Sunday, August 29, 2010

KUNTAU KANAN GANTUNG.

Mempelajari buah Kuntau Kanan Gantung telah memahamkan kita lagi tentang maksud gerak kuntau dalam pembelajaran SC. Kecuali buah Kuntau Jatuh, lain-lain buah kuntau sama ada Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung serta Kuntau Kanan Gantung, kesemuanya memulakan gerak secara lembut. Kekuatan deria rasa amat mustahak sebelum bertindak dengan hebatnya. Mungkin kita dapat sesuaikan gerak-gerak tersebut dengan prinsip SC. Lembut tapi keras. Tenang tapi pantas. Orang yang berjiwa lembut rupa-rupanya ada kekuatan keras dalam pelbagai sudut di sebalik kelembutan yang ada.

Membuat asas buah Kuntau Kanan Gantung memerlukan pergerakan kedua-dua tangan dan kaki kanan kita. Geraknya lembut, tidak keras dan tidak kaku. Tapi bergantung juga pada penumbuk yang tiba. Kita perlu sedar bahawa amat mudah kita mengeluarkan arahan supaya kedua-dua tangan penuntut yang mengambil buah tersebut mesti lurus. Tangan kanan disuruh ke lengan dan tangan kiri disuruh ke bahu. Kalau kita tak cukup pengetahuan dan pengalaman, arahan tersebut akhirnya akan menyusahkan diri kita sendiri.

Kalau tangan diarahkan lurus, akan memungkinkan tangan penuntut umpama robot, kaku dan tidak ada kemudahlenturannya. Apatah lagi jika tangan penuntut kita pendek. Arahan meletakkan tangan ke lengan dan bahu pasangan mereka akan benar-benar menyusah dan menyeksa mereka. Oleh sebab arahan maka terpaksalah mereka lakukan juga dalam keadaan diri tidak stabil. Ketika mereka membuat buah pasti banyak kalilah Jurulatih menegur kelemahan mereka yang tidak mudah diperbaiki. Itu sebabnya pada penuntut jenis tangan pendek itu, sama ada saya atau Jurulatih perlu berperanan membuat tumbukan agar penuntut itu berupaya membuat buah asas dengan tepat dan lengkap. Hal yang demikian kerana kita sebagai Jurulatih boleh menyesuaikan gerak kita bagi membolehkan penuntut itu membuat buah atau menyusahkan mereka.

Buah kuntau Kanan Gantung memerlukan peranan kaki kanan untuk diletakkan di pelipat pasangan kita. Sekali lagi peranan kelembutan perlu diambil kira. Gerakkan kaki ke pelipat dengan lembut. Jangan disepak pelipat pasangan kita. Letak kaki ke pelipat seperti mana ketenangan kita meletakkan tangan di bahu dan siku.

Seperti Kuntau Kiri Gantung, kaki yang diletakkan di pelipat itu jangan mencangkuk pelipat pasangan. Luruskan kaki dan rendahkan lutut. Maka dalam hal ini, sekali lagi lihat bentuk tubuh badan penuntut kita. Jika kaki mereka pendek atau badan mereka terlebih lemak maka amat sukar bagi mereka menggunakan kaki untuk melakukan gerak asas Kuntau Kanan Gantung. Lebih-lebih lagi jika kita memberi arahan supaya menegakkan badan sambil bergantung pada badan pasangan kita. Arahan menegakkan badan akan menyeksa penuntut berkenaan. Kaki pendek pasti terpaksa membongkokkan badan. Kalau tidak berbuat demikian amat mustahil kaki penuntut berkenaan boleh diletakkan di belakang pelipat. Manakala arahan supaya badannya bergantung pada badan pasangan silatnya akan benar-benar menyeksa pasangan berkenaan. Terpaksa menampung berat guni beras yang boleh menyakitkan pinggang.

Oleh itu para Jurulatih perlu mempunyai budi bicara yang amat tinggi. Jangan syok sendiri. Semua arahan pasti akan dituruti oleh penuntutnya. Disuruh duduk, duduk dan disuruh berdiri, berdiri. Mereka tidak akan membantah. Seksaan yang diterima, mereka serap begitu sahaja. Semangat mereka akan luntur jika diri mereka tidak dibina. Itu sebabnya saya selalu katakan betapa Jurulatih boleh menaikkan semangat penuntutnya atau merudumkan semangat mereka. Oleh itu, sekali lagi kita boleh memainkan peranan untuk membuat tumbukan. Beri peluang kepada mereka membuat buah asas seperti mana yang sepatutnya. Jangan biarkan mereka yang ’kurang sempurna’ itu mengambil buah bersama rakan. Kecualilah untuk latihan-latihan seterusnya.

