Tuesday, December 28, 2010

Sambungan... LATIHAN SERANG DAN BUAH UMUM

Konsep menyerang ’penanti’ dalam senarai buah umum, saya fahamkan sebagai serangan pada ’tapak’ silat-silat Melayu yang ada. Kebanyakan silat Melayu mempunyai kedudukan atau tapak yang tertentu sama ada dalam proses bertahan atau dalam proses menyerang. Kedudukan tapak tersebut mempunyai maksud gerak yang tertentu. Oleh itu ketika menyerang, pesilat perlu berhati-hati dan menggunakan akal pemikiran yang tepat dan yakin bagi memintas maksud gerak yang ingin dilakukan oleh pasangan mereka. Keyakinan pada arah gerak pasangan kita yang membuat kepelbagaian tapak tersebut adalah berdasarkan kepada beberapa prinsip.

Pertamanya, pesilat perlu mengetahui kedudukan tangan dan kedudukan kaki pasangan. Pemerhatian pada kedudukan tangan dan kaki akan menentukan sama ada serangan yang dibuat berbentuk tumbukan atau berbentuk hanyunan seperti yang terdapat pada pukulan Sendeng Atas. Pada kebiasaannya, pasangan yang bertapak dengan kaki kanan di hadapan maka tangan kanan lebih aktif daripada tangan kiri. Begitulah sebaliknya, jika kaki kiri berada di depan atau di mana-mana sebagai berperanan utama maka tangan kiri pasangan adalah lebih aktif berbanding dengan tangan kanannya.

Prinsip kedua ada kaitan dengan kejutan. Setiap serangan sama ada secara tumbukan atau ayunan, perlu berbentuk kejutan. Saya telah banyak kali menyentuh tentang kemahiran ini dalam menunggu serangan atau semasa serangan dilakukan pesilat. Kejutan akan menghasilkan gerak yang tangkas, kemas dan akan menyebabkan pasangan berada dalam suasana yang tidak seimbang. Dalam suasana yang sebegitu, pesilat akan bertindak dengan pantas bagi menyudahkan serangan.

Prinsip ketiga, gerak memotong memerlukan gerak semula jadi pesilat. Gerak itu perlu secara secara spontan. Kalau pesilat mereka-reka atau berfikir-fikir ketika proses serangan, biasanya serangan tersebut kurang ’menjadi’. Oleh itu kita membenarkan para pesilat membuat geraknya sama ada secara gerak potong berbentuk spring atau gerak potong berbentuk tidak spring. Dalam proses ini juga ketika bertindak, pesilat boleh menggunakan bentuk-bentuk blok tepisan seperti pukulan kaki atau jab atau pukulan siku. Semuanya bergantung pada keadaan dan situasi yang ada.

Prinsip keempat, pada setiap serangan tapak tersebut, pesilat perlu mempunyai sifat keluarbiasaan dalam geraknya. Ketika belajar dulu, kami dipopularkan dengan ayat, ”Orang masuk ikut pintu, kita masuk ikut tingkap”. Maknanya, jika pasangan mengharapkan serangan pada bahagian dada, pesilat akan menyerang di bahagian muka. Begitulah seterusnya. Dalam konteks ini, pesilat ’memotong’ jangkaan pasangannya. Gerak yang berupa luar dari kebiasaan tersebut akan menyebabkan pasangan tidak dapat menjangka bentuk serangan yang kita lakukan.

Terdapat gerak-gerak penanti seperti tinju atau tomoi yang memerlukan gerak serangan yang mantap, yakin dan mengelirukan pasangan. Gerak-gerak itu juga adalah merupakan gerak yang luar biasa. Gerak yang luar biasa ini akan berupaya mengatasi penanti yang luar dari kebiasaan dalam silat Melayu.

Dalam konteks serangan tapak ini, terdapat persoalan tentang bentuk serangan yang membabitkan buah-buah umum yang terdahulu seperti Sendeng Pertama, Sendeng Makan Dalam, Judo Banting dan sebagainya. Jika pasangan menggunakan tapat untuk membuat buah-buah tersebut, kita lebih utamakan serangan pada tapaknya. Itulah yang kita lihat dan itulah jangkaan yang jelas pada mata kita. Saya selalu tegaskan betapa dalam serangan, kita lebih berdasarkan kedudukan pasangan. Walaupun niatnya ingin membuat buah-buah umum yang berkenaan, serangan pesilat masih lagi berdasarkan kedudukan kaki dan tangan pasangan. Kita tidak mempedulikan apakah buah yang bakal digunakan pasangan ataupun lawan.

Dalam masa latihan, beberapa penekanan telah diberikan. Setiap serangan yang dilakukan jika menghadapi masalah maka konsep enam tolak enam adalah sangat diperlukan. Pesilat akan keluar dari medan pergaduhan bagi menyusun balik strategi bagi membuat satu serangan yang lain.

Saya selalu kaitkan konsep enam tolak enam dalam aplikasi sikap kita dalam dunia kehidupan. Dalam satu-satu situasi yang tertentu, mengalah atau mengundur diri bukanlah bermakna kita bacul atau bersifat penakut. Sebaliknya kita menyusun strategi bagi menentukan kemenangan mutlak di akhir peristiwa atau di akhir perkara dalam satu isu. Di sinilah lahirnya sifat sabar dan ketenangan diri. Minyak jika disimbah dengan api pasti akan membakar diri.

Pelajaran menggunakan kaki akan dikhaskan pada satu sesi latihan. Walaupun SC tidak menggunakan kaki untuk membuat serangan akan tetapi kebanyakan seni mempertahankan diri yang lain amat suka menggunakan kaki. Malah ada seni bela diri dari luar yang menjadikan kaki sebagai punca geraknya yang utama.

Walau bagaimanapun, SC masih lagi menggunakan kaki dalam geraknya. Langkah-melangkah tetap menggunakan kaki. Malah, terdapat pukulan-pukulan yang menggunakan kaki. Penggunaan pukulan kaki banyak diperkenalkan ketika latihan umum. Oleh itu, penggunaan kaki bukanlah asing bagi kita. Memperkenalkan pelajaran kaki adalah berdasarkan kepada prinsip asas. Prinsip ini juga dapat dikatakan sebagai syarat-syarat utama jika berlatih menggunakan kaki. Saya akan membincangkan dalam tulisan ini tentang prinsip-prinsip asas penggunaan kaki tersebut.

Pertamanya, ‘Bila tangan digunakan musuh maka tangan pula balasannya. Jika musuh menggunakan kaki, maka kakilah balasannya tanpa menggunakan tangan menepis serangan kaki.’ Oleh itu latihan mengatasi serangan kaki dengan kaki adalah merupakan asas yang utama. Penguasaan yang mantap akan banyak membantu para pesilat untuk mengendalikan sebarang bentuk serangan kaki.

Walaupun ada kekecualian, prinsip ’kaki ditepis dengan kaki’ adalah merupakan prinsip asas dalam SC. Sepak Minang yang cuba diambil dengan kaedah tangan, amat membimbangkan, melainkan cara sepakan tersebut umpama sepakan lajak. Apa yang saya perhatikan, penggunaan kaki untuk menangkis serangan kaki sangat kurang diperturunkan kepada penuntut. Hal ini amat merugikan.

Keduanya, pesilat perlu membuat keputusan secara semula jadi sama ada melangkah sambil menepis terlebih dahulu atau membuat langkahan terus sambil mengenakan pukulan. Gerak yang sedemikian adalah seperti mana yang terdapat semasa menangkis sepakan luar. Kedua-dua gerak berkenaan dikira selamat. Namun begitu kesan yang diperoleh pasangan adalah berbeza.

Prinsip ketiga adalah berhubung kait dengan diri pesilat itu sendiri. Semasa mengambil kaki, pesilat perlu mempunyai semangat, keyakinan, keberanian dan jangan teragak-agak semasa melakukan gerak. Pesilat tidak boleh berhenti dalam proses gerak dilakukan. Jika salah gerak sekalipun, mereka perlu menghabiskannya. Setelah pembetulan maka latihan yang sama diteruskan hingga mereka menguasai gerak yang betul dan tepat. Gerak yang betul ini perlu diulang-ulang latihannya hingga bersebati dalam kalangan diri pesilat itu sendiri. Sifat-sifat yang berkenaan boleh dipupuk melalui latihan yang berterusan dan mendapat bimbingan yang sempurna daripada Jurulatih.

Penggunaan senjata juga merupakan pelajaran yang dipandang berat. Pelajaran ini adalah merupakan pelajaran akhir setelah pesilat benar-benar dapat menguasai pergerakan dua tangan dan dua kaki. Untuk pergerakan tangan dan kaki, pemberatan adalah pada penggunaan tangan dan kaki kanan dalam pemulaan serang. Kecekapan dan penguasaan gerak kanan akan membolehkan mereka berlatih secara kiri. Hal yang demikian tidak mendatangkan masalah yang besar. Cuma, para pesilat perlu membuat penyesuaian pada gerak yang berlainan. Pembelajarannya hanyalah setakat mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

Umumnya saya bahagikan senjata kepada dua iaitu senjata tongkat dan senjata pisau. Tersangat jarang saya membincangkan tentang senjata-senjata panjang. SC sangat sesuai untuk mengatasi segala bentuk serangan senjata pendek. Penggunaan senjata panjang seperti tongkat panjang hanya diajar dalam konsep habuan sesak. Hal yang demikian kerana gerak mengatasi senjata panjang tersebut adalah menyimpang daripada konsep dan prinsip gerak SC.

Ketika memperkenalkan senjata dalam kalangan pesilat, saya pastikan mereka telah menguasai segala bentuk buah jatuh yang ada dalam senarai sukatan pelajaran. Penguasaan tersebut perlu diiringi dengan ketangkasan, ketepatan dan kekemasan. Kegagalan menguasai kemahiran-kemahiran tersebut akan menganggu pembelajaran senjata yang cuba diperkenalkan.

Sebelum mempelajari latihan gerak pisau, para penuntut diperkenalkan dengan latihan gerak tongkat. Ada banyak cara menyerang dengan tongkat. Pada peringkat awal, segala bentuk serangan tongkat akan diambil berdasarkan buah-buah jatuhan yang ada. Apabila pesilat menguasai buah-buah tersebut, aplikasi kemahiran buah jatuh diperkenalkan dalam kalangan mereka. Mereka dikehendaki mengambil pelbagai jenis serangan tongkat tanpa diberitahu arah serangan. Terdapat kaedah yang jelas dalam latihan tanpa pakat tersebut.

Terkenang betapa para pesilat menggunakan topi keledar ketika menghadapi serangan dari atas sama ada semasa berdiri dan semasa duduk. Kaedah duduk ketika itu kami gelar sebagai cara duduk orang ’kalah judi’. Punggung duduk dan kedua-dua tangan akan mengampu. Pemakaian topi keledar menyebabkan pukulan pesilat tidak perlu dibrek. Dalam masa gerak serangan inilah Jurulatih akan dapat perhatikan ketangkasan dan kesungguhan para pesilat menghadapi serangan tongkat dalam situasi sebenarnya sama ada duduk atau berdiri. Keberanian yang wujud itu akan memudahkan mereka mempelajari senjata pisau. Kalau gerak tongkatpun sukar dihadapi maka apatah lagi dengan pisau.

Kemahiran menggunakan sejata pisau adalah merupakan kemahiran senjata yang terakhir. Bukan mudah berlatih dengan mengunakan kaedah untuk menghadapi gerak pisau. Mereka yang teragak-agak dalam gerak, sukar untuk menguasai pelajaran pisau. Namun begitu pelajaran pisau tetap disampaikan pada mereka. Latihan adalah secara menggunakan pisau sebenar. Oleh itu, para pesilat perlu berhati-hati. Sifat teragak-agak membuat buah akan menyebabkan kecederaan kepada pesilat itu sendiri. Ketika inilah pakatan gerak sesama pasangan silat amat diperlukan. Lebih-lebih lagi ketika ini penumbuk serang semakin menjadi. Sekian.

Monday, December 27, 2010

LATIHAN SERANG DAN BUAH UMUM

Dalam konteks kemahiran pergerakan kaki dan tangan, senarai buah-buah umum yang ada, pada pengalaman saya tidak semuanya sesuai untuk diguna pakai. Namun begitu, buah-buah yang disenaraikan boleh dijadikan panduan sahaja untuk maksud latihan. Ada kalangan buah-buah tersebut yang saya fikirkan tidak sesuai langsung dijadikan mata pelajaran. Tidak logik dalam konteks konsep dan prinsip SC dan suasana pada zaman sekarang.

Walau bagaimanapun dalam tulisan ini, saya akan membuat ulasan tentang buah-buah tersebut seperti mana yang pernah saya komen pada mereka yang pernah saya asuh. Saya selalu tegaskan kepada pesilat asuhan saya supaya jangan mementingkan kesempurnaan atau ketepatan membuat buah-buah umum yang bukan menjadi milik kita. Cukup setakat berpengetahuan tentang buah-buah umum tersebut supaya mudah dijadikan alat untuk melatih tumbuk serang kita.

Saya ingin menarik perhatian pesilat tentang satu daripada senarai buah yang ada iaitu buah Sendeng Tiga Alam. Buah ini amat sukar ’dipotong’ pada mereka yang tidak memahami konsep menyerang dan serangan pun ’tak menjadi’. Semasa membuat gerak potong, pesilat disaran supaya menggunakan kaki kiri untuk menyepak pelipat kaki kanan pasangan. Tapi sekarang ada saranan supaya dibuat gerak potong dengan kaedah A. Arahahnya memang mudah jika pesilat itu menghadapi serangan secara penumbuk biasa. Dulunya Ustaz pernah istilahkan penumbuk jenis itu sebagai ”penumbuk bodoh”.

Biasanya, sebelum dipotong buah berkenaan, pesilat diajar membuat buah Sendeng Tiga Alam tersebut dengan betul dan sempurna. Setelah pasangan menguasai cara-cara membuat buah berkenaan maka barulah pesilat membuat serangan bagi maksud gerak potong. Maka berlatihlah para pesilat dengan buah yang bukan menjadi hak milik persilatannya. Alangkah terseksanya diri mereka. Bukan senang nak berkuda-kuda terutamanya yang bertubuh semangat. Sekali buat buah maka sekali mereka mengeluh.

Namun begitu, pelajaran umum di tempat saya amat jarang mempelajari cara-cara membuat buah-buah silat lain tersebut dengan betul dan sempurna. Mempelajari buah-buah silat lain secara terperinci bagi maksud memotong, saya rasa buang masa dan sangat merugikan. Caranya amat berbeza dengan kelaziman buah-buah silat kita.

