Monday, March 29, 2010

PENGGUNAAN TONGKAT PANJANG



Di pusat-pusat pengajian tinggi, persoalan tentang senjata panjang adalah begitu popular sekali. Hal ini termasuklah senjata pedang dan persoalan popular tongkat panjang. Persoalan tentang pedang atau parang panjang bolehlah dilayan secara jenaka. Alasannya ialah dunia sekarang bukannya dunia purba. Mereka yang membawa pedang atau parang panjang bukan boleh memanjang. Tak sampai sejam akan ditangkap polis kerana membawa senjata berbahaya. Walau bagaimanapun persoalannya mungkin berbeza dengan penggunaan tongkat panjang.

Kadang-kadang terfikir juga betapa perlunya perubahan tentang kefahaman saya sendiri atas penggunaan tongkat panjang. Mungkin perlu penyesuaian dengan amalan yang ada sekarang. Tongkat panjang tidak pernah dilatih pada zaman saya belajar dulu. Walau bagaimanapun penggunaannya tidak asing bagi saya. Saya rasa kelas sayalah yang memperkenalkan pertunjukan tongkat panjang semasa menuntut di universiti. Hal ini demikian kerana dalam kalangan kami terdapat seorang guru silat tongkat panjang. Tapi pertunjukannya masih mengguna pakai kaedah dalam SC. Gerak-gerak dalam serangan tongkat panjang tersebut masih disesuaikan dengan kehendak kaedah silat kita. Tidak ada konsep ‘habuan sesak’ dalam masa mengadakan pertunjukan. Semua yang dilakukan adalah semata-mata demi persembahan silat bagi menarik minat para penonton. Dasar dan kaedah SC tidak diketepikan begitu saja.

Habuan sesak adalah berkaitan darurat.Masa darurat langgarlah peraturan dan hukum atas kecemasan. Tapi jangan sesekali jadikan amalan. Samalah agaknya daging babi di waktu darurat atas keperluan perlu makan. Tapi kalau dah jadi amalan makan, sesak apa namanya.

Tapi nak buat macam mana. Ketika ini mungkin telah berlaku perubahan dalam penerimaan ahli pada tongkat panjang. Semua pihak telah menerima akan konsep bahawa tangan boleh menyekat tongkat. Maknanya kita sekat surat maka posmen tak sampai. Konsep dulu, kita war-warkan betapa posmen disekat maka surat tidak akan sampai. Konsep ini telah terbalik. Mungkin konsep sekat posmen telah tidak relevan lagi. Surat sekarang tidak lagi disampaikan oleh posmen melainkan melalui e-mail atau face book.

Di sinilah kita perlu berhati-hati antara kefahaman kita yang sedia ada dengan perubahan fahaman yang sedang melanda. Saya sendiri sentiasa cuba memahami akan perubahan yang berlaku tersebut. Malangnya saya masih tak faham-faham. Akhirnya saya mengambil keputusan, eloklah kalau tak faham-faham. Walau bagaimanapun, mengatakan perbuatan sekarang tidak betul tentu akan menyebabkan timbul isu yang lain. Siapalah kita untuk mengatakan kaedah penggunaan tongkat panjang tersebut tidak betul. Oleh itu turut sahaja dengan apa yang ada. Jangan dilaga-laga pertentangan pendapat yang ada.

Sekian pendapat saya apabila diminta ulasan lanjut tentang tongkat panjang. Pendapat saya sahaja.

Sunday, March 28, 2010

4. PENYESUAIAN STRATEGI PENYAMPAIAN ILMU

Perubahan masa menyebabkan SC terus berkembang. Seperti yang dikatakan bahawa kita tidak boleh menafikan betapa pengawalan ke atas SC tidak sekuat di awal perkembangannya. Hal ini demikian kerana kelas-kelas SC semakin berkembang. Bakal penuntut SC tidak lagi terhad dalam kalangan masyarakat awam. Permintaan pelajar-pelajar daripada pusat-pusat pengajian semakin bertambah. SC telah mempunyai pelbagai pemikiran. Pelajar-pelajar yang ada lebih bersifat kreatif dan kritis. Mereka tidak mudah menerima sesuatu tanpa ada unsur-unsur logik dan rasional. Keadaan ini perlu diambil berat oleh tenaga pengajar dalam SC.

Mereka yang masuk SC mempunyai pelbagai tujuan. Ada yang masuk kerana minat, kerana kawan, kerana mengisi masa lapang dan kerana keperluan markah kokurikulum di pusat-pusat pengajian. Oleh sebab itu makna kerahsiaan dalam SC semakin longgar. SC kurang dirasai sebagai satu jenis silat yang sangat dicemburui pada orang lain yang bukan ahli.

Ketika ini, permintaan daripada sekolah semakin bertambah. Amat sukar untuk mengehadkan kemasukan pelajar hanya pada pelajar menengah atas yang lebih tinggi umurnya. Pada hal pelajar-pelajar menengah rendah juga amat berminat dengan SC. Berdasarkan perkembangan tersebut, perubahan dari segi penyampaian ilmu SC amat perlu dilakukan. Dalam hal ini saya nampak perubahan itu perlu dilakukan dalam dua keadaan yang berbeza. Pertamanya strategi penerangan dan keduanya sukatan pelajaran.

Pembelajaran di sekolah dan di universiti akan mengambil masa yang lama. Banyak penghalang dalam proses pengajaran. Salah satu penghalang utama ialah masa dan yuran pembelajaran. Hal ini demikian banyak berlaku di sekolah-sekolah. Bentuk sukatan pelajaran SC perlu dirangka dengan lebih teliti. Masalah-masalah yang timbul sangat perlu diambil kira dalam perancangan tersebut. Rangka sukatan pelajaran SC perlu juga meliputi jangka masa latihan dan bentuk latihan.

Umur pelajar dan saiz pelajar akan mempengaruhi bentuk pengajaran SC. Kita perlu menarik minat pelajar tersebut sejak mereka berada dalam tingkatan satu lagi. Selama lima tahun mereka akan berada dalam pengajian di sekolah. Jadi, apakah bentuk susunan pelajaran yang sesuai bagi mereka. Bagaimanakah isi pelajaran dapat dilanjutkan sekurang-kurangnya empat tahun. Dalam jangka masa tersebut kesetiaan mereka untuk terus berada dalam SC perlu juga diambil kira. Program-program motivasi perlu dimasukkan sekali.

Saiz tubuh badan juga perlu diberi perhatian. Jika pengambilan ahli-ahli SC dibuka sejak Tingkatan Satu lagi maka saiz tubuh badan mereka perlu diambil kira. Pelajar yang kecil pasti mempunyai tangan yang kecil. Kaedah dalam SC boleh memudaratkan mereka jika melakukan gerak kaedah dan gerak pukulan tanpa pengawalan dan pengawasan yang betul. Jadi, aspek keselamatan pelajar sangat perlu diambil kira. Dalam konteks inilah prinsip pukulan dalam SC amat perlu diberi tafsiran baru. Ketika inilah juga jika difikirkan gerak pukulan perlu ditangguhkan dahulu maka prinsip tersebut perlu diberi perhatian. Untuk jangka panjang, kita sesuaikan pelajaran SC dengan suasana dan tuntutan peraturan di sekolah-sekolah.

Oleh itu, pengajaran di kelas biasa, sekolah dan di pusat pengajian tinggi memerlukan bentuk pengajaran yang berlainan. Jenis penuntut dan tahap pemikiran mereka adalah berbeza. Cabaran yang kita hadapi turut berbeza antara ketiga-tiga kategori penuntut tersebut. Semua faktor tersebut perlu difahami oleh kepimpinan yang ada. Pada pendapat saya mereka yang berumur dan remaja perlu diberi ‘rasa’ seperti yang ada dalam SC. Tolak ansur hanya perlu dalam kalangan pelajar sekolah di tahap menengah rendah.

Dalam konteks berlainan suasana di sekolah, institusi pengajian tinggi dan kelas-kelas biasa, penerangan kita di pusat-pusat latihan tersebut perlu berhati-hati dan mengambil sikap menurut keperluan semasa. Jangan sesekali hentam koromo sahaja. Persoalan yang ditimbulkan perlu juga dijawab dengan kesesuaian pada tahap pemikiran mereka. Sekarang ini banyak persoalan yang sering ditimbulkan. Kadangkala persoalan baru yang ditimbulkan adalah diluar daripada kefahaman kita yang sedia ada. Berhati-hati memberi jawapan dan lihat pada tahap pemikiran mereka.

Satu ketika dulu di pusat-pusat pengajian tinggi, penerangan tentang gerak kita yang berasaskan sembahyang tidak mendatangkan sebarang masalah. Para bakal penuntut dapat menerima konsep tersebut dengan senang hati. Malah saya sendiri secara peribadi berasa bangga dan bertuah kerana memahami gerak semula jadi manusia yang ada dalam SC adalah gerak yang berasaskan sembahyang. Dalam kempen-kempen mencari ahli, dengan penuh yakin saya menegaskan tentang perkaitan gerak dalam SC dengan gerak sembahyang yang menjadi amalan harian kita. Itulah gerak hakiki yang sesuai dengan tabiat manusia. Bukan main hebatnya percakapan kita. Bercakap dengan penuh yakin dan megah.

Namun begitu, lama-lama timbul persoalan mengenai gerak sembahyang ini apabila masyarakat mula berminat dengan SC. Hingga terseret ahli bijak pandai agama yang melarang keras sesuatu perbuatan yang cuba dihubungkan dengan sembahyang. Malah saya terdengar betapa ada tok guru agama yang mengatakan bahawa mengaitkan perbuatan silat kita dengan sembahyang dianggap biadap dan syirik. Sedap sekali kata-kata yang terpancul melalui mulutnya.

Di samping adanya pendapat daripada ahli agama, muncul pula jurucakap silat-silat Melayu yang mula bercakap bahawa silatnya juga berasal daripada gerakan dalam sembahyang. Kaedah mengelak dengan satu tapak dianggap sebagai kaedah gerak dalam sembahyang. Dalam sembahyang, mana boleh gerak melebihi tiga gerak. Oleh sebab gerak elakan mereka hanya satu tapak dan satu gerak maka mereka menganggap bahawa gerak silatnya masih tidak melebihi tiga gerak yang boleh menafikan gerak silat mereka sebagaimana yang terdapat dalam gerak sembahyang. Kesimpulan pada mereka, gerak silat yang mereka ada adalah berasaskan gerak dalam sembahyang.

Oleh sebab wujudnya bantahan ahli agama tentang gerak silat berasaskan sembahyang dan wujudnya dakwaan bahawa silat-silat Melayu yang lain juga berasaskan gerakan sembahyang maka strategi penerangan kita tentang SC perlu berubah. Saya sendiri tidak lagi menegaskan tentang gerak SC berasaskan gerak sembahyang. Secara langsung saya dapat mengawal perbahasan dalam kalangan pendengar apabila cuba mengaitkan gerak SC dengan gerak sembahyang. Dengan itu penerangan saya berjalan lancar tanpa ada sebarang persoalan daripada pendengar ceramah saya.

Semasa tamat silat juga strategi penerangan mula berubah. Dulu, semasa menyampaikan pelajaran tumbuk serang kita boleh benarkan penuntut yang tamat silat untuk menumbuk. Kita berjaya mengelak dan kemudian kita katakan bahawa penumbuk tersebut sebagai penumbuk bodoh dan tidak betul. Lama-lama saya lebih berhati-hati apabila membuat penerangan dan menyampaikan pelajaran tumbuk serang. Rupa-rupanya dalam kalangan penuntut kita yang tamat, sudah ada yang mengetahui tentang rahsia penumbuk kita. Ada yang mendapat pengetahuan tersebut daripada kawan setia atau daripada adik beradiknya yang sedang tamat SC di kelas yang lain. Silap perhitungan, apabila kita suruh mereka menumbuk, kita mengelak maka penumbuknya hinggap di badan kita. Bukan di lambang.

Oleh itu saya lebih suka menumbuk terus penuntut yang tamat tanpa perlu mengetahui cara penumbuk mereka. Ketika menumbuk, saya akan letakkan syarat bahawa mereka perlu mengelak. Selesai menumbuk atas elakan mereka tersebut, baharulah diterangkan bagaimana penumbuk SC dapat bertindak berdasarkan elakan musuh itu. Secara langsung, diri Jurulatih akan lebih selamat dan perasaan mereka lebih terkawal kerana kejadian di luar jangkaan tidak akan timbul langsung. Risiko semakin kurang. Dapatlah kelas tersebut ditamatkan dengan tenang.

Berdasarkan perbincangan, ketika membuat penerangan atau menyampaikan ilmu, hal-hal yang berkaitan dengan beberapa persoalan yang ada adalah perlu diambil kira. Janganlah membuat penerangan tanpa ada sedikit kajian tentang latar belakang pendengar atau penuntut kita. Berhati-hati itu akan menjadikan kita lebih berjaga-jaga dan mengurangkan risiko semasa mengendalikan latihan atau membuat penerangan.

Sekian setakat ini.

