Sunday, November 30, 2008

MIMPI NGERI!

PENGALAMAN SENDIRI

Saya banyak berbincang tentang perkara positif dalam masa penglibatan saya dalam dunia persilatan Silat Cekak dalam artikal-artikal sebelum ini. Kali ini saya ingin untuk menulis, berkongsi pengalaman akan hal-hal yang telah memberi kesan yang tidak begitu menyenangkan pada diri saya. Hal negatif. Menyentuh soal-soal yang berkaitan dengan negatif, tentu tidak ramai yang suka membaca dan mendengarnya. Saya rasa, positif atau negatif banyak bergantung pada tafsiran sendiri. Kalau kita lihat perkara tersebut sebagai positif maka positiflah jadinya. Begitulah sebaliknya, jika kita mempunyai pandangan yang berbeza. Banyak perkara yang kita boleh persoalkan jika ingin bercakap dari aspek positif dan negatif. Walau bagaimanapun segala-galanya bergantung pada pandangan individu tersebut.

Mungkin perbincangan ini sesuai untuk renungan dan mungkin sebagai pengetahuan kepada pembaca sekalian. Jangan pulak takut terpengaruh sangat dengan tulisan ini. Anggaplah tulisan ini sebagai satu lagi sudut penulisan yang boleh dibuat renungan bersama. Perbincangannya hanya pada pandangan dan dalam konteks saya sendiri.

Berkecimpung dalam SC sebegitu lama bermakna saya amat berminat dengan SC itu sendiri dan tentunya dengan falsafah dan perjuangan yang ada. Oleh hal yang demikian ramai yang menganggap saya begitu taksub dengan silat. Kadang kala saya bertanyakan diri saya sendiri, adakah saya benar-benar taksub dengan SC. Saya terfikir secara bandingan akan mereka yang berminat memancing ikan yang boleh menghabiskan masa sehari suntuk di tepi kolam atau di sungai atau di laut semata-mata untuk mendapatkan ikan hasil pancingan mereka sendiri. Untung-untung dapatlah seekor ikan dalam masa enam atau lapan jam. Paling malang sekali apabila seekor ikan pun tak dapat. Pelik pada kita tapi tak pelik pada mereka. Tentunya kita rasakan kegiatan mereka erat kaitannya dengan hobi atau minat. Kita tak pernah mengatakan perbuatan memancing tersebut sebagai taksub. Begitu juga dengan orang yang bermain golf sehari suntuk, semata-mata ingin memasukkan sebiji bola ke dalam lubang. Itulah hobi namanya, bukannya taksub. Berebut sebiji bola oleh dua puluh dua orang di padang bola dirasakan buang masa pada mereka yang tidak berminat dengan bola. Tapi pada peminat bola, kegiatan tersebut banyak faedahnya. Dalam hal ini, saya juga yakin bahawa penglibatan saya dalam SC bukannya kerana taksub tetapi kerana hobi dan minat. Jadi tidak ada salahnya dan tidak patut dikesali.

Akan tetapi kerana minat tersebutlah maka saya terpaksa mengorbankan perasaan anak dan isteri Banyak permintaan mereka yang terpaksa saya kecewakan. Segala-galanya kerana minatkan silat hingga lupakan keluarga. Apabila ’orang rumah’ sound sikit fasal penglibatan tersebut, cepat sangat saya melenting. Maka terpendamlah perasaan mereka. Nak tegur salah, tak tegurpun salah. Maka semuanya serba salah. Saya tetap dengan dunia persilatan saya sendiri. Bermula dari jam 7 malam keluar dari rumah hinggalah larut malam balik ke rumah. Tak sempat berbual dengan anak dan isteri pada waktu malam. Hal ini berterusan berpuluh tahun kerana penglibatan saya bukannya hangat-hangat tahi ayam. Namun begitu ketika ini baru nampak ruginya. Rupa-rupanya, hubungan anak dan isterilah yang kekal abadi. Silat? Saya tak erti.

