Thursday, February 25, 2010

PERLUNYA PENYESUAIAN

CATATAN PENGALAMAN (9).

Silat Cekak mengalami perubahan dalam pelbagai sudut. Keahlian SC semakin bertambah. Banyak kelas dan pusat latihan tumbuh di merata tempat umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Program persatuan merancakkan perkembangan dan aktiviti SC. Akibatnya guru SC semakin sebok. Masa bersama cawangan menjadi sangat terhad. Kedatangan dan pemergian guru ke satu-satu tempat atau ke satu-satu cawangan mengambil masa yang singkat. Hal yang sedemikian bertambah hebat ketika PA menjadi Guru Utama. Kesebokan guru tidak terkata.

Keadaan yang saya nyatakan di atas telah mengubah beberapa strategi pengurusan SC di cawangan saya. Ada kalanya perubahan itu selaras dengan tuntutan perubahan corak kepimpinan di peringkat pusat. Adat dan adab SC mula disesuaikan mengikut tuntutan dan keperluan masa. Maka banyaklah perkara tinggal kenangan.

Satu perubahan besar yang berlaku ialah majlis penamat silat. Kesebokan dan tuntutan masa menyebabkan murid silat yang akan tamat tidak lagi dimestikan membawa ayam seekor seorang. Memadai dengan penyediaan ayam penunjuk di kelas berkenaan. Ayam biasa boleh diganti dengan daging. Saya tidak pasti bilakah perubahan itu berlaku. Sepanjang saya menjawat jawatan presiden SC di universiti saya, amalan tersebut masih berterusan.

Setelah beberapa tahun saya berpindah ke cawangan, ada terdengar tentang perubahan yang telah berlaku di pusat tentang majlis penamat silat. Perubahan ini bersangkutan dengan penggunaan ayam. Namun begitu perubahan tersebut tidak di pandang berat di cawangan saya kerana kesannya belum ada. Walau bagaimanapun perubahan tetap ada tapi lambat berlaku. Saya cuba pertahankan konsep ayam yang perlu dibawa. Bertahun juga saya dapat pertahankannya. Bukannya ayam yang penting tapi kelebihan-kelebihan yang wujud di sebalik penggunaan ayam tersebut. Ayam adalah alat untuk upucara majlis penamat. Proses penggunaan ayam tersebut menimbulkan pelbagai suasana kemesraan, kelucuan dan keseronokan. Kenangan buat saya yang berkecimpung lama dalam SC. Kita kongsi bersama kenangan lama tersebut. Bukan untuk dijadikan isu tapi lebih berbentuk catatan pengalaman.

Biasanya guru sendiri yang berhak menyebelih ayam-ayam tersebut. Hal yang sedemikian telah menyebabkan guru terpaksa datang lebih awal. Tentunya di sebelah petang. Malamnya guru utama pasti bermalam dan akan bertemu dengan anak muridnya. Itulah kesempatan berharga buat kami bersama guru. Banyak ilmu yang kami terima. Keesokan paginya barulah ayam-ayam yang ada, disembelih. Ramai ahli silat yang hadir bersama. Ayam-ayam tersebut perlu direbus untuk dicabut bulunya. Kemudian dipotong lapan dan proses mencuci dengan tepung ubi dilakukan bersama. Meriah sekali. Umpama menyambut menantu. Hakikatnya ialah menyambut ahli silat baru berdasarkan pengiktirafan rasmi yang bakal dilakukan guru dalam ijazah penamat. Ketika kami sebok memasak, maka ketika itulah juga guru akan beramah mesra dengan muridnya.

Berlaku perubahan. Kesuntukan masa dan kesebokan guru memaksa wujudnya perubahan. Oleh sebab majlis ijazah penamat diadakan di sebelah malam, maka guru akan datang di awal petang. Kuasa menyebelih ayam diserah pada kami, kecuali ayam buat penunjuk yang tetap disembelih oleh guru pada waktu petang kedatangannya. Sempatlah persediaan ayam penunjuk di sebelah malamnya. Kemeriahan dan kesebokan di cawangan tetap ada. Tetapi ayam yang kami sembelih diproses di pasar. Buang bulu dan siap berpotong. Walau bagaimanapun masih dimasak bersama di tempat kami. Pelbagai jenis nasi kami reka berdasarkan kelas yang tamat. Ada pakar masak nasi. Merasalah kami makan nasi bokhari, nasi minyak, nasi tomato, nasi pelangi, nasi hujan panas dan pelbagai jenis nasi lagi. Ayam yang berpotong itu akan dimasak oleh pakar masak merah dan pakar gulai kari. Kepakaran mereka hebat kerana diasuh setiap tahun. Kemeriahan mengadakan majlis penamat tetap ada. Macam kenduri besar. Tapi lebih mudah prosesnya.

Tahun berganti tahun. Sekali lagi faktor kesuntukan masa dan kesebokan guru memerlukan perubahan lagi. Guru hanya sempat hadir ketika waktu ijazah sahaja. Maknanya kehadiran guru hanya beberapa jam sebelum ijazah. Maka ayam penunjuk pun sukar disembelih di cawangan. Takut tak sempat. Untuk itu, ayam penunjuk dibawa sendiri bersama guru. Ada petugasnya. Tugas kami hanya menyediakan bayaran atas ayam tersebut. Kenduri di cawangan adalah hak cawangan. Nak potong ayam atau menyediakan daging bukan lagi tugas utama. Ikan pun boleh. Tapi isyarat penunjuk tetap menggunakan ayam.

Perubahan yang berlaku itu menyebabkan adat membawa ayam seorang seekor di cawangan saya mulai terhapus beransur-ansur dari masa ke masa. Daging mula dibolehkan mengganti ayam. Lagi pun perbelanjaan seorang ahli yang akan tamat lebih murah dengan menyediakan daging. Sepotong daging tentu berbeza dengan sepotong ayam. Kerja kenduri semakin mudah. Tak payah siang-siang ayam. Akhirnya daripada kutipan wang penamat daripada ahli, lebih sesuai diupahkan orang untuk menyediakan masakan. Ayam penunjuk tetap ada dan boleh berkongsi perbelanjaan. Maka konsep mesra dan kerjasama sesama ahli dalam majlis kenduri kendara tamat silat mulai longgar. Tinggal kenangan.

Banyak peristiwa yang berkaitan dengan ayam penamat. Maklumlah. Ayam penamat adalah jenis ayam kampung. Baru galak dan baru belajar berkokok. Aktifnya hebat sekali. Bukannya ayam daging. Terbatukpun boleh mati. Pernah berlaku ayam-ayam kami terlepas daripada serkap. Penat mengejar untuk mengumpul semula. Ada peristiwa ayam diikat dan diletak atas tempat duduk belakang kereta. Kalau di bahagian simpanan belakang kereta, takut ayam-ayam tersebut mati. Pernah terjadi ikatan ayam terungkai. Berkeliaranlah ayam-ayam yang berjumlah lebih daripada dua puluh ekor dalam kereta. Tahi ayam jangan dikata. Candu yang dikeluarkan telah mengatasi pewangi kereta. Akhirnya kami sepakat mengutip duit untuk mencuci kereta. Mereka yang akan tamat menjadi mangsanya. Banyak lagi peristiwa lucu yang hanya dalam kenangan. Suatu amalan atau adat yang tidak boleh dipertahankan lagi. Kehendak zaman memaksa akan perubahan tersebut. Kenangan manis buat saya. Generasi sekarang tentu tak merasa. Apalah salahnya kalau ada kesesuaian masa maka kita hidupkan semula. Untuk ditunjuk pada generasi muda. Tapi sesekali sahaja.

Kini suasana penamat silat lebih ringkas dan padat. Amalan mandi dan ayam penunjuk masih ada. Cuma saya perhatikan nasi telah tersedia dalam bekas. Kerja-kerja penamat silat semakin mudah. Tentunya hal yang sedemikian akan menyenangkan pengurusan persatuan. Lebih-lebih lagi di pusat-pusat latihan sekolah dan pusat pengajian tinggi. Mana ada masa untuk kerja-kerja memasak dan menyediakan majlis makan. Tugas mereka yang tamat hanya ambil bahagian ayam yang dipilih dan beredar mencari lauk dan gulai yang ada. Pastinya penyediaan makanan adalah secara upah. Hal yang demikian akan menjimatkan banyak masa. Tuntutan masa dan tuntutan perkembangan SC itu sendiri memaksa perubahan itu berlaku. Perubahan tetap perlu. Telahpun berlaku.

Terdengar juga cerita di sebalik sana. Upucara memilih bahagian ayam mula ditiadakan. Dikatakan tidak berguna. Itulah tafsiran mereka. Pada saya kalau diikutkan kebiasaan memang tiada gunanya. Telatah murid yang memilih bahagian ayam tersebut tidak pernah dijadikan ukuran untuk melihat gelagat atau sifatnya ketika berada dalam SC. Apabila berlaku penentangan murid, tidak pernah saya dengar pemimpin persatuan akan merujuk gelagatnya memilih bahagian ayam ketika dulunya. Ustaz pun tidak bergantung tentang tabiat memilih bahagian ayam untuk menentukan tahap pemikiran anak muridnya.

Apapun pemikiran yang ada, pada saya di suatu ketika yang lalu upucara itu telah memberi satu gambaran yang hebat pada saya. Kemesraan sesama ahli dapat dipupuk. Hingga timbul kata-kata hati. Patutlah sesama ahli tak boleh bergaduh. Sebabnya kemesraan sentiasa wujud dalam kalangan mereka. Suasana di majlis penamat adalah salah satu tempat bermesra.

Sekian.

Monday, February 22, 2010


Sepakan yang tiada erti dalam Silat Cekak

Sunday, February 21, 2010




Kenangan berforam di USM








Pertunjukan muda semasa di Universiti.

Saturday, February 20, 2010

MENERUSKAN APA YANG DITERIMA

CATATAN PENGALAMAN (8)

Saya berpeluang membuka cawangan di tempat saya. Peluang ini saya gunakan sepenuhnya untuk aplikasi semua pelajaran yang saya peroleh daripada Ustaz. Saya sendiri mengendalikan kelas SC berkenaan secara keseluruhan. Dapat dirasakan betapa tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan kehebatan SC perlu dilakukan dengan serius. Semua keistimewaan SC ketika saya mengujinya dalam majlis try yang lalu perlu diberi penekanan utama. Hal ini demikian kerana pada pandangan saya keistimewaan itulah yang menyebabkan kami yang hebat dalam bidang persilatan masing-masing, kecundang untuk ‘menjatuhkan’ kehebatan SC.

Dalam tulisan yang lalu saya tekankan betapa wujud tiga keistimewaan SC pada pengertian saya. Pertamanya ialah tumbukannya, kedua ialah pukulannya dan ketiga ialah geraknya yang ada kesudahan. Kerana keistimewaan tersebutlah SC tersangat hebat pada pandangan kami. Sudah tentulah pandangan ini hasil perbandingan dengan amalan silat kami yang sedia ada. Oleh sebab itulah pengajaran dan pembelajaran SC di cawangan saya adalah lebih berfokas.

Saya mempunyai matlamat untuk melahirkan para penuntut di bawah asuhan saya menjadi ahli SC yang hebat. Mereka membuat sesuatu gerak SC berasaskan gerak kefahaman dan bukannya gerak hafalan atau ikutan. Saya selalu tekankan betapa semua gerak dalam SC ada sebab-musababnya. Sebab-sebab itu dapat dibuktikan melalui penerangan dan secara praktikal. Bukannya ikut suka hati.

