Monday, May 12, 2008

Sambungan yang berulang

LOGIK VS TAK LOGIK

Ada orang yang minta komen daripada saya tentang cadangan penubuhan persatuan baru oleh En Mat. Adakah pembukaan persatuan baru tersebut logik dan sesuai, memandangkan mesyuarat agung pasti akan dijalankan pada satu masa nanti atas perintah mahkamah. Logikkah En Mat keluar daripada SC dalam keadaan, pengaruhnya dalam SC masih kuat. Saya terus memberikan pandangan saya secara menyeluruh berdasarkan kefahaman saya. Mungkin pihak En Mat atau puak-puak MMK telah mempunyai strategi mereka yang tertentu. Hanya masa yang akan menentukan bagi mereka merealisasikan strategi yang telah terbina.

Dalam penulisan saya yang lalu, saya hanya memberikan beberapa cadangan dan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Saya rasa sebagai ahli, saya juga bertanggungjawab untuk mengemukakan pandangan dan telahan berdasarkan pemikiran saya yang sekian lama berkecimpung dalam dunia SC. Saya banyak membuat cadangan meliputi soal persilatan dan soal persatuan. Soal terima atau tidak, itu bukan urusan saya.

Daripada aspek persilatan, SC mempunyai ’tuan’ nya yang tersendiri. Guru adalah tetap guru dan dalam konteks persilatan, pelantikan Guru mempunyai disiplin yang tertentu. Persatuan adalah alat untuk menjalankan persilatan. Di manapun guru berada, hak dan kuasa persilatan tetap di tangan beliau. Salasilah yang ada pada En Mat adalah begitu kuat. Walaupun puak-puak MMK telah tidak mengakuinya lagi, apapun mereka pernah menegaskan tentang warisan dan mandat yang ada pada En Mat adalah sah di satu masa yang lalu. Kita boleh baca dan tonton dalam buku dan vedio yang diterbitkan. Cuma sekarang ini baharu mereka menafikannya kerana agenda yang tertentu. Kalaupun En Mat membuka silat yang baru, mandat ini tetap utuh dan berkekalan. Keris yang meninggalkan sarungnya tetap bergelar keris. Sarung yang ditinggalkan walaupun diganti dengan keris yang baru maka gelarnya tetap tidak yang asal dan tidak asli. Tapi hanya jauhari yang kenal akan maknikam. Oleh itu, cadangan untuk beliau menubuhkan silat yang baru adalah logik dan munasabah.

Kalau dicadangkan En Mat tetap berada dalam SC dan menggunakan saluran mahkamah untuk mengembalikan kuasanya dalam konteks perundangan, juga adalah logik. Pengaruhnya dalam SC tetap kuat dan muridnya juga bertambah dari masa ke masa melalui majlis ijazah yang diadakan. Penyingkirannya pada satu masa yang lalu, adalah atas kehendak ahli-ahli MMK dan MMT yang tidak bersandar pada kata sepakat. Maknanya masih ada dan mungkin ramai di kalangan ahli yang menganggap bahawa En Mat masih releven sebagai Guru Utama dan sebagai Presiden. Oleh itu tindakannya yang masih kekal dalam persatuan dan menjalankan usaha-usaha secara perundangan juga saya kira masih sah dan logik. Hanya masa yang akan menentukan kejayaan atau kegagalannya.

Daripada aspek persatuan, tindakan melengah-lengahkan usaha untuk menyelesaikan krisis yang berlaku adalah tidak logik. Persengketaan yang berlaku sekarang ini melibatkan ahli. Ramai yang bersetuju dan ramai yang tidak bersetuju. Persetujuan ini juga boleh dilambangkan melalui pendirian yang ditunjukkan oleh cawangan-cawangan. Pelbagai pendapat yang berbeza di kalangan ahli, jika dibiarkan berlarutan akan mengundang pepecahan yang berterusan. Oleh itu, cara yang paling baik ialah mengadakan mesyuarat agung sama ada luar biasa atau mesyuarat agung biasa dengan secepat mungkin. Biarlah ahli yang menentukan masa depan persatuan dan masa depan persidennya. Pada saya cadangan ini adalah logik jika kita benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan persengketaan yang berlarutan dalam SC. Cuma masalahnya kenapakah dilengah-lengahkan mesyuarat tersebut. Ini menunjukkan betapa puak-puak MMK tidak ikhlas untuk membuat penyelesaian. Parasaan dendam dan benci pada En Mat amat ketara dan tidak mudah untuk mereka lupakan.

