Friday, January 30, 2009

FALSAFAH SILAT CEKAK

SENI
Dalam era pepecahan ini pastinya perbincangan banyak ditumpukan pada strategi untuk menguatkan persatuan. Hal-hal yang berkaitan dengan silat mungkin kurang peratus perbicaraannya. Sudah semestilah hal ini akan merugikan penuntut-penuntut yang sedang menuntut SC. Sepatutnya mereka tidak perlu diheret dalam kancah perbincangan tentang pepecahan kita. Asuhlah mereka dengan konsep dan prinsip SC seiring dengan asuhan fizikal yang menjadi perdu pembelajaran SC. Dalam karangan ini, saya lanjutkan penulisan atas satu lagi konsep yang ada dalam SC.

Ketika kita mengajar SC, satu istilah yang sering juga kita kaitkan dengan silat kita ialah seni. Kita berkeyakinan bahawa SC penuh dengan seninya. Kerana seni yang ada dalam SC-lah menjadikan pergerakan kita dalam silat begitu tersusun dan terancang. Para penuntut diasuh dan dididik supaya mengetahui apa yang dilakukan dengan alasan yang bersebab; bukannya melakukan pergerakan sesuka hati atau secara hentam keromo sahaja. Kita dapat mengatur gerakan kita bagi menghadapi musuh. Setiap pergerakan lebih mementingkan keuntungan. Hal ini membuktikan keperluan pemikiran yang strategik dalam menghadapi musuh. Melalui sistem yang ada menjadikan pergerakan kita lebih bijaksana. Apatah lagi kaedah SC adalah hasil ciptaan manusia yang bijaksana. Kekuatan kita hanya berdasarkan tenaga yang sedia ada. Tenaga yang sedia ada ini, apabila disepadukan dengan kaedah-kaedah yang ada dalam SC boleh menjadikan kita dapat menandingi kekuatan lawan walaupun fizikal lawan tersebut lebih daripada kita.

Dalam SC, kekuatan lawan tidak dijadikan masalah utama. Malah kita selalu membandingkan kekuatan seni dengan kekuatan yang bertaraf sukan. Penuntut-penuntut diyakinkan bahawa seni yang ada dalam SC tidak memerlukan para penuntutnya mengeraskan tangan atau menambahkan otot badan bagi mencapai hasrat pahlawan. Kaedah membangkang sangat dibenci dalam pembelajaran SC. Kaedah itu dikatakan bertaraf sukan dan lebih mendatangkan kemudaratan kepada kita. Kepercayaan ini menyebabkan timbul pula pendapat yang mengatakan bahawa silat yang ditakrifkan sebagai gerak perlu menggunakan gerak yang halus dan bukannya gerak yang kasar. Gerak yang halus itu dinamakan seni.

Namun begitu kita sering keliru dengan maksud seni. Ramai yang berpendapat bahawa yang halus itu seni dan yang kasar itu bukan seni. Oleh itu, mengajar SC yang dianggap kasar, ditegah dan tidak digalakkan. Maka Mungkin kerana itulah agaknya, buah pertama dalam SC perlu dibuka penumbuk pemakan dengan alasan tidak ada seni dan akan mendatangkan kemudaratan kepada ahli.

Dalam banyak tafsiran, seni itu dianggap sebagai halus. Lebih dikelirukan apabila ditambah pula makna kehalusannya sebagai halus di dalam halus. Tak tahulah apa yang halus. Kalau dah halus apa sedapnya. Tak terasapun. Hilang kenikmatan. Saya berpendapat bahawa jika kita meletakkan sesuatu atau melakukan sesuatu menurut aturan dan sistem yang telah ditetapkan maka itulah juga dianggap seni. Seni mestilah sesuatu yang sedap dipandang dan pelakuan kita tidak kekok dalam melakukan sesuatu pergerakan tersebut. Kalau aturan kita perlu berdiri lurus dengan mendiamkan tangan menantikan serangan musuh, maka itulah seni namanya dalam SC. Sistem kita tidak berkuda. Kalau penuntut berdiri secara berkuda-kuda maka hilanglah seninya. Sebaliknya dalam kebanyakan silat Melayu, berkuda-kuda itu dianggap penting dan itu adalah merupakan seni pada mereka. Mereka pula menganggap silat kita tidak berseni. Konsep seni adalah berbeza antara satu silat dengan silat yang lain. Dakwaan seni dalam SC adalah bersandarkan pada silat kita sendiri. Tidak perlulah kita menegang urat berbahas dengan silat lain bagi membuktikan seni yang ada dalam silat kita.

Tafsiran kita tentang seni adalah berbeza dalam konteks berlainan silat. Samalah juga dengan dakwaan kita yang mengatakan bahawa SC adalah berdasarkan gerak sembahyang. Cakap-cakap yang mengaitkan sembahyang ini telah tidak menyenangkan orang lain seolah-olah gerak kita sahaja yang benar dan sah. Maka mereka juga berhujah dengan mengatakan bahawa gerak silat mereka juga berdasarkan gerak sembahyang. Apatah lagi gerak silat bertapakkan tiga. Gerak yang tidak melebihi tiga juga dianggap berdasarkan gerak dalam sembahyang. Bertengkarlah mereka hingga terpaksa melewatkan waktu sembahyang atau meninggalkan waktu sembahyang. Bertengkar tentang gerak yang berasal dari sembahyang hingga ada Sembahyang yang hilang tidak dikerjakan. Sama juga dengan ahli-ahli sekarang yang berlainan persatuan. Bertengkar tentang siapa yang benar-benar mempusakai ilmu Ustaz Hanafi. Tapi Ustaz Hanafipun tak pernah ditemui. Geli sungguh hati. Bukankah buang masa namanya apabila kita cuba menegakkan sesuatu pada mereka yang berfaham berlainan.

Berdasarkan perbincangan dengan contoh-contoh ringkas di atas, seni yang ada dalam silat kita perlu dilihat dalam tiga aspek atau prinsip utama iaitu penggunaan gerak dua tangan dan dua kaki, kekuatan fizikal dan tenaga yang ada dalam diri kita. Ketiga-tiga prinsip itu perlulah bersahaja iaitu tidak dibuat-buat dan bersepadu dalam konteks menggunakan sesuatu yang semula jadi yang ada pada diri kita. Penguasaan ketiga-tiga aspek atau prinsip itu akan membolehkan kita menguasai seni dalam SC.

Gerak dua tangan dan dua kaki, adalah perdu pergerakan silat kita. Pelajaran Kaedah amat mustahak dan merupakan asas seni dalam gerak SC. Kita jangan bersifat gopoh hingga terburu-buru untuk menyambung kaedah dengan buah asas. Amat malang apabila ada kelas-kelas latihan yang mengumpul kaedah-kaedah dalam pembelajaran satu malam atau dua malam latihan. Sepatutnya setiap kaedah diajar dalam satu sesi latihan. Ketika inilah para penuntut didedahkan tentang konsep seni yang amat berbeza dengan konsep sukan yang berlandaskan gerak membangkang. Jika kaedah penuntut mantap, seni yang dihasilkan dalam gerak SC sangat mantap. Kaedah-kaedah ini dimantapkan melalui pembelajaran buah-buah asas. Konsep segerak diperkenalkan bagi memantapkan seni dalam SC. Konsep ini berlarutan hingga ke buah jatuh. Kemantapan seni menjadikan Pelakuan gerak penuntut amat mantap, tepat dan kita yang melihatnya berasa puas. Soal gerak yang diakhiri dengan pukulan keras hanya lebih merupakan bunga-bunga dalam kekemasan buah. Bukan itu yang diutamakan. Dalam pelajaran seterusnya iaitu potong dan penamat, konsep seni disepadukan dengan kebijaksanaan mengggunakan akal. Setiap pergerakan perlu kena pada tempatnya bagi menentukan keuntungan yang maksimum. Aspek sebab dan musabab amat ditekankan. Apabila disesuaikan dengan fikiran yang sihat dan strategik, kita dapat menghasilkan pergerakan yang tepat dan menguntungkan. Di situ nampak jelas konsep seni yang ada dalam SC.