Untuk memastikan kehebatan SC diperturunkan dalam kalangan penuntut yang saya ajar, maka saya telah merancang beberapa strategi pengajaran seperti perbincangan yang berikut. Starategi ini berterusan sepanjang masa SC di bawah pengawalan saya. Saya kira, kita boleh berkongsi bersama. Jika tidak faham bolehlah dirujuk pada saya atau pada mereka yang pernah kekal lama belajar dengan saya.

Penekanan Pada Pengajaran Kaedah

Kaedah A, B, C dan D dalam SC adalah merupakan asas pergerakan menunggu serangan. Konsepnya unik dan amat mantap dan istimewa. Semua gerak buah SC adalah berasaskan padanya. Oleh itu penekanan pada kaedah SC sangat dititikberatkan. Pengajarannya pada tahap pemulaan jangan gopoh. Istilah ‘letak, tarik, tumbuk’ tak asing lagi pada mereka. Selalu dihubungkan pelakuan kita umpama berada di malam pertama. Pelan-pelan. Jangan gopoh. Anunya tak lari ke mana. Bila gerak dapat dikuasai maka hayunkan penumbuk sepenuh hati. Tapi penumbuk jangan lari. Tak tepispun tak akan kena. Rugi.

Murid difahamkan dengan sepenuhnya pada konsep dan prinsipnya. Saya sendiri berlatih dengan semua penuntut dan menguji kebolehan mereka membuat kaedah. Malah, sebelum masuk buah asas, mereka juga akan diuji melalui majlis ‘menguji ketepatan’ oleh semua Jurulatih yang ada dalam kelas saya. Maka yang kurang yakin akan diyakinkan dan yang yakin akan diyakinkan lagi. Jurulatih yang berpengalaman mampu berbuat demikian. Jurulatihlah yang akan berperanan untuk menaikkan semangat atau melunturkan semangat para penuntut kita.


Mengemas Corak Latihan Supaya Berkesan

Saya sedar betapa waktu latihan perlu digunakan dengan sepenuhnya. Saya tidak mahu para penuntut berlatih seperti kami. Banyak membuang masa. Banyak bercakap. Akhirnya setelah tamat baru terasa rugi. Oleh hal yang demikian, bentuk latihan amat diberatkan. Latihan bermula pada jam lapan malam. Mereka yang lambat akan saya beri teguran. Rehat hanya untuk meneguk segelas air atau sedikit air. Hinggalah jam sepuluh baru latihan berhenti dan para penuntut bebas berlatih. Kadang kala waktu latihan perlu dilanjutkan. Itulah rutin latihan setiap hari. Apabila selesai latihan, penuntut akan berasa sangat letih. Semasa mereka menyejukkan badan sambil berehat, masa itulah saya akan memberi syarahan tentang sesuatu yang berkaitan dengan SC. Syarahan saya lebih banyak berupa suntikan semangat. Tidak ada perkara lain yang dibincang. Soal persatuan, ada AJKnya sendiri. Ahli-ahli yang ingin menuntut ilmu SC hanya diberi akan ilmu SC. Jangan dirosakkan fikiran mereka dengan karenah persatuan atau sesuatu yang tiada sangkut paut dengan bidang persilatan.

Bentuk latihan seperti itu adalah kekal sepanjang masa. Sehinggalah waktu pepecahan sesama kita, di cawangan saya tidak ada ruang bagi ahli membincangkannya. Hal yang berkaitan dengan persatuan tidak boleh dicampuradukkan dengan persilatan. Saya yakin, sebab itulah semasa pengurusan saya, pepecahan sesama ahli silat di cawangan saya tidak pernah berlaku. Orang lain terlalu ingin tahu pegangan kami yang ada. Pada kami, Silat Cekak lah pegangan dan kepentingan utama. Dulu.

Penekanan Pada Pukulan.

Pukulan dalam SC amat saya tekankan. Letakkan jenis pukulan pada tempatnya. Jangan mengacah-ngacah umpama lakonan yang tidak memberi sebarang makna. Pukulan yang mantap berserta kesediaan membuat pukulan akan dapat mengunci pergerakan lawan. Seperti yang saya tegaskan dalam tulisan terdahulu, mengunci gerak adalah lebih mudah dilakukan daripada mengunci anggota tubuh badan lawan.

Penekanan Pada Gerak Secara Muktamat.

Setiap perbuatan silat perlu disudahkan. Perbuatan silat tersebut meliputi aspek menunggu serangan dan menyerang lawan. Saya juga telah membincangkan hal ini dalam tulisan terdahulu. Salah satu kehebatan silat kita yang menyebabkan susah untuk ‘ditewaskan’ ialah geraknya berterusan hingga lawan kita benar-benar mati gerak. Latihan yang sebegitu telah terbawa-bawa ketika anak buah saya menghadiri ujian sijil rendah. Mereka berjaya mempraktikkannya. Suatu masa lalu, para penguji memahami pendapat saya. Teringat saya dalam satu majlis ujian rendah yang diadakan di kelas saya. Ramai penguji dari pusat yang hadir. Antara mereka ialah Jo Marwi, Nasir, Amruddin dan Maiden. Ujian yang berlangsung tersebut bagi membuktikan kehebatan murid saya.

Konsep menyudah gerak dapat dilakukan dengan sempurna. Para penguji memberi kerjasama. Maiden yang terkenal dengan tangan dan kaki besi, menerima kebengkakan dan kebiruan kulit. Begitu juga dengan penguji yang lain. Tapi mereka berasa puas atas kehandalan anak murid SC. Maruah dan kehebatan mereka tidak jatuh. Tugas menguji membawa maksud murid kita mesti lulus. Kalau lulus bermakna pelajaran yang disampaikan telah mereka kuasai. Dalam ujian, kalau murid berjaya mengalahkan guru maka itulah kepuasan pada gurunya.

Malang sekali kebelakangan ini. Semasa ujian, apabila ahli silat ingin meneruskan gerak, mereka sering dimarahi kerana dikatakan cuba memukul Jurulatih. Akibatnya gerak mereka tiada kesudahan kerana pergerakan mereka dihentikan sekerat jalan. Mesti pengujinya jenis suku atau tiga suku. Jenis tak habis. Tidak ada kesinambungan dalam gerak. Maka secara langsung kita telah memusnahkan satu keistimewaan yang ada dalam SC. Keistimewaan itulah merupakan salah satu sebab kenapa SC susah untuk ‘ditewaskan’. Setiap yang mengambil ujian akan saya terangkan buat suntingan semangat. Ikut saja kehendak mereka yang belum cukup masak umpama telur setengah masak. Sesuaikan diri buat sementara bagi mendapat sijil yang tak tentu perkasanya.

Pemupukan Kaedah Serang Yang Mantap.

Para ahli silat diberi penerangan yang jelas tentang konsep tumbuk serang. Konsep ini membuktikan betapa ahli silat perlu memahami dan membaca gerak lawan. Kefahaman membaca gerak akan banyak membantu kita menghadapi dan membuat serangan. Keselarasan gerak tangan dan kaki amat dititikberatkan dalam masa penuntut membuat tumbuk serang. Jadikan serangan umpama serangan anu kita yang tak payah pakai mata kepala. Pakai mata hati. Pasti tiba di bahagian yang kita hajati. Setelah mereka dapat kaedah serang, penggunaannya adalah secara berterusan terutama dalam latihan buah umum. Kaedah tabik dan menjual tumbuk jangan sesekali dilakukan. Takut orang ketawa. Umpama serangan singa yang tiada giginya. Sakit tiada tapi ada gelinya.

Penyusunan Pelajaran Kemahiran.

Saya cuba bezakan antara konsep latih tubi dan kemahiran. Kalau melatih balik semua pelajaran SC bagi membetulkan kaedah dan ketepatannya maka saya anggap sebagai latih tubi. Konsep kemahiran erat kaitannya dengan aplikasi. Semua pelajaran SC perlu diaplikasikan dalam gerak gaduh. Gerak gaduh bermakna gerak yang tidak berpakat. Jatuhan atau tangkapan buah biasanya tidak menjadi seperti yang kita hajati. Dalam keadaan tersebut konsep pakai tak pakai dan tak pakai pakai perlulah digunakan dengan sepenuhnya. Di situlah terletaknya latihan kemahiran. Apatah lagi pelajaran enam tolak enam, serangan tapak dan serangan pada buah-buah umum dari persilatan lain yang berlainan gerak.

Untuk mencapai maksud kelas kemahiran tersebut, sukatan pelajaran khas telah disusun, sesuai dengan strategi dan matlamat kelas-kelas latihan itu diadakan. Kekuatan dalaman juga diambil kira bagi menguatkan stamina. Semua tindakan tersebut adalah merupakan salah satu usaha bagi menambah keyakinan murid terhadap SC. Biarlah keyakinan itu berasaskan kenyataan dan bukannya hayalan. Penguasaan geraknya tidak lagi berdasarkan hafalan. Sebaliknya gerak tersebut adalah gerak yang semula jadi dengan dirinya.

Penekanan Pada Adat SC Dan Adab Belajar.

Adat-adat yang berkaitan dengan upucara silat masih saya kekalkan terutama yang berkaitan dengan ijazah tamat. Setiap penuntut yang hendak tamat tetap dimestikan membawa ayam seekor. Ustaz sendiri akan datang awal bagi memilih ayam penunjuk dan menyebelih ayam-ayam yang lain. Kami sendiri yang masak. Kenduri yang sama seperti yang saya alami dulu tetap diteruskan. Di samping itu adab belajar juga saya tekankan. Oleh sebab saya telah dilantik sebagai Jurulatih dan merupakan wakil guru, Jurulatih yang lain perlu berketuakan saya. Kebenaran melatih dan kawalan mutu pengajaran adalah di bawah pengawasan saya. Namun begitu, akibat tuntutan zaman, penyesuaian adat-adat dalam SC terpaksa disesuaikan dari masa ke masa. Saya akan sentuh dalam tulisan seterusnya.

Berdasarkan tujuh strategi tersebut, SC diperturunkan dalam kalangan penuntut saya. Walau bagaimanapun kelangsungan ini tidak bertahan lama. Ada antara strategi tersebut yang terpaksa dibuat penyesuaian. Masa dan kefahaman telah menuntut perubahan. Saya bersyukur. Bukannya di masa saya. Pada generasi baru, buatlah apa saja. Saya ikut sahaja. Gembira.

Sambung lagi.

Thursday, February 18, 2010

AKUR DENGAN APA YANG DITERIMA

CATATAN PENGALAMAN (7)

Kami mempelajari dan mendalami SC adalah atas keyakinan yang penuh. Bukan mudah bagi kami untuk mengubah pesepsi yang ada sebelum mempelajari SC. Seperti yang saya tegaskan, untuk menerima SC sebagai sebahagian daripada amalan silat kami, ujian pengesahan telah dilakukan terlebih dahulu. Sah bahawa SC merupakan satu jenis silat yang hebat, sama seperti yang diperkatakan oleh Ustaz. Artikal-artikal silat yang kami baca dan kami simpan amat mudah difahami. Kami jadikan panduan. Sesuai dengan pelakuan yang diajar kepada kami. Cakap serupa bikin.

Walaupun ada kandungan artikal tersebut bercanggah dengan ilmu sedia ada yang kami peroleh, keadaan itu tidak pernah kami jadikan isu atau persoalan. Bertanya pun amat jarang sekali. Kalau diberikan jawapan, kami tak pernah berbahas. Hanya menerima kenyataan yang ada. Yang penting bagi kami ialah pelajaran yang telah disampaikan selama kami belajar SC telah dapat mengubah pesepsi kami tentang kehebatan SC. Walau bagaimanapun, sesekali terdapat juga perbincangan sesama kami. Semua jawapan dan perbincangan tersebut adalah dalam suasana positif. Kalau dianggap negatif maka akan kami positifkan. Asas perbincangan ialah, guru lebih tahu apa yang dilakukannya. Guru silat tentunya bidang tugasnya ialah silat. Teringat sekarang. Pegawai kerajaan atau swasta pun berperasan umpama guru silat. Berlainan bidang dan berlainan profesion. Sepatutnya, biarlah Guru Silat mengurus silatnya. Tapi, Malaysia boleh.