Saya berpendapat bahawa mempelajari buah-buah umum yang ada adalah hanya setakat pengetahuan bagi memudahkan pesilat membuat gerak potong. Itupun kalau boleh buat, buat. Kalau gagal membuat buah dengan cantik, jangan risau. Asalkan gerak mulanya nampak bayang-bayang buah, maka cukuplah setakat itu sahaja.

Berbalik pada buah Sendeng Tiga Alam, buah itu telah terkeluar daripada senarai latihan di tempat saya. Keadaan itu adalah disebabkan tidak ada sesiapa pun yang berani membuat buah berkenaan. Penumbuk pasti akan menuju ke muka. Tak sempat membuat buah. Berdasarkan tumbuk serang pada buah tersebut, soal memukul pelipat adalah tidak timbul. Buah umum yang sedap namanya itu akan mudah diketepikan dengan satu serangan.

Apabila pasangan ’turun’ ke bawah maka muka pasangan tersebut akan menjadi sasaran. Oleh itu, usaha membuat buah berkenaan tidak berupaya dilakukan pasangan. Kecualilah jika penumbuk yang dihantar tidak berkonsepkan tumbuk serang. Maka mudahlah pasangan membuat buah, manakala pesilat akan berhempas pulas memotong gerak silat lain itu yang pesilat itu sendiri membenarkan pasangannya membuat buah.

Pengajaran buah Terjun Ke Bawah dan buah Kusyen perlu diubah suai dan logikkan pergerakannya. Buah-buah tersebut erat kaitan dengan dunia harapan dan khayalan pada mereka yang belum menguasainya. Bukan mudah melakonkan buah tersebut pada mereka yang bukan bidangnya. Lebih-lebih lagi ketika kita bayangkan pesilat yang bertubuh besar. Jatuhnya adalah jatuh sudah. Umpama jatuhan nangka atau cempedak. Tak tertahan tangan menampung berat badan yang hebat mengembang. Itu sebabnya jika setakat perlu dinyatakan dan dijar juga buah berkenaan maka bentuk latihan akan melahirkan suasana lucu dan melucukan.

Saya tetap berfaham bahawa buah-buah umum sama ada yang tersenarai atau tidak tersenarai adalah merupakan alat untuk memantapkan tumbuk serang kita. Hal yang demikian adalah kerana buah-buah umum tersebut mempunyai elakan atau tepisan beserta elakan. Tentunya gerak yang demikian berbeza dengan gerak SC yang tidak ada langsung elakan. Untuk melatih tumbuk serang secara pasangan membuat buah-buah SC, tentulah meyulitkan.

Seperti yang dinyatakan, pada kebiasaannya penumbuk serang yang dilepaskan akan hinggap ke mana-mana bahagian yang terbuka ruang, khasnya di bahagian muka. Hal yang demikian berlaku adalah kerana pesilat sentiasa menggunakan tumbuk serang. Kecualilah kelas-kelas yang tidak tetap pendirian. Kelas-kelas tersebut hanya menggunakan tumbuk serang ketika pelajaran serang sahaja. Semasa pelajaran umum, tumbuk serang mereka hilang begitu sahaja. Mereka menggunakan tumbuk biasa. Oleh itu buah-buah apapun sangat sesuai digunakan. Maka kelam kabut pesilat mematikan gerak pasangan. Bekerja keraslah mereka, tapi bukan sesuai pada pandangan saya.

Begitu juga dengan buah Tomoi Paut pecahan satu dan dua. Biasanya pesilat disaran menggunakan kaedah A atau D untuk memotong buah yang dilakukan pasangan tersebut. Kalau penumbuk yang dihantar merupakan penumbuk biasa, kemenjadian buah adalah sempurna. Pasangan yang menunggu akan mudah membuat buah, manakala pesilat yang menyerang kena bermalam melihat pasangannya membuat buah sebelum membuat gerak potong. Cantik sekali kemenjadian membuat buah dan kemenjadian membuat gerak potong.

Di kelas saya, buah tersebut amat jarang dapat dilakukan. Saya selalu tegaskan berkali-kali kepada penuntut saya. Senarai umum buah jatuhan adalah merupakan alat untuk melatih pesilat membuat serangan berdasarkan tumbuk serang yang dikatakan satu peratus itu. Dengan satu serangan, sepatutnya pasangan akan kelam kabut dan gagal membuat sebarang buah yang bukannya buah SC. Selepas terkena serangan maka pasangannya tidak langsung berani membuat buah-buah berkenaan dengan sewenang-wenangnya. Pobia terkena dengan penumbuk serang.

Buah Teo Kwan Do (Rentap) nampak cantik tapi tidak pernah dijadikan latihan buah umum untuk serangan tangan. Rentap-merentap tak pernah dan tak akan menjadi dengan satu serangan. Cubaan pasangan merentap tangan terlebih dahulu sebelum membuat tendangan sering menemui kegagalan. Tak pernah pasangan merasa untuk membuat tepisan, apatah lagi membuat tangkapan. Walau bagaimanapun, buah ini saya ubah suai dan dikelompokkan dalam pelajaran kaki.

Selalu tegaskan pada para pesilat. Jika melancarkan tumbuk serang dan tumbukan itu boleh dielak atau ditangkap maka bukanlah tumbuk serang namanya. Sebaliknya sesuai dengan nama penumbuk ’anu’ dalam konteks serangan. Sepatutnya, penumbuk yang datang adalah sukar untuk dibuat ramalan pada arahnya. Pasangan hanya berani membuat tendangan tanpa tangkapan atau tepisan. Oleh itu dengan satu serangan, sepatutnya prinsip rentap tidak akan menjadi langsung.

Buah-buah Siku Balik, Buah Sendeng Pertama, Sendeng Makan Dalam dan Judo Banting dapat dikelompokkan dalam satu kumpulan latihan. Buah-buah tersebut dapat dijadikan alat untuk menguji keberkesanan gerak tumbuk serang pesilat. Buah-buah tersebut perlu dilatih secara bersepadu. Jangan diasing-asingkan. Secara langsung, pesilat boleh mengukur dan menguji keberkesanan arah tumbukan seperti yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, gerak buah-buah tersebut perlu dibuat penyesuaian untuk kemenjadian buah ketika pesilat menyerang.

Prinsip mencuri langkah ke belakang sebelum membuat buah, telah saya wujudkan. Kalau kaki tidak mencuri langkah mengundur ke belakang, tidak ada pesilatpun yang berani membuat buah-buah berkenaan ketika pasangannya membuat serangan. Pasti penumbuk pesilat akan hinggap ke bahagian-bahagian badan. Saya tegaskan sekali lagi. Soal cantik membuat buah umum adalah tidak timbul langsung dalam proses aplikasi serangan.

Cuma, dalam kelompok buah-buah berkenaan, buah Judo Banting perlu disesuaikan gerak potong. Jika tangan tertangkap maka dengan segera tangan pasangan yang membuat tangkapan, dipotong dengan kaedah yang tertentu. Jika terlepas, tidak perlu tekan pelipat. Kemahiran Jab boleh digunakan. Maka gunakan kemahiran tersebut.

Buah Siku Potong saya anggap buah yang sangat istimewa. Kegunaan buah ini adalah lebih banyak untuk latihan menunggu serangan. Hal yang demikian disebabkan pesilat yang menunggu serangan pasangannya secara tumbuk serang boleh berlatih mengambil buah dengan tepat dan kemas dalam keadaan diserang dengan penumbuk serang. Buah tersebut adalah merupakan buah SC. Walaupun akhirnya buah ini boleh dipotong, akan tetapi saya sentiasa menegaskan kepada pasangan yang mengambil buah ini supaya membuat buah dengan kemas. Manakala pesilat yang menyerang perlu membuat serangan tanpa membrek tumbukan.

Ada dua manfaat yang boleh diperoleh pasangan hasil gerakan siku potong. Pertamanya, buah ini memerlukan kejutan ketika menepis dengan kaedah. Tepisan ini bersepadu dengan pukulan secara menyiku. Kejutan akan menyebabkan tepisan A lebih cepat dan menjadi kemas. Bukan mudah menepis penumbuk serang. Secara langsung akan memantapkan gerak pada kedua-dua pesilat yang berpasang itu.

Keduanya, pasangan perlu meneliti serangan tumbuk yang dilakukan pesilat. Jika tercepat atau terlambat membuah buah, pasti penumbuk pesilat akan hinggap di dada. Maka secara langsung pasangan dilatih supaya memerhati penumbuk yang tiba dan jangan gopoh. Kebolehannya membuat buah akan memupuk sifat ketelitian dan ketenangan. Kedua-dua sifat itu akan terhasil melalui buah Siku Potong.

Jangan lupa bahawa pasangan itu juga merupakan ahli SC. Hal yang demikian membawa makna, buah Siku Potong akan melatih pasangan silat SC menunggu serangan dan membuat serangan menggunakan tumbuk serang. Kedua-dua ahli yang berpasang tersebut akan memperoleh faedah ketika berlatih buah itu. Pesilat yang menunggu akan meneliti manakala pesilat yang menyerang akan bersungguh hati. Kita sambung pada satu siri tulisan lagi.

Thursday, December 16, 2010

KEMAHIRAN BUAH POTONG.

Dalam SC ada dua aspek pembelajaran yang penting iaitu pelajaran menunggu serangan dan pelajaran menyerang. Kedua-dua bentuk pembelajaran tersebut telah melengkapkan konsep menjaga diri atau membela diri dalam pengajaran dan pembelajaran SC. Mereka yang menguasai kedua-dua bentuk pembelajaran tersebut bermakna lengkaplah ilmu SC pada dirinya sebagai pengamal SC. Oleh itu, istilah SC sebagai seni mempertahankan diri, dikira kurang tepat.

Saya telah menyentuh dengan luas tentang maksud kemahiran buah jatuh. Walaupun teknik dan taktik buah-buah yang digunakan dalam kemahiran-kemahiran yang dimaksudkan tidak diperjelaskan secara terperinci, mereka yang memahaminya akan dapat makna akan apa yang ditulis. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya melalui tulisan ini, akan dapat membuka minda para pesilat untuk maksud perbincangan secara rasional dan secara praktis. Berbincanglah tentang SC dengan menjadikan persoalan yang berbangkit ada landasannya.

Dalam tulisan mengenai kelas Kemahiran Potong, saya lebih berhati-hati. Pelajaran potong adalah merupakan rahsia besar kita. Maka sekali gus saya juga tidak akan membincangkan teknik atau taktik yang bersangkutan dengan buah-buah yang berkaitan dengan kemahiran-kemahiran yang saya maksudkan. Gambaran umum yang saya tulis dikira memadai untuk mengingatkan kembali sebahagian daripada bentuk kemahiran yang ada dalam SC. Tidak semua yang disentuh dalam tulisan ini.

Semasa saya menulis tentang buah potong dalam tulisan yang lalu, saya jelaskan bahawa tumbukan buah potong adalah juga berupa bentuk serangan. Hal yang demikian adalah kerana, pesilat yang memulakan gerak tumbuk, maka gerak itu dikategorikan sebagai serangan. Pesilat yang menunggu serangan maka pesilat itu dalam proses mempertahankan diri.

Kita selalu disogokkan dengan pendapat betapa pelajaran serang dalam SC adalah terlalu sedikit. Hinggakan ada dalam kalangan kita yang membuat ’kajian’, terus membuat kesimpulan bahawa peratusnya adalah satu peratus. Sebagai pengamal SC, kenyataan tersebut telah menarik kefahaman kita untuk berbincang. Saya cuba logikkan alasan yang membolehkan mereka membuat kesimpulan berkenaan.

Saya beranggapan bahawa dalam konteks serangan SC, konsep satu peratus pelajaran serang perlu benar-benar difahami dalam kalangan ahli SC terutamanya para Jurulatih. Pernah saya jelaskan pada anak didik saya betapa satu peratus serangan tersebut membawa maksud satu konsep tindakan atau satu konsep gerak muktamat dalam pembelajaran menyerang. Konsep tersebut membawa makna, tak payah mengeluarkan tenaga atau bekerja keras bagi mematikan gerak pasangan atau gerak lawan. Setiap serangan akan menghasilkan keputusan muktamat. Itulah kefahaman saya bagi memudahkan pegangan saya.

Dalam konsep satu peratus serangan itulah maka lahirnya perkataan-perkataan ’peluru berpandu, calit kapur, tumbuk tak nampak, macam kilat’ dan macam-macam perkataan lagi yang melambangkan betapa hebatnya maksud serangan satu peratus tersebut. Tak payah bekerja keras. Sekali serang maka berubahlah kedudukan. Dua campur dua tetap empat. Pada golongan yang suka akan angka ganjil maka, dua puluh satu campur dua puluh satu maka tetap empat puluh tiga tolak satu.

Dalam konteks gerak serang, mengulas maksud satu peratus itu, tentunya berbeza dengan serangan yang tidak diketahui berapa peratus dalam gerak potong. Bentuk serangan, ketepatan dan keberhasilan kedua-dua bentuk serangan itu, pastinya berbeza.

Kalau gerak potong, setiap serangan yang dilakukan pesilat akan memerlukan ’tenaga keras’ pesilat bagi mematikan gerak. Gerak itu ialah gerak buah jatuh yang cuba dibuat oleh pasangan. Pasangan akan menggunakan kebolehannya untuk menjatuhkan pesilat. Manakala pesilat yang menyerang akan berusaha sedaya upaya untuk mempastikan gerak buah jatuh itu gagal dilakukan. Pelbagai bentuk teknik dan taktik akan digunakan pesilat.

Berbalik pada kemahiran potong, hakikat tumbukan adalah bermaksud serangan.Dalam konteks serangan untuk maksud potong, kekuatan dan kelebihan pasangan akan mempengaruhi serangan pesilat. Serangan tersebut memerlukan ’kerja keras’ bagi menyelesaikan atau mematikan gerak pasangan.

Namun begitu, serangan yang satu peratus itu adalah muktamat dan akan melunturkan usaha-usaha yang ingin dilakukan oleh pasangan. Pesilat akan mudah menyelesaikan ’pertarungan’ yang berlaku dengan pasangannya dengan cepat dan mudah. ’Sekali pesilat melepaskan tumbukan maka berakhirlah pertarungan.” Begitulah hebatnya penumbuk serang yang boleh dianggap satu peratus tersebut. Tapi, kenyataan di atas adalah pada mereka yang menguasai tumbuk serang yang satu peratus tersebut. Pastinya ahli SC, bukannya askar yang suka bertabit.

Dalam tulisan ini saya akan menyentuh beberapa jenis kemahiran yang telah dipupuk dalam kalangan penuntut, terutamanya Jurulatih SC di Cawangan saya. Banyak lagi kemahiran yang cuba dipupuk tapi tidak disentuh dalam tulisan ini. Kemahiran yang dipupuk, kebanyakannya adalah bersepadu dan bersekali dalam satu-satu gerak potong yang dilakukan.

i. Kemahiran Langkah Melangkah

Terlebih dahulu saya menekankan betapa aspek langkah atau spring adalah merupakan gerak kaedah yang amat penting. Berdasarkan pelajaran potong, terdapat juga kaedah gerak potong yang tidak memerlukan spring. Kita simpulkan betapa gerak dalam buah potong ada kaedah spring dan ada kaedah yang tidak perlu spring.