Penuntut yang berseni dalam melakukan pergerakan silat akan membangkitkan rasa puas pada orang yang melihatnya. Saya masih ingat lagi dalam satu kelas latihan silat yang diperhatikan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi yang berada di kelas latihan tersebut. Para penuntut telah menguasai seni dalam SC ketika latihan. Ustaz berasa bersemangat dan terpanggil untuk turun ke “gelanggang” bersama penuntut untuk memantapkan pergerakan yang ada pada kalangan mereka. Itulah kuatnya tarikan seni jika para penuntut dapat menguasai seni dalam pergerakannya. Malah, mereka sendiri berasa puas setelah tamat sesi latihan. Kepuasaan itu dapat dilihat melalui perahan baju yang dipakai. Sebaliknya kita dapat saksikan sendiri para penuntut yang tidak berseni. Pergerakannya tidak tentu arah. Kita yang melihat akan berasa rimas, lemah dan mengantuk.

Untuk memantapkan seni kita dalam pergerakan, kekuatan fizikal mesti ada. Badan mesti sehat. Berat badan mesti terkawal. Gemukan perut jangan menghalang pandangan kita kepada wali jantan yang ada pada kita. Hal ini demikian kerana buah-buah yang ada dalam SC memerlukan kekuatan lengan. Mantapkan sikit lengan kita. Jangan mengharapkan apa yang ada sahaja. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu mengangkat berat bagi membenjolkan lengan kita. Bergantunglah pada keperluan diri dan situasi mana kita berada. Kita akui betapa orang-orang dulu hanya bersandar pada latihan tangan yang semula jadi tapi amat berbeza dengan kita. Orang yang bersawah atau menoreh getah atau bekerja di kilang yang banyak menggunakan tenaga fizikal sudah mencukupi untuk menguatkan otot lengan atau otot badan dan sebagainya. Tak perlu lagi mengangkat berat atau pelbagai bentuk latihan fizikal lagi. Berbeza dengan mereka yang hanya memegang pen dan duduk dalam pendingin hawa. Latihan fizikal perlu ada. Samalah juga perbezaan antara sesama kita semasa mandi. Mereka yang mandi berkain basah pasti akan memerah kain basahan tersebut sesudah mandi. Secara langsung mereka dapat menguatkan kekuatan fizikal terutamanya lengan. Keadaan ini semestinya berbeza dengan mereka yang mandi secara bogel. Tak ada apa yang boleh diperah. Ramas tak sama dengan perah. Mereka ini perlu latihan untuk menguatkan tangan yang ada. Oleh itu jangan kita berbahas tentang kekuatan fizikal hanya bersandarkan dengan apa yang ada sahaja pada diri kita. Tidak sama antara seseorang dengan seseorang yang lain. Kalaulah fizikal kita mantap maka akan memudahkan kita melakukan gerak-gerak yang ada dalam SC. Keadaan ini akan menghasilkan seni yang indah dan mantap. Jika tidak, kita menumbuk, kita yang rebah dan jika kita diserang maka kita juga yang rebah. Mana pergi akan seninya.

Prinsip ketiga seperti yang nyatakan di atas ialah tenaga. Istilah sekarang ialah stamina. Alangkah hebatnya jika kelas-kelas kemahiran dapat dimulakan daripada buah jatuh, potong dan umum yang dilakukan secara bertali arus untuk sesi pertama. Selepas lima minit pelajaran di kelas tersebut, disambung pula dengan pelajaran-pelajaran berupa aplikasi. Kalau pelajaran potong, maka pelajaran akan bermula daripada kaedah dan buah jatuh sebelum masuk pelajaran potong. Tapi itu semua dapat dilakukan jika kita ada stamina. Kalau stamina tidak ada, para penuntut akan lesu. Keadaan ini akan menyebabkan pembelajaran mereka merosot. Mana boleh kita nampak akan seninya. Oleh itu latihan berjogging atau berjalan atau sebarang maksud latihan bagi menambahkan stamina adalah perlu. Keadaan ini perlu bagi menampakkan seni yang indah dalam silat kita.

Seni yang indah hanya dapat dinikmati oleh mereka yang melihat atau menontonnya. Kalaulah pergerakan kita mempunyai seni, mereka yang melihat akan berasa puas dan terangsang untuk menguasainya. Perbincangan saya di atas dapat dijadikan panduan untuk menguasai seni dalam SC. Lebih jelas kalau diterangkan secara praktikal.

Kita mengakui kebenaran bahawa pergerakan SC adalah benar, bukan diada-adakan hingga kita yakin bahawa SC sememangnya merupakan satu seni pusaka bangsa Melayu yang asli. Kaedah-kaedah yang ada adalah mencukupi dan tidak perlu ditokok tambah. SC dizahirkan dengan begitu lengkap dan kaya dengan unsur-unsur seninya yang semula jadi. Persoalannya, kita sebagai pengamal atau ahli SC, mampukah menguasai seni-seni SC tersebut. Saya yakin bahawa penguasaan ketiga-tiga aspek atau prinsip berkenaan akan membantu kita menguasai seni dalam SC.

Wednesday, January 28, 2009

RINTIHAN PENUNTUT

Di satu pagi di sebuah restoran, saya terjumpa seorang penuntut SC yang sudah lama tidak bertemu. Selesai memberi salam tanpa duduk dalam suasana yang selesa, beliau terus melahirkan perasaan kecewa atas pepecahan yang berlaku dalam SC. Tak sempat bertanya khabar. Raut mukanya melambangkan kekecewaan yang terpancar di lubuk hati. Kata bualnya menggambarkan kekeliruan pada diri. Tidak tahu pada saluran mana harus bergiat lagi. Mana satu Silat Cekak yang betul. Semangatnya dalam SC menunjukkan kelenturan dan kekesalan. Pilihannya pada CH dulunya, dikiranya tepat sekali. Tapi itu pada satu ketika yang lalu. Pilihan itu disandarkan pada istilah hak. Tertegak yang hak maka lunturlah yang batil. CM diangapnya tidak sah dan tidak perlu diikuti kerana berpegang akan istilah ‘hak’.

Saya hanya mendiamkan diri bagi memberi peluang kepada sahabat tersebut meluahkan perasaannnya. Perasaan yang selama ini terbuku di hati. Nasib baik perasaan hati dan bukannya perasaan daripada perut yang tentu busuk sekali. Ujarnya lagi, hak yang sepatutnya ada pada CH telah menjadi pudar. CM yang dianggapnya batil, terus maju dan berkembang pesat tanpa sebarang gangguan. Berbeza dengan CH yang dianggapnya ‘hak’. Sebaliknya CH berpecah lagi. Mulalah beliau mempersoalkan akan hak yang dilaung-laungkan selama ini. Mana satu yang ada hak. Logiknya ada.

Saya hanya membiarkan kawan tersebut terus berbicara. Menurut beliau, banyak masa yang telah dikorbankannya demi perjuangan SC. Tapi padanya pengorbanan tersebut selama ini dianggap sia-sia sahaja. Beliau begitu emosional sekali. Orang yang beremosi pasti melenting dan akan terus menempelak jika kita memberi apa jua aksi atau alasan. Saya biarkan beliau bercakap kira-kira empat batang hisapan rokok lamanya. Beliau begitu puas sekali. Puas merokok dan puas mengeluarkan isi hati. Baharulah diteguknya teh tarik yang saya pesan ketika beliau bercakap. Hanya seringgit yang dikeluarkan bagi mendengar keluhan dan luahan hati penuntut lama tersebut.