Satu tajuk yang biasa kami bincangkan ialah buah-buah yang ada dalam SC. Kami diajar sebanyak sembilan belas buah. Pada hal, dalam artikal yang kami simpan, buah SC adalah dua puluh tujuh. Kami rujuk kata-kata yang ada dalam artikal simpanan kami tersebut.

Semasa Ijazah Kedua, dikatakan dalam pelajaran empat terdapat ayat yang berbunyi seperti yang berikut:

“ Menangkis pula buah-buah penangkap (lock) yang 27 biji itu dan memakan balik dengan salah sebuah dari yang 27 itu. Ini namanya pelajaran SPRING (Pelajaran menengah). Pelajaran ini mempunyai falsafah PAKAI TAK PAKAI, TAK PAKAI PAKAI.”

Berbincanglah kami. Pastinya di bilik saya ketika menuntut dulu. Kami cuba logikkan kenapa buah yang kami terima adalah sebanyak sembilan belas dan buah yang ada, dua puluh tujuh.

Saya pernah bertanya Ustaz tentang persoalan tersebut. Menurut Ustaz, penyusunan semula telah dilakukan. Ada tiga alasan yang diberikannya. Sama ada buah-buah itu berulang-ulang atau tidak praktikal atau membahayakan si pelaku. Itulah alasan-alasan utama yang telah diberikan Ustaz kenapa buah-buah tertentu ditiadakan dalam senarai pelajaran. Namun begitu buah-buah tersebut tetap diberitahu semasa kami telah tamat. Kami diajar dengan buah-buah tersebut termasuk buah luncur, sengkak dan lain-lainnya. Ustaz membuktikan kata-katanya yang meninggalkan pembelajaran buah-buah itu dalam lingkungan alasan yang tiga tersebut. Puas hati pada diri kami semua.

Kami cuba memahami kebenaran perbuatan Ustaz meninggalkan pembelajaran buah-buah tersebut. Hal ini demikian bagi memahami akan punca Ustaz berbuat demikian dalam konteks SC. Namun begitu perasaan ragu-ragu tidak langsung timbul dalam kalangan kami. Kami tetap bersyukur dengan apa yang kami dapat daripada Ustaz.

Kami rujuk kembali ‘kitab’ tentang SC yang kami simpan. Kami baca ayat-ayat yang ada dalamnya. Ada dua kenyataan ayat dalam artikal tersebut yang menjadi sumber alasan pemikiran positif kami.

Alasan pertama adalah merujuk pada ayat bertulis:

“ Ianya tak mempunyai tari, Silat Cekak ini ada mempunyai kaedah-kaedahnya yang tetap dan tak boleh dipinda-pinda.”

Maknanya, dalam SC, pelajaran Kaedah adalah amat penting dan tidak ada sifat bertolak ansur. Kaedahnya tetap dan tidak boleh diubah. Kalau diubah maka bukan lagi namanya SC. Kesimpulannya ialah kaedahnya sahaja yang tetap dan tidak boleh diubah-ubah. Tambah tak boleh, kurang pun tak boleh. Yang lain, terpulanglah pada Ustaz. Itu kesimpulan kami. Mudah dan ringkas.

Alasan kedua adalah berdasarkan tentang pelajarannya yang tertulis seperti yang berikut:

Mempelajari dan mengkaji segala buah keputusan Silat Melayu itu menjadi mata pelajarannya, umpamanya keputusan silat-silat Sendeng, Terlak, Lintau, Harimau, Kuntau, Kemanga, Sepelet dan Gayung Petani. Tujuan besar silat ini mengkaji segala keputusan ilmu (buah silat) silat melayu ialah supaya ia dapat mengalahkan musuh ketika ianya menyerang.”

Maknanya, pelajaran buah-buah dalam SC tidak berdasarkan bilangan. Pelajarannya adalah berdasarkan pengkajian pada buah-buah silat Melayu yang lain. Oleh sebab itu, bilangan buah bukanlah sesuatu yang tetap dan tidak patut dipolimikkan. Maka tidak perlu berbahas atau bertengkar tentang bilangan buah dalam SC.

Ada juga yang bertanya sama ada kita menceduk atau meniru silat-silat Melayu yang lain. Saya tegaskan pada mereka. Di situlah pentingnya kita memahami adat dan adab persilatan orang Melayu. Fahamannya tidak sama dengan sekarang. Fahaman sekarang memberatkan hak kerana ada persatuan yang melindunginya. Persatuan telah meletakkan sempadan. Persatuan boleh saman kita jika dianggap kita cuba menceduk haknya. Fahaman dulu haknya tetap pada orang-orang Melayu seramai. Siapapun manusia Melayu boleh memiliki atau menguasainya. Menguasai gerak dalam masyarakat Melayu tidak mendatangkan masalah sebab kita juga Melayu. Sama juga dengan dengan adat-adat yang ada. Kita menguasai apa yang ada dalam masyarakat Melayu. Sekarang jangan. Ada persatuan yang berlagak gengster. Gerak Melayu dah jadi hak mereka.

Kami sentiasa berbincang secara positif. Sesuatu kelainan yang kami rasai, kami akan cuba logikkan kenapa perkara itu terjadi melalui sumber-sumber yang ada. Hingga sekarang saya dapat rasakan betapa sifat kami yang sedemikian telah menyebabkan kami sentiasa berprasangka baik terhadap SC dan semestinya kepada gurunya yang lama dan baru. Tapi ada juga antara sisa-sisa tinggalan generasi kami yang tergeliat. Teguran yang diberi semuanya secara membina demi mengekalkan kehebatan SC. Cuma masalahnya ramai golongan haprak yang ada sekeliling guru. Tidak tahu punca dan sentiasa cari glamour.

Mungkin sekarang ini, gara-gara kehebatan angka dua puluh satu maka buah-buah SC perlu diubah suai. Maka dimasukkan buah-buah lain bagi menggenapkan angka dua puluh satu. Di suatu ketika pernah kuntau kiri dijadikan bilangan dua buah. Kuntau Kanan menjadi buah yang kesepuluh. Pernah juga buah hempuk dikira dua buah. Semuanya gara-gara angka dua puluh satu. Agaknya.

Semasa saya menguasai kelas latihan di Cawangan, saya masih mengekalkan pengajaran SC sebanyak sembilan belas buah. Buah-buah lain akan dijar kepada penuntut SC semasa pelajaran buah umum. Buah siku potong dikaitkan penggunaannya untuk pelajaran lading. Buah-buah menanti seperti luncur dan rasa digunakan secara aplikasi gerak berdasarkan gerak lawan. Sama seperti gerak Gayung Fatani.

Walaupun pelarasan dibuat hingga dua puluh satu, saya tetap saya. Tak ikut pelarasan. Ikut apa yang saya terima. Pelajarannya adalah mencukupi dan sangat memadai untuk membuktikan kehebatan SC. Dengan bilangan buah sembilan belas, saya masih berupaya menjadi pesilat yang sedemikian rupa.Sekarang susah nak jawab. Manager baru. Gelaran baru. Pingat baru. Jentera baru. Maka azam baru. Fahaman silat baru. Serba baru.

Orang kata saya keras kepala. Baguslah. Sebagai lelaki kita perlu keras kepala. Barulah dirasai nikmatnya. Jika tidak, akan terpupuk sifat ‘au’. Gerak mesti lembut. Buka tangan adalah salah satu sifat pemupukannya. Agaknya. Sekian setakat ini.

Sambung lagi.

Tuesday, February 16, 2010

KEPERLUAN MENYEBAR SC

CATATAN PENGALAMAN (6)

Setelah mengetahui kehebatan SC dan mendalami isi pelajarannya, telah mendorong kami untuk menyebarkan SC kepada masyarakat kampus yang lain. Kami percaya betapa ruginya mereka yang tidak mempelajari SC. Menyebarkan SC dalam kalangan mereka telah dirasakan sebagai satu tanggungjawab kami. Untuk itu majlis penerangan perlu diadakan di serata kampus. Kesempatan ini kami peroleh melalui kempen-kempen pertunjukan SC di seluruh kampus. Kebetulan juga persatuan silat kami telah menerima banyak jemputan daripada pelbagai kolej asrama di universiti tersebut. Kesungguhan kami telah menyebabkan kehebatan SC mula menjadi buah mulut para siswa dan siswi.

Kami sering dijemput membuat persembahan pertunjukan SC. Untuk maksud tersebut, kami telah berjaya menubuhkan satu kumpulan bagi membuat pertunjukan. Ahli kumpulan tersebut adalah terdiri antara sesama kami. Saya menyatakan hasrat kami mengadakan pertunjukan silat pada kepimpinan persatuan yang ada di peringkat pusat. Saya yakin bahawa kami berkemampuan membuat sendiri pertunjukan tanpa bantuan daripada pihak ibu pejabat. Lagipun apabila ada jemputan pertunjukan maka tentunya menyusahkan sikit bagi kami untuk berhubung dengan pihak ibu pejabat.

Hasrat saya itu tidak menyakinkan mereka. Mereka kurang yakin akan kemampuan kami yang ada bagi mengadakan persembahan silat. Tentunya sikap mereka itu berdasarkan perlunya mutu pertunjukan dikawal dan mencapai satu standard yang tertentu. Kami tidak membantah.

Walau bagaimanapun, hati saya tetap berkeras agar kami sendiri yang membuat pertunjukan. Walaupun pengalaman pertunjukan tidak ada, saya yakin kami berkemampuan. Gambaran tentang bentuk pertunjukan, kami peroleh melalui majlis penerangan yang mereka buat pada ketika lalu. Pengalaman ada. Bukan susah sangat nak buat pertunjukan. Itulah kata-kata semangat yang sering disuntik dalam kalangan kami.

Oleh sebab itu, saya telah bawa kumpulan pertunjukan menemui Ustaz dan mempertontonkan kebolehan dan kemampuan kami di hadapan Ustaz. Ustaz tertarik agaknya dan memberi keizinan kepada kami untuk membuat pertunjukan di peringkat universiti kami sendiri. Keizinan tersebut merupakan lesen besar. Maka bebaslah kami menerima sebarang jemputan dan menyusun segala bentuk pertunjukan di universiti kami atas pemikiran kami sendiri.

Untuk maksud pertunjukan maka kami membuat pengkhususan. Tumpuan khusus diberi tanggungjawab pada mereka yang tertentu. Hal ini demikian bagi memantapkan persembahan pertunjukan. Saya dipertanggungjawabkan membuat persembahan serangan empat penjuru dan persembahan pisau. Ketika itu pelajaran lading belum sampai ke tempat kami. Pada penglihatan saya, persembahan kami juga boleh dikira hebat. Ramai dalam kalangan kami yang berpengalaman dalam dunia persilatan. Setakat membuat persembahan tentunya tidak mendatangkan masalah. Kalau buat persembahan, kadang kala watak crook lebih diberi tumpuan kerana kepelbagaian aksinya. Kumpulan kami tersangat berkebolehan.

