Thursday, November 26, 2009

PERBUATAN BERULANG

Selesai sembahyang sunat Aidil Adha, makan lemang. Cuba ingat-ingatkan isi kutbah yang dibaca oleh imam. Mudah lupa. Tapi masih teringat kisah Nabi Ibrahim, Naib Ismail dan Nabi Ishak. Masakan tak boleh ingat. Berpuluh tahun tetap mendengar nama-nama tersebut. Tok imam tak jemu-jemu mengulang-ngulang peristiwa yang telah berlaku pada mereka. Kita pun tak jemu-jemu mendengar.

Tiba-tiba datang lintasan di pagi raya. Mereka tersebut adalah seketurunan. Nabi Ismail dan Nabi Ishak adalah anak Nabi Ibrahim. Kedua-duanya meneruskan perjuangan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Nampaknya, kaitan keturunan bukanlah perkara baru dalam sejarah ketemadunan manusia. Termasuk juga sejarah dalam penerusan perjuangan.

Tak berani bersembang panjang. Soal keturunan amat sensitif dalam persilatan kita. Ada yang berfaham songsang. Keturunan dibenci, masyarakat ditatang. Malas nak mengulas panjang. Nampak sangat sifat bodoh sombong yang menafikan kenyataan. Kata rakan-rakan, itulah kefahaman jalang yang baru muncul dalam fahaman persilatan kita. Ada pulak pengikutnya. Berpautkan pada kesedapan yang ada padanya. Agaknya pengikut fahaman yang baru muncul tersebut.

Walaupun isi kutbah berulang-ulang cakap setiap tahun, pengertian dan pengajarannya amat releven sepanjang masa. Raya Qurban juga mendukung empat perwatakan utama. Nabi Ibrahim AS dengan keikhlasannya, Nabi Ismail dengan kepatuhannya, Siti Hajar dengan sifat tawakalnya dan iblis dengan hasutannya. Aplikasikan dengan perwatakan yang ada dalam SC. Banyak tafsirannya. Masakan kita boleh bersatu atau berpecah tanpa ada perwatakan tersebut. Muhasabahlah diri kita. Di manakah kedudukan perwatakan kita.

‘Mintak simpang malaikat empat puluh empat’ . Janganlah kita bersifat iblis yang suka menghasut. Di samping itu, iblis dilambangkan dengan sifat -sifat dengki, berpura-pura, adu-domba, ular air, tidak berterus terang dan banyak lagi yang selalu dijadikan persoalan dan perwatakan dalam kebanyakan filem atau drama terbitan kita.

Oleh itu dalam pergaluan kita, berhati-hatilah dengan golongan ini. Begitu juga pergaulan dalam kalangan ahli SC. Kita perlu berhati-hati dan mengenali kumpulan ini supaya tidak menjadi alat memuaskan kehendak manusia yang bersifat iblis. Jika kita tidak berhati-hati, lama-kelamaan kita pula akan menjadi penghalang utama dalam hubungan sesama ahli yang lain persatuan dalam persilatan SC yang masih mengagung-agungkan sepancor guru iaitu Ustaz Hanafi.

Ketika bertemu sahabat yang datang bertandang, dikatakan bahawa dalam penulisan saya juga ada peristiwa yang berulang. Saya tersenyum dan mangatakan bahawa imam yang membaca kutbah sebentar tadi, suka juga mengulang-ngulang cerita yang sama saban tahun. Masing-masing tersenyum. Tajuk beralih. Beralih pada biskut yang dimakan. Banyak nama yang diberi pada biskut. Ada biskut pan dan ada biskut tat. Banyak lagi nama-nama biskut yang ada dalam buku resipi. Lihat pada bahan-bahannya. Semuanya berulang-ulang. Tepung, gula, telur dan mentega mesti diulang-ulang penggunaannya. Tanpa diulang penggunaan bahan tersebut, biskut tak akan menjadi.

Dalam televisyen pun ada drama yang berulang. Cerita P. Ramlee pun turut diulang. Kita tahu akan kesudahannya. Tapi tetap duduk menonton sampai habis. Yang lucu, diketawakan lagi. Yang sedih akan dikeluarkan air mata. Pada hal dah tahu akan kesudahan ceritanya.

Nampak sangat perkara yang berulang ada nilai estetikanya. Susah nak lupa. Tak jemu mendengarnya. Ada yang mengatakan bahawa sesuatu yang berulang itu akan bertahap klasik atau bertahap metos. Apapun istilahnya, pengulangan yang berlaku adalah perlu tetapi tidak menjemukan.

Banyak perbuatan mengulang-ngulang dalam konteks persilatan kita. Dalam gerak SC, perkara berulang dapat dilihat dalam pelajarannya dan dalam latihannya. Banyak manfaatnya.

Kaedah dalam SC selalu diulang pemakaiannya. Ulangan ini penting bagi mempelbagaikan buah-buah yang bersesuaian dengan kaedah tersebut. Banyak buah yang dapat dihasilkan dengan menggunakan satu Kaedah, sama ada Kaedah A atau B atau C atau D. Dalam kaedah Potong pun, kaedah ‘spring’ dapat digunakan secara berulang untuk mengatasi pelbagai jenis gerak lawan. Malah untuk menyerikan buah-buah pukulan sekalipun, kaedah yang sama selalu diulang-ulang bagi memenuhi falsafah sesama ahli tak ada yang menang atau tak ada yang kalah dalam pergaduhan.

Dalam gerak yang berulang ini, saya selalu memikirkan kepintaran Ustaz dalam menyusun atau meletakkan kedudukan kaedah-kaedah tersebut. Pengulangan perbuatan dalam gerak SC tidak dibuat secara berstuktur atau secara berterusan. Misalnya Kaedah A. Buah-buah yang menggunakan kaedah A terletak di merata-rata kedudukan buah. Tidak disusun secara berturutan daripada buah pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Begitu juga dengan penggunaan Kedah B, C dan D. Penyusunan secara ‘celum-celam’ itu memaksa kita berfikir. Secara langsung gerak kita dalam SC adalah berdasarkan kefahaman. Apabila kefahaman ini bersebati dengan jiwa dan diri kita, pergerakan kita akan menjadi hebat sekali.

Saya sangat berharap agar pendokong SC yang ada sekarang atau yang akan datang, jangan sekali-kali mengubah sistem yang sedia ada dan telah terpupuk sejak zaman Ustaz lagi. Jangan diajar anak murid kita mengumpul buah-buah berdasarkan kaedah-kaedah yang ada secara kumpulan. Fikiran mereka akan beku kerana terdorong dengan sifat hafalan. Sinarai kedudukan buah yang ada adalah mantap dan telah dibuat pelarasan sejak zaman Ustaz lagi.

Semasa kita berlatih, sifat mengulang gerak dalam mengambil buah adalah perlu. Sebagai Jurulatih, perbuatan mengulang gerak ini perlu diberatkan. Kalau Jurulatih menumbuk penuntut untuk mengambil kaedah, perbuatan menumbuk perlu diulang-ulang sehingga berasa puas yang penuntut tersebut telah berjaya mengambil kaedah dengan tepat dan cepat. Kalau sesama mereka bergilir menumbuk, Jurulatih perlu bilang berkali-kali arahan menumbuk hinggalah gerak mereka tepat dan kemas.

Dalam kelas latihan silat saya, bagi setiap pelajaran baru, pelajaran yang terdahulu akan diulang semuanya. Kalau saya mengajar buah jatuh, semua kaedah asas yang belum ‘dijatuhkan’, akan diulang perbuatannya. Begitu juga jika kelas berkenaan sedang belajar buah potong. Semua buah jatuh akan diulang geraknya. Perbuatan mengulang ini amat penting bagi meningkatkan daya ingatan pada setiap penuntut silat. Secara langsung usaha-usaha untuk mensebatikan gerak pada diri setiap pentuntut itu akan lebih berjaya dilakukan.

Agak terkilan apabila saya mendengar berita tentang usaha-usaha mengubah corak latihan. Buah-buah asas akan dikumpulkan dalam bilangan tertentu untuk dijatuhkan. Setelah itu akan ditinggalkan latihannya bagi mempelajari buah yang baru dalam kumpulan buah yang lain. Saya tidak ada komen mengenainya. Saya berharap mereka tahu apa yang dilakukan. Kesannya bukan sekarang. Kita boleh lihat beberapa tahun yang akan datang. Kesan pada kefahaman dan kesebatian pergerakan dalam diri seseorang.

Kepada pengamal SC, perbuatan mengulang pergerakan dalam SC perlu diamalkan kerana geraknya pasti akan mendatangkan manfaat. Didiklah kebolehan dan ketangkasan dalam kalangan ahli SC dengan cara mengulang perbuatan gerak dalam setiap latihan silat. Penyusunan buah-buah yang ada dalam SC janganlah diubah-ubah. Saya yakin bahawa Ustaz telah mengkajinya dan tahu akan sebab musababnya. Janganlah kita pula pandai-pandai mengubah pergerakan yang telah ditetapkan dalam keadaan ingin meneruskan pusaka Hanafi. Jangan menjadi hipokrat hakiki. Kalau diubah juga, malulah sikit untuk mendakwa mempusakai amalan yang telah dipraktikkan oleh Ustaz Hanafi. Pusaka Hanafi.

Sekian setakat ini.

Wednesday, November 25, 2009

SIRI AKHIR....sambungan BERDENDAM JUGA (7).

Pepecahan ini belum sampai ke penyudahnya. Maka SC ketika ini dilayari oleh tiga orang guru yang berlainan. PA, JM dan En Mat. Dalam CH, kalau berdasarkan disiplin lama, keputusan mahkamah perlu ada untuk menentukan guru mana yang benar-benar layak. Layak di sini berdasarkan tafsiran undang-undang atau peraturan-peraturan persatuan yang ada. Seperti biasa, soal adat dan adab semakin diketepikan. Namun begitu, oleh sebab mandat tetap dipersoalkan maka timbullah teori baru. Dikatakan bahawa dulunya En Mat sebagai guru SC tidak ada mandatnya. Mandat yang ada adalah terbuka. SC bukannya harta pusaka. Hak Ustaz Hanafi dinafikan, sebaliknya SC telah menjadi hak masyarakat. Biarlah masyarakat yang menentukannya. Masyarakat negara kita adalah pelbagai bangsa. Bila dikatakan hak masyarakat, adatnya adalah hak masyarakat yang pelbagai bangsa. Oleh sebab kumpulan hindraf sebok berjuangkan politik bangsanya maka mandat masyarakat melantik guru, diserahkan kepada penguasa persatuan yang ada. Maka dilantiklah Guru Persatuan bagi memenuhi hajat mereka. Di samping dua guru tersebut, PA masih meneruskan tugasnya sebagai guru dalam CM.

Apapun yang berlaku, kesemua ‘guru’ yang ada dalam sejarah perjuangan SC mempunyai pengertian dan keistimewaan buat saya. Banyak kenangan bersama mereka. Hubungan kami juga boleh dikata tersangat istimewa. Walau bagaimanapun kerana pepecahan persatuan, banyak masalah yang timbul dari segi hubungan.

Hubungan saya dengan Ustaz, saya sifatkan amat istimewa. Ketika saya masih di Kuala Lumpur, hubungan kami amat rapat. Terbayang kisah-kisah lama sewaktu berjalan dengan Ustaz. Hampir setiap petang kami berjalan bersama di Jalan Chow Kit. Apabila singgah di gerai minuman Pak Hussain, banyak syarahan yang diberinya. Kalau singgah ke kedai baju, dapatlah saya baju T baru. Setelah saya berpindah ke cawangan, Ustaz masih kerap berkunjung ke cawangan saya. Tapi tiada hebahan mengenainya.

Tidak akan saya lupa kunjungan terakhir Ustaz ke cawangan saya. Sebaik saja saya mengambilnya di lapangan terbang, dalam perjalanan ke ‘rumah persatuan’, diarahnya saya singgah ke pasar malam. Kami berdua sahaja. Bila saya tanya maksudnya, Ustaz mengatakan bahawa dia ingin membeli pisang untuk membuat majlis doa kesyukuran. Oleh sebab pembelian tersebut atas niatnya, saya tidak mengeluarkan wang untuk membayar harga pisang. Ustaz menegaskan pembeliannya dengan alasan atas niatnya. Ketika kami minum bersama di sebuah kedai, baharulah harga minum tersebut saya bayar. Puas. Kalau dulunya hanya Ustaz sahaja yang asyik membayar, tapi kali ini giliran saya pula yang belanja Ustaz.

Pada malamnya Ustaz mengadakan doa selamat sebelum ijazah terakhir di cawangan saya. Tapi saya tak bertanya langsung akan tujuannya. Tak terlintas apa-apa. Pada malam itulah Ustaz juga menunaikan segala petua yang ‘terhutang’ dengan saya. Sesetengahnya saya pun dah lupa akan permintaan saya sebelumnya. Banyak lagi keistimewaan yang ada dalam konteks hubungan kami. Akan saya bicara dari masa ke masa. Tentang petua, akan saya cerita. Mana-mana yang saya terima tanpa ikrar empat biji mata, pasti saya nyata. Kalau banyak biji mata, bukan ikrar namanya. Angkat tangan saja suka-suka. Boleh disama kumpulan pop yeh yeh di masa lalu. Tukang gelek pastilah ketuanya.

