Sunday, February 24, 2008

KEISTIMEWAAN SILAT CEKAK-KU

TINGGAL KENANGAN


Sesuatu yang bermula akan berakhir. Itulah lawan perkataan yang tidak boleh dielakkan. Tidaklah lama sesuatu kejayaan itu berada dalam keadaan puncaknya. Kalau dikiaskan pernafasan pun, pernafasan yang sentiasa berada di puncak, itulah tanda akan berakhirnya riwayat seseorang. Dari segi hukum alam, biasanya setiap yang berada di puncaknya akan berakhir dengan kejatuhan. Cuma yang berbeza adakah kejatuhan itu jatuh dengan begitu cepat atau secara perlahan-lahan. Hukum ini umumnya diterima pakai oleh sesiapapun yang suka bercakap tentang kejayaan. Sejarah telah banyak membuktikan hukum ini.

Kejatuhan sesebuah organisasi banyak bergantung daripada tangan-tangan manusia yang berada dan menguasai organisasi tersebut. Kesemua mereka sedar akan hukum tersebut. Tapi sebaliknya merekalah yang telah berperanan menjadi pelakon utama sebagai pelakon dalam hukum yang diterima pakai tersebut. Kepentingan diri atau kononnya pembela maruah atau pembela kebenaran sering dijadikan alasan. Lagi bijak bercakap dan ’cerdik’ berfikir, maka lagi banyak karenah yang ditimbulkan. Kononnya pembela tapi hakikatnya mencela.

Sejak kepimpinan Ustaz lagi, dalam SC ramai cerdik pandai dan tokoh-tokoh yang berjaya dalam semua segi profesion. Sebagai ahli, kita berbangga dengan kejayaan dan kebolehan mereka yang ada. Apabila nama seorang ahli tersebut tertera dalam akhbar atau termuat dalam siaran TV, kita yang melihatnya turut berasa bangga. Lantas mulut bersuara. Itulah ahli kita. Sungguh membanggakan. Tentu Guru Utama turut berbangga ketika itu. Murid diasuh hingga berjaya. Saham Guru tetap ada.

Bila kita berpecah dua pada tahap pertama, tapisan kebanggaan mula berlaku. Setiap ahli SC yang berjaya, latar belakang persilatannya akan diambil kira. Adakah geng Pak Ak atau geng En Mat. Puak Pak Ak akan berbangga jika ahli yang berjaya itu terdiri daripada pegikut fahaman mereka. Begitulah sebaliknya, walaupun asal ahli tetap daripada SC yang satu - yang bergurukan sekepala. Sangat cepat dan mudah mereka beralih nilai persahabatan yang diasuh dengan jayanya ketika berada di bawah kepimpinan Allahyarham Ustaz di suatu masa dahulu.

Dalam konteks SC Ustaz Hanafi, keadaan yang sama tetap berlaku. Dalam SC ada ramai tokoh yang berjaya. Kejayaan mereka adalah pelbagai. Ada tokoh-tokoh bank walaupun yang beralih bank, ada tokoh-tokoh koperat, ada ahli-ahli profesional dan ahli-ahli akademik dan pelbagai lagi. Mana universiti yang tidak ada ahli. Daripada pensyarahnya hingga ahli tadbirnya, semuanya terlibat dalam aktiviti SC. Kita sungguh berasa bangga dan bertuah kerana dapat menumpang kemasyhuran mereka atas nama persaudaraan ahli SC. Kejayaan mereka dirasakan kejayaan bersama, walaupun berasa seolah-olah syok sendiri. Hubungan sesama ahli tidak melambangkan protokol rasmi. Mereka boleh bercampur gaul dan menghormati sesama ahli. Semuanya bernaung di bawah guru yang satu. Keadaan ini berjalan begitu lama. Perasaan syak wasangka tidak pernah wujud. Walaupun kadang kala mereka berlainan pendapat tapi tetap menghormati kejayaan peribadi yang ada pada individu. Semuanya masih berada di bawah satu guru.