Friday, March 26, 2010

3. PERSOALAN PADA AMALAN BUKAN FIZIKAL

.....Sambungan



c) KAIN PUTIH

Peranan kain putih dalam SC turut membawa persoalan. Ramai yang takut tidur atasnya. Ada yang mengatakan bila tidur atas kain putih maka akan ada orang lain yang bersama. Kalau suami atau isteri maka lainlah bicara. Sepatutnya berpisah sekejap. Tapi tak tahan juga. Merayap di malam buta. Maka dikatakan manusia ghaib datang menjelma. Namun begitu mereka yang menimbulkan masalah tidur atas kain putih tidaklah ramai. Dalam seratus mungkin seorang yang mengatakan demikian. Walau bagaimanapun ada yang enggan tidur atas kain putih kerana was-was takut dikatakan ajaran salah.

Saya hanya boleh menyakinkan mereka bahawa tidur atas kain putih tidak membawa apa-apa makna. Kain puteh bukannya isu untuk didebatkan. Bukannya syarat yang mesti untuk belajar silat, melainkan adat yang kita buat. Adat juga adalah peraturan. Kalau buat sesuatu tanpa ada peraturan tentulah biadap namanya. Tidak tertib. Biadap atau tidak tertib itu semestinya dalam konteks mempelajari Silat Cekak. Kalau tak tidurpun tidak siapa yang tahu. Kalau was-was maka tinggalkan perbuatan berkenaan. Tidak adapun badan berkuasa atau pertugas tertentu yang akan mempastikan murid SC tidur atas kain puteh sebelum pelajaran SC. Tidak ada peraturanpun bagi mempastikan perbuatan tidur tersebut perlu dilakukan sebelum menerima Kaedah-Kaedah pembelajaran SC. Tak tidurpun boleh belajar. Tapi kalau nak rasa nikmat belajar SC maka lakukan semua peraturan dan ajaran yang ada dalamnya.

Kita selalu takut dengan kain puteh. Kalau ada hantu maka akan dikaitkan dengan warna puteh. Matipun warna kain kapannya mesti puteh. Pada hal puteh juga melambangkan bersih. Malah dikiaskan anak yang lahir ke dunia juga umpama kain puteh. Yang akan mencoraknya ialah kedua ibu bapanya. Oleh itu satu segi kain puteh adalah baik dan pada satu segi yang lain dianggap tidak baik. Samalah juga dengan hari Jumaat. Satu segi dikatakan hari tersebut amat baik. Tapi tidak kurang juga hari Jumaat dikiaskan sebagai hari yang menyeramkan. Berjalan pada malam Jumaat pun dikatakan lain rasanya pada mereka yang berfikiran tak tentu hala.

d) MANDI SILAT

Kain puteh juga dikaitkan dengan mandi silat. Dalam tempoh yang tertentu kita perlu mandi dengan menggunakan kain puteh yang kita duduk ketika ijazah terakhir. Mereka yang tidak mahu menjadikannya satu persoalan, akan membuat ketetapan sama ada hendak mandi bertemankan kain puteh atau enggan berbuat demikian. Sekali lagi tidak ada siapapun yang tahu. Tidak ada sebarang Jurulatih yang akan memeriksa ketika kita mandi, sama ada menggunakan kain puteh atau tidak. Maka tidaklah perlu dijadikan persoalan. Persoalan hanya layak ditimbulkan kalau diri dipaksa berbuat demikian.

Kalau ingin jadikan mandi silat sebagai persoalan maka akan keluarlah pelbagai persoalan. Macam-macam persoalan boleh timbul. Antara persoalan yang pernah diajukan kepada saya ialah keperluan mandi selama tempoh empat puluh hari. Kenapa perlunya bertali arus tanpa selang seli. Kenapa wujud perkataan batal dalam mandi dan pelbagai persoalan kenapa lagi. Semua persoalan ditangkis dengan logik yang ada. Pada saya senang sahaja. Kalau nak mandi maka mandi sahaja. Kalau lebih selesa mandi tanpa menutup seurat benangpun maka mandi bogel sahaja. Jangan jadikan persoalan. Tidak ada kajian atau pandangan atau fatwa yang mengatakan bahawa mandi silat akan menyebabkan ingatan kita pada silat bertambah hebat. Malah, semasa bersilat tidak nampak sebarang tanda yang menunjukkan sama ada penuntut itu telah tamat mandi silat atau tak mandi-mandi langsung.
Pada mereka yang berminat dan tidak menimbulkan banyak persoalan maka saya akan terangkan logik kenapa perlunya kita mandi dan mandi berkain puteh tersebut. Asasnya, mengambil ilmu SC biarlah kesara keseluruhan. Lagi pun, bukan payah mandi bersama kain puteh terutamanya mereka yang mandi sentiasa menggunakan kain basahan. Hanya menukar kain basahan yang ada daripada kain batik atau sebagainya dengan kain puteh yang kita ijazah atasnya. Mudah sahaja. Pada mereka yang tidak pernah mandi menggunakan kain basahan maka inilah masanya biasakan diri menutup kemaluan. Kalau berbogel maka malulah pada Tuhan. Tambahan pula ketika membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

Kain putih adalah sejenis kain yang berwarna putih. Asalnya pelbagai. Sama ada dari benang kapas atau tiruan atau sebagainya dari emporium atau kedai kain India atau Cina atau Melayu. Tidak ada apa-apa keistimewaannya melainkan kita letakkan keistimewaan padanya. Pada diri saya, keistimewaan kain putih tersebut adalah lambang saya tamat silat. Itulah kenangan sepanjang hayat.

Mandi bersama kain putih menyebabkan kita lebih tenang dan tidak tergopoh gapah. Mandi kita menjadi tertib. Secara langsung mendisiplinkan diri supaya sentiasa tenang dan berfikir dalam segala perbuatan yang dilakukan. Saya juga terangkan pada para penuntut. Mandi juga adalah merupakan satu ujian daripada guru untuk melihatkan kesungguhan kita.

Biasanya tidak ada satu jenis silatpun yang tamat begitu saja tanpa ada sebarang ujian. Ujiannya pelbagai. Dalam SC ujian yang ada begitu mudah sekali. Mandi bersama kain puteh untuk selama empat puluh hari. Ujian dikenakan bagi membuktikan kesungguhan. Kalau kita ingin bersungguh dalam SC maka mulakan dulu dengan amalan mandi tersebut. Kalau ujian pertama ini boleh dilalui tanpa banyak persoalan maka berkekalanlah kita hendaknya dalam SC. Kalau amalan mandi yang mudahpun pun tak boleh dilakukan, maka jangan sesekali bercakap tentang perjuangan. Perjuangan dalam SC banyak cabarannya.

Oleh itu semua tanggapan pada sesuatu adalah berdasarkan fikiran kita. Kalau kita kata baik maka baiklah jadinya. Begitulah sebaliknya. Kalau kita kata buruk maka buruklah jadinya. Itu sebabnya kita diasuh supaya sentiasa bersikap positif dan elakkan daripada berprasangka buruk. Perasangka buruk akan menyebabkan fikiran kita menjadi negatif dan memandang semua yang wujud sebagai manakutkan. Kalau kita berasa was-was, tinggalkan perkara tersebut daripada amalan kita. Cuma janganlah dijadikan persoalan. Daya pemikiran kita tidak sama. Ada yang menimbulkan persoalan kerana daya pemikiran telah bercabang dan menjadi cetek dalam bidang berkenaan.

Sekian setakat ini.

Thursday, March 25, 2010

3. PERSOALAN PADA AMALAN BUKAN FIZIKAL.



"Baru saya sedar betapa di tempat saya ada dua jenis lambang dan pada kedudukan yang berlainan. Ada lambang tulisan ‘Ahmad Muhammad’ dan ada yang memakai cap lambang segumpal padi di bahagian dada kiri. Kedudukan lambang pun pelbagai cara dan berada di pelbagai tempat. Ada di tengah dada dan ada di bahagian dada kiri. Saya tak pernah ambil tahu tentang kedudukannya sebelum ini. Perkara penting yang saya tekankan dalam kalangan penuntut ialah gerak mantap dalam SC. Bukannya tulisan pada baju yang mereka pakai semasa berlatih silat."


Di samping persoalan yang ditimbulkan tentang gerak fizikal atau hal-hal yang nampak, persoalan tentang kefahaman dan amalan juga sangat diambil berat oleh para penuntut. Seperti biasa, persoalan yang selama ini tidak terlintas di fikiran saya telah mulai timbul. Seperti yang dinyata, zaman dulu, apa yang diberi oleh guru maka akan kami terima sepenuhnya tanpa banyak bicara. Tapi bukan sekarang. Penuntut yang belajar mulai managih logik di sebalik pembelajaran. Sebagai Jurulatih, kita tidak boleh menolak persoalan yang dibawa mereka dengan begitu mudah sahaja. Pandai-pandailah kita menyesuaikan jawapan antara kefahaman dan ilmu kita dengan persoalan yang dikemukakan kepada kita. Berilah kepuasan kepada penuntut kita selama mana mereka berada bersama kita. Kepuasan yang diterima akan menjadikan mereka berasa puas mempelajari SC.

Dalam tulisan ini saya akan kemukakan empat persoalan besar yang sering ditimbulkan pada zaman saya. Bolehlah kita berkongsi pengalaman atas persoalan-persoalan tersebut.

a) LAMBANG

Lambang SC di dada adalah merupakan salah satu persoalan mereka. Ditimbulkan persoalan betapa lambang tersebut tidak dihormati sepenuhnya oleh kita. Menurut persoalan yang dibawa, mana boleh lambang ‘Ahmad Muhammad’ ditumbuk atau dipijak sedemikian rupa. Dikatakan bahawa kedudukan lambang Ahmad Muhammad tidak enak sekali diletakkan di bahagian dada. Mana mungkin perkataan tersebut dipijak henyak begitu sahaja.

Tersentak juga saya dibuatnya. Tidak pernah terfikirpun tentang persoalan tersebut. Bagaimana persoalan ini boleh terlintas di benak mereka. Kadang-kadang saya membuat telahan. Mungkin kesilapan Jurulatih yang mengeluarkan arahan. Mereka mengarah penuntut supaya menumbuk di bahagian lambang dan bukannya di bahagian dada. Silap cakap maka silaplah tanggapan.

Walau bagaimanapun, hal yang sedemikian telah menyebabkan saya terpaksa membuat kajian. Baru saya sedar betapa di tempat saya ada dua jenis lambang dan pada kedudukan yang berlainan. Ada lambang tulisan ‘Ahmad Muhammad’ dan ada yang memakai cap lambang segumpal padi di bahagian dada kiri. Kedudukan lambang pun pelbagai cara dan berada di pelbagai tempat. Ada di tengah dada dan ada di bahagian dada kiri. Saya tak pernah ambil tahu tentang kedudukannya sebelum ini. Perkara penting yang saya tekankan dalam kalangan penuntut ialah gerak mantap dalam SC. Bukannya tulisan pada baju yang mereka pakai semasa berlatih silat.

Lambang-lambang yang ada adalah hasil tulisan dan lukisan semata. Hentakan kaki atau tumbukan tangan tak pernah ditujukan pada tulisan yang ada. Melainkan niat hentakan kaki dan tumbukan tangan adalah ke bahagian dada. Pelik sungguh sampai ke tulisan maksud bicara. Patutlah belajar SC tak tentu hala. Fikiran bercabang-cabang, sekurang-kurangnya bercabang dua. Bukan setakat dua buah yang melekat di bawah. Kepala atas pun berfikiran dua. Macam mana silat nak jadi elok. Prasangka buruk sering menguasai jiwa. Maka penguasaan silat pun jadi tak tentu hala.

Itulah respon saya terhadap persoalan mereka. Malas nak layan dengan sempurna. Bukan masalah utama. Malah, dalam pertunjukan SC sekalipun, bukan tulisan yang diteliti penonton tapi gerak yang kita pertonton. Kalau susah-susah sangat, jangan ada sebarang tulisan di baju kita. Memadai dengan huruf SC sebagai tulisan. Tak payah lambang. Tapi nampak pelik jadinya.

Dalam latihan, kalau lambang menjadi persoalan, tanggalkan baju. Bersilat tanpa baju. Akan sah hentakan kaki atau tumbukan tangan menuju sasaran. Tiada penghalang tulisan. Nampak cop kaki dan tangan. Buatlah begitu. Tapi saya pasti tak akan ikut. Fikiran masih sempurna. Tidak bercabang dua. Memadai yang sudah ada duanya.

b) UPUCARA MEMILIH BAHAGIAN AYAM.

Ada juga yang menjadikan penunjuk ayam sebagai persoalan. Takut syirik kerana ayam. Pada hal, SC berlainan adatnya. Kita tidak menyebelih ayam untuk menyamah gelanggang. Apatah lagi ayam dijadikan satu persembahan. Kita sembelih ayam buat dimakan. Memilih bahagian ayam cuma adat yang dikemudiankan. Antara ahli lama dan ahli baru akan terpupuk kemesraan. Untuk bergantung pada ayam bagi membaca sifat penuntut adalah di luar daripada ajaran kita. Tapi memilih bahagian ayam dapat menimbulkan suasana keseronokan. Maka penggunaan ayam penunjuk tidak perlu dijadikan satu persoalan. Kalau nak kenyang maka pilih saja telur ayam yang diletakkan di keliling ayam. Kalorinya tinggi dan mudah dimakan. Tiada tulang. Kolestrol boleh ditambahkan.