Hubungan saya dengan PA lain pula konteksnya. Bukan setakat hubungan antara ‘guru’ dengan ‘murid’ tapi lebih dari itu. Hubungan kami juga adalah sebagai hubungan sahabat yang erat. Kami pernah berlatih bersama dalam kelas silat untuk membetul dan menantapkan buah-buah SC yang ada. Beliau juga pernah melahirkan perasaan tak puas hatinya terhadap beberapa ahli dalam kalangan muridnya yang dianggap melebihi batas tindakan sepatutnya. Pernah dijanjinya anugerah dan kedudukan istimewa pada saya jika saya terus bersamanya. Tapi nak buat macam mana. Tak menjadi semuanya.

Apapun, kedua-dua mereka teramat istimewa buat saya. Ada kelebihannya. Cuma bak kata pepatah Melayu,”Lebih satu kurang satu.” Walau bagaimanapun saya juga diberi keistimewaan oleh mereka. Sekurang-kurangnya ketika mengadakan sebarang majlis ijazah di cawangan saya. Tarikh dan masa, saya tentukan sendiri secara berhubung terus dengan mereka. Tidak ada pengantara. Jadi, tak adalah orang tengah yang besar kepala.

Keistimewaan hebat yang saya terima, dapat dibuat contoh daripada kalangan mereka berdua.

Ustaz pernah menunda ijazah cawangan negeri lain kerana memenuhi permintaan ijazah di cawangan saya. Berbulu biji mata pada orang sebelah sana. Nak buat macam mana. Kehendaknya.

Bersama PA, ada satu peristiwa tentang ijazah yang saya tak boleh lupa. Dalam satu majlis ijazah di tempat saya, ketika jam menunjukkan waktu sembilan malam, PA masih belum tiba. Saya terus menalefonnya. Beliau tersentak kerana lupa. Maka dikatakan pada saya, ”Tunggu. Saya datang la ni.” Tunggulah kami. Tengah malam barulah bermula majlis ijazah seperti yang dirancang di tempat saya. Itulah hebatnya PA yang sentiasa menunaikan janji dan memegang janji ijazah yang diberi terhadap saya. Ketika itu.

Kedua-dua mereka sangat memahami pengorbanan yang telah saya sumbangkan dalam perjuangan SC. Cucuk-mencucuk tak termakan pada mereka. Agaknya kalau termakanpun, marah mereka buat sementara. Buktinya, saya tak pernah dimarahi secara langsung, melainkan yang saya dengar-dengar adalah sikit-sikit melalui pengantara. Tapi, bila berhadapan dengan mereka, rentak bual dan air muka, tetap macam biasa. Terfikir di hati. Mesti ada yang dengki. Namun begitu, saya masih boleh telefon mereka bila-bila masa. Pasti telefon diangkat mereka. Dilayan mesra. Langsung tiada perasaan fobia untuk menalefon mereka.

Hubungan dengan En Mat lain bentuknya. Perbezaan umur amat ketara. Ketika beliau ke rumah cawangan saya buat pertama kalinya, umur beliau baru mencecah dua belas atau tiga belas tahun. Panggilannya terhadap sayapun dimulakan dengan perkataan ’abang’. Ketika itu.

Dengan En jo juga ada hubungan istimewanya. Beliau adalah patner saya ketika pelarasan buah dilakukan bersama di bawah pengawasan Ustaz. Sering kali menjadi pasangan untuk buat pertunjukan. Kekasaran dan kecepatannya bersilat amat sangat saya gemari.

Kadang kala timbul persoalan di hati. Sampai bila pepecahan guru akan berlaku. Apapun, CM belum mengalaminya. Saya yakin, mereka juga pasti akan alaminya walaupun secara umum, tidak nampak pepecahan mereka. Mesyuarat agung telah digunakan mereka untuk menentukan bakal pengganti. Suara ahli persatuan telah dijadikan sumber utama. Bijak juga tindakan mereka. Akan tetapi, dua campur dua tetap empat jadinya. Akan jadi akhirnya Silat Cekak bergurukan empat orang. Mana yang benar. Pastinya hingga orang luar membuat keketapannya. Sekali lagi hakim berperanan, bukannya ahli silat yang membuat ketentuan.

Negeri-negeri Melayu yang dijajah oleh Inggeris adalah berpunca pada perebutan tahta negeri. Kedua pihak yang bergaduh telah merujuk pada Inggeris. Akhirnya pihak Inggeris yang berkuasa. Habis dirobeknya adat-adat dan adab-adab kita. Padanlah dengan muka kita. Biar punah asalkan puas. Biar kedua-dua pihak terlepas genggaman. Biar orang lain yang dapat, asalkan kesemua kita tak akan dapat apa-apa.

Itulah peristiwa-peristiwa penyudahnya pada kata-kata dalam ayat pertama pantun Ustaz.

“Lahirnya Cekak kerana kesedaran,”

Dalam tulisan ini, saya telah menyingkap peristiwa yang ada berdasarkan pengalaman saya dalam tujuh siri penulisan. Tentunya saya yang memainkan peranan sebagai watak utama. Banyak peristiwa yang tidak dikupas dengan sempurna. Belum tiba masanya.
Pepecahan SC akan terus berlaku untuk berpuluh-puluh malah beratus-ratus tahun yang akan datang selagi manusia Melayu masih ada. CM pun akan berpecah apabila PA akan tiada. Sekali berpecah maka sekali lagi timbul guru baru dan persatuan baru. Hingga ke angka dua puluh satu agaknya. Tapi saya rasa semuanya akan terkenang nama Ustaz Hanafi. Maka tak salah saya menghitamputihkan peristiwa dalam zaman Ustaz Hanafi. Kalau tak setuju tulislah mengikut tafsiran sendiri. Dengan watak utamanya ialah diri sendiri. Lagi banyak yang ditulis, tak akan timbul apa-apa kerugian. Berkongsi pengalaman.

Sekian imbasan umum DENDAM YANG TERUS MEMBARA DI HATI dalam sejarah persilatan SC sejak awal penglibatan saya. Akhirnya akan menjadi abu yang abadi. Hidup Cekak! Hidup Cekak!. Itulah wirid kebanyakan hipokrit hakiki. Lain di mulut, lain di hati. Dia yang hidup, silat yang mati. Tapi sedap lagi wirid haji. Sekian setakat ini.

Tajuk lain pulak sedang menanti.

Sunday, November 22, 2009

....sambungan BERDENDAM JUGA (6).

Ramai para pendokong SC yang sama-sama bergiat cergas sejak zaman Ustaz lagi, menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh En Mat. Mereka bediri teguh di belakang guru utama. Sokongan padu ini juga diikuti oleh kumpulan-kumpulan yang satu kepala dengan mereka. Berkumpullah mereka dalam perjuangan CH dengan semangat yang begitu membara. Menyaingi CM semacam telah menjadi agenda utama juga. Cuma yang berbeza antara kumpulan sokongan tersebut, adalah dari segi asal ‘gurunya’ dan dari segi latar masa penglibatan. Ada yang sama-sama terlibat bersama Ustaz tapi berlainan peringkat masa dan ada yang ‘bergurukan’ PA dan tak pernah bersua muka dengan Ustaz sendiri. Oleh itu, fahaman dan sikap mereka pastinya berbeza. Maka hala tuju mereka dalam SC juga pastinya berbeza. Hal ini demikian telah banyak mempengaruhi perkembangan SC seterusnya. Faktor ini juga boleh dibuat kajian untuk membuktikan sama ada benar atau tidak, faktor tersebut telah memberi sumbangan yang besar dalam pepecahan seterusnya.

Pada peringkat awal perkembangan CH, tidak nampak perbezaan pendapat yang ketara. Lama-lama, timbul juga perasaan curiga. Wujud lagi para kumpulan yang berbeza. Kedua-dua pihak masih berbicara dengan saya. Nampak sangat hala tuju mereka yang makin berbeza. Apatah lagi wujud pula generasi baru yang hanya bergurukan guru yang ada. Menerima SC dalam keadaan yang seada. Mereka tidak dapat membanding atau membeza. Apa yang ada maka itulah SC namanya pada fahaman mereka. Pengorbanan ahli-ahli lama apa yang mereka tahu. Umpama si bapa sekarang yang bermegah dengan sepuluh sen untuk berbelanja ketika berada di bangku sekolah di suatu ketika dahulu. Sepinggan mee dan segelas air sirap dengan nilai sen tersebut. Tapi ketika bercakap pada generasi sekarang maka akan dijuihkan bibir mereka pada kita. Berbelanja hebat di zaman dahulu tanpa berpijak di bumi yang nyata sekarang.

Ramai juga pejuang hebat dalam zaman Ustaz yang telah menurun prestasi kerjanya. Hanya berharap pada nama. Umpama sang belang yang bergigi palsu. Hanya berharap pada ngaumannya saja. Bila menggigit, bukan sakit yang ada tapi geli geleman dibuatnya.

Kumunculan generasi baru termasuk yang seleweng taat setianya dengan PA telah mengubah banyak keadaan dan situasi dalam CH. Nampaknya bila CH melayari bahteranya, karenah yang wujud dalam zaman PA telah mula menjelma semula. Fokas pada silat tak berapa ada. Peluang-peluang berniaga begitu ketara. Program-program persatuan semakin rancak direka. Kalau negara ada wawasannya maka kita juga ada wawasannya. Semuanya berasaskan aktiviti persatuan bagi merancakkan pengurusan.
Perkembangan silat adalah mengikut arus. Kebajikan ahli-ahli dalam silat tak tentu hala. Bila dibangkitkan maka pelbagai cap akan diberikan. Saya tidak lupa akan ayat-ayat. Antara lain cap yang ada, “Nak tunjuk lagak sebagai raja, Nak lagak besar kepala, Nak free semuanya, Nak ....” Macam-macam cap ada. Macam puak Siam yang ada cap pelbagai jenama. Yang jelasnya ketika itu pelbagai pihak nak tunjuk kuasa. Fahaman persatuan namanya. Mula bertapak dan bermaharajalela.

Dalam proses tunjuk kuasa, keaslian silat mula dinoda. Saya tak mahu komen banyak. Kerap kali saya sentuh dalam tulisan saya yang lalu. Saya sangat berhati-hati dalam soal ini. Saya cuba pastikan pembawaan saya dalam SC tidak berubah sama ada gerak fizikalnya mahupun kefahaman yang saya terima daripada Ustaz Hanafi. “Ada ulu, ada parang. Sebagaimana dulu maka begitu juga sekarang.”

Ramai yang mendesak dan berharap agar saya mengikut kemahuan mereka. Jiwa saya tak boleh sedemikian rupa. Saya masuk SC bukannya kerana suka-suka. Ada sebab saya berjuang dan meneruskan perjuangan dalam SC. Ada yang memahami perasaan saya dan menghormati prinsip saya. Tidak kurang juga yang buta kayu. Bercakap dan membuat kesimpulan berdasarkan nafsu.

Banyak perkembangan yang berlaku dalam CH. Lama-lama saya kurang ambil kisah. Penglibatan saya dalam persatuan mula dikurangkan. Banyak kali saya tebarkan jala. Kerap kali juga tidak mengena. Telah sah akan petunjuk yang ada. Penguasa yang ada tidak memahami sikap dan perjuangan saya. Susah payah saya, mana pernah mereka lihatnya. Akhirnya cawangan saya diserahkan pada orang lain. Buatlah kerja persatuan asalkan saya berperanan dalam bidang persilatan. Apa yang saya perhatikan dan menurut cerita yang empunya cerita, pengunduran saya dari persatuan ada pelbagai riaksinya. Ramai yang tersengeh dan bertepuk tangan. Puas hati kerana akhirnya kecundang juga. Tidak kurang pula yang berasa sangsi dan berwaspada. Takut SC di tempat saya akan hilang bisanya. Bisa kerana selama ini berperanan sebagai pengimbang dan batu ukuran akan setiap pendapat dan tindak tanduk yang ada. Namun begitu dalam mesyuarat MMT, peranan saya didesak sebagai penasihat utama di cawangan saya. Pengganti saya terima sahaja. Harap mulut dan hati sekata.

Tahun berganti tahun. Akhirnya sekali lagi kita berpecah. Ramai yang mengetahui puncanya. Berlaku penyingkiran guru dan pelantikan guru yang baru. Saya tidak mahu melanjutkan bicara. Setakat tujuh siri penulisan saya kira telah cukup. Kalau tidak, kena menulis bersiri empat belas atau dua puluh satu atau empat puluh siri. Angka-angka tersebut dikatakan angka keramat pada kita. Agaknya.
Akibat pepecahan sesama kita dalam CH, maka sekali lagi saya terheret dalam kancah pepecahan antara dua guru dalam SC. Nasib baik rambut saya tetap hitam dan tidak luruh atas dan bawah. Bezanya sekarang ini saya berada pada waktu ‘’Maghrib’. Berbeza dengan waktu ‘Zohor’ dalam pepecahan yang terdahulu. Kurang bertenaga nak meronta-ronta. Salah atau benar pasti akan terikat dengan tafsiran akal yang ada. Seperti biasa, saya tetap memegang adat dan adab untuk berpihak sebelah mana. Dalam soal guru, jangan dirujuk pada peraturan persatuan. Rujuklah pada adat dan adabnya iaitu Mandat. Kedua-dua pihak mengetahuinya.