Seronok mendengar syarahan Ustaz tentang perjungan SC. Perjuangannya logik dan mantap serta berfokas. Sesuai dengan jiwa seni yang ada pada saya. Syarahan-syarahan Ustaz merupakan satu motivasi yang berharga pada diri saya. Bila dah faham tentang perjuangan maka saya teruskan kesinambungan perjuangan tersebut. Bukannya main-main tapi secara serius. Fahaman tentang silat diasah oleh Guru dari masa ke masa. Kadang kala saya rasakan diri ini sudah mantap untuk meneruskan perjuangan. Melihatkan ramai kawan yang berminat seperti saya, kecenderongan untuk berjuang terus membara. Tapi mungkin berbeza antara saya dengan mereka. Saya sukakan kerja-kerja yang bermula dengan ’A’ dan diakhiri dengan ’Z’. Itu juga merupakan salah satu ajaran yang ada dalam SC. Tapi kenapa ramai juga para kawan yang menghilangkan diri. Paling malang sekali mereka yang berbeza pendapat. Rupa-rupanya tindakan mereka bijak sekali. Perjuangan mereka ada had dan ada sempadannya. Cukup masa mereka mengundur atau membelah diri. Cukup dengan pengorbanan yang mereka beri. Pengorbanan ini dikirakan setimpal dengan ilmu yang diasak dan diberi oleh Guru.

Malang Sekali lagi. Sikap itu tidak ada pada diri saya sendiri. Saya tak nampak garis sempadan tersebut. Mungkin kerana minat yang membara. Berkecimpunglah saya hinggakan mahu ke akhir hayat. Tapi sekarang ini dunia SC telah jauh berbeza. Garis sempadan mula saya nampak. Walau pun telah terlewat tapi masa masih ada. Banyak dosa yang saya lakukan pada anak dan isteri. Eloklah saya tebuskan segera. Sedihpun ada. Tapi apa nak buat. Asyik lupa diri.

Ramai kawan seperjuangan yang menghilang diri atau berubah hati. Dulu dan dulu semuanya bersatu hati. Arah perjuangan dan hala tuju begitu jelas sekali. Kadang kala apabila tawar di hati, melihatkan kawan dan bergaul sasama mereka sudah menjadi semacam motivasi. Sayang sekali, kenapa ramai yang beralih hati. Perjuangan asal ke mana pergi. Mana pergi fahaman mereka. Terasa diri semacam lemah. Lurus bendul tentang perjuangan. Perjuangan kononnya!. Saya lihat ramai antara kawan yang berjuangkan glamour. Rebut jawatan sana sini. Hinggakan ada yang bertanding sesama mereka hingga timbul perasaan dengki mendengki. Kenapalah saya lurus sangat. Nampak sangat saya merugikan diri sendiri. Habis semuanya berkepentingan diri. Sekurang-kurangnya berkepentingan diri kerana ingin membela diri atau menegakkan kebenaran diri. Ajaran Ustaz hilang entah ke mana. Cit! Busuk punya kerja.

Jadilah ajaran-ajaran Ustaz mengikut tafsiran sendiri. Prinsip dan falsafah dalam SC begitu mudah ditafsirkan berbeza dengan fahaman yang terdahulu. Sebabnya semasa saya bergaul dengan mereka, fahaman tersebut tetap satu. Tafsiran diri, jauh sekali. Kini saya masih cuba untuk mempertahankan fahaman yang asal. Tapi mana ada bukti. Senang saja ditempelak oleh mereka yang tidak setuju dengan fahaman yang ada. Mereka ada ramai pengikut baru. Bukannya pengikut tersebut tahu. Terpinga-pingalah saya keseorangan diri. Kadang kala dikatakan syok sendiri. Siapa yang nak percaya. Mungkin yang percayapun secara kebetulan kerana saya berada di pihak mereka. Kalau bertentangan pendapat kerana cuba menegakkan fahaman asal saya yang dipupuk sekian lama, pasti ada yang menyanggahnya pulak. Ramai kawan yang lari keluar. Tinggallah saya bernasib malang dalam SC. Walaupun saya telah sampai ke Isyak, tapi saya cuba jangan menyesalkan diri. Ketentuan Ilahi. Nak buat macam mana. Tapi kalau masa di gostan kembali, saya rasa, saya tetap tak berubah hati. Minatlah katakan. Tapi saya boleh berhati-hati.

