Thursday, August 19, 2010

KILAS BELAKANG.

Mempelajari buah ini bermakna para penuntut akan mempelajari satu lagi bentuk pukulan dengan dimulai dengan kaedah ’A’. Pukulan adalah pada leher pasangan yang menumbuk. Setelah mendapat empat buah maka saya mula simpulkan bahawa kaedah yang diambil tidak boleh dilakukan sambil lewa. Daripada kaedah maka datangnya buah-buah tersebut. Saya dapat rasakan betapa perbuatan mengambil buah berasaskan Kaedah A memerlukan ketangkasan, kekemasan dan ketepatan. Hal yang demikian menjadikan gerak kita berbentuk kejutan pada pasangan yang menumbuk.

Kejutan yang digunakan menghasilkan pukulan yang mantap dan pergerakan yang hebat. Hal yang demikian juga menyebabkan saya memberi penekanan, setiap kali para penuntut mengambil buah-buah, kejutan dalam pergerakan mesti ada. Kejutan bukannya bermaksud mengejut. Kejutan menunjukkan perbuatan automatik yang dihasilkan kerana ketangkasan, kekemasan dan ketepatan kita ketika membuat Kaedah. Saya pernah menulis tentang konsep kejutan dalam SC.

Punggung ’bertemu’ punggung adalah merupakan salah satu penekanan yang diberi. Sejauh mana perbuatan bertemu punggung ini perlu dilakukan. Susah diterangkan secara tulisan. Tetapi perkara yang pastinya, kerana prinsip inilah maka mudah bagi kita menjatuhkan lawan. Jatuhan yang dilakukan tidak banyak menggunakan kekuatan seperti gerak sukan. Kita tak membanting. Kalau membanting bermakna badan lawan akan berada atas pinggang kita. Bayangkan kalau pasangan kita orang yang terlebih badan. Akan terpeliut pinggang kita. Paling malang kita yang membanting terus jatuh ditimpa badan pasangan.

Dalam silat Melayu lain yang saya pelajari, bentuk buah ini ada diajar. Bezanya ialah cara ambil buah berdasarkan elakan. Tangan akan berpaut pada bahu sebelah dalam dan terus membanting. Amat sukar melakukan gerak ini pada mereka yang berisi. Perlu ada kekuatan. Gerak sukan. Ketika menuntut dulu, Ustaz menekankan betapa SC juga menumpang pada kekuatan lawan bagi menewaskan kekuatan mereka. SC merupakan silat yang berseni. Seni adalah sesuatu gerak yang halus dan dapat digunakan dalam pelbagai keadaan. Kalau betul seninya, si kecil boleh menghadapi si besar dan si kurus berupaya menghadapi si gemuk.

Bagi membuktikan kata-kata itu, ketika belajar dan mengajar buah Kilas Belakang maka saya menukar pasangan, mencari pasangan yang terlebih badan. Maka terbukti kehebatan seni yang ada dapat menjatuhkan lawan yang besar daripada kita. Jatuhan lawan yang mudah itu adalah dengan teknik jatuhan betul seperti yang sepatutnya dalam SC dan bukannya secara membanting lawan. Hal yang demikian terbukti adalah kerana hasil penekanan pembelajaran pada dua tempat seperti yang saya bincangkan di atas.