Pepecahan sesama ahli silat semakin berleluasa melalui peruntukan peraturan persatuan yang sedia ada. Apa yang berlaku dalam zaman pepecahan PA telah berulang semula. Sebijik macam yang lama. Kutuk- mengutuk melalui surat, SMS dan internet sudah menjadi perkara biasa. Cawangan-cawangan yang tidak sehaluan dengan pusat telah dibubarkan. Ahli-ahli yang tidak sehaluan telah mengalami proses pemecatan. Itulah nasib yang pernah mereka terima. Itulah dendam namanya. Kalau dulu mereka dipecat maka sekarang mereka memecat. Dendam yang ada telah dijadikan tekanan untuk menentukan tingkah laku selanjutnya. Penguasa persatuan telah banyak mengorbankan masa ke sana sini bagi menerangkan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menyekat aktiviti En Mat yang dianggap tidak sah.

Kadang kala saya berfikir sendirian. Tidakkah pepecahan dalam CH dapat dielakkan daripada berlaku. Banyak aspek telah dibicarakan dalam tulisan yang terdahulu.

Kalaulah penguasa persatuan kita memegang peraturan atau perlembagaan persatuan maka sengketa yang ada sepatutnya dibereskan melalui peruntukan pelembagaan yang ada. Penglibatan ahli persatuan patut ada. Satu mesyuarat agung luar biasa boleh diadakan segera. Semua cawangan perlu dijemput bersama untuk bermesyuarat. Biar ahli yang menentukan kedudukan guru. Buatlah undian melalui peruntukan yang ada.

Tapi lain jadinya. Soal mandat dijadikan perbahasan pula untuk menidakkan lantikan guru yang ada. Hinggalah beberapa cawangan digantung atau dibubarkan, baharulah mesyuarat agung diadakan. Kalaulah mesyuarat agung yang menentukan kedudukan guru atas nama undang-undang persatuan, pasti CH dapat diselamatkan. Yang menghairankan saya prinsip apa yang mereka gunakan. Kalau adat dan adab ditolak dan peraturan persatuan juga ditolak maka peraturan apa yang mereka pakai. Itulah politik silat namanya. Ilmu perjuangan yang ditinggalkan oleh Ustaz menurut tafsiran mereka. Bukan perjuangan tapi ilmu perjuangannya. Walau bagaimanapun, perkataan ‘kalau’ jangan sesekali digunakan. Merintih dalam khayalan. Tiada sudahnya. Sambung lagi.

Sunday, November 15, 2009

....sambungan BERDENDAM JUGA (5).

Pepecahan antara guru telah berlarutan ke mahkamah. Saya mula dibabitkan untuk dijadikan saksi dalam mahkamah. Penting juga peranan saya ketika itu. Kenapa perlunya peranan saya sebagai saksi ketentuan guru. Lain masa jika terlintas maka akan saya bicara. Penulisan berdasarkan IT.

Peranan saya yang cuba dilibatkan sebagai saksi adalah semata-mata untuk membuktikan guru mana yang sebenar-benarnya mempunyai mandat yang sah sebagai guru. Keadaan itu amat tidak menyenangkan saya. Gajah sama gajah berjuang maka kita pulak nak dijadikan kuda. Kalau benar-benar mementingkan perjuangan silat, kenapa pula mahkamah yang perlu menentukannya. Mana dia adat dan adab kita. Tapi manusia tetap manusia. Akal memainkan peranan untuk memutar belit kenyataan yang ada. Ditambah pula dengan kuasa yang ada dalam persatuan, maka putar belit tersebut amat rancak diamalkan.

Kalau tak salah saya, satu mesyuarat agung luar biasa telah diadakan di sebuah kem tentera. Difahamkan juga betapa ahli yang hadir diperiksa dengan telitinya. Tak banyak yang boleh saya cerita tentang mesyuarat tersebut kerana saya tidak menghadirinya. Setakat dengar cerita. Diberitakan bahawa kemenangan berada di pihak penguasa persatuan yang sedia ada.

Akhirnya berpecahlah kita di bawah nama persatuan yang baru iaitu CH. Silatnya tetap sama. Silat Cekak namanya. Pendokong setianya seperti yang saya nyata akan wajah mereka. Dari segi persilatan, En Mat berjaya ‘mengambil’ kembali SC. Tapi dari segi persatuan, beliau gagal berbuat demikian. Maka bermulalah era baru dalam perkembangan SC seterusnya. Silat dan Persatuan mula berpisah. Silat adalah lain dan persatuan pun adalah lain. Konsep bersepadu antara silat dan persatuan telah mulai hilang. Perkembangan inilah yang menjadi dasar seterusnya dalam perjuangan SC.

Pada pengamatan saya, persatuan lebih berperanan berbanding dengan silat yang didokongnya. Sesuai dengan undang-undang negara, tanpa persatuan, kegiatan silat tidak membawa sebarang makna. Menguasai persatuan bermakna akan menguasai silat yang ada. Adat dan adab yang sebati dalam persilatan akan tewas dengan peraturan persatuan yang ada. Pelantikan guru silat itu sendiri boleh ditentukan melalui persatuan. Peruntukan yang ada dalam perlembagaan persatuan akan dapat dijadikan panduan untuk lantikan guru. Malah, kegiatan persatuan masih boleh diteruskan sepanjang masa hatta silat yang ada telah ditiadakan. Kalau guru silat sekalipun ditiadakan maka persatuan yang wujud boleh terus bergerak dengan laju dan jayanya.
Saya percaya, petua ini sangat dipegang erat oleh penggerak Akademik Silat Cekak. Jangan dirisau mandat guru. Jangan dirisau pengganti guru. Syarikat telah ada. Saya yakin dan percaya bahawa pengganti guru mereka seterusnya akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah yang ada. Cerdik sungguh fikiran mereka. Agaknya itulah amanat yang mereka terima. Dari guru yang mereka puja. Tapi hairan juga. Ada antara mereka, dengan guru asalpun tak pernah berjumpa. Pastinya mendapat amanat melalui mimpi. Kekuatan mimpi tersangat hebat dalam kalangan mereka. Kekuatan mereka tersangat erat dengan mimpi yang ada. Malah anu merekapun akan berfungsi ekoran mimpi yang diterima.

Berbalik kita dengan pepecahan persatuan dalam kalangan kita ketika itu. Kedua-dua pihak tetap berwaspada pada saya. Saya berada di sebelah mana. Itulah persoalan mereka yang utama terhadap saya. Akhirnya, saya telah mengeluarkan satu surat edaran. Saya nyatakan pendirian saya termasuk juga pesanan Ustaz kepada saya tentang kedudukan guru SC. Isi surat akan saya nyatakan di lain masa.

Akibat surat tersebut, cawangan saya dibubarkan dan keahlian saya dipecat dengan serta merta oleh pendokong persatuan yang berkuasa. Pendokong Cekak Malaysia namanya. Mereka adalah penguasa persatuan. Siapakah penguasa dan pendokong persatuan tersebut. Siasatlah latar belakang mereka dalam konteks membangunkan SC bersama dengan Ustaz di peringkat awal lagi. Satu iktibar buat kita semua. Jangan disangka manusia dalam sungai akan menjadi mangsa sang buaya. Banyak buaya yang telah dijadikan mangsa buat manusia. Banyak sekali barangan kulit berasal daripada kulit buaya. Buat kegunaan manusia yang lemah kekuatan fizikal, berbanding dengan buaya. Jangan disangka juga akan harimau yang cuba menerkam rusa, akhirnya harimau tersebut disiat-siat oleh sang rusa. Peristiwa yang luar biasa. Tidak mustahil kejadiannya. Manusia ada akal. Tuhan juga yang amat berkuasa. Apapun, tinggallah kenangan saya bersama dengan Persatuan Silat Cekak Malaysia.

Maka berpautlah saya pada jenama CH sebelum ‘mati’ lemas dalam kancah sengketa. Maklumlah. Orang yang biasa bersilat, mesti terus berada dalam alam persilatannya. Anggapan saya, perjuangan SC dikira masih sama. Cuma payungnya sahaja yang berbeza. Kedua-duanya masih melaungkan semangat perjuangan Ustaz Hanafi. Pada saya ketika itu yang membezakan mereka ialah, satu menendang manakala yang satu lagi menyudi.

Maka SC pun telah dilayari oleh dua bahtera yang berlainan jenama. Masing-masing dengan hala tujunya. Pada peringkat awal pelayaran kedua-dua persatuan, kata-mengata tetap ada. Kebolehan guru dijadikan bahan utama perbincangan. Ada guru yang dikatakan berisi dan ada guru yang dikatakan berkulit sahaja. Itulah budaya masyarakat kita. Masyarakat Melayu. Budaya tersebut menular dalam adab kita. Cap-mengecap atau gelar-menggelar amat diminati mereka. Mudah sangat membuat kesimpulan. Mudah sangat menjatuhkan hukuman. Ikut fahaman dan bacaan mereka. Kalau mereka mendengar syarahan atau membaca buku Syiah atau membaca buku Wahabi maka itulah cap mohor yang ada pada mereka. Habis semua dicapkan dengan gelaran tersebut kalau bertentang pendapat dan pemikiran dengan mereka. Terbentuklah jawatankuasa fatwa dalam kalangan pesilat SC. Kalau kuehtiaw kegemaran mereka, maka orang yang dikata, akan disamakan dengan kuehtiaw yang mereka makan. Kalau pundek yang sangat mereka minati maka akan dipundekkan pada orang yang mereka tak suka. Tambahan pula silat kita berasal dari istana. Kalangan pembesar istana sangat banyak akan gelarannya. Oleh itu, ahli-ahli SC tidak akan terlepas dengan gelaran-gelaran yang ada. Hilang maruah dan harga diri pada kebanyakan ahli hebat kita. Itulah sifat haprak namanya.

Masa berganti masa. Murid silat kedua guru semakin ramai. Persengketaan yang telah wujud semakin dilupakan. Strategi yang berkesan telah menentukan kemajuan persatuan-persatuan SC yang ada. Apabila kedua-dua persatuan menjadi mantap, percakaran antara kedua persatuan semakin reda. Masing-masing dengan hala tujunya. Tapi masih berpegang erat atas perjuangan Ustaz Hanafi.

Tak banyak yang boleh saya ceritakan tentang apa yang berlaku dalam CM. Saya telah berputus arang dengannya. Walaupun ada yang masih berurusan dengan saya, bilangannya semakin mengurang dari masa ke masa. Generasi baru mereka langsung tiada. Tapi peranan saya dalam membangunkan cawangan di negeri saya masih tidak dilupakan mereka. Masih disebut-sebut akan nama. Tapi itu dulu. Sekarang ini mungkin telah tiada. Generasi baru telah menjadi generasi lama.

Bagi memantapkan perjalanan persatuan kita, vedio CH mula diterbitkan. Peranan saya dilibatkan bersama. Apa yang dikata, itulah pandangan atau pendapat saya sepanjang masa. Tapi hairan juga. Tergambar muka tokoh-tokoh lama yang berbicara dalam vedio yang sama. Pendapat mereka telah berbeza dengan tindak tanduk yang ada, antara dulu dan sekarang. Nampak sangat menjilat ludah yang telah diludahkan. Ludah itu telah menjadi kahak pekat. Kenapa kahak tersebut masih rela dijilatkan semula. Banyak lagi nikmat yang ada untuk dijilat dengan selesa. Tasbih haji sedap dijilat sepanjang masa. Terjulur lidah dan juling biji mata akan dibuatnya. Wow. Nikmat dunia. Perubahan sikap ini, susah juga nak percaya. Tapi itulah hakikat yang ada. Tak tahu pulak ajaran mana. Ajaran Ustaz, mustahil jadinya. Ajaran mimpi boleh juga saya percaya. Agaknya.

Bersambung lagi.

Saturday, November 14, 2009

......sambungan BERDENDAM JUGA (4)

Walau apapun yang berlaku, saya tetap berpegang pada adat dan adab yang ada dalam SC. Adat dan adab adalah merupakan perlembagaan silat kita. Undang-undang atau peraturan persatuan tidak boleh diambil kira. Kita boleh membuat tafsiran dan pastinya ada unsur-unsur menunjukkan kuasa. Oleh sebab saya sangat mementingkan mandat dalam soal kesahan dan kebolehpercayaan guru, maka keputusan menentukan sokongan cawangan saya pada guru mana yang sah adalah mengambil masa yang lama. Hal ini telah tidak menyenangkan kedua-dua pihak. Namun begitu saya tidak dapat nafikan betapa kedua-dua pihak tersebut mengharapkan sokongan mutlat daripada cawangan saya.

Saya menjadi orang penting dan sentiasa dihubungi mereka untuk menentukan sikap. Mungkin banyak sebabnya. Sesuatu yang tidak boleh dinafikan ialah betapa Ustaz ada bersama saya di cawangan pimpinan saya pada hari sebelum Ustaz meninggal dunia pada sebelah malamnya. Ramai yang ingin mengetahui apakah percakapan terakhir Ustaz dengan saya. Lebih-lebih lagi sesuatu yang bersangkutan dengan bakal penggantinya.

Dalam tulisan ini agak sukar untuk saya menceritakannya. Ada juga pesanannya yang bercanggah dengan apa yang ada ketika ini. Sangat sukar saya berbicara kerana takut fitnah yang akan timbul. Maklumlah pertemuan tersebut tidak ada saksinya. Pertemuan empat biji mata. Pada anak buah saya, ada saya ceritakan dengan pesanan jangan disebarkan bicara. Orang lain nak percaya atau sebaliknya, bukan tugas saya. Cukup antara saya dengan anak buah saya. Berhenti setakat itu sahaja.