Walau bagaimanapun, akibat pepecahan kedua, tapisan kejayaan dan kebanggaan telah bermula seperti dulunya. Kalau individu SC itu hebat setinggi manapun, latar belakang persilatannya akan diambil kira oleh ahli untuk mengiktiraf kehebatannya. Murid En Mat tetap menafikan kehebatan penyokong Guru Persatuan atau Guru Wawasan. Begitulah sebaliknya. Kalau dulu bergelar Ustaz yang hebat di kalangan semua ahli SC tapi sekarang dicop ustaz sekular oleh puak yang tidak menyokongnya. Kalau dulu bergelar tokoh koperat yang berjaya di kalangan semua ahli SC tapi sekarang bergelar tokoh keparat oleh ahli yang berlainan pendapat dengannya. Semuanya dalam konteks SC. Itulah salah satu akibat pepecahan yang berlaku. Sungguh menyedihkan. Kawan rapat boleh menjadi renggang oleh kerana fahaman yang berbeza. Kerana silat mereka bertemu maka kerana silat juga mereka berpisah. Jelaslah bahawa selama ini hubungan sesama ahli adalah atas dasar persilatan. Bukannya atas semangat setia kawan yang berkekalan seperti tuntutan agama. Pada kita hanya boleh berkata, ”sepatutnya hubungan peribadi boleh diteruskan walaupun berlaianan pendapat atas hak persilatan”. Tapi itu semua tidak berlaku. Hubungan sesama ahli dalam SC mempunyai ciri hubungan yang tersendiri. Hubungan hanya boleh berkekalan jika berada di bawah satu guru. Hubungan akan terputus jika ahli tersebut beralih guru. Baik atau buruk sikap tersebut, itulah kenyataan yang ada.

Bukan kita tidak sedar akan senario yang berlaku atau yang akan berlaku. Tapi kerana kepentingan akan sesuatu, kita rela keadaan ini wujud. Maka bermulalah kembali para pendukung berlainan guru untuk membanggakan kejayaan ahli yang ada di kalangan kumpulan mereka. Tapi kebanggaan ini hanya berkekalan sehingga berlaku pepecahan yang berikutnya. Itulah hukum alam yang ada. Tidak ada siapapun yang boleh menahannya daripada berlaku selagi kepentingan diri mengatasi segala-galanya. Kepentingan diri tersebut pastinya bersandarkan atas sifat sebagai pembela kononya. Polis antarabangsa. Tapi kali ini lebih canggih. Polis boleh melantik hakim yang bertindak sebagai pengadil. Seakan-akan macam permainan bola agaknya. Maklumlah salah seorang bakal guru tersebut pernah ada kelab peminat bola sepak. Tapi ramai ahli yang jadi penyokongnya sekarang bertopengkan Guru Persatuan. Jadilah mereka pada hakikatnya penyokong dunia bola sepak. Bukannya penyokong dunia persilatan. Itulah fasalnya kalau fikiran selalu diletak di celah-celah yang ada.

Dalam konteks persilatan SC, di kalangan kita ramai yang mempunyai pengetahuan yang luas dan pengalaman yang mendalam kerana sering bersama dengan guru sejak zaman Ustaz Hanfi lagi. Mereka boleh menjadi sumber rujukan yang sangat berharga dan boleh dianggap ’permata’ yang berharga. Tapi sayangnya permata tersebut telah kehilangan harga pada mereka yang berlainan pandangan dengannya. Sumber rujukan tersebut semakin mengecil dan cuma berharga pada kalangan mereka yang bernaung pada guru tertentu. Secara langsung rujukan kita semakin ditiadakan. Percayalah. Satu masa nanti, fahaman SC akan porak peranda. Akibatnya, tiada apa yang teristimewa dengan kita. Biasa sahaja. Jadilah silat kita sebagai satu silat biasa seperti yang ada di negara ini. Tapi keistimewaan yang ketara tetap ada. Itulah kelebihan kita. PEPECAHAN. Teruskanlah pepecahan yang ada. Itu adalah ciri kepimpinan kita.

Thursday, February 14, 2008

PEPECAHAN YANG BERMAKNA

Pada ruangan yang lalu ada dibincangkan betapa perlunya En Mat bertindak segera bagi menubuhkan Persatuan baru tapi tetap berlandaskan perjuangan yang diamanahkan oleh Ustaz Hanafi. Mungkin dalam tulisan ini berulang lagi beberapa isi penting. Namun, sebagai maksud peneguhan, saya rasa elok saya berbuat sedemikian kerana bukan mudah bagi manusia untuk menurut kehendak yang berdasarkan prinsip atau satu pegangan yang jelas buat dirinya dalam apa keadaan sekalipun. .

Pengaruh Guru Persatuan semakin hari semakin kuat. Sekurang-kurangnya melalui majlis ijazahnya, beliau melahirkan ’murid’ yang semakin ramai dari hari ke hari. Mereka ini pastinya telah dibasuh dan diuli betapa mantan guru telah melakukan kesilapan yang tidak boleh dimaafkan. Murid ini tidak mungkin akan mencari kebenaran walaupun mungkin ada sedikit kekecualian. Ini akan memberi tamparan yang hebat kepada En Mat untuk kembali berkuasa. Apatah lagi apabila murid persatuan yang dilahirkan tersebut akan memegang tampuk persatuan. Maka En Mat dan orang-orangnya akan diketepikan langsung. Jangan lupa juga mereka yang sedang menyokong Guru Persatuan pun akan diketepikan pada satu masa nanti. Itulah budaya kita. Orang KITA janganlah hendaknya mudah lupa.

