Monday, December 29, 2008

PENGALAMAN SEBAGAI JURULATIH

IRAMA DAN LAGU

Biasanya Satu Muharam setiap tahun akan dinanti-nantikan oleh semua Jurulatih SC untuk meraikan diri mereka. Karaian tersebut akan diisi dengan ceramah, pemberian cenderamata dan ikrar. Ada yang menjiwai perhimpunan tersebut dan ada yang menganggapnya sebagai satu perayaan. Ada yang berikrar untuk terus memaju dan meluaskan perkembangan SC. Ada yang seronok-seronok berikrar kerana adanya glamor. Terpulanglah kepada penerimaan dan tanggapan masing-masing. Apapun, selesai perhimpunan, masing-masing akan kembali ke pusat-pusat latihan atau ke kelas-kelas untuk menyebarkan SC. Tapi ada yang tak sedar tentang tanggungjawab sebenar hingga memaksa diri terlibat dalam pelbagai bidang termasuk politik dalam SC. Yang berjuang akan terus berjuang dan yang “berjuang” juga akan terus “berjuang”. Itulah nikmat dak hikmah ketika menjadi Jurulatih.

Banyak kali saya menulis tentang peranan kita sebagai Jurulatih. Kita yang melatih para penuntut, maka tanggapan kita pada diri kita amat penting. Biarlah apa pun peranan dan tugas yang diberi atau ditafsirkan kepada kita, akhirnya tanggapan kita pada diri kita sendiri akan memainkan peranan penting tentang hala tuju kita semasa membimbing para penuntut. Peranan Jurulatih adalah sebagai wakil Guru. Jatuh bangun satu-satu kelas tersebut ada kaitannya dengan Jurulatih. Malah kehebatan penuntut yang menuntut SC juga bergantung pada kehebatan Jurulatih. Saya selalu melihat atau menyaksikan penuntut-penuntut yang hebat kerana adanya jurulatih yang hebat di kelas berkenaan. Dedikasi yang dipancarkan pada penuntutnya menyebabkan penuntut-penuntutnya hebat dan yakin serta menaruh harapan yang tinggi pada SC. Biasanya kelas berkenaan amat maju dan memberi sumbangan yang besar pada proses perkembangan SC.

Dari segi bahasa, Jurulatih memainkan peranan sebagai guru. Ahli yang menuntut SC daripadanya adalah merupakan murid kepada guru berkenaan iaitu jurulatih tersebut. Akan tetapi oleh sebab pengertian Guru dan Murid begitu istimewa dalam SC maka peranan Guru sebenar tetap ada dan tetap utuh. Selalu juga saya ingatkan kepada para jurulatih yang saya latih, “Jangan umpamakan diri sebagai lilin yang menyinari sekeliling tapi rela membakar diri. Jadikan diri umpama matahari yang menyinari alam.” Kiasan tersebut membawa maksud bahawa dalam usaha kita melahirkan bijak pandai fizikal di kalangan penuntut kita, kehebatan kita sendiri mesti terus bertambah dari masa ke masa. Lagi lama kita melatih dan melahirkan penuntut SC maka selagi hebatlah pergerakan kita. Begitu juga dengan kefahaman kita dalam SC. Lagi lama kita menanam kefahaman tentang SC kepada para penuntut kita maka lagi fahamlah kita akan prinsip dan falsafah yang ada dalam SC. Amat malang sekali jika murid atau penuntut yang kita lahirkan lebih pandai bersilat atau lebih pandai memahami konsep, prinsip dan falsafah yang ada dalam SC berbanding dengan diri kita sendiri.

Oleh itu, jika kita ingin benar-benar memainkan peranan sebagai Jurulatih yang hebat dan luar biasa, tambahkan ilmu dan pengalaman tentang pergerakan silat dan kefahamannya. Jangan mudah menganggap diri kita sudah lengkap. SC bukannnya bergantung pada teori semata-mata. Silat ini memerlukan kita terlibat dalam latihan yang berterusan. Punca-punca bagi mendapatkan kedua-dua bidang ilmu dalam SC tersebut amat banyak. Pilihlah puncanya daripada mereka yang benar-benar ikhlas untuk meluaskan SC tanpa melihat mereka terlibat dalam apa bentuk kepentingan. Lebih-pebih lagi mengejar galamor dengan pelbagai aksi.

Berdasarkan pengalaman berkecimpung memberi pengajaran SC kepada penuntut-penuntut saban tahun, pada saya, pengajaran SC meliputi dua perkara utama iaitu pergerakannya dan kefahaman berdasarkan konsep, prinsip dan falsafah setiap pergerakannya. Penuntut bukan setakat boleh membuat atau meniru pergerakan SC tetapi juga penuntut-penuntut digalakkan menjawab soalan Why?. Kenapa macam ini, kenapa mesti buat macam ini, kenapa tak buat macam ini dan banyak lagi kenapa. Secara langsung kita menggalakkan penuntut berfikir dan memahami sesuatu pergerakan itu sebelum menerima atau mengamalkannya. Tidak ada jawapan yang ditangguhkan apabila tamat nanti atau kemudian hari akan dijawab.

Dalam masa pelajaran Potong lagi kita mula menggalakkan penuntut dengan persoalan Why Not?. Konsep ini bertambah hebat penggunaannya ketika penuntut telah tamat. Setiap persoalan pasti ada jawapannya. Secara langsung kita menggalakkan penuntut berfikir dan boleh berfikir secara kreatif dan inovatif. Saya kira, sepanjang pengamalan saya dengan penuntut SC, kehebatan penuntut-penuntut yang dilahirkan adalah teruji. Usaha-usaha yang dilakukan bukan rekaan. Tetapi semuanya hasil ilmu pegetahuan dan pengalaman atas curahan dan kenangan saya dengan Guru Utama tempoh masa yang lalu.

Amat malang jikalau kita hanya melahirkan penuntut yang hanya boleh melakonkan buah-buah yang kita perturunkan kepada mereka tanpa mengetahui asal usul pergerakan tersebut. Kedua-duanya adalah bersepadu atau bersekali. Peranannya sama dengan “Irama dan Lagu.” Lagu tanpa irama atau irama tanpa lagu akan memincangkan pendengaran kita. Itu baharu kita bercakap tentang pergerakan silat. Belum lagi kita sentuh tentang Silat Cekak secara keseluruhan. Berdasarkan konsep irama dan lagu, lagunya ialah pergerakan silat dan iramanya prinsip dan falsafah silat itu sendiri. Mengajar silat semata-mata tanpa memasukkan kefahaman tentang SC adalah dikira kurang bermakna. Di samping silat, kita perlu tanamkan konsep institusi guru yang mengandungi soal-soal mandat dan perkara-perkara yang berkaitan. Adat dan adab dalam SC ditanam dan disemai di kalangan penuntut semasa proses penyampaian pergerakan SC dilakukan. Kita ingin lahirkan manusia yang belajar SC adalah terdiri daripada mereka yang ada pegangan dan pendirian tekal. Inilah yang akan membezakan sesama kita. Itu sebab dapat kita perhatikan ada cawangan yang dianggap keras kepala kerana prinsipnya, ada cawangan yang menurut sahaja dan ada cawangan yang tak tentu hala. Semuanya bergantung kepada hala tuju yang dibawa. Segala-galanya bergantung pada Jurulatih yang ada. Apakah tujuannya bersilat dan apa yang dicarinya dalam silat. Sudah tentulah tujuan dan perkara yang dicari oleh Jurulatih berkenaan akan disemai di kalangan penuntutnya. Kalau Jurulatih tersebut tiada pendirian atau pendiriannya umpama lalang, maka begitulah cara pemikiran penuntut-penututnya. Senanglah cawangan tersebut dipengaruhi oleh anasir-anasir yang berkepentingan. Sebaliknya jikalau cawangan tersebut berpegang pada “irama dan lagu” amat sukar cawangan tersebut dipengaruhi secara tak tentu hala.
Selama saya berkecimpung dalam dunia SC dengan begitu lama, pada tafsiran saya, saya rasa saya telah berjaya melahirkan tiga golongan penuntut SC berdasarkan tafsiran “irama dan lagu” tersebut.

Golongan atau peringkat penuntut pertama adalah mereka yang awal-awal lagi terlibat dengan pembukaan kelas SC. (Ketika ini ramai yang telah tua dan ada yang telah meninggal dunia. AlFatihah untuk mereka) Peranan saya ketika itu tidak banyak masalah. Tugas utama saya ialah menyampaikan pelajaran berasaskan pergerakan silat. Kefahaman silat, banyak yang disuntik oleh Ustaz sendiri. Setiap kali suntikan kefahaman maka kerap kalilah kami mengadakan perbincangan atas tajuk yang diberi bagi menambahkan kefahaman. Melalui pengetahuan dan pengalaman saya yang lebih dulu dari mereka maka mudahlah saya memimpin anak buah saya bagi memahami setiap kata yang diucapkan. Irama dan lagu berganding secara selari. Oleh itu, kesetiaan penuntut pada kepimpinan saya amat tinggi. Itu sebabnya apabila timbul usaha-usaha untuk melemahkan kepimpinan saya, tidak laku langsung. Mereka hanya menggigit jari.

Golongan atau generasi kedua yang saya lahirkan adalah terdiri daripada mereka yang saya bimbing seratus peratus irama dan lagunya iaitu dari segi pergerakan silat dan kefahaman SC itu sendiri. Ustaz telah tiada untuk membuat rujukan atau mendapat panduan. Guru yang ada terlalu sebok dan tidak dapat membantu untuk menyuntik akan kefahaman SC. Maka terpaksalah saya menggunakan segala kepakaran yang ada dalam gerak SC dan menggunakan segala tunjuk ajar Ustaz semasa saya bersama dengannya untuk menyuburkan kehebatan penuntut-penuntut yang menuntut SC dengan saya. Oleh sebab irama dan lagu di bawah tanggungjawab saya, kepemimpinan saya amat berharga. Ketika inilah puncak pergerakan SC di bawah pimpinan yang ada. Malang sekali, berlaku pepecahan dalam silat kita. Ahli-ahli SC seluruh negara menjadi resah. Tapi kami tetap tenang. Kesemuanya bersatu di bawah kepimpinan yang ada. Usaha-usaha untuk mempengaruhi cawangan, tidak semudah seperti dijangka. Semuanya kerana pegangan sudah ada. Sokongan kami umpama sokongan anak dara. Diri ini masih berharga. Setelah ditimbang segenap sudut maka CH pilihan utama. Tiada pertelingkahan pendapat antara yang ada. Ramai yang bertanya apakah di sebalik muslihat yang ada. Maka jawabnya, jangan dipisah Irama dan Lagu.

Golongan yang ketiga yang saya lahirkan merupakan golongan terhasil akibat antiklimak yang ada pada diri saya. Tenaga semakin kurang. Tapi tenaga anu masih ada. Pelapis perlu ada. SC mesti berkembang untuk selama-lamanya. Maka dengan itu irama dan lagu mula dipisahkan. Saya memegang iramanya tapi lagunya dinyanyikan oleh orang lain. Maka jarang sekali saya turun padang untuk mengalunkan lagu. Pada saya perkara yang penting, nada dan melodinya jangan sumbang dan sumbeng. Kefahaman silat jangan ketinggalan dan terkeluar daripada landasan.

Tapi saya lupa akan kata-kata, “Irama dan lagu jangan dipisahkan. Jika dipisahkan maka pincanglah nadanya.”

Setakat ini dulu ya. Sambung lagi berdasarkan masa yang ada.

.

Thursday, December 25, 2008

NILAI KESOPANAN DAN KESUSILAAN

”Sekarang ni teruklah!. Sudah tak ada adat sopan langsung. Caci mencaci dah jadi perkara biasa. Lama-lama akan berlaku cabar mencabar. CM terus maju. Kita asyik bergasak. Rela silat musnah asalkan puas hati.”

Begitulah luahan hati seorang ahli bila terkenangkan nasib yang menimpa pada perangai ahli SC yang begitu hebat di satu masa. Tapi apa yang dihairankan. Sejarah pepecahan kita pertama kali dulu dengan PA berulang kembali. Samalah keadaannya dengan apa yang berlaku sekarang. Kalau diibaratkan kelapa, semuanya berada pada lapisan sabut yang menyebabkan fikiran jadi berserabut. Masing-masing tak tentu hala kerana pegangan yang ada begitu rapuh. Sabarlah. Banyak masa yang diperlukan sebelum mereka berfikiran matang. Apabila mereka ada pegangan sendiri baharulah mereka dapat mengenal kedudukan diri dan akan berpegang pada prinsip pegangan tersebut. Tapi ketika itu mereka baru masuk ke makam tempurung. Masih jauh lagi perjalanan. Cuma ketika berada dalam makam ini, pendirian mereka sudah beransur matang dan mantap serta sukar untuk diubah atau diganggu gugat. Baharulah soal-soal mencaci akan kembali reda. Apabila telah reda, mereka boleh diibaratkan santan yang bakal diproses menjadi minyak. Di waktu itu segala kepakaran yang ada akan mereka gunakan untuk memajukan persatuan yang menjadi tempat mereka berteduh. Masing-masing dengan strategi mereka untuk memajukan persatuan. Caci mencaci akan bertambah kurang dan mungkin tiada langsung. Samalah dengan keadaan yang dimiliki oleh CM ketika ini. Mereka tidak banyak membuang masa mencaci CH dan mencaci guru-guru yang ada. Matlamat mereka adalah jelas dan mereka sedang menuju ke arah matlamat tersebut. Tapi kita yang kembali berada dalam takok berserabut akan terus mengambil masa hingga melepasi sempadan bagi membolehkan fikiran kita tertumpu dalam usaha-usaha untuk memajukan persatuan yang menaungi silat yang ada. Sampai bila ye! Agak-agaknya lagi empat puluh bulan. Angka empat puluh adalah merupakan angka keramat pada kebanyakan antara kita. Hinggakan ramai yang mati lemas akan kebebasan pemikiran mereka dek angka tersebut.

Setakat ini fikiran kebanyakan ahli kita masih mantat dan memerlukan masa untuk menjadi mantap. Namun perkara yang sangat menghairankan kebanyakan kita ialah orang-orang kanan Ustaz di satu ketika dahulu ramai yang terjerumus dalam golongan haprak. Pengajaran yang ditanam oleh Ustaz telah hilang entah ke mana dengan begitu pantas dalam era puting beliung. Peranan mereka umpama tikus membaiki labu atas alasan cuba membetulkan keadaan kononnya. Tak nampakpun akan peranan mereka memelihara kesejahteraan SC tapi sebaliknya memporakperandakan persatuan yang mendukung SC. Hancokwak betul golongan pelesit ini. Habis dihisap darah pemikiran ahli-ahli dan generasi baru untuk menyebelahi pendapat mereka. Kadang-kadang golongan ini dapat disamakan dengan lalat. Di mana mereka hinggap, habis punah tempat yang dihinggap. Ketika semuanya bersatu di bawah kepimpinan PA, golongan umpama lalat ini membuat telor. Bila telor menetas, kita berpecah dan mereka menghinggapi CH pula. Apabila telornya menetas, punah lagi dan telor mereka ini sedang dikedong oleh Guru Persatuan. Tunggulah saat dan ketika. Apabila telor tersebut menetas, pasti Guru Persatuan akan lari malam. Guru Wawasan sabar menanti. Tapi Guru Wawasan mempunyai kekebalan diri. Telor yang ada akan disambar segera bagi menguatkan telor yang sedia.