Oleh sebab ada guru tongkat panjang bersama kami maka kami masukkan acara tongkat panjang dan cara-cara mengatasinya dalam persembahan. Cara pertunjukan kami tentunya berbeza dengan kebanyakan pertunjukan tongkat panjang yang ada sekarang. Gerak tari silat tongkatnya ketika menyerang SC amat menarik sekali. Tapi dalam beberapa saat dimatikan oleh SC. Persembahan sedemikian amat memukau penonton. Namun begitu, kami tetap berpegang pada konsep betapa posmen yang disekat maka surat tak akan sampai. Tak ada pun kaedah menepis tongkat panjang dengan menggunakan tangan. Melainkan habuan sesak. Kalau sesak lebih baik menggunakan batu. Namun begitu, pertunjukan silat yang menggunakan tangan bagi menepis tongkat panjang sangat popular hasil didikan Guru Wawasan. Ramai pengikutnya. Termasuk yang tak seiring dengannya. Orang dibenci tapi perbuatan diikut. Tapi kami tak pernah ikut.

Bagi setiap pertunjukan kami akan menetapkan syarat. Pertunjukan mesti berlangsung sebaik sahaja selepas perasmian satu-satu majlis. Jika kami dijemput membuat persembahan bersama seni bela diri yang lain, kami menetapkan syarat untuk membuat persembahan pertama atau terakhir. Ada sebab kami berbuat demikian. Jika syarat kami tidak diterima maka kami akan menarik diri. Syarat kami selalunya diterima. Mungkin hal ini disebabkan betapa mereka memerlukan penyertaan kami dalam pertunjukan. Pertunjukan yang hebat. Jika tidak ada penyertaan silat-silat lain, jamuan khas perlu diadakan untuk kami. Tiada bantahan.

Dengan itu pasukan kami terbiasa membuat persembahan di hadapan menteri yang dijemput sebagai tetamu jemputan. Selepas perasmian terus diadakan pertunjukan. Kalau Ustaz datang saya akan pastikan Ustaz duduk bersama dengan perasmi tersebut. Saya rasa Ustaz sendiri berpuas hati dengan tindak tanduk yang kami lakukan.

Semuanya tinggal kenangan. Pesilat-pesilat hebat di kelas saya tidak mudah dilupakan. Walaupun nama-nama mereka boleh saya lupa tapi wajah mereka tetap terpahat di hati saya. Ada yang teristimewa kebolehan mereka. Jasa mereka besar dalam kempen memperkenalkan SC dalam kalangan pelajar-pelajar universiti. Apabila mereka kembali ke tempat asal maka bermulalah penyebaran SC ke seluruh Malaysia. Elok juga dikenang-kenangkan mereka.

Sekian, sambung lagi.

Friday, February 12, 2010

SUBURI KEHEBATAN SC.

CATATAN PENGALAMAN (5)

Setelah tamat SC, terasa kekurangan dalam ilmu persilatan yang kami kuasai. Maka jangka masa pendek yang masih tinggal, kami gunakan untuk berlatih SC secara bersungguh. Tumbuk serang yang amat istimewa dijadikan latihan utama. Bagi maksud aplikasi tumbuk serang, kita memerlukan idea bagi mengatasi pergerakan buah-buah silat lain. Senarai buah SC tidak boleh dijadikan gerak untuk memahirkan tumbuk serang. Hal ini demikian kerana buah-buah SC tidak banyak gerakan. Hanya tangan yang menepis. Kalau tangan menepis maka pelajaran potong yang kita latihkan. Itu sebabnya pergerakan silat lain amat diperlukan untuk melatih gerak serang silat kita. Ketika itu senarai buah umum tidak ada. Kami mempunyai senarai buah yang kami reka sendiri.

Walau bagaimanapun, kami tidak mempunyai masalah besar mengaplikasikan tumbuk serang dalam pelajaran umum. Bilangan kami yang ramai menguasai persilatan lain telah dapat mengeluarkan pelbagai idea untuk perbincangan dalam gerak serang SC. Buah-buah yang kami anggap istimewa, kami kongsi bersama bagi mengatasi geraknya berdasarkan gerak SC. Penyelesaiannya dikira mudah kerana SC mempunyai formula. Tidak ada buah silat yang kami miliki yang tidak dapat diatasi. Umpama setiap kali ayam berkokok maka akan ada sahutannya.

Ketika kami beradu hebat, kami buat sungguh-sungguh umpama pergaduhan musuh. Bukannya bertukar-tukar fikiran. Ujian yang kami lakukan semata-mata dengan harapan, SC dapat ditewaskan. Oleh itu dapatan daripada ‘pertarungan’ tersebut benar-benar memberi pengajaran dan ingatan. Berdasarkan pengalaman dan perbincangan sesama kami yang ‘mencuba hebat’ SC dengan Ustaz dan pembantu kanannya, kekuatan dan kelebihan SC hingga menyebabkan kami ‘tertewas’ adalah kerana tiga faktor utama. Pendapat kami bolehlah diambil kira buat generasi seterusnya. Hal ini demikian kerana kami berpengalaman dalam pelbagai jenis silat. Ada yang menjadi guru silat dan ramai yang menjadi Jurulatih persilatan lain. Maka mudahlah kami membuat timbang kira. Bercakap bukannya perasaan tapi pengalamian.

Pertamanya ialah penguasaan tumbuk serang. Kami gelarkannya sebagai peluru berpandu. Penumbuk seranglah merupakan satu kelebihan yang teramat istimewa dalam sistem pelajaran SC. Hinggakan kami semua sependapat bahawa tanpa wujudnya penumbuk serang tersebut, SC mungkin mudah sikit untuk ditewaskan. Oleh itu penguasaannya dalam kalangan penuntut SC adalah amat perlu sekali. Latihlah bersungguh-sungguh hingga kita benar-benar menguasainya. Fahami benar-benar akan konsep tumbuk serang tersebut. Jangan dikira mesti kena. Penumbuk serang ada strateginya bagi melihat gerak yang ada. Kadang kala serang pertama tidak mengena. Namun gerak balasnya amat berguna. Hal ini demikian kerana tumbuk serang ada petuanya. Dapat membaca gerak musuh secara bersepadu. Oleh itu gerak musuh dapat ditelah. Dengan senang musuh mengalah. Jangan diabaikan keistimewaan yang ada pada kelebihannya. Zaman dulu kehebatan tumbuk serang sering diungkapkan sebagai, “tak nampak penumbuknya, penumbuk umpama kilat, susah nak agak datangnya.”

Itu sebabnya dalam kelas-kelas yang saya awasi, penumbuk serang sangat dititikberatkan. Namun ramai yang terkeliru. Apabila mempelajari buah-buah umum maka penumbuk serang tidak digunakan. Mereka lebih berminat menguasai buah-buah silat lain dalam senarai buah umum. Tinggalkan latihan buah serang yang hanya dilatih ketika hari penerimaan ilmu tersebut. Pada hal buah-buah umum yang dipelajari adalah semata-mata untuk memantapkan gerak serang kita. Lupa serang, ingat umum.

Saya rasa, sejak dulu hingga sekarang, cawangan kami tidak pernah berpandukan latihan serang berdasarkan senarai buah umum yang dikeluarkan. Ketika saya membuka kelas di cawanganpun, susunan senarai buah umum tersebut belum ada. Saya rasa pengetahuan saya mencukupi bagi melatih tumbuk serang berdasarkan gerak silat lain yang banyak diperoleh semasa menuntut dulu.

Keduanya SC adalah hebat kerana pukulannya. Semua kuncian yang ada dalam SC adalah berpunca daripada pukulan. Konsep Silat Cekak yang ada prinsip ‘memukul’, menerbitkan ketangkasan dan keyakinan dalam diri pesilat itu sendiri. Dalam peristiwa beradu hebat itu saya perhatikan tidak ada satu kuncian anggota pun yang dapat dihasilkan. Namun, yang dikunci ialah gerak pesilat seperti yang kami alami. Kuncian tersebut bukannya kuncian pada anggota tubuh kita melainkan gerak terkunci kerana pukulan sedia menanti. Bergerak berarti akan muncul pukulan pada diri. Oleh itu terpaksalah mematikan gerak diri. Maka secara langsung diri telah terkunci. Sungguh hebat sekali sistem pelajaran SC. Pukulan sangat diutamakan.

Berdasarkan pendapat tersebutlah maka dalam pengajaran SC yang saya kendalikan, saya amat mementingkan perbuatan pukulan dilakukan dengan betul dan sepatutnya. Banyak kali saya sentuh pemberatan ini dalam tulisan-tulisan yang lalu. Tapi ada juga hamba Allah yang tak setuju dengan pendapat saya. Macam-macam diulas dan dikatanya. Saya diam saja kerana tidak berminat bertengkar dengan manusia bangang pada pandangan saya. Cakap banyak tapi pengalaman kurang ada. Pengetahuan dan pendapat saya adalah berdasarkan pengalaman dan pengalamian sebenar. Kerana pukulan yang ada dalam SC-lah merupakan salah satu faktor SC tidak mudah ‘ditewaskan’ oleh kami. Tapi nanti akan ada yang mengatakan bahawa berlatih lain dan masa bergaduh lain jadinya. Itulah kenyataan daripada manusia yang suka perasan dan berangan-angan membuat telahan berdasarkan prinsip Mat Jenin.

Pada generasi baru, saya sarankan supaya aspek pukulan yang sedia ada dalam buah-buah SC jangan mudah diabaikan. Yang mana perlu ditampar, baru ditampar seperti buah Pasung, Paras dan Lintau. Yang mana perlu ditetak maka berikan tetakan. Yang mana perlu disiku maka sikukan. Yang mana perlu dicucuk maka cucukkan. Yang mana perlu ditumbuk maka tumbukkan. Jangan terkeliru dan bercampur aduk. Susunan yang telah dibuat oleh Ustaz sangat cantik dan tepat sekali. Jangan abaikan kelebihan yang ada tersebut. Jangan dengar cakap-cakap lucu daripada golongan ‘au’ yang takut akan pukulan. Mereka sukakan sentuhan. Berilah sentuhan kalau mampu. Tapi bukan ketika bersilat. Jangan abaikan kelebihan kita.

Faktor ketiga yang kami simpulkan atas kehebatan SC yang sukar ditewas adalah kerana SC melakukan gerak hingga ke sudah. Ada titik noktahnya. Geraknya tidak berhenti sekerat jalan. Geraknya juga tidak bermalam. Ada kesinambungan. Apabila kami mengenakan pukulan, pada sangkaan kami pertarungan tersebut terhenti. Sebaliknya yang berlaku. SC terus bertindak hingga gerak lawan dimatikan sepenuhnya. Faktor itu juga mengejutkan kami hingga menyebabkan pergerakan silat kami terbantut.

Faktor itu juga saya aplikasikan dalam pengajaran silat di cawangan, bawah pengawasan saya. Perbuatan gerak yang teragak-agak sangat saya tegah. Jangan teragak-agak membuat pukulan dan kuncian. Pastikan setiap tindak balas sama ada menunggu serangan atau menyerang ada kesudahan pada gerak lawan. Biasakan diri dengan perbuatan sedemikian. Jangan ada perbuatan mengacah.

Apa yang saya perhatian, ujian sijil yang dilakukan amat merugikan calon. Malah merugikan keistimewaan SC. Apabila ada kalangan calon ujian yang hendak meneruskan gerak, maka cepat-cepat dihentikan gerak tersebut. Kalau diteruskan maka pelbagai kecaman dilemparkan termasuk cuba menjatuhklan maruah penguji. Itu juga sifat yang tidak tahu kegunaan ujian. Kita menguji calon untuk melihat penguasaan diri mereka pada SC. Kalau berasa diri tidak berkeupayaan menguji, lebih baik jangan menguji.

Pada saya apabila berhadapan dengan siapa saja, ketiga-tiga faktor keistimewaan SC yang saya bincangkan di atas amat perlu diambil kira. Andainya kelebihan-kelebihan itu dapat dikuasai maka tidak mudah pesilat lain meratah kita. Pendapat itu bukannya hasil perasaan atau teori, sebaliknya berdasarkan pengalaman dan pengalamian sebenar dalam usaha menewaskan SC. Usaha yang tidak berjaya kerana ada tiga keistimewaan tersebut. Belajar betul-betul. Pelajaran biar mantap jangan manta...

