Monday, September 29, 2008

SELAMAT BERHARI RAYA

Tentu seronok bersama keluarga. Terutamanya isteri tercinta. Mereka juga yang tetap setia. Tapi silap-silap gaya, gaduh juga. Namun begitu, tak kekal lama. Penyedapnya masih berkaitan bersama. Bersatu teguh, bercerai peluh.

Yang tak seronoknya apabila beraya dengan kawan-kawan silat. Beraya, tapi semacam rasa tak selamat. Hari raya yang selamat. Diri tak tentu hala. Tak selamat kerana hati berada dalam keadaan resah-gelisah. Topik perbincangan tentu tawar. Nak bincang tentang konsep dan falsafah atau ajaran Silat Cekak, tentu berasa hambar. Banyak yang cakap tak serupa bikin. Contoh-contohnya banyak yang mirip umpama ludah ke langit, kena akan batang hidung sendiri. Paling dahsyat sekali apabila bercakap di mulut tapi di hati berasa umpama kelakuan menjilat ludah dilantai. Kadang-kadang kita tak sedari. Si pendengar tetap mengerti. Tapi manusia ini mana faham. Bahasa mereka lemah. Itu sebabnya mereka sentiasa ”tak rerti basa.” Mereka puas bercakap umpama menjilat jari. Puas dengan menghamburkan kata. Tapi sebenarnya menjilat jari tak akan sama kualitinya dengan menjilat si anu.

Kalau bermusuh, pasti mereka tak akan bercampur sembang. Cuma yang kurang tetap pendiriannya akan berasa keluh dan kesah kerana cuba dipengaruhi. Sebelah sana dan sebelah sini pasti ada yang berlagak umpama pendakwa raya dan peguam bela untuk menyakinkan diri. Bercakap bukan main hebat. Macam lah mereka ini peneraju utama SC. Tanpa mereka, disangkakan apalah yang ada pada SC. Itulah anggapan mereka. Semacam besar kepala. Merekalah yang menyebabkan orang lain menjerit. Menjerit kesakitan. Di hati agaknya. Tapi kekadang kala sedap juga.

Nak sembang tentang buah-buah dalam silat pun berasa tawar juga. Orang-orang lama dan orang bangka tentu sedar perkara ini. Kalau disebut-sebut pusaka Ustaz, tentu dengan fahamannya sekali. Hubungan dengan Ustaz bukan setakat ilmu yang ditinggalkan tapi juga Mak Teh yang masih ada. Tentu teriyang-ngiang di telinga mereka akan bisikan dan kata-kata Ustaz dulunya supaya menghormati Mak Teh. Jangan diketepikan Mak Teh. Itu juga amanah dan tinggalan pesan daripada Ustaz. Tak hairanlah dalam setiap acara atau majlis maka Mak Teh tak pernah ditinggalkan. Itu adalah amanah dan pesanan.

Masakan boleh mengagung-agungkan silat yang ditinggalkan tanpa mengambil kira amanah dan pesanan yang diberi. Puak-puak yang telah menolak En Mat maka secara langsung juga telah menolak amanah Ustaz. Puak yang baru mana mereka tahu. Berjumpa Ustaz pun tak pernah. Tapi puak-puak lama tentu mengerti. Tapi nak buat macam mana. Nasi sudah menjadi bubur. Segala-galanya akibat sindrom silap sangka atau luar jangka. Mana mereka sangka akan Mak Teh tergamak mengatakan binatang. Mak Teh pulak mana sangka atau mana jangka puak-puak itu akan melawan balik. Sebelum ini ikatan mereka umpama anak beranak. Tak kanlah anak akan ”disumpah” oleh maknya. Dan mana jangka pada si emak akan anaknya boleh memberontak begitu rupa. Tapi apa kan daya. Yang tak di sangka atau dijangka tetap berlaku dan sudah berlaku.

Bila mengajar akan silat yang merupakan pusaka Hanafi, tentu tawar juga akan perasaan diri. Tawar kerana diri berada dalam alam kepura-puraan. Satu segi mereka cuba ”menurunkan” ilmu Ustaz tapi di segi yang lain, melupakan amanah yang perlu dipikul. Perasaan ini pastinya ada pada puak-puak yang dulu-dulu. Agaknya pada generasi baru, apa mereka tahu dan apa mereka peduli. Banyak yang syok sendiri. Lupa asal usul dan pengertian SC. Masih setia pada mereka yang tersilap sangka agaknya. Asaklah mereka dengan apa jua fahaman. Tentu mereka susah menerimanya kerana proses pengalamian tak akan sama dengan proses pendengaran.