Kaedah potong perlu diluaskan kefahamannya pada para pesilat. Kita tidak mahu para pesilat terkeliru bagi membeza-bezakan gerak-gerak berkenaan. Gerak-gerak SC pasti boleh diterima pakai dalam semua situasi dan keperluan. Dalam gerak, kita memerlukan perbuatan yang spontan dan tidak direka-reka. Geraknya adalah semula jadi dengan diri kita. Hal yang demikian boleh dipupuk melalui latihan yang berterusan dari masa ke masa hingga membentuk gerak-gerak yang semula jadi. Harapan kita ialah gerak-gerak tersebut akan bersebati dengan diri para pesilat.

Pada prinsipnya, setiap buah jatuh boleh dipotong sama ada spring atau tidak. Dari buah pertama hingga buah hempuk, kaedah spring atau tidak spring masih boleh digunakan. Latihkan para pesilat dengan kedua-dua bentuk potong tersebut.

Di samping latihan kemahiran berdasarkan kaedah yang pelbagai, saya juga memasukkan beberapa kemahiran potong yang lain bagi meluaskan pemikiran para pesilat. Saya tidak akan membincangkannya secara terperinci. Memadai menyentuhnya secara umum. Pada mereka yang memahami maksud saya maka bolehlah dijadikan bahan untuk rujukan.

ii. Kemahiran Pukulan Kaki

Saya sangat tertarik dengan konsep sepakan pada pelipat ketika pesilat membuat serangan atau menghadapi serangan. Pada buah Sendeng Atas, ada pecahan gerak yang bermaksud pukul pelipat pasangan. Begitu juga dengan buah-buah lain yang selalu kita perkenalkan semasa kemahiran buah jatuh. Hal yang demikian menjadikan pukulan pada pelipat itu boleh dijadikan sebagai satu pembelajaran kemahiran. Banyak buah yang boleh dijadikan contoh latihan.

Ketika pelajaran ’potong tapak’ silat-silat yang lain, kerap kali pukulan pelipat menjadi satu kaedah mematikan gerak pasangan. Dalam proses penumbuk dilepaskan, pesilat yang melihat akan ruang-ruang yang jelas pada kaki pasangan maka pukulan pada pelipat akan digunakan. Hal yang demikian tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan atau masalah kepada pesilat. Tumpuan pada sasaran serangan tangan boleh dikurangkan kerana serangan penumbuk yang dilepaskan tidak memungkinkan pasangan dapat membuat buah dengan senang. Ketika posisi yang kelam kabut maka pesilat membuat serangan lain di kaki pasangan. Begitulah maksud kemahiran pada penggunaan kaki sebagai tindak ikut serangan dari tangan.

iii. Kemahiran Jab.

Istilah ’jab’ sangat popular dalam kalangan murid SC satu masa lalu. Penggunaan tangan kanan atau tangan kiri adalah sangat bersesuaian dengan konsep jab tersebut. Biasanya pesilat akan membuka tangan bagi mengelakkan kecedaraan ketika mengenakan pukulan jab. Hal yang demikian adalah kerana geraknya secara spontan dan sukar dikawal. Sistem brek sukar berfungsi dengan berkesan. Selalunya tindak balas pesilat akan terlajak. Hal yang demikian ada kaitan dengan gerak kedua dari pesilat.

Gerak yang demikian sangat berbeza dengan gerak buah jatuh yang boleh dibuat andaian. Pesilat boleh mengawal pergerakan pukulan. Oleh itu hal yang berkaitan dengan buka tangan boleh dihindarkan. Buah-buah yang menggunakan kaedah B sama ada jatuhan atau umum, sangat sesuai dijadikan bahan latihan bagi maksud jab tersebut. Sasaran adalah terbuka luas pada badan pasangan.

iv. Kemahiran Siku.

Penggunaan siku juga merupakan satu kemahiran yang selalu dipupuk. Membuat gerak potong Sendeng Atas, Terlak dan Lintau, sering mengundang perbuatan siku para pesilat yang membuat serangan. Siku merupakan senjata yang boleh memudaratkan pasangan. Latihannya memerlukan pengawasan dari Jurulatih. Hal yang demikian disebabkan kemahiran menggunakan siku akan mendatangkan kecederaan kalau tidak diawasi dengan sempurna.

Kemahiran-kemahiran yang mudah memudaratkan penuntut perlu berfokas dan dibuat pada hari-hari tertentu. Kebiasaannya, saya akan memfokaskan pelajaran-pelajaran tersebut pada malam-malam tertentu dengan kemahiran-kemahiran tertentu yang perlu diberi tumpuan.

Ada kemahiran-kemahiran lain yang tidak disentuh dalam tulisan ini. Misalnya, kemahiran menyerang sambil menangkap atau menyerang sambil memukul yang juga sangat popular dijadikan bentuk latihan. Walau bagaimanapun, empat kemahiran yang saya nyatakan di atas dapat mengenangkan kembali para penuntut yang pernah menuntut di bawah pengawasan saya. Sekian dan sambung dengan tajuk lain.

Friday, December 10, 2010

Sambungan.. KEMAHIRAN BUAH JATUH

Dalam tulisan ini saya tidak berminat untuk meneliti satu-satu buah secara terperinci dalam setiap kemahiran. Saya sentuh sahaja buah-buah yang terlibat dengan kemahiran tersebut bagi mengingatkan mereka yang pernah menuntut dengan saya tentang pelajaran yang pernah diajar. Pada para pembaca ahli SC yang lain, jika berfikiran terbuka, hubungilah mereka yang pernah bersama saya. Tentu akan peroleh maknanya. Maka berfikiran terbukalah bagi menambahkan pengetahuan yang ada.

Dalam kelas tersebut, semua buah yang dilatih adalah berdasarkan sekurang-kurangnya pada lima kemahiran yang ingin dipupuk. Banyak kemahiran lain yang bersepadu dengan kemahiran asas yang saya maksudkan. Berkemungkinan juga pada setiap buah itu, boleh diperoleh beberapa kemahiran. Hal yang demikian menyebabkan berkemungkinan satu-satu buah itu diulang-ulang penggunaannya dalam beberapa kemahiran yang ingin dipupuk.

Ketika berlatih buah-buah kemahiran itu, peranan Jurulatih adalah penting untuk menerangkan tentang kemahiran-kemahiran tertentu yang dikehendakinya. Sudah semestinya Jurulatih kanan yang membantu mengendalikan kelas, terlebih dahulu telah menguasai kemahiran-kemahiran tersebut. Perbincangan secara lisan perlu dilakukan dengan mereka dari masa ke masa. Hal yang demikian bagi membolehkan mereka memperoleh dan menguasai panduan yang lengkap dan mantap tentang SC. Penguasaan panduan yang mantap ini akan membolehkan mereka memandu para pesilat lain yang berada di bawah pengawasan dan pengawalan Jurulatih tersebut.

Aspek-aspek kemahiran yang saya bincangkan berikut hanya akan menyentuh beberapa jenis buah jatuh sebagai contoh dalam konteks kemahiran yang dikehendaki. Kemahiran yang dibincang adalah merupakan kemahiran utama yang perlu diberi perhatian. Ada kamahiran-kemahiran lain yang bersepadu semasa menerangkan kemahiran berikut.

i. Kemahiran membuat kepelbagaian buah SC berdasarkan pada situasi.

Dalam kemahiran ini, para pesilat digalakkan membuat buah berdasarkan kata hati. Geraknya adalah secara spontan atau semula jadi, tanpa direka-reka. Misalnya, ketika membuat buah Sendeng Atas. Gerak jatuh adalah menekan pelipat. Walau bagaimanapun, oleh sebab pesilat berkenaan telah belajar cara mengambil tongkat yang memukul kaki pada Sensdeng Atas maka gerak yang demikian mungkin terbawa-bawa ketika melakukan gerak buah jatuh Sendeng Atas. Maka dalam soal ini Jurulatih membenarkan perbuatan tersebut.

Hal yang demikian menjadikan gerak pesilat tidak kaku dan sentiasa kreatif. Tugas Jurulatih adalah mempastikan gerak yang berubah tersebut masih lagi dalam prinsip gerak SC. Jangan biarkan mereka mereka-reka gerak berdasarkan logik atau rasional yang tidak berasas.

ii Kemahiran Menukar Buah.

Kemahiran ini sangat lumrah. Terdapat keadaan, buah yang kita buat tidak ’menjadi’ seperti mana yang kita harapkan untuk masud jatuhan. Hasrat kita pada kemenjadian buah berkenaan terbantut akibat beberapa halangan dan pelbagai keadaan.

Dua punca besar yang saya dapat kesan. Sebab pertama ialah tindak balas dari pasangan itu sendiri yang tidak membenarkan kita membuat jatuhan. Oleh itu, tindak balas kita berikutnya adalah melihat pada tindak balas pasangan kita ketika mengambil buah. Jika pasangan enggan jatuh pelipat maka secepat kilat kita tukarkan bentuk jatuhan yang lain. Gerak kita perlu hidup dan tidak boleh berhenti. Hal yang demikian membawa makna bahawa kemahiran membuat gerak secara berterusan sangat ditekankan dalam kalangan pesilat. Kemahiran membuat gerak tanpa bermalam adalah satu kemahiran yang bersepadu dengan kemahiran-kemahiran lain yang ingin kita pupuk.

Satu lagi sebab ialah keadaan pasangan yang tidak memungkinkan mereka jatuh seperti yang kita harapkan. Faktor-faktor badan pasangan gemuk atau kurus, tinggi atau rendah, kaki pendek atau kaki panjang dan pelbagai bentuk fizikal yang lain akan mempengaruhi hajat jatuhan yang kita ingin lakukan. Sebagai pesilat kita tidak boleh membiarkan keadaan berkenaan membantut gerak yang kita ingin lakukan. Tindakan segera perlu dilakukan.

Misalnya, kalau pasangan kita sukar dijatuhkan maka perlu gerak spontan bagi mengatasinya. Tak boleh tunggu lama-lama. Prinsip jatuhan adalah merupakan kesinambungan pada kaedah dan pukulan yang mengiringinya. Jangan teragak-agak dan bermalam pada proses gerak jatuhan yang kita lakukan.

Contohnya ialah buah Pertama. Setelah dikenakan pukulan pada rusuk, pesilat perlu menjatuhkannya. Jika pelipat sukar ditekan maka sepintas kilat pesilat itu akan menukar gerak seperti buah Paras dan sebagainya. Begitu juga dengan buah-buah yang lain. Jika Hempuk sukar dilakukan maka gerak jatuh Kuntau Kiri boleh dijadikan pilihan.

Contoh lain yang selalu digunakan ketika saya belajar dulu ialah buah Kilas Belakang dan Kilas Depan. Kedua-dua buah tersebut boleh bertukar mengikut keadaan dan situasi. Misalnya, jika pesilat mengambil Kilas belakang, pasangannya sukar dilenturkan ke belakang. Maka dengan secepat kilat pesilat akan menukarkan bentuk jatuhan kepada Kilas Depan. Cuma dalam proses penukaran tersebut, teknik yang betul sangat perlu digunakan. Para Jurulatih perlu mengawasi keadaan itu.

Selalu ingat dan ambil berat. Nilai yang perlu ada dalam kalangan pesilat ialah tidak bermalam atau terhenti di mana-mana gerak. Kalau asyik menjatuhkan buah yang sukar dijatuh, maka pesilat itu akan terasuh memiliki gerak yang bermalam atau terhenti. Hal yang demikian akan menjadikan gerak pesilat lembab dan kaku. Tentunya gerak yang sedemikian sangat merugikan pesilat itu sendiri.

Oleh itu, kemahiran menukar gerak secara sepontan sangat saya tekankan dalam kalangan pesilat dalam kelas kemahiran. Semua buah jatuh boleh dilibatkan dalam kemahiran ini. Tapi jangan terperangkap dengan prinsip berpakat. Kalau berpakat gerak maka kurang maknanya. Dalam konsep berpakat, kalau pesilat gagal membuat sesuatu buah yang dihajatinya, maka pasangannya pula yang akan memberi laluan pada gerak yang lain. Sudah pastilah gerak yang berkenaan akan merugikan kedua-kedua pesilat tersebut.

iii Kemahiran Membuat Pukulan.

Kemahiran ketiga yang saya titik beratkan adalah berkaitan dengan aspek pukulan dalam buah-buah jatuhan. Dalam senarai buah jatuh terdapat buah-buah yang tidak mempunyai pukulan. ”SC mementingkan pukulan”. Oleh itu, mana-mana buah jatuhan yang tidak ada pukulan maka perlu diiringkan dengan pukulan. Pukulan tersebut bukannya secara mengacah. Pukul, tetap pukul. Cuma bentuk pukulan adalah berdasarkan keperluan buah berkenaan. Kekuatan pukulan juga adalah berdasarkan kepada brek yang boleh dilakukan oleh pesilat berkenaan.

Buah-buah jatuhan seperti buah Gayung petani, Kuntau Kiri, Hempuk dan Gari boleh dijadikan panduan. Buah-buah ini tidak ada pukulan khusus semasa asas lagi. Prinsip pukulan yang dimahirkan masih tidak lari daripada prinsip SC. Begitu juga dengan buah-buah jatuh yang lain. Pastikan para pesilat benar-benar ambil berat tentang aspek pukulan tersebut. Jangan mengacah-acah sebarang bentuk pukulan.

iv Kemahiran Menghiris Pelipat.

Kemahiran memukul sambil menghiris kaki lawan adalah kemahiran seterusnya yang patut diberi perhatian. Kedua-dua kemahiran iaitu memukul dan menghiris kaki perlu bersepadu dan dilakukan dengan penuh yakin dan tepat. Kesepaduan itulah yang ditekankan dalam kelas kemahiran. Ramai penuntut yang gagal menggabungkan kedua-dua gerak berkenaan dalam satu ketika. Akibatnya, pukulan yang berlaku lebih berbentuk sepak bola. Buah-buah Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung sering digunakan sebagai usaha untuk mencapai tahap kemahiran tersebut.