Atas pesanan-pesanan yang diberi pada saya maka saya tegaskan berkali-kali pada Ustaz, “Selagi bergerak dua tangan dan dua kaki , saya tetap meneruskan perjuangan SC.” Ustaz tersenyum agaknya gembira tapi diulang-ulang pesanannya yang sama pada saya. Maka bekali-kali pula saya luahkan ikrar saya kepadanya. Ketika panggilan pesawatnya dilaungkan, nampak genangan air matanya. Saya bersalaman sambil mengeluarkan kata. Kata ikrar seperti yang dinyata. Tetapi ikrar saya tak angkat tangan.

Itu sebabnya saya masih berada dalam SC. Tapi kadang kala saya senyum sambil ketawa. Macam orang gila dibuatnya. Senyum sorang-sorang. Mana tidaknya. Ada pula manusia generasi baru yang suka sangat bercita-cita menyingkirkan saya. Alasannya, fikiran tak sama. Haprak punya bangsa. Kalau bukan terkenangkan ikrar saya, maka perkataan pooorahhh akan saya kata.

Seperti yang dinyata, atas ikrar dan janji setia saya dengan Ustaz tersebutlah menyebabkan saya terus bergiat dalam SC walaupun diri telah berada di waktu Maghrib. Pastinya saya akan terus bergerak dalam suasana SC seperti mana yang dicipta dan yang dikehendaki Ustaz. Kalau kesebokan masih menyelubungi diri saya, sumbangan dan perjuangan saya dalam SC telah saya teruskan dalam bentuk tulisan. Menulislah saya ketika ini dalam celah-celah kesebokan saya. Sekurang-kurangnya janji saya dengan Ustaz untuk teruskan perjuangan SC tetap diteruskan. Menyebarkan pengetahuan melalui tulisan. Apa komen orang lain, bukan masalah saya. Hanya Jauhari mengenal Manikam. Tapi ramai yang kurang pengetahuan. Oleh itu banyak komen yang bercelaruan. Sifat mereka adalah terlampau habis pandai. Habis pandai maka tak pandai jadinya.

Pada masa sengketa juga, ramai sahabat yang menghubungi saya sama ada berkunjung ke rumah atau secara telefon. Ramai yang mendesak akan pendirian saya. Maka timbul juga kisah lucu. Ketika berkunjung ke rumah, ikhlasnya kurang ada. Mereka menggunakan alat perakam bicara secara rahsia untuk merakam percakapan saya. Saya menyedarinya. Tapi buat-buat bersahaja. “Huh” itulah keluhan saya pada orang rumah saya.

Pepecahan sesama kita tidak boleh dibendung lagi. Nampak sangat perbezaan pendapat yang pelbagai segi. Yang sahnya ialah wujudnya dua kumpulan yang tetap pendirian. Satu kumpulan PA dan satu kumpulan En Mat. Mulalah pepecahan ketara dalam persilatan kita. Ketika itu persatuan masih satu. Antara dua kumpulan tersebut terdapat sekurang-kurang dua kumpulan kecil yang lain. Mereka mempunyai pendapat dan penyokongnya sendiri.

Satu pendapat mengatakan bahawa kedua-dua guru yang ada adalah tidak layak dan tidak sah untuk memegang jawatan guru. Dirinya sahaja yang layak menjawat jawatan tersebut. Sekurang-kurangnya Pak W sendiri menganggap dirinya sahaja yang layak menjawat jawatan tersebut. Kenapakah beliau mendakwa sedemikian. Ada lintasan hati maka akan saya ulaskan. Satu lagi kumpulan berfaham tidak menentang kedua-dua guru yang ada. Mereka hanya mengutarakan adab sahaja secara teknikal atas sokongan kepada guru yang ada. Kalau PA masih ada, mana adabnya En Mat ‘merampas kuasa.’ Pada mereka En Mat perlu bersabar hingga masanya tiba. Nampaknya hasil perbualan dengan mereka, sokongan kepada PA hanya buat sementara. Sementara PA masih ada dalam dunia. Bila tiada maka baharulah ketaatan akan diberi pada En Mat pula. Itulah pandangan mereka. Saya hormati atas pandangan mereka tersebut. Pandangan mereka dulu. Sekarang bagaimana pula pegangan mereka. Apa pula pendapat saya. Hal inilah yang meresahkan semua. Agaknya.

Kadang-kadang saya terfikir dan terbayang sementara. Kalau Ustaz ada, apa riaksinya tentang pepecahan yang ada. Adakah perkara yang berlaku itu pernah terfikir olehnya. Walau bagaimanapun, tak ada langsung gunanya jika berbicara dengan mendahulukan perkataan ‘kalau’. Penggunaannya akan membolehkan kita terjerumus langsung dalam dunia fantasi dan angan-angan belaka. Merintih tak tentu hala.

Terbayang juga di benak saya akan tokoh-tokoh persilatan kita yang boleh terjerumus dalam sengketa. Mana perginya ikrar dan semangat setia ketika bersama dengan Ustaz. Tergamak juga di hati mereka untuk memecahbelahkan SC yang diasaskan kukuh oleh Ustaz Hanafi. Ketika Ustaz meninggal dunia, kesedihan tokoh-tokoh tersebut amat ketara. Ada yang pengsan berkali-kali kerana sebak dan sedih di hati. Dikatakan kesedihan tersebut dilanjutkan ketika majlis pemakaman berlangsung. Namun begitu, kesedihan saya tidak dilanjutkan ke kubur. Saya pulang awal.

Maka timbul serangan bertubi-tubi puak-puak berkenaan ke atas saya. Dikatakan mereka pada saya, “Nampak setia dengan Ustaz tapi ke kubur tidak bersama.” Dianggapnya saya berpura-pura. Saya diam sahaja. Alasannya ada. Malas nak terangkan pada mereka. Sekali lagi pada puak-puak saya, saya terangkan sebab utama. Fahamlah mereka akan puncanya.

Tapi saya bersyukur. Sama ada saya berpura-pura atau tidak, saya tidak terlibat dalam pepecahan yang berlangsung dari dulu hingga sekarang. Pendirian saya tetap saya. Saya puas dengan diri saya. Sebelah mana saya sokong, bukan ada apa-apa kepentingannya. Kebenarannya atas pengajaran yang saya terima. Pengajaran tersebut berkait rapat dengan adat dan adab yang ada dalam SC. Kegiatan saya dalam SC bukannya baru tapi sudah lama dan secara berterusan. Agakan saya, ramai pemimpin sekarang yang masih belum ‘bermimpi’ ketika saya mula melibatkan diri dalam SC. Sayang sekali. Ramai yang tidak beradab dan tidak beradat dek kerana peraturan yang dicipta oleh persatuan. Hilang persilatan maka timbul persatuan. Sifat menghargai peranan semakin kurang.

Orang yang setia kononya dengan SC akhirnya tidak setia. Ramai kalangan mereka yang pernah menerima pingat setia. Atas alasan apa agaknya mereka terima pingat tersebut. Sekurang-kurangnya juga saya berasa puas sebab ada hikmahnya kerana enggan terima Pingat Setia. Tapi saya masih setia. Ikrar yang dilafaz pada Ustaz tetap saya tak lupa. Saya cuba sedaya upaya supaya jangan berpura-pura.

Tapi nampaknya sekarang ini ramai tukang ikrar yang mudah lupa. Maklumlah, glamor. Terpampang gambar di halaman utama. Hebat lagi kalau jadi ketuanya. Tapi gah tak tentu hala. Pendirian tak ada. Pada stok keling botol banyak yang kita boleh jumpa. Ikrar yang mengada-ngada. Buat memalukan muka. Tapi mereka buat selamba sahaja. Itulah generasi baru dalam SC agaknya. Pendirian yang memant.... pastinya. Teka saja. Kerana saya bandingkan ikrar mereka dengan ikrar saya.

Sambung lagi

Wednesday, November 11, 2009

Sambungan... BERDENDAM JUGA AKHIRNYA (3)

Perkembangan Cekak semakin rencam. Ikatan mesra sesama ahli semakin longgar. Masa ‘melawak’ semakin kurang. Selalu saya tegaskan. Persatuan itu adalah kuasa. Mereka yang ada kuasa akan cuba memelihara kuasanya. Manakala mereka yang berminat dengan kuasa akan sedaya upaya mendapatkan kuasa.

Kalau kuasa menjadi kepentingan utama maka strategi mengekal atau mendapatkan kuasa akan didahulukan. Maka mulalah wujudnya kem-kem atau kumpulan-kumpulan tertentu. Setiap kumpulan ada ketuanya yang terlantik bukan secara formal. Pengaruh kuasa disebarkan melalui penegasan bahawa kumpulan mereka sahaja yang benar.

Pada pengamatan saya, dalam zaman PA, guru yang ada selalu melayan semua kumpulan yang ada. Sifatnya sangat ramah, rendah diri dan mudah berbicara. Pada saya, satu dari kelemahannya ialah setelah selesai satu-satu majlis PA tidak terus balik. Beliau akan bersama dengan kumpulan-kumpulan yang ada untuk berbicara. Pelakuan ini sangat berbeza dengan Ustaz. Satu segi nampak akan kelebihan guru yang bergaul rapat dengan anak muridnya. Satu segi yang lain, masa itu digunakan oleh satu-satu kumpulan untuk ‘mengadu’ sama ada secara langsung atau tidak langsung. Maka, pada kumpulan yang berjaya meyakinkan guru, pasti akan mendapat tempat di hati guru. Cakap-cakap mereka mudah diterima pakai.

Nampaknya ‘cucukan’ kumpulan-kumpulan tertentu telah mengena. Nampak sangat setiausaha yang ada, bergeng hebat dengan bakal guru CM ketika ini dan iparnya. Kumpulan gelap agak namanya. Kumpulan satu lagi menjadi cacian utama. Macam-macam komen mereka. Lain kali cerita. Saya juga dengar berita tentang keberanian kumpulan mereka membuat komen pada keluarga Ustaz. Malas nak cerita. Buruk sangka dan buruk laku yang ada dan amat ketara dalam kalangan sesetengah mereka.

Tempias pepecahan mula tersebar di peringkat cawangan. Banyak cawangan yang termakan bicara. Tapi, sekali lagi saya amat gembira kerana sebarang bentuk cucukan tak termakan di cawangan saya. Cawangan saya tidak ada rumah persatuan. Kegiatan persatuan adalah di rumah peninggalan keluarga saya. Kegiatan persatuan hanya ada apabila kelas-kelas silat berlangsung. Tanpa kegiatan silat, tidak ada siapa yang berkumpul di sana. Susah untuk kumpulan-kumpulan tertentu menyebarkan fitnah dalam kalangan ahli saya. Ruang yang ada mungkin wujud ketika ahli berkumpul untuk ijazah silat. Bagus juga jika tak ada rumah persatuan di cawangan saya. Dulunya, ketiadaan rumah persatuan dijadikan satu isu yang selalu dibangkitkan oleh kepimpinan persatuan di peringkat pusat, untuk membuktikan kelemahan pengurusan saya. Sekarang baru tahu faedahnya. Busuknya hati mereka ketika itu.

Ketika PA ijazah, kumpulan ‘gelap’ cuba mempengaruhi ahli-ahli cawangan saya. Usaha mereka mempengaruhi ahli di cawangan saya , tidak menjadi langsung. Ketika mereka cuba berbicara, jika ternampak wajah saya, perbualan mereka akan beralih tajuk tentang silat. Labih-lebih lagi ketika saya bersama mereka. Saya tersenyum sahaja.

Mereka sangat faham akan fahaman saya. Pantang pada saya buat mereka mempengaruhi ‘orang-orang’ cawangan saya. Saya ketua pada mereka yang berada di cawangan saya. Mana boleh kapal bersaing nakhoda. Semua bicara mesti melalui ketua. Buat apa saya dilantik sebagai ketua cawangan jika ada pihak yang cuba campur tangan tanpa kebenaran.

Terkenang saya kisah lalu betapa keahlian koperasi tak menjadi di cawangan saya. Puncanya adalah kerana puak tertentu cuba tunjuk kuasa tanpa memikirkan saya adalah ketua di cawangan saya. Perjumpaan dalam kalangan ahli cawangan saya cuba diatur melalui arahan surat untuk mereka mengadakan kempen koperasi mereka. Seperti yang dikata, arahan surat ‘tak main’ dengan saya. Lagipun, bukannya arahan guru utama. Akibatnya, mereka hanya dapat melalui negeri cawangan saya dalam perjalanan ke negeri lain yang ada cawangan yang tunduk dengan mereka. Nasi kangkang telah terkena.

Saya selalu berpesan dengan Jurulatih saya. Jangan sesekali menimbulkan sebarang isu selain silat dalam cawangan saya. Pada saya, penuntut yang ada di cawangan jangan sesekali dirosakkan pemikiran mereka. Mereka ikhlas menimba ilmu melalui sumbangan wang yang dikenakan setiap bulan bagi mendapatkan pelajaran SC. Pastinya ilmu persilatan SC yang dicari adalah melalui pertukaran wang yang mereka beri. Bukannya ilmu politik SC yang mereka ingin perolehi. Ketegasan saya diterima oleh barisan kepimpinan di cawangan saya. Tidak ada pengaruh buruk yang boleh bertapak di cawangan saya. Saya yakin pada situasi tersebut.