Sambung lagi.

Wednesday, February 10, 2010

SC MEMANG HEBAT

CATATAN PENGALAMAN(4)

Bila tempoh tiba, majlis penamat silat diadakan di kelas kami. Ustaz sendiri turun kelas menyempurnakan tanggungjawab pemberian tumbuk serang. Kami disuruh tumbuk dahulu. Semestinya saya giliran pertama. Tumbukan saya tidak mengena. Begitu juga dengan yang lain. Hebat juga SC. Bisikan hati. Selesai tumbukan kami, Ustaz memulakan bicara. Tumbukan sebenar SC belum diberi. Dikatakan betapa tumbukan kami tersebut sebagai tumbukan bodoh. Tersenyeh kami dibuatnya. Hati tertanya-tanya dan tidak sabar untuk mengetahui tumbukan sebenar. Tapi Ustaz tidak mudah memberi. Syarahannya panjang juga. Semua muka nampak resah. Menahan kesabaran. Akhirnya petua penumbuk diberi.

Saya orang pertama yang ditumbuk oleh Ustaz. Dahsyatnya. Sekali penumbuk yang kena maka terpaksa membongkokkan badan berkali-kali. Manahan sakit sampai ke ulu hati. Bila tiba giliran ahli yang lain, baru padan muka mereka. Cakap hati. Semuanya merasa. Setiap kami pasti meraung. Biasanya kedengaran bunyi raungan ‘makkkk’. Semua penuntut silat diberikan rasa. Bagus juga. Kalau tak rasa macam mana nak tahu kelebihan serang SC yang sebiji itu.

Selesai semuanya mendapat tumbuk serang, saya menyatakan hasrat untuk bertry dengan Ustaz. Terkejut juga mereka yang ada. Tapi nak buat macam mana. Itulah tekad kami yang utama. SC perlu diuji untuk membuktikan kehebatan silat itu sendiri. Janji try sesama kami mesti ditepati. Oleh sebab saya telah diangkat sebagai ketua mereka, maka apa yang dijanji perlu saya laksanakan. Maka terpaksalah saya melahirkan hasrat sedemikian untuk bertry dengan Ustaz.

Semua orang memerhatikan saya. Ustaz serang maka saya bertindak. Susahnya nak makan. Gerak Ustaz sangat pantas. Saya yang dimakan. Hati tak puas. Saya minta pembantunya untuk diuji. Kali ini saya menggunakan kaki. Serangan pembantu tersebut saya sambut dengan pukulan kaki. Beliau tak sangka saya akan bertry dengannya. Terpaksalah beliau buka baju dan berseluarkan seluar biasa. Sepakan saya melekat di rusuknya. Nampak bekas sepakan kaki kerana dia tidak berbaju. Tetapi tindak balas berikut daripadanya mematikan gerak silat saya. Hebat sungguh gerakan SC mematikan lawan. Cepat dan tangkas. Saya tergamam dan berasa kagum. Benarlah SC adalah adalah sejenis silat yang hebat.

Seingat saya ada tiga orang yang bertry. Walaupun mereka telah menyaksikan penangan yang telah saya terima, namun keegoan diri tetap ada. Niat bertry disertakan perbuatan. Salah seorang daripadanya ialah Sidek tersebut dengan pukulan kuntau jawanya. Mainan bawahnya hebat sekali. Tapi tak sempat bertindak. SC berjaya mengatasinya. Di hari yang lain kami mendesaknya menunjukkan pukulan yang ingin dibuatnya. Bukan main hebat mainan silatnya. Kalaulah SC tidak bersistem, pasti susah juga untuk mengatasinya.

Saya berasa bahawa Ustaz tidak menyangka bahawa kami akan mencuba kebolehan SC. Malah saya juga berasa bahawa pembantu-pembantunya juga tidak menjangka bahawa kami akan berbuat demikian. Buktinya, mereka tidak bersedia dan semuanya tidak membawa pakaian silat. Tujuan mereka bersama kami hanya untuk melihat majlis penamat silat. Luar jangkaan mereka telah menyebabkan pelajaran serang diberi terlebih dahulu.

Hal yang demikian telah menyebabkan Ustaz mengeluarkan kata-kata yang agak tegas setelah majlis try tersebut berlangsung. Menurut Ustaz, sepatutnya jika ada anak murid yang hendak try, maka kehendak murid itu akan didahulukan sebelum pelajaran serang diberi kepada mereka. Keadaan ini agak berbeza dengan apa yang diperbuat pada kami. Pelajaran serang diajar dulu tanpa mengetahui ada murid yang hendak mencuba.

“Nasib baik saya fikirkan awak semua masih belajar. Kalau tidak saya akan pukul betul-betul.”

Itulah antara lain kata-kata yang dikeluarkan oleh Ustaz kepada kami khasnya buat diri saya sendiri.

Mana tidaknya. Apabila kami mengetahui cara serang SC, buah yang akan kami cuba terpaksa diubahsuai. Buah yang melangkah telah diubah supaya jadi tidak melangkah. Kalau melangkah pasti akan kena dengan serangan SC. Pengubahsuaian itu telah menyusahkan Ustaz dan pembantu-pembantunya apabila kami bertry. Yang seronoknya buah-buah tersebut apabila ditry dengan pesilat-pesilat Cekak yang lalai dan kurang kemas penguasaan silatnya, mudah mereka tertewas.

Namun begitu, pelajaran penamat telah membawa erti yang besar pada kami. Tidak sia-sia kami belajar SC walau pun ketika itu penguasaan isi pelajarannya masih tidak sempurna. Masih ada masa untuk menguasai SC.

Peristiwa ‘menguji hebat’ selepas tamat benar-benar telah mengubah persepsi kami pada SC. Kehebatan SC adalah nyata. Kegagalan kami beradu ilmu dengan SC memberi kepastian kepada kami kerana persoalan yang ada telah terjawab dan terbukti. SC sememangnya sejenis silat yang boleh dipertanggungjawabkan. Bukan teori tapi pengalamian.

Sambung lagi.

Tuesday, February 9, 2010

MAJLIS PENAMAT MEMANG HEBAT

CATATAN PENGALAMAN (3)

Majlis ijazah terakhir amat menarik minat kami. Ketika itu berkumpul ahli-ahli lama. Rupa-rupanya, ayam yang kami sedia telah dijadikan lauk kenduri dan dimakan bersama dengan mereka. Kami nampak betapa cantik sekali adat tersebut. Ikatan antara ahli silat lama dan ahli silat yang baru dapat dirapatkan. Memang dijangka. Makan adalah satu alat yang cukup efektif untuk merapatkan hubungan sesama manusia. Ketika makan kami boleh berbicara dan menimba pengalaman orang-orang lama. Tentunya pengalaman mereka sebelum dan selepas menyertai SC. Hati rasa beruntung. Selama ini kami hanya dengar nama.

Pada malam itulah saya berpeluang bertemu dengan seorang ahli yang hebat kebalnya satu ketika dulu. Hingga rambut pun tidak lut dek pisau cukur. Diceritakan kepada kami betapa SC berupaya menghapuskan amalan yang karut marut. Kami khusyuk mendengar bicara daripada tokoh lama. Seorang lagi ahli lama adalah seorang yang pernah bergelar khalifah dalam persilatan yang lain. Kepada kami diceritakan pengalamannya hingga terlibat sepenuh hati dalam persilatan SC.

Pada pandangan saya, penerangan yang mereka berikan telah menambah keyakinan di hati kami untuk mengakui kelebihan SC. Begitu juga dengan ahli-ahli SC yang lain. Orang-orang lama dan berpengalaman. Hebat sekali cerita-ceriti kelebihan mereka yang secara langsung menguatkan semangat kami untuk terus belajar dan menguasai SC. Sangat berkesan majlis kenduri yang diadakan seiring dengan majlis penamat itu.

Ketika majlis ijazah penamat, semua hadirin menumpukan perhatian pada lafaz ikrar antara guru dan murid. Ramai kalangan kami yang terkumat kumit mulut, berlatih menyebut ayat sebelum tiba giliran mereka. Suasana agak tenang. Semuanya serius dan memberi tumpuan pada pelakuan Ustaz. Terkenang sahabat lama yang kemalangan motor sebelum majlis ijazah. Habis luka-luka badan. Tapi ijazah juga dalam keadaan berbalut sana dan sini.

Upucara memilih bahagian ayam sebelum mandi silat amat menarik perhatian kami. Banyak kisah lucu yang timbul. Ada yang melahirkan perasaan geram. Lain yang dirancang lain yang jadi. Di hadapan Ustaz terpilih buntut ayam dan leher ayam. Pada hal tidak ada pun dalam perancangan di fikiran sebelum itu. Masing-masing ketawa. Ada yang tersangat sukakan ayam. Pilih bahagian dada. Tapi sikit yang dapat. Mahu tak mahu terpaksalah pilih telur ayam dan terung. Yang penting perut yang lapar perlu dilayan sempurna.

Maksud di sebalik pelakuan memilih bahagian ayam itu tidak pernah kami ambil kira. Saya sendiri memilih dada dan hati. Sangkaan saya, dada dikaitkan dengan ilmu. Ilmu di dada. Hati dikaitkan dengan keikhlasan. Keikhlasan hati. Tapi ada kawan yang kata. Dada maknanya mendabik dada. Hati dikaitkan dengan keras hati. Saya diam tak kata apa-apa. Ada yang ambil kepala dengan harapan akan menjadi ketua. Saya pulak kata, kepala selalu dikaitkan dengan keras kepala. Degil. Semua ketawa. Hanya gurauan senda. Perkara pastinya, majlis tersebut amat menyeronokkan. Tak henti-henti ketawa sama ada ahli silat baru atau ahli silat lama. Cuma yang seriusnya ialah tukang catat. Tapi saya rasa diapun mengelat. Belum pilih telah catat.

Bicara Ustaz kepada saya, upucara memilih bahagian ayam tersebut bukanlah sesuatu yang diambil berat bagi melambangkan sifat murid. Ustaz tidak bergantung pada pelakuan murid memilih bahagian ayam untuk menentukan sifat mereka. Kalau guru bergantung pada upucara tersebut maka lebih baik dibuat pada waktu murid itu memasuki silat. Senanglah diawasi sifatnya. Kalau pilih kepala sebagai lambang besar kepala maka eloklah disingkirkan awal-awal lagi. Tapi Ustaz meletakkan majlis tersebut di akhir pembelajaran. Tukang catat hanya beraksi. Catatannya pun entah ke mana setelah selesai majlis tersebut.

Pada saya, majlis ayam penunjuk itu lebih kepada pemerhatian guru atas pelakuan anak muridnya. Kita tentu pernah mendengar tentang syarahan agama yang mengaitkan sifat kita dengan adab makan. Selain daripada sifat tersebut, saya yakin bahawa pemilihan makan tentunya berkait dengan selera diri. Orang yang suka bahagian buntut tetap akan memilih buntut. Tak kira buntut apa. Asalkan buntut maka itulah kegemarannya.

Tapi yang pentingnya ketika majlis itu berlangsung semua ahli silat lama dan baru duduk bersama mengelilingi Ustaz. Pelakuan yang menimbulkan suasana mesra telah mengeratkan lagi hubungan ahli silat yang lama dan yang baru. Sesuailah dengan konsep sesama ahli tidak boleh bergaduh. Macam mana nak bergaduh kalau kemesraan sentiasa dipupuk dari masa ke masa.

