Tuesday, August 28, 2007

LUAHAN HATI KECILKU

Setelah sekian lama aku berada dalam SC kadang kala aku rasakan betapa sia-sia mengorbankan tenaga dan masa untuk memperjuangkan SC jika demikian akhirnya. Segala-galanya telah terlanjur. Kalau aku tahu beginilah akhirnya pasti aku tidak ingin melibatkan diri dari peringkat awal lagi. Nak tarik balik sudah tak boleh dan tak masuk akal. Rasanya lebih baik mendiamkan diri. Meneruskan penglibatan bermakna akan berterusanlah menghadapi karenah hasil daripada manusia yang menganggap dirinya hebat dan sebagai pembela SC. Cuba bayangkan sepuluh tahun yang akan datang. Semakin meluat aku melihat gelagat ahli yang mengusai persatuan. Setengahnya tak sedar dek untung. Keistimewaan yang diberi oleh Mantan Guru yang pertama dulu hingga mantan presiden yang baru lepas, tak pernah disyukuri. Mereka menggunakan keistimewaan tersebut sebagai pasport untuk menentukan masa depan SC. Ternafi pemikiran orang lain. Dengan guru-guru sekali habis ditebasnya. Oleh sebab akal telah menguasai segala-galanya maka bermakna politik SC akan bertambah rencam. Semakin ramai manusia yang kecewa dan patah hati. Keistimewaan SC sebagai silat yang hebat dari segi adab dan adatnya suatu ketika dahulu, kini semakin pudar. Ramai yang sanggup mengorbankan kehebatan SC tersebut semata-mata menegakkan kepentingan diri dan semestinya demi kawan yang tercinta. Ternafi sandarannya pada Allahyarham Ustaz Hanafi walaupun sandaran tersebut tetap diwar-warkan di bibir mulut.

Bila teringat perkataan hikmah seperti yang diajar oleh Ustaz Hanafi, hati ini sejuk kembali. Peristiwa yang berlaku dalam SC, sekurang-kurangnya mengajar kita erti pengisian hidup. Banyak perkara yang boleh dipelajari.

Aku melihat betapa wujudnya manusia yang berada di sekeliling En Mat yang sering melahirkan sumpah setia, termasuk ikrar di mulut senja. Hinggakan nama anak sekalipun, tetap dirujuk padanya. Hilang hak utama si datuk atau si nenek yang tumpang gembira menyambut kelahiran cucunya. Cucu si datuk dan si nenek tersebut adalah hasil daripada kerja kuat anaknya yang menjadi ahli SC. Anak yang baru dilahirkan diserahkan pada Guru Utama untuk mendapatkan nama. Yang lebih hebat lagi anak tersebut perlu dimaniskan mulutnya dan ”dibangkan” telinganya oleh orang yang boleh memberikan keberkatan dalam hidup.

Kalau En Mat ke mana-mana, maka berebut-rebutlah anak muridnya mengajak ke rumah. Pelbagai juadah disediakan. Kepulangannya pada kebiasaan akan diiringi dengan aneka hadiah. Jika ada masalah yang timbul sama ada pada diri atau keluarga, En Mat-lah tempat bermanja. Kadang kala si isteri berperanan sebagai pendengar berita yang kedua. Gurulah segala-galanya. Beliau berperanan sebagai orang pertama dalam segala-galanya. He he he he he . Hati kecilku ketawa.

Mengomen En Mat sebagai Guru, bermakna mengundang perselisihan yang pasti berlaku. Sekurang-kurangnya muka ditarik untuk menunjukkan rasa masam. Orang yang sebegitu terhadap En Mat dianggap mencaci Guru. Mencaci dan mencacai Guru perlu dilawan dengan perasaan benci. Terbencilah pada mereka yang suka komen hal Guru. Alaaaaaaa, tapi itu semua ketika itu.