Saya pernah tegaskan betapa bahagian yang kita pilih daripada ayam penunjuk tidak pernah dijadikan sandaran atau telahan. Saya juga teringin nak tahu apa bahagian yang dipilih oleh Guru Silat, Guru Persatuan, Guru Wawasan dan Guru Lantikan. Saja nak tahu. Tapi gunanya tiada. Mustahil perlakuan mereka dapat dihubungkan dengan bahagian ayam yang dipilih satu ketika dulu. Jelas menunjukkan pada kita betapa pemilihan bahagian ayam tidak membawa apa-apa makna. Walau bagaimanapun adat tersebut tersangat cantik untuk terus dikekalkan. Adat akan melambangkan rupa bentuk silat kita. Buang adat maka tergurislah identiti silat kita.

Kita sambung lagi pada dua persoalan berikutnya.

Tuesday, March 23, 2010

2. PERSOALAN GERAK



Konsep berkuda-kuda dalam SC dijelaskan melalui pernyataan ayat, "Ia tidak mahu berdiri menanti musuh dengan satu kaki di hadapan dan satu kaki di belakang kerana pada pendapatnya berdiri begitu adalah tak kukuh dan mati langkah jika diserang dari kiri dan kanan."

Semasa zaman awal kegiatan silat di cawangan, segala bentuk persoalan tentang gerak SC jarang sekali ditimbulkan. Kurang timbul persoalan maka kuranglah perbincangan. Penuntut silat boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pada pembelajaran SC. Malah Jurulatih sendiri dapat memasukkan ilmu SC tanpa ada sekatan atau halangan psikologi daripada penuntut.

Walau bagaimanapun kadang kala ada juga soalan daripada penuntut silat tentang gerak yang ada dalam SC. Setiap jawapan, tidak pernah dijadikan landasan pertengkaran. Kalau mereka gagal membuat jatuhan, bukan bermakna kelemahan SC. Sebaliknya hal yang demikian adalah kelemahan diri sendiri. Sebagai Jurulatih maka kita amat perlu membuktikan gerak yang ada dalam SC adalah bertepatan. Bila dibuat penerangan maka bagilah mereka ‘rasa’ sikit. Hal yang demikian akan menjadikan penuntut amat mudah menerima kenyataan. Terangkan pada mereka akan kelemahan yang ada beserta sebab musababnya. Fahaman saya yang diperoleh daripada Ustaz telah memberi banyak kelebihan untuk dijadikan ikutan mereka.

Masa terus berlalu. Saya tidak dapat menafikan betapa pengetahuan bakal penuntut yang ingin mempelajari SC telah ada sedikit sebanyak sebelum mereka berdaftar sebagai ahli bagi mempelajari SC. Sumber rujukan dan pengetahuan mereka semakin luas. Sekurang-kurangnya pengetahuan mereka itu diperoleh hasil kempen dan penerangan yang dilakukan oleh ahli-ahli yang telah tamat. Ramai penulis bebas yang menulis tentang SC. Walaupun penulisan mereka itu betul akan tetapi boleh menimbulkan persoalan pada para pembaca. Lebih-lebih lagi jika para pembaca tersebut belum lagi menjadi ahli SC.

Oleh itu, ketika mereka mendaftar masuk sebagai ahli SC, mereka turut membawa pelbagai persoalan mengenai SC bersama mereka. Umumnya, persoalan-persoalan mereka dapat dibahagikan kepada dua aspek besar iaitu aspek fizikal silat dan aspek kefahaman. Saya ada pengalaman dalam perkembangan yang berlaku tersebut. Banyak persoalan yang mereka timbulkan apabila ada banyak ruang yang diberikan.

Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai pengetahuan tentang SC. Pengetahuan ini meliputi isi pelajaran SC itu sendiri atau hal-hal yang berkaitan dengan kefahaman SC. Hal ini demikian kerana mereka juga telah memperoleh pengetahuan tentang kandungan isi pelajaran SC, sama ada daripada adik beradik mereka yang terlebih dahulu mempelajarai SC atau melalui sahabat setia yang berdamping erat dengan mereka. Aspek kerahsiaan dalam kalangan mereka sering kali bocor.
Oleh itu banyak perkara yang rahsia telah menjadi tidak rahsia dalam kalangan bakal penuntut baru SC. Keadaan ini telah memaksa kita mengkaji balik cara-cara SC disampaikan kepada para penuntut.

Dalam tulisan ini, saya akan kemukakan persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan mereka. Semua persoalan itu dijawab berdasarkan logik saya yang ada ketika itu. Mungkin jawapan saya itu tepat dan menurut kehendak guru kita atau mungkin jawapan yang saya berikan tidak tepat seperti yang dikehendaki. Namun, itulah jawapan yang ada bagi memuaskan kehendak persoalan mereka. Hanya saya yang ada dan dipertanggungjawabkan ketika itu. Dalam tulisan seterusnya, saya juga akan membincangkan tentang perlunya perubahan dalam strategi penyampaian ilmu SC dalam kalangan penuntut baru. Alasannya ialah banyak perkara yang mereka telah tahu terlebih dahulu.

Terdapat pelbagai soalan baru yang mula ditimbulkan mereka. Sesetengah persoalan ini mereka bawa daripada kelas di pusat pengajian tempoh hari. Oleh sebab tidak ada jawapan hakiki, soalan dipendam hingga sampai ke cawangan. Bertanyakan guru tidak kesampaian. Oleh itu para Jurulatihlah yang menjadi sasaran. Masa telah terpaksa diuntuk bagi melayan persoalan mereka. Perkara peliknya ahli-ahli cawangan tak banyak bicara. Menurut apa saja yang diajari pada mereka.

Bilangan buah SC yang tidak sekata turut dipersoalkan. Saya telah terangkan sebagaimana dalam tulisan saya yang terdahulu. Banyak tulisan yang berbentuk telahan mengenai bilangan buah-buah tersebut. Yang beralasankan dua puluh satu akan merujuk pada ilmu tauhidnya. Yang sembilan belas pula dihubungkan dengan bilangan huruf dalam bismillah. Bila pulak mereka membilangnya. Saya cuba mengelak daripada terperangkap atas perbincangan dengan alasan-alasan baru yang mereka beri. Bukan bidang saya untuk berbincang atau berdebat atas alasan tersebut. Masa akan terbuang kerana asyik berpolimik. Pada saya, perkara penting dan utama ialah penguasaan diri dalam gerak SC supaya jangan menjadi tak tentu hala. Saya berbincang tentang persoalan tersebut berdasarkan hak guru yang ada. Saya telah sentuh dalam tulisan terdahulu.

Persoalan tentang keputusan silat Melayu dalam senarai bilangan buah kita telah juga ditimbulkan. Mereka cuba membuktikan bahawa SC tidak asli kerana meniru buah-buah silat Melayu yang lain. Persoalan ini juga telah saya jawab berdasarkan tulisan saya yang terdahulu. Konsep meniru tidak timbul dalam konteks dunia persilatan silat Melayu yang dulunya tidak ada sebarang jenis persatuan.

Ada juga yang menimbulkan tentang kebenaran dalam keputusan buah-buah silat tersebut. Adakah sebenarnya kita memperoleh keputusan yang jitu. Pelbagai tafsiran dikeluarkan tentang maksud keputusan. Ada yang menghubungkan dengan konsep buah guru. Hanya guru silat berkenaan sahaja yang menggunakan buah keputusan tersebut. Memanglah mereka marah kalau buah guru mereka diambil. Bila guru sudah tak berbuah lagi maka akan hilanglah sifat kelakiannya. Kalau mereka marah, kenapa pulak kita jadikan persoalan. Itulah kelebihan silat kita. Belajar SC bermakna belajar akan kelebihan silat Melayu yang ada. Beruntung kita kerana berada dalam SC. Maka tak payahlah ditimbulkan persoalan ekoran kemarahan ahli silat Melayu tersebut yang telah mempersatuankan silat dan menjadikan silat sebagai hak milik mereka.

Ada yang persoalkan kelemahan SC kerana tidak mempunyai sistem pelajaran bagi melepaskan buah kuncian. Persoalan ini mungkin ada kaitan dengan pemberatan pelajaran kebanyakan silat Melayu lain. Silat-silat itu sangat menekankan aspek kuncian buah. Nampak benar perbezaan antara kuncian dan tangkapan. Perbezaan ini amat ketara dalam pelajaran SC. Kita tidak akan membenarkan lawan kita membuat kuncian. Malah, di peringkat sentuh pun kita akan terus bertindak.

Pada dasarnya, kalau minat pada SC bermakna SC ada kelebihannya. Sepatutnya, apabila masuk SC janganlah mengkaji kelemahan. Sebaliknya mereka patut mempelajari kelebihan. Jangan mudah membuat kesimpulan tentang kelemahan SC. Kalau kita mencari kelemahan maka kelemahan yang kita jumpa. Kalau kita mencari kelebihan maka kelebihanlah yang kita akan jumpa. Banyak rumah urut di merata-rata pada mereka yang suka dan tercari-cari rumah urut. Pada mereka yang tak suka atau tak pernah mengurut suka, mereka tidak akan berjumpa atau tercari-cari tempat tersebut.

Silat Cekak adalah Silat Cekak. Kelemahan dan kelebihannya adalah bergantung pada tafsiran. Tafsiran ini ada kaitan dengan hati dan sikap. Jika hati bersifat membangkang maka semua yang baik akan dianggap bertentangan. Diri sendiri sahaja yang dianggap betul. Jika kita ikhlas untuk belajar dan ingin terus belajar maka akan lahir sifat dan sikap yang positif secara terus menerus.

Persoalan tentang kuda-kuda dalam SC kerap juga ditimbulkan penuntut baru. Hati kita semak dibuatnya. Saya jelaskan kepada mereka atas persoalan yang ditimbulkan. Saya masih berpandukan artikal yang ada dalam simpanan saya. Artikal sekarang jelas menyatakan bahawa SC berdiri lurus tanpa ada kuda-kuda. Tulisan dulu tidak disebut SC tidak berkuda-kuda. Yang disebut ialah, “Ia tak mahu berdiri menanti musuh dengan satu kaki di hadapan dan satu kaki di belakang kerana pada pendapatnya berdiri begitu adalah tak kukuh dan mati langkah jika diserang dari kiri dan kanan.”
Ayat itu boleh dibuat pelbagai tafsiran. Kebiasaannya pada silat-silat Melayu, yang biasa kita nampak ialah mereka berdiri satu kaki di depan dan satu kaki di belakang. Kedudukan kaki yang sedemikian pasti akan berkuda-kuda. Oleh sebab SC tidak berpelaku demikian, maka ditafsirkan bahawa kedudukan kita adalah tidak berkuda-kuda. Tafsiran itu adalah betul.

Namun begitu perlu ada panduan untuk menjelaskan persoalan. Jurulatih kena berfikiran luas dan matang. Kalau langsung tidak berkuda-kuda, cuba bayangkan diri kita yang akan menjadi robot yang tak tentu hala. Berjalan atau bergerak tanpa ada kelenturan di bahagian pelipat kaki. Bergeraklah kita secara kaku dan boleh mencuit hati. Takut kalau kaki bengkok maka akan dikatakan berkuda-kuda. Jadilah pelawak sarkis yang menghiburkan penonton. Kalau tidak berkuda-kuda macam mana jadinya buah-buah kidung, selendang dan sebagainya. Alamat tak jatuh-jatuh sampai bila-bila. Takut berkuda-kuda.

Mungkin dalam istilah penuntut sekarang, tidak ada perkataan ‘habuan sesak’. Ustaz pernah membincangkan konsep ‘habuan sesak’ dengan saya. Masa kelangsungannya pada saya, gerak-gerak sesak perlu diambil kira. Kalau sesak, lampu merahpun kita langgar. Saya selalu tanamkan konsep sekat posmen maka tersekatlah suratnya. Percanggahan berlaku untuk gerak tongkat panjang. Banyak perbuatan sesak dalam SC. Misalnya penggunaan tongkat panjang tersebut. Ini juga telah menimbulkan pesoalan. Zaman saya, tongkat panjang tidak dijadikan latihan. Latihan kami adalah bertongkat pendek yang dipanggil cota. Itulah senjata yang senang dibawa. Mana ada orang yang bertongkat panjang sebagai pengawal keselamatan. Kalau diserang juga dengan tongkat panjang maka kaedah yang digunakan adalah bertepatan dengan konsep habuan sesak.

Ketika yang lalu latihan tongkat pendek yang dianggap cota dilatih bersungguh-sungguh. Ramai yang memakai topi keledar. Sama ada mengambil buah secara berdiri lurus atau secara duduk tahyat. Pukul betul-betul umpama musuh. Oleh sebab ahli Cekak yang menunggu telah memakai topi keledar, pukulan dibuat secara bersungguh. Maka pesilat Cekak akan mengambil buah dengan bersungguh-sungguh juga. Jadilah latihan pada hari itu dalam susana yang hebat kerana perbuatan yang bersungguh-sungguh.

Itulah persoalan yang selalu ditimbulkan berkenaan gerak silat dalam SC. Ada yang saya layan mesra dan ada yang saya layan dengan jawapan yang tak tentu hala. Saya tarik perhatian mereka. SC adalah hebat. Maka yang pentingnya ialah pesilat itu mesti hebat. Jangan banyak bercakap. Sebaliknya banyakkan membuat. Baru dapat hasilnya. Baru dikira pesilat yang hebat.