Semasa pelajaran jatuh, kita tidak membenarkan para pesilat membuat pukulan pada pelipat. Tuntutan gerak yang dikehendaki pada buah-buah tersebut adalah secara hirisan. Kita tidak mahu mencapuradukkan pukulan dan hirisan. Biarlah kemahiran tersebut dibuat satu persatu. Semasa pembelajaran buah jatuh, tekankan kemahiran hirisan kerana itulah sukatan pelajarannya. Saya berpendapat, mudah bagi kita menguasai kemahiran hirisan berbanding dengan kemahiran pukulan.

v. Kemahiran Gerak Kejutan

Saya selalu tegaskan betapa setiap buah jatuhan memerlukan kejutan. Kejutan boleh juga dilakukan ketika pesilat membuat kaedah dalam proses jatuhan. Cakap-cakap umum tersebut mungkin kurang menarik perhatian para pesilat akan pemberatannya. Oleh itu, kemahiran membuat kejutan perlu diberi penekanan khusus. Perhatian mereka perlu ’ditarik’ tentang pentingnya kemahiran tersebut.

Hal yang demikian boleh difokaskan pada dua buah jatuh yang khusus iaitu buah Gayung Petani dan buah Siku Potong. Namun begitu, pastikan juga buah-buah lain terus menerus mengamalkan prinsip kejutan. Berdasarkan pengalaman, melalui dua buah tersebut, Jurulatih akan dapat menarik perhatian para pesilat tentang pentingnya kejutan. Adatnya kemahiran kejutan tersebut akan diteruskan pada buah-buah jatuhan yang lain.

Ketika kelas kemahiranlah buah-buah Luncur dan buah Rasa mula diajar pada penuntut silat dalam konteks memahami gerak pasangan. Pasangan akan bertindak balas seperti mana pada gerak Gayung Patani. Oleh itu pengajaran buah Luncur dan Rasa adalah secara aplikasi dan tidak kaku. Saya rasa keadaan itu tentunya tidak sama dengan cara memperkenalkan buah-buah tersebut dalam sukatan pada kelas-kelas yang rela mengamalnya.

Melalui kelas kemahiran, saya yakin fikiran pesilat akan terbuka luas. Hal yang demikian kerana semua aspek penerimaan setiap pelajaran adalah secara rasional dan keadaan ini sangat dititikberatkan. Secara langsung, para pesilat digalakkan berfikir. Pemikiran yang dipupuk akan menjadikan para pesilat berasa puas untuk memiliki pelajaran SC yang diajar kepada mereka tanpa membuta tuli.

Sekian dan terima kasih.

Tuesday, December 7, 2010

KEMAHIRAN BUAH JATUH.(1 dari 2 artikal)

Dalam tulisan-tulisan saya yang lalu, sering dinyatakan tentang kelas-kelas kemahiran. Saya berpegang pada pengertian konsep kemahiran yang berbeza dengan konsep latih tubi. Kelas kemahiran adalah medan yang menyediakan ruang bagi para penuntut SC untuk mengaplikasikan pelajaran SC yang diterima dari buah jatuh hingga ke buah umum.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan konsep latih tubi. Mengulang-ulang pembelajaran yang sedia ada bagi maksud kemahiran, saya istilahkan latih tubi. Latih tubi akan menjurus kepada sifat menghafal. Menghafal akan menafikan sifat berkreativiti dan berfikiran terbuka. Pemikiran mereka akan terkongkong dan berkemungkinan akan mewujudkan keyakinan yang tidak berpijak di bumi nyata. Walau bagaimanapun, lain orang maka lain tafsirannya. Buatlah mana yang patut. Tapi, banyak yang dah tak patut.

Dalam tulisan ini dan tulisan seterusnya, saya akan cuba membincangkan bentuk-bentuk kemahiran yang pernah dipupuk dalam kalangan penuntut SC sepanjang berada di bawah pengawasan saya. Tulisan saya juga boleh dijadikan panduan dan rujukan pada pengamal SC. Mereka yang pernah berada di bawah bimbingan saya boleh menjadikan tulisan ini sebagai pengingat semula isi pelajaran yang pernah disampaikan. Itupun pada mereka yang tidak beralih angin atau lupa daratan dan lupa lautan atau dah lupa diri atau dah lupa berbudi bahasa.

Saya selalu tegaskan betapa pelajaran kemahiran buah-buah jatuh erat kaitan dengan gerak-gerak pantas yang perlu dilakukan bagi mengatasi gerak yang ada pada lawan atau pasangan. Mengatasi gerak lawan atau pasangan adalah bermaksud mengatasi aspek-aspek kepantasan gerak, aspek fizikal dan aspek psikologi mereka. Ketiga-tiga aspek tersebut banyak mendatangkan kesan pada pergerakan kita semasa bersilat atau berhadapan dengan sesiapa sahaja. Kupasan saya pada ketiga-tiga aspek tersebut adalah seperti berikut.

Dari aspek kepantasan, banyak buah yang tidak ’menjadi’ kerana pasangan yang menjadi lawan atau pasangan silat kita, ketika bersilat lebih pantas dari gerak pesilat itu sendiri. Misalnya, jika penumbuk pasangan silat atau lawan pesilat tersangat laju maka gerak jatuh pesilat berkenaan pasti akan terganggu. Tidak sempat pesilat membuat tepisan, penumbuk pasangan telah hinggap di dada. Kalau buah jatuh yang dilakukan, gerak pasangan lebih cepat daripada gerak potong yang cuba dilakukan oleh pesilat. Maka gerak potong yang berlaku akan tidak menjadi. Sepatutnya dalam gerak potong, pesilat yang menumbuk akan menang. Tapi kalah juga kerana gerak pantas pasangannya.

Hal yang demikian perlu sangat dipandang berat oleh para Jurulatih terhadap pesilat yang dibimbingnya. Satu teknik dan taktik yang jitu adalah tersangat perlu disemai dalam kalangan pesilat bagi mengimbangi gerak pantas pasangan dengan gerak pesilat itu sendiri. Gerak pantas para pesilat perlu dibina dan disebatikan dalam diri pesilat.

Sebagai Jurulatih yang telah membimbing dan mengawasi para pesilatnya dari mula, tentu tahu akan kelebihan dan kekurangan yang ada dalam kalangan pesilat. Pengetahuan itu adalah sangat berguna bagi membangunkan kehebatan anak buahnya dalam silat. Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan keyakinan diri pesilat itu akan sentiasa merudum. Kecualilah jika kita membiarkan ’gerak pakat’ dalam kalangan mereka. Kalau berpakat, maka semuanya cantik dan elok di mata. Hal yang demikian akan mengasaskan keyakinan palsu. Kalau wujud keyakinan maka keyakinan tersebut tidak berasas. Golongan inilah nanti jika terkecewa maka akan terus memutuskan hubungan dengan SC. Mereka rasa diri mereka telah tertipu.

Hal yang sama juga dapat dikiaskan dalam kalangan mereka yang terlalu taksub dengan pemimpin dalam satu-satu organisasi. Golongan ini berkeyakinan besar dan tegas menganggap bahawa kalau pemimpin, pasti bersifat sempurna. Tidak ada cacat atau celanya. Maka berikhlaslah mereka pada pemimpin itu dengan menafikan perasaan dan pemikiran mereka sendiri. Itulah ikhlas palsu.

Hal yang demikian terjadi kerana hubungan yang dipupuk adalah tidak berdasarkan pada pegangan. Itulah jenis pemikiran yang tidak mengusai tubuh badan dan tindakan. Membabi buta ikut perasaan. Perasaan yang terasas hasil muhasabah dan istiqamah agaknya. Kadang kala ’berbulu biji mata’ kita melihat akan gelagat mereka yang kerap kali ditafsir sebagai ’ampu’ tak bertempat.

Kita sendiri sukar bersua muka dengan pemimpin kerana telah disambar mereka terlebih dahulu dan dibawa ke rumah. Kadang kala hingga sanggup mengambil pemimpin beratus batu demi khidmat bakti yang hakikikiki. Sampaikan mencari nama anak atau mencari pasangan kekasihpun dirujuk pada pemimpin tersebut. Dia yang nak berkenot tapi orang lain pulak yang menyediakan tempat pengkenotannya. Diri yang nak kahwin maka orang lain yang menentukan tundunnya. Kurang kesedaran diri. Ketepikan mereka yang selama ini bergaul rapat atau berkait rapat dengan diri mereka.

Apabila pemimpin itu melakukan sedikit kesilapan, maka sukar diterima oleh diri orang berkenaan yang terlalu anu pada pemimpin tersebut. Tak boleh maa-maaf lagi. Maka terputuslah hubungan yang sedia ada. Baru ternampak sifat diri yang sebenarnya. Maka terpenuhnya ibarat berputus arang. Arang adalah berlambangkan hitam. Hati perut yang hitam tanpa ada sedikit cahaya yang membawa maksud kejernihan. Jelaslah betapa selama ini hidup dalam dunia khayalan dan kepura-puraan. Maka itulah namanya hubungan palsu. Macm gigi palsu yang boleh ditangal-tanggal. Tidak ada pegangan sebagai landasan hubungan. Merapu di merata-rata tempat. Hatta lurah dan alur yang ketandusan air.

Berbalik pada perbincangan, kelas kemahiran boleh dijadikan tempat bagi memupuk dan mengembangkan kepantasan para pesilat itu sendiri. Biar mereka berpijak di bumi nyata. Jika lemah maka Jurulatih perlu katakan lemah. Tapi pupuk mereka supaya terkeluar dari kelemahan tersebut. Jangan dibiarkan sifat itu berterusan hingga menjadi nilai pada pesilat itu. Walau bagaimanapun, jangan diberi janji atau harapan palsu dalam konteks kemampuan yang kurang pada diri pesilat itu.

Tempoh masa untuk memupuk kehebatan gerak pesilat adalah bergantung pada minat dan kesungguhan pesilat itu sendiri. Saya yakin, cepat atau lambat, hasilnya tetap ada jika gerak pantas pada mereka benar-benar dipupuk dari masa ke masa.

Setiap pesilat perlu sangat sensitif pada keadaan fizikal lawannya (pasangan silat). Saiz badan yang lebih besar dari pesilat, kaki dan tangan yang lebih panjang dari pesilat dan lain-lain kelainan yang tidak ada pada pesilat, akan memberi kesan pada gerak pesilat itu sendiri. Perbezaan fizikal antara pesilat dengan lawannya, perlu sangat diberi perhatian. Jangan bersikap ambil mudah atau sambil lewa ketika pesilat melakukan sebarang gerak ketika bersilat, sama ada gerak jatuh atau gerak potong.

Dalam hal yang demikian, pesilat perlu menyesuaikan geraknya dengan tuntutan fizikal pasangan yang berbeza dengan dirinya. Pesilat juga memerlukan kemahiran menyesuaikan keadaan fizikalnya berbanding dengan pasangan atau lawannya. Kesedaran ini perlu dipupuk dari masa ke masa. Maka kelas-kelas kemahiran boleh menyediakan tuntutan tersebut.

Saya juga menekankan aspek psikologi sebagai faktor penting pada para pesilat yang berhadapan dengan lawan atau pasangannya. Muka yang lebih ’garang’ pada lawan atau pasangan berbanding dengan pesilat tentunya memberi kesan kepada pesilat itu sendiri. Ramai lawan yang menggunakan mata sebagai usaha meruntuhkan keyakinan diri pesilat. Itu sebab agaknya, pesilat SC tidak perlu memandang mata lawan kita. Kita memandang secara keseluruhan tubuh badan pasangan atau lawan. Apatah lagi pasangan kita bani hawa. Lebihkan tumpuan pada bahagian dada. Hebat ganang dan bukaunya. Itu juga sebab agaknya semacam satu keperluan mengembangkan silat dalam kalangan mereka.

Dari sudut psikologi juga, kerap kali juga mereka menggunakan kata-kata untuk melunturkan semangat pesilat SC. Di sinilah pegangan yang jelas perlu ada pada para pesilat. Kita perlu yakin bahawa silat itu adalah gerak. Yang bergerak pastinya dua tangan dan dua kaki. Itulah gerak yang utama dan gerak yang sebenarnya.

Tanamkan fahaman kukuh dalam kalangan pesilat kita. Apa jenis nama silat yang dikatakan hebat atau menggerunkan, sepatutnya tidak memberi kesan psikologi pada kita. Pada dasarnya, pergerakan silat berkenaan tetap bersumberkan pergerakan dua tangan dan dua kaki. Manakala SC mengkaji pergerakan dua tangan dan dua kaki tersebut. Maka yakinlah betapa SC mampu untuk menghadapi mereka.

Oleh itu, saya utamakan pembelajaran kelas kemahiran, khas untuk melatih pesilat SC menguasai buah-buah jatuh dengan pantas, kemas dan tepat. Secara langsung, pelajaran yang diperoleh akan dapat menampung apa jua kekurangan yang mereka hadapi ketika berhadapan dengan pasangan atau sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kekurangan yang melibatkan gerak mereka, tubuh fizikal mereka dan keyakinan diri yang kurang ada pada pesilat-pesilat berkenaan.

Tumpuan kelas-kelas kemahiran adalah diberi pada para Jurulatih. Dalam masa para Jurulatih membangunkan kehebatan diri para penuntut SC yang mereka didik, maka ketika itu juga kehebatan Jurulatih perlu juga dihebatkan bersama. Jurulatih adalah daya penggerak bagi mempastikan SC terus berkembang dengan hebatnya sama ada dari segi kuantiti ahli mahu pun kualiti ahli. Jurulatih perlu berperanan sebagai pakar rujuk pada pelajaran yang ada dalam SC.

Ketika saya bergiat sebagai Jurulatih di ibu pejabat lama atau baru, Ustaz juga telah mengadakan kelas kemahiran setiap malam Jumaat ketika kelas-kelas silat biasa berehat. Ustaz sendiri yang turun padang. Hal yang demikian menunjukkan betapa Ustaz mengambil berat pada kualiti Jurulatih. Jika Jurulatih berkualiti maka pada adatnya para penuntut yang dibimbingnya akan turut berkualiti. Begitulah sebaliknya.

Kita selalu diingatkan betapa guru umpama kepala keretapi. Kita yang menjadi pengikut adalah umpama gerabaknya. Jika kepala keretapi memecut selaju seratus kilometer maka gerabaknya juga perlu memecut dalam kelajuan yang sama. Barulah masing-masing berada dalam perjalanan yang sama tanpa ada yang tercicir. Perjalanan tersebut adalah berdasarkan pada tanggungjawab yang jelas pada bidang tugas masing-masing. Tidak ada yang terkeluar dari landasan. Jangan sesekali guru memecut, anak muridnya memancut. Tikam guru dari belakang. Umpama An punya geng. Tak tahu depan belakang.

Bagi mempastikan gerabak yang mengikut kepala keretapi itu berada dalam kelajuan yang sama dan dalam landasan yang sama maka ikatan atau hubungan yang kuat dan benar, perlu ada. Bukannya ikatan atau hubungan palsu yang diasaskan pada sifat kepura-puraan. Semestinya, ikatan itu berasaskan penguasaan gerak fizikal dan kefahaman yang ada dalam SC. Itu juga sebabnya wujud sesuatu yang tidak menghairankan generasi kami apabila kami diasuh Ustaz sama ada dari segi fizikalnya mahupun kefahaman yang ada dalam SC dari masa ke masa.