Berjuang aktif dalam SC mesti ada kekuatan diri. Kalau tidak kita akan tawar hati dan mungkin menyisihkan diri. Satu masa dulu saya pernah menulis bahawa peranan kita kadang kala umpama sebuah kereta. Ketika kereta itu elok keadaannya, kereta tersebut akan dinaiki. Apabila enjinnya rosak dan dihantar ke bengkel, kereta lain akan digunakan sebagai ganti. Duduklah kereta tersebut dalam bengkel. Apabila makanik menalefon bahawa kereta telah dibaiki, tuannya akan mengambilnya dan terus dinaiki.

Itulah yang selalu terjadi dalam SC dari dulu dan akan datang?. Ketika tenaga kita diperlukan, kita akan ’dipergunakan’ dengan sepenuhnya. Mengajar SC siang dan malam lebih membawa erti. Bila sakit atau ditimpa malang, duduklah bersendiri. Ketika itu nampak perjuangan anak dan isteri. Paling malang apabila tiada siapa yang lawati. Guru, jauh sekali. Hanya salam sekadar dikirimi. Setelah pulih, kalau merajuk, akan membawa diri. Kalau ingin terus berbakti, jangan dikutip-kutip perkara yang menyakitkan hati. Setuasi itu akan terus berulang-ulang. Kalau perjuangan hingga ke akhir hayat, bilanglah nasib malang yang menimpa diri. Kiralah berapa kali kita tidak dipeduli. Sungguh menyayat hati.

Dulu semacam telah terpaku dalam fikiran, perjuangan mesti ikhlas. Memperkembang dan menyebarkan SC adalah merupakan satu perjuangan yang hakiki. Oleh itu sebarang bentuk tuntutan bayaran untuk maksud tersebut adalah merupakan perbuatan yang tidak ikhlas. Dalam kelas janganlah bercakap selain daripada silat. Itulah perjuangan hakiki yang ada dalam diri. Tapi kawan-kawan sangat pandai menyesuaikan diri. Jual tilam pun jadi. Alasan yang diberi, tak sedap bergumpal atas tilam sendiri. Tilam mesti dibeli. Yang tak sedar diri semakin hebat berkempen dengan CNI nya. Hilang perjuangan hakiki. Suatu masa dulu, kalau badan tak sihat dikaitkan dengan kesetiaan pada guru, tapi kini diganti dengan ”makanlah produk CNI’.

Ada yang mempunyai hobi sendiri yang tetap tidak diketepi. Sanggup pulak menjadi pengurus kelab peminst bola sepak. Menyimpang terus daripada tugas hakiki dalam keadaan diri dikatakan pengikut setia Ustaz Hanafi. Tapi saya tetap dengan aktiviti mengembangkan SC hingga sanggup mengenepikan minat sendiri. Sungguh rugi sekali. Tapi yang tragis sekali apabila terlupa mengambil ilmu KK. Sekarang baru terasa kelemahan diri. Sentiasa terbayang dihati. Betapa mereka yang menuntut ilmu tersebut sungguh hebat melayari bahtera merdeka. Lapan kali sehari tidak menjejaskan diri. Hebat sekali. Kalau ku tahu begini terjadi, tentu kurebut peluang yang diberi pada tempoh hari. Lupakan seketika silat di kelas untuk untuk belajar ”k” keras.

Itulah mimpi ngeriku ketika ini setelah sekian lama berada dalam perjuangan Ustaz Hanafi. Cukup setakat ini. Ada masa saya akan sambung kembali membincangkan mimpi negeri.