Monday, August 31, 2009

BAJAI ILMU YANG ADA

Setiap perbuatan itu bergantung pada niat dan kesempatan. Ada niat dan ada kesempatan maka jadilah apa yang dihajati. Ada niat tapi kesempatan tidak ada, perbuatan tersebut tidak akan berlaku. Begitu juga sebaliknya. Jika ada kesempatan tapi tidak ada niat maka perbuatan itu juga tidak akan berlaku.

Dalam konteks penulisan mahupun lisan, di samping niat dan kesempatan, terdapat satu faktor lagi iaitu idea atau apa yang ingin ditulis atau diucapkan. Idea ini tidak boleh dipaksa-paksa. Idea perlu datang dengan sendirinya. Makamnya sama dengan konsep ilham. Bila ilham datang, penulisan atau pertuturan akan turut lancar tanpa boleh ditahan-tahan. Itu sebabnya kadang kala saya rajin menulis dan ada kalanya penulisan saya amat berkala. Semuanya bergantung pada idea atau ilham yang tidak boleh dipaksa-paksa kedatangannya.

Dalam zaman Ustaz, ada juga pertanyaan anak muridnya tidak dapat dilayan secara spontan pada satu-satu ketika. Kadang kala Ustaz hendak bercakap tapi semacam ada satu halangan pada dirinya. Hal yang demikian telah membantutkan kelancarannya daripada bercakap. Jawapan kepada persoalan tersebut akan ditangguhkan kepada satu masa yang lain. Jika sememangnya Ustaz berniat untuk menjawab soalan tersebut dalam masa yang sesuai dan ilhamnya datang, maka pertuturannya akan berjalan lancar. Semua jawapan kepada persoalan akan dijawab secara spontan. Kaedah memberi jawapan adalah pelbagai. Jika persoalan tersebut berat maka Ustaz akan mengenakan songkok sebelum berlisan bagi menjawabnya.

Ketika usia saya sebegini maka banyak perkara yang saya baru mengerti akan sifat dan tingkah laku Ustaz tempoh masa yang lalu. Tapi kesempatan saya untuk berlisan agak terhad sangat ketika ini. Mereka yang ingin bertanya pun telah banyak yang pandai dan telah menguasai hingga tak kisah untuk menghilangkan diri. Takut terpengaruh atau dipengaruhi. Harga diri.

Dalam zaman Ustaz, ada juga anak muridnya yang menghilangkan diri. Banyak faktor yang menjadikan mereka sedemikian. Ada juga antara mereka yang berasa seolah-olah pelajaran yang ada, cukup buat diri dan tidak perlu ditambah lagi. Dengan ilmu yang ada mereka yakin boleh meneruskan perjuangan dalam konteks kepentingan diri sendiri. Pada kebanyakan ahli ketika itu, menghilangkan diri tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada ahli silat yang lain. Apatah lagi kepada guru. Kita menganggap habuan mereka telah terhenti. Kita lebih banyak bersimpati. Dalam konteks silat, mereka itu tak akan dapat pergi sejauh mana. Ilmu yang ada telah dihilangkan puncanya dan akhirnya ilmu itu akan layu begitu saja. Hal ini demikian bukan kerana ilmu itu ditarik oleh guru. Ilmu bukannya tali yang boleh ditarik-tarik. Tapi layu kerana tidak dijurusi selalu. Mereka lupa tentang faktor menyuburi dan membajai ilmu. Orang yang boleh membajanya adalah orang yang menjadi punca ilmu itu diperoleh. Orang itulah juga yang sentiasa menjiwai ilmu tersebut. Jika dibiarkan berterusan, akan jadilah mereka yang menjauhi orang yang menjadi punca ilmu itu umpama manusia yang bodoh sombong sepanjang masa dan sepanjang hayatnya. Itu sebabnya kita selalu disarankan supaya mempunyai konteks antara guru dan murid. Konteks ini akan mencetuskan ‘spark’ atau percikan yang boleh menyemarakkan ilmu yang sedia ada. Kalau bersilat, bertambah hebat silatnya. Dari sudut kefahaman, maka lagi mantap kefahamannya. Oleh itu dapat kita katakan bahawa membajai ilmu yang ada samalah konsepnya dengan menyuburkan, menyemarakkan dan memantapkan ilmu tersebut. Jika ilmu yang ada tidak disuburkan dari masa ke masa, maka ilmu yang ada semakin malap dan tumpul. Ilham yang utama pasti tak kunjung tiba.

Kalau senjata keris umpamanya, keris itu perlu disepuh bagi menghalangnya berkarat. Alat menyepuhnya adalah pelbagai. Biasanya air kelapa dan batang pisang sebagai pilihan utama. Kata tok guru, pada manusia, hati yang berkarat boleh dicuci dengan cara banyak bersedekah dan berpuasa. Bagaimana pula dengan ilmu yang ada. Ilmu ini akan terus berkembang dan terus mantap apabila dibajai seterusnya oleh orang yang menjadi punca kepada ilmu tersebut. Dalam konteks silat, maka ilmu itu akan terus berkesan sama ada pada gerak fizikalnya atau pada fahaman falsafah, konsep dan prinsip silat itu sendiri jika terus mendampingi orang yang menjadi punca ilmu itu diperoleh. Itu sebabnya hubungan yang erat antara guru dan murid tidak boleh diputuskan begitu saja. Walaupun kita menyangka bahawa hubungan ini boleh dilanjutkan dengan guru yang lain, tetapi hakikatnya tetap tidak sama. Keserasiannya adalah berbeza. Maka kemasinannya juga turut berbeza.

Ada yang mendakwa bahawa apabila kita menjauhkan diri daripada guru maka ilmu yang ada pada kita akan ditarik oleh guru tersebut. Kita tak akan mempunyai apa-apa lagi. Itulah pandangan kebanyakan orang yang tidak menggunakan pemikiran yang sihat. Mereka ini terpengaruh dengan sifat amarah. Kenyataan mereka semata-mata bagi menakutkan ahli yang lain. Ilmu bukannya benda yang boleh diberi dan diambil dengan sewenang-wenangnya. Tetapi banyak faktor psikologi yang menyebabkan ilmu ini terus malap pada mereka yang telah menjauhi punca ilmu dimiliki. Paling malang apabila ilmu tersebut umpama pokok yang sangat layu. Hidup segan mati tak mahu.

Daripada satu segi, apabila kita membenci guru atau menjauhi punca ilmu itu maka semestinya ilmu tersebut hilang keberkatannya. Hal ini demikian kerana apabila kita membenci guru tersebut secara langsung maka kita juga akan membenci sesuatu yang berkaitan dengannya. Ilmu yang diberi oleh guru berkenaan akan ditinggalkan tanpa dipraktikkan secara berterusan. Semakin lama, semakin terhakis ilmu tersebut dalam pemikirannya. Akhirnya ilmu itu akan hilang langsung daripada penguasaannya. Maka bukanlah ilmu itu ditarik balik tapi ilmu itu sendiri yang telah hilang dan terhakis secara perlahan-lahan.

Daripada segi yang lain, ilmu yang dimiliki perlu dibajai dan disuburkan. Persoalan tetap akan timbul dari masa ke masa berkaitan dengan sebarang ilmu yang kita miliki. Jika ego menguasai perasaan maka persoalan tersebut akan cuba dihuraikan atas tahap yang ada. Tapi ini pasti tidak akan memberi kepuasan kepada diri sendiri. Ilmu yang ada tidak akan berkembang dan berada dalam tahap yang sama. Lama-kelamaan ilmu itu juga akan menjadi layu dan tidak berkesan. Akibatnya ilmu itu juga akan terkarat perlahan-lahan.

Ada juga antara mereka yang menolak terus akan ilmu yang telah diberi oleh bekas gurunya. Dia akan mencari guru yang baru. Ilmu baru yang diperolehnya akan menggantikan ilmu yang asal dari masa ke masa. Secara langsung maka ilmu asalnya akan lenyap begitu sahaja tanpa perlu ditarik-tarik oleh mantan gurunya. Itu sebabnya kita selalu disarankan supaya sentiasa mendampingi guru kita. Ilmu ini perlu disubur dan dibajai. Konsep guru adalah luas. Sebarang ilmu yang kita peroleh dari mereka maka itulah guru kita. Jangan pencilkan mereka. Kelak akan menyebabkan punca ilmu daripada mereka akan malap sikit demi sikit. Ketajamannya akan semakin tumpul, kesegarannya akan semakin layu dan kemasinannya akan semakin tawar.
Kepada generasi baru kumpulan sana, berhati-hatilah dengan penguasaan ilmu SC yang ada. Ingat kembali akan punca ilmu itu diperoleh. Konsep berterima kasih juga patut ada. Hatta Jurulatih yang menjadi punca ilmu itu diperoleh, juga patut diambil kira. Itu juga ingatan yang selalu diberi oleh Ustaz kepada saya. Ilmu yang ada perlu sentiasa disuburi dan dibajai supaya ilmu tersebut terus bersemarak dan mantap. Kita takut dengan situasi yang ada sekarang. Ramai antara kita yang lebih mementingkan penglibatan dan tumpuan dalam persatuan hingga lupa akan penguasaan diri dalam silat. Oleh sebab pentingkan persatuan, kita lebih banyak tertawa dek jawatan yang ada. Ilmu SC yang ada telah lupa dijurus dengan air dan dibajai dengan pelbagai jenis vitamin, protein dan sebagainya. Jadilah mereka sebagai manusia bodoh sombong dan berperasan hebat dalam SC. Hakikatnya mereka akan kehilangan ilham dan kelancaran lisan berilmukan SC. Kalau adapun nampak sangat kelatnya.

Sekian setakat ini.