Memperkenalkan Guru baru yang saya gelar Guru Persatuan adalah tidak logik. Guru yang ada, masih sah untuk mengekalkan kuasanya kerana beliau tidak pernah menyerahkan jawatannya kepada sesiapapun. Pak Ak telah memberi mandat kepada En Mat walaupun dinafikan oleh puak-puak CM dan sekarang ini penafian tersebut dipersetujui oleh puak-puak MMK silat CH. Salasilah Guru Persatuan yang tiada asal usulnya akan menyebabkan pelantikan Guru dalam persatuan SC semakin bercelaru dalam jangka panjang. Perebutan kuasa akan terbuka luas dan ini akan mengundang penonjolan populariti di kalangan ahli yang berasa layak diketengahkan sebagai Guru.

Lebih tidak logik lagi kalau puak-puak MMK berkeinginan untuk menubuhkan persatuan silat yang baru andainya mereka tersingkir daripada persatuan yang ada. Jika ini berlaku, belang mereka semakin terserlah. Sememangnya mereka rela akan ahli-ahli kita berpecah belah dan membelakangkan perjuangan SC. Bolehlah digelarkan mereka sebagai pengkhianat dan pertualang silat. Semestinya gila kuasa. Pengikutnya pun dua kali lima sahaja.

Yang paling logik pada saya, demi masa depan SC, buat segera mesyuarat agung. Kalah menang, bukan ukuran utama. Perkara yang paling penting ialah SC terpelihara dan tidak berpecah belah. Siapa yang tersingkir, jangan melatah dan menimbulkan fitnah. Kalau kalah, duduk diam-diam. Penuhi masa lapang dengan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti memancing di air dan di darat. Kalau menang, teruskan usaha dengan suara lantang untuk meledakkan SC.

Kalah dan menang ada logiknya untuk meneruskan aktiviti pemecatan. Kalau En Mat memenangi persatuan, pecat dan tendanglah orang yang tidak berkenaan. Begitulah sebaliknya. Proses tentang-menendang ini adalah hukum organisasi yang harus diakui kebenaran dan logiknya. Rela dan redho sahaja.

Kes yang dibawa ke mahkamah pasti akan menemui jalan penghujungnya. Daripada kes yang dibicarakan tersebut, terdapat juga perkara logik dan tidak logiknya. Jikalau En Mat didapati bersalah hingga setelah rayuannya ditolak kerana mencabul, maka logik padanya mengundur diri demi menjaga malu dan kemaluan persatuan dan dirinya. Tidaklah logik buat beliau memimpin persatuan dalam keadaan namanya tidak mutlat dari sudut kesuciannya. Tapi kalau beliau tidak bersalah maka logik atasnya menyaman kembali si tukang pengadu yang memburukkan namanya hingga diheret ke mahkamah. En Mat juga logik untuk menyaman puak-puak yang menjatuhkan hukuman ke atasnya hingga menyebabkan beliau ’kehilangan ’ jawatan guru utama dan presiden dalam konteks persatuan. Buatlah saman hingga mencecah jutaan ringgit. Semuanya logik jika dibandingkan dengan soal maruah.

Dalam keadaan sekarang, nampak secara logiknya semuanya berada dalam keadaan tenang. Kesibukan guru lebih bergantung pada undangan yang diterima. Bagaimana pula dengan orang-orang kanan mereka. Tentunya masing-masing ada strategi yang tertentu. Entah berapa kali mesyuarat agaknya dan entah berapa kali perjumpaan dan ikrar yang telah dibuat antara mereka. Semuanya logik sebagai persediaan untuk menantikan mesyuarat agung yang pasti menjelma.

Kita jangan lupa, untuk meningkatkan status kita dalam masyarakat, profesion dan anggota keluarga kita memainkan peranan yang penting. Kalau kita berpangkat besar, besarlah penghormatan yang kita terima. Kalau anak-anak kita berjaya dalam pelajaran dan kerjayanya maka lebih besarlah dan lebih bermakna sanjungan yang bakal kita terima. Tapi sanjungan atas penglibatan kita dalam SC cuma terhad di kalangan ahli sahaja. Itupun pada ahli yang sehaluan dengan fahaman kita. Jadi, yang kita sibuk-sibuk sangat berjuang dalam SC hingga boleh menimbulkan persengketaan dan kebencian ahli-ahli lain terhadap kita, kadang kala saya pun tak nampak logiknya. Kita merelakan orang lain kutuk kita kerana tindak tanduk kita yang mengejar tempat dalam SC.