Berbalik pada kelas-kelas kemahiran di tempat saya, isi pelajarannya adalah meliputi semua aspek pembelajaran yang ada dalam SC. Aspek-aspek tersebut merangkumi kemahiran Kaedah, Buah Jatuh, Buah Potong, Serang, Kaki, Senjata dan Umum tanpa pakat. Semua aspek tersebut adalah bersepadu. Cuma, dalam tulisan ini saya sentuh aspek yang tertentu sahaja termasuk kemahiran Buah Jatuh. Mungkin jika sesuai, saya juga akan menyentuh tentang kemahiran Potong dan Umum.

Kelas kemahiran buah jatuh yang saya bawa ada hala tujunya. Saya akui bahawa Ustaz tidak pernah menyatakan kemahiran-keahiran tersebut dalam satu tajuk yang khusus. Akan tetapi Ustaz pernah menekankan kemahiran-kemahiran tersebut dalam percakapannya tentang SC dari masa ke masa. Hal yang demikian telah membolehkan saya membuat penyusunan kelas-kelas kemahiran berdasarkan pengetahuan dan kebolehan saya. Sukatan pelajaran dari ibu pejabat, tidak ada. Maka itulah kretiviti dan inovasi saya dalam kelas-kelas kemahiran yang saya anjurkan. Perkara penting dan utama ialah keupayaan para Jurulatih perlu ditingkatkan dari segi pengetahuan dan kebolehan mereka dari masa ke masa.

Seperti yang saya terangkan terdahulu, saya tidak berminat untuk melatih semula buah-buah yang ada dalam senarai sukatan. Hal yang demikian tidak akan membuka minda para Jurulatih saya. Pembelajaran yang sedemikian lebih berbentuk latih tubi. Gerak latih tubi akan mirip ke arah sifat pembelajaran secara hafalan. Fikiran Jurulatih akan terkongkong dan tidak dapat bertindak pantas berdasarkan situasi semasa. Berdasarkan hal yang demikian, ketika saya mengendalikan kelas kemahiran beberapa aspek kemahiran telah saya beri tumpuan. Ketika itu minat dan keyakinan diri perlu menebal bagi mempastikan kelas berjalan dengan berkesan. Sepanjang pengalaman mengendalikan kelas, saya berasa sangat puas hati.

Sekurang-kurang melalui tulisan ini akan dapat mengingatkan kembali pada para Jurulatih yang dulu dan Jurulatih yang sekarang tentang usaha-usaha yang pernah dilakukan. Maka dalam tulisan ini bolehlah kita berkongsi bersama tentang kemahiran-kemahiran yang saya fokaskan dalam kalangan Jurulatih yang saya didik. Perbincangan adalah berkisar pada kemahiran berlatih buah jatuh seperti perbincangan berikut. Sambung....

Thursday, December 2, 2010

Sambungan lalu ..MENYERANG

SC yang diwarisi oleh Ustaz terus berkembang hebat. Dalam konteks ”Pusaka Hanafi”, perkembangan SC adalah dalam berbagai-bagai bentuk. Hal yang demikian adalah kerana wujud persatuan yang pelbagai untuk mendukung perkembangannya. Bilangan penuntut SC pada umumnya semakin ramai. Kesannya adalah pelbagai.

Salah satu kesannya ialah aspek kerahsiaan SC itu sendiri. Usaha-usaha untuk merahsiakan pelajaran bukanlah merupakan satu tanggungjawab yang senang untuk dipikul oleh para kepemimpinan SC yang pelbagai persatuan tersebut. Saya yakin bahawa kegagalan merahsiakan pelajaran SC akan memberi kesan buruk pada kesemua ahli SC walaupun mereka berlainan persatuan.

Pembukaan kelas-kelas terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi amat sukar dikawal amanah pada ahli yang belajar. Pada pemerhatian saya, secara umumnya ikatan antara Guru atau Jurulatih dengan para penuntut di kelas-kelas berkenaan mungkin agak longgar. Keadaan yang demikian tentunya memberi impak yang besar pada aspek kerahsiaan. Kenyataan ini mungkin memerlukan kajian lebih lanjut bagi mendapat kesahannya. Setakat ini, tanggapan yang ada adalah lebih banyak berasaskan perasaan.

Perkembangan yang berlaku memerlukan para Jurulatih lebih berhati-hati dalam menyampaikan pelajaran SC terutamanya tumbuk serang. Hal ini demikian kerana aspek menjaga kerahsiaan juga mempengaruhi pelajaran serang. Kegagalan Jurulatih membuktikan kehebatan tumbuk serang boleh mendatangkan kemudaratan dan menjejaskan kewibawaan mereka. Jurulatih perlu sangat berhati-hati ketika proses menurunkan pelajaran tersebut dilakukan.

Saya masih teringat dua peristiwa luar dugaan yang berkaitan dengan proses menurunkan ilmu tumbuk serang dalam kelas latihan. Dalam satu kelas yang berkenaan, seperti biasa dalam proses menyampaikan pelajaran tumbuk serang, Jurulatih membenarkan penuntut membuat tumbukan. Jurulatih berkenaan akan mengelak ke kiri dan ke kanan. Malangnya ketika penuntut itu melepaskan tumbukan, Jurulatih yang berkenaan tidak boleh lari dari sasaran tumbukan. Saya yakin bahawa konsep tumbuk serang telah diketahui oleh penuntut berkenaan terlebih dahulu. Puncanya pasti pelbagai. Walau bagaimanapun, situasi tersebut telah merosakkan penerangan yang sepatutnya dalam proses pembelajaran.

Satu lagi kejadian yang sama pernah berlaku dalam kelas yang lain. Kejadian tersebut melibatkan Jurulatih yang menjadi baran akibat terkena tumbukan serang. Hal yang demikian telah menimbulkan susana tegang antara Jurulatih dengan pesilat. Mujurlah ada pihak yang cepat-cepat mententeramkan suasana dan keadaan. Pastinya juga kesan yang buruk telah diterima oleh Jurulatih yang berkenaan.

Dua peristiwa yang saya terangkan sebagai contoh, memberi makna bahawa aspek kerahsiaan dalam kalangan penuntut dewasa ini semakin longgar. Amat sukar dirahsiakan isi pelajaran SC antara sesama sahabat yang begitu akrab atau antara sesama beradik atau antara saudara rapat, atau atau yang lain.

Oleh itu, Jurulatih kelolaan saya sering disarankan supaya mengubah cara penyampaian pelajaran SC terutamanya pelajaran buah serang. Ikut situasi dan keadaan. Dalam proses penyampaian pelajaran serang, mula-mula semua penuntut dihimpunkan di satu tempat. Mereka diberi taklimat tentang kelebihan SC yang berfokas pada gerak menepis dan bukannya mengelak. Setiap tepisan pasti ada jawapannya. Kita simpulkan betapa tepisan bukanlah hal yang bermasalah pada pengamal SC.

Kemudian para penuntut difahamkan betapa kebanyakan silat yang ada lebih banyak bergerak berdasarkan elakan. Biasanya elakan tersebut berdasarkan arah mata angin. Walau bagaimanapun, kebiasaannya gerak mereka ke arah kiri dan kanan. Timbulkan persoalan dalam kalangan mereka. Jika menepis tidak mendatangkan masalah pada pengamal SC, bagaimana pula jika pasangan kita mengelak ke kiri atau ke kanan.

Persoalan tentang pasangan SC yang mengelak itu, perlu dijawab secara pembuktian. Hal yang demikian menyebabkan pesilat dikehendaki mengelak ke kiri atau ke kanan. Jurulatih akan membuat tumbukan. Jurulatih tidak perlu mengukur tangan atau menumbuk secara berkali-kali. Cukup sekali tumbuk serang dilakukan. Setiap Jurulatih yang membuat tumbukan perlu mementingkan ketepatan. Jadi atau tak jadi, pastikan penumbuk yang sekali itu mesti menjadi. Itulah penekanan saya pada Jurulatih yang ada di bawah pengawasan saya.

Dapatkan suara ’jerit’ dari mulut penuntut yang kena serang. Setelah semuanya merasai tumbukan serang maka barulah dibuat penerangan tentang kelebihan yang ada dalam SC. Simpulkan betapa serang kita dapat mengatasi pasangan yang menepis atau mengelak. Ketika inilah konsep perkataan, ’peluru berpandu, calit kapur, tumbuk gerak’ dan sebagainya dipupuk dan ditanam dalam kalangan penuntut. Pastikan penuntut kita benar-benar faham akan konsep-konsep perkataan tersebut. Kefahaman perlu diikuti dengan aplikasi dan penguasaan.

Ketika Jurulatih menurunkan ilmu serang, beberapa pegangan perlu ada pada diri mereka. Hal yang demikian dikira amat perlu bagi mempastikan kewibawaan mereka sebagai Jurulatih tetap terjamin, terpelihara dan sentiasa diakui hebatnya.

Semasa Jurulatih membuat tumbuk serang, pastikan tumbukan mereka padu dan mengena sasaran dengan tepat. Tumbuk yang padu dapat memberi ’rasa’ kepada pesilat yang diserang. ’Rasa’ yang diterima akan menyebabkan para penuntut akan mengakui kehebatan serang SC. Oleh itu, sebelum pelajaran serang diberi kepada penuntut, para Jurulatih disarankan supaya membuat latihan tumbuk terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, latihan yang berterusan akan menyebabkan kemenjadian tumbuk serang dalam kalangan Jurulatih, sentiasa berkekalan.

Dalam proses penyampaian pelajaran, terangkan kepada para pesilat kita supaya kaedah elakan yang dilakukan hanya ke kiri atau ke kanan sahaja. Sebarang bentuk elakan yang disertai dengan tepisan adalah dilarang sama sekali. Terangkan juga kepada mereka bahawa elakan ke depan atau ke bawah perlu dihindarkan kerana perbuatan tersebut adalah berbahaya. Kalau mereka terbuat maka itu merupakan habuan bagi mereka. Kalau maju atau turun ke bawah, maka terima sahaja tumbukan tanpa ada tumbukan brek daripada Jurulatih. Nasiblah kalau penumbuk Jurulatih singgah ke muka.

Para Jurulatih diingatkan supaya memahami maksud gerak pada pesilat dalam proses menyampaikan ilmu tersebut. Jangan cuba membuktikan kehebatan tumbukan kita jika pesilat mengundur ke belakang. Prinsipnya hanya elakan kiri dan kanan. Bukannya mundur ke belakang. Kalau mengundur ke belakang, jangan cuba membuat lajakan tumbukan atau membuat gerak tumbukan yang lain. Hal yang demikian adalah menyimpang daripada sukatan pelajaran dan menyimpang daripada maksud serangan. Namun begitu, dalam kelas-kelas kemahiran, perbuatan demikian tidak dilarang.

Peringkat kedua pelajaran serang ialah kaedah memahamkan penuntut tentang konsep dan prinsip tumbukan serang dilakukan. Tidak sesuai untuk saya membuat kupasan dalam tulisan ini. Perkara rahsia besar amat sukar dikupas dalam tulisan ini. Walau bagaimanapun, proses menyampaikan ilmu serang ini adalah berasaskan kepada beberapa prinsip. Jurulatih perlu memberi perhatian dan pastikan penguasaan prinsip tersebut dalam kalangan penuntut yang mereka bimbing.

Perkara utama yang perlu diterangkan ialah prinsip ’kejutan’. Maknanya, para penuntut perlu benar-benar memahami konsep kejutan dan prinsip kejutan dalam pelajaran serang. Memahami konsep atau maksud kejutan ini perlu disertai dengan prinsip-prinsip atau cara-cara membuat kejutan. Sukar diberi penjelasan dalam tulisan ini. Penguasaan kejutan akan memberi impak yang tersangat besar pada kehebatan kita sebagai Jurulatih. Perkara yang amat penting ialah para Jurulatih jangan sesekali terkejut. Terkejut akan menyebabkan terlatah. Maka hilanglah sifat ketenangan yang dikira amat penting sebagai Jurulatih SC di kelas masing-masing.

Tangan memainkan peranan dalam pelajaran serang. Peranan tangan akan banyak mempengaruhi prinsip kejutan. Cuma pesanan saya, jangan mengajar buah sampai penuntut kita membuat tabit hormat sebelum melepaskan tumbukan terhadap pasangan. Kita ialah ahli silat dan bukannya askar atau polis. Disiplin kita tak sama dengan disiplin yang ada pada pasukan keselamatan yang lain.

Kaki juga memainkan peranan untuk mempastikan ketepatan serangan. Langkahan kaki penyerang juga perlu dilakukan secara berhati-hati. Pergerakan kaki perlu selaras dan seiring dengan pergerakan tangan. Elakkan kaki kita berkemudi. Banyak rugi daripada untungnya pada pergerakan pesilat dalam konteks kiraan gerak dalam saat dan ketika. ”Di mana kaki pergi maka disitulah tangan tiba.” Penggunaan langkah kaki biarlah berperingkat dan jangan gopoh. Biasakan dengan pemulaan gerak kaki daripada tarik kaki kanan ke belakang hingga kedudukan kedua-dua kaki yang selari sebelum membuat serangan. Tempoh masa mengubah tapak serang adalah bergantung pada penguasaan pelajaran serang itu.

Selain tangan dan kaki, jangan dilupa pemberatan badan ketika melakukan serangan. Pemberatan badan perlu sekata antara berat di kaki kiri dan di kaki kanan. Hal yang demikian akan memudahkan kita membuat tindakan pada gerak berikutnya. Saya sering membuat ujian gerak pada para penuntut yang suka memberat badan ke depan. Banyak ruginya. Saya tunjukkan kemudaratannya yang bakal diterima jika mengambil mudah prinsip pemberatan badan tersebut.

Setelah memahami dan memperoleh cara serangan, para penuntut perlu sentiasa mempraktikkan tumbukan serang yang diperturunkan kepada mereka. Amat malang apabila ada dalam kalangan Jurulatih yang melupakan tumbuk serang ketika berlatih buah-buah umum. Sama seperti penamat ”Seri”, ada yang berlatih tumbuk serang pada malam atau hari berkenaan sahaja. Selepas hari atau malam tersebut maka pandai-pandailah para penuntut membina keupayaan sendiri untuk melakukan tumbuk serang. Maka ’terbiarlah’ mereka dengan tanggapan sendiri pada tumbuk serang.

Para Jurulatih perlu faham bahawa senarai buah-buah umum adalah merupakan alat untuk melatih tumbuk serang kita. Hal yang demikian bermakna, ketika menyampaikan pelajaran umum, tumbukan penuntut sentiasa dalam bentuk tumbuk serang. Kegagalan mereka berbuat demikian memerlukan kita membuat teguran secara serius.