Lucunya, apabila Guru ditimpa musibah maka cepat-cepat mereka beralah. Guru ditinggalkan umpama sepah dibuang. Hilang langsung kenangan bersama Guru. Alasannya, kerana diri berasa ditipu. Sekelip masa mencari alasan. Bodoh juga rupanya diri mereka selama ini. Tiada pegangan nampaknya. Oleh sebab suka ”berpegang”, Guru barupun jadilah buat pegangan seterusnya. Pegang mesti pegang. Prinsip hipokrat sudah sebati rupanya. Jenis manusia apa agaknya gerangan. Mat Jilat dan Mat Pot pasti ada alasannya. Tentu En Mat begitu terasa. Orang yang menyangjungnya hilang entah ke mana. Mudah benar mengubah cita rasa. Tentu perit rasa di dada. Tapi tidaklah sampai membesar agaknya

Itu semua memberi satu pengajaran dan pengetahuan buat diriku. Ketika ini ramai yang berada di sekelilingku. Sejarah pepecahan telah memberi pengajaran. Aku mesti berwaspada. Manusia sekelilingku ada pelbagai rupa. Aku selalu mendengar slogan berhati-hati di jalan raya. Aku pun kena berhati-hati. Tapi bukan setakat di jalan raya. Dengan kawanpun kena berhati-hati. Silap-silap gaya kawan sendiri akan melenyek diri yang mulia ini. Betullah kata yang empunya kata. Teman ketawa senang dicari, teman menangis habis cabut lari.

”Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali.” Ungkapan itu pastiku pegang. Aku tak mahu terlampau baik dengan orang lain kecuali kedua ibu bapa dan Guruku yang memandu diriku di dunia dan akhirat. Binipun tak kecuali. Diapun boleh tinggalkan kita, pergi entah ke mana. Jadi berpada-padalah buat kebaikan. Aku cuba elakkan diri daripada buat kesilapan walaupun sekali. Aku yakin sekali aku buat silap, hilang semua orang di sekelilingku. Binipun tak tentu. Tapi pastinya kedua ibu bapa yang melahirkan aku tetap akan mempertahankan diri aku. Mustahil mereka akan membiarkan anaknya menderita zahir dan batin. Apa punya ibu bapa kalau anak sendiri tidak dijagai dan gagal dilindungi. Kecualilah golongan binatang atau yang menyerupai perangainya. Kalau binatang pasti tak ada perasaan. Anak sendiri akan diketepi. Apatah lagi jenis sekawan. Ada peluang akan ditunjang depan dan belakang. Itu sebab agaknya. semacam ada kuasa luar biasa hingga Mak Teh menggunakan perkataan tersebut. Golongan itu tetap ada pengikut. Tetapi percayalah hanya setakat disangkut.

Aku teringat kata-kata Guruku, ”Jaga baik-baik wahai anak muridku. Yang menjatuhkan kamu bukan musuhmu tapi kemungkinan besar kawan baikmu .”

Pening kepalaku. Mana nak tahu isi hati mereka yang berada dan rapat dengan diriku. Ilmu Bisik Semak dah puas kutuntut. Tapi tak jadi-jadi. Nak pakai jin, ramai yang terlibat dengan dadah. Berisiko juga hidup ini. Kadangkala aku ingin berada dalam kesepian. Menuntut sebarang tarikat yang ada. Buat pendinding diri. Tapi godaan rancangan HBO, Astro dan banyak lagi tak upaya aku hindari. Akibatnya, terpandang muka sahabat atau kawan karibku, terbayang peratus di hati. Sama ada peratus ikhlas, peratus berpura, peratus ambil hati, peratus dengki, peratus benci atau banyak lagi peratus di hati. Tak sepatutnya semua itu berlaku. Tapi apa kan daya. Peristiwa dalam SC banyak mencuit perasaan dan hati.

”Celaka betul.” Itulah kata hati. Kerana karenah yang berlaku dalam SC, menjadikan aku berhati-hati. Dulu aku tak pernah berasa syak wasangka kepada orang sekelilingku. Apa tah lagi teman seguru. Semuanya berada dalam suasana yang unggul. Masing-masing sanggup berkorban sesama ahli. Ahli silat pulak tu. Bila En Mat dah ”kena”, baru aku tersentak. Ramai yang berpura rupa. Ingatkan hanya berlaku di tempat kerja. Maklumlah. Di tempat kerja mana ada pengajaran daripada Guru. Yang ada cuma Boss yang asyik mengarah ke hulu dan ke hilir. Ramai anggotanya mencari kesempatan. Wujudlah pelbagai jenis rupa bentuk hati manusia. Macam-macam ada. Tak payah nak dicerita. Tak kan lah sifat itu ada dalam SC. Gurunya kan hebat. Mengajar prinsip dan pegangan hidup saban masa. Ahli yang berupa murid silat sentiasa memuji Guru yang ada. Terutamanya nama Ustaz Hanafi. Namanya sentiasa di bibir durja. Ujarannya dijadikan landasan dan pegangan. Mustahil mereka tak faham. Boleh cerita kembali apa yang diceritakan. Hebat sungguh murid Hanafi. Yang bukan murid Hanafi, bagaimana pula. Walaupun mereka menerima mandat daripada Pak Ak dan En Mat, akan tetapi semangat Hanafi tetap membara. Kadang kala terasa juga hati ini kerana ketaksuban mereka melebihi kita.