Apa yang nak dikata. Seperti yang saya tulis dalam karangan yang lalu. ”Orang biasa hanya suka bercerita dan mengenangkan peristiwa. Hampir keseluruhan isi percakapannya berkisar pada cerita. Hampir lapan puluh peratus bercerita tentang peristiwa yang berlaku. Sikap ini berbeza dengan orang yang tidak mencapai tahap biasa pun. Mereka ini hanya tahu mengata, mengumpat atau mengeji pada mereka yang terlibat. Berbeza dengan ahli-ahli silat yang berfikiran luar biasa. Mereka membincangkan isu, implikasi daripada peristiwa tersebut dan keseluruhan perbincangan adalah berkisar soal-soal yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada persatuan dalam konteks mengelakkan pepecahan. ”

Saya pernah menulis dalam karangan terdahulu tentang pelbagai golongan manusia seperti ayat di bawah,

“Small minds discuss persons.
Big minds discuss events.
Intelligent minds discuss ideas.”

Maknanya orang-orang yang berfikiran sempit dan teruk hanya berada dalam tahap suka mencaci dan mengata-ngata orang lain semata-mata untuk memuaskan tuntutan nafsu sendiri. Hal ini amat mendukacitakan kerana telah meyimpang daripada didikan SC. Mencaci membawa makna mencela dan menghina dengan tujuan merendahkan orang lain. Istilah-istilah lain seperti mengkritik, komen, mengulas dan pandangan kita sendiri walaupun berada dalam rumpun istilah yang sama tapi kategori dan tujuan yang berlainan. Walau bagaimanapun, budaya mencaci ini bukanlah budaya yang dipupuk sejak zaman Ustaz lagi. Sebaliknya, penuntut-penuntut SC dipupuk dengan nilai-nilai kesopanan yang terkandung dalam budaya tinggi. Ustaz selalu menekankan betapa kita perlu menjaga cara kita bergaul kerana, ”Kita selalu memberi isyarat tentang diri kita dengan perbuatan yang kita lakukan, air muka yang kita tunjukkan dan perkataan yang kita tutur.” Inilah sifat luar biasa yang ada di kalangan ahli-ahli SC.

Ajaran Guru kita yang hakiki sangat melarang kita daripada mencaci-caci. Dalam bidang persilatanpun, adat dan adab sangat diambil berat. Hebat macam mana silat kita sekalipun, janganlah mencaci silat Melayu yang lain. Apatah lagi sesama kita. Prinsip ini dijadikan salah satu daripada lafaz ikrar yang merupakan sumpah kita sebagai ahli SC. Mulut kita harus dijaga. Jangan begitu mudah ’gatal mulut’. Jika tak sesuai dan tak setuju, kita harus mendiamkan diri. Jangan banyak bercakap. Sesuailah dengan falsafah betapa, ”Tuhan anugerahkan kita dua mata, dua telinga dan satu mulut. Oleh itu, kita hendaklah melihat dan mendengar dua kali lebih banyak daripada kita bercakap.”

Ustaz kita dulu adalah manusia yang berfikiran luar daripada kebiasaan dalam konteks yang positif. Itu sebab SC dapat berkembang secara meluas. Sepatutnya murid yang terhasil juga adalah terdiri daripada mereka yang berfikiran luar biasa. Gunakan pemikiran yang hebat dan luas untuk menangani sebarang isu. Tapi seperti yang diyatakan terdahulu, ramai juga bekas orang kanan Ustaz yang berfikiran luar biasa tapi dalam konteks negatif hingga meranapkan persatuan. Mereka berfikiran luar biasa untuk sanggup berbuat apa saja bagi memenuhi impian diri mereka. Pemikiran mereka yang luar biasa itu telah berjaya menarik minat pemikiran ahli-ahli yang tak tentu hala.

Walaupun kita berasa silat kita berada dalam tahap yang tinggi tetapi kita tidak sombong. Ustaz selalu mengkiaskan sifat ini umpama padi yang sentiasa tunduk apabila berisi. Sikap ini berbeza dengan sifat lalang yang melambangkan keangkuhan tetapi tidak ada pendirian. Keputusan buah silat-silat Melayu lain yang hebat, telah dijadikan sebagai pelajaran bagi penuntut-penuntut kita untuk memahirkan gerak kita yang berasaskan kepada kaedah yang mantap. Walaupun buah-buah tersebut akhirnya ”ditumpaskan” dengan kaedah kita yang hebat tapi di satu saat dan ketika kita tetap tidak melupakannya. Hal ini bersesuaian dengan falsafah kita yang boleh dimaksudkan, ”yang pakai kita tak pakai, sebaliknya yang tak pakai itu kita pakai di lain ketika.” Tidak pulak kita meninggalkan terus buah-buah tersebut, apatah lagi mencaci atau merendah-rendahkan sifatnya. Lebih-lebih lagi tidak terlintas langsung di pemikiran kita untuk merendah-rendahkan pergerakan silat asalnya. Inilah salah satu aspek didikan yang ditanam di kalangan ahli yang menunjukkan betapa beratnya pendidikan silat kita atas sifat jangan suka mencaci.

Lihatlah betapa Ustaz menggunakan pemikiran luar biasa bagi mengolah dan meletakkan buah-buah tersebut dalam pelajaran SC tanpa mencaci silat-silat Melayu lainnya. Inilah yang dikatakan sebagai ’Intelligent minds’ yang dapat melahirkan idea yang terbaik buat SC sendiri.

Pemikiran menggunakan akal ini dipupuk di kalangan ahli sejak ahli tersebut menceburi SC. Sepatutnya penuntut terus terpupuk dengan pemikiran yang luas yang penuh dengan strategi bagi mencapai hasrat dan tujuan yang murni. Malah pergerakan SC yang dipupuk selama lebih enam bulan, penuh dengan pergerakan yang strategik bagi mengatasi kekuatan dan muslihat musuh. Sepatutnya, selepas tamat, manusia SC yang lahir adalah mereka yang berfikiran luas dan luar dari kebiasaan, lengkap dengan pemikiran yang strategik. Itulah latihan yang telah diberi dan diasuh selama ini kepada penuntut SC.

Kalau berlakunya kalangan ahli yang masih suka mencaci dan mengata-ngata, jelaslah betapa jauh kualiti yang sepatutnya ada sebagai ahli Silat Cekak yang sebenarnya. Atau mungkin keberkatannya sebagai ahli SC telah tiada. Atau itulah manusia yang berfikiran biasa yang dapat kita lahirkan. Kita akui bahawa mereka yang berfikiran luar biasa adalah kurang peratusnya. Kalau tidak mencapainya, menjadi manusia ahli SC yang berfikiran biasapun jadilah. Amat malang apabila kita melahirkan banyak manusia yang berfikiran sempit kerana penghasilan sikap itu menyimpang jauh daripada didikan yang cuba diterapkan sepanjang mereka menuntut lebih enam bulan dalam dunia persilatan SC.

Inilah pengalaman menarik yang saya dapat, hasil didikan Ustaz Hanafi. Pengalaman ini kerap kali saya sebarkan kepada mereka yang menuntut ilmu SC yang diamanahkan kepada saya. Tapi menebar jala di sungai, jangan mengharap semua ikan akan tertangkap. Banyak yang lepas diri. Lebih-lebih lagi ikan buntal yang keras kepala.

Wednesday, December 24, 2008

PELBAGAI PETUA

HUBUNGAN SESAMA MANUSIA

Seperti yang saya nyatakan dalam perenggan akhir karangan saya yang lalu, betapa wujud ahli yang sudah bosan dengan SC. Menjauhkan diri dengan SC kadang kala menjadi pilihan utama untuk menenangkan fikiran kerana pelbagai alasan. Ketika inilah sedikit demi sedikit mereka menjauhkan diri dalam sebarang aktiviti SC. Tumpuan pada kerja adalah diutamakan. Banyak masa yang dulunya diberikan pada silat telah bertukar kepada perhatian dan tumpuan pada kerja. Kalau dulu ada masa untuk membaca blog tentang komen atas peristiwa yang berlaku dalam SC, sekarang ini telah terhakis dan dianggap meluat. Mungkin tiada perhatian langsung. Penceritaan tentang apa saja yang berlaku dalam SC telah diterima secara hambar. Itulah antara lain sifat yang menunjukkan kekecewaan mereka. Akan tetapi SC bukannya bernyawa. Nyawa yang ada ialah manusia yang mengerakkan SC itu sendiri. Memutuskan hubungan dengan SC tidaklah sesusah memutuskan hubungan dengan manusia yang mengerakkan silat itu. Untuk memutuskan hubungan sesama manusia dalam SC mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika hubungan tersebut amat istimewa.

Selama ini perhubungan yang ada dalam SC adalah begitu rapat sekali. Tambahan pula ikrar yang dilafazkan semasa menerima silat ini sedikit sebanyak memberi kesan tentang tautan akrab yang tidak mudah dipisahkan. Syaratnya mestilah seguru. Di bawah kepimpinan guru yang lalu, hubungan sesama ahli sangat rapat. Tapi apa kan daya, pautan pada guru semakin rapuh. Pada ahli yang berpatah arang dalam jalinan hubungan, mereka tidak menghadapi masalah. Perasaan dan nilai persahabatan begitu murah buat mereka. Sekali petik, sepuluh mendatang. Prinsip ’kerana bersilat mereka berkenal maka kerana silatlah juga mereka berpisah’, benar-benar menjadi amalan mereka. Akibatnya, pertemuan yang berlaku di kalangan mereka, seolah-olah menjadi asing dan seolah-olah mereka tidak pernah kenal langsung. Mereka tidak akan bertegur sapa. Hilang sifat sahabat yang selama ini terpupuk di kalangan mereka. Silap haribulan, mungkin tangan singgah ke muka. Begitulah buruknya hubungan persahabatan antara ahli SC apabila mereka tidak sehaluan dan telah berlainan Guru perguruan.

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak berpatah arang. Hubungan rapat sebelum ini di kalangan mereka telah terjalin dalam konteks yang begitu ikhlas dan istimewa. Tetapi kelainan guru memberikan perasaan curiga. Walaupun terpaksa berpura, namun desakan naluri tetap memaksa mereka perlu untuk berpisah atau berjauhan sedikit demi sedikit dan hingga akhirnya wujud pepisahan yang nyata. Juga prinsip ”kerana silat mereka bertemu dan kerana silat juga mereka berpisah” perlu dilaksanakan. Tetapi golongan ini sukar untuk berterus terang bagi melahirkan perasaan tidak suka atau benci sesama mereka. Satu segi menampakkan hubungan akrab sesama mereka. Tetapi satu segi yang lain merupakan sarang lebah yang tidak mantap kerana mempunyai rongga untuk terungkai. Walaupun berpura-pura, jauhari juga mengenal maknikam.

Sebenarnya tidak sukar buat kita mengesan perasaan tidak suka yang ada di hati mereka tersebut. Dalam karangan ini saya memberi beberapa petua untuk menyungkil perasaan tak suka yang ada di benak mereka buat panduan kita bersama. Seperti pesanan Tok Guru, ” Seseorang yang melampaui batas atas kamu maka hendaklah kamu melampaui batas ke atasnya pula sebagaimana dia melampai batas ke atas kamu, tetapi hendaklah kamu dalam keadaan bertakwa.” Kalau orang sudah tak suka pada kita maka janganlah kita menjadi umpama hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Jaga maruah diri dan letakkan nilai diri pada tahap yang tinggi dan tidak ternilai.

Pertama sekali gelagat telefon. Kalau sudah lima belas kali kita talefon, yang ke enam belas kali baru kot-kot menjawab, bermakna ada sesuatu yang tak kena. Lebih-lebih lagi yang menjawab hanya suara lunak mesin telefon. Ini adalah isyarat pada kita supaya jangan lagi telefon. Orang yang tidak suka diganggu dalam faktor telefon ini mempunyai gelagatnya tersendiri. Missed call akan dipadam dengan segera, message yang dihantar tak akan berjawab. Kalau dia terterima panggilan kita cuba lihat riaksinya. Secara sepontan beliau akan berkata akan call balik dengan pelbagai alasan seperti sedang bermesyuarat atau beteri yang hampir kong. Kalau tak call langsung atau sehari dua baru call kerana masih menjaga hati, eloklah fikir-fikirkan tindakan supaya menjauhkan diri dan kalau boleh jangan berhubung langsung dengan puak-puak tersebut. Itupun kalau sedar diri. Isyarat benci telah diberi. Faham-fahamlah benak hati. Binalah kembali maruah dan nilai diri. Di pasar tak mungkin boleh dicari. Jauhilah diri untuk berhubung. Nanti akan jadi seperti kisah Penarik Beca yang tak sedar diri. Walaupun diakhiri dengan babak gembira tapi parut dan bengkak penuh di muka.

Dengan puak-puak yang berubah hati, bukan setakat susah untuk berhubung tapi untuk berjumpa lagi susah. Mereka menjadi sebok dan kerap kali menyebokkan diri. Kalah Perdana Menteri akan kesebokannya. Kesebokan mereka diwar-warkan pada orang lain dengan tujuan tersebar pada kita. Ini merupakan isyarat kepada kita supaya jangan berhubung lagi dengan mereka. Apa lagi alasan logik yang boleh diterima pakai. Pastinya alasan menghadiri mesyuarat atau menghadiri kursus atau menghadiri kuliah atau menyambut pegawai atasan atau bermain golf berlubangkan dua puluh campur satu dan atau dan atau menjadi pilihan utama. Keadaan ini amat berbeza sebelumnya. Masa sentiasa ada. Kitapun risau seolah-olah mereka tidak bekerja. Tapi itulah petanda pada kita. Jauhkan diri dengan segera. Lampu isyarat telah bernyala. Sedarlah diri dengan segera. Kalau tidak, padan muka.

Gelagat lain yang boleh kita cungkil perasaan tak elok di hati mereka ialah aspek ziarah menziarahi. Semasa tengah baik, pantang ada perayaan agama, tak payah diajak pasti sampai segera ke rumah. Lebih-lebih lagi kalau perayaan tertebut merupakan hari-hari raya. Tapi bila hati dah tak betul, muka susah nak jumpa. Mungkin kerana malu-alah, terpaksa menebalkan muka membuat appointment. Macam orang besar yang besar kepala. Rumah kita dianggap gedung atau pejabat. Bila datang pastinya beberapa puluh minit sebelum Maghrib. Tujuannya apabila terdengar azan, mudah meminta diri untuk balik. Kalau dulu bila datang berbekalkan tanda buat ikatan tetapi sekarang hanya berbekalkan gigi, gusi dan lidah. Sungguh tawar ikatan persahabatan. Semasa berbual semacam tergesa-gesa. Untuk menutup kelemahan rakan sehaluan yang lain, lihatlah gelagat terperanjatnya kalau rakan tersebut masih tidak datang. Semua gelagat ini adalah pancaran dalaman yang melambangkan hubungan sumbing yang inginkan keretakan.

Di waktu yang lain, apabila kita menjemput ke rumah, pelbagai alasan berada dalam hati. Terasa berat bangat untuk memenuhi jemputan. Perkataan Insyaallah akan menjadi penyelamat utama. Tapi akhirnya kelabat diri tak nampak rupa. Sungguh hebat sahabat setia. Amat memundekkan.

Perbincangan tentang prinsip dan falsafah SC akan cuba dielak. Lebih-lebih lagi hal-hal yang bersangkutan dengan mandat perguruan atau warisan ilmu. Kalau mereka tidak berapa setuju, anggukan tok belatok sentiasa berlaku. Perbualan perlu dihabiskan segera. Minat bercakap amat menurun umpama keletihan datang bulan agaknya. Terpancar di hati mereka perasaan berbuku. Apakan daya, persahabatan masih perlu dipelihara.