Saya selalu mengingatkan Jurulatih saya supaya jangan menagih para pesilat membuat buah-buah umum dengan tepat dan cantik. Buah umum adalah buah-buah dari persilatan lain. Jangan terperangkap dengan sikap untuk melakonkan buah-buah silat lain secara tepat dan mantap. Buang masa. Tugas kita ialah menggunakan serangan bagi mematikan gerak buah-buah berkenaan. Ingat. Buah-buah umum tersebut hanya alat latihan untuk memantapkan tumbuk serang kita.

Kaji semula senarai buah-buah umum yang ada. Cerakinkan senaran buah-buah berkenaan untuk disesuaikan dengan kehendak kelas dan kehendak semasa. Senarai yang ada hanyalah sebagai panduan untuk menjelaskan maksud tumbuk serang. Senarai menunggu seperti serangan kaki, pisau atau tongkat perlu diasingkan sebagai pelajaran khusus. Namun begitu, pelajaran ’kaki’ boleh dijadikan alat untuk memupuk serangan tangan para pesilat.

Jurulatih kelolaan saya sering diingatkan, jangan bergantung pada senarai umum tersebut. Kalau tak silap saya, senarai tersebut telah bermula sejak hampir tiga puluh tahun yang lalu. Ketika saya berada di cawangan, senarai umum baru dibuat. Nampaknya senarai itu tidak ada perubahan dan penambahbaikan hingga ke tarikh kini.

Walaupun senarai umum boleh dijadikan panduan untuk mempraktikkan tumbuk serang, senarai buah tersebut tidak pernah diterima pakai sepenuhnya dalam kelas-kelas yang saya awasi. Selalu saya tegaskan kepada Jurulatih saya, prinsip utama SC ialah buah-buah yang menggunakan tangan termasuk serangan pada tapak adalah semata-mata untuk mempraktikkan tumbuk serang yang diajar kepada penuntut.

Apabila penguasaan serang menjadi mantap dalam kalangan pesilat, kaedah serang juga boleh diaplikasikan ketika pesilat menumbuk untuk membuat buah potong. Gunakan juga kaedah kejutan ketika membuat serangan pada buah jatuh bagi maksud gerak potong. Secara langsung perbuatan gerak berkenaan akan menjadikan pengetahuan dan penguasaan pesilat pada tumbuk serang sentiasa bertambah mantap dari masa ke masa.
Sebagai pesilat dan pengamal SC, pastikan penguasaan kita pada tumbuk serang benar-benar berlaku pada diri setiap pesilat. Itulah senjata utama SC. Harganya terlalu mahal. Walau sedikit pelajarannya tapi impaknya sangat besar. Benda yang sikit adalah merupakan satu keistimewaan. Kuasai benar-benar teknik tumbukan serang. Banyak masalah yang boleh kita selesaikan jika penguasaan gerak serang telah kita kuasai dengan sempurna. Sekian.

Wednesday, December 1, 2010

MENYERANG

Tidak banyak perkara yang perlu saya bincangkan dalam tajuk ’Menyerang’. Pelajarannya merupakan rahsia besar dalam SC. Menerang tentu tak sama dengan mempraktikkannya. Walau bagaimanapun, dalam tulisan-tulisan lalu, konsep menyerang pernah juga saya sentuh. Bolehlah dibuat rujukan untuk lebih faham. Dalam tulisan ini saya hadkan perbincangan pada proses penyampaian sahaja. Bukannya teknik atau taktik tumbuk serang.

Konsep menyerang erat kaitan dengan prinsip kita melepaskan tumbukan. Kita perlu mempunyai tanggapan yang betul tentang tumbuk serang. ’Jangan kira nak kena sahaja’. Biasanya memperkenalkan pelajaran menyerang memerlukan kita membuat pembuktian. Hal yang demikian menuntut kita membuat penyampaian yang jelas, tepat dan menyakinkan para penuntut.

Saya bahagikan proses penyampaian kepada tiga peringkat. Pertamanya, peringkat penuntut merasai dan menjiwai erti pelajaran. Keduanya cara-cara untuk mendapatkan pelajaran dan peringkat ketiga ialah aplikasikan pelajaran dalam tumbukan. Ketiga-ketiga peringkat tersebut adalah bersepadu dan berterusan.

Untuk menyampaikan pelajaran kepada penuntut bagi membolehkan mereka menjiwai dan memahami tentang makna serangan SC, terdapat pelbagai cara. Berdasarkan lumrah proses penyampaian yang sedia ada, Jurulatih digalakkan membuat garisan. Penuntut disarankan supaya mengelak ke kiri atau ke kanan sahaja. Jurulatih akan menyerang. Oleh sebab para penuntut dikehendaki mengelak ketika penumbuk hampir tiba maka telah membantu Jurulatih mengenakan tumbukan dalam proses menyerang. Saya difahamkan bahawa tumbukan Jurulatih tersebut dibuat berkali-kali sebagai ujian sebelum tumbukan sebenar dilepaskan.

Setelah semua penuntut ’dikenakan’ tumbukan maka Jurulatih disarankan supaya membenarkan penuntut berehat seketika. Setelah berehat, Jurulatih akan membuat penerangan tentang tujuan tumbuk serang. Penerangan Jurulatih adalah berdasarkan kewibawaan, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada pada mereka. Jika pandai bercakap maka tumpuan dan pendengaran pesilat akan tertumpu pada kata-kata mereka. Jika sebaliknya, penerimaan pelajaran serang kurang ’meriah’ dan berkemungkinan menyebabkan pelajaran serang tersebut akan dianggap biasa sahaja.

Banyaklah istilah dan ayat-ayat baru yang terkeluar daripada mulut mereka. Banyak yang asing pada saya. Tak dapat saya tulis dalam ruangan ini kerana sukar diingat kata-kata mereka tersebut. Walau bagaimanapun mereka tidak menggalakkan penuntut mencuba Jurulatih dengan gerak silat yang ada.

Setelah itu barulah Jurulatih mengajar para penuntut tentang penumbuk serang. Ramai yang ’sayang’ akan penuntut mereka. Tumbukan mereka biasa saja. Maka pada saya, sukarlah para penuntut memahami erti tumbuk serang dalam SC. Apatah lagi untuk menjiwai pelajaran serang yang ada. Walau bagaimanapun, selepas acara tumbuk serang, para Jurulatih disaran supaya menerangkan falsafah dan kaedah membuat tumbuk serang dengan jelas supaya para penuntut dapat memahaminya. Saya berpendapat, ketika penerangan itu diberi, para Jurulatih perlu benar-benar memahami konsep dan prinsip tumbuk serang. Janganlah tersalah memberi penerangan. Kesannya berterusan pada para penuntut.

Ketika saya belajar dulu, sistem penyampaian tumbuk serang bermula dengan arahan pesilat membuat tumbukan kepada Jurulatih terlebih dahulu. Para Jurulatih berasa yakin tanpa timbul was-was untuk menerima tumbukan. Pastinya tumbukan tersebut tidak mengena. Ketika itu, kerahsiaan tumbuk serang benar-benar terpelihara dan dijaga.

Setelah selesai kesemua pesilat menumbuk, kami disuruh berhenti rehat. Ketika itu Ustaz dengan tegas dan yakin mengatakan bahawa tumbukan yang kami lakukan sebentar tadi adalah sia-sia. Terkeluar cakap ’tumbuk bodoh’. Kami dijelaskan, ”Bukan orangnya yang bodoh.”
Tumbuk bodoh membawa maksud tumbukan kosong yang tidak dirancang atau tidak terarah dan sia-sia. Kami tercengang-bangang menantikan jawapan dan penjelasan selanjutnya.

Setelah itu tiba giliran kami menerima tumbukan daripada Jurulatih. Dengan tegas dinyatakan arahan supaya kami hanya mengelak ke kiri atau ke kanan sahaja. Jangan undur ke belakang, gerak ke dalam atau ke bawah dan jangan sesekali mengelak sambil menepis.

Seperti biasa, saya adalah penuntut pertama yang dipanggil untuk menerima tumbukan. Ustaz sendiri yang menumbuk. Saya telah ceritakan betapa gambaran suasana ketika itu penuh dengan suasana hairan, tercengang, risau dan pelbagai perasaan yang mencorakkan suasana senyap dan tekun. Tergambar di muka pesilat perasaan ingin tahu. Sekali sekala suasana tenang dipecah dengan suara raung. Biasanya laungan dan jeritan ’mak’ yang kedengaran. Sakitnya bukan kepalang.

Puas di hati para penuntut. Cara tumbukan yang dilakukan oleh Ustaz dan diikuti oleh Jurulatih yang lain, benar-benar menyentap perasaan para pesilat. Nampak kehebatan yang ada dalam SC. Semua tumbukan mengena sasaran. Bentuknya padu dan kesemua pesilat terkaku ingin lebih tahu. Tidak sia-sia menimba pelajaran sekian masa. Apa yang dicakap, telah terkota. Itu sebab agaknya, pelajaran tersebut kami pelajari dan pusakai dengan sepenuh hati. Kami cuba menjiwai makna tumbuk serang dari dulu hingga sekarang. Saya yakin punca perasaan tersebut timbul adalah kerana pengalaman terkena tumbuk serang yang tidak mudah untuk dilupakan dalam konteks persilatan SC. Maka itulah sebabnya saya berpegang pada pendapat betapa penuntut-penuntut baru yang tamat SC, patut juga diberi pengalaman yang sama. Hal yang demikian akan membolehkan mereka mengetahui dan menjiwai betapa hebatnya tumbuk serang dalam pelajaran SC.

Dewasa ini, SC terus berkembang pesat dari masa ke masa. Penerimaan penuntut semakin meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat. Perkembangan kelas-kelas latihan di pusat-pusat pengajian tinggi tersangat hebat. Ramai siswazah telah melibatkan diri dalam persilatan SC.

Saya dapat rasakan betapa mereka telah mula membawa idea yang pelbagai dalam bidang pengurusan persatuan dan persilatan. Pengaruh mereka umpama gelombang yang tidak boleh disekat. Kita tidak perlu membicarakan kebaikan dan keburukannya. Terimalah kenyataan yang ada. Hakikatnya, SC telah berkembang semakin luas dengan tenaga dan kepakaran yang bertambah hasil perkembangan SC terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.

Saya berpendapat, seiring dengan perkembangan SC yang semakin meluas dari masa ke masa, maka teknik penyampaian SC secara umum, juga perlu sentiasa diperbaiki untuk disesuaikan dengan tuntutan penuntut yang pelbagai lapisan dan pelbagai tahap pendidikan. Kita perlu akui betapa mereka yang berminat dengan SC secara rasional semakin ramai. Penerangan, kenyataan dan pembuktian yang kita berikan tidak mudah diterima dengan begitu sahaja. Ada saja persoalan yang dikemukakan bagi membolehkan mereka menerima sebarang kenyataan dari Jurulatih. Persoalan-persoalan yang selama ini tidak terfikir oleh kita, mulai timbul kerana tuntutan rasional tersebut.

Oleh sebab SC menerima keahlian daripada pelbagai lapisan masyarakat, saya berpendapat, cara penyampaian pelajaran serang pun perlu diperbaiki dari masa ke masa. Cara penyampaian di zaman dulu mungkin tidak relevan untuk dikekalkan pada zaman sekarang.

Cuma pada saya, kita jangan terperangkap antara cara penyampaian pelajaran dengan isi pelajaran yang ada. Cara penyampaian boleh diubah-ubah tetapi isi pelajaran jangan sesekali diubah. Pelarasan yang dibuat dari masa ke masa, sepatutnya hanya menekankan aspek penyampaian kepada para penuntut. Janganlah diubah isi pelajaran.

Sambung lagi.

Thursday, November 25, 2010

PENAMAT.

Setelah selesai pelajaran jatuh dan potong, para pesilat akan ’ditamatkan’ melalui satu majlis khas bersama Guru Utama. Majlis itu dikenali sebagai Majlis Penamat atau Ijazah Penamat. Dalam penulisan terdahulu, saya banyak menulis tentang majlis atau ijazah tamat tersebut. Mereka yang berminat sebagai pengumpul bahan-bahan yang berkaitan dengan konsep penamat dalam SC, eloklah rujuk pada tulisan-tulisan itu. Saya turut menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan mandi dan amalan mandi.

Semasa saya menuntut dahulu, ada juga dalam kalangan ahli yang menganggap tamat sebagai selesai tanggungjawab mempelajari SC. Sebaik sahaja selesai majlis ijazah tamat maka hilanglah diri pesilat berkenaan daripada terus berlatih melanjutkan pelajaran SC. Tidak nampak muka dalam kelas-kelas latihan lagi. Bila diajak turun ke kelas, ramai yang bermuka selamba. Walau bagaimanapun, bilangannya tersangat kurang. Kalau diukur berdasarkan pemerhatian, jumlah mereka mungkin seramai dua tiga orang daripada kelas-kelas yang ada.

Walau pun bilangan watak yang saya sebutkan di atas tidak ramai, tetapi perwatakan mereka menjadikan kita tertanya-tanya apakah benda atau perkara yang ada dalam kepala hingga menyebabkan mereka bertindak sedemikian. Seolah-oleh wujud satu azam dalam diri untuk mencari satu titik tolak yang membolehkan mereka meninggalkan terus persilatan SC. Mungkin satu masa nanti kita boleh buat kajian. Setakat perasaan, saya rasa faktor-faktor yang menjadikan mereka bersifat demikian mungkin ada kaitan dengan sifat dendam, sakit hati, kecewa atau sifat-sifat peribadi yang lain. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, mereka yang undur awal daripada pisilatan SC, bolehlah dikatakan, ’tidak ada habuan’.

Dalam proses penamat Silat Cekak, para penuntut diperkenalkan dengan pelajaran ”Enam Tolak Enam”. Perkataan enam kerap kali menimbulkan persoalan dalam kalangan penuntut-penuntut tertentu. Pada kebiasaannya, ada ahli-ahli SC yang amat menitikberatkan angka-angka ganjil dalam kefahaman mereka. Angka-angka tujuh, empat belas dan dua puluh satu adalah sangat popular. Cuma, pada keadaan-keadaan tertentu ada juga angka genap yang diterima pakai iaitu angka empat puluh. Lain-lain angka genap adalah janggal penggunaannya dalam masyarakat SC tersebut.

Tiba-tiba pesilat diperkenalkan dengan angka genap enam semasa pelajaran penamat. Hal yang demikian telah ’menyentap’ perhatian pada mereka yang minat dengan angka. Pesilat yang tidak kisah tentang angka, maka angka genap enam diterima begitu saja tanpa apa-apa persoalan. Malah, kalangan mereka tidak akan menimbulkan isu yang boleh membawa kepada perdebatan. Perkara utama yang dititikberatkan ialah penguasaan ilmu ’enam tolak enam’. Bukannya penguasaan istilah.