Tulisan ini saja suka-suka, sambil menunggu waktu berbuka.
Terkenang peristiwa dulu-dulu, penuh dengan suka duka.
Setiap generasi peneraju, ada saja angkara.
Pasti kita tak akan lupa, buat selama-lamanya.
Sakit hatipun ada kerana ramai yang berlidahkan cabang dua.
Nak kata ular, biawakpun ada kerana kedua-duanya sama saja.
Rosak habis segala ajaran yang diberi dan ajaran yang diterima.
Konsep, prinsip dan falsafahnya sudah jadi tak tentu hala.
Kita rasa mereka faham dengan asakan fahaman yang sebegitu rupa.
Tapi apa nak dikata, kerana ramai yang tak rerti basa.
Manusia memang mudah lupa walaupun berlori nasihat dinyata.
Apabila kepentingan diri menjadi utama, maruah diri entah ke mana.
Tapi apa kan daya.....
Memang manusia jenis makhluk yang mudah lupa.
Lupa daratan dan lupa lautan dan lupa segalanya.
Guru Wawasan tetap ada dan Guru Persatuan, pautan utama.
Guru Silat nak letak di mana.
Ditelan mati mak, diluah mati bapa.
Tapi persetankan semuanya kerana hari raya nak tiba.
Berhati-hati di jalan raya.
Selamat menyambut hari raya.
Yang tak selamat, pergilah ke batu dua.

Friday, September 12, 2008

ULASAN LAGI

WARISI

Sudah ada tiga pecahan SC daripada asal satu Silat Cekak yang dibawa oleh Ustaz Hanafi. Usahlah dibincangkan mana satu yang betul. Bakal penuntut yang ingin belajar SC akan lebih banyak bergantung pada persekitaran kawannya daripada tiga jenis guru tersebut. Kalau kawannya adalah SC pimpinan En Mat, maka En Mat-lah gurunya. Begitu juga dengan yang lainnya.

Cakap daripada segi kebenaran, sampai esok pagipun tak akan habis hujjah yang dikemukakan. Kalau adapun yang masuk SC atas panduan kebenaran, juga terikat dengan kumpulan perbincangannya. Tetapi kita tidak boleh menafikan betapa pandai cakap boleh mempengaruhi orang ramai. Putih boleh dibuktikan hitam dan hitam boleh dibuktikan putih.

Percayalah, ”ada ulu, ada parang, ada dulu, ada sekarang”. SC akan terus berpecah. Manusia yang suka berpecah masih wujud lagi. Mereka meninggalkan banyak contoh dan teladan. Barisan pelapis sekarang ini telah banyak belajar daripada mereka. Pastinya ilmu berpecah tersebut akan dipraktikkan oleh mereka apabila tiba saat dan ketikanya nanti. Bukankah angka empat puluh begitu sinonim dengan fahaman kebanyakan antara kita. Hingga ke tahun berapa agaknya, genap SC berpecah kepada empat puluh pertubuhan silat tetapi bertunjangkan kepada SC yang satu.

Tidak banyak perkara yang boleh dibincangkan tentang SC dewasa ini. Teori-teori kehebatannya terutama aspek falsafahnya begitu trajis untuk diutarakan. Kadang-kadang kita boleh berasakan seolah-olah diri sendiri menjadi hipokrat apabila membincangkan kelebihan SC. Umpama ludah ke langit, akhirnya terkena pada batang hidung sendiri. Teorinya hebat tetapi contoh-contoh aplikasinya banyak yang tak mengena.

Mengenangkan kisah-kisah lama tentang kehebatan SC, umpama berkaryakan sastera rakyat. Sangat molek jika penceritaan tersebut diiringkan dengan petikan gambus atau tiupan seruling. Bukannya cerita yang manarik, tapi nada iringannya yang mendayu-dayu pasti memukau si pendengarnya.

Tokoh-tokoh SC yang dulunya hebat, semakin luntur dek kerana penglibatan dalam persengketaan. Kepercayaan dan penghormatan padu yang selama ini mereka nikmati tetapi kini telah berbelah bahagi. Mungkin pada mereka itu semua tidak mendatangkan masalah. Ramai yang berusiakan Isyak. Menantikan habis waktunya. Tapi bagi mereka yang berwaktukan ”Asar” hingga ke "maghrib" masih rancak menghidupkan suasana. Jauh lagi perjalanan hingga tak sadarkan diri. Berada dalam asyik dan mahsyoknya.

Mutu SC sudah sukar terbela. Rujukan sebagai punca kuasa bagi menetapkan kepastian dalam gerak dua tangan dan dua kakinya semakin longgar. Kalau keretapi sudah berkepalakan tiga, maka tiga landasan akan ditujui. Itu tidak termasuk landasan-landasan kecil dek kerana banyak kepala yang muncul daripada tiga pecahan kepala yang ada.

Cuma yang tidak berubah ialah kepala wali jantan yang pastinya akan tetap mengikut arus dan aliran wali betina. Teknik dan taktiknya sahaja yang berbeza-beza. Bulan puasa lo.