Baru aku sedar bahawa betapa hebatpun pengajaran Guru, akhirnya manusia akan menurut kemahuan diri. Masing-masing mengatakan dirinya betul. Semuanya menurut perasaan dan kata hati. Menurut kata hati bermakna menurut perasaan sendiri. Siapa yang banyak mempengaruhi diri. Yang banyak buat kerja dapatkan pengaruh, pasti akan menang. Itu kerja mereka. Bagaimana dengan diri sendiri. Lupakah pengajaran yang diberi. Pengajaran Ustaz Hanafi. Ahhhh. Ustaz Hanafi kan dah mati.

Betul juga kata kawanku. Kalau kewafatan Rasullullahpun membawa angkara sesama sahabatnya dulu, inikan pulak kematian Ustaz Hanafi. Walaupun masih bersandar pada Ustaz Hanafi, tapi lebih berdasarkan tafsiran sendiri.

Generasi baru aku berpesan. Pilihlah Guru buat pegangan. Tak kiralah sama ada Guru Persatuan atau Guru Warisan. Guru yang asal, dilupa jangan. Susur galurnya tetap ada. Yang empunya hak perlu diambil kira. Baru berkat ilmu dituntut. Buat pengisian dalam dada.

Tapi generasi berfaham baru mana tahu erti berkat. Yang mereka tahu perkataan berkat ada pada jenama roti yang dimakan setiap pagi. Emporium pun ada guna nama berkat. Ejaannya bertukar Barkat. Sebut pasal roti teringat tentang makanan. Berapa ramai lagikah manusia kita yang ada di muka bumu ini yang membeli bahan makanan sambil membelek-belek kandungannya. Ada lemak binatang, cepat-cepat ditolak ke tepi. Ada geletin daripada binatang, cepat-cepat dihindari. Dalam SC pun sepatutnya bila ada unsur-unsur binatang, cepat-cepat kita hindari. Tapiiiiii, kalau makanan yang menjadi darah dagingnya tidak dipeduli, apatah lagi dalam SC agaknya. Rasanya itulah sebabnya telah wujud budaya tak kisah dalam SC. Apa ada pada adat dan adab. Apa ada pada keberkatan Guru. Apa ada pada salasilah. Apa ada pada mandat. Apa ada pada kita. Opppp. Banyak adaaaaaaaaaaaaaaa.

Friday, August 24, 2007

MANTAN VS MANDAT - MANTAP VS MANTAT

Guru Persatuan telah mula menjalankan tugas persatuan untuk majlis ijazah persatuan. Bakal guru yang dikenali sebagai Guru Wawasan, kerap kelihatan bersama. Tapi semacam ada sikit kejanggalan. Satu segi mereka menafikan soal mandat tapi satu segi yang lain mereka meneruskan prinsip mandat. Proses ijazah itu adalah berbentuk mandat. Dengan ijazah, Guru memberi mandat kepada penuntut untuk belajar dan penuntut menerima mandat untuk belajar. Mandat ada kaitannya dengan kuasa. Dengan maksud lain, daripada mandat tersebut maka lahirlah istilah Punca Kuasa. Penuntut boleh mempelajari SC berdasarkan punca kuasa yang diberi oleh Guru Persatuan. Bagaimana dengan punca kuasa Guru Persatuan dalam konteks silat.