Saya cuba mengelak daripada berbincang tentang isu pepecahan yang telah berlaku sejak dari zaman Ustaz Hanafi. Orang yang sebegitu bukan mudah untuk diyakini. Apatah lagi untuk berjumpa dengannya entah bila sekali. Saya lebih berminat untuk mengheret pemikirannya tentang Silat Cekak itu sendiri daripada berbincang tentang persatuan kita yang berpecah. Cekak yang diberi pelbagai tafsiran jika silap pembawaan dan pemikiran akan ‘mencekik’ perasaan dan hati si ahli. Itu sebabnya kita perlu berhati-hati. Minat atau penglibatan biarlah sederhana kerana kesederhanaan itu lebih selamat daripada turutkan hati.

Setelah habis luahan hatinya, tiba giliran saya untuk bercakap. Fikirannya saya bawa tentang perjuangan Silat Cekak. Teringat akan sejarah kepimpinan khalifah dalam sejarah Islam. Saya aplikasikan dalam perbualan. Saya yakinkannya bahawa jika kita berjuang kerana Ustaz Hanafi, beliau telah meninggalkan kita. Jika kita berjuang kerana PA, ikut saja karenahnya tanpa ada sebarang persoalan. Jika kita berjuang kerana En Mat, ikut saja perintah dan arahannya. Jika kita berjuang kerana Guru Persatuan, ikut saja perintah dan arahannya. Jangan banyak songeh. Jika kita berjuang kerana Guru Wawasan, Op! belum lagi tapi sebagai permulaan maka ikut saja arahan dan perintahnya. Juga, jika kita berjuang kerana kasihkan Pak Lan dan Pak Li maka ikut saja arahan dan perintahnya. Ke mana saja tempat yang ingin ditujui, silalah penuhi. Jaga hati mereka. Korbankan masa dan tenaga. Penuhi hajat mereka. Biar kita dimarahi asalkan kita tidak memarahi.

Saya katakan kepadanya bahawa saya faham akan perjuangan saya dalam SC. Perjuangan itu bagi saya adalah jelas. Saya tahu apa yang saya lakukan. Apapun tafsiran tentang perjuangan, tetapi saya tetap memegang falsafah perjuangan saya, hasil tafsiran daripada kata-kata Allahyarham Ustaz Hanafi. Saya tekankan kepada beliau betapa Silat Cekak tidak pernah berpecah. Yang berpecah hanya persatuan yang melayarkan perjuangan SC. Masing-masing persatuan mendakwa akan roh perjuangan Ustaz Hanafi. Sejauh mana diikuti, saya tak ambil peduli. Sebabnya, dakwaan ‘roh perjuangan’ banyak bergantung pada tafsiran. Apapun, punca kuasa telah tiada dan yang adapun telah tidak diakui. Ramai yang pandai-pandai sendiri. Namun begitu, sesuatu yang benar dan yang hak tidak mudah berkembang tanpa ada gangguan yang berupa ancaman atau dugaan yang didatangkan oleh Ilahi. Dari sinilah kita dapat menguji kualiti dan nilai diri. Adakah kita mudah dibeli atau nilainya tidak seberapa sen hingga mudah dicucuk tali. Lihat juga kualiti diri. Penakutkah, beranikah, yakinkah, tegaskah, sombongkah, lalangkah atau kah-kah yang lain. Kita yang tahu akan kualiti diri sendiri. Kualiti ini adalah juga akan mempengaruhi nilai diri. SC bukannya objek yang boleh dibawa ke sana ke mari. Kefahaman tentang SC perlu bersepadu dan sebati supaya kita mempunyai pegangan yang kukuh dan tidak mudah berubah mengikut hari.

Selalu saya tegaskan pada mereka yang menuntut dengan saya supaya benar-benar menikmati dan menghargai pelajaran SC. Atas kesedaran itulah maka SC tersangat perlu dikembangkan di kalangan masyarakat kita supaya masyarakat kita mempunyai pegangan yang kuat dalam konteks negara kita yang mempunyai pelbagai kaum dan pelbagai agama. ”Think big but start small”. Berfikirlah secara luas tapi mulakan langkah yang terdekat yang hampir dengan kita. Mustahil kita dapat mengubah masyarakat kita keseluruhannya. Tapi masyarakat silat yang berada dalam tangan kita begitu mudah untuk dilenturkan. Kata-kata ‘guru’ dalam silat mudah sangat diikuti. Tapi kalau pembawa silat pun tiada pegangan sejati dan mudah melatah, bagaimana ingin memimpin pengikut yang berada dalam genggamannya. Jadilah tragedi yang menyanyat hati. Penuntut-penuntut ‘ditipu’ mentah-mentah atau ditipu hidup-hidup. Tertipu kerana amanah sebenar kita memimpin silat tidak dipenuhi. Apakah amanah tersebut. Amanah itu bertali arus dari guru kepada jurulatih. Tapi apakan daya. Hujung pangkal sudah tidak tentu arah.

Silat Cekak begitu istimewa sekali. Keistimewaannya kerana SC berbeza dengan silat-silat yang lain. Perbezaan ini bukan sesuatu yang membawa maksud negatif.

‘Perbezaan antara silat yang biasa dengan silat yang luar biasa adalah kerana keluarbiasaannya’.

Keluarbiasaan ini melahirkan sesuatu yang luar biasa. Keluarbiasaan ini ada pada SC. Apakah keluarbiasaan yang ada dalam SC. Banyak sekali perbincangan dan perbicaraan tentangnya dalam tulisan-tulisan saya yang terdahulu. Walau bagaimanapun, jangan sekali kita pisahkan irama dan lagunya. Kelebihannya jangan hanya dibualkan dalam aspek fizikalnya sahaja. Soal langkah, tari, kekuda, geraknya dan semua aspek fizikal mesti dikaitkan dengan maksud tersirat yang seiring dengan prinsip dan falsafah silat. Malah kebolehan bersilat juga mesti dikaitkan dengan prinsip dan falsafah diri. Dari senilah lahirnya sesuatu yang luar biasa tentang SC pada diri setiap penuntut. Kalau aspek ini kita fahami, secara langsung akan terjawab tentang apa yang dicari dalam SC. Maka baharulah ada pegangan diri dalam SC. Kata-kata ikan di laut akan memberi makna pada diri kita dalam konteks penglibatan atau kegiatan kita dengan SC. Jika pendirian ini tidak tetap atau tidak mantap maka kita akan jadi seorang yang akan terus merintih, menyesal, kecewa atau pelbagai sifat yang negatif dalam kaitan kejadian atau peristiwa yang berlaku dalam SC.

Saya tidak tahu sejauh mana penerangan saya dapat meyakin dan memahamkan diri kawan berkenaan. Tetapi masih terdapat anggukan dan gelengan kepala. Apapun, masih ada respond. Namun, hati kita begitu cepat berubah kalau tidak ada pegangan yang kukuh. Sekali air bah maka sekali itu lantai berubah. Jong terbakar, habis tikus cabut lari. Jadilah manusia yang tiada pegangan dalam SC umpama lantai dan tikus. Tikus mondok agaknya. Montok dan gantheng.