Thursday, August 27, 2009

SILAT OLAHRAGA

Pernah saya bincangkan konsep seni dengan konsep sukan. Kita berbangga atas dakwaan bahawa silat kita sebenar-benarnya silat yang berseni. Berbeza sangat dengan kebanyakan silat yang terkenal ketika itu yang bertaraf sukan. Ukuran ini meliputi kaedah mengambil buah dan bentuk-bentuk buah pukulan dan kuncian. Saya tidak akan membincangkan konsep tersebut secara terperinci dalam ruangan ini. Kalau berminat maka rujuklah tulisan saya yang terdahulu.

Apabila tertubuhnya PESAKA sebagai badan penyatu silat seluruh negara, silat Olahraga diperkenalkan. Semua silat boleh ditandingkan dalam satu disiplin yang khusus. SC yang merupakan salah satu silat yang menjadi keahlian PESAKA telah terpaksa melibatkan diri dalam kegiatan silat tersebut. Ustaz telah merestuinya. Beberapa tenaga pengajar SC telah diberi kursus pada tahap pemulaan. Oleh sebab organisasi SC lebih kukuh dan tersusun, maka tanggungjawab merealisasikan hasrat Pesaka telah diberatkan kepada kita. Kita mempunyai ramai cerdik pandai dan pemikir yang berkebolehan untuk menjalankan apa saja aktiviti berdasarkan silat.

Sejarah penglibatan saya dalam Silat Olahraga (SO) bermula pada awal tahun 1984 apabila saya dihantar berkursus oleh Jabatan Kebudayaan Negeri di negeri Johor. Jurulatihnya adalah daripada Indonesia. Seingat saya hampir dua minggu saya berada di sana. Pelajaran yang saya terima, kemudiannya saya kembangkan dalam negeri saya. Di bawah Majlis Mesyuarat Negeri, saya sendiri menganjurkan kursus-kursus bagi melahirkan Wasit, Juri dan Seketariat pertandingan. Oleh sebab dalam negeri sendiri SC merupakan organisasi yang kukuh maka tanggungjawab melaksanakan hasrat jabatan tersebut juga diserahkan kepada SC. Begitu tinggi pengharapan yang diberi kepada kami.

Puncak kejohanan SO peringkat kebangsaan yang sunggu hebat ialah pada tahun 1984 juga. Semua negeri menyertainya. Sudah semestinya daripada negeri saya, SC-lah peneraju utama. Kelas yang tidak diwakili oleh SC kerana tiada ahli yang seberat demikian rupa. Di peringkat pusat, SC, Gayung, Lincah dan Gayung Fatani menjadi pesaing utama.

Saya dilantik sebagai ketua Pertandingan dalam satu gelanggang. Saingan hebat SC ialah Lincah. Tambahan pula kita ada kenangan sejarah dengan mereka.Terdapat beberapa peristiwa yang mengundang kenangan pada saya pada tahun pertandingan SO tersebut.

Kedudukan saya sebagai ahli SC tidak diketahui oleh penganjur SO. Mereka menganggap saya daripada pesilat negeri. Ketika majlis timbang dan undian, saya menjadi salah seorang pegawai tekniknya. Semasa undian, silat-silat yang terpaksa bertemu dengan SC akan mengeluh sendirian terutama daripada persilatan Gayung, Gayung Fatani dan Lincah. Saya hanya tersenyum puas. Rupa-rupanya SC sangat digeruni. Mereka tahu akan penangan silat yang bersifat ringkas. Tapi senyuman dalam hati. Takut dikatakan berat sebelah.

Sepanjang pertandingan sudah semestinya SC menjadi fokas utama. Wasit dan Juri daripada persilatan lain ramai yang anti dengan kita. Banyak keputusan yang tidak menyelebelahi pihak kita walaupun ketara sangat kelebihan kita. Pada satu ketika Ustaz sudah memakai jaket sahaja. Sanggup menghadapi kemungkinan yang ada. Tapi syukur, kita masih lagi banyak bersabar.

Saya juga terlibat dalam satu keputusan yang kontroversi. Gelanggang yang saya awasi sedang berlangsung pertandingan antara pesilat SC dengan Lincah. Ketika itu gelanggang bersebelahan sedang berlangsung pertandingan antara ahli cawangan saya yang mewakili negeri dengan pesilat daripada Gayung Fatani. Banyak sangat markah pesilat saya yang dipotong kerana melanggar peraturan. Teruk pesilat dari Gayung Fatani dibelasah oleh penuntut saya yang sememangnya terkenal sifat beraninya. Sayangnya beliau tidak ikut peraturan SO. Ketika fikiran saya tertarik pada gelanggang yang lain, gelanggang sendiri menerima padahnya. Ketika pengisytiharan pemenang, saya mengisytiharkan sudut yang salah sebagai pemenang. Sudut itu adalah pesilat Lincah. Bila diketahui kesilapan, secara sepontan saya ubah keputusan setelah menyatakan kesilapan. Sudut yang satu lagi diisytiharkan menang. Apa lagi. Geram sungguh puak-puak Lincah. Apabila mereka tahu yang saya juga adalah ahli SC maka kemarahan mereka semakin ketara. Saya dikatakan cuba mengaibkan mereka. Guru mereka OD memberi salam kepada saya.

Ketika itu sikitpun hati tak terasa apa. Ustaz pun ada. Selesai pertandingan ada kalangan mereka cuba mengikuti saya dengan kereta. Geng kami daripada SC cawangan negeripun ramai. Di Kuala Lumpur, kami bermalam di Jalan Putera. Tak berani pulak kereta mereka mengekori kami apabila ternampak rumah persatuan.

Esoknya majlis bersambung. Hati sungguh yakin. Azimatnya telah ada dalam poket saya. Hasil petua daripada Ustaz. Serbuk rempah azimatnya. Boleh diguna secara tiupkan rempah tersebut pada muka mereka. Kemudian bertindaklah dengan sepatutnya. Petua yang simple tapi menyakinkan saya. Akhirnya petua tersebut menjadi sesuatu yang melucukan dalam kenangan hidup saya.

Dalam pertandingan SO, sebelum berentap dalam gelanggang setiap pesilat perlu menunjukkan tarian. SC tidak ada tarian tapi dimestikan menunjukkan gerak tari. Oleh itu petua gerak tarian diberi oleh Ustaz berdasarkan gerak kaedah yang empat dan diakhiri dengan doa. Petua ini bukan perkara baru bagi saya. Ustaz pernah tunjukkan tapi dalam konteks yang berlainan. Dalam zaman Pak Ak, gerak itu dikenali sebagai Gerak Hanafi. Siapa yang beri nama saya tak pasti. Saya tidak ada di sana. Tapi saya berkeyakinan bahawa gerak itu telah diubah suai oleh Maidin. Ketika mengakhiri gerak dengan kaedah doa, sambil duduk tangan tangan dan kiri digoyang-goyangkan ke depan dan ke belakang. Pada saya nampak pelik sangat. Macam meraba bahagian belakang tapi pakai dua tangan.

Seingat saya tahun 1984 adalah merupakan pengakhir tahun penglibatan SC dalam pertandingan SO di peringkat pusat. Di peringkat negeri saya, SC terus mengambil bahagian. Arahan menarik diri tak pernah saya terima.

Walau bagaimanapun penglibatan kita dalam SO telah melahirkan Gerak Hanafi. Dalam setiap persembahan kita, Gerak tersebut cuba dimasukkan. Tapi gerak itu tidak popular di tempat saya. Pertamanya asal usulnya bersabit SO dan keduanya dipopularkan oleh Maidin dengan gerak pelik doanya. Saya mengharamkan gerak tersebut di kalangan penuntut saya dengan alasan itu bukannya Gerak Hanafi tapi Gerak Maidin.

Terkenang akan peranan saya sebagai Setiausaha Majlis Silat Negeri. Kedudukan ini telah menjadikan SC cawangan saya semakin terkenal. Terkenal kerana pengurusan organisasi kami yang kukuh. Semua akitiviti berbentuk kursus atau pertandingan atau sebagainya, ahli-ahli SC yang memainkan peranan. Kami bersatu hati di bawah satu kepimpinan. Walaupun banyak tok guru silat sebagai ahlinya tapi pengetahuan mengerakkan organisasi amat kurang dan tiada keupayaan.

Apabila Majlis Mesyuarat Negeri makin mantap ramai tokoh-tokoh silat yang amat berminat. Ketika itu penolong saya adalah daripada silat yang lain. Saya latihnya dengan sepenuh hati. Malangnya ada usahanya untuk menjatuhkan saya. Apabila saya ketahuinya maka dengan rela hati saya mengundur diri. Malangnya selepas pengunduran saya Majlis Silat Negeri telah menjadi tak tentu hala. Namapun berubah kepada Pesaka Negeri. Itulah akibatnya jika bekerja atas kepentingan tertentu. Beberapa tahun kemudian datang satu rombongan berjumpa saya. Ingin memujuk supaya saya menyertainya semula. Maka kata saya, “Kalau saya meludah tak akan saya jilat balik.” Kecewa mereka. Hingga sekarang jadilah organisasi itu yang tidak berjiwa. Dah jadi tak tentu hala. Semuanya kerana kepentingan diri. Hilang keikhlasan bekerja.
Tapi ada yang kata menjilat air yang diludah sungguh enak sekali. Kata-kata bestari daripada golongan satu lagi. Mereka yang mencubanya.
Sekian dulu setakat ini.

Wednesday, August 26, 2009

PENULISAN SEJARAH

Walaupun ada yang tidak senang dengan apa yang saya tulis, tetapi bak kata pepatah, “Tidak terkajang batu sepulau.” Saya menganggap penulisan ini merupakan satu sumbangan kepada jenerasi baru. Saya yakin satu masa akan datang ramai ahli dalam SC yang inginkan sejarah tentang SC walaupun berlainan guru. Sekurang-kurangnya saya telah memberi sumbangan. Banyak pengalaman dan pengorbanan saya dalam SC. Tak payah orang cakap, hanya saya sendiri tahu akannya.