Guru Persatuan tersebut mendapat kuasa daripada siapa untuk ijazah. Apa punca kuasanya untuk membuat pengijazahan. Penuntut baru ”ambil” silat daripadanya tetapi beliau ”ambil” silat daripada siapa? Setakat yang diketahui, punca kuasanya dalam silat tidak ada. Guru yang ada iaitu En Mat tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepadanya untuk mengerakkan SC. Keadaan ini berbeza dengan En Mat yang terpaksa memanjat pagar semata-mata untuk mendapatkan mandat yang berbentuk punca kuasa daripada Pak Ak bagi mengerakkan SC. Di sini terbukti betapa pentingnya mandat yang merupakan punca kuasa untuk mengerakkan silat. Untuk mengerakkan persatuan, tanggungjawab ini tidak diperlukan. Oleh sebab lantikannya dilakukan oleh pihak persatuan maka peranannya semestinya berdasarkan peraturan persatuan. Sahlah peranan beliau hanya sebagai Pendaftar Persatuan yang diberi gelaran Guru Persatuan. Oleh itu, tindak tanduknya sebagai Guru Persatuan perlulah menurut peraturan persatuan dan tidak terikat dengan peraturan silat yang penuh dengan adat dan adabnya.

Peranan Guru Persatuan adalah semata-mata mengesahkan keahlian penuntut dalam SC. Sebenarnya untuk tujuan pengesahan, tidak ada keperluan bagi mengadakan majlis ijazah. Ijazah yang melambangkan mandat tidak perlu diambil kira. Sepatutnya beliau menghapuskan sahaja majlis tersebut. Kepada penuntut yang ingin belajar, mereka cuma perlu isi borang pendaftaran, buat bayaran dan seterusnya belajar. Ini bersesuaian dengan peraturan persatuan yang sedia ada. Kalau ada majlis ijazah maka kita mesti terikat dengan adat. Ikatan ini boleh dikira buang masa sahaja. Wang Pengkeras boleh diganti dengan Wang Pendaftaran.

Yang pelik tapi cerdiknya puak persatuan tersebut, adat yang tidak mendatangkan ”untung” dikatakan telah ditiadakan. Misalnya adat ayam petunjuk. Adat ini amat menyusahkan Guru Persatuan. Untuk menerangkan konsepnya sudah tentu memerlukan ilmu pengetahuan . Guru Persatuan terpaksa membuang masa untuk memotong daging ayam dan akan terus ditanya bertalu-talu oleh penuntut yang akan tamat tentang perkara tersirat. Bukankah ini akan menyusahkan Guru Persatuan. Adat tersebut tidak mendatangkan keuntungan kepada Guru Persatuan terutamanya daripada segi wang ringgit.

Perbuatan memansuhkan acara adat petunjuk tersebut amat bertepatan dengan pergerakan persatuan. Sesuailah peranannya sebagai Guru Persatuan yang tidak perlu terikat dengan adat dan adab persilatan. Walau bagaimanapun, hanya majlis ijazah sahaja tidak boleh dihapuskan memandangkan majlis tersebut ada kaitan dengan pendapatan.

Keadaan yang berlaku sungguh mendukacitakan. Para pendokong yang dulunya hebat mempertahankan budaya dalam SC telah sanggup menongkah arus semata-mata ingin membalas dendam dan menurut hawa nafsu. Para pengikutnya yang kurang berfikir dan terikat dengan hubungan dan memiliki jiwa yang lemah telah terpaksa tunduk atas apa yang berlaku dalam SC. Mereka telah bersekongkol untuk membenamkan Guru Silat. Pada hal, di hati kecil mereka pasti bahawa bukan keadaan itu yang mereka inginkan.

Dalam zaman Allahyarham Ustaz dahulu, pengertian atau konsep ”isi dan kulit” atau ”senjata” dan ”sarung” telah diutarakan kepada ahli. Berdasarkan tafsiran dalam konteks Silat Cekak ketika itu, isi atau senjata ada padanya manakala seteru silatnya hanya memiliki sarung atau kulit. Semasa Ustaz membawa silat ini, beliau memiliki senjata dan sarung sekali. Istilah tersebut timbul semula dalam zaman Guru berikutnya apabila berlaku pepecahan. Masing-masing mendakwa memiliki senjata manakala di pihak lawannya hanya memiliki sarung. Istilah tersebut semakin popular apabila timbul pepecahan berikutnya. Dikatakan En Mat masih memiliki senjata manakala pada Guru Persatuan hanya ada sarungnya. Begitulah sebaliknya pada tafsiran puak-puak Guru Persatuan.