Saturday, January 17, 2009

sambung GERAK

Kita yang menerima pelajaran akan mentafsir apa yang kita dapat. Pentafsiran ini sangat bergantung pada ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada pada diri kita. Itu sebabnya penerimaan ilmu, konsep, buah dan sebagainya berbeza-beza antara sesama ahli. Masing-masing ada kelebihan dalam bidang-bidang yang tertentu. Cuma saya ingin meneruskan bicara pengalaman saya dalam tulisan ini berdasarkan apa yang saya dapat dan apa yang saya faham dan apa yang saya tafsirkan setelah proses penerimaan ilmu hampir tiga dasawarsa yang lalu.

Kalau gerak fizikal kita hebat, rasanya sangat memadai pada tahap kita sebagai orang awam. Namun jikalau kita juga dapat menguasai gerak hati sebagaimana yang saya bicarakan sebelum ini, maka kehebatan kita semakin terserlah. Siapakah yang menentukan kehebatan kita tersebut. Sudah semestinya kita sendiri dapat mentafsirkan kehebatan kita. Kita yang lebih mengenali diri kita. Bukan takbur atau cakap besar. Sakit demam atau sehat alfiat tentang diri kita, hanya kita yang lebih arif. Di mana sopak, kurap, parut, panjang pendek dan sebagainya yang ada pada kita, hanya kita yang tahu. Kalau dinding yang berwarna putih kita katakan putih maka itu bukan mengata namanya. Itulah kenyataan. Kalau diri dianggap pandai atas ukuran telah mendapat ijazah, bukan bangga diri atau cakap besar atau bersikap sombong. Itulah kenyataan namanya. Tapi orang kita ramai yang rendah diri. Self esteemnya rendah. Sikap ini cuba dikikis daripada penuntut SC melalui pembelajarannya. Kita berkeyakinan dengan penumbuk kita. Kehebatannya umpama peluru berpandu. Pasti mengena. Elaklah ke manapun. Hingga ada yang begitu yakin dengan meletakkan tanda di mana-mana bahagian anggota badan ‘musuh’. Orang-orang dulu menggelarnya calit kapur. Kita yakin dengan gerak penumbuk kita. Bukannya cakap besar tapi cakap benar. Dilepaskan penumbuk, di situlah hala tujunya dan mengena. Dua kali dua pastinya empat. Inilah salah satu konsep yang ditanam pada penuntut SC supaya sentiasa cakap benar dan yakin diri berasaskan kenyataan. Namun begitu cakap-cakap ini hanya bermakna pada penuntut-penuntut yang dapat menguasai gerak yang ada dalam SC tersebut.

Acap kali gerak hati dapat menyelamatkan diri daripada bencana dan kecelakaan. Setiap kejadian ada petandanya. Petanda itu hanya dapat dirasakan melalui gerak hati. Itu sebabnya ada yang berpengalaman, kerana selangkah gerak ke hadapan, telah dapat menyelamatkan dirinya daripada ditimpa sebiji kelapa. Selangkah gerak ke depan telah menyelamatkannya daripada ditimpa pokok atau dilanggar kereta. Banyak lagi contoh yang lain. Bila ini berlaku sepatutnya kita bersyukur kerana diri kita telah diselamatkan oleh Tuhan. Ada yang tegas memberitahu bahawa itulah kebatinan yang hakiki. Tuhan masih ‘sayangkan’ kita dengan cara menyelamatkan diri daripada ditimpa bencana. Tapi ramai yang memandang entang. Selamatnya diri itu dianggap nasib. Nasib baik. Sikap bersandar pada nasib ini menegaskan keupayaan dan kelebihan diri semata-mata tanpa menganggap itulah kelebihan Tuhan. Konsep bergantung pada nasib semata-mata, saya kira cuba dihapuskan di kalangan penuntut SC. Penuntut diasuh bahawa gerak itu datangnya daripada Empunya Gerak. Bukannya khayalan, tetapi boleh diusahakan penguasaannya. Hebat sekali prinsip yang ditanam pada kalangan penutut SC. Tapi prinsip itu hanya berkesan pada mereka yang mengetahuinya. Pada mereka yang sombong atau benak dan buta kayu, jadilah mereka umpama menjurus air di daun keladi. Dapatlah sikit-sikit akan air yang dijurus. Sebabnya, itulah harga diri. Tidak cuba untuk menaikkan kualiti agar harga diri dapat ditingkatkan.

Kita juga diperkenalkan dengan konsep ‘makan gerak dalam gerak’. Dalam konsep ini, penuntut-penuntut diasuh dan dididik akan kebolehan mentafsir dan bertindak pantas. Kebolehan ini memerlukan daya penglihatan, pengamatan dan petakkulan yang hebat. Secara langsung kebolehan ini akan dapat menjadikan diri kita licik umpama belut, jinak umpama merpati. Mereka ini dirasakan begitu senang didekati tapi sebenarnya amat payah sekali. Kenalah berhati-hati. Tak boleh langsung menggunakan tali utuk mencucuk hidungnya walaupun nampak luas ternganga. Kita berasa begitu senang untuk menguasai gerak yang ada pada ahli-ahli SC. Tapi pada hakikikatnya bukan mudah. Penuntut SC sepatutnya umpama padi, makin berisi maka makin tunduk. Bukannya lalang yang tiada pendirian dan membuat ‘kecoh’ dengan cengkaman dan sebaran akarnya yang merosakkan tanah tempat naungannya.

Mereka yang tidak mengaplikasikan konsep ini jelas memperlihatkan diri umpama kuli. Senang saja kerbau dicucuk hidungnya. Ikut sahaja perintah tanpa ada pemikiran yang berstrategi. Walaupun diri tidak rela tapi pembohongan tetap ada. Jadilah mulut tak sama dengan hati walaupun peranan yang diberi bukannya peranan hakiki.

Penuntut SC juga diasuh untuk mengatasi gerak secara bersaing gerak. Satu langkah musuh gerak, maka selangkah juga kita bergerak. Apabila gerak telah dikuasai, tak sempat selangkah gerak musuh maka langkah kita yang kita dahului. Konsep ‘potong’ amat bersesuaian dengan konsep ini. Jika konsep ini kita kuasai maka tabiat diri akan dipengaruhi. Kita akan sentiasa mendahului dan bergerak ke hadapan. Penuntut SC tidak sepatutnya merintih tetapi berusaha mengatasi rintihan tersebut. Kita tidak akan membiarkan perkara itu berlalu tanpa ada tindakan. Apakah bentuk strateginya. Bentuknya itu terpulanglah kepada kebolehan dan kepakaran yang ada pada diri seseorang ahli. Niat mesti ada. Niat adalah bersepadu dengan tindakan. Tanpa tindakan, niat itu sebenarnya di tahap cita-cita.

Gerak dalam SC bukanlah sesuatu yang bersahaja. Gerak kita adalah gerak yang dirancang. Seiring dengan gerak ini terdapat prinsip atau konsep kejutan dalam gerak. Konsep kejutan amat penting dalam gerak SC. Orang yang terkejut akan cepat melatah dan akan berada dalam suasana alpa dalam beberapa saat dan ketika. Ketika kita menyerang, kejutan pada musuh sangat diambil kira. Kelatahannya akibat kejutan memudahkan kita mengatasi pihak musuh. Begitu juga dengan pelajaran kaedah. Bukannya tampar atau tepis biasa. Apatah lagi ketika gerak membuat buah. Kejutan akan memudahkan kita mengemaskan pukulan dan tangkapan. Lagi cepat dan mudah musuh terkejut, maka lagi cepat dan mudah kita menyempurnakan gerak.

Kalau kita perlu membuat kejutan untuk mengejutkan gerak musuh, kita pula perlu berada dalam keadaan tenang. Kita tidak mahu dikejutkan pula oleh musuh kita. Kita mesti bersikap tenang sepanjang masa. Ketenangan akan memudahkan kita berfikir dan menyusun strategi. Kita tidak akan mudah melatah secara tak tentu hala. Orang yang tidak tenang selalunya mudah dipengaruhi oleh emosi dan senang dipergunakan oleh orang lain. Konsep dan prinsip ketenangan ini sepatutnya menyelubungi diri kita. Itupun jikalau kita benar-benar menjiwai SC.