Cuma tulisan saya berdasarkan kaedah IT. Tak banyak masa untuk membuat rujukan. IT bermakna ikut terlintas. Fikiran saya sering memanggil kenangan silam. Tergambar-gambar peristiwa lalu dalam fikiran. Mungkin itulah satu sifat orang yang telah lama berada di dunia. Apa yang saya gambarkan dalam fikiran elok juga dituliskan. Mungkin boleh jadi bahan sejarah. Bukan sekarang tapi berpuluh tahun akan datang. Setakat bersumberkan bahan lisan tanpa ada tulisan sudah tentu tidak memadai. Mudah lupa tanpa ada rujukan tetap.

SC dihubungkan dengan Ustaz Hanafi. Maka elok juga sejarah pemulaan perkembangan SC di zaman Ustaz Hanafi dikenang kembali. Sudah tentulah penulisan itu berdasarkan pengalaman penulis. Pengalaman bermakna apa yang dialami dan bukannya apa yang didengari. Saya suka menulis atas apa yang saya alami. Pengalaman ini berbeza-beza antara seorang murid dengan murid Ustaz yang lain. Banyak pengalaman yang terlalu peribadi. Itu sebabnya dalam konteks pengalaman, kita perlu bertukar-tukar pengalaman. Jangan mengulas panjang pengalaman orang lain. Tangisan dan kesedihan orang yang mengalami tak sama dengan tangisan dan kesedihan orang yang bersimpati.

Orang selalu juga persoalkan pegangan saya tentang kelainan guru yang ada dalam SC. Buat apa susah-susah mempersoalkan diri orang lain. Pada mereka yang mengenali saya atau berdasarkan tulisan saya, mereka boleh membuat kesimpulan sendiri. Saya kira, adalah jelas betapa saya pernah bersama-sama Ustaz dan rakan-rakan yang lain untuk membangunkan SC. Kadang kala saya rasakan banyak masa hidup saya telah saya korbankan untuk SC. Dan banyak masa muda saya sebagai pelajar, dihabiskan bersama-sama dengan Ustaz sebelum kaum keluarga Ustaz berhijrah ke Kuala Lumpur. Teman wanita pun lupa dicari. Bila saya berkahwin, ramai ahli terkejut dan keluar berita dalam “ Berita Cekak”. Terkejut semua. Sempat pulak mencari pasangan. Ada masa rupanya.

Saya berasa begitu bangga pada diri saya kerana tidak pernah mengubah sikap dan prinsip hidup dalam SC yang telah dipupuk oleh Ustaz. Mungkin tidak ada kepentingan yang saya hendak atau tidak ada kedudukan yang saya perlukan. Ramai rakan-rakan seperjuangan saya yang kecundang dalam mempertahankan prinsip silatnya. Rakan-rakan awal yang bersama-sama membangunkan SC di peringkat awal tapi masih bergiat dalam SC, masih ramai walaupun ketika ini berada dalam landasan yang berlainan. Lama atau baru dalam SC bukanlah juga menjadi ukuran kesetiaan kita terhadap perjuangan SC. Banyak cara mentafsir ahli lama atau baru. Lain orang maka lain pulak tafsirannya. Pada saya, ahli lama dirujuk pada mereka yang bergiat hebat sejak zaman Lorong Haji Sirat lagi. Tapi tak bolehlah dinafikan betapa yang baru akan menjadi lama dan yang lama akan menjadi bangka. Tak kisahlah akan tafsirannya.

Nama-nama Pak A, Pak N, Pak Kamarul, Pak Ak, Pak Jo dan Pak Jo Black, Pak K dan beberapa orang yang lain, tidak boleh saya lupakan. Guru Wawasan dikira lapis baru. Bila balik dari PP baru nampak perubahan dirinya. Lebih bersifat menguasai. Pak Lan dan Pak Li yang beria-ria sangat mempertahankan persatuan adalah merupakan lapis yang lagi baru. Pak Sop pun dikira baru dalam pergerakan kita tapi nampak lama. Pengetahuan agamanya menjadikan dia disanjung tinggi. Si bomoh dan loyar buruk kita dulu pun lapis baru. Mana ada pengalaman susah membangunkan SC. Kerana gelaran jawatan yang ada, mereka diberi penghormatan. Tapi akhirnya menganggap diri sebagai ahli persatuan. Terikat dengan peraturan dan undang-undang. Sebelah sana, Si Maidin memang ahli lama tapi ketika itu hanya berperanan membuat kopi dan membasuh pinggan mangkuk. Si Roslin memang lama tapi telah mengilangkan diri seketika. Di akhir-akhir zaman Ustaz baru muncul kembali. Pak Y memang cukup lama. Pengalamannya banyak sejak SC berhijrah ke Kuala Lumpur. Peristiwa Ustaz terperangkap dengan “JAH” dan “MAT” empat puluh satu tanyalah dia. Cuma ingatkan konsep pasir dan permata. Saya tahu akan peristiwa tersebut tapi tak bersama dengan Ustaz bagi menghadapinya. Itu sebab saya tak berminat untuk mengulas.

Oleh itu fitnah ke atas En Mat bukanlah perkara baru dalam perjuangan SC. Itu sebabnya juga orang lama-lama tetap tenang apabila En Mat terkena. Tapi macam mana pulak ada orang-orang lama yang menentang En Mat dan sanggup menyingkirkannya kerana kes yang sama. Saya tak nak menjawabnya. Tengok saja perkembangan yang telah berlaku. Apa kepentingan yang ada. Apa kepentingan yang telah mereka terpenuhi. Hinggakan Al-Quran sanggup dialatkan. Ada yang suruh sumpah dua kali. Tapi akhirnya berubah hati. Para pembaca boleh buat kesimpulan sendiri. Malas nak komen di ruangan ini. Pengikut yang berada dalam lapisan baru jangan diambil kira. Ramai yang anu. Dah anggap diri pejuang SC yang sejati. Diturunkan dari langit agaknya.

Pepecahan sesama kita dari dulu lagi ada kaitan dengan nama-nama besar yang saya nyatakan di atas. Masing-masing ada prinsip dan pegangannya. Di zaman Ustaz mereka ini bersatu hati tapi ketiadaan Ustaz menampakkan belang sebenar setiap diri.

Kadang-kadang saya cuba memahami kenapakah mereka ini boleh berpecah dan berubah hati. Banyak faktor yang boleh kita bincangkan. Tapi saya rasa manusia tetap inginkan penghargaan. Penghargaan merupakan satu motivasi. Tidak boleh kita nafikan betapa ramai ahli SC yang betul-betul menumpukan perhatian pada SC melebihi tumpuan pada kaum keluarganya. Pengorbanan mereka begitu banyak sekali. Tak kan dengan begitu mudah mereka diketepikan begitu sahaja. Seolah-olah pengorbanan mereka selama ini tidak langsung dihargai dan tidak langsung berfaedah pada mereka yang berkuasa. Setakat pingat mana boleh memadai.

Dalam alam persilatan, lagi lama kita berada dalam alam persilatan maka lagi hebat pengalaman dan ilmu pengetahuan kita. Pastinya orang akan lebih menghormati kita. Sebarang masalah yang wujud dalam gerak silat amat mudah diselesaikan. Syaratnya mesti turun ke padang – kelas silat. Tapi dalam persatuan, lagi lama kita memegang satu-satu jawatan maka berkemungkinan besar lagi lama orang membenci dan meluat akan kita. Pengaruh semakin kurang. Timbul saingan daripada generasi muda. Pemikiran mereka semakin mantap dan kecerdasan menjalankan tugas umpama penyapu baru. Daripada segi prinsipnya, orang ini patut berundur diri. Undurlah daripada memegang jawatan dalam persatuan kalau begitu lama.

Sebaliknya, barisan kepemimpinan SC bertindaklah dan bentuklah jawatan-jawatan besar dalam alam persilatan untuk mereka jika mereka berundur daripada persatuan silat. Dalam SC kita ada Lembaga Pelajaran dan Tatatertib dan Majlis Mesyuarat Tertinggi. Tapi dua lembaga itu mungkin tidak memadai bagi menampung bilangan mereka. Fikirkanlah apa lagi lembaga-lembaga yang boleh kita bentuk. Lembaga Adat ke, Lembaga Pendekar ke atau sebarang jenis lembaga lagi. Sekurang-kurangnya, mereka yang telah banyak berjasa dalam SC sejak zaman Ustaz lagi, diberi penghormatan dalam satu-satu jawatan persilatan dan masih ada kesinambungan aktiviti mereka dalam persilatan. Siapa saja guru yang terlantik, perlu menghargai jasa-jasa mereka. Libatkan mereka dalam semua aktiviti SC. Kalau kewangan mencukupi, sediakan elaun sara diri atau sekurang-kurangnya elaun perjalanan dan elaun makan setiap kali mereka terlibat dalam mesyuarat. Saja-saja sebagai penghargaan. Berapa duit sangat.

Ramai ahli sering nak tahu akan sikap saya. Yang tahupun kadang kala berasa curiga. Hinggakan tak berani menghubungi saya. Saya tidak pedulikan itu semua. Saya tidak ‘cari makan’ atau cari pengaruh melalui SC. Tindak tanduk saya adalah berdasarkan apa yang saya terima dan saya faham daripada Ustaz.

Pada satu ketika bersama dengannya, Ustaz berbicara kepada saya tentang jenis anak murid yang disenanginya. Intisarinya, bukan setakat Ustaz saja disanjung mulia tapi jangan lupa akan keluarganya. Ada satu lagi pesanannya kepada saya iaitu supaya sentiasa menghormati sahabat karib kenalan ayah kita. Saya aplikasikan konsep itu dalam kehidupan silat saya. Mana-mana anak muridnya yang Ustaz ‘muliakan’ maka saya tetap menghormati mereka walaupun Ustaz telah tiada. Teguran-teguran Ustaz terhadap mereka tidak boleh menjadi fakta supaya saya turut membenci mereka. Ustaz pernah komen pada saya tentang perasaan tidak senangnya terhadap beberapa individu tertentu dalam SC. Itu komennya dalam konteks pendidikan antara Guru dan Murid. Kenapa kita pulak membuat kesimpulan dan andaian.Guru lebih mengetahui apa yang dilakukannya. Samalah dengan apa yang dikomennya tentang diri saya pada orang lain. Bila orang itu memberitahunya kepada saya maka saya anggap itu merupakan satu nasihat guru kepada saya. Saya cuba memperbaikinya.

Banyak cara Ustaz membuat teguran sebagai bentuk pendidikan. Lebih baik cara itu daripada Ustaz membuat teguran secara langsung. Cuba tanya pada mereka yang pernah mengalaminya. Lagi hiba dibuatnya. Ramai yang terkejut beruk. Dan ramai juga yang cabut. Tapi tak kurang juga yang kaki cucuk.

Oleh itu nama-nama Pak Ak, Pak A, Pak N, Pak W, Pak J dan pelbagai nama lagi yang sama-sama menaikkan SC, tetap saya hormati. Mereka seguru dengan saya dan sama-sama menaikkan SC. Tiada masalah peribadi dengan saya. Semasa zaman Ustaz, mereka ini tidak bermasalah. Masalah hanya timbul selepas Ustaz meninggal dunia. Mereka telah membuat keputusan sendiri berdasarkan pandangan mereka yang ada. Tentu ada alasan kukuh berdasarkan ajaran yang mereka terima daripada Ustaz. Begitu juga dengan saya. Saya juga ada pandangan saya sendiri berdasarkan nasihat dan tunjuk ajar daripada Ustaz. Fahaman kami semuanya seperdu. Tapi Tafsiran kami mungkin berbeza. Oleh itu mereka juga kena menghormati pendirian saya. Tapi lapis-lapis baru ramai pulak yang mengada-ngada. Apa nak buat. Pembela Sc rupanya. C besar jadi c kecil.

Sekian saja setakat ini.

Monday, August 24, 2009

LAGI KISAH LALU

Saya selalu menggunakan istilah ahli silat dan ahli persatuan. Ini bukanlah perkara baru. Zaman Ustaz lagi perbezaan antara dua konsep istilah tersebut amat ketara. Tapi ramai ahli yang pandang sambil lewa. Saya ingin membawa satu contoh peristiwa. Selepas Pak W disingkirkan daripada persatuan sebagai Naib Presiden, beliau boleh terus berhubung dengan Ustaz. Hubungan sebagai ahli persatuan mungkin putus tetapi hubungannya sebagai ahli silat tetap tidak putus. Hubungan berdasarkan murid dan guru terus berjalan. Kerap kali beliau ke rumah Ustaz dan membincangkan sesuatu. Hubungannya dengan Ustaz dan Mak Teh tidak pernah putus. Malah semasa Ustaz berangkat ke Mekah, Pak W pun ikut sama. Daripada segi persatuan, beliau telah disingkirkan tapi dari segi hubungan silat, beliau masih diterima oleh Ustaz. Semua orang mengetahui hubungan tersebut.

Mungkin keadaan ini agak berbeza dengan zaman sekarang. Berlainan persatuan maka dianggap telah terputus segala-galanya. Pandanganpun menjadi sebelah mata. Padahal mereka semua adalah seguru di zaman Ustaz. Kecualilah guru ijazah sekarang ini yang pelbagai. Berlainan guru maka berlainanlah sikap dan pembawaanya. Kalau tidak lagi boleh sehaluan maka ada alasan kukuhnya.

Tersentuh kisah Pak W maka saya ingin mengkisahkannya pengalaman saya bersamanya. Sahabat saya tersebut adalah bekas askar dan menceburi SC lebih dahulu daripada saya. Ada syarikat latihan memandu. Peranannya tidak jelas hinggalah apabila beliau dilantik sebagai Naib Presiden, nampak kewibawaannya. Semasa di Lorong Haji Sirat, beliau adalah merupakan salah seorang yang selalu dikutuk kerana ‘sleng’ cakap Kelantannya. Pernah pada satu ketika dalam kelas silat, beliau naik sheikh kerana tak tahan akibat kutukan kawan. Beliau mengamuk dan menyerang orang hingga tak ketahuan. Tapi masing-masing cekap kaedah. Mudah benar amukan beliau dimatikan. Akhirnya sesama kami bermaaf-maafan.

Dalam AJK pusat, fikirannya selalu sehaluan dengan saya. Termasuk juga Brother J Black. Kami selalu bertentang pendapat dengan kumpulan satu lagi. Tapi seperti yang dikata, bertengkar dalam mesyuarat, hubungan tetap setia. Kami boleh pisah dan asingkan antara hubungan peribadi, hubungan persatuan dan hubungan persilatan. Suasana harmonis sentiasa ada.

Kadang-kadang sifat berani sahabat saya itu menyebabkan saya berasa takut berjalan dengannya. Apatah lagi makan bersama di gerai makan. Pantang orang lain merenung mukanya. Kerap kali akan disoal apa tujuan. Pernah satu ketika dia memotong sebuah motosikal. Penunggangnya membunyikan hon. Apa lagi, keretanya memintas motor tersebut dan terus keluar dari kereta meluru ke arah penunggang motosikal. Dicekaknya baju orang itu. Saya yang berada di sebelahnya berasa cemas dan kasihan pulak.

Kerana barannya juga menyebabkan beliau tersingkir daripada persatuan. Tidak baik saya menceritakan secara terperinci dalam ruangan ini. Yang pastinya, kelas-kelas yang dilawatinya amat digeruni oleh penuntut berkenaan. Saya satu kumpulan dengannya mengajar silat. Ketika mengajar, silap langkah maka para penuntut itu akan menerima padah. Ramai yang terkena penampar Pak W.

Tapi beliau rajin mengajar silat. Ada juga para jurulatih yang kaki ponteng ketika itu. Kami akan selalu cover. Hubungan sesama kami sangat mesra. Pernah berjalan kaki berkilometer bersama untuk mencari kedai motor bagi menampal tayar motor yang bocor.

Semasa kunjungannya di cawangan saya setelah saya membuka kelas, beliau pernah menguji kebolehan penuntut saya. Terdengar berita beliau membuat komen. Menurutnya manakan boleh terjadi anak buah yang saya didik begitu lemah sekali. Dakwaannya mencabar kewibawaan saya. Bukannya mudah untuk saya memberi atas apa yang saya dapat. Cakap-cakapnya menyebabkan saya menukar strategi. Penuntut silat yang saya didik perlu hebat sekali. Terbukti dalam ujian sijil rendah, mereka yang menguji membawa banyak buah tangan. Tapi ketika itu tidak ada perasaan syak wasangka dan rendah diri. Lagi hebat mereka yang diuji maka bermakna hebatlah pelajaran yang kita beri.

Gerak silat sahabat saya itu sangat mementingkan pukulan. Kalau diserang, biarlah apa jenis buah yang diambil. Kebiasaannya akan diikuti dengan ‘jab’ atau sepakan kaki kiri. Ramai yang terdiam setelah diserangnya. Begitu juga semasa mengambil buah jatuhan. Pukulan sangat diutamakan. Kira nak bagi patah. Buah-buah yang menyengkak siku pada rusuk menjadi popularitinya.

Setelah Ustaz meninggal dunia, perasaannya nak menjadi guru pasti ada. Yang pastinya pada pengamatan saya, beliau tidak mengiktiraf pelantikan Pak Ak. Terbitlah konsep sarung dan senjata atau kulit dan isi. Ketika itu konsep-konsep tersebut amat berleluasa. Semuanya untuk membuktikan bahawa kewibawaan Pak Ak tidak ke mana.

Satu malam di Jalan Putera, ketika saya berada di sana, saya dipanggil oleh seorang kenalan lama. Dengan keretanya saya dibawa ke satu tempat. Sampai di sana telah ada Pak D Panjang dan seorang yang taksub padanya yang bergelar dengan gelaran pangkal nama, sheikh. Saya kena tunggu sebentar. Kemudiannya muncul seorang yang nampak alim, berjubah sambil memegang tasbih. Itulah Pak W. Dalam perbualan kami, diceritakan tentang kekurangan yang ada pada guru utama ketika itu. Konsep kulit dan isi adalah mainan katanya. Ada strategi rupanya untuk mendapatkan jawatan guru. Saya hanya dengar sahaja. Cukup tempoh saya balik semula ke Jalan Putera. Peristiwa itu tak ramai yang saya cerita. Pak Ak kemudiannya tahu juga.

Tapi gerakan bawah tanah sahabat saya itu tidak cukup bahaya. Pengaruhnya tidak kuat langsung. Ancamannya umpama belalang di tengah padang. Bila-bila masa boleh diserkap. Pak Ak lebih curiga pada seorang lagi yang tak banyak bercakap. Juga ada ura-ura untuk berebut jawatan. Kerisauannya ada diceritakan pada saya. Banyak tindak tanduk penyengap itu yang amat mencurigakan. Tapi akhirnya dapat juga akan dia. Namun banyak yang tak tentu hala. Silat nak bawa ke mana. Ramai pulak si buta celik yang mengikutnya. Itulah akibatnya kalau tak erti bahasa. Tidak tahu asal usul semua. Kerana sesuatu kepentingan, jadi pak turut lebih rela. Apa jenis manusia cekak agaknya. Mana peraturan yang dipakai.

Sejauh mana ilmu yang ada pada Pak W tersebut. Sebenarnya pada masa-masa lalu, kita sukar mengukur berapa banyak ilmu yang kita dapat. Cuma yang pastinya siapa yang rapat dengan Ustaz pasti ada kelebihannya. Masing-masing pula cuba menyorok atas apa yang dia dapat. Tapi sahabat saya itu suka bercerita. Maka banyak yang saya tahu akan kebolehannya. Mana yang saya tak ada saya ‘jolok’ terus dari Ustaz. Kata mereka durian akan luruh dengan sendirinya. Mana boleh dijolok-jolok. Tapi itu durian kampung. Jolokan saya banyak yang luruh. Saya takut mengulas panjang dalam tulisan ini. Menulis tak sama dengan bercerita lisan. Takut salah tanggap.

Kini, sejarah kehebatannya dalam SC telah tenggelam. Ramai yang membuat kecaman atas masalah peribadinya. Macam-macam cerita mengenainya yang saya dengar. Semuanya memburuk-burukkan sifatnya. Entah apa yang mereka dapat. Tapi saya tetap tak ambil peduli. Beliau adalah seguru dengan saya. Masalah peribadinya adalah masalah peribadinya. Dia nak buat apa, dia nak makan apa, dia hendak ke mana, itu semua haknya bersuara dan bergerak. Tapi saya kenalnya melalui SC. Saya tetap menyangjunginya sebagai seorang sahabat. Sekurang-kurangnya sebagai rakan yang sama-sama bertungkus lumus menyebarkan SC di pemulaan gerakan kita. Kalaulah benar sifat peribadinya sedemikian rupa, apakah tergamak kita menghukumnya. Mencaci pula. Inilah budaya kita. Hinggakan guru sendiri juga menerima habanya. Siapalah kita untuk membuat demikian.

Sekian setakat ini.

Saturday, August 22, 2009

PENGALAMAN LAGI

Menyentuh soal pengalaman tentunya ramai yang mempunyai pengalaman tersendiri bersama Ustaz atau Pak Ak atau En Mat. Lain orang lain pengalamannya. Saya lebih banyak menceritakan pengalaman bersama dengan Ustaz. Daripada zaman tersebutlah saya mengenali SC dan mendapat ilmu secara khusus. Lagipun semuanya mengenengahkan pusaka Hanafi. Elok juga dibanyakkan penceritaan dalam zaman Ustaz Hanafi.

Tentulah pusaka Hanafi ini tidak terhad dalam gerak silat sahaja. Mungkin harta atau benda peninggalan Ustaz banyak yang tiada kerana gian terlelong tapi aspek-aspek lain patut ditonjolkan. Kalau ada geleri tentang Ustaz, alangkah baiknya. Tapi apakan daya. Lelongan lebih utama. Entah siapa punya idea. Saya memang menentangnya.

Mungkin penceritaan tentang pengalaman menimbulkan pelbagai implikasi. Nama pun cerita. Para pembaca pastinya pelbagai. Ada yang seronok membaca, ada yang mengambil iktibar daripada pembacaan dan ada yang meluat seolah-olah orang yang menulis ingin memunculkan diri. Gasaklah. Yang pentingnya saya ingin bercerita. Orang lain yang ada pengalaman, ceritakan pada orang lain. Kongsi pengalaman. Pengamalan itu kita sendiri yang tahu. Patut juga jangan asyik mengutuk atau mengkritik sahaja tanpa memberi apa-apa sumbangan.

Setahu saya hubungan rapat antara murid dengan Ustaz ada pelbagai jenis bergantung pada suasananya. Hubungan rapat dalam era Haji Sirat, dalam era Jalan Putera dan dalam era rumah Ustaz di Keramat tentunya tak sama.

Masa di Lorong Haji Sirat, nampak benar daifnya silat kita. Ahli yang berkeretapun amat kurang. Berjalan kaki ke UITM, ke Universiti Malaya dan kelas-kelas berdekatan untuk mengajar silat adalah perkara biasa. Ustaz tinggal sendirian di rumah itu. Banyak peristiwa berlaku. Banyak pengalaman yang saya ada. Ada antara pengalaman yang nak dicerita di ruangan ini tapi rasa-rasanya tak mungkin kesampaian maksudnya.

Masyarakat sekelilingpun di peringkat awal tidak senang dengan kehadiran kita. Di satu malam kedengaran macam bunyi dentuman. Saya tak boleh tidur. Ustaz mengerti. Itulah mainan dunia katanya. Di Lorong Haji Sirat-lah saya mendapat kebenaran tentang SC.

Di tempat itu juga saya mendapat pengalaman langsung tentang cabaran daripada seni bela diri lain ala siam dari pantai timur. Cabaran itu adalah ekoran daripada perayaan sepuluh tahun SC di Padang Kelab Sulaiman, Kampung Baru. Persembahan SC ketika itu boleh dikatakan asing pada sesetengah masyarakat silat Melayu. Kita menunjukkan bagaimana SC mematikan gerak-gerak silat lain. Ramai yang geram dan tidak hairanlah apabila timbul cabaran daripada mereka yang benar-benar rasa tercabar. Selesai perayaan tersebut, saya bergegas ke rumah persatuan di Lorong Haji Sirat. Maklumlah seperti dikata, masa saya banyak di sana. Saya tak pasti tentang orang lain yang ada di situ. Yang pastinya ketika itu Ustaz memang ada dan Pak Wan juga. Bunyi dering telefon dan telefon diangkat oleh Pak Wan. Nampak Pak Wan berkata tegas. Kemudian ditekupnya telefon itu dengan tangan dan bersuara pada Ustaz yang ada di situ. Katanya, “Panggilan daripada Mat Apolo minta try.”
Ustaz tenang sahaja dan bersuara. Seingat saya, antara kata-kata Allahyarham, “Boleh!. Dapatkan permit dan kita buat di stadium. Syaratnya timbang mesti sama berat. Kalah menang berdasarkan patah, pengsan atau mati.” Begitu tegas suara yakin daripada Ustaz. Pak Wan pun tegas menyahut cabarannya. Tapi selepas itu tak dengar apa-apa berita pun.

Walaupun pertunjukan kita seolah-olah menafikan kehebatan silat lain, itu tidak bermakna kita bebas untuk merendah-rendahkan silat Melayu umumnya. Ada ikrarnya pada kita. Jangan mencaci silat Melayu yang lain. Pernah pada satu ketika saya mengulas tentang silat saya yang ada sebelum belajar SC. Saya canangkan kelemahannya. Orang lain suka. Ustaz senyum sahaja. Setelah selesai, orang mula tak ada, Ustaz memanggil saya. Katanya antara lain,”Kamu kenali silat, bukankah daripada silat itu. Kenapa kamu caci akan silat yang mula memberi ruang dan memperkenalkan kamu dengan silat Melayu.” Itulah antara lain kata-katanya. Saya terkedu. Kata-katanya saya tetap jadikan pengajaran yang tidak mudah untuk dilupakan.

Hubungan sesama ahli di Lorong itu amat rapat. Tambahan pula umur masih muda-muda. Kadang-kadang cara melawakpun tak tentu hala, walaupun ketika kami sedang dilatih Ustaz. Mainan ‘pas kentut’ pun ada. Yang lucu dan berani, apabila tiada orang yang nak dipaskan, perlahan-perlahan rapat dengan ustaz dan membuat sentuhan seolah-olah telah dipaskan kepadanya. Orang lain tersenyum saja. Saya tak tahu sama ada Ustaz perasan atau tidak. Tapi itulah salah satu mainan yang ada menunjukkan betapa akrabnya hubungan sesama kami. Tak ada riak akan jadi penderhaka. Banyak lagi pengalaman yang ada. Takut terpanjang tulisan ini pula.

Apabila berpindah ke Jalan Putera, standard kita terangkat sedikit. Tapi di peringkat awal, kekuatan persatuan tak banyak yang ada. Kerap kali juga mengajar silat di kelas UPM dan ITM Shah Alam hanya bermotor sahaja. Bila hujan lebat, apa nak di kata. Basah kuyup jawabnya. Teringat kisah saya di satu malam bersama-sama saudara Megat dan Pak Wan. Dalam perjalanan balik dengan motor, kami basah kuyup. Tak tahan dengan hujan yang lebat maka terpaksa berhenti di sebuah kedai. Restoran pulak tu. Terpandang makanan yang ada dalam kedai tersebut, lapar tiba-tiba datang. Duit sendiri tak berapa ada. Tapi malam itu kami ada memungut yuran daripada pelajar. Bertekadlah kami gunakan sikit daripada duit itu buat melegakan tekak dan perut yang keroncong. Bila sampai ke pejabat, kami berjumpa Ustaz. Perlahan-perlahan memberi penjelasan. Takut-takut pun ada. Tapi Ustaz tak ambil peduli dan tak ambil hati. Allahyarham tersenyum sahaja. Lega.

Di tempat itu, Ustaz tinggal dalam sebuah bilik. Banyak kenangan di situ. Mungkin di lain masa boleh cerita. Satu hal yang saya tak boleh lupa, di situlah Ustaz selalu bermain dengan cucunya. Kurus budaknya. Pandai bermesra seperti bapanya. Semua pihak menyenanginya seperti mana Ustaz menyenanginya. Bila Ustaz dah tak ada, ramai pulak yang tak senang dengannya. Itulah maianan dunia namanya.

Banyak kenangan di Jalan Putera. Sesetengahnya ada saya ceritakan dalam tulisan terdahulu. Ada masa saya akan ceritakan lagi tentang gelagat-gelagat ahli di situ.

Ketika Ustaz berpindah ke rumahnya sendiri, kebetulan ketika itu saya telah tamat pengajian di Kuala Lumpur dan balik ke kampung. Hubungan dengan Ustaz mulai renggang di peringkat pusat. Tapi ada ketika-ketika tertentu, Ustaz kerap singgah ke tempat saya. Cawangan silat belum dibuka. Pernah juga Ustaz berjumpa saya di tempat kerja. Apabila cawangan telah dibuka, kunjungan Ustaz lebih teratur dan hubungan Ustaz dengan ahli cawangan semakin mesra.

Bagaimana kita boleh mengukur hubungan rapat ahli-ahli lama dengan Ustaz. Saya rasa hanya masing-masing yang tahu. Kalau ada yang menceritakan hubungannya dengan Ustaz, itu tidak semestinya beliau lebih rapat daripada yang lain. Saya sendiripun tidak pernah membanding atau mengukur bentuk hubungan tersebut dengan orang lain. Saya hanya bercerita atas apa yang saya alami. Tapi sepanjang pemerhatian saya, Ustaz memang menghormati sangat beberapa individu tertentu di Bukit Mertajam yang mungkin sama angkatan dengannya. Tiga nama serangkai di sana sentiasa diutamakan. Merekapun pernah menjawat jawatan AJK Pusat. Hubungan rapat antara ahli dengan Ustaz pastinya berbeza ketika Ustaz berada di Lorong Haji Sirat, Jalan Putera dan di rumahnya Keramat.

Semasa zaman saya, ada yang menjadi rapat dengan Ustaz kerana tugas memandu kereta Ustaz ke merata tempat. Mungkin banyak juga perkara yang mereka tahu. Selain itu, ada yang Ustaz berhubung dengan mereka secara rasmi atas jawatan yang mereka pikul. Ustaz juga menghormati mereka atas anisiatif untuk mengembangkan SC. Mereka pun tak banyak karenahnya. Mungkin di akhir-akhir zaman Ustaz nampak sedikit besar kepalanya. Tapi ramai juga yang rapat dengan Ustaz kerana menumpang dengar cerita-cerita Ustaz sahaja.

Ustaz juga amat menghormati kalangan ahli yang ada bergelar doktor dan lawyer. Sampai sekarang mereka ada dalam MMT nampaknya. Dalam banyak majlis, mereka diletakkan di tempat kehormat. Tapi entah bagaimana kadang-kadang saya pun tak sangka. Penghormatan yang diterima dari Ustaz dulunya, macam buat-buat tak hairan. Kalau Ustaz dah tiada maka sepatutnya penghormatan itu perlu diberi pada keluarga. Lain pulak yang jadinya. Itulah bezanya antara ahli silat dengan ahli persatuan, agaknya. Ahli silat akan mementingkan adat dan adab manakala ahli persatuan akan menjadikan perlembagaan dan peraturan persatuan sebagai kitab dan rujukannya. Al-Quran pun boleh dialatkan. Buat pengesahan sementara. Apa punya pangsa.

Orang-orang yang melakukan pepecahan dalam SC adalah mereka yang pernah bersama dengan Ustaz. Sama-sama bersusah payah untuk menyebarkan SC di serata negara. Satu ketika dulu, hubungan sesama mereka sangat akrab. Ada antara mereka yang dibawa masuk mengenali SC adalah juga kerana desakan atau nasihat sesama mereka.

Apabila Ustaz telah tiada, pepecahan mula ketara. Tentu banyak alasan dan sebabnya. Ke manakah hala tuju mereka. Pada saya itu semua bergantung pada pengalaman yang ada bersama Ustaz. Sekurang-kurangnya untuk menghormati kawan, janganlah dihukum perbezaan pendapat tersebut. Pengalamannya berbeza. Pemikiranpun berbeza dan akhirnya kepentingannya pun turut berbeza. Ada yang Ustaz war-warkan kebolehan diri mereka dalam silat, akhirnya perasan sebagai pengganti Ustaz. Cuba berlagak menjadi Ustaz. Tapi akhirnya terpecat sebab lagaknya nampak sangat. Tapi ada yang berlagak diam-diam hanya melayan bisikan hati. Lagak itu akhirnya tiba. Tapi sayangnya ngaumannya tidak sekuat mana. Taringnya tumpul. Dah diikat tali rupanya.

Generasi baru yang berlagak sebagai pembela seperti Pak-Pak yang ada, pada saya hanyalah mengada-ngada. Tambahan lagi mereka yang tidak biasa bersua muka dengan Ustaz. Nak berlagak umpama pembela SC, nampak sangat hapraknya.

Apapun, segala-galanya menjadi kenangan sejarah. Dunia terus berputar. Apa yang berlaku tidak perlu ditoleh lagi. Buatlah apa yang patut. Tapi sejarah akan berulang kembali. Kalau tak sedar diri, apa yang dialami oleh orang yang terdahulu, pasti akan berulang kembali pada diri sendiri. Itu sebabnya selalu kita tekankan betapa pentingnya belajar daripada sejarah.
Sekian.

Friday, August 21, 2009

KENANGAN CAP KIRI

Biasanya sesuatu yang kanan maka kita hubungkan dengan perkara yang baik. Langkah kanan, nafas kanan, ngereng kanan, golongan kanan, orang kanan, tangan kanan, kaki kanan dan pelbagai kanan yang lain. Itu semua adalah satu kebiasaan. Tetapi sesuatu yang luar dari kebiasaan acap kali akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa dan luar dugaan. Misalnya, apabila menunggu serangan, kebiasaan manusia berdasarkan menunggu serangan kanan. Dalam situasi pergaduhan, bila kita lancarkan serangan tangan kiri, pasti kelam kabut orang yang menunggu serangan tersebut. Luar dari kebiasaan.

Dalam tulisan terdahulu saya telah bincangkan apabila berlainan pendapat yang bertentangan arus maka dengan mudah dicap golongan kiri. Dalam konteks diri saya, walau apapun pandangan orang lain, apa yang saya katakan atau tuliskan adalah berdasarkan isi hati saya. Sama ada orang lain terasa atau sakit hati, bukan dalam sinarai tugas saya. Dalam silat saya cuba maknakan erti kemerdekaan.

Sumber rujukan saya atas sikap, nilai dan gerak dalam SC adalah Ustaz. Tidak boleh dinafikan bahawa pemikiran saya memainkan peranan penting dalam mentafsir apa yang diutarakan oleh Ustaz sama ada dalam bentuk lisan, tulisan atau gerak dalam silat. Pengalaman saya dalam SC tentunya berbeza dengan pengalaman orang lain dan pengalaman saya bersama Ustaz, tentu juga berbeza dengan orang lain. Saya berasa bangga atas pengalaman saya tersebut. Pengalaman ini membentuk sikap dan nilai dalam SC. Saya cuba muhasabah diri. Kenapa mudah dianggap kiri. Tapi akhirnya saya menyimpul bahawa pandangan orang lain, tak perlu saya ambil peduli. Itu pandangan mereka.

Semasa saya masih menuntut, banyak masa saya luangkan bersama Ustaz terutamanya semasa Ustaz tinggal seorang di Lorong Haji Sirat dan di Jalan Putera. Hinggakan saudara saya tidak berpuas hati kerana rumahnya yang saya tumpang seolah-olah menjadi rumah tumpangan sahaja. Beliau pernah mengadu pada ibu saya tentang kerisauannya, takut-takut saya gagal dalam pelajaran. Masakan dia tidak takut. Pagi-pagi pukul lima telah keluar rumah. Selesai kuliah saya akan terus ke rumah Ustaz di Lorong Haji Sirat dan kemudiannya di Jalan Putera. Jam dua atau tiga pagi baru balik ke rumah. Tiap-tiap malam berjalan kaki dari pejabat silat ke penghujung Persiaran Gurney dengan seorang teman setia yang dikenali sebagai Abang Y. Orangnya banyak ilmu dalam SC. Tapi kena bezakan antara butiran intan dan butiran pasir. Kalau beliau tak ada maka kerap juga saya menumpang tidur di rumah Ustaz.

Tahun akhir pengajian saya, saya tinggal di rumah sewa di Kampung Baru dan berdekatan dengan tempat silat. Masa lebih banyak saya tumpukan bersama Ustaz. Semasa di Jalan Putera, kalau Ustaz tidak ke mana-mana kerap kali setiap petang saya akan keluar bersamanya ke mana-mana tempat yang ingin ditujuinya. Termasuk rumah yang kerap dikunjunginya ialah rumah Pak W. Ketika bersyarah atau melakukan gerak silat, maka banyak yang saya dapat. Oleh itu, tak jemu-jemu saya menjadi pengiringnya.

Ketika ingin memepelajari SC, satu daripada syarat lisan yang saya kemukakan pada Ustaz untuk saya membuka kelas silat di pusat pengajian ialah Ustaz sendiri mesti mengajar saya. Ustaz bersetuju. Semasa pembelajaran, jika Ustaz tidak hadir dan buah disampaikan orang lain, saya tetap mengesahkan pengambilan buah tersebut apabila berjumpa dengan Ustaz. Walaupun ada tohmah yang menafikan pengambilan kesemua buah daripada Ustaz, apa saya peduli. Yang pentingnya saya tahu apa yang saya dapat dan saya tahu apa yang saya lakukan melebihi daripada orang lain. Mustahil orang lain lebih tahu tentang diri kita. Saya percaya orang yang bercakap tersebut mana dapat seperti yang saya dapat. Kalau dia dapat pun tak pernah saya ambil peduli.

Berdasarkan pergaulan bersama dengan Ustaz, saya yakin dengan gerak yang saya ada dan fahaman yang saya terima. Fahaman saya ini tidak mudah goyah ditiup oleh sebarang angin. Orang lain kalau nak bercerita, ceritalah. Saya akan menjadi pendengar yang baik. Orang lain nak komen maka komenlah. Saya juga akan menjadi pendengar yang baik. Orang lain hendak pengaruh saya maka pengaruhlah. Saya tetap akan menjadi pendengar yang baik. Banyak juga janji-janji mereka. Tapi dalam hidup kita janganlah mudah mengharapkan sangat orang lain menghargai diri kita. Kitalah yang sepatutnya menghargai diri kita sendiri. Sekurang-kurangnya sebagai kiasan ialah majlis menyambut tarikh kita dilahirkan. Kalau ingin meraikannya jangan harapkan orang lain membuat pulut kuning atau menghadiahi kek pada kita. Harapan selalunya diakhiri dengan kekecewaan jika terlalu mengharap. Lebih baik kita sendiri membeli kek, potong kek itu sendiri dan makan sendiri sambil bersyukur atas nikmat umur yang Tuhan kurniakan. Berdasarkan hubungan rapat dengan Ustaz maka saya tersangat yakin atas tindakan dan pemikiran saya dalam SC. Hati kita tenang dan jiwa kita seimbang.

Kerap kali berlaku Ustaz berada dalam biliknya di Jalan Putera walaupun di luar ramai murid menunggu. Hal ini demikian apabila hatinya tidak senang dengan sesuatu. Walaupun ramai yang menunggu di luar bilik tapi Ustaz tetap tidak keluar. Ketika saya hadir biasanya keseluruhan hari-hari tersebut Ustaz akan keluar daripada biliknya dan baharulah bersembang dengan kami. Ada masanya pula ketika kami bersembang secara kumpulan, Ustaz hanya mempelawa saya seorang sahaja untuk keluar bersamanya ke tempat yang diingininya. Sama ada orang lain sakit hati atau sebagainya, saya tak pernah ambil peduli. Itu haknya untuk berbuat demikian. Untuk diri saya, saya berasa begitu bangga. Tapi tidak pulak saya banggakan diri dengan membandingkan dengan orang lain.

Saya ceritakan itu semua sebab pada saya, saya tahu apa yang saya lakukan dalam SC. Tidak ada apa-apa kepentingan yang saya cuba bentuk atau yang saya kehendaki. Untuk menjadi seperti Ustaz pasti mustahil. Acuannya sudah tentu berbeza dengan acuan penghidupan saya. Tapi seboleh mungkin saya cuba aplikasikan apa yang dinyatakannya sebagai prinsip hidup saya sendiri. Dalam kalangan silat lain, Ustaz juga diangap degil dan dicap dengan pelbagai cap termasuk golongan kiri. Tapi dalam bidang persilatan, Ustaz tidak peduli itu semua. Ustaz tahu akan hala tujunya.

Terdahulu saya pernah menulis tentang usaha-usaha yang dilakukan untuk menyekat kemaraan saya bagi mendapatkan ilmu dalam SC oleh pihak-pihak yang tertentu. Saya pernah merajuk dan menyisihkan diri daripada datang ke kelas silat. Kerap kali pada waktu malam, berbunyi hon kereta Ustaz di depan rumah mengajak saya keluar. Hinggalah pada satu hari di bulan puasa saya dijemput berbuka puasa bersama dengannya. Telah diceritakan juga betapa pesanan Ustaz pada saya. Sebaik-baik kawan tentu ada perasaan dengkinya. Manusia yang pastinya bebas daripada perasaan tersebut ialah kedua ibu bapa dan guru kita. Hormati sungguh-sungguh golongan ini. Maka itulah pegangan saya seterusnya dalam SC setelah saya berpatah balik bergiat cergas dalam memperjuangan SC. Itulah antara pengalaman saya bersama Ustaz. Saja nak cerita. Penerimaannya pada pembaca bukan menjadi milik saya.

Berbekalkan pesanan yang tertentu sebelum saya meninggalkan ibu kota masih menjadi pegangan utama. Kelas di cawangan berjaya dibuka dengan begitu banyak pancaroba dan dugaannya. Dugaan itu termasuklah edaran surat kepada jabatan agama tentang Ustaz yang mengajar ajaran salah. Termasuk juga cabaran ‘bertry’ dengan silat saingan kita ketika itu yang dengki dan takut SC bertapak. Kedua-dua dugaan itu berjaya dihadapi. Banyak lagi dugaan yang menimpa. Rupa-rupanya bukan senang untuk mengasaskan tapak SC di bumi bertuah itu. Duduk tak senang juga. Ustazlah tempat rujukan dan penenang utama pada ketika itu.

Ketika buka kelas di cawangan, sikap saya menjadi penghalang cita-cita sebahgian besar puak di peringkat pusat. Pengaruh saya cuba dipecahkan. Kali ini melalui setiausaha cawangan saya. Tapi mereka gagal sebabnya saya turun padang mengajar silat. Semua ahli tunduk di bawah pengaruh saya. Ketika inilah cap kiri pada diri saya bermaharaja lela. Saya dikatakan cuba menjadi raja. Ada keturunan agaknya.

Saya hanya berurusan dengan Ustaz sahaja. Penentuan tarikh ijazah semuanya diurus dengan guru utama terutama zaman Ustaz dan zaman Pak Ak. Lantikan pengantara antara guru dan murid kurang memberi makna kepada saya.

Jamuan akhir tahun selalu kami tidak pergi. Alasannya dalam surat dikatakan tempat terhad. Kalau sudah terhad eloklah dijemput orang yang dekat. Kami yang jauh eloklah memberi laluan kepada yang dekat. Aktiviti yang berkaitan dengan silat pasti cawangan saya serta. Apabila berkaitan dengan aktiviti persatuan, kami hilang dengan serta merta. Terutamanya perjumpaan koperasi yang sangat kami benci. Maka geram sungguh puak sana. Surat-surat arahan tanpa tandatangan guru utama merangkap presiden atau surat berkenaan tanpa salinan kepada presiden, kami jeling sebelah mata. Geram sungguh hati mereka.

Tapi kerana sikap itulah banyak perubahan yang berlaku terutama dalam hubungan sesama ahli. Biasanya dalam SC dahulu kala, perasaan meraikan kawan amat jarang sekali. Bila datang ahli cawangan, pandai-pandailah mencari tempat buat pelindung diri. Tak tanyapun sama ada sudah makan atau sebagainya. Asyik bertanya dah lama tamat. Saya pun geram juga. Maka pernah ahli pusat yang berkunjung ke cawangan saya, seteguk airpun saya berkira. Hingggalah satu ketika Ustaz pernah memberi arahan kepada pihak pusat untuk meraikan ahli-ahli cawangan yang berkunjung ke sana. Sekurang-kurangnya tanyakan kebajikan mereka.

Zaman dulupun Presiden cawangan haram diambil peduli. Bila saya protes dalam satu majlis dengan cara terus balik selesai ucapan Guru Utama, kelam kabut juga pada mereka. Barulah perubahan berlaku. Presiden Cawangan sampai sekarang diletakkan di barisan depan. Banyak lagilah pengorbanan saya dalam bentuk protes. Baik lisan atau perbuatan. Geramnya mereka tidak terkata.

Walaupun kadang kala saya bertentangan pendapat dengan guru utama dalam beberapa perkara, setelah mendapat kebenaran pasti saya menerimanya. Perselisihan itu tidak dalam gerak silat. Itu adalah hak guru dan kita tidak boleh persoalkan sama sekali.

Penerimaan atas satu-satu perkara setelah bertengkar atau berbahas tidak mudah untuk saya mengubahnya kembali. Saya pernah menceritakan dalam tulisan sebelum ini tentang pertentangan pendapat atas konsep guru utama dan presiden persatuan yang tidak boleh dipisahkan. Hingga timbul keperluan agar guru utama dilantik sebagai presiden seumur hidup. Saya menentangnya hingga timbul kemarahan pada mereka dan dicap lagi dengan pelbagai cap. Bila logik mereka saya terima maka saya terus pertahankan hingga sekarang. Tapi berlainan pulak dengan mereka. Boleh berubah fikiran. Sekarang ini dipisahkan antara guru utama dengan presiden persatuan. Guru merekapun diam sahaja. Kepentingan rupanya.

Dalam zaman En Mat, berterusan generasi baru yang masih tak senang dengan saya. Guru Wawasan peneraju utama. Pak Lan dan Pak Li pengikut setia. Saya dianggap penghalang utama cita-cita mereka. Pelbagai cara dilakukan mereka untuk menghapuskan pengaruh saya di mata guru utama dan di cawangan juga. Tulisan-tulisan saya diberitakan menjadi cetakan mereka untuk ditunjukkan kepada guru utama. Dibuktikan betapa buruk hatinya saya.

Lama-lama, mereka mula dapat tapak melalui seorang hamba Allah di cawangan saya. Sedikit demi sedikit dokterin mereka dicucuk di buntut hamba Allah tersebut. Saya faham itu semua. Saja-saja saja tebarkan pancing dan jala. Tak lekat apa-apa. Itulah isyarat untuk diri saya berundur saja-saja. Tapi tali masih di tangan saya. Susah juga puak-puak itu nak menghilangkan pengaruh saya. Taringnya masih ada. Sekali mengaum terkejut juga. Usaha-usaha mereka masih terus membara. Nama saya perlu ditiada. Banyak jawatan saya terlucut. Aib juga. Bila terlucut nasib baik tak nampak anunya. Tabik juga saya pada Pak A. Hatinya kerap kali mulia. Dipujuknya saya. Tapi, bila berpecah maka mereka telah bersatu tenaga. Masing-masing ada gunanya. Pada puak yang inginkan ketiadaan saya telah mengambil ruang yang ada. Si Hamba Allah tersebut telah dicekup kental. Buat bernafas nampak semputnya. Baru saya tahu bahawa tali yang saya ada telah lama. Telah luput tarikhnya. Kendurnya sudah tentu. Maka semakin kendur jadinya, semakin jauh pemergiannya. Jauhhh sekali.

Maka hilanglah sejarah cawangan saya yang sering dicap pelbagai jenama. Sekarang sudah jadi biasa sahaja. Ikut apa yang dikata. Tinggalkan sejarah di hari muka. Apa baik dan apa buruknya. Malas nak ambil kira. Saya masih terus melaungkan konsep luar biasa. ‘Perbezaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar biasa ialah keluarbiasaannya.’ Keluarbiasaan itu adalah merupakan satu keistimewan. Pastinya keluarbiasaan yang ada di cawangan saya adalah hasil pengalaman saya sekian lama dalam SC. Semestinya bersama Guru Utama.

Banyak pihak tersenyum puas. Cawangan yang dulunya 'liar' telah tunduk menyembah bumi. Penghalangnya dikira cabut pergi. Aduh sakitnya. Mujur ada penenangnya. Manusia tidak sama. Pengalaman tidak sama. Kepentingan tidak sama. Cita-cita tidak sama. Falsafah hidup tidak sama. Ilmu tidak sma. Pastinya pengalaman pun tidak sama. Yang sama hanya anunya. Tapi itupun mungkin berbeza. Hanya Wali jantan penentunya. Tiada endingnya.

