Tuesday, August 31, 2010

BUAH HENTAK.

Saya sangat suka dengan buah ini. Buah ini juga dikenali sebagai Keputusan Silat Harimau. Di mana letak gerak harimaunya. Saya pun tak pernah bertanya dengan sesiapapun. Tapi saya buat kesimpulan sendiri. Mungkin kalau kita lakonkan gerak tangan kanan dan tangan kiri, termasuk gerak kaki yang diangkat ke atas, maka rupanya pun hebat dan saya dapat hubungkan dengan gerak harimau. Saya buat andaian sendiri. Namun begitu, hal berkenaan bukan masalah perdu yang perlu dibahaskan. Di mana letak harimaunya maka fikirkan sendiri. Perkara pentingnya ialah penguasaan buahnya.

Jatuhan buah ini juga amat cantik kalau kena seni buatnya. Geraknya sangat laju dan sukar digambarkan oleh mereka yang menonton. Buah ini ringkas dan amat padat. Pengambilnya berkeadaan tenang menghadapi serangan. Bila diserang, umpama kilat musuh kecundang. Pasangan silat yang menyerang itu, tiba-tiba jatuh telentang di bumi. Para penonton sukar mengesan punca jatuhannya. Begitulah hebatnya buah Keputusan Silat Harimau.

Mengambil buah ini tetap memerlukan ketangkasan, kekemasan dan ketepatan. Tidak boleh teragak-agak. Hal yang demikian tersangat sesuai dengan makna hentak. Istilah hentak adalah bermaksud memijak dengan kuat. Perbuatan memijak dengan kuat itu merupakan kejutan. Pesilat yang ambil buah ini perlu bergerak dengan berani, yakin dan cekal. Tidak boleh teragak-agak. Perlu membuat keputusan dan tindakan segera.

Oleh itu saya menaruh keyakinan bahawa jika kita sering berlatih buah Hentak ini maka secara langsung sifat-sifat berani, yakin dan cekal yang saya sebutkan itu boleh disemai dan dipupuk dalam diri kita dari masa ke masa. Hari-hari mau. Sifat-sifat berani, yakin dan cekal akan membolehkan kita semakin hebat dan boleh bergaya dengan penuh keyakinan dalam SC.

Penekanan saya pada buah ini ada pada empat tempat. Pertamanya, siku kanan kita mesti berada pada ketiak pasangan kita. Keadaan siku itu, tersangkut pada bahagian tulang ’lubang’ ketiak. Perbuatan itu perlu dipastikan tepat, dalam keadaan tangan kanan kita terbuka kerana menolak tangan kanan pasangan. Mungkin pesilat akan menghadapi masalah apabila pasangannya bersifat geli. Walau bagaimanapun, Jurulatih perlu mencari jalan bagi mengatasinya.

Keduanya tangan kiri perlu memaut bahu kiri pasangan dalam keadaan siku tangan kiri itu rapat pada badan. Dalam konteks ini masalah yang timbul ialah tangan pesilat itu pendek dan badannya melebihi lemak. Siku tangan kirinya yang sepatutnya rapat ke badan pasangan, akan menarik badan pasangannya. Hal yang demikian akan menyebabkan jatuhan yang bakal dilakukan tidak dapat dibuat dengan sempurna. Bantu pesilat itu.

Ketiga, kaki perlu rapat ke bahagian belakang pasangan dengan kedudukan kaki itu tergantung pada pelipat. Perbuatan ini akan ’menyeksa’ pesilat yang berkaki pendek. Akan berlaku nanti, lutut kaki kanan pesilat itu terkeluar dari medan yang sepatutnya. Nampak buruk dan sangat mendukacitakan. Namun begitu, sekali lagi Jurulatih perlu mencari ikhtiar bagi mengatasi masalah tersebut.

Penekanan akhir yang penting ialah jatuhan secara hentakan yang dilakukan mesti secara serentak antara gerakan kaki, siku kanan dan tangan kiri. Serentak hala ke bawah. Kesemua empat gerakan yang saya tekankan itu, perlu dilakukan dalam proses yang berterusan. Mana dulu dan mana kemudiannya. Secara mata kasar, amat sukar dikesan. Tapi ada perbezaan.

Sebagai Jurulatih, kita perlu perhatikan sama ada buah tersebut menjadi atau tidak. Jatuhan yang benar menjadikan pasangan yang menyerang akan jatuh umpama ’nangka busuk’ jatuh ke tanah. Badannya secara automatik akan rapat dengan pembuat buah. Kalau pasangan yang membuat buah terpaksa melangkah ke depan untuk merapatkan diri bagi tindakan berikutnya, maka maknanya buah itu tidak menjadi. Jika lutut pasangan yang menyerang jatuh dahulu sebelum telentang maknanya juga buah tersebut tidak menjadi. Maka perlu diulang lagi.

Seperti yang saya nyatakan di atas, pengajaran buah ini akan bermasalah jika pesilat itu mempunyai tubuh badan yang melebihi had dan kaki serta tangannya pendek. Menyuruh pesilat itu ’mencuri’ langkah kaki kiri, pasti akan menyelesaikan masalah menurunkan buah tersebut. Namun begitu bagi maksud penguasaan buah Hentak, perbuatan mencuri langkah eloklah cuba-cuba dihindarkan. Oleh itu, sekali lagi ketika saya mengajar dulu, saya sendiri atau Jurulatih yang lain akan membuat tumbukan. Kita boleh menyesuaikan tumbukan kita bagi memudahkan pesilat kita membuat buah.

Kita perlu ingat bahawa tugas kita ialah memandu mereka bagi menguasai buah-buah asas dan jatuh. Permudahkan mereka bagi menguasai buah tersebut berdasarkan sukatan pelajaran. Kalau pun buah tersebut sukar dikuasai mereka bagi menentang musuh, banyak lagi buah-buah dalam SC yang dapat digunakan secara berkesan. Pelajaran perlu diikuti dan dikuasai. Maka permudahkan mereka untuk mencapai hasrat tersebut. Jurulatih juga perlu sensitif dengan sifat-sifat semula jadi yang ada pada penuntutnya. Sifat-sifat seperti penggeli, tangan pendek dan kaki pendek akan mempengaruhi kekemasan buah ini. Maka bantulah mereka agar mereka benar-benar dapat menguasai buah Keputusan Silat Harimau.