Silat adalah gerak. Yang bergerak adalah dua tangan dan dua kaki. Mahirkan pergerakan kedua-dua anggota badan tersebut. Jangan merisaukan diri dengan pelbagai jenama silat yang ada. Kembali kepada asas pergerakan silat. SC mempunyai keistimewaan dalam konteks ini. Pelajarilah SC dengan bersungguh hati.
Sekian.

Saturday, March 20, 2010

1. KONSEP BOHONG DALAM SC

Masih ada yang menimbulkan persoalan tentang pembohongan dalam SC sebagai satu faktor pepecahan. Malas nak bincang lagi. Tapi oleh kerana selalu ditanya dan didesak bertanyakan pendapat maka saya jawab juga dan saya masukkan dalam tulisan ini.

Pada saya, persoalan itu bukannya perkara baru. Semasa saya melibatkan diri dengan SC peringkat awal dulu pun, kepemimpinan Silat Cekak tidak terlepas daripada tuduhan berbohong. Semasa saya memimpin cawangan, saya tegaskan pada penuntut SC. Betapa orang yang hebat selalunya akan dikecam dengan pelbagai tuduhan. Guru silat juga tidak terlepas daripada kritikan dan kecaman apabila ada kalangan muridnya yang belaga angin dan mempunyai kepentingan.

Ustaz pernah berpesan tentang konsep “TA” iaitu wanita, tahta dan wanita. Konsep ‘Ta’ banyak mempengaruhi penyebar-penyebar surat layang. Mudah dan senang untuk mempengaruhi orang lain. Pesanan Ustaz ialah agar kita sentiasa berhati-hati dengan konsep ‘Ta’ tersebut takut-takut kita terjebak dengannya. Dan sebaliknya juga, konsep itulah juga yang sangat digemari oleh musuh-musuh kita bagi mengaibkan maruah kita sendiri. Hal ini demikian kerana orang lain akan cepat mempercayainya. Mengatakan kita tegas umpama Hitler atau kuku besi yang tidak berhati perut atau lain-lainnya mungkin kurang menerima simpati.

Tuduhan bohong pada guru SC telah bermula sejak berzaman lagi oleh mereka yang tidak sehaluan. Dalam zaman Ustaz Hanafi, telah wujud tuduhan liar mengatakan Ustaz seorang pembohong. Tuduhan ini ditimbulkan oleh muridnya yang kemudiannya bergabung dengan Silat Kalimah. Semuanya gara-gara inginkan kuasa dan menguasai guru silat Ustaz Hanafi. Kalau guru telah tunduk maka mudahlah pergerakan persatuan dikuasai. Tapi strategi tersebut tidak mengena. Tatkala Ustaz menafikan peristiwa empat puluh satu kali, beliau tetap dituduh berbohong oleh orang yang berkepentingan. Ada juga yang meninggalkan Ustaz.

PA juga mengalami nasib yang sama. Tuduhan berbohong juga dilemparkan padanya. Tuduhan tersebut adalah dalam konteks kuasa. Namun begitu ada pihak lain yang mempertahankan kebenarannya. Dikatakan PA merosakkan perjuangan. Beliau ditinggalkan oleh mereka yang tidak sehaluan. Tapi terus dipertahankan oleh mereka yang mengatakan PA berdiri atas kebenaran. Pada saya ada unsur kepentingan. Kepentingan juga boleh menyebabkan pembohongan. Hal ini telah disentuh dalam tulisan terdahulu.

Maka kini giliran En Mat pula mengalami nasib yang sama. Tuduhan bohong juga dilemparkan padanya. Beliau dikaitkan dengan peristiwa goreng pisang, air oren, jumlah budak mistri dan sebagainya. Kaitan peristiwa tersebut telah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai pembohongan besar dan dikatakan juga telah mengubah suasana kehebatan Silat Cekak Hanafi. Akhirnya dikatakan rosak keseluruhan perjuangan dan rosak keseluruhan institusi keguruan dalam SC. Cuma, hal yang berbeza ialah En Mat tidak ditinggalkan tapi dipaksa meninggalkan persatuan. Tapi itu dulu.

Dalam tulisan yang lalu, saya pernah membincangkan konsep bohong dalam perjuangan silat kita. Menjadikan pembohongan guru sebagai sesuatu yang merosakkan perjuangan SC, pada saya adalah tidak tepat. Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman, nampak sangat akan ramai yang bercakap menurut hawa nafsu tanpa merujuk konsep bohong seperti mana yang difahamkan dalam perjuangan Ustaz Hanafi.

Kita perlu berfikiran luas apabila berbincang tentang konsep perjuangan. Jangan mudah membuat kesimpulan. Kadang kala kita juga turut memberi sumbangan negatif dengan mewujudkan gangguan dalam perjuangan SC. Janganlah kita menutup kesalahan sendiri dengan menghina dan mengaibkan orang lain. Terlalu ghairah menuding jari kepada orang lain, akhirnya akan menerima kesan yang malang terhadap diri sendiri.

Saya selalu tegaskan pada ‘anak murid’ saya betapa pemimpin itu selalunya akan dijatuhkan oleh orang-orang kanannya yang bersifat penipu atau pembohong. Hal ini demikian kerana kononnya mereka berbohong kerana ingin memelihara hubungan atau menjaga hati para pemimpin. Mereka sanggup menyembunyikan sesuatu perkara yang benar. Inilah golongan cari makan yang sering berdamping erat dengan kepimpinan. Bila ada peluang yang mengancam pemimpin maka mereka mengambil kesempatan. Perkara yang sebenarnya tidak dinyatakan secara terus terang kepada pemimpinnya. Maka jadilah sifat kepemimpinan itu gagal membuat keputusan yang tepat. Banyak contoh pelakuan orang-orang kanan guru yang berbohong dan tidak perlu saya bincangkan lagi.

Oleh itu, jika kita ingin berdamping dengan guru, eloklah berterus terang. Apa yang terdetik di hati, cepat-cepat keluarkan melalui soalan dan persoalan. Jangan disimpan dalam hati. ”Turutkan hati maka jiwa kita akan mati”.

Saya selalu tegaskan konsep bercakap benar dalam kalangan penuntut saya. Bercakap benar ada kaitan antara mulut dan hati. Kedua-dua bahagian itu perlu sependapat dan selari. Akan wujud cakap serupa bikin. Biasanya manusia ini kurang popular. Soal menjaga hati bukanlah tujuan utama. Sebaliknya menyatakan kebenaran adalah menjadi fokas utama. Mereka sentiasa menjiwai erti kemerdekaan. Dalam konteks SC, jiwa mereka tidak terkongkong. Sesuatu yang benar padanya akan diluahkan dengan tertib dan bersopan. Jika tidak diterima maka itu tidak lagi menjadi persoalannya.

Pembohongan juga boleh berlaku dalam sistem pelajaran SC. Apabila mendakwa pembawaan SC yang ada adalah berdasarkan pembawaan Ustaz Hanafi maka perlulah kita meneruskan apa yang diajar oleh Ustaz Hanafi sendiri. Mungkin dari segi adat bersilat, kita memerlukan sedikit penyesuaian, akan tetapi dari segi persilatan jangan mudah bertolak ansur. Maka janganlah diubah-ubah atau ditambah sistem yang ada dalam pembelajaran yang ditinggalkan Ustaz Hanafi kalau nak dianggap pusaka Hanafi. Kalau diubah maka itulah pembohong juga namanya.

SC adalah hebat. Maka tugas utama Jurulatih adalah mempastikan maksud kehebatan itu sampai ke pengetahuan dan penguasaan gerak anak muridnya. Kita tidak mahu ada anak murid SC yang dilahirkan tidak yakin dengan pembelajaran SC. Didik mereka dengan sepenuh hati. Segala bentuk pengajaran adalah menjurus kepada pemupukan kehebatan dalam kalangan mereka. Jika Jurulatih gagal berbuat demikian maka saya berpendapat, mereka juga telah berbohong pada ahli yang gagal menguasai kehebatan SC. Oleh itu janganlah mudah menggunakan istilah bohong dalam konteks perjuangan Silat Cekak.

Mengaitkan ‘goreng pisang’ sebagai perbuatan bohong yang amat besar dalam persilatan SC mungkin satu perkara yang sangat remeh. Dalam konteks peribadi, konsep berbohong hanya manusia itu sendiri yang boleh menjawabnya. Ramai juga yang berbohong berdasarkan peranan dan tanggungjawab yang diberi. Tak banyak, sedikit. Sebagai suami tentunya pernah berbohong dengan isteri. Begitu juga sebaliknya. Malah dengan anak sendiripun kedua ibu bapa biasa berbohong. Berbohong daripada membawa anak bersiar-siar pada satu masa yang telah ditetapkan juga adalah merupakan satu perbuatan yang tidak disukai oleh si anak. Besar atau tak besar nisbahnya adalah bergantung pada tafsiran si anak tersebut. Adakah sampai ke tahap anak boleh menderhaka ataupun tidak. Semuanya bergantung pada hubungan anak dengan kedua ibu bapanya.

Pembohongan yang dikaitkan dengan soal peribadi, maka peribadi itulah yang patut selesaikan. Hal ini meliputi sama ada suami dengan isteri, isteri dengan suami, anak dengan kedua ibu bapa, kedua ibu bapa dengan si anak, pekerja dengan majikan atau majikan dengan pekerja atau lain-lain yang berkaitan dengan pembohongan peribadi. Maka seperti yang dinyatakan, peribadi itulah harus selesaikan.

Pada saya pembohongan dalam SC perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. SC adalah satu perjuangan. Perjuangan ini memerlukan kebenaran. Pembohongan dalam perjuangan maka akan dianggap sebagai satu pengkhianatan. Itu sebabnya peristiwa goreng pisang atau pencabulan yang dikatakan satu pembohongan, pada saya tidak dianggap sebagai suatu petaka dalam perjuangan SC. Bukti tidak ada melainkan andaian semata. Itu sebabnya juga selalu saya nyatakan betapa soal-soal yang berkaitan peribadi sama ada keikhlasan, pembohongan , keyakinan atau sebagainya, hanya diri orang itu yang boleh menjawabnya. Kita hanya boleh membuat andaian melalui fikiran sendiri. Namun begitu, jagalah mulut kita supaya jangan sampai menghina dan mengaibkan orang lain.
“Siakap senohong gelama ikan duri. Cakap bohong lama-lama mencuri.”

Itulah pantun orang tua-tua. Sering digunakan untuk menasihati orang lain supaya menjauhi sifat bohong. Dikatakan bahawa bermula dari bohong akan muncul perbuatan negatif lain. Itu juga gambaran yang ingin disampaikan oleh pantun tersebut. Pantun itu telah digunakan oleh orang-orang tertentu dalam perjuangan SC. Dikaitkan dengan pembohongan guru maka rosaklah keseluruhan perjuangan SC. Amat mudah bagi mereka membuat kesimpulan. Dalam konteks ini, ingatlah diri sendiri yang penuh ketidaksempurnaan sebelum kita mengata dan menghina orang lain.

Kesemua ikan tersebut sedap dimakan. Bersifat keras di bahagian belakang. Kepala yang keras agaknya melambangkan kehebatan yang ada. Ikan gelama dan ikan duri sangat sedap dijadikan ikan kering. Tapi tak sesuai dimakan oleh mereka yang mengidap darah tinggi. Walau bagaimanapun, sedap atau tak sedap, akhirnya kesemua ikan tersebut akan masuk ke perut kita.

Selalu kita dengar tentang peribahasa, “Tak akan pokok bergoyang jika tidak ada angin yang bertiup.” Kita bertindak pada situasi yang ada. Walau bagaimanapun, tindakan yang dibuat akan membawa banyak tafsiran dalam kalangan penonton yang lain. Tafsiran boleh jadi positif dan boleh jadi negataif. Bergantunglah pada kepentingan dan keikhlasan orang yang mentafsirnya. Biasanya seseorang itu akan bertindak apabila ada provokasi. Lihat kesemua aspek jika kita ingin membuat pertimbangan. Perkara utamanya ialah jangan ada penganiayaan.

Saya selalu ingatkan anak murid saya. Tuhan anugerahkan kita dua mata, dua telinga dan satu mulut. Oleh itu kita hendaklah melihat dan mendengar dua kali lebih banyak daripada kita bercakap. Kita juga selalu memberi isyarat tentang diri kita dengan perbuatan yang kita lakukan, air muka yang kita tunjukkan dan perkataan yang kita tutur. Oleh itu berhati-hatilah akan perkara tersebut. Biasanya diri kita akan dinilai berdasarkan perbuatan, air muka dan perkataan yang kita keluarkan. Adakah nilai kita ratusan atau ribuan atau tidak ternilai harganya. Melalui prinsip ini, orang lain boleh membaca akan niat dan strategi politik kita dalam dunia persilatan.

Sekian dulu.

Wednesday, March 17, 2010

MEMUPUK KEFAHAMAN DALAMAN PESILAT

Silat Cekak semakin hebat berkembang atas namanya walaupun mempunyai tiga cabang kepemimpinan yang berlainan. Salah satu punca perkembangan SC adalah kerana adanya pusat-pusat pengajian tinggi di merata negeri. Dari masa ke masa, ahli-ahli yang terlibat dalam SC meliputi pelbagai peringkat dan mempunyai pelbagai jenis latar belakang pelajaran dan latar belakang sosial. Pastinya pemikiran dan kefahaman tentang konsep dan gerak fizikal SC akan terus berkembang berdasarkan latar belakang pelajaran dan sosio-ekonomi mereka yang juga turut berkembang.