Kepimpinan persatuan yang ada sekarang semakin yakin dalam tindak tanduk untuk membasmi pengaruh En Mat dalam Persatuan. Strategi mereka semakin mengena. Apatah lagi respond daripada En Mat begitu hambar. Dakwaan dan pembelaan berdasarkan mahkamah tidak menguntungkan kepada En Mat. Semakin lama mahkamah bersidang dan menangguhkan sidangnya, maka semakin mudah puak-puak ini meratah dan melenyapkan pengaruh En. Mat. Mereka pastinya boleh merancang sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada diri mereka sendiri. Keadaan En Mat dianggap semakin lemah dan hampir tenat. Serangan balik amat kurang dan ini menambahkan keyakinan mereka untuk berbuat apa sahaja demi menyisihkan En Mat. Jangan hairan jika dibuat mesyuarat agungpun, ahli atau cawangan yang dijemput adalah mereka yang boleh mendatangkan keuntungan atau pulangan kepada penguasa persatuan. Jadi, akan terjadilah ada cawangan yang dijemput dan ada cawangan yang tidak dijemput. Begitu juga ada ahli yang dijemput dan ada ahli yang tidak dijemput. Apa En Mat boleh buat. Untuk mencabar kesahihannya melalui mahkamah akan membuatkan mereka tersenyum simpul sepanjang masa. Mereka akan bertindak sesuka hati walaupun ada peruntukan dalam pelembagaan. Siapa yang berani mencabar. Suara bantahan mana yang boleh menidakkan mereka.

Orang-orang yang satu masa dulu begitu setia dengan En Mat telah beralih angin. Mereka ini tidak boleh diberi harapan lagi untuk membela En Mat walau dalam masa mana sekalipun. Fikiran mereka begitu mudah beralih dengan pelbagai alasan.

a. berasa diri tertipu
b. Guru adalah ’maksom’ dan tidak boleh melakukan kesalahan
c. Guru silat mesti unggul. Anak murid boleh buat silap tapi Guru Silat mesti seratus peratus tidak melakukan kesilapan
d. berasa diri lebih hebat daripada En Mat
e. tak ada apa yang boleh dapat daripada guru
f. En Mat eksyen
g. memang tabiat mereka suka melihat kejatuhan seseorang.

Banyak lagi alasan mereka. Oleh itu eloklah jika En Mat lupakan mereka buat selamanya. Bina kumpulan murid yang baru yang benar-benar berkualiti untuk mempertahankan Guru dalam segi apa sekalipun. Apa yang berlaku jadikan sempadan supaya tidak mungkin akan berulang. Tengok betul-betul kesetiaan mereka melalui ilmu yang ada. Yang mana patut disingkir dari awal, singkirkan segera. Yang mana tak patut disingkir, jangan singkir. Apatah lagi jika penyingkiran tersebut disyorkan oleh biawak yang lidahnya bercabang dua. Saya rasa En Mat sangat berpengalaman dalam soal ini.

Ketika ini banyak perubahan dilakukan dalam SC terutamanya dari bentuk konsep pengajarannya, selain daripada kefahamannya sendiri. Perubahan ini terpaksa mereka lakukan demi menunjukkan perbezaan antara persilatan EN Mat dengan persilatan Guru Persatuan. Melalui kaedah ini pengaruh En Mat dalam persatuan dan persilatan yang mereka pegang dapat dilenyapkan dari masa ke masa. Secara langsung dapatlah dibezakan antara persilatan En Mat dengan persilatan Guru Persatuan. Daripada segi hukum persatuan, perbuatan ini adalah sesuatu yang sepatutnya tapi dari hukum persilatan, keadaan yang timbul ini akan mengelirukan dan memberi kesan penipuan kepada ahli silat. Keadaan ini akan berterusan selagi En Mat masih kekal dalam persatuan. Perubahan dari masa ke masa itu hanya akan berhenti kalau En Mat keluar daripada persatuan. Samalah keadaannya dalam permainan gusti. Pengadil akan tidak ambil peduli pada rakan yang dibelasah lawan walaupun secara tidak betul ketika rakan seorang lagi masih berada dalam gelanggang untuk menyelamatkannya. Bila rakan yang cuba menyelamatkan itu keluar barulah pengadil memberhentikan pukulan yang tidak sah pada rakannya.