Sebelum ini minat pada silat adalah secara bersungguh. Minat ini meliputi hal-hal yang berkaitan dengan pergerakan dan falsafahnya. Bila kita lebih mengetahui, penerangan kita disambut dengan tekun dan khusuk. Maka semakin rancaklah kita berbual dan membuat penerangan hingga mereka benar-benar faham. Tapi ketika kita berubah hati atas sifat berlainan faham dan guru, keadaan ini berubah langsung. Setakat hormat yang hanya tinggal. Penerangan dan perbincangan kita tidak diperlukan lagi. Berlainan bloklah katakan. Jadi, maknanya janganlah kita syok sendiri untuk membuktikan sesuatu, tetapi sebaliknya sedarlah diri. Jangan lagi kita banyak bercakap tentang silat. Carilah topik-topik lain yang lebih menarik. Banyak kes yang boleh dibincang. Runtuhan bukit, harga minyak, pencolekan, kerogolan, pusat-pusat pelbagai bangsa dan banyak lagi tajuk yang boleh dijadikan perbincangan utama. Pucuk pangkalnya, elakkan bercakap tentang silat.

Tujuan tulisan ini adalah sebagai panduan kepada kita semua untuk melihat sejauh mana keiklasan dalam hubungan sesama kita. Janganlah kita tersua-sua muka tanpa tahu asal usulnya. Amat sukar melihat isi hati seseorang. Tetapi tak susah untuk mengetahuinya. Ramai yang suka berpura-pura. Akan tetapi seperti kata Tok Guru, sesuatu yang berada di dalam pasti terpancar keluar dari masa ke masa. Rajin-rajinlah kita mengesannya ketika perasaan tersebut terpancar. Bukannya pada anu tapi pada air muka dan gelagat laku yang ada. Hal ini amat penting kerana setiap pertemuan dan setiap perpisahan itu biarlah kerana Allah dan bukannya kerana silat. Pepecahan yang berlaku dalam SC benar-benar memberikan pelbagai kesan dalam hubungan sesama kita. Ada yang berpatah arang, ada yang bercarik bulu ayam, ada yang berpatah rotan dan ada yang berpegang bara. Itu semua adalah lambang persahabatan antara sesama ahli yang berlainan Guru. Semuanya kerana tak faham-faham tentang tujuan asal mereka melibatkan diri dalam SC. Apa yang dicari dan apa yang ingin dibukti. Masing-masing ada jawapannya sendiri. Tapi yang benak tetap berada dalam kebenakannya. Buktikanlah apa saja. Mereka tetap mereka. Biawak tetap melilih bangkai. Hidangkanlah kek lapis Sarawak di depan mereka. Bangkai tetap makanan istimewa.

Jumpa lagi di lain artikal.

Tuesday, December 23, 2008

KELUARBIASAAN

PUNCA KUASA

Salah satu kehebatan SC adalah kerana silat ini kaya dengan falsafah, prinsip dan memupuk pegangan yang kukuh pada kalangan ahlinya. Oleh hal yang demikianlah menjadikan SC sangat dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat satu ketika dahulu. Silat kita dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa. Secara langsung ahli-ahli yang belajar atau menuntut silat ini diharapkan juga berfikiran luar biasa. Mereka dapat melihat sesuatu peristiwa itu secara matang. Misalnya kes-kes yang melibatkan pepecahan sesama kita. Kes yang berlaku sepatutnya ditangani secara pemikiran yang luar biasa oleh ahli silat yang selama ini dipupuk dengan sifat luar biasa. Orang biasa hanya suka bercerita dan mengenangkan peristiwa. Hampir keseluruha isi percakapannya berkisar pada cerita. Kalau merujuk pada kes En Mat, perbualannya hampir lapan puluh peratus bercerita tentang peristiwa yang berlaku. Sikap ini berbeza dengan orang yang tidak mencapai tahap biasa pun. Mereka ini hanya tahu mengata, mengumpat atau mengeji pada watak yang terlibat. Berbeza dengan ahli-ahli silat yang berfikiran luar biasa. Mereka membincangkan isu, implikasi daripada peristiwa tersebut dan keseluruhan perbincangan adalah berkisar soal-soal yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada persatuan dalam konteks mengelakkan pepecahan.

Saya selalu tegaskan terdahulu dalam karangan saya, yang berpecah di kalangan kita ialah Persatuan. Silat Cekak tidak berpecah. Silat masih sama. Sebagai ahli persatuan, pilihlah mana satu persatuan yang sesuai. Akan tetapi sebagai ahli silat, Silat Cekak tetap menjadi ikutan dan sebagai gerak utama. Oleh sebab persatuan ada kaitannya dengan Guru, sekali lagi di sini, fikiran amat memainkan peranan penting. Orang biasa akan membuat keputusan berdasarkan kebiasaan kawan-kawannya atau kebiasaan suasananya atau kebiasaan hatinya manakala orang yang luar biasa akan membuat keputusan berdasarkan pegangannya dengan merujuk pada falsafah dan prinsip yang ada dalam SC yang telah disemai dan ditanam dalam dirinya. Orang yang tidak mencapai tahap biasa pula hanya akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan untuk dirinya sahaja. Pandangan mereka kabur dek kerana bermata kayu.

Cuba kita rujuk tajuk di atas iaitu Punca Kuasa. Istilah ini adalah istilah moden yang merujuk pada asal usul sesuatu. Istilah ini meliputi soal-soal mandat, kuasa yang diberi, orang yang bertanggungjawab, peraturan dan sebagainya. Istilah ini bukan sesuatu yang baru dipakai dalam SC. Tapi disimpulkan begitu untuk menunjukkan dalam SC, kita mempunyai pegangan dan prinsipnya yang tersendiri. Cuba tanya diri kita, di manakah kedudukan kita. Adakah kita ahli silat yang luar biasa yang masih memegang pada pegangan yang dipupuk atau ahli silat yang biasa sahaja. Pemikiran diri banyak bergantung pada orang lain atau sebagai ahli yang membuat keputusan atas kepentingan diri semata-mata.

Sengaja saya tekankan istilah biasa dan luar biasa. Kita harus sedar bahawa perbezaan antara silat kita dengan silat-silat yang lain adalah kerana keluarbiasaan yang ada pada kita. Kerana luar biasanya maka silat kita sangat diminati oleh masyarakat hingga ada yang mengatakan bahawa SC-lah yang merupakan silat di akhir zaman dalam masyarakat Melayu. Bukan setakat pergerakan silatnya yang luar biasa tetapi cara pengajaran, cara menguji, cara menerima ahli, cara beradap sesama ahli, cara menamatkan kursus silat dan pelbagai cara lagi adalah di luar daripada kebiasaan berbanding silat yang lain. Ini bermakna penuntut-penuntut yang belajar SC dipupuk supaya mempunyai ciri-ciri penuntut yang luar dari kebiasaan. Sesungguhnya ciri-ciri ini telah diketahui dan dijejaki oleh ahli-ahli silat yang lain. Kerana itulah kita dihargai dan dihormati. Malangnya kita lalai untuk mengekalkan keadaan yang luar biasa ini. Kita lalai untuk berasa bangga atas sifat luar biasa yang selama ini telah terpupuk.

Dalam konteks silat, kita memahami tentang kedudukan Guru. Semua kita yang bersatu dalam SCH kerana adanya punca kuasa pada En Mat untuk menggerakkan SC. Semua mengakui mandat yang diserahkan kepada En Mat. Diterbitkan CD bagi menguatkan hujah-hujah betapa En Mat telah menerima punca kuasa daripada PA. Tapi bila pula En Mat menyerahkan mandatnya pada Guru lain. Maknanya Guru Persatuan yang ada, mana punca kuasanya. Lantikan persatuan tidak boleh disamaertikan dengan lantikan dalam persilatan. Oleh sebab perlunya prinsip Punca Kuasa, itu sebabnya pelbagai tohmahan dan alasan cuba disenaraikan oleh puak-puak Guru Persatuan untuk menunjukkan bahawa En Mat belum menerima punca kuasa sebagai Guru. Oleh itu lantikan Guru masih terbuka. Pada hal, mereka yang bercakap ini adalah mereka yang bermati-matian menegakkan kenyataan betapa En Mat telah menerima mandat daripada PA iaitulah sebagai punca kuasa pada masa baik dahulu.

Kita tinjau pula daripada segi persilatannya. Semua bersetuju bahwa SC adalah berpunca daripada gerak yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Semuanya mendakwa bahawa gerak silatnya adalah seperti mana yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Kalaulah itu isi percakapan mereka, mereka perlu merujuk isi pelajaran yang telah amanahkan oleh Ustaz. Itu sebab dalam karangan terdahulu, saya berpendapat bahawa buah-buah dan pergerakan SC perlu diasaskan pada pelarasan yang dibuat oleh Ustaz. Semua pembetulan atau teguran buah-buah yang ada perlu merujuk pada pelarasan tersebut. Pelarasan buah-buah atau gerak SC yang telah dibuat dalam zaman Ustaz adalah merupakan Punca Kuasa kita menyebarkan ilmu pergerakan SC. Kalau dibuat pelarasan lagi bermakna telah ada dan perlunya akan perubahan. Kalau berlaku perubahan, bukan lagi asli seperti yang diamanahkan oleh Ustaz. Kalau masing-masing menyelaras maka eloklah jangan mendakwa bahawa SC yang sedang dibawa adalah berasaskan gerak asal Ustaz Hanafi. Itu baru silat. Belum lagi kita membincangkan adat-adat yang berkaitan dengan silat. Limau purut, ayam petunjuk, mandi, kain putih dan sebagainya adalah bersekali dalam proses Ustaz menurunkan ilmunya. Kalau berlaku pelarasan dan perubahan, jangan pula didakwa pelakuan tersebut adalah warisan Ustaz Hanafi. Adakah salah untuk kita buat perubahan. Semestinya tidak salah. Tapi untuk mengatakan ilmu dan adat-adat tersebut berasal daripada Usraz, mana punca kuasanya kalau sudah berubah.

Saya timbulkan isu-isu tersebut di sini bagi menarik minat ahli-ahli sekalian supaya menegak dan mengekalkan prinsip yang ada dalam SC. Kita bergiat dalam SC semata-mata kerana minat dan keinsafan batapa silat ini perlu diwarisi oleh orang-orang Melayu. Secara langsung kita berharap supaya orang-orang kita dididik supaya menjadi bangsa yang mempunyai prinsip dan pegangan yang kukuh bersandarkan fakta dan bukannya ikutan. Saya selalu menyarankan betapa pentingnya kita hidup merdeka dalam konteks SC. Kita ada ikatan kerja kita sendiri yang dibayangi oleh peraturan yang mengongkong pemikiran kita. Jadikanlah SC sebagai medan untuk kita boleh berfikir dengan matang dan latihlah diri supaya kita dapat mengamalkan prinsip dan falsafah hidup dengan bebas dan sentosa.

Kita harus sedar bahawa dalam SC terdapat pelbagai lapisan murid silat dan ahli persatuan yang mempunyai kepimpinan asal yang bebeza. Ada yang berijazahkan Ustaz sendiri, ada yang berijazahkan PA dan ada yang berijazahkan En Mat. Sepatutnya, perbezaan dalam kepemimpinan SC tidak menjadi hal untuk menyebarkan SC, kalau prinsip asalnya masih berpegang teguh pada perjuangan Guru yang asal. Selagi mereka ini masih berpegang teguh pada prinsip tersebut, kenapa mereka perlu diganggu. Biarlah mereka berperanan untuk menyebarkan kegiatan SC tanpa mengira perbezaan pendapat dalam kes kepimpinan persatuan. Akan tetapi jikalau PA atau Guru Persatuan atau Guru Silat atau Guru Wawasan menafikan sejarah peranan dan sumbangan Ustaz Hanafi dan cuba keluar daripada bayang-bayang Ustaz, maka patut dan eloklah disingkirkan orang-orang yang tidak mahu berada di bawah tulunjuk guru tersebut. Itukan lagi molek dan adil namanya.

Walau bagaimanapun kerana pegangan dan prinsip ini jugalah yang menyebabkan perselisihan pendapat di kalangan ahli terutama di cawangan-cawangan yang agak jauh dengan pusat berlakunya kes yang mewarnakan corak baru dalam SC. Tambahan pula jikalau manusia yang luar dari kebiasaan pemikiran wujud di tempat berkenaan. Dan lebih-lebih lagi jikalau manusia tersebut merupakan orang lama yang mengasaskan penyebaran ilmu SC di tempat berkenaan. Mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas ekoran penglibatan yang lama dalam SC. Kesetiaan mereka sukar dinafikan selama berada dalam perjuangan yang dikehendaki oleh Allahyarham Ustaz Hanafi. Perjuangan atas kepentingan diri jauh sekali. Tidak ada jawatan yang ingin direbut. Tidak ada nama dan kemasyhuran yang nak dikejar. Matlamat utama ialah mengembangkan SC dan memasukkan prinsip dan falsafah yang boleh dijadikan pegangan pada ahli-ahli yang menuntut. Perbezaan pendapat dengan mereka amat menyusahkan. Untuk mengenepikan mereka mungkin sukar sedikit walaupun mereka difikirkan perlu untuk diketepikan. Hal ini demikian kerana masih wujud agaknya sikit-sikit nilai-nilai mengenang budi dalam diri yang mungkin tertanam sekian lama walaupun hidup segan mati tak mahu. Tetapi selagi orang-orang lama ini ada, peranan mereka umpama duri dalam daging. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kalau pegangan dalam silat agak rapuh maka hiduplah generasi baru yang mempunyai pegangan dan pendapat baru dalam keadaan serba salah. Hubungan generasi baru dengan mereka yang lama ini, agaknya lebih bersifat kepalsuan.

Tak boleh dinafikan betapa ramai kalangan ahli yang sudah ”fedup” akan situasi yang berlaku. Mereka cuba menyisihkan diri. Bila diajak berbual atas tajuk silat, cepat-cepat mereka melarikan diri. Bila cuba dihubungi melalaui telefon, dalam lima belas kali dail mungkin sekali diangkat. Minat mereka beralih angin. Yang berduit akan bermain golf, bowling, SPA dan cuba-cuba melanjutkan degree. Yang tak berduit, agaknya hanya boleh berjoging, bermain futsal dan sebagainya. Itulah pancaran hati atau leraian diri pada mereka yang kecewa agaknya. ”Hidup tak dikira rugi, mati tak dikira untung.”

Sekian buat masa ini

Friday, December 19, 2008

BEZA GERAK

Yang Mana Satu Mantap.

Walaupun persatuan yang mengendalikan SC berbeza dengan pelbagai nama tetapi semangat Ustaz Hanafi dalam gerak silatnya tetap sepancar. Pastinya semua persatuan tersebut cuba mendakwa bahawa pergerakan silatnya adalah sama dengan pegerakan silat yang dibawa oleh Ustaz dulunya. Namaun begitu tempat merujuk pergerakan SC semakin cupul. Kalau adapun, pandangan atau pendapat atau kemahirannya hanya diiktiraf oleh mereka yang sependapat dan sehaluan. Maka masing-masing akan bercakaplah tentang keaslian silatnya yang diwarisi asal daripada Uistaz walaupun kadang kala percakapan tersebut hanya sesuai didengar oleh manusia yang berada atas awan, bukannya di bumi yang nyata.

Tapi manusia mudah lupa. Kalau dirinyapun mudah lupa hingga tak sedar diri dalam konteks SC, maka apatah lagi dalam pergerakan silatnya. Lebih-lebih lagi kalau bersilat mengikut musim. Kerana itulah agaknya, bagi menjamin keaslian silatnya, banyak masa digunakan untuk maksud pelarasan buah. Apa yang saya lihat, lagi banyak pelarasan buah maka lagi banyak kaedah buah-buah yang berubah.