Perjuangan Pak Am dan Pak Sir ada logiknya. Mereka berjuang sejak zaman Ustaz lagi. Silat Cekak adalah merupakan sebahagian daripada diri mereka. Logik buat mereka terus berjuang daripada tersingkir teruk. Perjuangan Pak Bai dan Pak K juga ada logiknya. Hal ini demikian kerana jawatan Guru terbuka luas selepas Pak Jo nanti. Perjuangan Pak Lan dan Pak Li sukar difahami. Apa yang diperjuangkan. Adakah kerana perjuangan Ustaz Hanafi. Tapi berjumpa dengan Ustazpun dah tak tentu bila dan hala. Habis tu, kenapa mereka berjuang bermati-matian dalam menegakkan persatuan ketika ini; pada hal di satu masa dulu telah meminta izin daripada En Mat untuk melepaskan jawatan kerana alasan sibuk. Bukankah secara logik, inilah masanya untuk berbuat demikian. Bolehlah belah dengan kehormat untuk menjaga profesion dan keluarga. Akan tetapi, perjuangan puak-puak yang lain-lainnya dengan bersungguh dan begitu beria-ria memperjuangkan SC hingga sanggup berketiakkan Guru Persatuan, ana kurang faham logiknya.

Kepada mereka yang selama ini dihormati oleh rakan taulan, logiklah berdiam diri untuk mengikuti perkembangan seterusnya. Jangan menyebelahi mana-mana pihak yang akhirnya menghilangkan penghormatan orang lain terhadap kita. Jangan beria-ria benar untuk menegakkan sesuatu yang kita sendiri kurang memahaminya. Cukuplah kita menegakkan akan apa yang ada pada diri kita sahaja. Itu adalah ingatan pada ahli yang lelaki. Pada ahli-ahli perempuan, saya pun tak faham-faham akan logiknya perjuangan mereka. Yang sibuk-sibuk sangat itu - Ape ke bendanya atau anunya yang ada, yang nak ditegakkan. Terima aje le.

Saturday, May 10, 2008

JANGAN SIBUK MA

CARI SUSAH

Kes di mahkamah ditunda lagi. Situasi ini amat sesuai bagi puak-puak persatuan untuk menghimpun tenaga dan pengaruh bagi persiapan mesyuarat agung sebenarnya. Mana puncanya hingga kes ini berterusan tertangguh. Pelbagai alasan yang diberikan. Akan tetapi, masih ramai ahli yang masih bercakap tentang masa depan SC. Siapakah yang patut menerajuinya. Tiada kata putus. Pengaruh En Mat masih ada dan dikatakan tetap kuat. Guru Persatuan yang didokong oleh puak-puaknya tetap mengatakan En Mat tidak layak lagi memegang jawatan Guru Utama. Konsep warisan dan mandat terpaksa ditukar kepada konsep lantikan MMK dan MMT. Yang hairannya orang tua dan bangka yang dikatakan faham dengan SC pun boleh bersetuju. Sebaliknya, pengikut setia En Mat tetap tidak berganjak untuk mengekalkan kuasa Guru Utamanya.

Kadang-kadang heran juga. Kalau berlaku krisis dalam persatuan, sepatutnya serahkan pada ahli untuk menentukan masa depan persatuan. Buat saja mesyuarat agung sama ada luar biasa ataupun mesyuarat agung biasa. Biarlah ahli yang menentukan sama ada En Mat masih releven sebagai Presiden SC ataupun tidak. Tapi itu kata kita. Apa yang kita fikirkan tidak semudah untuk dilaksanakan. Perjuangan sekarang nampaknya lebih bersifat peribadi. Kalau difikir-fikirkan, apa yang mereka iaitu ahli-ahli MMK sekarang dapat dengan cara yang pelbagai helah bagi menghindari mesyuarat agung. Pak Lan dan Pak Li pun bukannya orang lama sangat. Mereka ada bidang tugas mereka sendiri. Sepatutnya, tinggalkan saja SC dan tumpukan pada profesion yang sedia ada dan beri tumpuan pada keluarga. Berilah hak menentukan masa depan SC kepada ahli.