Dalam zaman permulaan SC, mereka yang berkereta adalah amat kurang sekali. Untuk mengajar silat, kerap kali dengan motorsikal dan biasa juga dengan menggunakan teksi. Keadaan itu telah berubah. Mereka yang dulunya merupakan siswa dan siswi, tapi kini mula menjawat jawatan tinggi sama ada dalam sektor swasta atau sektor awam. Keahliah sebahagian besar dari mereka dalam SC masih kekal. Situasi yang ada itu menyebabkan pemikiran mereka dalam SC juga turut berubah. Dunia kretiviti, inovasi, daya pemikiran kritis dan pelbagai disiplin ilmu yang lain telah bersebati dan sering mempengaruhi diri mereka. Oleh itu persoalan-persoalan tentang SC yang muncul semakin rencam dan telah nampak akan kelainannya. Persoalan-persoalan ini adalah berbeza sangat dengan apa yang ada ketika saya masih menuntut dulunya.

Dalam tulisan ini dan tulisan-tulisan seterusnya, saya cuba menyingkap latar belakang perkara tersebut hingga boleh berlaku dari masa ke masa. Hal ini demikian melibatkan sejak masa saya memegang kelas latihan di cawangan lagi hingga sekarang. Saya juga turut menyentuh bentuk-bentuk persoalan yang sering timbul dan masih timbul hingga kini. Mungkin kita boleh bertukar-tukar pandangan dan pendapat dalam persoalan-persoalan itu berdasarkan pemikiran dan kefahaman saya selama berada dalam SC.

Masa berganti masa. Silat Cekak terus berkembang. Suatu masa yang lalu, ketika saya di cawangan, perkembangan SC semakin pesat. Banyak pusat pengajian tinggi membuka pusat latihan SC. Seingat saya, ketika saya masih berada di Kula Lumpur, perkembangan SC di universiti ialah pertamanya di Universiti Malaya dan diikuti oleh ITM dan seterusnya UPM, UTK dan diakhiri UKM. Saya tidak menafikan betapa ahli-ahli yang mempelajari SC di pusat pengajian , ramai yang memberi sumbangan besar pada perkembangan SC di seluruh Malaysia.

Selesai belajar maka mereka akan balik ke negeri masing-masing. Oleh sebab minatkan SC, kesinambungan untuk meneruskan perjuangan dilakukan di cawangan. Di peringkat awal tentunya mereka menghadapi masalah penyesuaian. Kedatangan mereka telah memberi kesan kepada perkembangan SC di cawangan. Pengaruh mereka juga mula meresap ke cawangan sama ada dalam aspek pentadbiran atau aspek persilatan. Kadang kala terdapat percanggahan antara amalan baru yang dibawa mereka dengan amalan yang sedia ada. Jika tiada penyesuaian maka cabutlah mereka.

Pengajaran SC di cawangan saya adalah tanpa adanya sebarang kawal selia daripada pusat. Saya telah diberi kepercayaan untuk membuka kelas dan menurunkan ilmu yang ada. Tanggungjawab ini berterusan dari tahun ke tahun melalui pelantikan sebagai Jurulatih. Tauliah sebagai Jurulatih tidak berkehendakkan kita membuat ujian sama ada kita masih layak atau tidak.

Ketika kita berada di cawangan, peranan sebagai Jurulatih adakalanya menjawat jawatan Penyelia Kelas. Penyelia Kelas juga selalunya adalah merupakan seorang Jurulatih yang lebih senior. Aktiviti silat di cawangan adalah tanggungjawab sendiri. Kadang kala kita berada keseorangan di cawangan. Jatuh bangun atau maju mundurnya cawangan ada kaitan dengan daya atau anisiatif kita. Guru hanya datang untuk menunaikan kewajipan ijazah silat.

Mutu pengajaran kita sama ada tinggi atau tidak, sukar diukur dengan jelas. Namun begitu, betapa kehebatan kita memimpin cawangan mungkin boleh diukur melalui mutu silat yang ada pada penuntut. Ukuran tersebut dapat dilakukan melalui ujian sijil rendah atau pertandingan pertunjukan. Boleh juga kedua-dua acara itu dijadikan kayu ukur untuk menentukan pengajaran kita mencapai standard atau tidak. Walaupun mungkin ukuran itu tidak tepat tapi itulah ukuran yang ada dan baik untuk digunakan. Lagi banyak pingat yang dibawa daripada pertandingan maka lagi baiklah kesannya pada pengajaran kita. Begitu juga dalam ujian untuk mendapatkan sijil. Kalau kesemua peserta lulus dan ramai yang mendapat kepujian maka impaknya juga memberi kesan pada mutu pengajaran kita. Perkara pastinya, kualiti pesilat yang kita lahirkan ada kaitan dengan kualiti kita sendiri. Kehebatan kita boleh dipancarkan melalui mereka. Oleh itu Jurulatih perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sangat luas mengenai SC. Kehebatan anak murid kita banyak bergantung pada kehebatan kita.

Penghijrahan generasi baru pelajar-pelajar universiti ke cawangan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kedatangan mereka adalah bersama idea-idea baru dan gerak-gerak silat yang baru. Mungkin saya ketinggalan zaman atau mungkin juga saya tidak mengikuti perkembangan. Nampak sangat telah berlakunya perubahan. Sekurang-kurangnya perubahan dari segi penekanan pelajaran.

Setelah lebih sepuluh tahun membuka cawangan, kedatangan mereka di tempat saya semakin ramai. Ketika berlatih, nampak sangat perbezaan pembawaan mereka dengan latihan yang sedia ada. Kerap kali saya tergamam. Walaupun nama buahnya tidak berbeza, penekanan pada buah-buah tersebut amat ketara kelainannya. Hal yang demikian mungkin kerana pengajaran silat di tempat saya ada strategi dan ada fokasnya. Fokas dan strategi ini tidak sama dengan kelas-kelas lain. Saya telah sentuh dalam tulisan terdahulu. Penekanan pada pengajaran silat masih berdasarkan pengalaman dan pengalamian saya dalam SC. Saya tidak berminat untuk membuat perubahan dari segi strategi penyampaian dan pembelajaran. Maka jika ingin belajar di tempat saya, mereka perlu ikut strategi saya. Perubahan dan penekanan yang berbeza tentu tidak boleh diterima begitu sahaja.

Saya percaya, pengajaran saya selama ini masih dara dan tidak ternoda. Kesinambungannya tetap ada sejak saya meninggalkan pusat hingga membuka cawangan di tempat saya. Saya tidak pernah cuti untuk berehat walau sebentar pun hingga membolehkan ingatan saya turut rehat dan lupa tentang SC yang saya terima. Prinsip saya ialah apa yang saya pelajari maka itulah yang saya akan ajari. Pelajaran yang saya terima adalah terbukti hebat dan telah saya uji ketika belajar dulu. Melalui usaha-usaha penyuburan ilmu dan kefahaman daripada Ustaz maka keyakinan saya pada pelajaran yang saya ada adalah mantap dan tidak perlu diubah-ubah. Kesinambungan ini perlu diteruskan sampai bila-bila. Itulah pegangan saya.

Minat ‘pendatang’ SC ke cawangan adalah pelbagai. Ramai yang boleh menyesuaikan diri dengan fokas latihan yang ada di tempat saya. Mereka yang sukar berbuat demikian, akan hilang begitu sahaja. Biasanya tidak akan datang lagi ke kelas saya. Apa yang ada dalam hati dan niat mereka, bukan tanggungjawab saya untuk mengetahuinya. Ada, boleh latih bersama. Kalau tiada, tidak memudaratkan apa-apa. Datang tidak diundang, pergi tidak dilarang. Itulah prinsip saya ketika itu.

Di tahap cawangan, di samping kehebatan bersilat, kefahaman anak murid kita tentang SC tetap merupakan tanggungjawab utama kita. Kita berperanan bagi menentukan mereka faham dengan apa yang kita perjuangkan dalam SC. Banyak persoalan yang ditimbulkan mereka. Kita mempunyai pilihan sama ada melayan persoalan mereka atau menafikan jawapan yang diingini mereka. Apa pun setiap tindak tanduk kita akan mempengaruhi mereka sama ada mereka berpuas hati atau sebaliknya.

Di cawangan saya, kita memainkan peranan untuk memupuk kehebatan murid dalam bidang persilatan dan kefahaman dalam silat. Berdasarkan kebolehan yang ada hasil pembelajaran bersama Ustaz Hanafi maka saya curahkan pengalaman tersebut dalam kalangan anak murid saya. Persoalan mereka saya jawab berdasarkan pengetahuan yang ada. Mana-mana persoalan yang tidak dapat saya jawab maka akan dirujuk pada Guru Utama kemudiannya.

Di samping persoalan yang ditimbulkan mengenai gerak dalam SC, para pendatang baru pesilat-pesilat SC daripada cawangan lain terutamanya daripada pusat pengajian tinggi, turut sama membawa persoalan tentang kefahaman baru dalam SC. Selama ini saya berada dalam keadaan selesa. Murid yang saya didik tidak memberi sebarang masalah terutama dari segi menimbulkan pelbagai jenis persoalan. Apa yang diajar maka itulah yang diterima. Keadaan ini sama seperti yang saya alami ketika belajar SC dahulu. Kami tidak mencari persoalan. Sebaliknya kami hanya menimbulkan soalan yang kurang difahami. Apabila mendapat jawapan maka kami terus menerima dan merasionalkan jawapan tersebut berdasarkan kehendak guru yang kemudiannya disemaikan selari dengan pendapat kami.

Kali ini generasi baru yang muncul nampaknya mula berbeza pandangan dan cara penerimaan pembelajaran SC. Kefahaman yang ada tidak mudah diterima mereka. Mereka menimbulkan beberapa persoalan yang selama ini tidak pernah kita fikirkan. Kadang kala berkemungkinan besar persoalan yang ditimbulkan berupa provokasi dan inginkan pandangan yang berlainan. Di cawangan, saya memainkan peranan penting sebagai ketua, pengurus dan pemimpin silat. Oleh itu persoalan mereka tetap saya jawab berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz. Hingga sekarang masih ramai yang inginkan tafsiran saya. Sama ada sesuai atau tidak, bukanlah tugas utama saya ketika ini. Orang bertanya maka saya jawab.

Dalam tulisan seterusnya saya ingin berkongsi bersama dengan para pembaca tentang beberapa persoalan yang sering ditimbulkan oleh penuntut silat generasi baru di tempat saya. Saya tetap berpendapat bahawa pada dasarnya, misi utama bagi setiap murid adalah menguasai pembelajaran fizikal dan kefahaman SC secara bersepadu. Namun begitu, soal kefahaman kenalah ikut kefahaman saya sepanjang mempelajari SC di tempat saya. Berdasarkan sejarah lalu, mereka yang tidak dapat ikut landasan fahaman yang saya bawa maka terpaksalah mereka menjauhkan diri daripada cawangan. Saya tidak berminat untuk bertengkar atau menegakkan kebenaran pendapat yang boleh dilihat dalam pelbagai segi. Hal ini demikian kerana perbuatan tersebut akan membuang masa dan tumpuan semasa pembelajaran SC. Lebih banyak bercakap daripada bertindak adalah merupakan manusia yang sentiasa rugi dalam konteks SC.

Sekian setakat ini.

Friday, March 12, 2010

HARGAI DIRI



Kenangan gambar dalam satu majlis pengiktirafan. Dalam SC, Jurulatih selalu mendapat pengiktirafan. Hal ini demikian kerana Jurulatih memainkan peranan untuk mengembangkan SC. Oleh itu kebajikan mereka perlu dijaga. Namun begitu, soal kebajikan mereka jangan bergantung harap dengan pusat sahaja. Pihak cawangan boleh memainkan peranan supaya turut sama mengiktiraf Jurulatih yang ada.

Walau bagaimanapun, diri kita sebagai Jurulatih jangan terus menerus mengharap pengiktirafan daripada orang lain sama ada kepimpinan pusat atau kepimpinan cawangan. Jalan yang mudah ialah layani diri sendiri. Kalau hari jadi kita, jangan diharap sangat orang lain meraikan kita. Beli kek sendiri, potong kek sendiri dan tiup lilin kalau ada. Selepas itu hadiahkan potongan kek tersebut pada orang lain. Tarik perhatian mereka. Umpama menebar jala. Kalau untung maka akan ada hasil dan pulangannya.

Di cawangan saya dulu, budaya menghargai Jurulatih telah ada. Setiap hujung tahun ada saja pemberian istimewa pada mereka. Merasalah kot dan bush jacket berwarna hijau. Paling koman pun kain pelekat. Belanja makan telah menjadi perkara biasa. Makan di restoran besar atau dalam majlis kenduri di pusat latihan. Kalau di pusat latihan maka masing-masing membawa bekalan. Kenangan sejarah.

Di bawah kepimpinan yang ada, budaya itu masih diteruskan. Malah diluaskan dengan majlis berbuka puasa. Dapatlah ahli keluarga turut serta. Terasa meriah dan boleh beramah mesra. Bila hari raya maka susah nak jumpa. Masing-masing ada kerja. Kalau tak ada kerja pun masih lagi kena kerja.