Pelarasan hanya sekali. Pelarasan yang unggul telah dilakukan pada zaman Ustaz. Pak Ak pun ada, Guru Persatuanpun ada. Hanya Guru Wawasan masih belum masuk jawi. Maka itulah satu-satunya punca kuasa dalam asal usul pergerakan SC. Itupun kalau mereka mendakwa bahawa pergerakan silatnya hasil pusaka gerak daripada Ustaz Hanafi. Oleh itu, semua aktiviti yang dikatakan sebagai pelarasan buah selepas pelarasan yang dibuat oleh Ustaz, sebenarnya tidak boleh dianggap pelarasan lagi melainkan dianggap sebagai pembetulan sahaja. Selaras hanya sekali. Kalau buat pelarasan lagi bermakna ada perubahan yang diperlukan dan pastinya akan berlaku perubahan dalam gerak SC. Itulah sebabnya seperti yang saya katakan, lagi banyak pelarasan yang dibuat maka lagi banyaklah perubahan yang berlaku dalam pergerakan SC. Labih-lebih lagi jika puak-puak tersebut tak faham-faham tentang konsep pelarasan.

Kelam kabut ini telah berlaku sejak zaman PA lagi. Rasa tergelak apabila beberapa orang jurulatih yang dihantar untuk maksud pelarasan kononnya, bila balik berbeza juga penerimaan geraknya. ”Laras apa namanya.” Dalam zaman tersebut juga Guru Wawasan memainkan peranan penting untuk maksud pelarasan. Maka berlakulah perubahan-perubahan dalam gerak SC. Menyelaras maknanya mengubah. Lahirlah pergerakan-pergerakan baru. Mana ada punca kuasa. Sebenarnya sering kali Guru ketika itu bersungut kerana tidak diberitahu. Lebih malang lagi selepas era PA, ramai yang anggap dirinya berkuasa dan berpengaruh. Makin banyaklah pelarasan. Maka makin banyaklah yang berubah.

Bila ada yang mencari-cari mana satu gerak yang asal maka nasiblah jawabnya. Kalau berfikiran terbuka, banyaklah pengetahuan yang diperoleh. Kalau fikiran tertutup, mana yang dia jumpa, itulah gerak yang asal pada tafsiran dirinya.

Menyingkap zaman dulu-dulu, jurulatih adalah wakil Guru untuk menyampaikan amanah buah. Sebelum ke kelas-kelas yang berkenaan, jurulatih-jurulatih tersebut akan berjumpa dengan Ustaz terlebih dahulu untuk mendapatkan restu ”menurun buah”. Ada kalanya Ustaz menyuruh mereka melakonkan kaedah mengambil buah tersebut. Selain daripada arahan tersebut, kerap kali juga aspek-aspek yang perlu dititikberatkan dalam pergerakan buah-buah tersebut diberikan penekanan. Dengan kaedah tersebut, mutu dan keaslian buah-buah dalam SC sentiasa akan terpelihara. Tetapi, mungkin kaedah ini bersesuaian jika kelas-kelas latihan silat tidak banyak. Kalau banyak kelas, tentu Guru akan sukar untuk berhubung dengan jurulatihnya. Kesulitan yang dihadapi tersebut nampaknya telah diatasi melalui jawatan Penyelia Kelas. Penyelia Kelas pastinya orang yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam SC. Hubungan antara mereka dengan Guru sentiasa terpelihara. Jurulatih yang mengajar perlu mendapat kepastian buah daripada Penyelia. Dengan cara ini mutu SC tetap terpelihara dan sentiasa selaras dan asli. Tapi macam mana silat-silat kita terus berbeza kefahaman geraknya.

Seperti yang saya katakan, lagi banyak pelarasan maka lagi banyak perubahan.Saya tidak berminat sangat membincangkan sudut pandangan tersebut. Yang jelasnya, buah-buah silat kita banyak yang bercelaru akibat rancaknya pertunjukan silat. Kaedah dalam pertunjukan disesuaikan dengan pengajaran silat dalam kelas. Samalah agaknya konsep guru-guru di sekolah yang mengajar anak muridnya kerana peperiksaan atau kerana mata pelajaran tersebut. Jurulatih yang faham akan menerangkan perbandingan dan perbezaan gerak sebenar dengan gerak dalam pertunjukan. Malangnya ramai antara jurulatih yang buta kayu, mengajar Silat Cekak disesuaikan dengan pengajaran silat untuk pertunjukan. Hilanglah sikit demi sikit seni pukul dan seni tangkap atau seni tepis dalam SC.

Buah-buah dalam SC adalah lengkap dan tidak perlu ditokok tambah. Apatah lagi untuk mengurangkan ilmu pelajarannya. Tetapi bukan semua jurulatih yang dapat menguasai buah-buah tersebut dengan sempurna. Kalau tak boleh menguasai bermakna mereka akan menghadapi masalah dalam menurunkan buah-buah tersebut kepada penuntut. Itu sebabnya ramai jurulatih yang menyalahkan para penuntut beralasan tumbuk tak betul dan sebagainya. Pada hal mereka sendiri tidak dapat membuat buah tersebut dengan sempurna hinggakan ada di kalangan jurulatih yang berani dan sanggup menyesuaikan pergerakan buah-buah tersebut dengan kemampuan mereka membuat buah. Cuba bayangkan kalau ada sepuluh jurulatih yang mengajar sepuluh kelas yang berlainan dan menurun buah berdasarkan kemampuan yang ada pada diri mereka, maka pastinya berbezalah pergerakan antara penuntut tersebut akibat kurang kemampuan jurulatih.

Lebih malang lagi apabila kemampuan bercakap amat kurang. Penerangan yang diberikan akan menjadi kurang jelas. Penekanan-penekanan yang seharusnya diberatkan kepada penuntut semasa mengambil buah juga akan berbeza. Ada yang menekankan aspek pukulan, ada yang menekankan aspek tangkap, ada yang menekankan gerak pemulaan mengambil buah, ada yang menekankan gerak penghabisan gerak mengambil buah, ada yang menekankan kaedah yang betul, ada yang menekankan kebolehan ambil buah sahaja tanpa memberatkan kaedah, ada yang menekankan keselamatan diri, ada yang menekankan kulit jangan jadi kasar, ada yang menekankan kelembutan dalam bersilat, ada yang menekankan ketangkasan dalam silat dan ada yang pelbagai lagi penekanannya. Semua ini menjurus kepada perbezaan penerimaan antara penuntut-penuntut silat pada setiap kelas. Lagi lama masa berlalu maka lagi banyak perubahan dalam gerak silat. Lagi banyak kelas yang dibuka dan berbeza jurulatih maka lagi banyak perubahan yang berlaku.

Banyak juga kelas silat yang mementingkan khayalan yang tak tentu hala. Tujuan utama bersilat semakin longgar. Konsep patah, pengsan dan mati diwar-warkan begitu rupa. Kelebihan orang lain dijadikan tajuk utama. Kehandalan Bisik Semak pengikat setia. Bila diajukan soalan, akan dijawab di lain masa. Penuntut belajar dalam dunia fantasinya dengan harapan akan mendapat sesuatu yang luar biasa. Kain putih azimat utama. Mimpi menjadi punca kuasa. Maka jadilah pergerakan silat bicara kedua. Cakap saja banyak. Kalau kelas sembilan puluh minit, bercakap saja tujuh puluh minit . Tinggallah dua puluh minit membiayai kelewatan datang, minum, berehat atau melepaskan hajat kecil dan besar. Macam mana kita dapat melahirkan penuntut yang benar-benar hebat dalam penguasaan pergerakan SC. Tapi yang lahirnya ialah penuntut yang banyak bercakap dan mirip kepada politik persatuan kerana ingin mendapatkan pengaruh. Itu sebabnya apabila timbul kes En Mat, ramai yang suka bercakap dan membuat kesimpulan sendiri. Bukannya menjurus kepada tugas utama iaitu tugas untuk menyebarkan silat. Malang sekali SC.

Penerimaan buah-buah silat dalam SC juga berbeza-beza pada kalangan murid Ustaz. Semua ini bergantung pada faktor hubungan rapat dengan Ustaz, rajin berbincang dan kerap kali juga dihubungkan dengan konsep ”habuan.” Itu sebabnya mereka yang rapat dengan Ustaz pastinya ada kelebihan pada diri. Hal ini mungkin berbeza dengan mereka yang tidak berkesempatan mendapatkabn ilmu secara langsung daripada Ustaz. Oleh itu sudah semestinya juga peratus dan cara penyampaian ilmu SC kepada penuntut juga turut berbeza antara mereka dengan lapisan jurulatih berikutnya. Keadaan ini turut menyumbang akan jurang penguasaan pergerakan SC di kalangan penuntut.

Tujuan saya mengambil perhatian dalam perbincangan ini semata-mata melahirkan perasaan betapa perlunya kita menjaga tentang mutu SC. Penuntut kita telah diasak dengan kefahaman bahawa SC adalah satu-satunya silat Melayu yang berwibawa dan benar-benar asli serta boleh dijadikan sahabat ketika kita berada dalam kecemasan. Kita tidak mahu penuntut berada dalam dunia khayalan melainkan dunia kenyataan. Kepada generasi baru, teruskan usaha menggiatkan diri bagi menguasai sepenuhnya isi pelajaran SC. Rujuklah pada mereka yang berpengalaman dan berilmu tinggi tanpa mengira kefahamannya dalam SC. Pilihlah isi yang enak pada ikan yang banyak tulang. Dengan cara ini persilatan kita akan bertambah mantap dan bukannya bertambah mantat.

Sekian. Bertemu di lain siaran.

Monday, December 8, 2008

KORBANI

PENGORBANAN.

Selamat berhari raya Aiduladha. Hari raya korban. Isi kutbahpun bercakap tentang korban. Maka perbincangan saya kali ini ialah tentang korban dan bagaimana pengorbanan ini membezakan pendapat antara orang-orang kanan Ustaz. Akhirnya porak peranda persatuan.

Kalau kita benar-benar berminat pada SC maka eloklah berkorban masa dan tenaga untuk Silat Cekak. Berjuanglah untuk memperkembangkan SC. Tapi jangan sesekali mengorbankan Silat Cekak untuk minat dan kepentingan diri kita. Hal ini tidak adil dan akan meranapkan kecemerlangan dan keindahan SC itu sendiri.

Tapi nak buat macam mana. Ramai yang tergamak mengorbankan SC semata-mata memenuhi kehendak dan pendapat sendiri. Oleh itu konsep dan falsafah SC yang selama ini cuba dipertahankan, sudah tidak menentu. Ramai yang bercelaru. Konsep Guru diperbahas secara terbuka dengan masing-masing ada pendapat sendiri. Maka runtuhlah kegemilangan dan kemantapan SC. Secara langsung terlaksanalah suasana SC dikorbankan untuk mencapai misi individu yang tertentu.

Seperti yang saya nyatakan terdahulu, walaupun pengetahuan kita seperdu tapi akhirnya boleh bertelagah dan berbeza pendapat atas asakan ilmu daripada punca yang satu. Seperti yang saya persoalkan terdahulu, ” Pada hal, mereka telah menerima pendidikan dari perdu yang sama. Mereka dididik dengan arah perjuangan yang sama. Mereka menerima pelajaran daripada punca yang sama. Mereka bergaul dan berbincang bersama. Tetapi mengapa mereka tidak sehaluan akhirnya. Apakah puncanya hingga tergamak untuk mencari pihak ketiga untuk membuat penyelesaian. Siapakah yang empunya angkara. ”

Tapi hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Lima sahabat Hang yang menuntut satu perguruan, akhirnya bertikam juga atas sebab atau alasan atau kepentingan tertentu. Sejarah telah menjelaskannya terlebih dahulu. Kenapa perkara ini boleh berlaku. Guru yang ada, patut membuat kajian dan pemerhatian semoga alasan yang sama tidak berlaku lagi. Sungguh malang apabila semua ahli mengangguk kepala tanda setuju di hadapan Guru. Apabila Guru telah tiada maka mereka akan berbeza kata. Maka punahlah lagi silat kita.

Kadang-kadang saya cuba fikir-fikirkan kenapa terjadi perbezaan pendapat pada akhirnya di kalangan murid-murid yang seguru. Mungkin banyak faktornya. Apa pun betapa setujunya kita pada pendapat Ustaz tapi nilai diri kita mungkin jauh berbeza. Ustaz bercakap atas sifat individu yang mempunyai ’self esteem’ yang tinggi. Pengalamannya banyak sekali. Segala yang diucapkan adalah atas keyakinannya yang begitu tinggi. Percakapannya dianggap masin. Cakapnya serupa bikin. Tapi dalam hal ini, tahap pengalaman kita mungkin tidak sama dan tidak setanding dengan tahap pengalaman Ustaz. Logik percakapannya ada tapi kita tidak dapat merasai kemanisan atau kepahitannya kerana ketiadaan tahap pengalaman yang sedemikian. Maka jadilah kita tok belatok yang mampu mengangguk tanda setuju walaupun kadang kala mungkin kita perlu akan penjelasan lagi. Namun pengalaman Ustaz tersebut sangat sesuai dan amat menarik untuk dicerita. Maka berceritalah kita pada yang lainnya. Kalau ada sedikit pengalaman atas cerita tersebut, maka semakin rancaklah dikaitkan dengan diri dan tafsiran sendiri. Banyak tokok tambahnya. Kadang kala sudah lari daripada tema asal cerita seperti yang dicerita oleh pencerita asal. Oleh itu, lain pencerita, maka lain pulak cara penceritaan atau isi yang dicerita. Lagi pandai bercakap maka lagi sedap didengar.

Tidak ada siapa yang dapat menafikan betapa pengetahuan Ustaz adalah begitu luas. Banyak ayat pertuturannya yang berkias. Mereka yang berilmu tinggi atau sentiasa berfikir akan isi percakapannya sahaja yang mampu membuat tafsiran jitu. Walaupun diselang seli dengan kata-kata lucu dan kata-kata tegas, ada perkara yang ingin disampaikan. Allahyarham mengalakkan kita berfikir. Atas pemikiran kita, jika timbul soalan dan dipersoalkan kepadanya, maka jawapan yang dikupas semakin memantapkan pengetahuan kita dan semakin mudah kita fahami. Agaknya itulah kaedah Guru selama ini. Kalau boleh kita kiaskan, jika ada sepuluh perkara dalam satu ilmu, guru akan memberi lapan sahaja. Yang dua adalah habuan buat kita berfikir. Bukan semuanya memperoleh yang dua tersebut. Konsep guru menyimpan ilmu adalah merupakan konsep yang hanya ada pada mereka yang tidak berfikir. Jika tidak berfikir, apa yang kita peroleh hanya berbentuk cerita penglipor lara. Tafsiran kita umpama berada di tahap dasar atau kulit sahaja. Kalau pengetahuan kita tidak mendalam, masakan kita boleh faham hingga ajaran tersebut dapat menusuk hingga ke jiwa dan dijadikan amalan. Ustaz sendiri rajin membaca buku bagi menambahkan pengetahuan. Ketika itu, jikalau kita seiring dengan tabiat Ustaz yang suka membaca maka mudahlah kita menerima maksud percakapannya. Tapi malangnya, bukan semua pendengar bersikap demikian. Ada yang mendengar sebagai hiburan. Seronok dan puas mendengar syarahan. Isi syarahan dikira sampingan. Itu sebabnya mereka mudah membuat tafsiran yang berubah-ubah kerana mendengar tak tentu keruan.