Ketika majlis mandi silat berlangsung, suasana adalah sungguh riuh. Sekali lagi mulut kumat kumit menghafal ayat perlimau keliling badan. Suara riuh bertanya-tanya sama ada perlu memakai basahan kain putih yang baru diperoleh. Ada yang kata, “Pakai aje.” Tapi ramai yang sayang kerana ingin memulakan penggunaannya di tempat sendiri.

Sambung lagi.

Monday, February 8, 2010

PROSES LATIHAN DI KELAS KAMI.

CATATAN PENGALAMAN (2)

Kenyataan dalam artikal tersebut iaitu Silat cekak dapat menentang segala jenis silat dalam negeri dan luar negeri, amat kami ragui. Apatah lagi ada sebutan nama silat yang menjadi amalan persilatan kami. Bagi kawan saya tersebut tentunya hati beliau tidak senang. Kuntau adalah pemakaian beliau. Mana mungkin Silat Cekak telah mengusai keputusan silatnya dalam jangka masa yang pendek. Pada hal beliau sendiripun tidak pasti akan maksud keputusan yang ada. Nampak sangat keegoan dan cakap besar yang ada dalam persilatan SC. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Hal ini demikian menjadikan kami sangat berminat untuk menjejaki SC dengan sepenuhnya bagi membuktikan kepalsuan atau kebenaran.

Kelas latihan diadakan dua kali seminggu iaitu hari Sabtu dan hari Ahad, bermula dari pukul tiga hingga enam petang. Kandungan isi pelajarannya begitu asing bagi kami. Tidak ada upucara pembuka gelanggang atau penutup gelanggang. Pakaian silat juga adalah bebas. Komen kami seolah-olah dalam SC kurangnya ikatan disiplin para penuntut terhadap silatnya. Pakaian silat, kami jadikan ukuran kerana pakaianlah yang sangat ditekankan ketika kami menuntut silat yang terdahulu.

Disiplin kami semasa menuntut adalah secara sambil lewa sahaja. Semangat kurang ada. Kalau rasa letih maka kami akan duduk bersembang. Ustaz dan pembantunya tak terkata apa. Apatah lagi apabila ada dalam kalangan pembantu Ustaz yang rajin melayan karenah kami untuk bersembang. Semestinya isi sembang tersebut berkisar pada kemegahan Silat Cekak. Seronok pun ada. Meluatpun ada. Semuanya seolah-olah mereka saja yang hebat.

Nampaknya, walaupun masa yang diuntukkan untuk pembelajaran silat adalah selama tiga jam latihan, tapi ramai yang curi tulang. Mula-mula tidak ada baris untuk latihan. Semuanya bebas berlatih. Pembantu Ustaz yang ada kurang memberi teguran. Agaknya segan kerana kami penuntut universiti. Lebih-lebih lagi itulah pertama kali SC bertapak di universiti. Satu perkembangan baru dalam proses perkembangan Silat cekak. Lama-lama baru saya nampak ada perubahan dalam pendekatan latihan. Agaknya mereka tidak berpuas hati akan sikap kami yang ada. Arahan berbaris dimulakan. Maka terpaksalah semuanya berbaris berdasarkan pasangan masing-masing untuk berlatih sama ada rela atau tidak. Kiraan gerak dikira dari satu hingga lapan. Berpeluh juga dibuatnya. Ada yang kata idea baris yang ada sekarang di kelas-kelas latihan SC adalah bermula daripada kelas kami. Ekoran daripada sikap malas berlatih.

Pastinya ada sebab mengapa Ustaz kurang bersikap tegas. Mungkin ketika itu, Ustaz menggunakan pendekatan psikologi. Untuk menyatakan kebenaran pasti memerlukan pengorbanan. Ustaz juga pernah menceritakan kepada saya tentang sebuah pusat latihan sebelum itu yang dikendalikannya. Ahli silat yang ada adalah pelbagai ragam. Ada yang mabuk ketika bersilat. Bawa air setan bersama. Ustaz biarkan saja. Tumbuk, dia jatuh. Ditumbukpun dia jatuh. Tidak dapat mengawal fikiran. Walau bagaimanapun kelas berkenaan berjaya ditamatkan. Ramai yang berasa malu atas sikap yang mereka amal atau miliki selama itu. Ada yang menjadi orang rapat Ustaz dan bersama dalam proses penyebaran SC. Semasa kempen membuka kelas di tempat saya, ada antara mereka yang turut hadir. Saya sempat bersembang dengan mereka. Banyak kisah lama ketika belajar SC yang diceritakan mereka. Sekali sekala saya tersenyum dan ketawa. Tapi banyak senyum dan ketawa yang dibuat-buat.

Di pusat latihan saya, oleh sebab kebanyakan penuntut adalah ahli silat lain, penerimaan SC tidak semudah yang ada. Perasaan curiga tentang kehebatan SC tetap ada. Tambahan pula dalam kalangan pembantu Ustaz yang hadir bersama membantu Ustaz mengajar kami, ada yang cakapnya umpama cakap besar. Bermegahkan SC walaupun kami rasa pergerakannya pun tak tentu hala. Antara pembantu Ustaz yang sering hadir bersama ialah Din Panjang, Jo Marwi, Masjo, Bakar, Tombei, Nordin, Nasir, Amruddin, Yang dan Pak Wan. Seingat saya hanya Yang dan Din Panjang yang masih kekal bersama En Mat. Jo Marwi, Amruddin dan Nasir di sebelah sana dan yang lainnya entah ke mana.

Saya jarang berlatih dengan mereka. Apabila buah silat saya peroleh daripada Ustaz, terus saya berlatih dengan pasangan saya. Tak banyak cakap. Sekali sakala, Pak Wan dan Yang amat banyak idea bicara. Lain-lain pembantu adalah senyap-senyap belaka dan masih kebudakan. Dari segi rupa, nampak akan sifat mereka yang kurang matang berbanding dengan kami yang sejumlah besarnya hampir mencecah usia empat puluh tahun. Tapi saya baru berumur dua puluh dua tahun pada masa itu. Mereka tak banyak cakap kecuali Pak Wan, Yang dan Din Panjang yang kelihatan tua dan banyak idea. Jo Marwi sememangnya pendiam. Mukanya selamba saja.

Kalangan pembantu Ustaz, Pak Wan lebih banyak sifat barannya. Bila cakapnya disanggah oleh ahli kumpulan kami, cepat benar melentingnya. Maklumlah. Beliau bercakap tentang kemegahan Silat Cekak pada kalangan kami yang berpengalaman dengan persilatan yang lain. Bukan mudah untuk menerima percakapannya. Maka pernah di satu ketika, Pak Wan melepas geramnya melalui gerak SC terhadap salah seorang daripada kami. Walau bagaimanapun, perbuatannya kemudian telah ditegur oleh Ustaz.

Rupa-rupanya bukan mudah mengajar silat pada orang yang tahu akan silat. Tidak kiralah apa jenis silat sekalipun. Kita yang menjadi Jurulatih SC pun tentu memahami akan maksud kata-kata tersebut. Teringat kata-kata Ustaz. Menurutnya, jika gelas yang kosong maka mudahlah kita isi air ke dalamnya. Sebotol kecil air sudah boleh memenuhi gelas yang kosong tersebut. Jika gelas itu berisi air yang penuh, untuk menggantikan air yang ada dalam gelas tersebut maka kita memerlukan berbotol-botol air. Lagi berwarna air tersebut, maka lagi susah untuk menggantikan air yang berwarna itu dengan air yang berwarna lain yang cuba kita tuangkan ke dalamnya. Kalau air yang ada itu berwarna sama dengan air yang cuba kita tuangkan ke dalamnya maka susah juga untuk menampakkan perbezaan antara air yang kita isi dengan air yang sedia ada.

Kiasnya, bukan mudah untuk kita memasukkan kefahaman baru tentang silat dalam kalangan ahli-ahli yang mengamalkan silat lain yang berbentuk tradisional. Mana ada silat yang berdiri lurus dan berdiri tegak tanpa menampakkan riak, melainkan SC. Itulah perkara baru dalam pengetahuan kami dan dalam dunia persilatan. Luar daripada kebiasaan. Namun begitu hati kami berasa ragu-ragu untuk menerima kenyataan SC hebat. Walau bagaimanapun kami tetap juga mengeluarkan belanja untuk mendapatkan ilmu yang ada hingga tamat pengajian SC.

Apabila dikatakan setelah tamat boleh try, ramai yang bercita-cita untuk try. Kami minta tempoh seminggu berehat sebelum tamat silat. Hal yang demikian bagi memberi peluang kepada mereka yang ingin try balik ke tempat masing-masing berjumpa guru asal yang ada bagi maksud try. Saya pun berbuat demikian. Inilah peluang kami untuk mencari bukti tentang kehebatan SC. Silat Cekak perlu diuji. Maka barulah puas di hati.

Walaupun peluang bertry diberikan kepada kami, acara tamat silat tetap kami sertai. Walaupun ada yang tidak dapat tamat tapi bilangannya sikit sekali. Syarat tamat ketika itu masih ketat. Kami perlu menyediakan seekor ayam jantan kampung yang sedang mula hendak berkokok. Itulah perbuatan simbolik yang menarik perhatian kami. Ayam jantan yang baru mula berkokok tentunya bernafsu hebat. Sentiasa galak dan asyik mengereng. Itulah harapan pada kami yang nak tamat agaknya. Biar hebat sebagaimana kehebatan yang ditunjukkan oleh ayam tersebut. Sentiasa bernafsu untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan tentang SC.

Kami berbelanja sebanyak sepuluh ringgit seorang bagi seekor ayam. Tugas menyediakan ayam diberikan kepada pembantu Ustaz. Kami ada bersama semasa Ustaz menyebelih ayam. Antara bilangan ayam itu, Ustaz memilih dua ekor untuk dibuat ayat penunjuk. Namun begitu ada juga ayam kami yang mati sebelum disembelih. Maka berkata-katalah sesama kami secara gurauan tentang siapa tuan punya ayam yang dijadikan penunjuk dan tuan punya ayam yang mati sebelum dimatikan. Tidak ada maksud lain melainkan kami menjadikan perkara tersebut sebagai bahan lucu dan bahan ketawa.

Kita sambung lagi.

Saturday, February 6, 2010

PERTEMUAN SAHABAT LAMA.

CATATAN PENGALAMAN

Dalam perjalanan balik dari Sabah, tiba-tiba nama saya dipanggil berulang kali. Saya tersentak dan memandang wajah si pemanggil.
“Tak kenal saya lagi?” Itulah suara yang keluar dari wajah yang kelihatan ceria. Saya tidak menjawab kerana memang saya tak ingat.

“Sayalah Sidek Stro. Sama-sama belajar SC di UM dulu.”
Baru saya teringat. Kami berpelukan. Maklumlah. Telah lebih daripada tiga puluh tahun yang lalu, maka kini baru berjumpa. Seorang di Johor, seorang di Perak. Akhirnya bertemu semula di Sabah. Raut mukanya masih muda. Usianya sama dengan saya. Baru lima puluh enam tahun. Mungkin warna kulitnya lebih gelap berbanding saya.

“ Silat Cekak macam mana.” Timbul pertanyaan sambil lewa daripadaya. “Dengar cerita telah berpecah dua.” Sambungnya lagi.
Saya tersenyum sahaja dan terus menjawab,”Bukannya berpecah dua tapi dah jadi tiga. Itu yang rasminya. ” Sama-sama ketawa. Tentunya ketawa kami berlainan maksudnya.

Kami berbual panjang. Dalam perbualan tersebut sempat beliau bertanya dan menyatakan perkembangan ahli-ahli yang sama-sama belajar SC dahulu. Pasangan silat saya rupa-rupanya telah menjadi MP di sebuah kawasan di negeri utara. Saya tak perasan kerana beliau berada di parti pembangkang. Kalau perasan pun tentu tak selesa nak jumpa. Pegawai kerajaan lain maksudnya.