Berbagai tafsiran dilakukan pada istilah senjata atau isi dan sarung atau kulit. Kadang kala begitu susah untuk kita memahaminya. Pada saya, untuk memudahkan kefahaman tersebut, cuba kita bayangkan sarung sebagai kain dan senjata sebagai anu kita. Ketika kita menguasai segalanya, kita ada anu dan kita ada kain. Kedua-duanya adalah hak kita dan anu yang terlekat pada anggota kita merupakan sesuatu yang dianugerahkan hasil usaha keras kedua ibu bapa kita. Bila kita buang kain tersebut, anu itu masih ada pada kita kerana anu itu hak kita. Bila kita pakai kain lain maka anu kita telah dapat sarungnya kembali. Bagaimana pula dengan kain yang kita tinggalkan. Kalau isteri kita memakainya maka dapatlah sarung berkenaan pada anu yang berlainan bentuk. Tetapi jangan lupa bahawa bersabit kedua ibu bapa kitalah maka kita memperoleh anu tersebut. Sama ada anu kita berbentuk wali jantan atau wali betina, bergantung pada posisi kedua ibu bapa kita semasa ”menjadikan” kita.

Kalau ambil contoh lain, dapat kita umpamakan keris sebagai senjata dan tempat simpanan keris tersebut sebagai sarungnya. Nak cabut atau simpan keris tersebut bergantung pada haknya iaitu si pemilik keris. Kalau dia cabut keris tersebut maka tinggallah sarungnya. Pemilik keris boleh gunakan sarung lain kerana dia pemiliknya. Sebaliknya, kalau orang jumpa sarung keris yang kosong tersebut dan disarungkan keris lain, maka sarung tersebut telah berjumpa dengan senjata kerisnya tapi keris lain.

Kalau kita fahamkan isi dan kulit dengan buah rambutan, mungkin lebih jelas. Makan buah rambutan, isinya kita telan dan kulitnya kita buang. Isi yang dimakan akan membawa banyak khasiat. Kulit yang kita buang, tidak mendatangkan faedah terutamanya kulit rambutan yang banyak bulu. Tetapi kedua-keduanya iaitu isi dan kulit mempunyai kaitan dengan istilah rambutan. Satu, namanya isi rambutan dan satu lagi namanya kulit rambutan.

Kalau kita faham dengan contoh yang mudah tersebut maka dapatlah kita kaitkan dengan konsep sarung dan senjata dalam SC. Janganlah kita bicarakan siapa yang hebat. Siapa yang berusaha maka dialah yang dapat. Cuma usaha tersebut adakah sesuatu yang benar atau sebaliknya. Kalau kita usahakan penanaman kacang misalnya, cukup dengan baja dan siraman air, pasti akan membuahkan hasil yang lumayan. Cuma persoalannya tanah yang diusahakan tersebut adakah milik kita yang sah atau sebaliknya. Hasil yang didapati tetap lumayan. Tuhan itu amat pemurah kerana Tuhan akan memberi atas apa yang kita usahakan.

Itu sebabnya kita mesti menentukan pemilik sah SC. Di sinilah konsep mandat memainkan peranan penting. Pemilik sah akan menentukan mana satu yang ada senjata dan mana satu memiliki sarungnya. Faktor-faktor tersebut akan memberi keberkatan dalam ilmu yang kita pelajari.

Jangan pulak kita cuba bangkitkan soal penuntut yang hebat silatnya tanpa perlu diajar oleh mereka yang ada mandat. Kalau kita berpegang pada pendapat tersebut hilanglah pegangan kita pada asal usul dan hak penguasaan silat. Akibatnya pada satu masa nanti akan ramailah orang yang mencari makan dalam SC. Bukan susah untuk menambahkan pendapatan melalui SC. Orang-orang bukan keturunan kita semangnya berminat dengan ilmu kita. Mereka juga tidak lokek untuk mengorbankan wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan ilmu yang berharga. Ketika itu tak payahlah sibuk-sibuk membincangkan soal Guru yang hak, soal mandat, soal adat dan adab atau sebarang bentuk persoalan lagi.Sebarkan SC di seluruh dunia tanpa memerlukan rujukan pada siapa yang diajar. Nak buat apa rujuk-rujuk kalau empunya SC pun tidak perlu dirujuk.

Ketika itu kita akan mengigit jari sambil berbual dengan menggunakan kata pendahuluan, ”duluuuuu.” Menurut kata akan binasa. Mengikut kata hati, akan mati. Sebelum semuanya terlambat, cepat-cepat kita betulkan keadaan. Janganlah kita menjadi pengkianat dalam perjuangan SC. Sekali pecah nampak benar parahnya. Dua kali pecah lagi parah. Tiga kali pecah maka deraianlah jawabnya.