Oleh itu, ramai kalangan ahli yang mendengar syarahan Ustaz tidak memahami apa yang diucapkan. Bila ditanya hanya mampu mengatakan syarahannya sedap. Tapi apa yang dibahaskan atau diucapkan tidak mudah untuk ditafsirkan. Jadinya, mereka mudah lupa. Nak bertanya soalan pun tak tahu apa yang nak ditanya. Pada mereka yang ada pengalaman sikit atau pengetahuan yang sedia ada, mungkin mudah memahaminya. Tapi ramai yang membuat tafsiran sendiri berdasarkan ilmu yang ada, Maka apabila menceritakan perbualan Ustaz, ramai yang membicara mengikut pengetahuan yang ada. Ramai juga antara mereka yang tekun mendengar sambil mentafsir data yang diterima, berdasarkan ilmu yang ada tersebut secara serentak atau secara selari. Sikap mereka hanya mendengar sahaja tanpa ada usaha untuk mencungkil secara lebih mendalam. Agaknya mereka malas berbuat demikian atas alasan ilmu yang disampaikan bukannya sesuatu yang luar biasa. Biasa sahaja pada mereka. Tafsiran selari ketika itu sudah semestinya mengikut ilmu yang ada dan dipendam atau disimpan dalam hati. Bila tiba masanya mereka ini akan menyuarakan pendapat berdasarkan pendapat sendiri tapi masih disandarkan pada punca Ustaz. Tambah pulak kalau diri juga bergelar Ustaz. Pasti nak hebat. Maka jadilah itu juga satu punca wujudnya perbezaan pendapat.

Perbincangan saya di atas berdasarkan pemerhatian dan tafsiran saya sendiri bagi menjawab kenapa orang-orang kanan Ustaz sendiri boleh berbeza pendapat. Itu baharu pendapat, bukannya perbezaan pergerakan dalam silat. Pergerakan silat juga terut terlibat. Dulu ada saya sentuh sikit-sikit. Lain masa kita bincang pulak perkara ini.
.

Friday, December 5, 2008

Sambungan MIMPI NGERI

ULASAN MIMPI

Ada yang memadankan muka kerana terlepas pandang akan ilmu KK. ”Dulu tak nak belajar. Perli-perli pulak tu.”

Namun, tak mengapalah. Walaupun tak boleh lapan kali seperti yang sepatutnya, empat kalipun tak pe le. Itu sahaja ilmu yang dapat dikaitkan dengan mantan Guru SC. Mengaitkan ilmu silat, ramai yang telah beralih lorong. Sebabnya telah mengekor Guru Persatuan. Jadi, sekurang-kurangnya apabila teringatkan ilmu KK maka akan teringatlah dengan mantan guru yang lalu. Masih ada lagi pertalian. Jangan diputuskan. Kita risau jika terputus hubungan atau pertalian atau waris yang sah maka ilmu ’KK’ akan menjadi ilmu ’KL’. Maka menangislah siang malam. Tiada siapa yang dapat membantu. Vigra pun sudah tidak bermakna.

Kegemilangan SC Hanafi semakin layu dan berlalu. Walaupun ada cabang persatuan SC yang baru tetapi masa depan kedua-dua persatuan tersebut masih belum menentu.Keputusan mahkamah tentang mesyuarat agung belum terputus. Masih ada ruang yang akan mengubah sejarah dan perjalanan persatuan yang ada. Tapi apabila semuanya selesai maka akan bermulalah proses pemantapan bagi kedua-dua persatuan. Pastinya peranan besar akan dimainkan oleh generasi baru.

Dalam pada itu, perahu layar SCM beralun maju dengan megahnya. Tidak ada badai lagi yang menghalang. Perancangan mereka semakin mantap. Perjuangan mereka semakin laju. Setakat ribut dalam cawan, tidak menghalang arah tujuan mereka. Ramai antara kita yang susah untuk menerima kenyataan. Tapi apa kaitannya dengan kita.

Ada yang mula menyuarakan perkataan ’hak’ dan ’bathil’. Tertegak yang hak maka tenggelamlah yang bathil. Tapi itu mainan istilah. Susah dibuktikan dengan kebenaran. Namun masih ramai yang percaya. Sesuatu yang hak itu bukan mudah untuk berkembang kerana pasti ada rintangannya. Tunggulah masa hingga sampai masanya. Entahlah. Cakaplah apa saja. Yang pastinya, kecemerlangan kita telah dinoda dan ternoda. Cuma kita mengharapkan generasi baru untuk membangkitkan SCH semula. Tapi pada saluran mana ye. Bukankah kita mula berpecah dua. Buatlah apa saja sebelum pepecahan baru menjelang semula.

Pada generasi kepimpinan yang sedia ada, pasti perasaan kecewa dan hampa atas perjuangan kita selama ini tetap ada dalam kotak pemikiran kita. Namun pada generasi baru, penerimaan mereka pada silat cekak akan membawa berbagai makna dan persoalan. Pepecahan kita dengan Kalimah atau terdahulu dari ini, jangan mengambil kira. Cuma pada generasi lama yang sezaman dengan Ustaz, perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu kalau dirujuk oleh generasi baru yang ingin tahu. Tentu kecenderongan berpihak tetap ada. Berpihaklah tapi tetap boleh bercerita.

1. Mengapakah Silat Cekak Malaysia boleh berpecah. Silat ini dipecahkan oleh orang-orang kanan Ustaz sendiri di suatu masa dahulu. Pada hal, mereka telah menerima pendidikan dari perdu yang sama. Mereka dididik dengan arah perjuangan yang sama. Mereka menerima pelajaran daripada punca yang sama. Mereka bergaul dan berbincang bersama. Tetapi mengapa mereka tidak sehaluan akhirnya. Apakah puncanya hingga tergamak untuk mencari pihak ketiga untuk membuat penyelesaian. Siapakah yang empunya angkara.

2. Setelah kita berpecah, kita berada dalam SCH. Mengapakah CH boleh berpecah lagi. Adakah alasan cabul sahaja dapat dijadikan punca besar yang boleh merobohkan keseluruhan perjuangan yang begitu mantap dan besar dalam negara ini. Apakah isu-isu lain yang sebenarnya membantu terhadap pepecahan ini.

3. Bagaimana tafsiran atas ajaran dan falsafah yang diajar oleh Ustaz, akhirnya berbeza penerimaan antara ahli-ahli SC. Pada hal mereka sama-sama duduk semeja atau selantai atau sebarisan kerusi dalam mendengar syarahan dan saranan Ustaz. Apakah faktor-faktor yang mendorong mereka berubah hati atau membuat tafsiran yang tidak selari. Atau apakah faktor-faktor kepentingan diri yang banyak mempengaruhi pemikiran ahli-ahli hingga melupakan perjuangan sejati.

4. Apakah kayu pengukur atau makanisma yang telah digunakan bagi mempastikan kesetiaan murid hinggakan mereka dianugerahkan Pingat Setia iaitu setia kepada Persatuan dan Silat Cekak bagi mempastikan silat tersebut berkembang terus dan tidak porak peranda, tetapi akhirnya telah tidak setia.

5 Dan lain-lain.

Kesemua persoalan di atas perlu kita ketahui akan jawapannya. Jawablah dengan ilmu yang ada walaupun dalam persfektif yang berbeza. Hal ini semua akan dapat membantu generasi berikutnya ketika mengkaji asal usul Silat Cekak. Biarlah mereka pula yang mengeluarkan teori-teori tentang pepecahan kita. Panjang umur, kita boleh membaca.

Setakat ini tak banyak maklumat tentang perkembangan persatuan-persatuan kita. Setakat jamuan dan kegiatan kelas, itu semua adalah kegiatan biasa. Tapi saya yakin keadaan ini tidak akan kekal lama. Satu masa pasti berubah apabila muncul generasi baru yang tidak tahu apa-apa atau mereka yang tidak terlibat dengan pepecahan yang ada. Ketika itu baharulah persatuan kita akan berkembang maju dalam haluan masing-masing. Mana yang lebih baik. Usah dibincangkan pasal tersebut. Yang pastinya, generasi yang ada sekarang akan berlalu. Bawalah kecemerlangan dan kegemilangan yang ada. Itupun kalau dapat dikatakan cemerlang dan gemilang yang pada diri .

Sekian dan terima kasih.

Sunday, November 30, 2008

MIMPI NGERI!

PENGALAMAN SENDIRI

Saya banyak berbincang tentang perkara positif dalam masa penglibatan saya dalam dunia persilatan Silat Cekak dalam artikal-artikal sebelum ini. Kali ini saya ingin untuk menulis, berkongsi pengalaman akan hal-hal yang telah memberi kesan yang tidak begitu menyenangkan pada diri saya. Hal negatif. Menyentuh soal-soal yang berkaitan dengan negatif, tentu tidak ramai yang suka membaca dan mendengarnya. Saya rasa, positif atau negatif banyak bergantung pada tafsiran sendiri. Kalau kita lihat perkara tersebut sebagai positif maka positiflah jadinya. Begitulah sebaliknya, jika kita mempunyai pandangan yang berbeza. Banyak perkara yang kita boleh persoalkan jika ingin bercakap dari aspek positif dan negatif. Walau bagaimanapun segala-galanya bergantung pada pandangan individu tersebut.

Mungkin perbincangan ini sesuai untuk renungan dan mungkin sebagai pengetahuan kepada pembaca sekalian. Jangan pulak takut terpengaruh sangat dengan tulisan ini. Anggaplah tulisan ini sebagai satu lagi sudut penulisan yang boleh dibuat renungan bersama. Perbincangannya hanya pada pandangan dan dalam konteks saya sendiri.

Berkecimpung dalam SC sebegitu lama bermakna saya amat berminat dengan SC itu sendiri dan tentunya dengan falsafah dan perjuangan yang ada. Oleh hal yang demikian ramai yang menganggap saya begitu taksub dengan silat. Kadang kala saya bertanyakan diri saya sendiri, adakah saya benar-benar taksub dengan SC. Saya terfikir secara bandingan akan mereka yang berminat memancing ikan yang boleh menghabiskan masa sehari suntuk di tepi kolam atau di sungai atau di laut semata-mata untuk mendapatkan ikan hasil pancingan mereka sendiri. Untung-untung dapatlah seekor ikan dalam masa enam atau lapan jam. Paling malang sekali apabila seekor ikan pun tak dapat. Pelik pada kita tapi tak pelik pada mereka. Tentunya kita rasakan kegiatan mereka erat kaitannya dengan hobi atau minat. Kita tak pernah mengatakan perbuatan memancing tersebut sebagai taksub. Begitu juga dengan orang yang bermain golf sehari suntuk, semata-mata ingin memasukkan sebiji bola ke dalam lubang. Itulah hobi namanya, bukannya taksub. Berebut sebiji bola oleh dua puluh dua orang di padang bola dirasakan buang masa pada mereka yang tidak berminat dengan bola. Tapi pada peminat bola, kegiatan tersebut banyak faedahnya. Dalam hal ini, saya juga yakin bahawa penglibatan saya dalam SC bukannya kerana taksub tetapi kerana hobi dan minat. Jadi tidak ada salahnya dan tidak patut dikesali.

Akan tetapi kerana minat tersebutlah maka saya terpaksa mengorbankan perasaan anak dan isteri Banyak permintaan mereka yang terpaksa saya kecewakan. Segala-galanya kerana minatkan silat hingga lupakan keluarga. Apabila ’orang rumah’ sound sikit fasal penglibatan tersebut, cepat sangat saya melenting. Maka terpendamlah perasaan mereka. Nak tegur salah, tak tegurpun salah. Maka semuanya serba salah. Saya tetap dengan dunia persilatan saya sendiri. Bermula dari jam 7 malam keluar dari rumah hinggalah larut malam balik ke rumah. Tak sempat berbual dengan anak dan isteri pada waktu malam. Hal ini berterusan berpuluh tahun kerana penglibatan saya bukannya hangat-hangat tahi ayam. Namun begitu ketika ini baru nampak ruginya. Rupa-rupanya, hubungan anak dan isterilah yang kekal abadi. Silat? Saya tak erti.

Seronok mendengar syarahan Ustaz tentang perjungan SC. Perjuangannya logik dan mantap serta berfokas. Sesuai dengan jiwa seni yang ada pada saya. Syarahan-syarahan Ustaz merupakan satu motivasi yang berharga pada diri saya. Bila dah faham tentang perjuangan maka saya teruskan kesinambungan perjuangan tersebut. Bukannya main-main tapi secara serius. Fahaman tentang silat diasah oleh Guru dari masa ke masa. Kadang kala saya rasakan diri ini sudah mantap untuk meneruskan perjuangan. Melihatkan ramai kawan yang berminat seperti saya, kecenderongan untuk berjuang terus membara. Tapi mungkin berbeza antara saya dengan mereka. Saya sukakan kerja-kerja yang bermula dengan ’A’ dan diakhiri dengan ’Z’. Itu juga merupakan salah satu ajaran yang ada dalam SC. Tapi kenapa ramai juga para kawan yang menghilangkan diri. Paling malang sekali mereka yang berbeza pendapat. Rupa-rupanya tindakan mereka bijak sekali. Perjuangan mereka ada had dan ada sempadannya. Cukup masa mereka mengundur atau membelah diri. Cukup dengan pengorbanan yang mereka beri. Pengorbanan ini dikirakan setimpal dengan ilmu yang diasak dan diberi oleh Guru.

Malang Sekali lagi. Sikap itu tidak ada pada diri saya sendiri. Saya tak nampak garis sempadan tersebut. Mungkin kerana minat yang membara. Berkecimpunglah saya hinggakan mahu ke akhir hayat. Tapi sekarang ini dunia SC telah jauh berbeza. Garis sempadan mula saya nampak. Walau pun telah terlewat tapi masa masih ada. Banyak dosa yang saya lakukan pada anak dan isteri. Eloklah saya tebuskan segera. Sedihpun ada. Tapi apa nak buat. Asyik lupa diri.

Ramai kawan seperjuangan yang menghilang diri atau berubah hati. Dulu dan dulu semuanya bersatu hati. Arah perjuangan dan hala tuju begitu jelas sekali. Kadang kala apabila tawar di hati, melihatkan kawan dan bergaul sasama mereka sudah menjadi semacam motivasi. Sayang sekali, kenapa ramai yang beralih hati. Perjuangan asal ke mana pergi. Mana pergi fahaman mereka. Terasa diri semacam lemah. Lurus bendul tentang perjuangan. Perjuangan kononnya!. Saya lihat ramai antara kawan yang berjuangkan glamour. Rebut jawatan sana sini. Hinggakan ada yang bertanding sesama mereka hingga timbul perasaan dengki mendengki. Kenapalah saya lurus sangat. Nampak sangat saya merugikan diri sendiri. Habis semuanya berkepentingan diri. Sekurang-kurangnya berkepentingan diri kerana ingin membela diri atau menegakkan kebenaran diri. Ajaran Ustaz hilang entah ke mana. Cit! Busuk punya kerja.