Sebab itulah saya selalu mengaitkan diri kita dengan kiasan mata, telinga dan mulut yang Tuhan kurniakan. Jangan cepat melatah dan jangan cepat membuat kesimpulan. Kita boleh berbaik dengan sesiapa sahaja. Pada mereka yang agak meragukan, kebaikan kita adalah dalam konsep percaya boleh tapi yakin jangan. Ingatkan kembali latihan silat kita bersama kawan dalam kelas-kelas silat. Gerak rakan pasangan silat kita jangan mudah diyakini. Dia kata buat slow tapi aduh! kasar dan pantas sekali. Kita suruh dia tumbuk di bahagian dada, di bahagian anu kita pulak yang ditumbuknya. Percaya boleh, yakin jangan. Misalnya, kalau kita percaya dan yakin bahawa semasa latihan buah kilas belakang penumbuk rakan kita sepatutnya di bahagian dada, maka kita selalunya alpa. Kalau konsep gerak, ‘percaya boleh, yakin jangan’ kita amalkan, maka kita akan sentiasa bersedia. Kalau datang penumbuk di bahagian bawah, kita boleh terlatah atau buat-buat latah. Dalam masa buat-buat latah, penampar boleh bagi di mukanya kerana kita dalam keadaan sedar dan bersedia. Cuma bagi penampar sahaja tapi hanya saja-saja.

Kalau prinsip ini kita dapat kuasai, diri kita tak mudah dibeli. Harga diri kita dalam konteks silat amat berkualiti tinggi. Tiada untung yang kita cari. Tapi prinsip dan konsep SC perlu dipertahankan sepanjang masa. Pandai-pandailah bermain politik bagi melepaskan diri. Sebabnya kita tidak mahu teramai sangat orang yang terluka hati.

Jumpa lagi.

Thursday, January 15, 2009

FALSAFAH SILAT CEKAK

KONSEP GERAK.

Pada penghujung minggu ini ada lagi perjumpaan Jurulatih oleh pimpinan Guru Persatuan. Ikrar lagi. Guru Wawasan pasti akan sebok sekali. Maka sekali lagi menarik perhatian saya untuk menulis menceritakan pengalaman sebagai Jurulatih. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, sebagai sepintas kenangan menceritakan pengalaman, sepanjang memimpin kelas-kelas latihan silat, saya berasa puas kerana dirasakan saya telah dapat menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang diamanahkan oleh Guru terutamanya dalam zaman Ustaz. Sudah semestinya, bidang persilatan adalah merupakan bidang utama yang perlu diperturunkan ilmunya kepada para penuntut. Hal-hal selain daripada bidang tersebut tak pernah rasanya dicampuradukkan terutama yang berkaitan dengan perniagaan. Dalam menyampaikan pergerakan silat, saya telah cuba berperanan dengan sebaik-baiknya agar apa yang diterima maka itulah yang diperturunkan kembali. Malah seboleh-bolehnya isi penerangan Ustaz tentang kaedah mengambil setiap buah juga diperturunkan kepada penuntut perkataan demi perkataan walaupun mustahil untuk mengingat akan turutan perkatan-perkataan tersebut secara tertib. Yang penting apa yang saya pelajari, perlu diberi kepada penuntut dalam kadar seratus peratus. Itulah harapan diri saya walaupun kadang kala mustahil dengan angka tersebut. Tapi saya yakin penyampaian saya hampir-hampir genap peratusannya.

Pergerakan fizikal dalam SC adalah merupakan perkara asas dan perkara utama. Itulah yang dicari dan ingin dikuasai oleh para penuntut. Namun seiring dengan tugas hakiki tersebut, penuntut-penuntut juga dididik dengan ilmu, konsep dan falsafah SC melalui pelbagai agenda tersembunyi yang ada dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Hal ini demikian, semua usaha yang dilakukan itu adalah bagi menghasilkan penuntut SC yang mantap, yakin akan kebolehan diri dan mempunyai pegangan yang kukuh. Banyak istilah tentang konsep dan prinsip yang saya nyatakan terdahulu. Keyakinan yang wujud bukan hanya bergantung pada kebolehan fizikal semata-mata tetapi juga melibatkan kebolehan mental dan kefahaman yang tinggi dan mantap. Itulah peranan besar kita sesuai dengan konsep SC adalah merupakan silat akhir zaman. Dalam tulisan ini, saya bincang satu daripada pelbagai konsep atau falsafah atau prinsip yang ada dalam SC. Konsep tersebut ialah GERAK. Banyak perkara yang kita kaitkan dengan perkataan itu semasa kita mempelajari SC.

Konsep, “Silat itu gerak dan yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak” ditekankan dari masa ke masa. Penekanan ini adalah sebagai salah satu usaha bagi memupuk sifat yakin diri pada para penuntut. Hebat macam mana gerak kita sekalipun jika Tuhan tidak mengizinkan kejadian gerak pada satu-satu masa yang diperlukan, maka kehebatan itu hanyalah sia-sia sahaja ketika memerlukan gerak. Itu sebabnya orang yang mempamerkan kehebatannya dengan angkuh di depan kita, kita akan melayannya dengan sifat endah tak endah. Kita yakin bahawa kehebatan itu tidak mungkin berkekalan sepanjang masa. Kalau Allah tidak memberi keizinan maka mustahil gerak hebat itu akan berlaku. Berdasarkan konsep itu, oleh sebab gerak itu adalah kepunyaan Yang Empunya Gerak, maka hubungan kita dengan-Nya tidak boleh putus dan alpa. Kita perlu berada dalam satu konteks yang tegas dan rapat. Penuntut-penuntut SC diasuh supaya sentiasa berada dalam track yang betul dalam hubungan tersebut bagi menambahkan keyakinan dalam diri. Hubungan dengan Tuhan adalah perlu. Isi dalam konsep inilah maka Ustaz sentiasa menganjurkan tanggungjawab berselawat dan bertaubat setiap hari. Selaras dengan itu konsep syukur amat ditekankan di kalangan penuntut. Orang yang bersyukur juga adalah merupakan sebahagian daripada usaha perhubungan rapat kita dengan Tuhan. Lebih-lebih lagi jika hubungan ini dikaitkan dengan sembahyang. Malah ada yang berani mengungkapkan ayat dan kata supaya jangan tinggalkan sembahyang. “Tanpa gagal meninggalkan sembahyang,cuba tengok akan gerakmu.” Mungkin dalam bentuk tulisan, isu ini sukar dihuraikan. Takut timbul tafsiran yang berlainan.

Penuntut juga diasak dengan konsep bahawa,”Silat itu gerak dan yang bergerak itu ialah dua tangan dan dua kaki”. Penuntut ditanam dengan fahaman bahawa apa jua jenis seni mempertahankan diri yang wujud dalam dunia ini, seni-seni tersebut tetap menggunakan kekuatan dan kebolehan dua tangan dan dua kaki. Dengan sebab itu, kita tidak perlu peduli apa jenis nama pergerakan bela diri tersebut. Letaklah apa nama sekalipun. Penuntut-penuntut SC tidak akan ambil pusing. Malah mereka mungkin tersenyum sinis akan nama silat tersebut. Lebih-lebih lagi jikalau pengenalan silat itu diakhiri dengan perkataan ‘berantai’. Misalnya harimau berantai ke, singa berantai ke atau sebagainya. Kalau dah berantai, apa yang boleh digerakkan. Pandangan ini sangat berasas berdasarkan konsep gerak dua tangan dan dua kaki dalam sistem pembelajaran kita. Oleh itu penekanan dan ketelitian tentang kedua-dua jenis gerak itu sangat diambil berat oleh setiap Jurulatih SC. Hingga ada antara kita yang mentafsirkan seolah-olah kaedah tangan yang kita gunakan itu adalah merupakan buah. Boleh menepis bermakna akan jadilah buahnya. Kalau tak jadi, memang dah ada buahpun.