Teringat kisah lama bersama dengan pasangan silat saya. Dalam bidang persilatan, dia tak tahu apa benda pun. Asas silat lain langsung tak ada. Maka penerimaannya pada setiap pelajaran silat adalah agak lembab sedikit berbanding dengan saya. Oleh itu saya berperanan sebagai pemudah cara untuk memudahkan kefahamannya. Maka mudahlah saya membuat penerangan bagi setiap buah yang kami terima tanpa ada sebarang perbahasan daripadanya. Kadang kala saya lajakkan saja penerangan padanya. Beliau terima saja. Apabila saya sendiri menerang padanya maka secara langsung kefahaman saya menjadi mantap dan bertambah. Jika saya tidak faham maka akan saya bertanya pada Ustaz. Jawapannya menyebabkan saya lagi faham dek kerana proses memahamkan kawan. Beliau turut apa saja kehendak saya. Oleh itu banyak kali dia yang tumbuk dan saya membuat buahnya.

Terfikir juga. Itulah salah satu untungnya jika pasangan kita kurang mengetahui tentang silat. Kalau tidak ada sifat bertolak ansur, maka masing-masing akan tunjukkan kebolehan. Akibatnya masa latihan silat akan kurang. Lebih banyak bercakap dan bertengkar daripada berlatih.

Dalam kalangan ahli yang lain ada yang sedang menjadi pengarah pelajaran di salah sebuah negeri di semenanjung dan ada juga yang telah bergelar arwah. Mereka yang masih ada, ramai yang sudah tak aktif lagi kecuali saya dan En Abu Hamid. Manakala seorang lagi sahabat telah berada di seberang sana. Hanya kami bertiga daripada jumlah yang tamat, masih bergiat dalam pementasan SC.

Mengimbau kisah lama di pusat latihan UM. Ketika itu saya telah dilantik sebagai presiden persatuan. Masa kami belajar di kelas yang sulung tersebut, bilangan ahli berdaftar adalah seramai 56 orang. Rasanya empat puluh lebih yang tamat. Rata-rata mereka yang mempelajari SC itu, semuanya pernah belajar silat lain. Antara mereka, ada yang bertaraf guru seperti guru silat tongkat daripada Terengganu dan ada juga antara mereka yang bertaraf Jurulatih seperti kawan saya tersebut. Silatnya ialah sejenis silat kuntau daripada Johor.

Kesemua mereka sangat berminat dan berkeinginan untuk mengetahui tentang SC secara lebih mendalam. Tambahan pula SC baru mula bertapak. Pergerakannya yang luar daripada kebiasaan yang ada telah menarik minat kami. Gendang dan tari tidak ada. Itu semua telah menjadi satu tanda tanya kepada kami. “Betulkah hebat SC ini.” Itulah antara lain persoalan yang sering kami bincangkan. Saya masih simpan satu artikal lama tentang Silat Cekak yang pernah diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan sukan Malaysia pada November 1969. Kami jadikan sebagai satu bahan rujukan dan sering membuat perbincangan sesama kami. Persoalan sejauh mana kebenaran dalam tulisan tersebut amat kami nanti-nantikan. Percaya mungkin boleh tapi nak yakin, hati susah sikit menerimanya.

Dalam tulisan ini saya tuliskan kembali sebahagian daripada artikal tersebut untuk tatapan kita bersama tanpa mengubah ayat atau perkataanya melainkan ejaan yang diubah berdasarkan ejaan baku bahasa Melayu. Artikal tersebut masih ada dalam simpanan saya.

Petikan daripada artikal tersebut bertuliskan yang sedemikian:

“Sebenarnya silat ini bukanlah sejenis silat permainan bahkan sejenis silat menjaga diri (Self Defence).

Namanya yang asal ialah SILAT CHEKAK sekarang diberi nafas baharu dengan nama SILAT KEDAH kerana menurut sejarah, silat ini berasal dari negeri Kedah sendiri. Silat ini adalah berlainan caranya dari silat-silat yang ada, sama ada dari dalam dan luar negeri. Ianya tak mempunyai tari, Silat Kedah ini ada mempunyai kaedah-kaedahnya yang tetap dan tak boleh dipinda-pinda. Kaedah-kaedahnya ialah A, B, C dan D, iaitu lapan perkara, empat tangan kiri dan empat tangan kanan dan mempunyai dua tapak sahaja. Ia tidak mempunyai tapak tiga dan empat sebagaimana yang dimainkan oleh silat-silat lain, lebih tegas silat ini ialah silat tangan dan bukannya silat badan kerana tanganlah yang menjaga badan. (Rakyatlah yang mesti mempertahankan Raja). Tangan yang mendatang dan tanganlah yang menyambut, bukannya tangan yang datang badan yang lari.

Silat ini menanti musuh dengan berdiri tegak seperti mana orang berdiri ketika hendak sembahyang kerana diambil kaedahnya dari orang yang berdiri seperti berdoa, Takbir, Qiam dan Roko’. Menurut pengetahuan silat ini berdiri lurus seperti orang hendak bersembahyang itu adalah berdiri yang paling kukuh sekali dan ia dapat menanti musuh dari empat penjuru, dari hadapan, kiri, kanan dan serangan dari belakang. Ia tak mahu berdiri menanti musuh dengan satu kaki di hadapan dan satu kaki di belakang kerana pada pendapatnya berdiri begitu adalah tak kukuh dan mati langkah jika diserang dari kiri dan kanan.

Silat ini tak melangkah ke kiri dan ke kanan andainya diserang musuh, bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu (iaitu makan gerak dalam gerak) sambil menangkis sambil memakan. Sekiranya silat ini menyerang ditangkis pun makan dan tak ditangkis pun makan. Menurut kaedah, kajian dan falsafah silat ini ia dapat menentang segala jenis silat dalam negeri dan luar negeri.

PELAJARANNYA
Mempelajari dan mengkaji segala buah keputusan Silat Melayu itu menjadi mata pelajarannya, umpamanya keputusan silat-silat Sendeng, Terlak, Lintau, Harimau, Kuntau, Kemanga, Sepelet dan Gayung Petani. Tujuan besar silat ini mengkaji segala keputusan ilmu (buah silat) silat melayu ialah supaya ia dapat mengalahkan musuh ketika ianya menyerang.”


Begitulah sebahagian daripada petikan artikal tersebut. Saya tidak ingin berbincang dalam tulisan ini tentang pengertian atau ketepatan artikal itu berbanding dengan kenyataan dan perkembangan yang ada sekarang. Mungkin saya akan ulas dalam tulisan yang lain. Cuma pada ketika itu, Cuma itulah rujukan kami tentang maksud Silat Cekak yang ada. Di samping itu ada artikal yang ditulis dalam Dewan Masyarakat pada tahun tujuh puluhan. Kemudiannya kalau tak salah saya ada kajian ilmiah yang ditulis oleh seorang penuntut tentang SC bagi memenuhi syarat ijazahnya. Selain daripada tulisan-tulisan tersebut, tidak banyak tulisan yang menceritakan tentang Silat Cekak. Oleh hal yang demikian maka kami simpan artikal di atas sebagai bahan tatapan dan rujukan kami. Sekali sekala kami jadikan sebagai bahan perbincangan.

Kita sambung lagi.

Tuesday, February 2, 2010

PERANAN DIRI DALAM SC

Kehebatan SC erat kaitannya dengan kehebatan diri yang berada dalam SC itu sendiri. Kalaulah kesemua ahli silatnya berfikiran luas dan terhindar daripada unsur-unsur toksid maka silat itu akan menjadi hebat sepanjang masa. Namun begitu menghindari manusia toksid dalam mana-mana organisasi adalah merupakan sesuatu yang mustahil.

Dalam silat, saya tersangat suka menjiwai erti kemerdekaan. Konsep kemerdekaan adalah merupakan salah satu daripada ajaran Ustaz. Untuk itu saya lebih rela berterus terang dalam semua aspek yang bersangkutan dengan bidang persilatan. Sifat terus terang ini juga saya nyatakan dengan guru, apatah lagi dengan orang lain. Kadang kala orang lain tidak suka mendengarnya dan membuat pelbagai tafsiran hingga boleh mempengaruhi guru. Saya tetap tidak peduli dengan keadaan tersebut. Berdasarkan pengalaman, saya pernah memberi pendapat yang berlainan dengan pandangan Ustaz. Misalnya soal pengambilan penuntut wanita, penggunaan pistol dan sebagainya. Saya pernah menyentuh soal ini dalam tulisan yang terdahulu. Keikhlasan kita dalam sifat berterus terang mungkin mudah difahami oleh guru. Sebaliknya mungkin tidak pada orang lain. Maka ambil sikap jangan peduli apa orang lain kata. Peribliskan mereka.

Saya adalah saya. Dari dulu lagi saya suka berterus terang. Sesuatu yang tak kena di hati maka akan saya nyatakan. Sikap ini juga meliputi pandangan saya pada kepimpinan yang ada. Pastinya pandangan tersebut dalam adab yang saya faham. Kadang kala kepimpinan tak melenting tapi orang kanannya pulak yang melenting. Yang seronoknya ada orang kanan yang melenting tersebut telah lari ke pihak lain. Pada hal saya tetap saya. Masih tak lari ke mana-mana. Pendirian saya diasaskan Ustaz. Saya faham apa yang patut dilakukan demi meneruskan perjuangan Ustaz. Akan tetapi ramai yang benak rupanya. Lucu pun ada. Bangangpun ada.

Ustaz pernah menyatakan betapa para pemimpin termasuk guru silat yang jatuh atau kecundang kerana orang kanannya. Salah satu puncanya adalah sikap berpura-pura yang diamalkan oleh orang kanan yang enggan menyatakan ‘kebenaran’ walaupun kebenaran itu dikatakan pahit. Oleh itu, saya tetap berpegang dengan pendapat betapa perlunya peranan kita untuk menyatakan perkara sebenar bagi pertimbangan guru. Sama ada guru kita hendak dengar atau tidak maka terpulanglah pada dirinya. Namun begitu, apa juga bentuk keputusan yang dibuatnya perlulah kita akui memandangkan tarafnya sebagai guru yang profesional dalam bidang silat.

Dalam soal ini, saya sangat bersetuju betapa perlunya kita bersikap jangan bermuka-muka. Berkata benarlah. Apa yang ada dalam hati maka nyatakan melalui mulut dalam konteks keikhlasan kita sama ada untuk mendapatkan penjelasan atau kebenaran. Jika tidak, kalau lain di hati dan lain di mulut maka itu namanya pembohong. Jadilah kita pembohong hakiki yang terpaksa berpura-pura dalam kehidupan seharian bersama pemimpin kita. Menyembunyikan kebenaran daripada menyatakan sesuatu yang benar bukanlah bermakna kita hormat atau beradab. Sebaliknya kita telah bersikap khianat. Pada hal guru kita juga menganjurkan kita bercakap benar. Bercakap benar juga bermakna kita tidak menyembunyikan sesuatu daripadanya. Apa yang ada di hati maka itu juga yang diucapkan melalui mulut. Tetapi biarlah dalam suasana sopan dan beradab.