Saya rasa, susah juga bagi Jurulatih hendak mengaitkan angka enam dengan pandangan sedia ada masyarakat SC tertentu yang suka dengan kiraan angka. Kalau ’tujuh tolak tujuh’ rasanya pasti mudah mereka terima. Angka tujuh ada asalnya pada pengertian sesetengah ahli silat kita.

Persoalan angka itu pernah juga timbul dalam kelas-kelas latihan yang saya kendalikan. Jawapan yang saya berikan telah meredakan persoalan. Saya pernah menyentuh persoalan ini pada tulisan yang terdahulu.

Oleh sebab saya menyedari tentang persoalan yang mungkin timbul, maka soal istilah perlu dipermudahkan. Untuk memudahkan penerimaan pelajaran tersebut dalam kalangan penuntut, saya kerap menggunakan istilah ’draw’ atau ’seri’ semasa memperkenalkan pelajaran enam tolak enam dalam kalangan penuntut. Pengertiannya adalah sama. Seperti yang selalu saya tegaskan, perkara penting ialah ilmunya dan bukan istilah yang perlu didebatkan.

Dalam penerangan yang dilakukan, kita selalu mengaitkan pelajaran ’Enam Tolak Enam’ (Seri) dengan ikrar atau sumpah kita yang menegaskan bahawa sesama ahli tidak boleh bergaduh. Secara tersirat kita kaitkan bahawa pelajaran SC itu sendiri memungkinkan sesama ahli tidak akan ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Maksudnya ialah Seri. Walau bagaimanapun, saya selalu tegaskan betapa tanggapan Seri tersebut adalah berdasarkan pada prinsip. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap sesuatu itu pasti ada kekecualiannya. Mungkin kita perlu juga membincangkan aspek kekecualian tersebut dalam kalangan penuntut kita.

Perkara pastinya, jika kedua-dua pasangan SC yang bersilat benar-benar menguasai pelajaran SC secara keseluruhannya maka pelajaran Seri tersebut akan membawa makna. Malah konsep Seri juga boleh dipraktikkan dalam kalangan pesilat SC yang ’bertarung’ gerak berdasarkan gerak SC. Seperti yang saya tegaskan bahawa syarat utama ialah kedua-dua pesilat SC perlu menguasai pelajaran SC itu sendiri. Maka sesuailah dengan ikrar bahawa sesama ahli tidak boleh bergaduh. Tidak ada kalah dan tidak ada menangnya.

Prinsip menyampaikan pelajaran Seri adalah berasaskan pegangan bahawa kedua-dua pasangan silat adalah merupakan pengamal SC. Maknanya pesilat yang menumbuk dan pesilat yang menunggu adalah ahli SC. Oleh itu, cara menumbuk dan cara mengambil buah mestilah berdasarkan kaedah-kaedah yang ada dalam SC. Jangan dilayan gerak-gerak yang terkeluar daripada kaedah kita. Kalau kelas-kelas kemahiran, maka lain bicaranya.

Cuma terbayang pada saya ketika penuntut diajar pelajaran Seri dengan menggunakan buah Pasung Kemanga. Kalau penuntut yang menumbuk pun pengamal SC, mana boleh pesilat itu tumbuk lajak. Hal yang demikian dalam pelajaran SC mana ada pengamalnya disuruh tumbuk lajak. Kalau disuruh tumbuk seperti mana ahli SC menumbuk, maka nampak sangat pendirian yang berbeza-beza.

Walau bagaimanapun perkara yang dinyatakan di atas tidak menimbulkan masalah pada mereka. Sebabnya ialah penuntut-penuntut di kelas berkenaan tidak pun diajar pelajaran Seri hingga melibatkan pelajaran buah Pasung Kemanga. Berhenti setakat mana pelajaran SC pun saya kurang pasti semasa menyampaikan pelajaran Seri. Agaknya setakat dua biji buah sahaja yang diajar memandangkan pengamal SC yang mereka ajar memiliki dua buah sahaja. Bagaimana pulak pada mereka yang tidak berbuah. Entah. Tak pandai nak jawab.

Mengajar pelajaran Seri memerlukan pembuktian yang jelas dan benar. Dalam kalangan penuntut kita dewasa ini, mereka kerap menagih fahaman yang rasional. Untuk memenuhi gelagat mereka, secara bahasa pernyataan, kita sering menyampaikan pelajaran Seri itu dengan penerangan yang tertentu. Untuk memudahkan penyampaian, saya sering menggunakan tenaga Jurulatih. Hal yang demikian akan memudahkan penerangan kerana buah yang ingin diterangkan Jurulatih ’menjadi’ dan mudah diterangkan. Kalau pesilat yang melakukan gerak menumbuk, jika buah yang dibuat tidak menjadi maka penerangan Jurulatih tentang prinsip Seri akan terganggu.

Para pesilat difahamkan secara tersirat bahawa setiap kali mereka ijazah maka pelajaran yang diajar adalah erat kaitannya dengan konsep langkah-melangkah. Semasa ijazah pertama, para pesilat diperkenalkan dengan satu langkah yang berpihak pada pesilat yang menunggu. Pada ijazah kedua maka mereka diperkenalkan dengan satu langkah lagi yang berpihak pada pesilat yang menyerang. Manakala dalam ijazah seterusnya, para pesilat yang menyerang dan menunggu tidak peroleh apa-apa. Seperti asal dan sedia kala. Kalah pun tidak dan menang pun tidak. Hal yang demikian adalah berpunca dari ”pinangan’” satu tapak lagi dalam ijazah ketiga.

Berdasarkan pelajaran potonglah maka para pesilat difahamkan betapa langkah spring merupakan satu kemahiran yang sangat hebat dan sangat ’mahal harganya.” Fahamkan mereka betul-betul tentang konsep langkah-melangkah. Kalau mereka telah faham, maka persoalan tentang gerak mana dulu, antara gerak kaki dan gerak tangan akan terjawab secara praktikal dan secara aplikasi.

Biasanya, pada pemulaan penerangan, kita menyuruh pesilat menumbuk dan pasangannya iaitu Jurulatih mengambil buah. Dengan mudah Jurulatih tersebut membuat jatuhan. Kita buktikan betapa pesilat yang menyerang akan kalah dan pasangannya akan peroleh kemenangan.

Pada tahap kedua penerangan, kita menyuruh Jurulatih menumbuk dan pasangan silatnya membuat jatuhan. Dalam gerak ini, adatnya pasti Jurulatih akan dapat bertindak dengan tepat untuk memotong buah jatuh yang dibuat oleh pasangannya. Kita buktikan betapa pesilat yang menyerang tidak akan kalah dan pasangannya yang menunggu akan kecundang berdasarkan pelajaran SC.

Dua tahap penerangan yang kita lakukan di atas, boleh disimpulkan betapa setakat pelajaran pertama, ahli SC yang menunggu pasti akan beroleh kemenangan. Apabila gerak potong diperkenalkan maka ahli SC yang menyerang akan beroleh kemenangan pula. Hal yang demikian agak berbeza apabila kedua-dua ahli SC berkenaan mengalami proses penamat.

Pada tahap yang ketiga kita membuktikan betapa pengamal SC yang menumbuk atau menunggu akan berada dalam keadaan asal gerak. Di situlah lahirnya konsep tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Bahasa silatnya ialah ’Enam Tolak Enam’. Bahasa amalinya ialah ’Seri’. Maka lahirlah falsafah dalam SC iaitu sesama ahli tidak boleh bergaduh kerana tidak akan ada keputusannya. Maknanya juga secara tersurat, sampai bila-bila pun pengamal silat Cekak bertarung, sukar ditentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah.

Seperti yang saya tegaskan terdahulu, itu sebabnya Falsafah yang terbit hasil pelajaran Enam Tolak Enam (Seri) tersebut telah dijadikan asas dalam ikrar pengamal SC supaya tidak bergaduh sesama ahli. Kalau bergaduhpun dikira buang masa sahaja. Tidak ada keputusannya dan tidak ada kesudahannya. aOleh itu, kita berkeyakinan bahawa sesama ahli perlu bersatu padu. ”Bersatu teguh, bercerai roboh. Bukannya, ”Bersatu tubuh, bercerai peluh.” Dalam konteks SC, jikalau berpecah, peluh yang keluar dapat dilambangkan dengan simbul penat atau perbuatan sia-sia sahaja atas usaha yang dilakukan selama ini untuk membangunkan SC.

Pada kelas-kelas yang saya terlibat, saya sangat menekankan pelajaran Seri ini. Ketika membuat penerangan mengenai pelajaran Seri, saya hanya mengambil contoh beberapa buah yang ada dalam SC sebagai maksud kefahaman. Namun begitu, ketika latihan seterusnya saya berkehendakkan supaya semua pesilat menggunakan kesemua buah jatuh yang ada dalam SC untuk maksud Seri. Hal yang demikian telah menyebabkan setiap pesilat perlu membuat latihan Seri pada senarai buah yang berjumlah sembilan belas yang mereka pelajari sepanjang berada dalam kelas. Secara langsung para penuntut akan benar-benar mengusai pelajaran Seri. Sesungguhnya pelajaran Seri amat bermakna dalam sistem pelajaran kita. Mana mungkin Ustaz menekankan pelajaran ini jika tidak mendatangkan manfaat kepada anak muridnya.

Saya berpendapat, amat malang jika ada kelas-kelas yang kurang menumpukan perhatian pada pelajaraan Seri ini. Kalau kelas berkenaan tidak memberatkan pelajaran Seri maka pengajarannya pasti dilakukan secara sambil lewa. Saya dapat gambarkan betapa pada malam atau hari pertama dibuat penerangan tentang kaedah Seri maka malam itu atau hari itu adalah merupakan malam atau hari pertama dan terakhir pelajaran Seri diadakan.

Buah yang diajar dalam kelas-kelas berkenaan tidak meliputi keseluruhan buah yang ada dalam SC. Hanya satu atau dua buah sahaja yang dipraktikkan. Biasanya buah Pertama, Gayung Patani dan Kuntau Jatuh. Dalam hal ini saya rasa sungguh merugikan para penuntut. Malah kerugian juga akan dialami oleh para Jurulatih itu sendiri dalam usaha untuk memupuk atau membangunkan diri mereka.

Saya telah terangkan tentang peringkat-peringkat penerangan yang biasa kita lakukan setika menyampaikan pelajaran Seri tersebut. Di tempat saya, ketika pelajaran kemahiran berlangsung, pelajaran Seri sentiasa diberi keutamaan dan dilatih bersekali dengan gerak-gerak lain. Konsep aplikasikan pelajaran Seri menjadi fokas utama. Setiap penuntut perlu menguasai pelajaran ini dan memberatinya sama seperti pelajaran-pelajaran lain iaitu jatuhan dan gerak potong.

Dalam tulisan ini saya tidak akan menyentuh cara-cara membuat pergerakan Seri pada buah-buah SC. Tulisan saya berkisar pada falsafah dan prinsip pelajaran Seri buat kefahaman para Jurulatih.

Kita perlu yakinkan para penuntut betapa pelajaran Seri secara aplikasinya akan membantu para pesilat untuk menunggu atau menyerang dengan penuh yakin. Keyakinan akan melahirkan sifat berani. Sifat berkeyakinan dan berani adalah berasas. Sebabnya ialah kita ada kaedah yang membolehkan diri kita ’menyelamatkan diri’ apabila situasi pergaduhan tidak menyenangkan diri kita. Keluar dari medan pergaduhan adalah merupakan tindakan yang strategik. Itulah kelebihan pelajaran Seri dalam SC pada mereka yang mengerti. Maka saya berpendapat, berilah perhatian dan penekanan pada pelajaran Seri. Jangan pelajari pelajaran Seri secara sambil lewa sahaja.
Sekian.

Sunday, November 21, 2010

POTONG HEMPUK.

Dalam pelajaran potong, buah Hempuk juga sering digunakan sebagai penyudah potong pada beberapa buah jatuhan seperti Sendeng Atas, Terlak dan Lintau. Hal yang demikian disebabkan Kaedah D yang digunakan adalah berkaitan dengan buah Hempuk. Buah Hempuklah satu-satunya buah jatuh yang menggunakan kaedah D. Tidak hairanlah buah Hempuk digunakan pada buah potong yang menggunakan kaedah D tersebut sama ada di atas atau searas badan.

Jatuhan buah Hempuk ada potongnya yang tersendiri. Pada kebiasaannya, setelah pesilat memperoleh kaedah potong buah Hempuk maka gerak jatuhan Hempuk yang dijadikan gerak penyambung potong buah Sendeng, Terlak dan Lintau akan diaplikasikan oleh pasangan silat. Gerak pasangan yang dipotong akan menyebabkan pasangan berperanan membuat potong semula. Maksudnya, ketika pesilat membuat gerak potong Terlak dengan menggunakan buah Hempuk, maka pasangan yang dikenakan potong akan memotong kembali buah Hempuk berkenaan. Oleh itu, jadilah perbuatan ’main-main’ dalam kalangan penuntut ketika habis pelajaran potong yang diajar dalam kelas.

Oleh itu Jurulatih berperanan untuk mengawasi latihan yang menyimpang daripada tujuan sebenar pelajaran berdasarkan sukatan pelajaran. Jika perbuatan ’main-main’ tersebut dibiarkan, latihan pesilat akan menjadi tidak serius dan menimbulkan persoalan yang bukan-bukan.

Mungkin dalam kelas kemahiran ada aspek yang ditekankan. Kalau konsep ”Siapa lambat dialah bakal kecundang” ditekankan, mungkin latihan yang sedemikian ada faedahnya. Dalam konteks itu, kalau pesilat lambat membuat gerak potong maka pasangan dibenarkan bertindak atas kemampuan geraknya yang ada. Namun begitu, dalam kelas-kelas pelajaran berdasarkan sukatan pelajaran yang ditetapkan, latihan yang sedemikian tidak berfokas dan menunjukkan tidak ada kesudahan atau keputusan muktamat dalam gerak. Memadai dengan pelajaran enam tolak enam bagi mengimbangkan gerak pesilat dan pasangannya.

Memotong buah Hempuk adalah menggunakan tangan kiri pesilat bagi mematikan gerak tangan kiri pasangan yang cuba membuat jatuhan. Tangan kiri pasangan akan direntap manakala siku kanan pesilat akan membuat gerak pemakan di rusuk kiri pasangan. Ketika proses itu berlaku, badan pesilat akan rapat pada pasangan sambil kaki kanannya membuat sapuan atau heretan. Cara sapuan dan keadaan jatuhnya sama seperti buah potong Kidung Kiri dan buah-buah lain yang ada persamaan gerak.