Lahirnya Cekak kerana kesedaran mula dipersoalkan dalam hati saya. Kesedaran apa yang dimaksudkan mereka. Tafsirannya mula pelbagai. Banyak cabangnya. Masing-masing mengatakan perjuangan. Juga kita mula ragu akan maksud perjuangannya. Semua tafsiran adalah betul. Semuanya mengena dengan suasana dan alasan-alasan yang ada. Mulalah retak mencari belah. Sesuatu yang tidak boleh disekat. Akhirnya berpecah kumpulan dan pengikut silat terbahagi dua. Persatuan Cekak Malaysia masih menjadi tunggak utama. Persatuan tetap satu. Cuma guru sahaja yang berpecah dua. Pepecahan itu pada asalnya wujud berpaksikan pada mandat yang ada. Apapun, terbelah juga kita.

Setelah berpecah guru, maka nampak sangat semangat berdendamnya. Silat Cekak telah dilayari di bawah dua orang guru iaitu Pak Ak dan En Mat. Di belakang PA tergambar sahabat-sahabat lama saya. Muka-muka Maidin, Roslin, Safran, Adnan, Razali dan Jo Black sangat ketara. Manakala di belakang En Mat tergambar wajah setia sahabat-sahabat lama saya juga. Wajah-wajah Am brothers, Nasir, kamarul, Ustazs Yusof, Jo Marwi, Khalid Cina dan pemimpin pelapis Lan dan Li tergambar setia. Tidak kurang juga yang berada di tengah-tengah antara kepimpinan guru yang ada. Di telan mati emak, diluah mati bapak. Timbul juga harapan munusia ahli SC yang inginkan kejadian umpama kancil yang berjaya ekoran dua gajah yang berlaga. Padanya kedua-dua guru yang ada tidak mempunyai kewibawaan melainkan dirinya yang lebih hebat daripada mereka.

Walau bagaimanapun, sifat berdendam dalam kalangan murid antara kedua guru tersebut telah diterjemahkan melalui usaha-usaha yang dilakukan bagi menyekat perkembangan guru silat yang sebenarnya. Timbul fakwa baru dalam konteks SC. Ahli silat yang berpecah dianggap tidak sah dan sekali gus silat yang dibawanya juga tidak sah. Sebaliknya pihak En Mat pula mendakwa bahawa guru yang ada adalah tidak sah bersandarkan mandat yang ada dan telah tidak boleh dipertahankan lagi.

En Mat telah mula mencari muridnya dan melakukan majlis ijazah di merata-rata negeri yang menyokong konsep guru dan mandat. Ramai pendokong-pendokong SC yang lama bergiat sejak zaman Ustaz Hanafi, menyokong kuat atas mandat yang ada pada En Mat untuk menggerakkan SC. Maka lahirlah juga perbahasan tentang konsep isi dan kulit, sarung dan senjata. Kutuk mengutuk melalui surat dan SMS begitu ketara. Dendam kesumat mulai membara. Apabila nafsu dan kepentingan menguasai diri, perjuangan silat, adab dan adat sesama ahli dalam SC entah ke mana. Ikrar bersilat mudah dilupa. Memang dalam SC, ikrar mudah dilupa. Termasuk ketua pembacanya.

Oleh sebab Persatuan dikuasai oleh PA, maka mereka mempunyai kuasa yang amat besar dalam konteks persatuan. Maka mulalah mereka menunjukkan kuasa. Cawangan-cawangan Persatuan yang menyokong En Mat, habis dibubarkan. Ahli-ahli yang menyokong En Mat juga telah dipecat dengan sewenang-wenangnya bagi melepaskan perasaan dendam. Penguasa persatuan telah banyak mengorbankan masa ke sana sini bagi menerangkan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menyekat aktiviti guru yang ada yang dianggap tidak sah.

En Mat dikatakan telah mengambil alih mandat yang ada pada PA. Cara pengambilan kuasa ditafsirkan dengan pelbagai pendapat. Ada yang mengatakan sah dan ada yang mengatakan umpama perompak yang memaksa. Bagi menentukan sikap saya dalam soal pepecahan ini maka faktor MANDAT amat saya berati. Setakat wujud penyerahan melalui perbualan kaset, pada saya masih tidak memadai. Oleh itu saya sendiri telah menghubungi Pak Ak supaya singgah ke rumah saya untuk mendengar daripada mulutnya sendiri sama ada penyerahan mandat telah dilakukan atau tidak. Beliau bersetuju dan kebetulan juga beliau dalam perjalanan balik ke Bukit Mertajam.

Pada hari yang telah ditentukan, saya memanggil rakan-rakan saya seramai dua orang untuk menjadi saksi dalam perbualan antara saya dengan Pak Ak nanti. Rupa-rupanya harapan untuk berbual secara peribadi, tidak menjadi. Sebelum sempat PA tiba ke rumah saya, saya didatangi terlebih dahulu sebuah kereta yang diketuai oleh pemimpin persatuan mereka. Mereka tersebut termasuk Maidin, Raman Botak, Pak cik Kecik dan dua orang lagi. Mereka cuba meyakinkan saya bahawa mandat yang ada pada En Mat adalah tidak sah. Seketika kemudian baru tiba PA dalam sebuah kereta yang dipandu oleh murid silatnya. Saya sendiri menyambut PA dan mempelawa masuk ke rumah. Malangnya sepatah perkataanpun beliau tidak terkata.

Majlis pertemuan tersebut lebih banyak diisi perbincangan oleh si Maidin dan Raman Botak. Pak Am dan Mak teh menjadi sasaran. Kalau ada IT akan diceritakan isi perbualan. Sekali sekala dikuat pula dengan sokongan si Kecik yang dulunya setia sungguh dengan Ustaz. Kadang kala suasana menjadi hangat apabila rakan saya melahirkan kata-kata bangkangan atas penerangan mereka. Saya cuba tenangkan keadaan. Tidak mahu wujud pergaduhan di rumah saya.

Hati saya tidak puas. PA tidak memutuskan kata seperti yang saya pinta iaitu sama ada beliau telah menyerahkan mandatnya atau tidak. Dalam perbicaraan tersebut mereka cuba buktikan bahawa mandat yang ada pada PA adalah sah. Mereka juga telah menunjukkan kelebihan-kelebihan yang ada pada PA untuk membuktikan bahawa PA adalah layak sebagai guru SC. Kelebihan PA dibuktikan umpama mukjizat. Nanti cerita kalau ada IT. Isi perbualan antara kami, semuanya bagi membuktikan konsep gila kuasa di pihak yang menentang mereka. Malangnya saya tidak mencatat tarikh dan masa dalam peristiwa di rumah saya.

Setelah beberapa jam perbincangan, mereka mengundur diri daripada rumah saya. Tidak ada satu keputusan muktamat untuk membolehkan saya membuat satu keputusan muktamat. Hajat saya untuk mendapatkan kepastian telah tidak kesampaian.

Sambung lagi.

Saturday, November 7, 2009

Sambungan... BERDENDAM JUGA AKHIRNYA (2)

Berlaku juga satu perkembangan yang menarik perhatian saya tentang pertunjukan SC. Golongan artis mula dilibatkan. Jemputan pada artis memulakan pertunjukan SC mula biasa. Saya dengar sahaja. Malas nak ambil kira. Bukannya di tempat saya. Jemputan tersebut kononnya untuk menarik minat penonton menyaksikan persembahan SC. Nama artis pun saya lupa tapi wajahnya saya ingat. Cun juga. Sejauh mana kesan persembahan mereka bagi menarik minat penonton, tidak ada jawapan pada saya.

Persembahan SC juga telah mula tidak lagi terikat di atas padang yang ada. Pasaraya besar mula menjadi fokus utama. Tapi perkembangan ini menarik minat saya. Konsep pertunjukan di Pasaraya mula menular di cawangan saya. Saya amat menyokongnya. Persiapannya tidak banyak. Mudah mendapat sponser. Sekurang-kurang-nya tempat pertunjukan adalah percuma. Masing-masing ada kepentingan bersama. Pada pengurusan pasaraya pertunjukan kami tentunya dapat menarik perhatian pengunjung manakala pada kami, persiapan yang diperlukan amat mudah dan senang diselenggara. Ahli-ahli yang membuat pertunjukan pun berasa selesa. Tempat di pasaraya adalah juga tempat kunjungan biasa mereka. Tambahan pula yang ada pasangan. Mudah bertukar-tukar bicara dan segalanya.

Ketika zaman tersebut juga, konsep baru gerak-gerak dalam SC mula tercipta. Konsep baru itu bagi menarik perhatian penonton. Gerak Hanafi, Gerak gemilang dan mungkin banyak lagi gerak-gerak yang tercipta tapi berada di luar pengetahuan saya. Saya dengar sahaja. Tak teringin untuk mempusakainya. Kami masih meneruskan tradisi gerak lama. Apa yang diberi pada penuntut maka itulah yang telah diterima semasa menuntut. Tidak ada tokok tambah atau pengurangan pelajaran di mana-mana.

Persembahan yang diiringi dengan muzik mula semakin berleluasa. Saya tak dapat lari daripadanya. Perkembangan itu juga sudah menjadi tuntutan daripada generasi baru penuntut saya. Kadang kala hati berkata-kata. Bukankah konsep SC tidak ada gendang dan tarinya. Adakah gendang tak boleh tapi muzik tak apa. Saya perahkan tenaga untuk memikirkan persoalan yang muncul dalam jiwa saya. Akhirnya saya terpaksa kata, tak apa. Akal cuba menghalalkan tujuan. Konsep muzik berbeza dengan konsep gendang. Penggunaan gendang, khas untuk mengerakkan tari silat. Manakala muzik moden khas untuk meriahkan suasana di samping menaikkan semangat penonton. Agaknya. Akal juga berfikir bagi menghalalkan cara. Kalau gendang, gerak silat perlu mengikut bunyinya. Gerak silat terikat pada irama gendang tersebut. Berlainan pulak dengan muzik yang mengiringi SC. Bunyinya semata-mata untuk menarik perhatian. Lagi kuat gegaran bunyinya, jantung pendengar akan membara. Perhatian mereka akan berfokas pada gerak SC. Gerak SC tidak tertakluk pada irama muziknya. Cuma sebagai latar bunyi bagi memeriahkan suasana. Otak mula menerima. Saya ikutkan sahaja. Logiknya ada. Akal kata terima sahaja.

Di akhir-akhir zaman Ustaz juga, faham persatuan mula ketara. Cawangan-cawangan mula dibuka merata negeri. Pusat-pusat latihan terutamanya di pusat pengajian tinggi begitu berleluasa sekali. Semua ini menuntut satu pengurusan persatuan yang baik dan mantap. Idea-idea baru perlu wujud dari masa ke masa bagi mempastikan perjalanan persatuan berjalan lancar. Ahli-ahli yang semakin ramai perlu diikat dengan aktiviti persatuan. Mulalah pemimpin-pemimpin persatuan memikirkan perancangan program. Program persatuan bagi memenuhi tuntutan ahli yang berpersatuan.

Semasa saya di pusat lagi, kami sering berbincang tentang aktiviti-aktiviti yang patut diadakan dalam kalangan ahli-ahli yang telah tamat. Masih ada lagi yang berminat datang ke kelas setelah tamat silat. Sesetengahnya belum dilantik sebagai Jurulatih. Apabila mereka hadir ke kelas, ada yang celupar mulut mengajar atau menegur pergerakan penuntut yang sedia ada tanpa mandat sebagai Jurulatih. Mereka menjadi ‘pengacau’ kelas-kelas latihan silat. Kelas-kelas kemahiran yang sepatutnya diwujudkan untuk mereka sudah tidak ada ruang masa. Walau bagaimanapun minat mereka turun ke cawangan atau ke pusat-pusat latihan adalah amat ketara. Ramai pulak bilangannya. Fokas mereka ke ibu pejabat persatuan tidak berfokas dan tak tentu hala.

Kalau tak salah saya, bagi memenuhi kerancakan berpersatuan, beberapa program telah dirancang. Gerak Cekak telah dibuat dalam bentuk irama. Lahirlah pergerakan-pergerakan baru bagi memeriahkan suasana. Saya tidak dapat mengulas banyak. Sebabnya, saya tidak terlibat langsung dengan program tersebut. Setakat dengar cerita.

Perjuangan kami di Cawangan adalah jelas. Kami perlu mencari seberapa ramai bakal penuntut. Apabila mereka menjadi ahli silat, adalah menjadi tanggungjawab kami bagi mempastikan mereka tersebut benar-benar menguasai segala pelajaran yang ada dalam SC. Oleh itu, masa adalah sangat terhad untuk kami melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dirancang oleh pihak pusat. Pihak persatuan pusat pulak tu.

Ketika itu juga, para cerdik pandai dalam persatuan telah juga mewujudkan wawasan persatuan untuk jangka masa tertentu. Saya juga tidak boleh mengulas panjang dalam program-program gerak irama atau wawasan SC kerana cawangan saya tidak pernah mengambil berat akan aktiviti-aktiviti tersebut. Seperti yang dinyatakan, pada kami matlamat di cawangan adalah jelas iaitu mempastikan penuntut yang tamat silat dari cawangan saya akan benar-benar menguasai gerak-gerak fizikal SC berserta dengan kefahaman SC yang mantap. Mungkin kerana sikap inilah maka bukan main sakit hatinya mereka. Dendam kesumat terhadap saya terus membara.