Pada saya, kegiatan dalam SC merupakan sebahagian daripada aktiviti hidup kita. Gunakan ruang dan peluang yang ada dalam SC untuk membentuk jiwa dan keperibadian diri kita yang unggul dalam applikasi menghadapi tugas sebenar dalam sektor kerajaan atau sektor swasta. Latih diri supaya mempunyai fikiran yang tenang, rasional tanpa tunduk pada seseorang yang boleh mengongkong prinsip dan pegangan kita. Tenangkan diri dan bebaskan pemikiran kita. Capaikan erti kemerdekaan dalam kehidupan kita. Kalau susah dipraktikkan di pejabat atau di tempat kerja, jangan disusahkan dalam kelas SC. Tapi kalau dalam SC pun susah, memang susahlah nasib kita.

Sunday, August 12, 2007

NAK PILIH GURU MANA

Perasaan berbelah bahagi untuk menentukan Guru bagi mengijazah penuntut SC pasti memberi kesan kepada ahli. Selaku pemimpin silat, kita akan dipertanggungjawabkan atas ilmu yang diturunkan kepada penuntut baru. Untuk maksud ijazah kita ada dua orang guru. Pilihlah sama ada Guru Silat atau Guru Persatuan. Setakat ini peranan Guru Wawasan tidak menganggu pilihan kita . Jadi, mana satu Guru yang patut kita pilih. Memilih salah satu daripada Guru tersebut bermakna kita akan menolak Guru yang satu lagi. Pastinya jika kita memilih Guru Silat maka akan bermusuhlah kita dengan Guru Persatuan dan kuncu-kuncunya. Begitu juga jika kita memilih Guru Persatuan maka akan bermusuhlah kita dengan Guru Silat dan pengikut-pengikutnya.

Kedua-dua Guru tersebut mempunyai kekuatan dan alasan yang membolehkan mereka melakukan proses pengijazahan. Kedua-duanya dirasakan mempunyai hak untuk ijazah berdasarkan pespektif masing-masing. Ini menyebabkan ada kalangan kelas silat yang tidak pasti untuk memilih Guru yang mana satu. Mungkin dalam tulisan ini saya dapat berikan serba sedikit tips untuk dijadikan panduan kepada pemimpin-pemimpin SC sama ada memilih Guru Silat yang sedia ada atau Guru Persatuan yang dilantik oleh Persatuan kita.

Mereka yang pernah menuntut ilmu SC daripada Allahyarham Ustaz Hanafi dan rapat dengannya pasti menerima saranan daripada Ustaz supaya menghormati Mak Teh dan jangan memutuskan hubungan dengan keluarganya. Mereka ini dididik agar jangan setakat menghormati diri Ustaz sahaja tetapi kebajikan Mak Teh jangan diabaikan. Namun begitu, dalam situasi jika diri telah dianggap binatang dan Mak Teh dianggap musuh maka terputuslah tanggungjawab untuk membela Mak Teh lagi. Mereka yang bersimpati dengan golongan binatang tersebut patutlah terus menyokong Guru Persatuan. Akan tetapi pada mereka yang masih berpegang pada amanah Ustaz dan bersimpati dengannya serta masih menghormati tanggungjawab tersebut, maka janganlah ketepikan Guru Silat. Teruslah menyokong En Mat. Hal ini demikian kerana memutuskan hubungan dengan En Mat bererti menjarakkan hubungan dengan Mak Teh. Secara langsung amanah Ustaz akan diketepikan. Kalau amanah telah diketepikan maka tidaklah molek lagi untuk memperkatakan, ”meneruskan perjuangan Ustaz”. Terasa sangat akan kejanggalannya.