Walau bagaimanapun tahun sudah dan tahun ini ekonomi kita mulai meleset. Hadiah mula tiada. Tapi azamnya tetap ada. Dengar cerita tahun ini hanya kain batik merupakan hadiahnya. Elok juga. Boleh dipakai sesiapa saja. Kalau tak sesuai maka isteri ada. Kalau tak dibuat baju maka buat kain pun boleh diterima. Tapi saya berazam untuk dijadikan basahan mandi semula. Empat puluh hari lamanya. Badan jadi muda. Gara-gara batik pemberiannya. Angan-angan saja. Adakah hadiahnya lagi.




Selesai pengiktirafan maka majlis bergambar diadakan. Kenangan bersama Guru Utama dan member-member lama. Semuanya muka setia. Tapi tak lama rupanya. Sekarang ini masing-masing dengan halanya. Semua mengatakan bahawa kebenaran ada pada diri sendiri. Itulah kebenaran hakiki yang tak boleh ditukar ganti. SC dah ada banyak laluan. Simpang siur hingga tak ketentuan. Puas kerana diri berasa puas. Puas hati.

Thursday, March 11, 2010

WUJUDKAN KESERONOKAN BERSILAT



Kunjungan ahli-ahli SC dari cawangan lain amat dialukan-alukan. Hal ini demikian akan memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli cawangan yang ada untuk bertukar-tukar pendapat tentang silat. Secara langsung akan memberi motivasi yang sangat tinggi kepada kedua belah pihak.



Kunjungan ahli SC dari luar dengan pakaian yang hebat pasti memberi semangat penuntut SC di cawangan yang menerima mereka untuk terus berjuang dalam SC.


Keseronokan adalah sesuatu yang kita cipta. Kalau kita kata seronok maka seronokanlah yang kita dapat. Sebaliknya kalau tidak kata tak seronok maka tak seronoklah jadinya. Kelas SC adalah kelas pembelajaran silat. Dalam mengejar ilmu pandai silat, kita menghadapi risiko kecederaan, kesakitan, malah kemalangan. Segalanya tak dapat dijangka atau disangka. Cuma, kemalangan yang menimpa jangan dikaitkan dengan sesuatu alasan atas kelebihan atau kekurangan kita atau kepemimpinan kita. Elakkan perbuatan syirik.

Keseronokan yang diwujudkan dalam kelas bukan bermakna perasaan riang yang diiringi dengan helai ketawa yang memanjang. Keseronokan ada kaitan dengan kepuasan. Murid puas bersilat dalam masa yang diuntukkan. Manakala Jurulatih berasa puas kerana ilmu silat yang diperturunkan dapat diaplikasi dengan sempurna oleh muridnya. Bila kepuasaan timbul maka itulah keseronokan yang diperoleh dalam konteks mengejar ilmu atau menurunkan ilmu persilatan dalam kelas silat. Jelaslah bahawa keseronokan itu adalah kepuasan. Kepuasan itu adalah merupakan satu keseronokan.

Dalam tulisan ini saya cuba bincangkan pengalaman kewujudan perasaan puas ketika bersilat sama ada sebagai pesilat atau sebagai Jurulatih. Bolehlah dijadikan panduan buat penyelia kelas atau Jurulatih yang ada. Perlu ditegaskan, konsep keseronokan yang ditulis adalah berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui. Di samping pengalaman sendiri, daripada perbualan dengan pesilat yang menuntut SC, dapat diketahui apa yang menyebabkan mereka berasa seronok ketika pembelajaran silat.

Penuntut akan berasa puas apabila Jurulatih mengajar SC dengan sepenuh hati. Konsep sepenuh hati hanya dapat dirasai oleh para penuntut. Sepenuh hati pastinya berkait rapat dengan hati. Keikhlasan dan kesungguhan mereka mengajar akan dipancar melalui air muka dan perbuatan yang mereka lakukan. Jurulatih itu selalu membina keyakinan pada para penuntut yang agak lembab daya ingatan dan daya perbuatan. Kata-kata, ‘Tak apa’ ‘buat pelan-pelan’, ‘lama-lama akan dapat’, dan sebagainya akan memberi keyakinan penuntut untuk terus mencuba sehingga dapat kuasai gerak sebenar.

Jurulatih sentiasa mengamalkan pendekatan yang membina, memandu dan bukannya menghukum. Kata-kata menghukum penuntut adalah seperti penggunaan istilah ‘benak’, tak reti-reti’ atau perkataan seumpamanya. Kata-kata tersebut sama ada dilahirkan secara keras atau secara melawak, tetap akan mendatangkan kesan pada jiwa mereka. Pernah berlaku pada mereka yang berasa diri terhina, meninggalkan pengajian SC buat selamanya.

Penuntut yang rajin berlatih dan berasa dirinya melakukan gerak silat dengan betul, tersangat suka diuji. Ujian adalah satu medan padanya untuk membuktikan kehebatan bersilat. Hal ini demikian akan menjadi satu daya yang boleh merangsangnya untuk terus bersilat. Saya sendiri suka diuji. Ketika menuntut dulu, sering saya ungkapkan ayat, “Saya buat ni betul ka!”
Maka persoalan saya dijawab,”cuba buat.”.

Apabila Jurulatih tersebut menumbuk dan saya membuat gerakan buahnya, setelah dikomen maka amat memuaskan hati saya. Kalau komennya membenarkan perbuatan saya, lagi saya puas hati. Kalau komennya membetulkan gerak yang saya buat maka saya juga berasa puas kerana terjawab persoalan yang ada. Semasa saya menjadi Jurulatih, saya selalu menguji para pesilat ketika mereka sedang berlatih sesama rakannya. Jadilah mereka pasangan silat saya. Sudah pasti kita boleh merangsang mereka secara memudahkan mereka membuat buah. Secara langsung akan terbina keyakinan pada mereka. Tambahan pula tentunya mereka berasa puas kerana dapat berlatih bersama Jurulatih.

Ujian formal dilakukan sebaik sahaja selesai satu-satu bentuk pelajaran. Misalnya, setelah selesai pelajaran kaedah, sebelum diajar buah asas maka penguasaan kaedah diuji pada satu hari pembelajaran silat. Semua Jurulatih dan pembantunya akan turun bersama. Ketika itu penguji diingatkan terlebih dahulu supaya menekankan unsur-unsur membina keyakinan dalam kalangan penuntut. Jangan langsung ada perasaan baran, marah, geram atau sebarang bentuk sifat negatif. Paling penting sekali, jangan ada perasaan seolah-solah menganggap pesilat pula cuba menguji Jurulatih.

Kedatangan orang-orang luar SC boleh merangsang minat pesilat kita. Semasa saya mengajar SC di cawangan saya, kerap kali saya menjemput Jurulatih luar datang ke kelas. Jurulatih luar bermaksud Jurulatih SC daripada cawangan lain. Pastinya mereka adalah kenalan rapat saya. Maka kedatangan mereka bukan kerana ingin menonjolkan diri tetapi ikhlas untuk membantu saya membangunkan kehebatan pesilat cawangan saya. Pernah juga saya memberi peluang kepada mereka menurunkan pelajaran untuk hari tersebut. Malah pernah juga ujian formal diambil sepenuhnya oleh Jurulatih luar tersebut.

Saya juga dijemput ke pusat latihan mereka untuk membantu Jurulatih di sana. Semuanya dilakukan semata-mata untuk membangunkan kehebatan penuntut SC. Walaupun pada zahirnya mereka berada dalam cawangan yang berlainan, hakikatnya mereka adalah ahli SC yang bergurukan satu iaitu Guru Utama. Pada saya, walaupun semangat kekitaan dalam satu-satu pusat latihan amat penting, akan tetapi kualiti pesilat SC secara keseluruhan adalah merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira kelas mana.

Saya tidak menghalang orang-orang luar yang bukan ahli SC, datang berkunjung ke tempat saya. Malah saya sambut mereka dengan memberi penerangan tentang SC. Saya membenarkan mereka melihat latihan silat kami. Sudah tentu latihan kami hanya terhad setakat buah jatuh. Kedatangan mereka juga memberi kesan pada para penuntut. Mereka akan berlatih dengan bersungguh-sungguh. Secara langsung akan menghebatkan penguasaan silat mereka sendiri. Kalau hari itu berkaitan pelajaran buah potong, apabila tiba masa pelajarannya maka saya akan minta izin supaya mereka beredar meninggalkan kami. Tentunya cara menyuruh mereka pergi akan dilakukan secara baik dan secara diplomasi.

Semasa pelajaran buah potong, timbul sedikit masalah. Pusat latihan cawangan saya tidak ada dinding. Terpaksalah kereta-kereta ahli digunakan secara parking berkeliling tempat latihan. Satu peristiwa yang tak dapat dilupakan ialah beberapa orang termasuk saya yang keluar ke pekan waktu lewat malam kerana mencari kain rentang yang telah luput tarikh pelaksanaannya. Kain-kain rentang itu digunakan sebagai dinding ketika pelajaran buah potong. Bermacam corak warna dan tulisan mengelilingi kelas latihan kami semasa pelajaran buah potong.

Apabila ada jemputan luar daripada cawangan SC kami, maka saya akan ambil peluang untuk turut serta. Jemputan tersebut sama ada membuat pertunjukan atau menyertai aktiviti-aktiviti lain. Penyertaan kami memberi kesan menang menang. Pada mereka yang menjemput akan berasa puas atas kunjungan kami kerana hal yang sedemikian akan melahirkan hubungan baik sesama ahli SC yang berlainan cawangan. Dalam kalangan ahli kami, penyertaan aktiviti di cawangan lain telah melahirkan satu bentuk motovasi dalam diri kalangan penuntut. Hubungan antara jurulatih dan pesilat semakin erat. Hubungan baik ini memudahkan proses penyampaian ilmu SC dalam kalangan mereka ketika kelas berlangsung.

Selain daripada itu aktiviti pertunjukan merupakan satu program yang menyeronokkan ahli. Mereka dapat meluahkan gerak terpendam. Latihan diadakan selepas kelas latihan silat. Secara langsung minat mereka pada SC semakin kuat dan semakin bertaut. Tautan ini tidak memudahkan mereka meninggalkan kelas SC.

Ujian bagi mendapatkan sijil juga boleh dijadikan satu dorongan kepada para pesilat untuk berlatih. Walaupun konsep ujian kurang saya setujui, tetapi saya tidak pernah melarang para penuntut mengambil ujian sijil SC. Ujian menjadikan para penuntut silat bermatlamat dan mempunyai hala tuju dalam silat. Di situ juga boleh diletakkan konsep keputusan silat. Kejayaan mendapatkan sijil turut memberi bentuk kepuasan kepada mereka.

Banyak cara lain yang boleh kita lakukan bagi mewujudkan suasana keseronokan dalam kelas latihan silat kita. Perkara pentingnya ialah mereka yang menuntut SC dapat menguasai semua pelajaran berkaitan dengan SC. Di samping kuantiti, jangan lupa kualiti murid yang kita lahirkan.

Sekian.

Tuesday, March 9, 2010

HILANG KOPERASI


Semasa Ustaz berucap, semuanya memberi tumpuan. Macam faham sesangat. Nampak semacam ikatan yang kukuh bagi perkembangan hebat SC seterusnya. Namun, kerana kepentingan diri, kita rela menafikan salah satu perdu perjuangan Ustaz dalam SC iaitu koperasi Gerak Jaya.

Kedai yang menjadi tonggak koperasi, difahamkan akhirnya menjadi milik peribadi. Saham kita entah ke mana. Bukan maksud dikatakan penyelewengan. tetapi semuanya gara-gara pepecahan sesama kita. Pepecahan yang tidak boleh ditahan-tahan lagi. Ada saja alasan kalau tetap nak pecah. Tak ada alasan maka cari alasan.

Kita sendiri menafikan keinginan Ustaz yang selama ini kita fahami. Bukan mencari siapa yang salah. Cuma gambar ini sebagai kenangan yang kita tetap berpecah. Satu catatan sejarah.

Monday, March 8, 2010

KENANGAN BERGAMBAR BERSAMA



Semasa proses penyebaran SC di Universiti Malaya pada 1975, semua ahli berdiri teguh bersama Ustaz Hanafi. Di situlahlah buat pertama kalinya SC berjaya bertapak di universiti. Hasil usaha saya bersama Pak Abu yang membuka jalan ke arah memperkenalkan SC di universiti. Majlis penerangan telah kami anjurkan bersama. Perbelanjaan mengadakan pertunjukan dan jamuan adalah juga di bawah urusan kami. Teruk juga sebagai pelajar untuk membiayai dan menganjurkan majlis tersebut. Tapi Pak Abu banyak duit. Biasiswanya amat tinggi ketika itu.

Untuk menganjurkan majlis penerangan bukannya senang. Banyak pancarobanya. Ketika itu saya juga adalah AJK persilatan yang sedia ada di universiti tersebut. Ada satu perkara lucu yang tidak dapat saya lupakan. AJK silat berkenaan telah terhidu akan adanya usaha untuk membawa masuk silat Melayu yang lain di universiti itu. Maka dipanggillah satu mesyuarat jawatankuasa silat bagi menyusun strategi mengadakan sekatan. Pelbagai cara dibincangkan. Saya yang juga ahli jawatankuasanya menjadi tersangat resah dan serba salah. Membatu diri dan tak berani bercakap. Takut juga tembelang pecah. Susah jadinya. Banyak cerita. Terpaksalah hanya menggunakan bahasa anggukan tanpa bersuara.