Dalam SC, konsep ‘Gerak’ amat penting. Dari hari pertama penuntut belajar dengan kita, penekanan pada gerak ini sangat diambil berat. Kita berkehendakkan mereka memerhatikan gerak musuh ketika menumbuk. Tumpuan kita adalah menyeluruh, tidak tertumpu hanya pada pusat atau anunya sahaja yang sering dilakukan oleh seni bela diri lain. Hinggakan ada yang mengambil kaedah berdasarkan gerak sentuh. Lebam-lebam badan. Tapi ada juga murid yang berasa megah dengan kelebamannya. Ketika kita mempelajari pelajaran potong, kita juga menekankan betapa perlunya memerhati akan gerak musuh ketika menumbuk. Dalam pelajaran peringkat menyerang, kebolehan memahami gerak juga amat diperlukan. Lagi cepat kita dapat menguasai dan memahami gerak maka lagi hebatlah diri kita sebagai pesilat.

Kebolehan mereka yang dapat membelah kelapa atau memecahkan batu bata atau atap genting, tidak menghairankan kita sangat. Benda-benda tersebut tidak bergerak, berbeza dengan manusia yang sentiasa bergerak. Kalau tak bergerak, memang senang untuk melakukan apa saja. Tak boleh melawanpun. Namun begitu, kita menghormati akan kelebihan orang tersebut yang telah berusaha gigih bagi mencapai apa yang dihajati.

Konsep Segerak amat ditekankan ketika kita mengambil buah. Pukulan dan kaedah perlu segerak. Kita akan mempastikan penuntut-penuntut kita tidak melakukan perbuatan dua gerak. Gerak tangan dan gerak kaki mesti selaras. Belum lagi kita bercakap antara gerak fizikal dengan gerak hati. Kalau kedua-duanya selaras, gerak kita amat cantik dan tepat. Melalui bantuan gerak hati maka kita pasti dapat membuat jangkaan yang tepat untuk memintas gerak dan muslihat musuh. Dalam konteks silat, mereka yang menguasai gerak berdasarkan mata hati semakin hebat di samping penguasaan gerak berdasarkan mata kepala. Kebolehan tersebut perlu diusahakan dan tidak mudah untuk dimiliki. Tapi untuk menjadikan tangan kita kasar, jauh sekali. Nanti sukar menyetimkan diri.

Kalau sampai ke tahap gerak fizikal dapat dikaitkan dengan gerak hati maka hati sentiasa diheret dalam tabiat dan tindak tanduk kita. Kita sentiasa berhati-hati sepanjang masa. Tidak mudah untuk menyebelahi mana-mana pihak tanpa bersandarkan prinsip dan pegangan yang wujud dalam SC. Hinggakan percakapan yang dikeluarkan daripada mulut merupakan kebenaran hakiki pada yang empunya diri. Apa yang terpancar dimulut maka itulah kebenaran hati. Setiap gerak tentu bersebab. Maka kita sentiasa berhati-hati. Dengan cara itu maka tidak mudah kita dipergunakan oleh sesiapapun terutama pada mereka yang berkepentingan diri. Satu masa dulu ramai pendekar kita yang hebat telah dijadikan ‘jaga’ oleh pihak penjajah. Sebabnya penjajah kita sangat pandai membaca gerak hati. Disanjung dan dipuji maka habis telingkup diri.

Oleh itu, rakan-rakan sekalian, jangan dek rokok sebatang, hilang pegangan diri. Jangan dek nasi sepinggan hilang pegangan diri. Jangan dek air secawan maka hilang pegangan diri. Jangan dek diangkat diri maka senang sangat jatuhnya maruah diri.

Jumpa lagi

Sunday, January 11, 2009

PERTUALANG SILAT

Saya berpeluang menghadiri mesyuarat agung ANGKASA iaitu badan induk yang menaungi pelbagai koperasi dalam negara kita. Organisasi ini sangat hebat tapi wujud juga krisis yang melanda organisasi tersebut. Berlaku pecat memecat dan tuduh menuduh hingga menyebabkan badan itu porak peranda. Cara penyelesaiannya adalah melalui mesyuarat yang dihadiri oleh para pewakilan yang menjadi ahlinya. Merekalah yang diberi mandat untuk menentukan hala tuju melalui pemilihan barisan kepimpinan yang baru. Hal ini sangat menarik minat saya.

Nampaknya pepecahan di kalangan ahli bukan setakat berlaku dalam organisasi kita tapi juga telah berlaku di kalangan organisasi hebat yang lain. Walau bagaimanapun, prinsip asas pepecahan tetap sama. Semuanya diasaskan oleh sifat dengki-mendengki. Fitnah menjadi bualan utama. Tentunya fitnah tersebut dikaitkan dengan wang ringgit dan penyalahgunaan kuasa. Dalam pertubuhan kita tambah lagi satu iaitu dikaitkan dengan wanita. Itulah modal pepecahan kita tanpa mengira organisasi mana. Semuanya berlaku pastinya ada pertualangnya. Malah dalam sejarah Kesultanan Melaka yang hebat perkara yang sama telah berlaku. Ketika kemegahannya, Kesultanan Melaka terkenal hingga meliputi keseluruhan dunia. Taraf sultannya begitu tinggi. Masakan Maharaja Cina sanggup menyerahkan anaknya kepada Sultan Melaka jikalau kehebatannya bertaraf local sahaja. Tapi timbul pertualang durjana. Akhirnya kemegahan Melayu yang hebat tersebut hanya sempat bertahan untuk jangka masa lebih kurang satu kurun sahaja. Negeri Melaka hancur lebur hingga hilang segala kemegahannya. Sultan Melayu yang dimegahkan pada satu masa dulu hanya tinggal kenangan. Kehebatannya hilang kerana adanya pertualang bangsa. Kita masih ingat akan watak Si Kitol yang rela kemusnahan Melaka asalkan hati berasa puas.

Berkaitan dengan pepecahan pada organisasi koperasi tersebut teringat akan pepecahan kita. Ada juga kaitan dengan berniaga. Dalam silat kita juga pepecahan yang berlaku kerana adanya si pertualang. Gelarannya sudah tentu pertualang silat. Perwatakannya sama dengan Si Kitul yang menyebarkan fitnah semata-mata kerana kepentingan diri dan kepuasan nafsu kendiri. Akhirnya pertubuhan silat yang diasaskan dengan baik telah dimusnahkan dengan cara yang tidak baik. Ramai watak jahat yang ada dalam pertubuhan kita. Tapi mereka ini ramai pengikut. Satu daripada cirinya, pasti yang suka berniaga atau pernah berniaga. Tapi itulah yang berlaku jika diri kita tidak mempunyai pegangan yang kukuh. Matlamat utama silat sikit-sikit hilang. Perniagaan yang bertopengkan silat telah bermaharajalela. Sampai bersilat di atas katil pun perlu diambil kira. Maka berniagalah mereka dengan tilamnya bagi memahirkan silat yang ada. Tapi ramai yang tahu akan karenah mereka terus membantah dan menimbulkan isu dan persoalan. Dek kerana minat berniaga tetap ada maka peluang-peluang berniaga yang berkaitan silat perlu diambil kira. Kenapa tidak dengan senjata. Lading ialah senjata utama. Pasti akan berniagalah mereka. Anugerah silat soal enteng dan bisa dibicara. Tapi masuk mesti ada. Niaga sudah biasa ma.