Masa semakin berlalu. Nampak sangat pemberatan pada pencapaian penuntut dalam SC semakin longgar. Pernah timbul perbincangan dalam kalangan pendokong lama SC mengenai mutu penguasaan silat yang dikatakan semakin kurang. Akan tetapi perbincangan tersebut setakat berbincang sahaja. Tiada ada kata putus. Nampaknya pendapat tersebut lebih berdasarkan perasaan. Tidak ada satu kajian khusus untuk membuktikan kenyataan bahawa kebolehan penuntut dalam bidang persilatan semakin merosot.

Walau bagaimanapun, akhir-akhirnya nampak sangat kecenderongan untuk memantapkan persatuan dengan alasan kemantapan persatuan akan menjadikan SC semakin hebat. Tapi ramai yang lupa. Makna persatuan adalah kuasa. Fahaman ini semakin hebat di zaman PA. Perasaan hormat pada mereka yang hebat dalam persilatan SC mula kurang. Hormat silat mula diganti dengan hormat kuasa. Sesama rakan boleh bermasam muka dan akhirnya boleh berdendam ketika berebut jawatan dalam persatuan. Tidak hairanlah timbul peristiwa perebutan kuasa di Cawangan Wilayah antara orang-orang hebat dalam bidang persilatan. Perebutan kuasa sesama mereka amat memeranjatkan pelbagai pehak. Sekarang ini mereka bersekongkol dalam Akademik silat bagi mencapai tujuan yang satu.

Tapi kami di Cawangan tenang sahaja. Biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Cawangan saya tetap tenang. Setiap mesyuarat agung akan cepat sangat berakhirnya. Perebutan kuasa langsung tak ada. Yang susahnya ialah mendapatkan kesediaan ahli bagi menjawat jawatan dalam persatuan. Kami berfokas. Fokas pada silat.

Dalam zaman selepas Ustaz juga , dunia glamour mula memainkan peranan. Kita berbangga dengan pengiktirafan pengurusan persatuan kita. Bagi menghebatkan persatuan, rekod-rekod tertentu cuba dicipta bagi menunjukkan kehebatan persatuan SC. Tujuan bersilat semakin longgar pada pandangan saya. Tujuan menaikkan nama persatuan mula mengambil alih minat kepemimpinan kita dari masa ke masa. Saya ikuti perkembangannya. Ada yang terkilan dan menusuk jiwa dan ada juga baiknya. Perubahan tidak lagi boleh disekat.

Sambung lagi.

Friday, November 6, 2009

PENYERAHAN KUASA TAPI BERDENDAM JUGA AKHIRNYA (1)

“Lahirnya Cekak kerana kesedaran,”


Itulah ayat pertama dalam satu rangkap pantun. Pantun-pantun Ustaz lebih mirip ke syair. Setiap ayat ada pengertiannya. Tidak ada pembayang maksud. Semuanya bermaksud. SC bukannya lahir dalam keadaan yang sedia ada. Banyak rintangan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi. Ketika meniti kejayaan, ramai tokoh SC yang berjasa, lenyap begitu saja. Suatu ketika dulu, pengorbanan mereka sangat berharga. Sanggup berjuang atas satu kesedaran iaitu mengembangkan SC supaya menjadi pegangan masyarakat. Perjuangan mereka ikhlas. Saya katakan ikhlas kerana sepanjang pergaulan saya dengan mereka, tiada keuntungan yang dicari. Malah, mereka mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bagi mencapai hasrat persatuan yang dipertanggungjawabkan mengembangkan SC. Saya tidak bermaksud membuat bandingan dengan tokoh-tokoh yang ada sekarang.

Ketika berada keseorangan di suatu petang, fikiran kembali melayang atas penglibatan saya dalam SC. Banyak masa dikorbankan bagi meneruskan perjuangan SC. Semangat yang berkobar-kobar di awal penglibatan langsung tidak menjangka yang SC akan berakhir dengan apa yang ada sekarang ini. Kadang-kadang terdengar bisikan betapa sia-sia pengorbanan masa selama ini. Sanggup mengorbankan perasaan keluarga terutamanya, demi dikatakan meneruskan perjuangan SC.

Dalam hal yang sedemikian, cepat-cepat diri kembali ke pangkal penglibatan. Tidak ada siapa yang mendesak supaya berkorban. Segala-galanya lahir daripada hati yang ikhlas ketika itu untuk melibatkan diri sepenuh masa dalam SC. Saya cuba bayangkan dari awal hingga ke penghabisan akan penglibatan saya dalam persilatan. Tergambar perwatakan saya bersama watak lain dalam kegiatan SC dari sejak penglibatan. Gambaran tersebut akan saya cuba nyatakan dalam penulisan.

Penulisan ini adalah secara umum. Kalau diperincikan, nanti banyak pulak muka suratnya. Memadai secara gambaran pada peristiwa sahaja. Para pembacalah yang memperincikannya. Kita tidak boleh menafikan sejarah penglibatan watak-watak yang ada. Walaupun ada yang telah berhaluan berbeza atau yang berlainan faham tapi sejarah asal penglibatan mereka dalam SC tetap tidak berubah dan tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

Sejarah tetap sejarah. Jangan kerana dendam maka kita lupakan mereka. Itu tidak adil pada mereka yang telah mengorbankan segalanya untuk mengembangkan SC seperti yang wujud sedia ada. Kebenaran sejarah tetap ternyata. Tapi kebenaran tersebut hanya boleh dinyatakan pada mereka yang berpijak di bumi nyata.

Dalam gambaran saya, pastinya watak saya sebagai heronya. Heroinnya tidak ada kerana ahli wanitanya belum berleluasa. Oleh itu watak hero digandingkan dengan watak lain yang berupa watak sahabat atau berupa watak angkara. Tapi belum tiba masanya gambaran tersebut diskripkan dengan sepenuhnya. Banyak yang dipotong kerana masanya belum tiba. Insyaallah, adegan yang dipotong tersebut akan dikenyataankan ketika ada kesesuaian masa.

Seperti yang dinyata, sudah lebih tiga puluh tahun saya mengasuh penuntut di kelas saya dengan fahaman yang berpijak di bumi nyata. Fahaman tersebut adalah bentuk fahaman saya hasil didikan Ustaz juga. Ayat tersebut selalu diulang-ulang bagi menarik perhatian pembaca. Banyak muslihat dan tersiratnya. Susah ditulis tapi mudah berbicara. Bolehlah berbincang jika bersua muka. Tapi pengkerasnya tetap ada. Laici dan murtabak jangan dilupa. Fahaman lama. Tapi banyak gunanya.

Tidak guna menjadikan fahaman atau membicarakan aliran sebagai halua telinga atau penyedap bicara. Kalau tidak diaplikasikan pada kehidupan harian kita, maka kurang maknanya. Itulah motto pembentukan kefahaman dalam kalangan penuntut yang diasuh oleh saya dari dulu hingga sekarang.

Tapi sekarang susah sikit. Ramai yang terkapit umpama kueh sepit. Dicorakkan oleh acuan dan peraturan persatuan tanpa kebebasan membuat corak untuk diri sendiri. Pemikiran yang bebas akan jadi terkongkong. Kongkongan ini boleh menjadi asas yang kukuh untuk bertapak sifat pendendam. Bila berdendam, hilang hubungan yang terikat selama ini. Terungkai begitu sahaja. Seolah-olah tak pernah jumpa. Apabila berjumpa, nampak tawar senyum mesra. Bukan ditanyakan khabar, tapi dipersoalkan geng mana.

Masyarakat kita amat hebat sifat pendendamnya. Agaknya itu sebab salah satu budaya kita ialah memelihara saka. Saka juga akan berperanan sebagai pendinding diri dan keluarga bila sifat dendam mula berleluasa. Bila mati, kalau tak ada harta pusaka, adanya saka dah kira hebat juga.

Pada saya, apabila kita menulis dan mengenang sejarah SC, jangan lupa dari asalnya. Jangan ada sifat berdendam. Jadilah bangsa lain seketika kalau dendam tak boleh dipisahkan daripada sifat diri kita. Sejarah tetap menjadi sejarah. Jika kita ingin memulakan sejarah daripada zaman Ustaz Hanafi, ketokohan pemimpin ketika itu tidak boleh ditolak ke tepi dengan alasan ketika ini telah berubah hati.

Berdasarkan pandangan saya, kita patut bersyukur kerana masih lagi berada dalam kumpulan silat Cekak yang mengamalkan kefahaman yang jelas berdasarkan ajaran Ustaz Hanafi. Mereka yang rapat dengan Ustaz dan mengharungi pahit maung menegakkan perjuangan SC masih berada dalam persilatan Cekak Hanafi. Cuma yang terkilan sikit, kita telah berpecah dua. Satu pihak berada dalam kumpulan Guru Persatuan dan satu pihak lagi berdiri kukuh di belakang En Mat yang telah menerima mandat meneruskan perjuangan Ustaz Hanafi. Fahaman Ustaz Hanafi dalam CH masih tidak lari. Jika ada perubahan pun masih boleh bertolak ansur untuk diterima pakai.

Sahabat-sahabat Ustaz dan para pendokong SC zaman Ustaz Hanafi, ramai yang ’melarikan diri’ daripada kongkongan persatuan yang dipimpin oleh PA. Di belakang PA ketika itu terdapat tokoh-tokoh yang kurang memainkan peranan dalam menegakkan perjuangan Ustaz Hanafi di peringkat awal. Salah seorang daripada kalangan mereka tersebut ialah bakal guru pengganti PA yang lebih banyak memainkan peranan sebagai orang suruhan umpama tok siak, di zaman Ustaz. Tukang bancuh kopi, cuci pinggan, kemas rumah persatuan di lorong Haji sirat dan tukang urut adalah merupakan pengenalannya yang abadi ketika itu. Beliau mengabdikan diri pada Ustaz Hanafi. Hinggakan Ustaz mengkiaskan sifatnya sebagai pengikut yang mengenal dan mengerti akan gurunya tapi tak boleh jadi guru. Ada masa akan saya bicara tajuk ini.

Orang-orang yang pernah rapat dengan Ustaz dan berada dalam persilatan CM semakin kurang. Masih ada dua orang lagi daripada ahli kumpulan mereka yang sezaman dengan penglibatan saya pada awal zaman Ustaz Hanafi yang nampaknya bergiat cergas. Bergiat cergas menyusun strategi mendapatkan kuasa umpama Ustaz Hanafi daripada guru mereka yang semakin dekat untuk pergi. Saya tak yakin mereka tersebut mempunyai kefahaman yang tinggi seperti yang ada pada sahabat rapat Ustaz Hanafi.

Setakat menganggap diri mereka masih mempusakai Kefahaman Ustaz Hanafi, adalah umpama slogan yang dilaungkan tanpa inti dan isi. Saya tak fikir fahaman Ustaz mampu disebarkan dalam kalangan ahli mereka. Bukan mendabik dada tapi rasa-rasanya saya amat tahu akan asal usul mereka. Keupayaan mereka menguasai SC adalah kerana strategi berasaskan peraturan persatuan, bukannya adat dan adab SC. Jauh sekali atas prinsip hebat menguasai SC.

Itu sebabnya saya simpulkan betapa bertuahnya kita yang masih berada dalam persilatan CH. Fahaman Ustaz yang dianggap sebagai Pusaka Hanafi masih berlanjutan sepanjang masa. Tapi, Cekak Hanafi yang mana satu. Saya tak berminat menerokai permasalahan ini. Tugas saya hanyalah menghitamputihkan pengalaman bersama Ustaz Hanafi agar tetap ada rujukan sepanjang masa. Tafsiran dan kesesuaiannya, fikir-fikirlah sendiri. Setuju terima, tak setuju jangan cepat melatah. Fikirkan setenang mungkin.

Dalam gambaran. Ketika saya cuba merapatkan diri dengan SC pada hari pertama di suatu malam, untuk berbincang dan berbahas akan kebenaran SC dengan Ustaz Hanafi, tergambar dalam kenangan akan Setiausaha persatuan yang bernama En. Ghazali. Ketika ini selalu saya nampak peranannya sebagai pelakon drama Melayu dalam TV. Sewaktu di Lorong Hj Sirat lagi, peranannya telah bermula. Saya masih ingat lagi dalam pertemuan pertama saya dengan Ustaz, beliau ada bersama. Hanya mereka berdua. Hujan tersangat lebat. Mungkin itu sebabnya ahli yang lain tak nampak muka. Beliau terpaksa menunjuk buah silat apabila dipinta oleh Ustaz. Dalam perbualan biasa, beliau menunjukkan parut di perut. Depan pun ada, belakang pun ada. Rupanya parut itu ialah bekas tembusan peluru ketika Peristiwa 13 Mei.

Setelah saya tamat silat, penglibatan beliau masih ada. Saya berpengalaman mengajar silat bersamanya. Banyak pengalaman yang saya terima. Pengalaman itu berharga juga. Maklumlah pengalaman daripada bekas penuntut yang berminat dengan alam persilatan Melayu. Ada pegangan silat yang lain sebelum beliau terlibat dalam SC. Gerak sendeng rasanya. Teringat peristiwa ke UPM bersama kereta Fiat lamanya yang berbentuk katak. Engine di belakang. Habis mengajar silat biasanya tengah malam. Sangat pantang padanya jika semua penumpang tidur. Pernah ditekan brek mengejut memberhentikan kereta. Keretanya akan bergerak jika semuanya kembali berjaga. Lucupun ada. Geram pun ada.