Dalam tradisi silat Melayu, Guru dan silat adalah merupakan aspek yang paling penting. Dengan adanya guru dan silatlah maka terbentuknya persatuan. Tidak pernah berlaku, wujud persatuan silat tanpa ada Guru. Oleh sebab guru yang berperanan mengembangkan silatnya maka guru tersebut memerlukan persatuan. Oleh itu, terbentuklah persatuan. Ada kalanya guru berkenaan terpaksa menumpang pada persatuan yang sedia ada sama ada persatuan belia atau persatuan yang bercorak kebajikan. Dalam hal ini persatuan adalah alat dan bukannya satu keutamaan. Sesuai dengan konsep tersebut maka adat dan adab sangat penting berbanding dengan peraturan yang ada dalam persatuan. Adat dan adab mesti didahulukan dan diberi keutamaan berbanding dengan kehendak persatuan yang bersandarkan pada peraturan. Maka timbullah istilah murid dan guru; ahli persatuan dengan presiden persatuan dan sekarang ini ditambah dengan Guru Persatuan. Kesetiaannya dizahirkan secara berbeza. Dalam silat, kesetiannya dizahirkan dalam hati manakala dalam persatuan kesetiaannya dilahirkan melalui mulut yang diikrarkan. Pilihlah dan buatlah pilihan. Silatkah keutamaan atau persatuankah keutamaannya. Terikat dengan Persatuan bermakna kita taat pada pengurus persatuan dan kita akan bermain dengan peraturan dan politik silat. Terikat dengan Silat bermakna kita taat pada Gurunya dan kita bermain dengan adat dan adabnya. Jadi, pilihlah. Kalau selama ini kita masuk SC kerana persatuan dan kerana pengurus persatuan maka pilihlah Guru Persatuan. Jika selama ini kita masuk SC kerana silatnya dan kerana kepimpinan Gurunya maka pilihlah Guru Silat.

Mungkin ada yang membangkitkan isu kalau Guru dah tak betul kenapa mesti ikut. Dalam hal ini, mengikut hukum persilatan, kalau Guru dirasakan dah tak betul, cabut aje atau buka silat baru. Akan tetapi yang mengatakan Guru tak betul ialah pengurus persatuan yang sudah tidak mengaku En Mat pemimpin silat mereka. Pengurus persatuan mestilah jaga persatuan. Ada glamour-lah .Tetapi kalau kita berperanan sebagai murid, pegangan kita adalah berdasarkan pengakuan Guru. Kalau Guru telah bersumpah, itulah pegangannya. Keikhlasan murid terpulanglah pada Guru untuk menilainya. Kalau Guru tipu, dia akan tanggung sendiri. Sebagai murid perlu berprasangka baik. Kalau rasa tidak baik, cabut lari ajee. Tapi kalau murid itu tunggu juga dan seterusnya ikut perintah pengurus persatuan maka dalam disiplin persilatan, putuslah haknya sebagai murid tapi hanya bertaraf ahli persatuan.

Saya selalu menyarankan betapa pentingnya kita muhasabah diri. Cuba lihat diri kita. Adakah diri kita jenis rambang mata. Orang yang rambang mata sentiasa berasa tidak puas hati dan kurang pegangan. Kalau pakai hand phone, bila ada sahaja model baru yang dikeluarkan, pasti akan dibelinya bagi menggantikan yang lama. Kalau pakai kereta, asal sahaja ada model kereta baru, hati mula berpaut. Kalau mampu, yang lama dijualnya dan dibeli kereta baru. Dalam konteks ini, kalau diri kita jenis rambang mata, eloklah tukar guru dan pilihlah Guru Persatuan. Masa Pak Ak, kita taat pada Pak Ak. Ada Guru baru iaitu En Mat, sokong En Mat. Bila ada lagi Guru baru iaitu En Jo, maka sokong pulak dia. Seterusnya bila terbit Guru Wawasan, jangan lupa pilih pulak kepimpinannya. Cara ini dirasakan tidak salah kerana inilah sifat diri yang rambang mata namanya. Jadi, tengoklah diri kita. Kalau jenis kita rambang mata dan ada kurang pendirian, maka Guru Persatuan adalah pilihan yang bijak.

Dalam erti nilai persahabatan, ramai yang dapat membezakan konsep kawan dan sahabat. Kalau kawan, hubungannya setakat hubungan sesama manusia dan terhad. Tapi istilah sahabat, pengertiannya amat mendalam. Sama-sama menangung derita dan sama-sama menanggung kegembiraan. Kalau kawan, hubungan lebih berdasarkan kepentingan. Kalau tak suka bila-bila masa boleh tinggalkan. Sebaliknya, kalau sahabat hubungan lebih berpaksi pada keikhlasan. Apatah lagi kalau konsep murid dengan guru, maka hubungannya lagi rapat. Jadi tengoklah diri kita. Selama ini kita meletakkan En Mat pada kategori mana. Kalau sebagai murid atau setidak-tidaknya sebagai sahabat, kesusahan yang dialaminya tetap kita terasa dan bersama-sama dengannya bagi menghadapi segala pahit maungnya. Kalau sebagai kawan, bolehlah belah segera dan konteklah Guru Persatuan.