Nak dapat syer, tunjukkan tempat pun jadi le. Sekurang-kurangnya tunjukkan sokongan berniaga. Masakan kita dicari mereka. Tak kan pokok bergoyang kalau tiada anginnya. Bagus juga. Kalau bersetuju kita boleh menjadi pembekal utama. Mustahil orang jauh boleh datang bila-bila masa. Jadi pasti kita akan jadi wakilnya. Alat memperalat mesti diguna. Situasi menang menang mesti ada. Semangat koperasi boleh digunakan. Komisyen boleh diambil kira. Dapat juga anunya. Tapi apa nak buat. Dengan perbelanjaan empat ringgit setengah, menyebabkan kita terikat untuk memikul tanggungjawab yang berterusan dari masa ke masa. Perbelanjaan apa ma!. Nasi goreng dengan air minum lo!

Dulunya, walaupun diberi peluang membuat senjata dengan hanya mencari tempat pembuatnya, tapi terpaksa menolaknya dengan pelbagai muslihat yang ada. Masa yang terhad perlu diuntukkan mengajar silat. Itu merupakan tugas utama. Rasanya tak sanggup lagi memikul beban yang besar lainnya terutamanya membuat senjata. Cukuplah dengan senjata yang ada. Tak kira wali jantan atau wali betina. Ini akan melibatkan pengambilan masa yang diperuntukkan untuk perkara lain terutamanya keluarga. Walau pun sekali sekala tapi bebanan tugas dan tanggungjawab amat besar kerana senjata tersebut adalah lambang kemegahan kita. Mencari untung memang tidak ada dalam kepala. Keputusan tegas diambil bersama. Biarlah hal itu menjadi hak Guru. Biarlah beliau dengan bironya untuk menyelesaikan masalah atau memikul tanggungjawab tentang senjata. Biarlah mereka memikirkannya tanpa penglibatan kita.

Berbalik pada perhimpunan organisasi Angkasa yang saya hadiri. Menteri sendiri terpaksa campur tangan bagi memilihara kemegahan pertubuhan daripada berpecah dua atau tiga. Pertubuhan tersebut telah ditubuhkan lebih tiga puluh tahun yang lalu oleh seorang Prof. yang sangat hebat. Krisis kepimpinan yang berlaku telah menyebabkan beliau dipecat. Timbul pepecahan. Untuk mengelakkan pepecahan yang berterusan, campur tangan luar amat perlu. Keputusan daripada ahli diambil kira. Organisasi tersebut telah diarah untuk mengadakan mesyuarat agungnya untuk memilih kembali kepimpinan dalam organisasinya. Usaha ini dilakukan bagi mengelakkan pepecahan yang akan terus berlarutan jika tidak dibendong dengan segera. Jika pelantikan asal dilakukan dengan begitu beradab sekali maka biarlah pertubuhan tersebut terus berada dalam peradabannya. Alhamdullillah. Semuanya berjalan dengan baik. Kepimpinan baru dapat diplih dan dapat diterima. Maka selamatlah organisasi itu daripada berpecah dua. Tapi lain sekali dengan kita. Hak ahli hilang entah ke mana tapi ditentukan masa depannya oleh watak-watak Pak 2L, Pak K, dan Pak A&N. Guru Persatuan dan Guru Wawasan adalah tekong utama. Kuasa mesti diutama. Dalam soal kepimpinan ini saya teringatkan kata-kata seorang tokoh besar dalam pemilihan pemimpin dalam organisasinya. Katanya, “Untuk memilih pemimpin, mereka yang menolak jawatan tersebut perlu diambil kira bagi dibuat pemilihan. Mereka tidak ada kepentingan diri. Sebaliknya, mereka yang beria-ria sangat minat akan jawatan pasti ada kepentingan diri. Mereka akan menyusun strategi untuk mendapatkan jawatan tersebut. Terbayang faedah yang bakal diperolahi.”

Saja teringat akan pertubuhan kita. Kalaulah masalah yang ditimbulkan dikembalikan semula kepada ahli untuk membuat keputusan, kita tidak akan berpecah seperti sekarang. Tapi apa akan daya. Kepentingan diri telah mengatasi kepentingan persatuan dan silat. Nasi telah menjadi bubur. Menang menjadi arang dan kalah menjadi debu. Usaha kita untuk terus maju telah tergendala. Maka jadilah ibarat, “yang dikejar tak dapat dan yang dikendung berciciran.” Mereka yang berusaha mengekalkan kedudukan diri sanggup menghancurkan perpaduan yang ada. Lupa tentang tanggungjawab untuk memelihara persatuan. Apapun jikalau menang, ingatlah pepatah Melayu, “Menang jadi arang dan kalah menjadi debu.”


Silat kita yang berpecah belah, kini akan menentukan haluan masing-masing. Kemajuan dan kemantapan setiap persatuan akan bergantung pada strategi masing-masing. Sekarang ini, dunia banyak yang berubah. Maka stail kepimpinan organisasi juga mesti turut berubah. Tuntutan kepimpinan sekarang ini amat berbeza dengan zaman dulunya. Pada zaman dahulu, seorang pemimpin yang berjalan dengan topi dan bertongkat amat disanjung tinggi dan disegani ramai. Tapi sekarang ini jika seorang pemimpin itu berbuat demikian, pengikutnya pasti akan mencemuh. Sebabnya, orang yang berbuat demikian adalah mereka yang mengalami sakit lutut atau gaut atau telah hilang upaya. Begitu juga dengan pakaian bush jacket. Kalau dulunya dengan memakai bush jacket kita akan dipandang tinggi dan disegani, tapi sekarang ini driver sahaja yang suka pakai pakaian tersebut.

Cara pendekatan kita dengan sesama ahli dan penuntut-penuntut yang belajar juga perlu berubah. Mungkin zaman dulu mereka yang belajar silat kerana inginkan pergerakan fizikal dan falsafahnya tapi sekarang lebih kepada pergerakan fizikal. Oleh itu, tak guna jika kita banyak bercakap tentang falsafah dan prinsip silat. Ajar saja pergerakan fizikalnya. Sebanyak mana kita masukkan fahaman akhirnya mereka tidak akan peduli. Lihat sahaja ahli sekarang. Sebanyak mana nasihat yang diberi, akhirnya mereka akan membuat keputusan sendiri apabila tiba masanya.

Pengajaran dalam kelas juga perlu berubah strategi. Jurulatih yang mengajar eloklah elakkan daripada banyak bercakap hal-hal yang berkaitan dengan falsafah silat. Tumpukan pengajaran secara fizikal semata-mata. Ada peluang turut berniaga.

Saya yakin atas perubahan yang berlaku, banyak perkara turut berubah. Oleh sebab ikatan Guru Sebenar dengan murid menjadi tawar, ramai makhluk akan mendakwa menjadi ketua. Gelarannya pasti pelbagai bagi menarik minat penuntut. Tambahlah “Al Al” di belakang nama. SC akan menitikberatkan pergerakan fizikalnya sahaja. Soal mandat jangan bicara. Maka ijazah perlu apa. Mandi-mandi cukuplah dengan mandi wajib yang ada. Wang pendaftaran memadai bagi menggantikan ijazah yang ada. Mutu penuntut pastinya bersandarkan latihan yang ada. Ragam adat dan adab tak perlu diambil kira. Tapi untutng mesti ada. Dari ekor hingga ke kepala.