Samalah maknanya, selagi En Mat berada dalam gelanggang persatuan yang dikuasai mereka, maka selagi itu Silat Cekak akan ’dibelasah’ dan ’dinodai’ hingga terkeluar daripada prinsip silat itu sendiri. Pembelasahan itu hanya akan berhenti kalau En Mat akan keluar daripada Persatuan Persilatan SC. Oleh itu untuk menyelamatkan SC daripada terus dibelasah dan dicabuli maka cepat-cepatlah En Mat keluar daripada persatuan demi Silat Cekak itu sendiri. Baharulah apa yang ada dalam SC dapat dikekalkan. Segala-galanya umpama pukul anak sindir menantu. Dengan cara ini tanggungjawab bagi mempastikan SC berada dalam landasan yang betul telah terungkai. Biarlah mereka yang bijak pandai dalam persatuan SC sekarang mengemudikan hala tuju SC itu sendiri.

Kefahaman SC yang ditanam oleh Ustaz Hanafi dan murid-murid setia Ustaz telah berada dalam keadaan yang agak longgar. Faham, tapi kerana perasaan hasad dan dengki, kefahaman itu rela diketepikan. Meraka faham akan soal mandat yang merupakan hak menjalankan SC. Tapi praktikalnya mereka tetap menyokong Guru Persatuan. Kenapa ini berlaku.

Oleh itu, mereka ini tidak lagi boleh diberi pengharapan untuk terus menegakkan prinsip sebenar SC pada masa-masa akan datang. Kefahaman mereka boleh berubah atas kepentingan yang tertentu. Samalah dengan sikap manusia yang terpaksa menipu bagi menyelkanmatkan diri daripada menerima hukuMan. Apakah jenis manusia ini dalam konteks SC. Pastilah mereka keturunan hamba yang terpaksa patuh pada tuannya walaupun prinsip diri terpaksa digadaikan. Lebih baik En Mat terus melupakan mereka. Jangan diharap lagi mereka ini sebagai penerus dan pewaris SC.

Seperti yang saya katakan bahawa mereka yang ada dalam barisan penguasa persatuan sekarang adalah terdiri daripada mereka yang terlibat dalam pepecahan dengan Cekak Malaysia dan terlibat dalam pergolakan persatuan ketika ini. Apabila ditanya apakah hobi mereka, pasti jawapannya ialah melakukan pepecahan. Oleh itu yakinlah bahawa SC yang dipimpin merfeka akan terus bergolak dan berpecah. Apatah lagi ketika pemergian En Jo nanti. Cuba fikirkan masa depan secara tenang. Kalau En Mat berada dalam keadaan luar persatuan maka akan membantunya untuk meluaskan pergerakan SC yang dipimpinnya. Dalam persatuan yang ada sekarang, mana pegangan kita. Masing-masing telah tua. Guru Wawasan yang ada pastinya akan bersaing dengan Pak Lan dan Pak Li. Datuk K jangan diliupakan. Tak kanlah mereka ini yang bersama-sama berjuang mati-matian menumpaskan En Mat boleh diketepikan begitu sahaja. Keadaan yang sama pasti akan berlaku dalam CM. Pak Li akan bersaing dengan Pak Din. Kekecohan akan berlaku kecualilah jika mereka berkongsi kluasa.

Berdasarkan perbincangan di atas, sangat jelas pada saya betapa En Mat mesti keluar daripada persatuan yang sedia ada. Walaupun kita rasakan keputusan itu amat berat tapi pada saya itulah yang sebik-baiknya. Perjuangan kita ialah menyebarkan SC berserta kefahamnnya. Buat apa membuang masa berebut jawatan kerana menurutkan nafsu. Kita tidak mahu oran lain akan mengambil kesempatan akibat kekecohan yang berlaku.

Kepada mereka yang dikatakan ada pegangan, muhasabahlah diri kita kembali. Sebenarnya penglibatan kita dalam SC adalah sebahagian daripada perjuangan diri kita bersama keluarga dan profesion yang kita ada. Biarlah SC dipimpin oleh mereka yang berhak dan mempunyai mandat seperti yang kita selalu laung-laungkan sebelum ini. Tumpuan kita ialah pada kerja dan keluarga kita sendiri yang memberi punca untuk kita menyambung diri dalam tuntutan dunia ini. Kalau kita faham konsep ini maka biarlah En Mat yang profesionnya adalah silat, bertanggungjawab atas pekerjaannya. Jangan kita campur tangan. Dalam jabatan kerajaan atau swasta, kalau kita tidak bersetuju dengan dasar yang ada, maka eloklah kita berhenti. Dalam silat kalau sudah dirasakan Guru yang ada sudah tidak sesuai maka undurlah diri. Janganlah kita berlagak umpama polis antarabangsa iaitu Amerika yang berasa diri bertanggungjawab membetulkan keadaan. Padahal diri sendiri yang tidak betul.

Setiap manusia tetap melakukan kesalahan. Kita juga akan berbuat demikian tanpa kita sedari. Pastinya manusia ini berasa insaf jika masanya tiba.