Saya teringat kata-kata amaran sahabat saya satu tempoh yang lalu. Ketika saya bercakap terus terang dengan mengomen sedikit pembawaan kepemimpinan maka diingatkan saya dengan nada yang keras sekali. Antara lain beliau mengingatkan saya supaya sedar diri dan jangan harus ada sedikitpun perasaan curiga pada pemimpin. Juga jangan membuat sebarang komen pada guru. Wow. Hebatnya kesetiaan beliau. Tapi hanya ketika itu. Bila berpecah, beliau beralih angin dan lain pulak jadinya. Usahkan mencaci. Beliau buka blog khas untuk mengutuk gurunya sendiri. Habis guru dicacinya dari luar dan dalam. Hebatnya manusia haprak yang sedemikian rupa. Perangainya tersangat buruk hingga terpaksa melacurkan pegangan diri sendiri. Perasan nak jadi guru rupanya. Strateginya dirancang sedemikian rupa. Ada wawasan diri. Namun begitu gagal mempergunakan saya. Akan tetapi beliau juga ada pengikutnya. Adik beradik haprak semuanya. Nasib baik bisik semak kurang menjadi. Kalau tidak hilang sebiji anunya.

Kadang kala terfikir juga. Kalaulah mereka yang menentang En Mat sekarang ini menyatakan kebenaran dari dulu lagi yang mereka tidak suka padanya maka senanglah En Mat mengenyahkan mereka daripada persatuan dan persilatan SC. Mereka sepatutnya berterus terang. Tapi itu tidak berlaku. Hiduplah mereka dalam suasana kepura-puraan dan pembohongan dalam SC. Asyik mengata orang lain berbohong, hakikat diri yang berbohong, tidak disedari. Menunggu masa, saat dan ketika untuk mengenyahkan guru pula. Itulah strategi namanya. Strategi yang mengena. Kepandaian kancil. Kancil adalah binatang. Rupa-rupanya Mak Teh telah berjaya mengesan sifat mereka dari dulu lagi, hingga terkeluar gelaran.

Walau bagaimanapun, seperti yang saya bincangkan dalam tulisan terdahulu, konsep guru dalam kalangan ahli SC kadang kala adalah tidak jelas bagi sesetengah murid. Lebih-lebih lagi jika murid silat tersebut telah diijazah oleh Ustaz sendiri. Pepecahan yang berlaku dalam SC juga adalah hasil kerja tangan dan kerja kaki bekas-bekas penuntut SC yang diijazah oleh ustaz sendiri. Hasil kerja fikir telah diletakkan di anu. Namun begitu, yang pastinya sama ada mereka suka pada guru atau tidak, pelajaran SC masih dianggap yang terbaik dan perlu dipusakai.

Sekian dulu setakat ini.

Monday, February 1, 2010

PERANAN MURID DALAM SC

Ada yang bertanya saya tentang tajuk tersebut. Soalan mudah tapi payah juga menjawabnya. Jawapannya boleh dibincang dalam pelbagai sudut peranan murid yang berkenaan. Tidak dapat dielakkan juga perbincangan itu juga akan menyentuh peranan sebagai ahli persatuan yang terikat dengan peraturan persatuan atau peranan sebagai ahli silat yang terikat dengan adat dan adab persilatan.

Dalam tulisan ini saya akan fokaskan pada peranan saya selaku murid dalam SC pada satu ketika yang lalu. Bolehlah kita berkongsi pengalaman buat generasi baru. Namun begitu, jangan main ikut-ikutan. Lihat juga nilai diri yang ada sebelum dibuat penyesuaian atau ulasan. Hal ini demikian bagi mengelakkan sebarang kekecewaan. Dalam tulisan ini juga, saya akan cuba mengulas tentang tindak-tanduk murid-murid lain yang mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai dengan sikap dan pandangan saya selaku murid dalam SC.

Pada saya, sebagai seorang murid silat, kita perlu memupuk perasaan ikhlas terhadap guru di hati kita. Konsep ikhlas tidak perlu dibuktikan kepada sesiapa. Kita yang empunya diri sahaja yang mengetahuinya. Walaupun mungkin ada perasaan yang berkata-kata atau ragu-ragu, sifat dan sikap tersebut perlu dihapuskan dengan seberapa segera. Lafaz ketika ijazah boleh dijadikan pegangan untuk mentaati guru sepanjang masa. Bila bersalam, tenung muka guru dan tunjukkan sifat menerima dan gembira bertemu dengannya. Adab kita bersama guru perlu dijaga dengan sempurna. Hindari daripada perkara-perkara yang guru kita tidak suka. Saya ambil satu contoh pengalaman ketika bersama dengan Ustaz. Ketika duduk atas kerusi, ada dua perkara yang Ustaz tidak gemari. Pertama, duduk menyelang kaki dan kedua lutut berhinjut-hinjut ketika duduk. Pengalaman ini saya dapati ketika Ustaz menegur salah seorang murid silat yang berbuat demikian. Oleh itu hal yang demikian jadikan panduan dan sempadan ketika berhubung dengan guru kita. Lain padang maka lain belalangnya.

Kepentingan adab kita bersama guru juga adalah bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati guru terhadap kita. Perasaan tak puas hati ini, walaupun sedikit atau berbentuk lintasan akan menjadi penghalang utama bagi guru untuk menurunkan sebarang ilmu atau meneruskan perbualan dengan kita. Pernah terjadi ketika Ustaz ingin membincangkan sesuatu petua, suaranya seakan-akan tersekat yang menghalang perbualannya. Pada fikiran saya tersekat-sekat tersebut pastinya ada kaitan dengan hati dan fikirannya. Maknanya ialah ada sesuatu yang tak kena pada hatinya hingga menyebabkan ilmu yang berharga yang sepatutnya ingin disampaikan pada ketika itu telah terhalang. Dulu tidak ada majlis petua. Petua yang diperoleh adalah berdasarkan kerelaan Ustaz untuk menyampaikannya. Itu sebabnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu sama ada fizikal atau petua, saya lebih suka berjumpa dengan Ustaz secara empat biji mata. Kalau membawa kawan lain, jika adab tak erti digunakan, pasti saya akan kecewa untuk mendapatkan apa yang dihajati. Maka perlulah kita bersopan dan bertertib ketika kita bersama guru jika inginkan ilmu seterusnya.

Sebagai murid pastinya kita akan cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati dan kehendak guru. Fahami akan perkara-perkara yang digemarinya serta hindari diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak digemarinya. Kita juga perlu sedaya upaya menjadikan guru sentiasa berpuas hati dengan segala tindak tanduk yang kita lakukan. Lebih-lebih lagi jika guru kita tersebut berkata kias dan melakukan sesuatu dengan maksud kias. Sesungguhnya, diri kita juga akan diuji tentang kesungguhan dan kesetiaan kita terhadapnya tanpa kita sedari. Ujiannya adalah pelbagai. Oleh itu, berhati-hatilah dengan sifat dan perbuatan kita. Jadikan diri kita sepanjang masa adalah sama. Cuma yang perlu kita lakukan adalah penyesuaian diri atas kehendak adab dan sopan pelakuan kita yang sepatutnya seperti mana yang disarankan oleh guru kita.

Semasa kehadiran guru dalam kelas latihan silat, tunjukkan kesungguhan kita bersilat. Saya rasa ini juga adalah merupakan peranan kita sebagai murid silat. Kalau persilatan kita hebat, tentunya guru kita berasa puas. Kesungguhan yang kita tunjukkan akan memberi kepuasan kepadanya sebagai guru yang bertanggungjawab mendidik dan melahirkan murid silat yang hebat. Kalau di zaman Ustaz, kehebatan dan kesungguhan kita bersilat akan menjadikan Ustaz berasa suka dan akan menarik perhatiannya untuk turun ke kalas latihan bersama kita. Maka banyaklah lagi tambahan ilmu dan petua yang akan kita peroleh.

Peranan kita sebagai murid SC juga ada kaitannya dengan tugas atau amanah yang diberi. Misalnya, saya pernah diberi peranan sebagai Jurulatih. Maka peranan saya sebagai murid silat akan disesuaikan dengan kehendak atau peranan atas tanggungjawab sebagai Jurulatih. Dalam hal ni, sebelum saya menunaikan amanah guru bagi mengajar murid-murid silat yang lain, saya akan dapatkan restu guru terlebih dahulu. Selepas bersalam dan menerima pesanan jika ada, barulah kami menunaikan tanggungjawab mengajar silat. Mungkin prinsip ini sukar dilakukan sekarang. Apatah lagi jika kelas latihan kita berjauhan di cawangan.

Walau bagaimanapun, prinsip ini masih boleh dilanjutkan. Jurulatih yang ingin menunaikan tanggungjawab silatnya bolehlah mendapatkan restu daripada penyelia kelas yang merupakan wakil guru. Inilah simbolik akan adab silat kita. Secara langsung, di peringkat cawangan hanya ada seorang ketua yang menyelaras semua kegiatan silat. Hal ini akan menjadikan cawangan berkenaan utuh dan tidak mudah berpecah.

Ramai kalangan kita yang berpindah setelah tamat pengajian. Maka peranan kita mengembangkan SC di tempat kita berpindah perlu juga diutamakan. Hal ini demikian kerana kita mengakui kehebatan SC. Pengakuan ini akan lebih bermakna jika kita menyebarkannya dalam kalangan masyarakat kita supaya ilmu yang hebat tersebut dapat dikongsi bersama. Lebih-lebih lagi kalau menganggap SC adalah hak masyarakat. Maka perlulah menyebarkan silat ini dalam kalangan masyarakat secara bersungguh-sungguh. Secara sukarela lagi baik.

Di peringkat cawangan, tanggungjawab kita semakin berat. Peranan kita bukan sahaja meliputi pergerakan silatnya tapi juga pergerakan persatuan yang menjadi asas kebenaran pergerakan silat kita. Di samping peranan sebagai pentadbir atau pengurus persatuan yang mengendalikan beberapa kehendak peraturan, kita juga tidak terlepas daripada tanggungjawab silat. Di samping mengajar silat, adat-adat yang berkaitan dengan silat perlu kita pelihara dengan sempurnanya. Misalnya, ketika acara ijazah awal atau penamat, lakukan dengan sepenuh hati, lengkap dan kemas. Seboleh-bolehnya tidak ada cacat cela dari segi pengendalian majlis ijazah tersebut.

Setiap ijazah yang memerlukan perbuatan mandi silat, biasanya saya akan disuruh Ustaz untuk mewakilinya. Untuk itu saya akan bersalam dengan Ustaz terlebih dahulu untuk meminta izin sebelum perbuatan memandi dilakukan. Walaupun isyarat membenarkan saya memandikan murid silat telah ditunjukkan oleh Ustaz, tapi saya masih lagi meminta izin daripadanya. Melalui pendidikan yang saya terima, semua bentuk sentuhan sama ada secara salam atau berpelukan dengan orang yang hebat, akan melahirkan aura mereka ke tubuh badan kita. Di situlah lahirnya konsep keberkatan. Kehebatan guru perlu kita miliki. Bersalam secara ikhlas adalah salah satu kaedah yang mudah untuk memperolehinya. Bukan setakat menunggu sisa makanan atau minuman.

Kesimpulannya, penglibatan kita dalam SC perlu jelas. Persoalkan matlamat akhir kita bersilat. Kalau ingin mengurus diri dalam bidang persilatan maka carilah ilmu SC secara mendalam dan selidikinya dengan bersungguh-sungguh. Dampingi guru dan orang-orang hebat dalam persilatan SC. Sebaliknya jika ingin mengurus silat melalui persatuan maka tidaklah perlu melihat diri dalam penguasaan ilmu silat. Timbulkan minat bersaing untuk jawatan. Pasang strategi. Yang pentingnya dapatkan jawatan. Walau bagaimanapun, segala-galanya adalah bermula dengan niat. Niat akan disertai oleh perbuatan. Sentiasalah nilaikan perbuatan kita. Muhasabah diri hingga boleh membuat ketetapan. Tapi muhasabah biar betul. Bagaimana pula hak diri kita dalam SC.

Sekian setakat ini.