Gasaklah tentang apa yang akan ada. Buatlah apa yang patut. Alang-alang mandi biarlah basah. Menyelok pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.
.

Wednesday, January 7, 2009

sambungan PENGALAMAN SEBAGAI JURULATIH

PEGANGAN DIRI.

Perbincangan tentang Irama dan Lagu bukanlah perkara baru pada kalangan kita. Kita selalu disogokkan dengan konsep “Kulit dan Isi” atau “Sarong dan Senjata.” Apapun istilah yang digunakan, pegangan diri perlu ada pada setiap Jurulatih bagi mempastikan kehebatan SC terjamin dan berkekalan. Semua guru SC sendiri sangat mengambil berat tentang ilmu yang ada pada Jurulatih selain penguasaan gerak silatnya.

Banyak kenangan manis ketika bersama dengan Ustaz. Ketika keluar bersama, pelbagai pengetahuan telah diasak dan disemai. Satu daripada tabiat Allahyarham ialah menyampaikan pengetahuan secara “hands on.” Ketika bersama-sama dengannya, apabila berkaitan dengan satu-satu peristiwa maka Ustaz akan menceritakan falsafah di sebalik peristiwa tersebut. Maka mudahlah difahami apa yang ingin disampaikannya. Banyak pesanan beliau yang berkaitan dengan prinsip dan pegangan hidup. Saya rasa semuanya dilakukan bagi melahirkan Jurulatih yang berkualiti tinggi.

Kerap kali manusia ini hidup dalam keegoannya semata-mata. Kadang kala kebenaran itu nampak di depan mata tapi otak mencari alasan untuk menolaknya. Itu sebabnya dalam situasi-situasi tertentu, kita tidak dapat memahami tindakan rakan-rakan kita yang bertentangan dengan sifat dan kata-kata mereka yang terdahulu. Mereka cepat melatah tanpa mengkaji situasi yang ada. Seolah-olah pegangan diri yang berdasarkan pada prinsip SC telah tiada. Pendengaran dan penglihatan sukar digunakan walaupun kita tahu akan kepentingannya. Pada hal, seperti yang saya nyatakan bahawa kita dianugerahkan dua mata dan dua telinga supaya kita benar-benar memahami akan sesuatu situasi tersebut sebelum mengeluarkan pendapat..

Dalam usaha memantapkan pegangan murid, salah satu caranya, Ustaz pernah menceritakan tentang ketokohan Saidina Ali dan peranannya dalam membela Nabi kita. Kata-kata Saidina Ali kerap kali dijadikan isi percakapan dan perbincangan untuk mengasaskan kefahaman muridnya. Dalam pergerakan SC terdapat perkataan “Ali” iaitu Ali Patah Sudah dan Ali Patah Atas. Apakah muslihat atau makna atas penggunaan perkataan tersebut. Kita ketepikan persoalan tersebut. Namun begitu, apa yang ingin saya bincangkan di sini, syarahan atau cakap-cakap tersebut adalah sebahagian daripada pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Orang lain saya tak tahu.

Saya masih teringat akan konsep, “Aku adalah Aku”.

Kenyataan tersebut membawa banyak implikasi dan maknanya, bergantung dalam konteks yang tertentu. Dalam satu ceramah kesihatan baru-baru ini, terdapat seorang pegawai perubatan yang mengatakan bahawa, “Aku adalah apa yang aku makan”. Cakap-cakapnya mengingatkanku tentang titipan ilmu yang kuperolehi dulunya. Walau apapun, kita perlu ada pegangan. Sekurang-kurangnya bagi menghindari “Tiga T” seperti yang dibincangkan terdahulu. Sekarang ini ada pulak pandangan tentang gejala “Tiga S” yang membawa maksud Sound, Sex dan Sport. Ketiga-tiga aspek tersebut boleh menjahanamkan kita kalau tidak ada pegangan. Tiga T atau Tiga S lebih kurang sama maksudnya. Cuma tidak ada TAHTA yang merujuk pada kuasa. Agaknya kuasa tersebut telah diambil oleh puak-puak Guru Persatuan dan Guru Wawasan.

Kadang kala konsep yang dihuraikan boleh menyedarkan kita dan dapat membina sifat dan pewatakan. Misalnya apabila membicarakan tentang sifat manusia yang ego dan angkuh..

“Sifat manusia amat sukar untuk melakukan dalam empat situasi:-
Memaaf seseorang ketika marah,
Bersedekah ketika susah,
Menjaga diri ketika berada dalam keseorangan dan
Menyatakan hak pada orang yang disegani.”

Perbincangan-perbincangan yang sebegitu amat berharga pada kita. Hasil perbincangan membolehkan kita membina keyakinan dan prinsip serta pegangan diri dari masa ke masa. Ini semua penting bagi membolehkan kita menjadi Jurulatih yang hebat dan berpendirian.

Itulah antara lain prinsip atau pegangan atau pandangan atau kata-kata yang pernah terasah pada minda yang sedar ini. Ustaz cuba membentuk diri kita agar mempunyai prinsip dan pegangan yang kuat sebelum cuba berperanan untuk menyebarkan SC. Manusia yang mempunyai pegangan dan prinsip hidup kerap kali saya dapat lihat kehebatannya walaupun dirinya dibenci. Sifatnya tegas di sebalik sifat kasih sayang. Saya rasa ramai yang memahami tentang perjalanan hidup Ustaz dalam usahanya untuk menyebarkan SC. Bukan mudah untuknya menyakinkan masyarakat kita tentang kehebatan dan kelebihan yang ada pada SC, tanpa pegangan dan kepercayaan diri. Kalau Allahyarham tidak mempunyai kekuatan mental, saya rasa SC mungkin tidak dapat ditapakkan dalam kalangan masyarakat kita.

Bukan mudah juga bagi kita menegakkan kebenaran. Kita selalu bercakap tentang istilah “Bohong”. Lawan perkataan bohong ialah “Benar”. Sama ada kita menyatakan kebenaran atau kebohongan, hanya kita sahaja yang mengetahuinya sebab istilah tersebut terpancar daripada hati. Kita hanya boleh mentafsir istilah-istilah tersebut berdasarkan situasi yang kita nampak atau kita alami. Tapi itupun masih bersandarkan tafsiran. Mungkin kita yang kata bohong tapi rakan yang lain menegaskan kebenarannya.

Pengalaman bersama Ustaz tentang istilah tersebut tetap menjadi pegangan saya. Sesuatu yang berada dalam hati dan diluahkan melalui mulut tanpa mengubah cakap-cakap hati, maka itulah kebenaran. Sebaliknya sesuatu yang tegas di hati tapi diluahkan bertentangan dengan apa yang diprinsipkan maka itulah pembohongan. Bukan mudah untuk mempraktikkan konsep ini. Walau bagaimanapun, jikalau kita sebagai Jurulatih menganggap diri umpama lilin maka pada kebiasaannya sentiasa akan berada dalam sifat pembohongan. Mereka terpaksa menjadi hati kawan kerana takut kehilangan kawan. Konsep ‘apa dia akan kata’ menjadi pertualang dalam diri sendiri. Tambahan pula kalau kita menjadikan dunia SC sebagai pentas mencari keuntungan dan kepentingan.

Walaupun saya menegaskan betapa pentingnya pegangan dan perlu disemai pada para penuntut., tapi kalau seseorang Jurulatih itu tidak turun padang mengajar gerak silat, ilmu yang cuba dicurahkan tidak bermakna sangat. Hubungannya dengan para penuntut agak longgar. Dalam banyak keadaan penuntut tersebut akan bertentangan pendapat dengan kita. Amat malang jika peranan kita meliputi Penyelia Kelas atau kepimpinan utama pada cawangan atau kelas-kelas latihan
.