Jadilah ajaran-ajaran Ustaz mengikut tafsiran sendiri. Prinsip dan falsafah dalam SC begitu mudah ditafsirkan berbeza dengan fahaman yang terdahulu. Sebabnya semasa saya bergaul dengan mereka, fahaman tersebut tetap satu. Tafsiran diri, jauh sekali. Kini saya masih cuba untuk mempertahankan fahaman yang asal. Tapi mana ada bukti. Senang saja ditempelak oleh mereka yang tidak setuju dengan fahaman yang ada. Mereka ada ramai pengikut baru. Bukannya pengikut tersebut tahu. Terpinga-pingalah saya keseorangan diri. Kadang kala dikatakan syok sendiri. Siapa yang nak percaya. Mungkin yang percayapun secara kebetulan kerana saya berada di pihak mereka. Kalau bertentangan pendapat kerana cuba menegakkan fahaman asal saya yang dipupuk sekian lama, pasti ada yang menyanggahnya pulak. Ramai kawan yang lari keluar. Tinggallah saya bernasib malang dalam SC. Walaupun saya telah sampai ke Isyak, tapi saya cuba jangan menyesalkan diri. Ketentuan Ilahi. Nak buat macam mana. Tapi kalau masa di gostan kembali, saya rasa, saya tetap tak berubah hati. Minatlah katakan. Tapi saya boleh berhati-hati.

Berjuang aktif dalam SC mesti ada kekuatan diri. Kalau tidak kita akan tawar hati dan mungkin menyisihkan diri. Satu masa dulu saya pernah menulis bahawa peranan kita kadang kala umpama sebuah kereta. Ketika kereta itu elok keadaannya, kereta tersebut akan dinaiki. Apabila enjinnya rosak dan dihantar ke bengkel, kereta lain akan digunakan sebagai ganti. Duduklah kereta tersebut dalam bengkel. Apabila makanik menalefon bahawa kereta telah dibaiki, tuannya akan mengambilnya dan terus dinaiki.

Itulah yang selalu terjadi dalam SC dari dulu dan akan datang?. Ketika tenaga kita diperlukan, kita akan ’dipergunakan’ dengan sepenuhnya. Mengajar SC siang dan malam lebih membawa erti. Bila sakit atau ditimpa malang, duduklah bersendiri. Ketika itu nampak perjuangan anak dan isteri. Paling malang apabila tiada siapa yang lawati. Guru, jauh sekali. Hanya salam sekadar dikirimi. Setelah pulih, kalau merajuk, akan membawa diri. Kalau ingin terus berbakti, jangan dikutip-kutip perkara yang menyakitkan hati. Setuasi itu akan terus berulang-ulang. Kalau perjuangan hingga ke akhir hayat, bilanglah nasib malang yang menimpa diri. Kiralah berapa kali kita tidak dipeduli. Sungguh menyayat hati.

Dulu semacam telah terpaku dalam fikiran, perjuangan mesti ikhlas. Memperkembang dan menyebarkan SC adalah merupakan satu perjuangan yang hakiki. Oleh itu sebarang bentuk tuntutan bayaran untuk maksud tersebut adalah merupakan perbuatan yang tidak ikhlas. Dalam kelas janganlah bercakap selain daripada silat. Itulah perjuangan hakiki yang ada dalam diri. Tapi kawan-kawan sangat pandai menyesuaikan diri. Jual tilam pun jadi. Alasan yang diberi, tak sedap bergumpal atas tilam sendiri. Tilam mesti dibeli. Yang tak sedar diri semakin hebat berkempen dengan CNI nya. Hilang perjuangan hakiki. Suatu masa dulu, kalau badan tak sihat dikaitkan dengan kesetiaan pada guru, tapi kini diganti dengan ”makanlah produk CNI’.

Ada yang mempunyai hobi sendiri yang tetap tidak diketepi. Sanggup pulak menjadi pengurus kelab peminst bola sepak. Menyimpang terus daripada tugas hakiki dalam keadaan diri dikatakan pengikut setia Ustaz Hanafi. Tapi saya tetap dengan aktiviti mengembangkan SC hingga sanggup mengenepikan minat sendiri. Sungguh rugi sekali. Tapi yang tragis sekali apabila terlupa mengambil ilmu KK. Sekarang baru terasa kelemahan diri. Sentiasa terbayang dihati. Betapa mereka yang menuntut ilmu tersebut sungguh hebat melayari bahtera merdeka. Lapan kali sehari tidak menjejaskan diri. Hebat sekali. Kalau ku tahu begini terjadi, tentu kurebut peluang yang diberi pada tempoh hari. Lupakan seketika silat di kelas untuk untuk belajar ”k” keras.

Itulah mimpi ngeriku ketika ini setelah sekian lama berada dalam perjuangan Ustaz Hanafi. Cukup setakat ini. Ada masa saya akan sambung kembali membincangkan mimpi negeri.

Tuesday, October 14, 2008

APA YANG SEPATUTNYA KITA DAPAT

PENGLIBATAN DALAM SILAT CEKAK.

Setelah sekian lama berkecimpung dalam SC, sepatutnya banyak perkara yang kita peroleh sama ada yang berkaitan dengan kebolehan dan kemahiran fizikal mahupun pembentukan sikap dan nilai diri kita. Dalam aspek kemahiran fizikal, pengetahuan dalam gerak dua tangan dan gerak dua kaki semakin mantap. Hal ini demikian kerana mempelajari SC telah membawa kita meneroka satu rupa bentuk alam persilatan Melayu. SC adalah sejenis silat yang kaya dengan ilmu-ilmu perbandingan berdasarkan pergerakan kita sendiri dibandingkan dengan pergerakan silat-silat lain. Apabila kita membanding, jelas menampakkan ciri-ciri kehebatan SC yang hanya dimiliki dan diketahui atau dirasai oleh mereka yang menjiwai pelajaran SC.

Berbincang tentang pergerakan dua tangan dan dua kaki, teringat akan gelagat dan sifat manusia itu sendiri. Lelaki yang menampakkan ketampanannya dengan pakaian yang hebat dan menarik adalah semata-mata kerana adanya ’anu’ yang dimiliki. Tanpa anu-nya kelakian dan ketampanan tersebut tidak pasti dan tidak membawa makna. Begitu juga agaknya dengan wanita yang bergincu menarik dengan pakaian yang mengiurkan semata-mata kerana ada ’anu’-nya. Kalau anunya telah tiada atau kurang berfungsi, semuanya tidak bermakna. Pakailah apapun. Pasti tak akan ada daya megnetnya. Mungkin kiasan ini boleh dikaitkan dengan silat kita. Adunan tari dan gendangnya hanya membawa makna jika ada rahsia dalam gerak dua tangan dan dua kakinya. Silat bukannya tarian. Setiap pergerakan ada maksud yang tersirat. Mencari kelemahan atau ’lubang’ dalam pergerakan lawan menjadi tujuan utama silat Melayu. Tapi dalam SC kita tidak ada tari dan tidak ada gendangnya. Mencari kelemahan musuh bukan menjadi objektif utama. Dalam SC, pergerakannya berformula kerana lengkap dengan kaedah yang tersusun rapi. Timbullah falsafah, ’ makan gerak dalam gerak’ atau ’sambil menyerang, Cekak menangkap’ dan pelbagai falsafah lagi dalam sistem menjaga diri yang meliputi pertahan dan menyerang. Itu sebabnya SC amat ringkas. Tak payah untuk menonjolkan kebolehan diri untuk menunjukkan SC mempunyai rahsia berbentuk senjata sulit yang begitu tajam dan hebat sekali. Tak seperti sifat manusia yang terpaksa menonjolkan ketrampilan diri kerana bersandarkan senjata sulit yang dimiliki. Sengaja saya membuat perbincangan seperti di atas. Agaknya kiasan ini lebih mudah untuk difahami.

Perbincangan dalam aspek pembentukan harga diri dan nilai diri hasil penerapan dalam pengajaran dan pembelajaran SC, amat luas sekali. Kalau persilatan ini dihubungkan dengan konsep budaya, sesungguhnya segala bentuk budaya yang positif, telah ada dalam ilmu persilatan Melayu khasnya dalam persilatan SC. Nilai-nilai budaya tinggi, budaya murni ataupun budaya halus, sememangnya tersisip dalam ilmu SC. Perkara ini tidaklah menghairankan. Kita lihat sendiri dalam apapun bentuk teori kelahiran silat. Rata-rata semua teori kelahiran silat adalah hasil cetusan idea sama ada golongan istana, golongan yang ahli agama atau golongan yang berilmu. Golongan-golongan ini adalah terdiri daripada manusia yang berfikir dan dapat mencetuskan ilham pergerakan yang begitu mantap sekali. Oleh sebab mereka ini sendiri mengamalkan segala bentuk budaya yang dinyatakan maka budaya-budaya tersebut telah menjadi bersekali dan bersepadu dalam pelajaran silat-silat Melayu.

Malahan SC sendiri telah menjadi amalan pihak istana sebelum silat ini disebarkan di kalangan orang banyak. Itu sebabnya dalam SC budaya-budaya yang hebat telah tersisip bersekali dengan pelajaran fizikalnya. Budaya ini terpupuk di kalangan penuntut sama ada disedari atau tidak. Cuma persoalannya ialah sejauh mana pemupukan ini berlaku. Mungkin faktor berfikir akan menentukan keadaan. Tidak sama antara penuntut yang tidak berfikir yang hanya cuma membiarkan dirinya dibentuk, berbanding dengan penuntut yang sentiasa berfikir ketika penerimaan sesuatu pelajaran dalam proses mempelajari SC.

Dalam perbincangan di sini, saya hanya menyentuh beberapa aspek yang sepatutnya telah terpupuk di kalangan pengamal SC itu sendiri, berdasarkan pesepsi dan pengalaman saya dalam SC.

Aspek utama pemupukan nilai di kalangan ahli ialah pemupukan Nilai yang baik dan Budi Bahasa. Nilai dapat diertikan sebagai satu konsep yang dijadikan asas kepada kita untuk menilai, mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara, mutu, kualiti dan pergerakan dalam silat kita. Budi bahasa biasanya merujuk kepada tuturkata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia. Tegasnya, setiap gerak laku, tuturkata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan sesama ahli, terangkum dalam konsep budi bahasa.

SC kaya dengan adab yang tinggi. Sebagai contoh, majlis ijazah yang ada dalam SC merupakan tunjang pemupukan pertalian antara guru dan murid atau antara pemimpin dengan pengikutnya. Kepimpinan dalam SC dijadikan tempat bernaung, umpama kata kiasan, ”Pohon rendang di tengah padang, batangnya untuk bergantung, buahnya untuk dimakan dan daunnya untuk berlindung”.

Sifat tidak beradab bukanlah amalan kita. Janganlah hendaknya ketika pemimpin disanjung, segala-galanya baik belaka. Apabila mereka terjatuh atau dijatuhkan, kutukan hina menjadi mainan kata. Itu bukannya sifat budi bahasa kita dalam SC. Ingatlah pantun bangsa kita,

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

Setiap yang buruk ada baiknya. Setiap yang hitam ada putihnya. Bukannya tahi cicak, tapi konsep buruk baik adalah budaya kita. Allah sahaja yang unggul.

Ketahanan Diri merupakan salah satu aspek yang sepatutnya terpupuk di kalangan penuntut SC. Pelajaran SC itu sendiri memupuk diri kita supaya mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Bukan mudah untuk menghabiskan pelajaran SC tanpa hati yang cekal. Mungkin itu sebabnya lahir pantun, ” Silat Cekak amatlah mudah, pada mereka yang ada hidayah. Namun begitu haruslah tabah, mudahan-mudahan beroleh faedah.”

Guru Utama selalu meneguhkan pendirian kita umpama ikan di laut. Walaupun sekelilingnya masin tetapi ikan tetap tidak masin. Ketahanan diri membawa juga maksud pendirian tetap yang sukar diganggu gugat. Pendirian ini adalah sesuatu yang berkait dengan harga diri kita. Dalam konteks SC, selalunya pendirian tetap ini juga dikaitkan juga dengan ”cakap jantan”. Penumbuk kita juga merupakan penumbuk jantan. Implikasinya ialah berani dan tetap pendirian. Jangan berubah-berubah tanggapan dan pendirian yang ada pada kita. Kerana terdesak atau atas sifat kepentingan tertentu janganlah hendaknya membolehkan kita menukar pendapat. Sungguh malang jikalau pendirian sikap tersebut berlaku. Misalnya konsep mandat dan sebagainya yang sering ditumbulkan sejak kebelakangan ini. Ramai yang ’tak tahan’ kerana tiada ketahanan diri. ”Pendirian tergadai dan penghormatan cabut lari.”

Tanpa kita sedari, ketrampilan diri telah dipupuk dari masa ke masa di kalangan penuntut SC ketika kita mempelajari SC. Disiplin berpakaian sangat diambil berat. Acara-acara rasmi dijalankan dengan suasana protokal majlis yang tersusun dengan baik. Ketrampilan diri ini lebih terserlah apabila sifat individu itu diiring dengan budi bahasa yang jitu dan pendirian yang kukuh. Nampak hebat ahli-ahli SC. Muka mereka jernih berseri hasil pancaran daripada hati mereka yang tulus dan ikhlas. Cuma sekarang ini kadang kala ternampak muka-muka sumbang dan sumbing di kalangan ahli.

Kerap kali ahli-ahli SC juga disogokkan dengan pandangan bahawa pergerakan SC ada kaitannya dengan pergerakan sembahyang. Dalam konteks ini, bukan pergerakan SC yang ingin saya tekankan, tetapi kaitan diri kita dengan sembahyang. Sembahyanglah merupakan salah satu kekuatan batin untuk diri kita. Mereka yang menunggu Subuh adalah tersangat hebat berbanding dengan Subuh yang menunggu mereka. Kesempurnaan sembahyang akan memberi kesan yang besar pada pergerakan silat kita. Janganlah banyak sangat membuang masa membincangkan pergerakan silat kita yang bersumberkan sembahyang. Hakikatnya kesempurnaan sembahyang banyak mempengaruhi pergerakan penuntut. Inilah yang perlu dibincangkan oleh mereka yang ahli kepada penuntut SC.

Banyak lagi aspek agama yang dikait dan ditanamkan di kalangan ahli kita. Apapun, yang penting, penuntut-penuntut SC ditarik perhatian mereka untuk mendalami seterusnya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama melalui sumber-sumber lain yang ada. Kalau ada antara penuntut yang mempelajari SC tetapi semakin jauh dengan agamanya menunjukkan adanya sesuatu yang tak kena dalam proses pengajaran dan pembelajaran SC.

Selain daripada faktor-faktor perbincangan di atas, banyak nilai baik dan positif yang terpupuk dalam proses kita mempelajari SC. Faktor keyakinan diri dan keberanian juga merupakan nilai yang terpupuk dari masa ke masa. Alangkah indahnya nilai yang telah diperoleh oleh penuntut yang mempelajari SC. Setelah pelajaran silat diperoleh dengan selengkapnya, penuntut yang lahir hasil didikan SC mempunyai keperibadian yang unggul dan mantap. Mereka ini mempunyai daya tahanan diri yang teguh dan sukar diganggu gugat oleh sesiapapun.

Inilah hakikat ahli SC yang dikehendaki agaknya.

Sekian dan teriama kasih.

Monday, September 29, 2008

SELAMAT BERHARI RAYA

Tentu seronok bersama keluarga. Terutamanya isteri tercinta. Mereka juga yang tetap setia. Tapi silap-silap gaya, gaduh juga. Namun begitu, tak kekal lama. Penyedapnya masih berkaitan bersama. Bersatu teguh, bercerai peluh.