Tiba-tiba beliau ghaib begitu saja. Sebabnya malas nak cerita. Salah satu puncanya ialah apabila diwujudkan cerita yang pelbagai mengenainya. Kaki fitnah yang sedia ada juga memainkan peranan menghangatkan suasana. Sejak menarik diri, tak pernah namanya disebut-sebut lagi. Namanya dilupa terus. Beliau juga seingat saya tidak pernah berhubung dengan SC. Mungkin dendamnya amat membara.

Tugas Persatuan yang ditinggalkannya semakin mantap di bawah pengurusan Pak Am. Jawatannya dalam SC bertukar seterusnya. Naik pangkat. Komitmennya pada SC tidak boleh dipersoalkan. Tapi ada yang tak suka padanya. Seperti biasalah adat berpersatuan. Tapi Ustaz banyak bergantung harap padanya. Pemikirannya kadang kala mendahului masa. Susah orang lain untuk mengikutnya. Beliau dibantu oleh dua rakan setia yang lain. Ketiga-tiga mereka menggerakkan persatuan dengan jayanya. Mereka juga telah merasai pahit maung menegakkan silat yang bersandarkan persatuan SC. Bila sebut SC maka akan tergambar wajah mereka. Persatuan SC semakin mantap dan teratur, disegani oleh kawan dan lawan. Perancang utamanya Pak Am dan Pak Nasir. Kebiasaannya Ustaz setuju sahaja dengan perancangan mereka. Tersusun dan mantap walaupun kadang kala terdapat juga sedikit pembetulan.

Kelas-kelas silat dibuka dengan penuh tanggungjawab dan fahaman silat yang disemai telah melupakan perasaan kedekut pada tenaga, masa dan harta benda. Peneraju SC ketika itu telah melalui pahit maungnya. Ketika itu perjuangan mereka sungguh ikhlas demi mendaulatkan seni kebangsaan. Hubungan sesama ahli sangat erat walaupun sekali sekala timbul juga perasaan tak puas hati. Perasaan tersebut senang dihapuskan. Daripada gelagat yang nampak, perasaan dendam tidak ketara dan amat kurang sekali. Bermasam muka hari ini, esoknya pulih kembali. Tambahan pula bersama Ustaz. Siapa yang berani mengada-ngada. Semua aktiviti persatuan berjalan lancar. Bertengkar macam manapun, perasaan hormat sesama ahli tetap ada. Masing-masing telah berjuang sepenuh hati. Kalau sesama diri tidak merai maka siapalah patut diharap bagi memberi keraian. Gerai makan adalah tempat utama.

Setelah saya kembali ke Cawangan, perkembangan SC di pusat, semakin rancak. Walau bagaimanapun, pengurusannya semakin rencam. Keperluan tenaga baru mula difikirkan. Jawatan-jawatan penting mula bertukar tangan. Setiausahanya juga bertukar tangan. Jo Black diberikan tanggungjawab. Tapi sifatnya sangat beremosi dan sangat berkepentingan. Tak hairanlah beliau cabut lari daripada sahabat sendiri untuk terus ‘menendang’ keluar kumpulan yang diakhiri dengan CH. Sangat ngam dengan ahli yang seusul bangsa dan senegeri.

Ketika itu, ahli-ahli yang ada mula diberi tanggungjawab berniaga. Apatah lagi koperasi SC mula ada. Minat berniaga mula terasas. Pengedar kain uniform pun boleh mengubah hidup menjadi berharta. Bukan setakat itu sahaja. Sikap dan sifat mereka turut berubah. Peniagaan ada kaitan dengan ahli. Ahli SC ramai sekali. Berniagalah apa saja maka untung juga akhirnya. Maka mulalah saya dengar kawan-kawan yang mula berniaga. Daripada pembekal kain membuka kedai tailor. Daripada gerai kecil menjual makanan beralih pula ke bidang restoran. Banyak lagi perkembangan yang ada. Tapi itu semua untuk perkembangan diri sahaja. Untuk persatuan tidak kurang hebatnya. Untuk silat, mula nampak pincangnya.

Di akhir zaman Ustaz, mula terbit pelbagai cerita. Generasi baru mula berkuasa. Ahli daripada pusat pengajian tinggi semakin ramai. Idea mereka semakin hebat. Beberapa pembaharuan mula diperkenalkan. Saya dengar sahaja. Sekurang-kurangnya jauh dari pusat. Tumpuan saya hanya pada silat di cawangan.

Bersambung lagi.

Monday, November 2, 2009

Sambungan...KONSEP ISTILAH

Dalam SC, bukan setakat istilah yang amat dititikberatkan tapi juga pengunaan ayat dan frasa kata perlu berhati-hati. Saya terbaca satu artikal yang ditulis oleh ahli tua-tua. Beliau menekankan betapa penting kita menjiwai ilmu perjuangan yang ditinggalkan oleh Ustaz. Pasti ketara perbezaan makna antara frasa kata ‘menjiwai ilmu perjuangan’ dengan ‘menjiwai perjuangan’. Perjuangan Ustaz adalah jelas berdasarkan tanggungjawab menurut hiraki, manakala ilmu perjuangan Ustaz boleh ditafsir dalam pelbagai segi. Patutlah banyak yang berlaku, ‘tujuan menghalalkan cara.’

Dalam proses menurunkan ilmu, kita perlu berhati-hati mengeluarkan ayat. Malah menyuruh orang menumbuk kita pun, kita perlu berwaspada. Konsep menyuruh boleh dianggap bersudi. Kalau kita menyuruh pasangan atau ‘murid’ kita menumbuk diri kita, maknanya kita merelakan diri ditumbuk dalam konsep sudi ditumbuk. Itu sebabnya saya selalu mengingatkan Jurulatih saya. Apabila kita bersudi dan rela ditumbuk melalui arahan mulut menyuruh ahli yang belajar supaya menumbuk, jika penumbuk itu mengena pada diri kita, jangan sesekali memarahi ahli tersebut dengan kata-kata penumbuk tak betul atau disuruh tumbuk betul-betul. Padahal, hakikatnya, kita mempersudi diri ditumbuk dengan arahan suruh tumbuk. Jika terlajak, eloklah dimaafkan saja. Jiwa kita tenang dan tidak timbul ego berasakan diri tercabar.

Siiring dengan itu juga, lahirlah konsep percaya boleh, yakin jangan. Kita diseru supaya berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara dalam konteks SC. Konsep berhati-hati itu boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Kita akui bahawa kita kekurangan istilah untuk melahirkan arahan atau pendapat. Tapi yang pentingnya ialah kita tahu dan kita faham akan apa yang kita ucap atau apa yang kita lakukan dengan penuh tanggungjawab dan penuh ikhlas. Mulut yang hanya satu sahaja anugerah Tuhan, tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya. Setelah dilihat banyak kali dan mendengar juga banyak kali maka baharulah mulut mengeluarkan kata.

Tapi pengunaan mulut juga ada adat dan adabnya dalam konteks bersama dengan silat Melayu. Kita dilarang keras mencaci silat-silat Melayu asli yang lainnya. Walau pun dikatakan caci tak boleh tapi mencuba tak apa, disiplin mulut tetap ada. Jangan mengeluarkan kenyataan yang sia-sia. Sekurang-kurangnya dengan cara tidak mencaci silat Melayu yang lain maka silat-silat lain juga pada adatnya tidak akan mencaci silat kita.

Berdasarkan prinsip berhati-hati tersebut, kita mempunyai disiplin tersendiri untuk mengawal tubuh badan kita. Sesuatu yang Ustaz sangat sarankan ialah jaga perut kita. Dari perut akan menjadikan punca segalanya. Perut ada kaitan dengan mulut. Perut yang sangat ‘berisi’ membawa banyak maksudnya. Kebanyakan penyakit juga ada kaitan dengan perut. Penyakit hati juga ada kaitan dengan perut. Nafsu yang tidak terkawal juga berkait rapat dengan perut. Stamina kita bersilat pun ada kaitannya dengan perut. Oleh itu Ustaz selalu menegaskan betapa perut perlu dijaga. Seboleh-bolehnya buncit perut tidak melebihi paras buah dada kita. Jangan pulak ditertawakan dengan orang yang mengandung. Kalaulah perut kita terlebih dari paras dada, jangan sampai melindungi kita daripada melihat anu kita atau melihat jari kaki kita tanpa kita menundukkan badan. Jika lebih buncitnya maka eloklah dibuat sesuatu tindakan serta merta. Jangan menjadi umpama wanita mengandung sekian bulan. Sentiasa maju ke depan.

Ustaz juga pernah menegaskan tentang cara berjalan penuntut kita. Ketika berjalan adakah tangan selari dengan badan atau tangan tersebut masuk ke dalam di bahagian depan atau masuk ke dalam di bahagian belakang. Maka cara berjalanpun sangat diambil berat oleh guru kita dalam kalangan ahli silatnya. Semua pelakuan tangan tersebut membawa banyak makna. Penuntut perlu berhati-hati dan mengambil kira kerana pelakuan tangan juga akan melambangkan keperibadian kita. Mungkin ini juga adalah satu petua.

Mungkin dengan konsep-konsep istilah yang pelbagai tersebut menyusahkan kita untuk bercakap atau berbicara. Pada saya, yang penting ialah kita faham apa yang kita ucapkan. Bukan sengaja kita keluarkan satu-satu perkataan atau susunan ayat tetapi bersandarkan dengan alasan. Dalam istilah dulu-dulu, dikatakan cakap berlapik. “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Kita boleh nampak betapa kayanya pengertian konsep dan istilah dalam adab persilatan kita. Bukan setakat pelakuan tapi juga istilah-istilah yang hendak digunakan perlu mengikuti landasan adat dan adab kita.

Kita kerap disarankan agar menguasai pelbagai sifat dalam konteks SC. Misalnya sifat berani. Istilah berani dalam SC mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Keberanian yang kita pupuk dalam SC amat berbeza dengan konsep menceroboh atau ganas. Sifat berani yang dipupuk membolehkan ahli silat terhindar daripada sifat penakut atau bacul. Secara langsung, penuntut SC sepatutnya sentiasa berupaya mengawal diri, tidak panas baran dan sentiasa dalam keadaan tenang terutamanya tatkala menghadapi musuh.

Begitu juga dengan konsep ‘kerana Allah’. Kita mempunyai tanggapan yang tertentu dalam fahaman SC seperti yang dinyatakan oleh Ustaz. Kerana Allah adalah merujuk pada keizinan yang Allah berikan pada kita. Kita boleh bersilat adalah kerana Allah izinkan. Kita peroleh ilmu pengetahuan dalam silat juga kerana Allah izinkan. Semuanya kerana Allah. Secara langsung, ego kita terbela dan terpupuk daripada perasan tak tentu hala. Hal ini demikian akan menjadikan kita menjadi sebagai seorang yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan rahmat yang Allah berikan. Itulah kefahaman yang saya terima dan saya sampaikan kepada ‘murid’ saya. Sukar mengulas panjang berdasarkan tulisan. Kefahaman adalah bermakna apa yang saya faham.

Kita juga selalu disogokkan dengan istilah Keyakinan. Sebagai ahli SC, kita perlu ada sifat keyakinan pada diri. Dalam konteks ini juga faham keyakinan mempunyai pengertian yang tersendiri dalam ajaran kita. Keyakinan tersebut perlu disandarkan pada fahaman positif. Jika lemah bersilat, perlu yakin diri akan dapat mengusai pelajarannya lambat laun melalui usaha yang berterusan. Jika tidak berfaham demikian, keyakinan akan memudaratkan diri jika bersifat pasif. Misalnya dalam pergerakan silat. Kalau ahli silat itu berkeyakinan bahawa dirinya tetap lemah dan tidak boleh membuat buah dengan tepat dan padat secara berterusan maka ahli tersebut akan terus berada dalam suasana hilang kepercayaan pada diri sendiri. Sifat keyakinan negatif itu telah memunuh motivasi diri. Hal ini demikian kerana penuntut itu berfaham pasif dan konsep keyakinan diguna pakai dalam fahaman pasif tersebut. Di sinilah peranan Jurulatih sebagai pembimbing akan memainkan peranan penting. Walau bagaimanapun, terlampau yakin pada silat tanpa merujuk pada kebolehan diri akan juga mendatangkan kemudaratan pada pengamal silat tersebut. Begitu juga dengan penuntut yang terlampau yakin pada kebolehan dirinya. Sikapnya akan menjadikan dirinya memandang rendah orang lain dan begitu mudah menolak pendapat yang lain selain daripada apa yang dia ada.

Itu sebabnya dalam SC, konsep berpijak di bumi nyata adalah merupakan satu ajaran yang dipupuk dalam kalangan ahli SC sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Malah bidang persilatan kita juga adalah berpijak pada bumi yang nyata. Pergerakannya tidak dibuat-buat dan bukanlah berada dalam dunia khayalan. Tidak ada tarian dan gerak langkah yang boleh direka tatkala membuat persembahan. Ketika memulakan latihan, tiada konsep dunia khayalan yang cuba disogokkan. Kita tidak ada upucara membuka atau menutup gelanggang. Tidak perlu sebarang kebenaran pihak ghaib yang tertentu, melainkan kebenaran daripada pihak penguasa sebagai syarat membuka kelas atau cawangan silat.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan penggunaan istilah atau konsep sesuatu fahaman dalam SC. Jangan mudah berkata-kata atau mengeluarkan pendapat tanpa berfikir dalam konteks SC.

