi pasangan yang kecil molek berbanding dengan mereka yang besar gajah.

Pada pandangan saya, memukul pelipat ketika buah asas adalah perbuatan gopoh yang tidak sesuai dan merugikan gerak ketika membuat jatuhan. Malah semasa proses jatuhan juga jangan dipukul-pukul kaki pasangan kita. Berdasarkan pemerhatian, pada jangka masa panjang akan memberi kerugian pada penuntut ketika masuk ke peringkat pelajaran seterusnya.

Saya tegaskan prinsip sentuhan kaki berkali-kali pada penuntut. Kalau penekanan itu tidak dikuasai maka ulang tumbukan berkali-kali hingga saya berpuas hati. Gerak sentuhan pada tangan dan kaki secara automatik tersangat penting ketika membuat buah asas. Sekali lagi saya tegaskan. Jika gagal berbuat demikian maka ulang tumbukan berkali-kali. Biarlah beratus kali hingga gerak sentuhan dapat disebati. Itulah ingatan Ustaz dulunya kepada saya. Jatuhan buah Kuntau Kiri perlu dibuat berhati-hati. Bukan senang nak bagi jadi. Betul di tangan tapi salah di kaki. Kekadang pulak semua tak jadi.

Ada dua perkara yang saya tekankan ketika membuat jatuhan. Pertamanya, tangan yang gelek masuk perlu menolak penumbuk pasangan dengan daya yang ada. Hal yang demikian tidak mendatangkan masalah. Ketika pelajaran asas, penuntut telah dididik dan dibiasakan agar mereka tidak memegang tangan. Oleh itu, tolakan yang dilakukan adalah ’bersih’ dari unsur-unsur pegang tangan kerana kebiasaan yang dipupuk ketika pelajaran asas.

Perbuatan menolak tangan tersebut perlu seiring dengan hirisan kaki ke depan hingga pelipat pasangan kita jatuh sendiri. Dua perbuatan tersebut perlu bersepadu. Jika perbuatan gerak dulu dan gerak kemudian berlaku dan kelihatan amat ketara maka akan saya suruh ulang penumbuk. Misalnya tolakan tangan mendahului hirisan kaki atau hirisan kaki mendahului tolakan tangan. Buat lagi dan lagi hingga saya berasa puas hati. Perbezaan ketika dalam proses gerak mesti tidak ketara. Latihan menggunakan kaki berkali-kali tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada pasangan tersebut. Jangan kira nak buat barisan cepat-cepat. Ulangan penumbuk juga tidak mendatangkan beban. Hal yang demikian kerana penuntut telah dilatih tidak memukul atau menyepak pelipat. Perbuatan kaki hanya menghiris sambil maju ke depan. Pelipat tidak akan rosak. Boleh berlatih panjang.

Apabila kita berpuas hati dengan gerak tolakan tangan dan hirisan kaki, maka barulah kita tekankan soal kuncian. Buah Kuntau Kiri sepatutnya meninggalkan kesan sakit yang amat sangat pada kaki pasangan yang dikunci. Mulut pasangan kita pasti berbunyi tanda berada dalam kesakitan. Saya jelaskan pada mereka betapa kuncian kaki tersebut perlu seiring dengan proses memaut tangan kiri pasangan kita setelah berlaku tolakan tangan kanan. Beri penekanan pada semua yang saya nyatakan di atas. Jatuhan buah ini ada sambungan. Tidak sesuai ditulis dalam ruangan ini. Bukan direka tapi hasil pengetahuan yang ditunjuk oleh Ustaz.

Sambung.