Walau bagaimanapun, Pak Am, Pak Sir, Pak Lan dan Pak Li masih sayangkan persatuan. Silap langkah, pasti mereka akan diketepikan kalau mesyuarat agung diadakan sekarang. Kenapakah mereka begitu sayangkan persatuan lagi. Kita kena buat analisis. Tapi saya tak nak buang masa untuk mengkaji. Kena buat soal selidik. Tapi mereka adalah orang lama yang telah tua dan menjadi bangka. Saya tak nafikan betapa pengorbanan mereka begitu banyak sekali sejak zaman Ustaz. Masa yang dikorbankan untuk SC begitu sukar diukur. Dalam zaman Ustaz, mereka adalah orang ’kuat’ yang menggerakkan persatuan. Nestolgia mereka dalam SC begitu menebal dan tidak mudah untuk dilupakan. Dalam zaman pepecahan dengan Pak Ak, mereka juga turut memainkan peranan untuk mengembalikan kegemilangan SC. En Mat pun terpaksa bergantung erat dengan mereka. Namun, penglibatan mereka sering dicurigakan. Pak Lan dan Pak Li adalah merupakan peneraju utama untuk mengikis fahaman yang mencurigakan itu. Kerap kita lihat pertentangan pendapat atau pandangan antara Pak Am dan Pak Sir dengan Pak Lan dan Pak Li.

Hari berganti hari, musim bertukar musim. Akhinya Pak Lan dan Pak Li boleh bersama-sama dengan Pak Am dan Pak Sir. Mereka telah menjadi seiring sejalan dan sepandangan menentang En Mat. Kenapakah ini boleh terjadi. Tentu banyak puncanya.

Persoalan yang kedua yang saya ingin utarakan di sini ialah mana perginya pengikut setia En Mat yang dulunya begitu setia dengannya tiba-tiba menjadi ’derhaka’. Kenapa tiba-tiba mereka beralih angin dan beralih sokongan dengan begitu mudah. Hal ini demikian, menunjukkan setapa hati yang ada pada mereka sentiasa ’terbuku’ tapi tidak diluahkan. Nak merajuk, tidak ada tempat. Kalau menentang maka mereka akan terus dipulaukan. Bila tiba saat dan ketikanya baharulah mereka menunjukkan belangnya. Tapi sampai bila ya! Yang pastinya, apabila tiba masanya mereka akan diketepikan oleh ahli. Sungguh sayang sekali. Terutamanya kalau usia masih muda.

Ramai ahli yang saya berjumpa begitu jelas pendirian mereka. Saya turut kagum dengan pegangan mereka tersebut. Silat dijalankan oleh persatuan. Namun silat itu sendiri mesti ada kuasa autonomi dan diurus oleh gurunya yang sah. Berdasarkan ini, mereka tetap berpendirian betapa kita perlu menghormati persatuan. Hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dan peraturan berpasatuan perlu diakui kuasa yang ada pada persatuan. Kalau persatuan mengarahkan mesyuarat atau pelbagai arahan yang bersabit dengan perjalanan persatuan maka kita perlu tunduk dan mengakuinya. Sebaliknya, hal-hal yang berkaitan dengan persilatan, peranan guru tetap utuh dan tidak boleh diketepikan. Oleh itu, golongan yang berpendirian walaupun tunduk pada persatuan tapi tidak rela ’membuang’ guru tetap dijadikan pegangan.

Guru yang dilantik oleh persatuan adalah tidak sama dengan guru yang terlantik hasil daripada mandat dan warisan. Kalau Guru Persatuan, pastinya pengganti Guru terbuka luas. Siapa yang rapat dengan peneraju persatuan dan mempunyai pengaruh, berkesempatan menjadi Guru. Politik wang akan menjadi agenda utama. Jadi, tidak hairanlah kalau mereka yang berjuang habis-habisan dalam Persatuan sekarang ini begitu tegas untuk menyingkirkan En Mat. Sekurang-kurangnya ada peluang jadi Guru ma. Duitpun ada untuk menyebarkan pengaruh. Itu sebab kadang kala kehairanan saya pada mereka boleh terjawab. Nak kata bagi mempertahankan keaslian SC, susah juga nak diterima. Banyak perkara yang diubah. Usahlah dibincang akan adat-adat yang ada dalam SC tapi buah-buah dan sistem pengajarannya yang asli dalam zaman Ustaz pun telah diubah.

Pada saya ketika ini tidaklah perlu buat kita membuang masa bagi membincangkan masa depan SC. Kalau benar-benar ikhlas, buat saja mesyuarat agung dan biarlah ahli yang tenukan masa depan SC itu sendiri. Tumpukanlah pada biadang profesion kita dan semestinya tumpukan pada keluarga kita yang ada.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA.