Friday, March 20, 2009

PAPAN SEKEPING

Lama tak menulis. Tak ada di sini. Saya berpeluang ke sebuah negara luar. Berkesempatan menyaksikan pertunjukan tarian. Tariannya sangat hebat. Perkara yang menarik minat saya ialah salah satu daripada tarian tersebut dipertontonkan atas papan sekeping. Tapi mereka tidaklah sebut tarian papan sekeping. Ketinggiannya lebih kurang lima kaki dari lantai. Keluasannya hanya dapat menampung dua kaki ketika berdiri. Papan tersebut disokong dengan penahan berbentuk bangku dan diawasi oleh petugas tertentu. Pengawasan tersebut pastinya bagi mengambil tindakan segera jika berlaku kemalangan. Tidak ada kemalangan yang berlaku. Pertunjukan tersebut amat mengkagumkan.

Saya teringat akan silat kita yang juga boleh bersilat atas papan sekeping. Malah telah dijadikan acara dalam pertandingan. Bezanya, ketinggian papan kita lebih berdasarkan inci. Itupun ada yang jatuh. Tapi tidak mungkin mendatangkan kecederaan. Alangkah baiknya jika pertandingan berdasarkan kebolehan bersilat atas papan sekeping ini dibuat berdasarkan situasi sebenar. Mana ada titi yang rendah sangat. Kalau atas titi yang sempit pastinya titi tersebut merentasi sungai kecil atau sebarang halangan yang jarak ketinggiannya lebih daripada tiga kaki. Oleh itu eloklah jika papan sekeping yang dipertandingkan diletakkan pada kedudukan yang tinggi, sekurang-kurangnya tiga kaki daripada lantai. Lagi tinggi, lagi baik. Kesempurnaan pergerakannya menggunakan pelajaran SC atas papan sekeping tersebut akan teruji dan terbukti. Dari segi aplikasi, pandai bersilat tapi gayat apa gunanya. Pemberian markah boleh dimasukkan juga aspek ketinggian papan dan kebolehan hero mempersaimbangkan badan. Letakkan seorang pengadil untuk mengukur ketinggian papan dan perseimbangan badan si hero. Baharulah kebolehan persilat benar-benar teruji. Tapi teori senang cakap. Aplikasi belum tentu. Secara langsung, pasukan yang ingin bertanding pastinya lebih bersedia dan berlatih sepenuh hati.

Konsep bersilat dalam kawasan yang sempit bukanlah asing dalam bidang persilatan Melayu. Di tempat saya ketika saya masih teruna, terdapat juga silat yang boleh bersilat dalam keluasan yang sempit. Silat Titi Sebatang dan Silat Batang Pinang sangat popular ketika itu. Saya tidak tahu sama ada silat tersebut masih aktif. Dalam tahun lapan puluhan, mereka aktif dalam majlis silat peringkat negeri. Saya pernah menyaksikan kehebatan mereka. Berbanding dengan silat kita, pendekatan sahaja yang agak berbeza. Samalah juga dengan pertunjukan tarian atas papan yang saya nyatakan di atas. Konsepnya tetap sama iaitu boleh menari atau bersilat pada kawasan pergerakan kaki yang terhad.

Dalam konteks silat kita, sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya berkecimpung dalam SC, istilah papan sekeping adalah sesuatu yang baru. Ketika mula masuk SC, perkara ini tidak ditekankan iaitu SC adalah merupakan Silat Papan Sekeping. Tak ada pun pengenalan istilah tersebut ketika itu. Walau bagaimanapun konsep SC yang boleh bersilat pada ruang yang terhad dan sempit turut ditekankan. Malah atas titi yang sempitpun dikatakan bahawa SC berupaya untuk menghadapi musuh.

Saya berkeyakinan, oleh sebab konsep bersilat pada ruang yang sempit adalah juga merupakan kebiasaan pada silat Melayu yang lain terutamanya pada pesaing kita ketika itu (SK) maka tindakan kita menggezetkan istilah papan sekeping pada SC amat bijak sekali. Tambahan pula istilah Cekak adalah kebiasaan pada pengenalan kebanyakan silat Melayu. Silat Cekak pada kita amat berbeza dengan Silat Cekak pada silat-silat Melayu yang lain. Gelaran Silat Cekak pada kita ialah Silat Papan Sekeping yang membawa makna bahawa silat kita boleh bersilat di kawasan yang sempit hatta atas papan sekeping. Tetapi mengapakah kita menggunakan istilah papan sekeping. Itu kena tanya Guru. Mungkin istilah batang amat tidak sesuai. Pinang sebatang atau titi sebatang telah ada tuan punyanya. Titi yang dibuat daripada batang kelapapun tak sesuai dijadikan pengenalan untuk silat kita umpamanya Silat Cekak Silat Kelapa Sebatang atau Silat Batang Kelapa atau batang-batang yang lain. Kebolehan Guru memilih istilah yang tepat dan padat tersebut iaitu Papan Sekeping buat Silat Cekak amat sesuai dan hebat sekali.

Pada pandangan saya, seperti yang dibincangkan di atas, penggunaan istilah papan sekeping adalah untuk menunjukkan bahawa SC boleh bersilat di kawasan yang sempit, sesempit hanya dua kaki sahaja yang boleh menapak. Itu tandanya SC mempunyai kebolehan yang tersendiri. Tapi itu bukan fokas utama hingga memaksa kita berlatih atas papan sekeping. Dalam keadaan terdesak, SC boleh dijadikan teman ketika berada dalam kawasan yang terhad. Walau bagaimanapun, kebolehan ini telah kita tandingkan dalam pertandingan silat. Saya berkeyakinan bahawa penganjur pertandingan memahami tujuan mereka berbuat demikian.

Konsep SC yang boleh digunakan untuk habuan sesak amat berbeza dengan berlatih menggunakan SC atas papan sekeping, pertunjukan atau pertandingan. Saya tidak berminat untuk memanjangkan perbincangan dalam sudut ini. Akan tetapi saya berpendapat bahawa amat malang sekali jikalau pertunjukan, pertandingan, menangkis senjata panjang dan kebolehan bersilat atas papan sekeping telah mencorakkan pembelajaran SC. Sepatutnya pembelajaran SC yang disesuaikan dengan cabang-cabang kebolehan tersebut.

Sekian dan terima kasih.