Hidup dalam dunia ini banyak dugaan dan kesulitan yang diuji oleh Allah. Dugaan yang kita tempoh adalah dalam pelbagai bentuk. Bergantunglah pada nasib seseorang. Ketika kita menghadapi ujian ada kalanya kita berjaya mengharunginya dan adakalanya kita tewas. Itu sebabnya Tuhan menyuruh kita minta ampun daripada-Nya banyak-banyak. Ustaz pun ada menurunkan kaedah untuk meminta ampun sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Kalau kita pernah alami dugaan Allah maka sudah tentu kita bersimpati dengan En Mat betapa beliau perlukan sokongan dan ketabahan hati. Maka kita akan membantunya dalam saat-saat yang beliau memerlukan bantuan daripada sahabat atau anak muridnya sendiri ketika ini. Akan tetapi jika kita belum diuji oleh Allah, maka kita tidak akan memahaminya dan tiadalah sifat simpati kepada En Mat. Dan oleh sebab kita tak pernah alami ujian dan dugaan tersebut maka kita tidak akan mengerti akan erti keperluan pertolongan daripada kawan atau sahabat. Oleh itu tidak perlulah kita bersimpati dengan En Mat. Tinggalkan beliau keseorangan untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Gasaklah dia. Maka eloklah pilih Guru Persatuan untuk pegangan kita seterusnya.

Ketika ini soal mandat untuk menentukan pilihan Guru sudah tidak dipedulikan lagi. Tapi ada ahli yang masih mementingkan latar belakang Guru untuk dijadikan ikutan. Dala hal ini, sekurang-kurangnya kita tahu akan perjalanan En Mat daripada masa mudanya hingga jadi Guru. Kalau dia ”tak betulpun”, orang-orang rapatnya tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Orang-orang rapatnya termasuklah pengurus-pengurus Persatuan, SU MMK dan SU LPT adalah bertanggungjawab membentuk keperibadiannya. Masalahnya ramai yang berperanan sebagai kaki ampu yang istilahnya telah saya gunakan dahulu sebagai Mat Jilat atau kaki repot yang istilahnya ialah Mat Pot. Tiba-tiba tuduhan Mat jilat ditujukan pada En Mat. Sebenarnya menurut istilah kamus, Mat Jilat adalah istilah pada mereka yang kaki ampu dan tidak berupaya untuk mengubah sesuatu yang dirasakan tidak betul dan hanya membenarkan sahaja perbuatan Guru tanpa ada teguran dengan alasan En Mat adalah degil. Nampaknya, sebelum En Mat dijatuhkankan hukuman oleh pengurus persatuan, sebenarnya di sekelilingnnya tersangatlah ramainya manusia Mat Jilat dan Mat Pot. Yang hairannya kenapa En Mat tak sedar akan hal ini. Mungkin terasa sedap sangat kut. Sekarang tibalah masanya bagi Mat-Mat Jilat dan Mat-Mat Pot ini menaruh perasaan amat benci dengan Guru Silat dan mereka telah melantik Guru Persatuan. Kalau kita bersimpati dengan Mat-Mat Jilat dan Mat-Mat Pot tersebut maka eloklah sokong sahaja Guru Persatuan. Mana tahu satu masa nanti dapat juga dijilat. Kadang kala elok juga bagi kita mempersoalkan latar belakang Guru Persatuan. Kalau En Mat, kita tahu asal usulnya. Cuma kerana Mat Jilat dan Mat Pot yang berada di sekelilingnnya yang tidak dapat memainkan peranan penting maka En Mat ”rosak” sikit. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa mereka yang memilih Guru Persatuan tahu akan latar belakang guru mereka dan pastinya berminat dan bolehlah ditimba ilmunya. Lagi hebatlah para pendokong Guru Persatuan.

Panduan yang saya berikan di atas bolehlah dijadikan rujukan untuk memilih Guru ketika kelas ijazah hendak dijalankan. Jangan susah-susah. Pilihan ada dua sahaja. Akan tetapi jangan diketepikan prinsip diri dan harga diri kita. Itulah kemerdekaan yang hakiki dalam SC. Ada faham ka! Entahlah Labuuuuuuuuuuuuuuu.