Yang tak seronoknya apabila beraya dengan kawan-kawan silat. Beraya, tapi semacam rasa tak selamat. Hari raya yang selamat. Diri tak tentu hala. Tak selamat kerana hati berada dalam keadaan resah-gelisah. Topik perbincangan tentu tawar. Nak bincang tentang konsep dan falsafah atau ajaran Silat Cekak, tentu berasa hambar. Banyak yang cakap tak serupa bikin. Contoh-contohnya banyak yang mirip umpama ludah ke langit, kena akan batang hidung sendiri. Paling dahsyat sekali apabila bercakap di mulut tapi di hati berasa umpama kelakuan menjilat ludah dilantai. Kadang-kadang kita tak sedari. Si pendengar tetap mengerti. Tapi manusia ini mana faham. Bahasa mereka lemah. Itu sebabnya mereka sentiasa ”tak rerti basa.” Mereka puas bercakap umpama menjilat jari. Puas dengan menghamburkan kata. Tapi sebenarnya menjilat jari tak akan sama kualitinya dengan menjilat si anu.

Kalau bermusuh, pasti mereka tak akan bercampur sembang. Cuma yang kurang tetap pendiriannya akan berasa keluh dan kesah kerana cuba dipengaruhi. Sebelah sana dan sebelah sini pasti ada yang berlagak umpama pendakwa raya dan peguam bela untuk menyakinkan diri. Bercakap bukan main hebat. Macam lah mereka ini peneraju utama SC. Tanpa mereka, disangkakan apalah yang ada pada SC. Itulah anggapan mereka. Semacam besar kepala. Merekalah yang menyebabkan orang lain menjerit. Menjerit kesakitan. Di hati agaknya. Tapi kekadang kala sedap juga.

Nak sembang tentang buah-buah dalam silat pun berasa tawar juga. Orang-orang lama dan orang bangka tentu sedar perkara ini. Kalau disebut-sebut pusaka Ustaz, tentu dengan fahamannya sekali. Hubungan dengan Ustaz bukan setakat ilmu yang ditinggalkan tapi juga Mak Teh yang masih ada. Tentu teriyang-ngiang di telinga mereka akan bisikan dan kata-kata Ustaz dulunya supaya menghormati Mak Teh. Jangan diketepikan Mak Teh. Itu juga amanah dan tinggalan pesan daripada Ustaz. Tak hairanlah dalam setiap acara atau majlis maka Mak Teh tak pernah ditinggalkan. Itu adalah amanah dan pesanan.

Masakan boleh mengagung-agungkan silat yang ditinggalkan tanpa mengambil kira amanah dan pesanan yang diberi. Puak-puak yang telah menolak En Mat maka secara langsung juga telah menolak amanah Ustaz. Puak yang baru mana mereka tahu. Berjumpa Ustaz pun tak pernah. Tapi puak-puak lama tentu mengerti. Tapi nak buat macam mana. Nasi sudah menjadi bubur. Segala-galanya akibat sindrom silap sangka atau luar jangka. Mana mereka sangka akan Mak Teh tergamak mengatakan binatang. Mak Teh pulak mana sangka atau mana jangka puak-puak itu akan melawan balik. Sebelum ini ikatan mereka umpama anak beranak. Tak kanlah anak akan ”disumpah” oleh maknya. Dan mana jangka pada si emak akan anaknya boleh memberontak begitu rupa. Tapi apa kan daya. Yang tak di sangka atau dijangka tetap berlaku dan sudah berlaku.

Bila mengajar akan silat yang merupakan pusaka Hanafi, tentu tawar juga akan perasaan diri. Tawar kerana diri berada dalam alam kepura-puraan. Satu segi mereka cuba ”menurunkan” ilmu Ustaz tapi di segi yang lain, melupakan amanah yang perlu dipikul. Perasaan ini pastinya ada pada puak-puak yang dulu-dulu. Agaknya pada generasi baru, apa mereka tahu dan apa mereka peduli. Banyak yang syok sendiri. Lupa asal usul dan pengertian SC. Masih setia pada mereka yang tersilap sangka agaknya. Asaklah mereka dengan apa jua fahaman. Tentu mereka susah menerimanya kerana proses pengalamian tak akan sama dengan proses pendengaran.

Tulisan ini saja suka-suka, sambil menunggu waktu berbuka.
Terkenang peristiwa dulu-dulu, penuh dengan suka duka.
Setiap generasi peneraju, ada saja angkara.
Pasti kita tak akan lupa, buat selama-lamanya.
Sakit hatipun ada kerana ramai yang berlidahkan cabang dua.
Nak kata ular, biawakpun ada kerana kedua-duanya sama saja.
Rosak habis segala ajaran yang diberi dan ajaran yang diterima.
Konsep, prinsip dan falsafahnya sudah jadi tak tentu hala.
Kita rasa mereka faham dengan asakan fahaman yang sebegitu rupa.
Tapi apa nak dikata, kerana ramai yang tak rerti basa.
Manusia memang mudah lupa walaupun berlori nasihat dinyata.
Apabila kepentingan diri menjadi utama, maruah diri entah ke mana.
Tapi apa kan daya.....
Memang manusia jenis makhluk yang mudah lupa.
Lupa daratan dan lupa lautan dan lupa segalanya.
Guru Wawasan tetap ada dan Guru Persatuan, pautan utama.
Guru Silat nak letak di mana.
Ditelan mati mak, diluah mati bapa.
Tapi persetankan semuanya kerana hari raya nak tiba.
Berhati-hati di jalan raya.
Selamat menyambut hari raya.
Yang tak selamat, pergilah ke batu dua.

Friday, September 12, 2008

ULASAN LAGI

WARISI

Sudah ada tiga pecahan SC daripada asal satu Silat Cekak yang dibawa oleh Ustaz Hanafi. Usahlah dibincangkan mana satu yang betul. Bakal penuntut yang ingin belajar SC akan lebih banyak bergantung pada persekitaran kawannya daripada tiga jenis guru tersebut. Kalau kawannya adalah SC pimpinan En Mat, maka En Mat-lah gurunya. Begitu juga dengan yang lainnya.

Cakap daripada segi kebenaran, sampai esok pagipun tak akan habis hujjah yang dikemukakan. Kalau adapun yang masuk SC atas panduan kebenaran, juga terikat dengan kumpulan perbincangannya. Tetapi kita tidak boleh menafikan betapa pandai cakap boleh mempengaruhi orang ramai. Putih boleh dibuktikan hitam dan hitam boleh dibuktikan putih.

Percayalah, ”ada ulu, ada parang, ada dulu, ada sekarang”. SC akan terus berpecah. Manusia yang suka berpecah masih wujud lagi. Mereka meninggalkan banyak contoh dan teladan. Barisan pelapis sekarang ini telah banyak belajar daripada mereka. Pastinya ilmu berpecah tersebut akan dipraktikkan oleh mereka apabila tiba saat dan ketikanya nanti. Bukankah angka empat puluh begitu sinonim dengan fahaman kebanyakan antara kita. Hingga ke tahun berapa agaknya, genap SC berpecah kepada empat puluh pertubuhan silat tetapi bertunjangkan kepada SC yang satu.

Tidak banyak perkara yang boleh dibincangkan tentang SC dewasa ini. Teori-teori kehebatannya terutama aspek falsafahnya begitu trajis untuk diutarakan. Kadang-kadang kita boleh berasakan seolah-olah diri sendiri menjadi hipokrat apabila membincangkan kelebihan SC. Umpama ludah ke langit, akhirnya terkena pada batang hidung sendiri. Teorinya hebat tetapi contoh-contoh aplikasinya banyak yang tak mengena.

Mengenangkan kisah-kisah lama tentang kehebatan SC, umpama berkaryakan sastera rakyat. Sangat molek jika penceritaan tersebut diiringkan dengan petikan gambus atau tiupan seruling. Bukannya cerita yang manarik, tapi nada iringannya yang mendayu-dayu pasti memukau si pendengarnya.

Tokoh-tokoh SC yang dulunya hebat, semakin luntur dek kerana penglibatan dalam persengketaan. Kepercayaan dan penghormatan padu yang selama ini mereka nikmati tetapi kini telah berbelah bahagi. Mungkin pada mereka itu semua tidak mendatangkan masalah. Ramai yang berusiakan Isyak. Menantikan habis waktunya. Tapi bagi mereka yang berwaktukan ”Asar” hingga ke "maghrib" masih rancak menghidupkan suasana. Jauh lagi perjalanan hingga tak sadarkan diri. Berada dalam asyik dan mahsyoknya.

Mutu SC sudah sukar terbela. Rujukan sebagai punca kuasa bagi menetapkan kepastian dalam gerak dua tangan dan dua kakinya semakin longgar. Kalau keretapi sudah berkepalakan tiga, maka tiga landasan akan ditujui. Itu tidak termasuk landasan-landasan kecil dek kerana banyak kepala yang muncul daripada tiga pecahan kepala yang ada.

Cuma yang tidak berubah ialah kepala wali jantan yang pastinya akan tetap mengikut arus dan aliran wali betina. Teknik dan taktiknya sahaja yang berbeza-beza. Bulan puasa lo.

Saturday, August 9, 2008

SEPINTAS KENANGAN

Hari ini saya tonton TV tentang kisah sejarah peperangan yang dinukil oleh Makwiyah dan kuturunannya. Habis keturunan Nabi dinyahkannya. Paling tragis ialah kisah di Karbala. Begitulah rupanya apabila Nabi disanjung tapi keturunannya ”dipancung”. Teringat pulak sejarah SC. Sengaja aku layangkan fikiran untuk menyingkap kisah lama. Kisah aku yang berkecimpung sejak awal lagi.

Banyak jasa Ustaz. Adatnya, tanpa usaha Ustaz maka SC tidak akan seindah sekarang. Mak Teh diberitakan memberi sokongan yang padu pada Ustaz. Beliau ditinggalkan untuk menjaga anak-anak. Ketika itu dikatakan kenikmatan hidupnya pun tak menentu. Berkat kesabaran, diakhiri kejayaan. SC dapat dikembangkan. Jasa beliau tetap dijulang. Tapi pada satu ketika dulu.

Kejayaan Ustaz membawa SC ke mercu kejayaan adalah amat dikagumi. Malah peranan Ustaz amat besar. Ramai murid yang terbentuk dan dibentuk akan sifat peribadinya. Seolah-olah mereka mempunyai pegangan yang jitu. Tahap jati diri begitu tinggi sekali. Kekaguman ini bukan setakat dirasai oleh ahli SC malah turut dirasai oleh bukan ahli. Musuh dan sahabat mengakui kehebatan SC ketika itu. Ramai yang menganggap, ”Inilah silat akhir zaman.” Tak akan ada lagi silat Melayu yang sehebat SC muncul dipersada negara ini. Kalau ada silat yang muncul pun pasti boleh dipersoalkan keaslian dan asal usulnya. Ahli yang belajar begitu yakin sekali. Ramai yang perasan akan kebolehan diri. Masing-masing berasakan kebolehan diri sentiasa meningkat dari masa ke masa. Apa yang meningkat? Semua segi.

Perpaduan ahli tetap utuh. Bukan utuh kerana semula jadi tapi keutuhannya terkawal dek adanya Guru Utama ketika itu. Siapa yang berani melanggar arahannya. Walaupun tidak dipersetujui, pendapat Ustaz tetap dihormati. Mereka yang tidak setuju dan bertentangan pendapat, orang itu akan mengundur diri. Lenyaplah mereka dalam pentas SC. Tiada siapa yang ambil peduli. Tapi pada ahli yang tersingkir, hidup perlu diteruskan. SC bukannya penentu diri. Bukannya kerana SC sahaja yang menjadikan diri mereka berjaya dalam hidup. Kalau dikirakan barkat, banyak lagi keberkatan yang boleh diperoleh daripada sumber yang lain. Ramai yang terus berjaya dan kerap kali wajah mereka keluar dalam TV.

Generasi ahli ketika itu amat memahami akan tanggungjawab mereka untuk menyebarkan SC. Tanggungjawab itu merupakan perjuangan yang hakiki. Walaupun perselisihan pendapat kerap terjadi tapi hanya dalam mesyuarat. Jika keputusan telah diputuskan, kepentingan diri terus ketepi. Hubungan ahli begitu kental sekali. Walaupun kita tidak tahu apa yang ada di dalam hati, tapi perasaan tak puas hati dikeluarkan dengan begitu beradab sekali. Tapi itu bukannya sesuatu yang pelik. SC dibayangi oleh adat dan adab yang begitu hebat sekali. Usahkan adab dengan Guru, sesama ahlipun begitu tersusun dan molek sekali. Wujudlah suasana hormat menghormati yang begitu dikagumi oleh kawan dan lawan.

Segala perancangan tersusun dengan rapi dan pasti terjadi. Dua kali dua tetap empat. Kadang kala itulah motto tak rasmi yang diletakkan sebagai asas kerja untuk meghebatkan lagi SC. Masing-masing tahu akan peranannya. Mereka yang tinggal berjauhan dengan ibu pejabat, akan memberi sokongan yang amat padu tanpa perlu diragui. Selesai majlis, semua ahli berpuas hati. Pastinya di warung Keramat atau warung Kampung Baru menjadi tumpuan. Masing-masing menceritakan kembali hasil kejayaan yang masing-masing telah ketahui. Samalah juga dengan gelagat penonton wayang yang menceritakan kembali setiap episod yang telah ditonton walaupun sama-sama telah menontonnya. Apapun, situasi sebegitu telah mengeratkan lagi hubungan sesama ahli.

Kematian Ustaz membawa banyak peristiwa. Ada yang enggan menerima hakikat kematiannya. Ada yang pengsan ketika jenazah diusung. Ada yang tidak tergamak melihat perkembumiannya dan macam-macam lagi. Begitulah sayangnya mereka pada Ustaz hinggakan kematiannya diingati setahun sekali melalui pembacaan Yassin. Sejauh mana Ustaz dapat pahala, sukar dijangka. Tapi apapun, yang membaca tetap akan dapat habuan pulut atau nasinya.

Mencari pengganti agak sukar sekali. Kemampuan kepimpinan pada ahli yang ada begitu jarak sekali. Bersetujulah ahli-ahli lama untuk bersandarkan pada mimpi. Namun, mimpikan pengganti tak datang-datang. Ada yang bermimpi lain hingga basah kain yang dipakai. Akhirnya Pak Ak diambil kira. Tapi kepimpinannya amat berbeza. Ramai ahli yang inginkan tindak tanduk Pak Ak menyerupai Ustaz. Langsung tak bertolak ansur. Pelbagai alasan diberi tanda menolak kepimpinannya. Ketika inilah pengurusan persatuan kelam kabut. Usahkan persatuan, pelajaran SC pun mula dirobek-robek mengikut kepuasan dan kesesuaian diri. Guru Wawasan pasti tersenyum lega. Hujung pangkal sudah tak ketahuan. Tapi SC terus berkembang. Kepercayaan masyarakat pada SC begitu menebal. Ahli yang baru masuk apa mereka tahu. Sambutan hangat tetap diterima dari masa ke masa. Walau bagaimanapun, penggeseran sesama ahli mula berputik. Pelbagai alasan diberi. Masing-masing dengan hujjah yang tersendiri. Logiknya tetap ada.

Ketika ini baru kita tahu bahawa hubungan sesama ahli yang erat ketika Ustaz, terdapat unsur-unsur kepura-puraan. Pak Ak menjadi tempat mengadu dan meluahkan perasaan duka. Maka wujudlah blok-blok pendapat dalam kalangan ahli. Retak mencari belah. Akhirnya betul-betul belah. Bukan mudah untuk mengambil alih persatuan. Maka terbentuklah Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi.

Para pendukung yang dikatakan rapat dengan Ustaz telah membai’ah En Mat sebagai Guru Utama. Mak Teh tetap disanjung dan tidak ditinggalkan dalam setiap acara. Tapi perasaan curiga tetap ada sesama ahli. Orang yang disanjung, ingin terus disanjung. Orang yang mentadbir, ingin terus mentadbir. Orang yang mengarah tetap ingin terus mengarah. Orang-orang lama ini telah terbuang dalam persatuan SC yang asal. Hati mereka dalam persatuan asal tetap ada. Tapi apa nak dikata. Kegiatan mereka dalam persatuan telah dinyahkan seratus peratus daripada Persatuan Silat Cekak Malaysia yang hebat di zaman Ustaz.