Untuk maksud jatuhan, peranan kita ialah memastikan para penuntut melurut kedua-dua tangan sambil kaki kanan menghiris pelipat untuk membuat jatuhan. Sekali lagi beri penekanan lurutan tangan dan hirisan kaki kanan. Jangan bertolak ansur jika penuntut gagal membuat gerakan dengan kemas dan teratur. Biar penuntut itu menumbuk berkali-kali. Boleh buat sebab asas letak kaki secara sentuhan dan bukannya secara pukulan. Agaknya itu sebab saya perhatikan buah ini dibuat secara tidak kemas kerana kurang latihan. Macam mana hendak berlatih kalau diajar sejak asas memukul kaki. Dua kali pukul kaki menyebabkan latihan tidak boleh diteruskan lagi. Kaki sakit, pelipat pasangan kita sakit dan akhirnya tak cukup latihan.

Setelah jatuh maka kaki kiri perlu bertindak segera mengunci kaki pasangan. Lagi jauh kuncian ke dalam maka lagi baik. Sedalam mana kuncian tersebut amat bergantung pada kesediaan pasangannya menerima kuncian. Kalau meraung umpama cakar harimau, maka eloklah dihentikan proses kuncian.

Ketika jatuhan dan kuncian, sekali lagi peranan Jurulatih amat penting bagi memelihara keselamatan penuntut yang kena jatuhan. Jatuhan yang tidak betul memungkinkan jatuhan lutut pada kaki kirinya, sama seperti kaki kanan yang dihiris. Oleh itu penuntut itu terdedah pada kecederaan kerana tiada imbangan. Pernah terjadi di kelas saya. Penuntut berkenaan kehilangan imbang dan rakannya terlepas pegangan tangan. Akibatnya penuntut itu terjatuh ke hadapan didahului dengan bahunya. Ekorannya penuntut itu mengalami patah tebu antara bahu dan tengkok. Sukar dibaiki tulang yang patah di bahagian berkenaan. Berhati-hatilah dengan buah Kuntau. Tidak kira Kuntau Jatuh, Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. Lembut geraknya tapi kasar kesudahannya.

Kadang kala apabila penuntut-penuntut di kelas saya amat berminat dengan buah-buah ’gantung’ tersebut maka saya akan memberi penerangan yang melangkaui dari pelajaran yang ada. Saya akan tunjukkan gerak-gerak ’menganak’ setelah jatuhan dibuat. Lagi sakit rupanya. Begitulah hebatnya pukulan kuntau dalam pelajaran kita.

Saya juga akan tegaskan kepada mereka terutama penuntut samasa di kelas kemahiran tentang peranan kaki kanan atau kaki kiri yang digantung pada pelipat. Saya tunjukkan betapa penggunaan kaki kiri atau kaki kanan pada buah-buah berkenaan walaupun bermaksud hirisan, apabila dibuat dengan kejutan akan menampakkan gerak pukulan. Oleh sebab mereka telah menguasai teknik hirisan, penekanan pada pukulan tidak mendatangkan masalah pada pelajaran kemudiannya. Lebih-lebih lagi pada masa latihan kemahiran. Pada masa pelajaran kemahiran, saya akan gunakan istilah sepakan kaki secara hirisan. Sepakan hiris itu merupakan kombinasi pukul dan hiris pada kaki pasangan berkenaan. Hirisan adalah satu teknik kemahiran yang patut ada pada pengamal SC. Pelajaran Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung adalah punca kemahirannya. Kalau tidak ada kemahiran itu maka saya simpulkan terdapat kekurangan.

Berdasarkan pengalaman, amat jarang saya lihat para penuntut yang dapat membuat teknik sepakan secara hirisan ini dengan tepat dan sempurna. Sepakan jenis ini menyebabkan risiko pelipat tidak jatuh adalah amat kurang. Pada anggapan saya, kegagalan membuat sepakan secara hirisan terjadi kerana dari awal lagi penuntut berkenaan disuruh pukul atau sepak pelipat pasangannya sama ada buah Kuntau Kiri Gantung atau kuntau Kanan Gantung. Pengajaran yang demikian adalah gopoh dan amat merugikan penuntut pada pelajaran yan g akan datang.

Pernah berlaku satu peristiwa apabila kumpulan kami dianugerahi pelajaran menengah oleh Ustaz. Ada hamba Allah Jurulatih yang ’hebat’ tapi gagal membuat sepakan berkenaan dengan sempurna dan tepat. Saya masih ingat lagi kata-kata Ustaz yang tidak senang. Ustaz memarahi beliau dengan sebab mengabaikan pelajaran jatuh buah Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. ”Orang suruh latih betul-betul buah-buah tu, buat main-main.”
Maknanya pelajaran buah-buah gantung berkenaan itu amat banyak maknanya untuk mendapatkan pelajaran hebat seterusnya.

Cubalah tanya pada mereka yang telah dapat Sijil Menengah. Yakinkah mereka dengan pelajaran yang ada. Kalaulah tangan dimatikan fungsinya, bolehkah keyakinan diri tetap berada bersama mereka. Tanya aje.

Sekian setakat ini. Sambung dengan buah lain.