Sekian dulu setakat ini.

Sunday, November 1, 2009

KONSEP ISTILAH dan RANGKAI KATA

Kita perlu sedar dan berhati-hati serta sentiasa berwaspada apabila menggunakan pelbagai istilah dalam SC. Kebanyakan istilah silat akan membawa pelbagai makna dan tanggapan daripada orang lain. Tafsiran orang lain tersebut sangat bergantung pada tahap pemikirannya. Adakah tahap pemikirannya ‘big mind’ atau ‘small mind’. Ada yang berbadan besar tapi otak kecil dan ada yang berbadan kecil tapi otak besar. Berbadan besar dengan otak yang besar dan berbadan kecil dengan otak yang kecil, sudah dikira biasa. Orang yang berfikiran sempit, sukar diajak berunding. Pemikirannya kaku dan beku. Mereka ini sukar untuk menerima perubahan. Tajuk percakapan lebih banyak mengkritik individu daripada membicarakan idea yang cuba diketengahkan. Kalaulah kita memiliki golongan yang sebegini sebagai pemimpin kita terutamanya sebagai Jurulatih SC, meranalah anak buahnya. Tapi ada yang kata, yang merana hanya anak buahnya sahaja. Anak yang tidak berbuah tidak berasa apa-apa. Sifat dan layanan mereka akan berbeza antara layanan dengan anak tiada buah dengan anak buah. Keadaan ini pastinya dapat dirujuk pada fahaman aliran TA. Ada penyedapnya.

Kadang kala saya pernah mendengar falsafah Ustaz ketika merujuk pada gaya kepimpinan yang ada. Kereta yang berkuasa kecil atau berkuasa besar akan lebih memberi makna secara bergantung erat dengan pemandunya. Pemandu yang ‘berkuasa’ besar akan tetap melajukan apa jenis kereta yang dipandunya. Manakala pemandu yang ‘berkuasa’ kecil akan tetap memperlahankan kelajuan keretanya walaupun kereta tersebut berkuasa untuk dilajukan. Dalam konteks ini, ‘kekuatan’ pemimpin itu akan berkait erat dengan daya pemikirannya. Daya pemikirannya akan mempengaruhi corak kepemimpinannya. Corak kepimpinan ini akan memberi hala tuju pada mereka yang dipimpinnya di mana-mana saja.

Hal ini demikian menjadikan kita dalam satu-satu ketika tertentu berada dalam keadaan serba salah untuk bercakap. Siapakah pendengar kita. Saya juga sentiasa berhati-hati ketika berbicara dengan ahli silat sama ada pada kepimpinannya atau mereka yang masih menuntut. Lain orang maka akan lain tafsirannya. Semuanya bergantung pada daya pemikiran, gaya kepimpinan dan nilai yang dimilikinya.

Mungkin dalam tulisan ini kita boleh berkongsi pendapat tentang beberapa konsep istilah dan ayat seperti mana yang pernah diingatkan oleh Ustaz Hanafi kepada diri saya. Semuanya adalah berdasarkan kefahaman saya seperti mana tunjuk ajar yang diberi kepada ahli-ahli SC di cawangan pimpinan saya.

Menggunakan istilah kefahaman juga kadang kala amat menggerunkan buat diri saya. Pengertian istilah tersebut amat besar dan membawa banyak makna. Semuanya bergantung pada tanggapan orang lain terhadap kita. Kalau tanggapan orang lain pada kita adalah negatif maka istilah kefahaman yang kita bawa akan merujuk pada satu gerakan atau aliran pemikiran yang khusus. Akan dikait-kaitkan kefahaman kita tersebut dengan aliran-aliran yang tertentu atas tahap pemikirannya. Maka sudah semestinya aliran yang dia tahu. Berbagai tafsiran akan dicap pada diri kita. Macamlah mereka tahu sangat umpama pemilik khashaf. Jangan ketawa ye.

Dalam konteks penulisan ini, apabila saya menggunakan istilah kefahaman yang ada pada saya dan saya pupuk kefahaman tersebut dalam kalangan penuntut yang belajar dengan saya maka bermakna bahawa istilah tersebut merujuk pada pengertian bahasa yang biasa. Kefahaman bermakna apa yang saya faham daripada pengajaran yang ada dalam SC. Kefahaman itu adalah hasil tafsiran berdasarkan ilmu yang sedia ada pada diri. Kita tidak menafikan pemikiran kita sama sekali. Apa yang difahami akan diterangkan kepada orang lain yang belajar dengan saya. Istilah kefahaman mungkin besar bezanya dengan istilah berfaham. Orang yang berfaham biasanya dirujuk pada sandaran aliran atau kefahaman orang lain. Selalunya fikiran sendiri ketepi. Dari sinilah akan mudah lahirnya fahaman yang taksub diri pada aliran-aliran tertentu sama ada tarikat-tarikat rombongan atau fahaman yang dikaitkan dengan Wahabi, Wahidi, Wahubi, Syiah, Rojaki, Nizari, Jambori, Syedeki, pasembori dan pelbagai aliran pemikiran lagi. Maka selalulah lihat pada nilai diri yang ada. Meniru akan menjadikan diri umpama pelakon. Pelakon bangsawan pulak tu. Fahaman tersebut, ada yang jadi santapan rohani dan tak kurang pula yang menjadi santapan jasmani.

Saya selalu tegaskan, pada tahap awal perkembangan SC, perjalanan silat kita banyak berlandaskan adat dan adab. Berbudi dan berbahasa adalah merupakan salah satu ciri dalam konsep adat dan adab. Malah penggunaan istilah-istilah pun masih merujuk pada adat dan adab yang ada dalam SC seperti mana yang dipraktikkan orang-orang yang terdahulu. Begitulah kayanya adat dan adab dalam SC satu ketika dahulu agaknya.

Saya juga sangat berhati-hati apabila menggunakan istilah penuntut dan menuntut. Banyak maknanya. Bergantung juga pada pandangan orang lain terhadap kita. Kalau kita dianggap gila kuasa maka pastinya kita akan dikaitkan dengan khayalan diri kita bercita sebagai guru silat.

Konsep dan istilah menuntut dirasakan lain maknanya dengan istilah belajar. Daripada segi bahasa, proses orang yang mempelajari sesuatu daripada orang lain maka istilahnya dia adalah menuntut. Maka orang itu dikenali juga sebagai pelajar atau penuntut. Pada orang yang dituntut, penuntut itu dianggap menuntut daripadanya. Namun begitu, dalam konteks adab kita, menuntut ada kaitan dengan hak dan hak ini lahir daripada satu ikatan khas hasil perjanjian yang dibuat antara pemberi ilmu dan penerima ilmu. Perjanjian tersebut dilahirkan melalui kata-kata yang dilafaz dalam ijazah silat . Istilah menuntut hanya sesuai dan tepat digunakan jika ahli silat itu mengambil ilmu tersebut daripada gurunya. Sebaliknya jika ilmu yang didapati itu adalah daripada Jurulatih, dari segi adabnya ahli silat tersebut adalah belajar dan bukannya menuntut. Dalam aspek tanggungjawab, tidak ada kontrak khusus pada Jurulatih tersebut mempastikan ahli silat itu menguasai pelajaran SC.

Tanggungjawab menyampaikan ilmu adalah terletak pada guru melalui perjanjian yang dilafazkan. Jurulatih hanya merupakan wakil guru. Namun begitu Jurulatih masih diamanahkan untuk bertanggungjawab mempastikan ahli yang belajar itu berjaya menguasai SC. Pada zaman dulu, apabila Jurulatih hendak pergi mengajar ke satu-satu kelas, mereka akan bersalam dengan Ustaz terlebih dahulu sebagai tanda meminta izin. Itulah juga menunjukkan pemberian punca kuasa daripada guru untuk menurunkan ilmu. Pertambahan kelas mungkin menyusahkan tabiat tersebut.

Sepanjang masa saya bersama dengan Ustaz, saya tidak pernah melihat atau mendengar suara Ustaz memarahi Jurulatih yang gagal atau ponteng untuk ‘mengajar’ silat pada mana-mana ahli di pusat latihan atau cawangan pada satu-satu ketika tertentu. Pada tafsiran saya ketika itu, saya menganggap yang Ustaz faham akan tanggungjawab hakikinya untuk menyuntik ilmu SC dalam kalangan muridnya. Jurulatih yang terlantik adalah merupakan wakilnya sahaja. Tidak ada perjanjian bertulis antara guru dengan wakil guru melainkan perjanjian yang diasaskan daripada perasaan tanggungjawab. Mungkin keadaan ini berbeza dengan suasana sekarang. Apabila ada temu duga, pasti akan ada perjanjian bertulis atau perjanjian berlisan. Agakan sahaja.

Dari segi bahasa juga, apabila ahli silat itu belajar dengan kita maka jadilah mereka itu murid dan kita gurunya. Konsep ini juga perlu berhati-hati penggunaan dan kefahamannya dalam adab persilatan kita. Dalam SC, guru hanya satu. Oleh itu mereka yang belajar dengan kita tidak boleh dianggap sebagai murid. Murid adalah hak guru yang satu walaupun daripada makna bahasa, tak ada istimewanya konsep guru dan konsep murid dalam situasi yang pelbagai ketika proses penerimaan ilmu. Jadi apakah istilah yang patut digunakan dalam adab silat kita. Tak ada perbincangan mengenainya. Kerap kali saya gunakan istilah, “Dia pernah belajar dengan saya.” Tapi kadang kala terkeluar cakap, “itu murid saya’ atau ‘itu penuntut saya’. Risikonya besar. Kalau timbul tanggapan buruk pada diri saya maka sahlah saya akan dicap sebagai gila kuasa atau berlagak nak jadi guru.

Dalam proses kita menyampaikan ilmu SC, konsep mengajar juga perlu difahami penggunaannya. Pernah saya tegaskan, ikatan mereka yang menimba ilmu SC melalui kita adalah berdasarkan konsep pandu. Konsep belajar adalah pada mereka yang tidak tahu. Tapi, konsep SC adalah berdasarkan gerak semula jadi yang sememangnya ada pada setiap penuntut. Maka menjadi tugas kita memandu mereka memahami dan menggunakan pergerakan semula jadi yang ada itu secara lebih terangcang melalui sistem-sistem yang ada dalam SC. Konsep ‘memandu’ akan menjadikan Jurulatih tersebut mengamalkan konsep motivasi, komunikasi berkesan dan pelbagai pendekatan dalam proses penurunan ilmu. Sebaliknya konsep ‘mengajar’ akan menjadikan Jurulatih tersebut lebih mirip ke arah sifat ego, bengis, merampus dan pelbagai lagi sifat nagatif apabila ‘murid’nya itu lambat atau slow menerima ilmu daripadanya.

Dalam proses penurunan ilmu SC, kita menggunakan istilah berlatih daripada istilah bermain. Silat kita ada keistimewaanya. Pengertian Cekak membawa makna kita tidak boleh main-main. Mungkin hal ini berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Silat mereka diiringi oleh gendang dan banyak yang berbentuk tarian. Maka istilah bermain silat amat sepadan dengan pergerakan mereka. Konsep bermain dan berlatih jauh berbeza dalam adat dan adab SC bersilat. Pengertian Cekak sendiri melambangkan betapa perlunya kita bertanggungjawab dan mengambil berat pada pelajarannya. Kesedaran itu hanya boleh tertunai melalui latihan yang mantap dari masa ke masa. Dan bukannya boleh main-main ketika bersilat.

Tempat berlatih juga ada istilahnya. Kawasan latihan kita berkonsepkan kelas dan bukannya gelanggang. Istilah gelanggang hanya sesuai untuk bertarung atau bergaduh. Kelas adalah tempat proses ilmu diturunkan antara ahli silat dan Jurulatih yang dilantik oleh guru. Ikatan dalam kelas menekankan aspek keikhlasan antara orang yang belajar dengan orang yang menurunkan ilmu. Kedua pihak mempunyai tanggungjawab dan peranan yang tersendiri. Masing-masing perlu memainkan peranan yang ada bagi mempastikan proses penurunan ilmu akan berjalan dengan penuh berkesan.

Begitu juga antara istilah ahli silat dengan ahli persatuan. Ahli silat adalah merujuk pada penguasaan dalam SC. Kalau tidak menamatkan pelajaran, orang itu tidak boleh diiktiraf sebagai ahli silat. Kemahiran bersilat memainkan peranan utama bagi menentukan keahliannya dalam silat. Keadaan ini agak berbeza dengan ahli persatuan. Dengan cara mengisi borang dan membayar yuran pendaftaran, orang itu dikira sebagai ahli persatuan. Ukuran tamat silat tidak menjadi prinsip utama. Daftar dan mengisi borang maka sahlah sebagai ahli persatuan, walaupun bersilat tak tentu hala. Dia mempunyai hak dalam mesyuarat agung sebagai ahli yang hadir atau mungkin berkeupayaan membuat undian.

Kita sambung lagi.