Apabila diketahui angkara saya, geram dan marahnya mereka tidak kepalang. Lebih teruk lagi, silat mereka semakin layu begitu saja kerana semakin lama semakin kekurangan ahli. Nak balas dendam pada saya, tentu risau juga di hati mereka. Modal silat mereka saya memang tahu. Tapi modal silat saya yang baru, mereka tak tahu.

Teringat satu peristiwa yang haru biru di depan perpustakaan. Saya berselisih dengan pemimpin mereka. Dia menegur dengan kata-kata sinis lebih kurang begini, ”Hai Cekak! Apa macam.”

Saya terasa dan spontan menjawab, ”Macam-macam. Ahli kau dah tinggal berapa orang.”

Bukan main melentingnya. Terus meluru ke arah saya. Tapi sayapun dah bersedia. Tak jadi apa-apa sebab sambil meluru, mulutnya macam keling karam. Ramai yang menahannya daripada menghampiri saya. Saya terus beredar. Satu ketika berlalu, namanya ada terpampang dalam akhar sebagai wakil rakyat di satu kawasan. Wakil rakyat yang panas baran. Terfikir di hati. Macam mana agaknya memimpin orang. Diri sendiripun tak terkawal perasaan.

Kelihatan juga dalam gambar bersama Ustaz, tokoh-tokoh yang beralih angin dan tokoh-tokoh yang telah luput waktunya. Ketika itu di hati mereka tidak ada siapapun yang percaya akan berlaku perebutan kuasa sesama mereka. Samalah agaknya dengan suasana semasa Sang Nila Utama membuka Singapura. Siapa sangka akhirnya Lee Kwan Yu yang berkuasa di negara yang banyak singa tersebut.

Dalam kalangan mereka yang bergambar tersebut, ada yang sama-sama menuntut di universiti yang sama. Senior saya. Tapi tak boleh buat majlis penerangan pun. Kena tunggu kehadiran saya di sana untuk membuka kelas SC. Harapkan usaha mereka, tak nampak laranya. Tapi dalam penerangan mengenai mereka, merekalah yang telah berusaha dan berjaya membuka cawangan di tempat saya. Tak payah keluar ringgit belanja. Lembu punya susu, lintah dapat nama. Strategi mengena. Sekarangpun sama. Sifat dah ada. Ke mana perginya kuah kalau tak tumpah ke nasi.

Patutlah nama saya dan nama Pak Abu tak pernah timbul sebagai pengusaha membuka kelas di Universiti Malaya. Orang lain mendapat pingat kerana membuka kelas di universiti tapi saya melopong mendengar saja berita. Itulah sebabnya salah satu faktor pemberian pingat berjasa saya tolak. Tak sudi nak ambilnya. Tapi dipaksa ambil secara tiba-tiba apabila disemat oleh Mufti negeri. Bukannya guru yang menyemat pingat.

Bila tiba giliran pingat setia, rasa meluat tetap tiba. Tawaran ditolak kerana malas dan buang masa nak ambilnya. Dalam kalangan mereka yang lain, tersenyum indah menerima pingat setia. Akhirnya jadi tak tentu hala. Amanah guru dilawan mereka. Tapi saya rasa, diri saya lebih hebat daripada mereka. Bukan cakap besar tapi cakap benar. Namun ada juga ’geng’ saya beralih angin kepada mereka. Rela ’down grade’ diri sendiri. Aparahhh.

Ada yang telah jadi arwah. Kebanyakan mereka daripada kelas Sungai Way yang banyak sejarah seperti yang telah saya cerita. Ditumbuk jatuh, menumbukpun jatuh. Dalam kalangan mereka tersebut terdapat pesilat besar dari persilatan lain yang bertaraf tinggi tapi menjadi penyokong utama SC di bawah kepemimpinan Ustaz. Pemimpin besar Gayung dan Terlak. Semuanya mempunyai pengalaman silat yang menarik. Sempat juga saya berkongsi pengalaman mereka buat pengetahuan dan pengajaran diri.

Dalam gambar itu, ada juga yang bercita-cita menjadi guru setelah Ustaz meninggalkan kita. Semuanya ada tiga. Dua gagal tapi seorang berjaya. Seorang yang berjaya itu sekarang ini jadi guru sebelah sana. Yang gagal kelihatan berkaca mata hitam pekat. Agaknya itu sebab lorong menjadi guru tak nampak. Salah seorang daripada yang gagal tersebut pernah mempunyai pengikut. Termasuk yang paling tinggi dalam gambar yang ada. Saya pernah ’diculik’ mereka. Semata-mata untuk mendapatkan sokongan. Peristiwa berlaku di zaman Pak Ak. Dikatakan pada saya. Pada Pak Ak hanya ada sarungnya. Senjatanya pada dia. Pak Ak tak layak menjadi guru. Saya tak kata apa-apa. Tapi kalau sekarang pasti saya tanya. Sarung jenama apa ye!.

Manusia itu sebenarnya tidak bahaya kerana berada di luar persatuan. Jadilah beliau umpama anjing menyalak bukit. Nasib baik bukit tak runtuh. Kalau runtuh maka mati katak akhirnya. Tapi nampaknya yang bahaya ialah manusia yang inginkan jawatan tapi berada dalam persatuan. Susah dikawal.

Bekas setiausaha yang masih bergiat dalam drama ketika ini ada kelihatan sama. Banyak jasanya dalam perkembangan SC di peringkat awal. Pernah saya ceritakan pengalaman mengajar silat bersama dengannya. Gahnya tetap ada. Pernah ditunjukkan parut diperut yang selari depan dan belakang. Akibat tembusan tembakan ketika peristiwa berdarah Mei yang lalu. Semasa beliau memandu, pantang ada antara kami yang tidur. Dibreknya kereta secara mengejut. Terpaksalah berjaga sepanjang perjalanan daripada UPM ke Kula Lumpur. Nasib baik dekat.

Termasuk yang seorang berkaca mata, dikatakan hebat orangnya. Rambut tak lut dek senjata. Selesai mandi silat, terbang segala ilmu karut yang ada. Tapi baju dan seluar tetap ada. Maka teruslah melekat apa yang sepatutnya ada.

Alangkah hebatnya SC jika kesemua mereka yang masih hidup tersebut terus bersatu untuk memajukan SC. Ketika itu, agaknya itulah azam, pandangan dan pegangan mereka. Kepentingan belum ada. Masih belum cukup umur atau masih belum matang agaknya. Tapi segala-galanya telah berubah. Umur sudah cukup. Mimpi tanda matang telah ada. Berdayunglah mereka. Dari jumlah yang bergambar tersebut hanya saya, Pak Abu dan Yang, masih setia dalam landasan perjuangan ustaz Hanafi. Mereka yang lain terus juga berjuang dalam SC. Tapi landasan yang lain dan bermoto hak masyarakat.

Kadang-kadang terlintas di kepala atas. Kalau Ustaz masih hidup adakah Ustaz merestui tindakan mereka yang telah durjana. Opp!. Baru saya tersedar daripada mimpi. Nasib baik tak terkeluar. Lega. Kalau tidak membazir sahaja.

Sekian saja kenangan saya buat perkongsian bersama. Perkongsian atas gambar yang ada.

Sunday, March 7, 2010

TETAP PENDIRIAN


Ijazah SC bukan perkara enteng. ijazah mengikat janji setia yang dikrarkan pada guru yang akan memandu kita. Mana mungkin ikrar boleh diubah dengan begitu senang sahaja. Orang jantan cakap sekali. Tapi ramai yang dah jadi betina.

TUNAIKAN JANJI


Saya tetap tunaikan pesanan Ustaz. selagi bergerak dua tangan dan dua kaki maka saya tetap dalam perjuangan SC. Tapi perjuangan mana. Perjuangan yang direstui oleh Ustaz melalui mandat yang sah.

Friday, March 5, 2010

PERENCAH TETAP PENDIRIAN.

Selalu saya katakan betapa orang kanan guru amat banyak mendatangkan kemudaratan apabila bertindak secara tidak jujur. Ketidakjujuran ini berkaitan dengan kepentingan diri. Kepentingan diri menyebabkan semua yang terpancul dari mulut tidak menunjukkan keikhlasan. Lagak mereka lebih bersifat pembohong dan penipu yang amat besar. Namun begitu kita jangan tersilap sangka. Takutkan bencana maka perkaitan dengan guru dipandang remeh. Sepatutnya kita berasa bertuah apabila ada kesempatan berhubung rapat dengan guru. Dalam konteks silat, guru dan silat adalah bersepadu.

Hubungan rapat dengan guru adalah merupakan perencah utama bagi memudahkan kita menetapkan pendirian. Adatnya, kita melibatkan diri dengan silat adalah bersabit dengan gurunya. Saya sendiri melibatkan diri dengan SC kerana tertarik dengan perwatakan Ustaz. Begitu juga rasanya sekarang. Penglibatan penuntut SC ada kaitan dengan gurunya. Kalau guru silat itu sendiri tidak ada kewibawaan mana boleh silatnya menarik perhatian. Peranan guru tetap ada berkatnya. Pastinya keberkatan ini ada kaitan dengan mandat sah yang diterima. Tanpa mandat mana ada bisanya sebagai guru. Oleh itu guru tidak boleh dipisahkan dengan silatnya. Kalau silat diambil maka gurunya mesti dibela. Kalau silat diambil manakala gurunya diketepikan maka itulah perbuatan biadap namanya. Guru ini bertali arus dan ada pancarnya. Mana boleh anak diambil, tuan punya anak itu ditendang begitu rupa. Haprak punya menantu.

Waktu zaman Ustaz, semua mengakui betapa mereka yang rapat dengan guru mesti ada kelebihannya. Guru yang hebat pasti membawa barkat. Kata Tok Guru, jika kita berkawan dengan pembuat minyak wangi maka pasti wanginya akan meresap pada kita. Manakala jika kita berkawan dengan tukang besi, bau yang tidak menyenangkan akan melekat di tubuh kita. Apatah lagi jika guru yang kita rapat mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri. Cuma peranan kita perlulah memupuk perasaan ikhlas bersama guru. Hanya diri yang boleh mentafsir perasaan ikhlas tersebut. Jangan ada sebarang rasa curiga yang membolehkan hubungan kita dengan guru tercemar.

Perencah utama yang lain ialah diri kita mesti merdeka. Merdeka erat kaitannya dengan maksud bebas dalam dunia pemikiran persilatan kita. Jangan terikat dengan sesiapa melainkan atas kehendak guru kita. Dalam silat, hanya guru yang berkuasa. Pihak lain jangan diiktiraf kuasa mereka jika mereka mengada-ngada. Berhati-hati jika fikiran mereka tak sama langsung dengan kita. Fikiran yang tidak tentu hala. Fokasnya tiada. Kepentingan diri lebih utama. Kita perlu sedar betapa istilah merdeka erat juga kaitannya dengan istilah kepentingan. Kepentingan ini juga adalah pelbagai. Jika niat telah ada dalam pemikiran mereka, pasti mereka akan menyusun strategi bagi mendapatkannya. Lebih hebat lagi jika kepentingan tersebut ada kaitannya dengan kehendak kuasa dalam persatuan. Merekalah golongan yang selalu saya sifatkan sebagai golongan pembohong. Lain di mulut dan lain di hati. Tulunjuk lurus, kelingking berkait. Berwaspada ketika bersama mereka.

Oleh itu pegangan mantap perlu ada. Pengangan ini berbeza-beza berdasarkan bidang-bidang yang ada. Kalau bidangnya berkaitan dengan institusi perguruan, jangan lupa istilah mandat. Mandat adalah merupakan punca kuasa kepada guru untuk melakukan apa saja dalam bidang silatnya. Berada bersama En Mat, kita akan nampak aliran mandat sebagai guru utama. Sepancar dengan Ustaz Hanafi. Seperti yang dikata, di sebelah CM, ternampak mandat yang tak tentu hala. Di sebelah anu, kuasa guru silat juga tak tentu puncanya. Ramai tertanya-tanya, pancar mana yang akan menggantikannya. Tapi mereka cekap. Cepat-cepat mengatakan mandat guru memang tiada. Mandat silat adalah hak masyarakat. Guru Wawasan adalah pemimpin masyarakat. Bila teringat masyarakat maka teringat pulak pelawak Cha Cha dalam rancangan Raja Lawak. Perkataan masyarakat telah menjadi jenamanya. Pelawak juga intilek silat mereka.

Saya yakin dengan pendirian saya kerana sifat yang sentiasa mengamalkan SC sama ada fizikalnya atau fahamannya. SC banyak membentuk sifat dan sikap saya. Ada ulu ada parang. Ada dulu maka ada sekarang. Saya yakin pemikiran saya pada SC tidak pernah berubah walaupun masa berganti masa. Penglibatan saya selama ini dalam SC penuh dengan kesabaran. Faktor kesabaran juga adalah perencah utama untuk menentapkan pendirian. Walaupun pernah tersingkir daripada pelbagai jawatan, saya tetap saya. Saya sedar betapa manusia toksid sentiasa ada sekeliling kita. Manis di mulut tapi pahit di hati. Jarum adalah senjata utama mereka. Dicucuklah pada bahagian manusia di sana sini. Bila manusia itu dicucukkan dadah maka hilanglah ingatan seketika. Mengambil tindakan ikut suka. Semuanya gara-gara manusia toksid yang suka bermaharaja lela.