Pastinya penglibatan mereka dalam Persatuan Silat Cekak Hanafi sebagai mengisi kekosongan hati yang telah dikosongkan oleh Persatuan Silat Cekak Malaysia. Itu sebabnya penglibatan seterusnya dalam persatuan CH sangat-sangat dicuriga. En Mat perlu menghadapi karenah itu semua. Bukan mudah baginya untuk melepaskan kongkongan mereka yang telah lama berkecimpung dalam dunia persilatan SC. Dalam usaha memantapkan CH, strategi melibatkan orang-orang lama tetap digunakan. Generasi kedua pula tidak dilupakan. Mereka diambil bekerja untuk menggerakkan persatuan. Tapi apa kan daya. Ramai yang umpama kaduk naik junjung.

Ketika murid En Mat bertambah ramai, golongan tua menjadi bangka. Golongan baru menjadi lama. Sandaran pada generasi baru mula dicuba. Alangkah frust-nya ahli lama. Tapi generasi lama dan bangka adalah golongan yang menguasai persatuan. Kalau zaman Pak Ak mereka tidak dapat menguasai persatuan, tapi di zaman En Mat, lain situasinya. Hanya orang yang bijak berpersatuan yang pastinya dapat ’menarikan’ persatuan. Kerana percayakan pada orang rapatnya, akhirnya En Mat tersingkir. Ilmu Bisik Semak dah tak menjadi. Teringat ungkapan lama, ”Kalau tak percaya, belahlah dada.” Tanda ikhlas agaknya. Tapi, tiba-tiba, betul-betul dadanya dibelah. Padan apa ye!
Perjuangan En Mat untuk mendapatkan kembali persatuan bukannya mudah. Sama payahnya ahli-ahli yang tersingkir daripada persatuan dulunya untuk menguasai persatuan yang dipegang oleh Pak Ak. Tekanan yang diberi kepada En Mat ketika ini sama saja dengan tekanan yang diterima daripada geng Pak Ak yang menguasai persatuan satu masa dulu.

Nampaknya masing-masing ada pengalaman. Satu pihak mempunyai pengalaman tersingkir daripada persatuan dan satu pihak berpengalaman menerima tekanan untuk menyebarkan SC. Pengalaman ini tetap digunakan untuk program dan strategi dan anisiatif mereka seterusnya.

Nampaknya En Mat tak banyak pilihan. Satu daripadanya ialah menubuhkan Persatuan baru. Silat tetap sama. Tekanan berpersatuan yang dialaminya sekarang, samalah dengan apa yang diterimanya daripada golongan PA dulu. Tentunya En Mat lebih matang. Yang lebih lucu, puak-puak yang memegang persatuan SCH sekarang telah menggunakan strategi atau anisiatif yang sama seperti yang digunakan oleh AJK pusat Persatuan CM dulunya. Kaedah menekan ahli atau cawangan atau pusat latihan yang menyokong En Mat adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Persatuan SCM satu ketika dulu. Berguna juga pengalaman yang mereka tempuhi.

Kini Persatuan SCH telah ’terpisah’ jauh dengan keturunan Hanafi. Keturunan Hanafi dipancung terus daripada sejarah SC yang ada. Mak Teh yang merupakan saki baki yang ada hubungan dengan Ustaz telah mula diketepi. Hilanglah keturunan Hanafi. Tiada siapa yang berani pertahan. Dikatakan SC bukan silat keturunan. Tapi bangsa kita selalu lupa akan jasa yang dicurah dan diberi. Prinsip SC telah melayang, terbang umpama layang-layang putus tali. Ramai yang tak sedar diri.

Tiba-tiba aku tersedar daripada lamunan. Jam menunjukkan Waktu Maghrib. Teringat selawat yang ditinggalkan Ustaz. Bagus diamalkan pada waktu sebegitu. Cit! Poorah. Bukan selawat yang pooorah. Tapi pada orang yang bercakap bagus tentang tinggalan Hanafi. Pooooorahhhhhh!

Friday, July 25, 2008

KELAYUAN

Saya kurang aktif menulis ketika ini. Seperti yang dinyatakan terdahulu, apabila terbentuk Persatuan baru maka penyelesaian semakin cerah. Silat tetap sama tetapi pembawaanya mungkin berlainan kerana dicorakkan oleh persatuan masing-masing. Pastinya Guru pun berbeza. Mustahil ada dua persatuan yang berbeza, bergurukan satu. Masing-masing ahli akan membuat ketetapan untuk menentukan hala tuju masing-masing. Bila saat dan ketika itu muncul, tidak perlu lagi bagi saya membuat sebarang ulasan atau menyatakan sesuatu kebenaran berdasarkan penglibatan saya selama ini yang tidak meminta apapun sama ada jawatan atau kedudukan. Maka pada ahli-ahli, pilihlah jalan masing-masing. Gasaklah dan fikirlah sendiri tentang hala tuju kita dalam SC. Apakah yang kita cari dan apakah yang ingin kita pertahankan dalam Silat Cekak. Kalau warisan dan institusi perguruan merupakan pegangan utama, pilihlah mereka yang berjuang dan bersikap demikian. Jika difikirkan Guru silat itu maksom dan kesalahannya perlu dihukum tanpa ada sebarang kemaafan atau difikirkan bahawa persatuan itu penting, lebih penting daripada warisan dan Guru, maka pilihlah mereka yang berfaham demikian. Selama ini telah banyak artikal yang saya tulis untuk menyatakan falsafah SC. Itulah yang saya pegang selama saya berada dalam SC dari dulu hingga sekarang. Dan itulah yang diajari dari dulu hingga sekarang. SC tidak berubah dan telah diasaskan oleh pembawanya yang dapat kita kesan dengan jelas iaitu Ustaz Hanafi. Tapi ahlilah yang mengubahnya dan mengubah-ngubahkannya. Semuanya kerana kehendak kedudukan, pengiktirafan dan keegoan.

Untuk terus menulis hal-hal yang berkaitan dengan SC, saya rasakan semacam satu penipuan. Menulis amat mudah bagi menggambarkan SC dan ahli silat itu sendiri. Tapi dari segi realitinya keadaan tersebut tidak mudah berlaku. Apabila tiba saat dan ketikanya yang sebenar, habis hilang segala prinsip, pegangan dan falsafah-falsafah kebenaran tentang SC itu sendiri yang selama ini cuba dipupuk dari masa ke masa. Orang yang mengangguk di depan Ustaz satu masa dahulupun telah mula menggelengkan kepala tanda lupa daratan. Nampaknya dalam SC ramai tukang penipu yang wujud. Akhirnya mereka ini mencari kesempatan diri dan menegakkan ego dalam diri yang selama ini terbuku dalam diri masing-masing.

Ketika zaman En Mat pun ramai pengikut-pengikut setianya yang membabi buta. Mereka ini pantang dicabar akan kewibawaan Guru ketika itu. Sentuh Guru maka mereka terus melenting. Tapi apabila Tuhan menganugerahkan mereka sedikit cubaan dan ujian tentang kesetiaan mereka pada Guru, tiba-tiba mereka menjadi penentang Guru di barisan hadapan. Begitu mudah hilangnya ajaran dalam sekelip masa sahaja. Apakah sikap mereka selama ini. Hipokrit kehormat rupanya.

Berdasarkan senario di atas, kadang kala terasa semacam tertipu dan menipu pada diri sendiri. Cakap dan tulislah apa sahaja tentang kelebihan dan kewibawaan SC untuk tatapan ahli dan pengamal SC. Itu semua akhirnya akan menjadi umpama sendirawa dan penglipor lara. Penghujungnya ahli silat itu tetap akan memegang pada prinsip dirinya sendiri sebagai manusia yang ternilai sejak kecil; dan bukannya manusia yang diasuh nilai dan kefahamannya oleh pendukung silat atau Guru silat itu sendiri. Ustaz yang disanjung dengan begitu hebat pun akhirnya diketepikan, apabila pendapat dan ajarannya bercanggah dengan kepentingan diri. Itulah yang terjadi pada ahli-ahli SC sepanjang masa sejak tiga zaman SC diperintah.

Perjuangan yang selama ini dilaung-laungkan hilang entah ke mana. Nak berjuang apa! kalau hala tuju perjuanganpun agak kabur bagi mereka. Ramai yang bercakap ingin berjuang untuk menegakkan daulat SC. Semuanya bohong semata. Mereka lupa bahawa yang berpecah hanya persatuan tapi bukannya Silat Cekak. Ajaran SC tetap serupa, sama ada segi fizikal atau falsafahnya. Kalau dikirakan sepatutnya, walaupun persatuan berpecah tapi kita tetap bersatu dan bergerak untuk mengembangkan SC. Tapi itu mustahil boleh berlaku.

Tidak hairanlah jika mana-mana pihak menganjurkan waja diri, di pihak yang lain mengharapkan agar program tersebut lingkup atau tiada sambutan. Malah ada yang proaktif dengan cara mengumpul maklumat untuk disebarkan kepada pihak-pihak berkuasa tertentu bagi mengagalkan setiap program yang dianjurkan oleh pihak yang bertentangan. Maka menjadi mangsalah pada murid-murid atau ahli-ahli yang sedang belajar dalam kelas-kelas SC semasa walaupun berlainan Guru.

Manusia yang sangat rancak berusaha menyebarkan buruk Guru di segenap pelusuk IPT dan sekolah ialah Pak Li. Hingga sekarang saya kurang faham akan perangai dan hala tuju perjuangannya dalam SC. Pada satu ketika dulu, beliau beria-ria untuk mengundurkan diri daripada SC dengan alasan sibuk dengan kerja. Guru pada masa itu berasa hampa dan merayu agar beliau terus memegang jawatan setiausaha bagi memantapkan SC, bukannya memantatkan SC. Bukankah sekarang ini masa yang terbaik untuk mengundur diri bagi menumpukan perhatian pada keluarga. Tapi sebaliknya semakin rancak untuk menjahanamkan Guru dan SC. Persoalannya ketika beliau menyatakan hasrat untuk mengundur diri, apakah hasrat beliau sebaliknya. Adakah beliau ikhlas ataupun saja nak test market. Guru patut tahu. Tapi Guru tahu ka!

Apakah dan manakah hala tuju SC seterusnya. Masih dapatkah kita sebarkan SC berserta dengan falsafah silat itu sendiri. Pada saya keadaan tersebut semakin hambar dan semakin tawar. Mungkin yang wujud hanyalah manusia-manusia yang boleh bercakap pada teorinya. Tapi, jauh dilubuk hati kecilnya tetap terlintas bahawa, ”akupun hipokrat jugak.”

Dari segi undang-undang pertubuhan, persatuan memainkan peranan yang penting. Cekak Hanafi ditadbir oleh persatuan yang dipimpin oleh kebanyakannya generasi tua. Lima tahun lagi mereka akan masuk zon bangka. Siapakah barisan pelapis mereka. Apapun, kefahaman mereka tentang SC pastinya amat berbeza dengan kepimpinan sedia ada. Guru persatuanpun semakin tua. Guru Wawasan pasti bersiap sedia. Konsep waris tidak perlu diambil kita. Maka bergurulah dengan Guru Wawasan. Bagaimanakah bentuk kefahaman Guru Wawasan yang sedia ada. Tapi ramai yang mengetahuinya. Namun, ramai juga yang buta perut – bukan setakat buta hati.

Perjuangan SC dalam Persatuan yang baru, bagaimana pula agaknya konsep pengajaran silat dan falsafahnya. Pada saya, saya juga dapat menjangkakan ketawarannya. Apa yang kita cakap tentang kehebatan falsafah kefahaman SC kepada ahli selama ini, akhirnya tidak menjadi. Manusia itu tetap manusia. Setiap manusia ada nilainya. Mewarisi nilai yang baik, akan memudahkan kita memupuk suatu nilai yang baik pula. Sebaliknya, pada mereka yang sememangnya mewarisi nilai yang buruk, maka samalah nilainya dengan ibarat, ” Biawak tetap memilih bangkai.”

Akhirnya, SC akan diajar sama seperti seni bela diri yang lain. Bentuk fizikal menjadi fokas utama. Jangan hairan, pada satu masa nanti adat-adat yang berkaitan dengan pengambilan penuntut akan diketepikan begitu sahaja. Nampaknya ada usaha-usaha untuk mengakademikkan SC. Satu segi bagus tapi banyak segi akan menjadi tak bagus apabila soal-soal adat dan adab diketepikan. Pada hal itulah salah satu kelebihan yang ada dalam dunia persilatan Melayu. Konsep-konsep yang berkaitan dengan kefahaman SC akan semakin longgar. Tempat rujukan semakin hambar. Maka kebolehpercayaan dan kesahan sesuatu konsep atau fakta yang berhubung dengan SC sentiasa boleh dipersoalkan. Akan wujud perbahasan hingga boleh mencetuskan polimik. Maka berbahaslah gara-gara tidak ada satu punca kuasa. SC akan tetap berkembang di takok lama. Orang yang dihormati telah terkembumi.

Kadang-kadang saya terfikir, alangkah baiknya jika ahli-ahli SC yang mempunyai pengalaman, ilmu dan kefahaman tentang SC yang sangat luas, tidak melibatkan diri dalam persengketaan. Contoh yang terbaik ialah Pak Am, Pak Sir dan Pak Us. Mereka adalah golongan yang berwawasan, berilmu dan faham akan SC kerana pernah mempunyai hubungan yang rapat dengan Ustaz. Malah mereka sangat dihormati oleh ahli-ahli kerana kewibawaan dan kefahamannya dalam SC. Malangnya apabila mereka terlibat dalam kancah persengketaan, hormat ahli telah hilang dengan begitu banyaknya. Cakap mereka pasti akan diketepikan oleh orang yang tidak menghormati mereka lagi walaupun cakap-cakap tersebut adalah kebenaran. Pada hal, lagi sepuluh tahun agaknya, mereka akan mengah untuk bergerak. Alangkah baiknya ketika itu mereka dikunjungi oleh semua ahli SCH untuk mendapatkan nasihat dan kata kunci. Tapi apakan daya. Fikiran saya tidak menjadi.

Gajah sama gajah berjuang, maka kancil di tengah akan untung. Apa tidaknya. Bila gajah berjuang, ada gading yang patah. Ada badan yang luka. Ada kaki dan belalai yang binasa. Ketika itu mudahlah si kancil mengambil kesempatan. Apakah kesempatan yang boleh diambil. Kena tanya pada Pak Lan.

Bagaimana pula Guru Wawasan dan Datuk K. Mereka ini umpama striker di padang bola yang hanya menunggu bola untuk disepak masuk ke pintu gol. Sepak aje. Masuk belum tentu. Oleh sebab minat mereka pada bola, maka fikiran mereka pun selalunya diletakkan di kaki dan sangat pandai menggelintir bola yang dijelmakan oleh Guru Persatuan.

Jelas pada saya, dalam pentas SC, banyak pelakon yang berperanan penting melakonkan peranan masing-masing. Pengarahnya duduk berbicara. Ada tukang lampu, ada tukang solek dan macam-macam ada. Tapi saya suka jadi tukang apa ye!. Tukang S.P.A ma. Apaka erti huruf tersebut. Kena belajar. Huruf tersebut membawa makna yang lebih tinggi daripada makam Bisik Semak. Boleh belajar. Pengkerasnya sabun dan pelekat.itu aje!