Dalam proses menangkap tangan kiri pasangan yang membuat kaedah D, para pesilat perlu berhati-hati dan jangan bersifat gopoh. Kerap terjadi, ketika pesilat membuat tangkapan pada tangan kiri pasangan, tangan kanan pesilat berada dalam keadaan lembut dan seolah-olah sengaja membiarkan pasangan membuat tolakan. Hal yang demikian terjadi oleh kerana tumpuan pesilat diberikan untuk menangkap tangan kiri pasangan. Niat yang sedemikian telah menjejaskan tumpuan dan kawalan pada gerak tangan kanan pesilat yang membuat tumbukan. Keadaan tersebut telah menyebabkan kesukaran pada pesilat untuk membuat tangkapan. Kerap terjadi pesilat gagal mematikan gerak tangan kiri pasangan.

Dalam proses pesilat membuat gerak potong tersebut, jika pesilat itu lambat bertindak menangkap tangan pasangan, maka memungkinkan pasangan berjaya menangkap kaki pesilat terlebih dahulu. Hal yang demikian terjadi kerana gerak pasangan tidak terhalang akibat tangan kanan pesilat yang menumbuk berada di luar penguasaan gerak. Lembut dan kira nak potong sahaja.

Jika keadaan itu terjadi maka pesilat itu yang memotong akan berada dalam suasana yang kelam kabut. Kawalan pada geraknya akan bercelaru. Mungkin kerana berpakat maka gerak yang diharapkan akan terjadi dan tetap sama serta berlaku dalam keadaan sepatutnya. Dalam hal ini, para Jurulatih perlu menitik berat aspek tersebut dan beri perhatian sepenuhnya. Arahkan para pesilat supaya memberi tumpuan pada gerak dan jangan gopoh untuk membuat gerak potong. Kalau asyik nak potong aje, apa nanti yang tinggal.

Semasa perbincangan bersama Jurulatih dalam kelas-kelas kemahiran kerap kali saya timbulkan pelbagai persoalan. Persoalan-persoalan tersebut telah dijadikan sebagai tajuk perbincangan. Salah satu persoalan yang pernah ditimbulkan ada kaitan antara potong Kaedah D dalam buah Hempuk dengan potong Kaedah A pada buah-buah Kidung Kiri, Paras, Selendang dan Pasung Kemanga. Perbincangan yang bercorak demikian dirasakan amat berguna bagi memupuk pemikiran kreatif dan kreatis dalam kalangan Jurulatih. Sekurang-kurangnya telah terdapat beberapa tajuk yang boleh dibincangkan.

Potong Kaedah D pada buah Hempuk dan Potong Kaedah A pada Kidung Kiri, Paras, Selendang dan Pasung Kemanga hampir sama bentuknya. Kedua-dua gerak potong berkenaan memerlukan kita membuat tangkapan pada tangan pasangan. Tidak kira sama ada tangkapan itu dari atas atau dari bawah tangan pesilat. Penyudah tangkapan adalah sama. Tangan pasangan akan disendal pada lutut pesilat setelah pesilat membuat sapuan.

Perbezaan ketara boleh dilihat pada corak mematikan gerak tangan. Gerak mematikan Kaedah D pada buah Hempuk adalah di bahagian atas manakala Kaedah A adalah di bahagian yang searas dengan badan. Potong Kaedah D itu adalah berbentuk tangkapan manakala potong Kaedah A pada buah-buah berkenaan adalah berbentuk sisipan sebelum membuat tangkapan.

Proses potong Kaedah D membolehkan gerak pukulan siku di rusuk pasangan manakala semasa potong Kaedah A pada buah-buah berkenaan memerlukan para pesilat melakukan gerak pemakan siku di muka. Namun begitu, mengenakan pukulan siku di rusuk pasangan boleh dilakukan secara praktikal berbanding dengan pukulan siku di muka. Hal yang demikian kerana mungkin faktor keselamatan sangat diambil kira. Namun begitu pemakan pada kedua-dua gerak potong tersebut perlu diberi penekanan utama oleh para Jurulatih ketika proses penurunan buah dilakukan dalam kelas-kelas yang berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian, memperoleh potong buah Hempuk juga menimbulkan kecenderongan dalam kalangan penuntut untuk menggunakan kaedah yang sama pada gerak potong buah Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung. Secara umum, gerak potong yang berkenaan ada logiknya. Namun begitu, kita tidak menggalakkan perbuatan tersebut ketika pelajaran potong. Pelajaran yang berdasarkan sukatan masih berguna dan perlu diutamakan. Oleh itu para Jurulatih perlu awasi perbuatan tersebut supaya tidak menyalahi sukatan pelajaran SC.

Selalu saya tekankan kepada Jurulatih betapa gerak semula jadi pesilat merupakan satu keistimewaan yang perlu diberi penekanan. Banyak kekecualian ketika pelajaran kemahiran. Mungkin gerak potong tersebut pada buah Kuntau Kiri atau Kuntau Kanan boleh dilakukan pada satu-satu gerak yang tertentu. Ketika itu penuntut perlu bertindak dengan pantas. Mungkin mereka tidak memerlukan gerak spring.

Dalam pelajaran SC prinsip spring dan tidak spring adalah merupakan prinsip potong yang ada dalam pelajaran kita. Pada dasarnya, apa salahnya mereka berbuat demikian atas alasan potong kita pun ada langkah dan ada yang tidak melangkah. Namun begitu, kita perlu tegaskan dalam kalangan pesilat kita betapa pentingnya mereka mengikuti sukatan pelajaran SC yang telah dirangka sesekian lama. Daripada sukatan yang ada boleh menjadikan keselarasan menurunkan ilmu pada tahap yang sama pada semua ahli di semua kelas. Itulah keistimewaan hasrat sukatan kita.

Dalam Kelas Kemahiran kita mementingkan aplikasi. Pelajaran mengenainya perlulah berpandu dan jangan biarkan para pesilat bertindak sesuka hati. Dalam hal ini pengalaman dan ketinggian ilmu dalam kalangan Jurulatih adalah sangat diperlukan.
Sekian.

Wednesday, November 17, 2010

POTONG TERLAK DAN LINTAU.

Buah jatuhan Terlak dan Lintau dibezakan dengan pergerakan langkah kaki kiri dan kaki kanan. Langkahannya hampir sama dengan buah Paras yang melangkah ke hadapan. Gerak kaki pada potongnya pula adalah hampir menyerupai buah Kilas Depan, Sendeng Atas dan sebagainya, manakala jatuhan potong adalah sama dengan buah jatuh Hempuk. Itulah sifat jatuh dan potong buah Terlak dan Lintau.

Banyak gerak dan banyak kaedah buah jatuh yang terlibat dalam pergerakan potongnya. Kalau para penuntut boleh diajak berfikir tentang gerak-gerak yang ada pada buah-buah Terlak dan Lintau maka pengetahuan mereka akan lebih luas. Penerimaan pelajaran secara kritis dipercayai boleh menjadikan mereka dapat menguasai pelajaran SC secara lebih mantap dan berkesan.

Walaupun potong Terlak dan Lintau adalah sama, akan tetapi langkahan kaki yang berbeza telah menyebabkan gerak potongnya agak sikit berbeza. Saya berpendapat bahawa gerak potong buah Terlak lebih payah dan menyulitkan pada para pesilat, berbanding dengan gerak potong Lintau. Hal yang demikian lebih berupa tafsiran. Lain penuntut mungkin lain pulak tafsirannya.

Sifat buah Terlak ialah kaki kiri pasangan berada di hadapan manakala kaki kanannya tinggal di belakang. Manakala pada buah Lintau, pergerakan kaki pesilat adalah sebaliknya. Dalam gerak potong Terlak, pesilat dikehendaki membuat tindakan pada kaki kanan pasangan yang terbelakang tersebut. Hal yang demikianlah yang membezakan kepayahan berbanding dengan buah Lintau. Pada buah Lintau, kaki kanan pasangan telah mendekati pesilat.

Ketika proses memotong Terlak dilakukan, sukatan pelajaran potong berkehendakkan pesilat mematikan tangan kanan pasangan yang sedang menuju ke arah bahu kiri pesilat. Kaedah C yang digunakan pasangan sebagai tangkisan tidak diambil kira untuk dibuat gerak potong. Kita perlu jelas bahawa sifat tepisan tangan kiri pasangan adalah tidak memungkinkannya membuat pukulan. Oleh itu, tumpuan pesilat adalah pada tangan kanan pasangannya yang meluru ke depan. Tangan tersebut mungkin boleh berbentuk senjata atau pukulan.

Kaedah yang digunakan pesilat untuk mematikan gerak tangan kanan pasangan ialah Kaedah D. Matlamat buah sambungan adalah berbentuk jatuhan buah Hempuk. Geraknya sama seperti potong Sendeng Atas. Namun begitu kedua-dua buah potong pada Sendeng dan Terlak mempunyai sifat yang tersendiri. Kedua-dua buah berkenaan adalah agak sulit dilakukan jika tidak cukup latihan atau dilakukan tanpa ada tumpuan dan dibuat secara sambil lewa sahaja.

Pada buah Sendeng Atas, kaki kanan pesilat berada di depan. Menangkap kaki kanan pasangan lebih mudah dilakukan, berbanding dengan pukulan tangan dari bawah yang mendatang. Kaedah D yang digunakan pada Sendeng Atas memerlukan kepantasan kerana gerak tangan adalah dalam proses gerak yang bermula dari bawah. Pukulannya tidak mudah dijangka. Geraknya sukar dilihat. Daya pengamatan perlu ada pada para pesilat.

Dalam konteks bandingan dengan buah Sendeng Atas, tentunya berbeza dengan buah Terlak dan Lintau. Pada buah Terlak dan Lintau, Kaedah D yang digunakan pada tangan kanan pasangan tidak menampakkan kepayahan. Geraknya boleh nampak. Pesilat mudah memberi tindak balas yang sepatutnya. Hal yang demikian kerana tangan kanan pasangan menuju ke bahagian dada pesilat.

Walau bagaimanapun pada buah Terlak, kaki kanan pasangan menjadi sasaran kerana perlu dibuat tangkapan. Faktanya, kaki kanan tersebut berada jauh ke belakang. Oleh itu, masa yang diambil bagi menangkap kaki kanan pasangan adalah agak panjang dalam konteks saat dan ketika. Keadaan ini mungkin berbeza dengan buah Lintau.

Hal yang demikian menyebabkan perbuatan menyambung gerak jatuh Hempuk pada kedua-dua buah tersebut memerlukan penekanan pada aspek-aspek tertentu. Gerak buah jatuh Hempok antara kedua-dua buah tersebut dengan gerak jatuh Hempuk yang sebenarnya tentunya berbeza pada geraknya. Berdasarkan pengalaman, Kaedah D pada jatuhan buah Hempuk sebenarnya adalah agak lebih mudah dilakukan dalam konteks kaedah D adalah amat sesuai untuk digunakan di bahagian atas antara leher ke kepala.

Pada buah Terlak, terdapat dua tempat yang boleh menimbulkan masalah pada pesilat. Walau bagaimanapun, masalah tidak akan menjadi masalah jika kita berupaya mengatasinya dengan gerak terancang yang sedia ada dalam SC.

Pertamanya ialah ketika pesilat memulakan gerak potong berdasarkan Kaedah D. Jika pesilat tidak melakukan gerak dengan teknik yang betul, tangan kanan pasangan berkemungkinan besar akan tersangkut pada tengkuk pesilat. Hal yang demikian berlaku adalah disebabkan ’cara masuk’ yang tidak tepat telah dilakukan oleh pesilat. Dalam keadaan tersebut, pastinya kepala pesilat tidak mempunyai kebolehan membuat kelenturan. Gerak kepalanya kaku dan tidak lentur. Semuanya terhasil melalui gerak yang agak kelam kabut.

Satu lagi keadaan ialah kaki kanan pasangan yang cuba diangkat akan tersangkut pada kaki kanan pesilat jika tidak dilakukan dengan tepat dan tidak secara hati-hati. Gerak pesilat akan terbantut. Jika berterusan ingin membuat buah yang sama, pasti akan membahayakan diri pesilat itu sendiri. Walau bagaimanapun jika pesilat melakukan gerak dengan teknik yang betul maka masalah-masalah tersebut dapat diatasi dengan lebih berkesan dan buah potong yang dilakukan dapat dibuat dengan lebih sempurna.

Dalam situasi yang dinyatakan di atas, jika tangan pasangan tersangkut pada tengkuk pesilat maka buah jatuhan potong akan beralih menjadi jatuhan Kuntau Kiri. Cuma yang berbeza ialah tangan kiri pesilat akan menumpang pada tangan kanan pasangan yang tersangkut pada tengkok pesilat. Ketika itu, tangan kanan pesilat akan membantu tangan kirinya untuk membuat jatuhan. Jatuhan masih boleh dilakukan kerana hujung tangan pasangan tersangkut pada leher pesilat.

Manakala jika kaki yang cuba ditangkap tersangkut pada kaki kanan pesilat, mereka tidak ada pilihan. Sukatan pelajaran mesti diikuti. Jangan pandai-pandai ubah sendiri. Berlatih hingga kaki pesilat tidak tersangkut. Namun begitu, dalam kelas kemahiran, jika kaki tersangkut, maka jatuhan Kuntau Kiri juga boleh dilakukan.

Potong buah Lintau masih menyerupai potong Terlak. Namun begitu memotong Lintau tidak banyak masalah berbanding dengan potong Terlak. Tersangkut tangan dan tersangkut kaki amat kurang berlaku. Kalau berlakupun adalah akibat perbuatan yang tidak bersungguh daripada pesilat. Sekali lagi latihan yang kerap dan berterusan akan memainkan peranan untuk membolehkan pesilat menguasai potong Terlak dan Lintau. Jurulatih berperanan untuk memandu para pesilat yang dipimpinnya.

Seperti yang dinyatakan terdahulu, kerap berlaku ketika pesilat membuat gerak potong menggunakan kaedah D, kaedah itu tidak berjaya menolak tangan kanan pasangan. Sebabnya adalah pelbagai. Biasanya pesilat mendahului gerak pasangannya. Gerak masuk yang dilakukan hanya ’menolak angin.’ Hal yang demikian menyebabkan siku tangan pesilat telah berada di bahagian dada pasangan tanpa dapat menolak tangan kanan pasangan. Kita tidak menggalakkan perbuatan demikian dalam sukatan pelajaran buah potong. Walau bagaimanapun, ketika kelas kemahiran, perbuatan pesilat itu boleh dibangunkan dalam bentuk pukulan menggunakan siku pada lawan. Penggunaan siku adalah merupakan salah satu kemahiran yang boleh dipupuk dalam kalangan ahli SC.
Sekian.