Apapun saya yakin bahawa Tuhan sentiasa anugerahkan kita akal untuk membuat keputusan. Buatlah keputusan dalam prinsip memahami erti kemerdekaan dalam SC. Hal yang demikian adalah perencah juga untuk menetapkan pendirian kita. Tapi janganlah hendaknya keputusan itu bersandarkan pada alasan yang remeh temeh. Jadikan perjuangan hakiki dalam SC sebagai tiang serinya.

“Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan,
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Mensesuaikan dengan makna Kemerdekaan.”


Sekian setakat ini.

Wednesday, March 3, 2010

TETAP PENDIRIAN

Kini saya tetap bersyukur kerana masih meneruskan perjuangan dalam SC. Janji saya dengan ustaz masih dapat dipertahankan. Selagi bergerak dua tangan dan dua kaki maka saya akan terus berada dalam perjuangan SC. Itulah janji saya yang tidak mungkin berkubur begitu saja melainkan dikuburkan oleh pihak berkuasa. Sudah lebih tiga puluh tahun saya berkecimpung dalam SC. Hati berasa puas tanpa timbul kekesalan yang jitu. Ramai yang ingin tahu rahsia saya yang masih dapat bertahan dalam usia berkecimpung yang begitu lama.

Pada peringkat awal, penglibatan dalam SC adalah kerana bidang persilatannya. Pencarian saya pada silat telah berakhir apabila saya melibatkan diri dalam SC. Proses penglibatan agak menarik dan telah diceritakan dalam tulisan terdahulu. Saya tetap berasa bangga kerana masih berupaya meneruskan perjuangan dalam usia yang sebegini. Rupa-rupanya di sebalik silat, ada banyak lagi ilmu yang sangat berguna untuk mengisi kehidupan kita. Diharapkan generasi seterusnya juga akan terus berjuang dengan penuh taat dan tekun.

Cuma konteks perjuangan saya ketika ini adalah berbeza. Kalau dulunya pengertian perjuangan pada saya ialah menyebarkan SC seluas mungkin untuk berkongsi ilmu dalam kalangan masyarakat. Kini makna perjuangan disesuaikan dengan suasana. Faktor usia dan masa telah banyak mempengaruhi perjuangan saya dalam SC. Maka perjuangan saya ialah menurunkan segala pengetahuan yang saya tahu dan yang saya ada buat perkongsian dengan genarasi baru. Itulah sumbangan yang boleh diberikan. Pastinya pengalaman dan pengalamian yang saya lalui adalah bersandarkan pengalaman dulu-dulu. Walau bagaimanapun sekali air bah maka sekali lantai berubah. Banyak hal yang telah berubah. Sesuaikanlah dengan apa yang ada. Yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan.

Sama ada perkara yang saya bincangkan sekarang masih releven atau tidak, bukan persoalan utama. Mereka yang membaca bolehlah membuat penilaian sendiri untuk menambahkan pengetahuan. Tapi jangan lupa. SC tetap ada tuannya. Tuannya adalah guru yang sah dan sedia ada. Kuasa mutlak adalah terletak di tangannya. Hala tuju SC ada kaitan dengan visi dan misi guru yang ada. Tugas kita adalah menyokong penuh segala pelangkahnya. Lebih-lebih lagi jika kita ada profesyen yang tertentu. Tumpukan saja dalam bidang profesyen kita. Biarlah guru dengan profesyen silatnya. Tapi ramai penjawat jawatan lain yang mengada-ngada. Golongan luput waktu pun tidak kurang hebatnya. Semua perkara hendak dibolotnya. Macam pandai akan semuanya dalam semua perkara dalam dunia.

Sebagai pendokong SC, jangan timbulkan isu dalam banyak perkara. Bukan masanya sekarang kita berbuat demikian. Persaingan kita masih terbuka. Strategi utama perlu ada. Kerap kali strategi akan menentukan pencapaian objetif yang diinginkan. Oleh itu, jangan timbulkan sebarang sengketa. Jika banyak persoalan yang ditumbulkan maka juga adalah bentuk sengketa. Jangan banyak membuang masa. Tapi, hal yang demikian hanya boleh berlaku jika kita masih tetap pendirian dalam perjuangan SC.

Istilah pendirian ada yang mengaitkan dengan istilah istiqamah. Kebiasaannya, istilah istiqamah adalah istilah agama. Tetapkan pendirian kita dengan Tuhan yang ada. Jangan diri berasa sangsi. Namun begitu ada juga manusia yang berminat mengaitkan istilah itu dengan dunia persilatan. Itulah makam hebat yang ada pada mereka. Pada saya memadailah kita beristilahkan tetap pendirian dalam konteks persilatan. Cukup untuk membuktikan siapa kita dan di mana kita berada.

Menetapkan pendirian dalam SC bukannya payah. Tapi ada juga payahnya pada mereka yang tiada arah. Saya pernah menyentuh isu ini dalam tulisan terdahulu. Penetapan pendirian memerlukan ilmu. Semestinya ilmu itu perlu berkisar dalam konteks persilatan kita. Ajaran yang pernah diasaskan oleh Ustaz Hanafi hendaklah diambil kira. Tapi ramai yang berkata-kata. Bagaimana jadahnya mereka yang menerima pengajaran daripada guru yang sama boleh bercanggah pendapat sesama mereka. Mungkin banyak faktornya. Saya dapat rasa apabila dibandingkan dengan pendirian saya.

Setelah berkecimpung sebegitu lama dalam SC, saya yakin sentiasa berada dalam landasan yang betul. Cabang SC yang pelbagai tidak pernah mempengaruhi saya. Pendirian telah ada. Mana mungkin berubah begitu mudah saja. Jika berlaku juga, maka sia-sialah penglibatan saya selama ini dalam SC yang begitu lama. Saya rasa banyak masa yang saya luangkan dengan mantan guru utama. Saya yakin bahawa saya faham akan hala tujunya. Saya faham kehendaknya dan saya faham akan harapannya. Maka landasan yang saya lalui pastinya landasan yang menuju ke arah kehendak, fahaman dan harapan Ustaz.

Oleh sebab saya berada dalam landasan tersebut dari sejak awalnya maka tentunya berbeza dengan mereka yang bersama di pertengahan jalan. Namun begitu ada antara mereka yang bersama sejak awal dalam satu landasan, tapi telah tukar haluan. Banyak perkara yang mereka tidak tahan. Godaan nafsu pasti menjadi alasan. Dalam hal ini saya berkeyakinan penuh dengan pendirian saya. Saya berpendapat, untuk menetapkan pendirian perlu ada ramuannya. Ramuan tersebut telah menjadi perencah saya. Mungkin boleh kita kongsi bersama.

Kita sambung lagi.

Monday, March 1, 2010

MENERUSKAN KESINAMBUNGAN

CATATAN PENGALAMAN (10)

SC semakin berkembang pesat. Sebelum berpecah kepada tiga, gahnya amat ketara. Semua orang asyik memperkatakan kita. Silat hebat dan organisasinyapun hebat. Lama-lama, muncul generasi baru yang berlainan pengalamannya. Ramai antara mereka yang tidak merasai pahit getir dalam usaha menyebar dan membangunkan SC. Pengalaman mereka banyak yang berasas akan apa yang tersedia. Malah murid yang dilahir pun mungkin tidak sama fahamannya walaupun guru yang sama.

Saya akui betapa umur saya pun semakin bertambah. Tenaga semakin kurang. Masa semakin terhad. Urusan diri sangat susah untuk disesuaikan dengan masa yang ada. Perubahan pucuk pimpinan di peringkat pusat secara langsung menuntut agar wujud juga perubahan dalam kepimpinan tempatan. Maka saya berpendapat, pembantu saya yang sefaham dan sekepala dengan saya perlu ada. Tenaga muda harus dicari. Harapan saya akan berterusanlah kesinambungan pembelajaran SC di cawangan saya dari dulu hingga sekarang. Dari zaman Ustaz Hanafi hingga ke zaman guru yang ada. Pastinya kesinambungan ini harapannya hanya di cawangan saya. Saya yang mengasaskan SC di cawangan saya. Adatnya, tanpa saya dan rakan-rakan setia yang ada, tak akan SC sedemikian rupa di cawangan saya. Entah apa-apa feelnya. Tentu berlainan dengan apa yang ada.

Saya mula mendidik barisan pelapis bagi membantu tanggungjawab yang diamanahkan guru kepada saya. Bukan senang untuk berbuat demikian. Kebiasaannya, apabila cukup masa, akibat tuntutan keluarga mereka yang dilatih mungkin akan menghaibkan diri. Lesen kecil. Tidak ada yang sanggup untuk mengambil alih tugas sepenuhnya bagi terus menerus memperjuangkan SC di cawangan saya. Saya tidak berasa jemu-jemu untuk meneruskan usaha bagi menggilap barisan pelapis yang mahu terima tanggungjawab saya yang ada. Bukan setakat mengurus silat, malah bertanggungjawab mengurus persatuan silat di tahap cawangan.

Kedatangan bekas pelajar universiti banyak membantu dalam perkembangan SC di cawangan saya. Ada yang berminat sangat dengan silat dan persatuan. Bentukpun ada. Kata orang tua-tua, mencari ketua atau pemimpin lihat juga bentuk dan suaranya. Bentuk yang sesuai dan suara yang ada minornya. Bukan suara ‘au’. Saya dah jumpa. Guru yang ada telah merestuinya. Umpama menunggu kelahiran semula pemimpin tempatan yang akan setia. Setia padanya. Ilmu khasaf pasti diguna. Tak salah lagi agaknya. Hubungan belangkas diwujudkan. Pengikut lain pun turut bersama. Sampaikan nama anak diketepikan hak ibu bapa. Kadang kala rasa diketepi. Biar-biarkan. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Anak muda. Biarkan saja.

Maka Ilmu yang berkaitan dengan fizikal semuanya dicurahkan dari masa ke masa. Seiring dengan kebolehan fizikal, aspek kefahaman SC juga disisip dari masa ke masa. Rasanya fahaman mereka juga turut berkembang akibat asakan setiap hari. Dari bulan berganti matahari. Dari matahari berganti bulan. Tidak ada ruginya saya berbuat demikian. SC perlu ada kesinambungan di peringkat cawangan. Cuma diharap jangan menderhaka. Bukan setakat pada guru tapi juga pada puncanya. Ingat akan adab berguru. Selalu Ustaz pesan kepada saya.

Saya masukkan fahaman yang saya terima sepanjang saya belajar SC daripada Ustaz Hanafi. Fahaman silat disisipkan dengan fahaman adat dan adab. Makna kemerdekaan perlu dijiwai sepenuh hati. Jangan mudah diri dipergunakan oleh orang lain yang tidak tahu akan adat dan adab sebenar SC. Pengajaran silat biar berfokas. Strategi pengajaran biar ada. Fahaman silat perlu dijaga. Dengan cara itu kita akan tahu hala tuju dan ke arah mana kita hendak bawa murid kita.

Bila kesediaan telah ada maka mulalah saya berkira-kira untuk mengundurkan diri dalam pengurusan silat yang ada. Seperti dikata, Guru yang ada amat merestuinya. Pandangannya tentu berdasarkan pandangan yang luar biasa. Maka belayarlah pemimpin muda bagi meneruskan kesinambungan SC yang pernah saya bawa. Kesinambungan ini bukan setakat fizikal Silat Cekak sahaja tapi juga fahaman SC yang tua. Jangan mudah mengubah fahaman yang ada. Manusia sekarang lebih suka mengubah tanpa mengetahui asal usul sesuatu perkara. Biasanya kerana kepentingan, tergadai segala. Kepada mereka saya amanahkan untuk pertahankan konsep yang ada. Adakah mereka berupaya berbuat demikian.

Susah dijawab kerana hal yang demikian ada kaitan dengan dada. Tepuk dada tanya selera. Selera adalah nafsu untuk melakukan perbuatan dengan sepenuhnya. Bukan mudah ke faham selera. Di bahagian dada ada buahnya. Perlu melalui buah yang ada. Itulah takuk fahaman yang sedia. Tak sampai kefahaman ke dalam dada. Hanya setakat buah di dada. Jadilah, asalkan ada. Walaupun tergantung mekar di putingnya.

Sekian sahaja pengkisahan panjang saya ekoran pertemuan saya dengan sahabat lama saya tersebut. Saya kaitkan kenangan sejarah dari awal menemui SC hingga menyebabkan saya tertarik akan kelebihan SC. Kelebihan yang perlu diteruskan sepanjang masa. Kelebihan itulah yang saya pertahankan. Saya teruskan kesinambungannya di cawangan yang saya pimpin. Suatu ketika dahulu. Segala pengkisahan adalah buat kenangan generasi baru. Saya yakin tanpa kita pertahankan kelebihan-kelebihan yang ada maka keayuan SC tidak ketara. Umpama bunga yang kurang harumnya. Bau tetap ada. Bunga dedap, langcang kuning belayar Malam.

Sekian setakat ini. Kita bincang lain tajuk.