Sekian sahaja.

Wednesday, August 19, 2009

ERTI KEMERDEKAAN

Bukan main bersemangat lagi ahli-ahli SC mengangkat tangan melaungkan perkataan ‘merdeka’. Ada yang mengenggam erat mengangkat tangan dan ada yang membuka tangan sambil melontarkan suara. Pelbagai aksi yang dapat dilihat. Walau bagaimanapun melaungkan perkataan tersebut perlu juga membawa erti kepada kita sama ada kita dapat mempraktikkan erti kemerdekaan yang kita laungkan itu atau pun tidak.

Kemerdekaan juga bermakna kebebasan. Bebas untuk kita mengeluarkan pendapat. Dalam kehidupan harian, kebebasan tersebut bukanlah mudah dipraktikkan terutama pada mereka yang bergantung harap dalam mendapatkan pendapatan bulanan. Kita terikat dengan arahan bertulis daripada ketua jabatan atau jabatan lain yang kita berurusan.

Dalam SC terdapat pantun yang menyebut perkataan kemerdekaan.

Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan,
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Mensesuaikan dengan makna kemerdekaan.

Isi tersuratnya sangat mudah untuk kita bicarakan. Setiap ayat ada maknanya yang tersurat. Kita menyebarkan SC atas kesedaran bahawa silat ini adalah sebaik-baik silat. Walaupun ada penentangan tapi kita tidak berniat untuk bermusuh dengan mereka. Matlamat kita hanya satu iaitu mengenengahkan pusaka bangsa dalam negara kita yang telah merdeka. Pusaka bangsa ini bukannya lahir daripada masyarakat tapi lahir hasil daripada pemikiran Ustaz Hanafi yang menerimanya berdasarkan mandat yang ada daripada individu tertentu.

Tapi bagi isi tersirat, banyak makna boleh kita ungkapkan berdasarkan pantun tersebut. Penyebaran ilmu SC adalah menjadi fokas utama untuk meletakkan seni silat tersebut yang bertaraf kebangsaan di tempat yang sepatutnya. SC perlu dipelajari oleh semua lapisan masyarakat Melayu. Oleh itu sebarang usaha untuk menyekat perkembangan SC, harus kita tentang dalam konteks menegakkan kebenaran silat yang hanya ada dalam SC. Kita tidak mencari musuh. Tapi mereka yang menentang perkembangan kita pasti akan muncul sebagai musuh.

Apatah lagi dapat kita perhatikan sekarang ini iaitu bukannya musuh kita timbul dalam kalangan silat lain tetapi daripada kalangan ahli SC sendiri yang telah tergelincir fahaman mereka. Ada individu-individu tertentu yang sanggup ke hulu ke hilir berjumpa dengan pelbagai pihak bagi menggagalkan aktiviti SC dek kerana berlainan faham. Itulah puak yang mementingkan persatuan daripada silat. Merekalah pertualang dan pengkhianat perjuangan SC walaupun diri mereka melaung-laungkan semangat juang SC. Pengikut merekapun samalah kategorinya. Ustaz tidak pernah berpantun dengan memulakan rangkap, ‘Lahirnya persatuan Cekak kerana kesedaran.....’

Apabila kita mengupas isi tersirat, “Mensesuaikan dengan makna kemerdekaan,” maka banyak tafsiran dapat kita buat. Semuanya bergantung pada kehendak dan disiplin tafsiran kita. Pada saya, SC adalah merupakan medan bagi kita untuk bebas berfikir dan bebas bertindak dalam konteks silat. Perkara utama yang penting ialah hubungan kita dengan guru. Selagi guru merestui fikiran dan tindakan kita, teruslah bertindak tanpa mempedulikan kritikan orang lain. Dalam penulisan yang terdahulu, saya selalu menegaskan keyakinan bahawa SC-lah medan yang sesuai untuk melatih diri kita merasai erti kebebasan untuk berfikir, bertindak dan mengeluarkan pendapat. Hal ini demikian kerana dalam pekerjaan harian, kita terikat dengan peraturan, perintah am atau perkeliling-perkeliling jabatan. Kebebasan kita untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah terhad. Maka SC adalah medan yang boleh kita praktikkan kebebasan tersebut. Tapi hal ini amat mudah dilakukan jika kita memfokaskan diri kita sebagai ahli silat dan bukannya sebagai ahli persatuan. Amat malang pada mereka yang tidak dapat mempraktikkan erti kemerdekaan dalam keseluruhan hidupnya seharian. Di tempat kerja kena kawal, di rumah kena kawal dan di tempat silatpun kena kawal. Selalunya dikawal dek hubungan rapat dengan kawan. Eloklah pancing ikan.

Ramai antara kita yang bersifat bohong atau menipu diri sendiri dalam perjuangan silat. Perkara yang ada dalam hati tidak sama dengan apa yang dituturkan. Hasilnya dipertunjukkan pada perbuatan atau tingkah laku yang dipraktikkan. Apabila hati dan mulut tidak selaras atau seiring maka jadilah diri sebagai manusia pembohong dalam dunia persilatan. Satu segi kita melaungkan slogan perjuangan SC tapi dalam segi yang lain kita pula menjadi dalang bagi menyekat perkembangannya. Mengecap orang lain sebagai pembohong tapi hakikatnya merekalah pembohong yang paling besar.”Paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih.”

Walau bagaimanapun, dalam konteks musuh, kita jangan sekali-kali terperangkap dengan tafsiran yang kurang jelas. Jangan mudah cap mengecap. Dalam kebiasaan masyarakat kita sendiri, apabila kita menyuarakan sesuatu pandangan yang bertentangan maka kita juga akan dicap sebagai penentang atau berhaluan kiri dan sesetengahnya dianggap sebagai musuh. Hinggakan ahli-ahli yang lain mula berfikiran serong dan memandang rendah terhadap mereka dek kerana melawan arus fikiran yang bertentangan. Perkataan kiri selalunya dihubungkan dengan mereka yang berbeza pendapat kerana kiri itu sendiri melambangkan sesuatu yang bertentangan dan suka melawan. Apa saja perbuatan kiri yang kita lakukan biasanya akan dianggap serong oleh orang lain yang memerhati. Lihat saja anggota kiri pada tubuh badan kita. Biasanya apabila seseorang itu makan dengan menggunakan tangan kiri maka dianggap sebagai janggal dan tidak beradab. Namun begitu kerja-kerja kotor dan busuk sentiasa dilakukan oleh tangan kiri dengan penuh keihkhlasan tanpa sebarang rungutan. Namun, sebagai tanda penghargaan, tuan punya badan akan memakaikan tangan kiri dengan cincin, jam dan gelang. Amat janggal jika ada individu yang memakai benda-benda tersebut di sebelah tangan kanan.

Nampak sangat wujudnya penghargaan pada pihak kiri dan wujudnya kerjasama antara pihak kiri dan pihak kanan. Kadang kala peranan golongan kiri ini adalah penting. Kebiasaannya hati mereka ikhlas untuk menyuarakan sesuatu. Tidak ada kepentingan sebaliknya. Tak payah beri pingat setia kerana mereka akan sentiasa setia. Golongan kanan tak tentu lagi keikhlasannya. Dalam konteks silat bukankah prinsip kerjsama antara kiri dan kanan boleh kita jadikan sebagai bahan utama untuk menyemarakkan lagi perkembangan SC. Orang yang jujur menjalankan tugas patut diberi anugerah walaupun mengeluarkan kata-kata yang mungkin menyakitkan hati. Tapi mereka adalah manusia ikhlas. Merekalah golongan yang sentiasa beristiqamah dan tetap hala tujunya. Mereka juga sanggup menghadapi segala dugaan dan rintangan.

En Mat ada menegaskan betapa pentingnya kita sanggup menghadapi dugaan dalam memperjuangkan SC. Kalau kita menghadapi bermakna kita telah menjangka dugaan yang berlaku tersebut. Oleh itu kita perlu menyusun strategi bagi menghadapi dugaan tersebut. Janganlah kita bersifat emosional. Untuk menghadapi dugaan-dugaan tersebut maka kita mestilah berada di pihak yang benar. Baharulah usaha-usaha kita itu berbaloi. Di manakah kita berada sekarang. Kalau pilihan ini tidak tepat maka bagaimana kita boleh menghadapi dugaan tersebut atas prinsip kebenaran.

Dalam konteks silat, saya yakin telah berada pada pihak yang benar. Saya mula mencaburi SC pun atas sifat mencari kebenaran. Saya sanggup berjumpa Ustaz beradu pendapat semata-mata untuk mendapatkan kebenaran. Saya terus memperjuangkan SC atas matlamat kebenaran. Malah saya sanggup ‘bertry’ bagi mendapat kebenaran. Setelah kebenaran diperoleh maka adalah menjadi tugas saya untuk terus berada dalam kebenaran dan mempertahankan kebenaran yang ada itu. Dalam sambungan seterusnya saya akan bincangkan fahaman kiri yang dilemparkan kepada saya. Tapi saya puas. Sekurang-kurangnya kerana fahaman itulah saya masih berada di pihak yang benar. Orang yang mendakwa dirinya orang kanan, merekalah haprak pertualang silat - SC.
Sekian setakat ini.

Monday, August 17, 2009

AHLI SILAT ATAU AHLI PERSATUAN

AHLI SILAT ATAU AHLI PERSATUAN.

Hakikatnya konsep ahli silat dengan ahli persatuan adalah berbeza. Sepanjang saya bersama Ustaz, Allahyarham tidak pernah mengumumkan bilangan ahli SC. Berbeza dengan silat-silat Melayu lain yang megah mengumumkan bilangan ahli yang beratus-ratus ribu. Akhirnya mereka terperangkap dalam mesyuarat PESAKA apabila Ustaz mencadangkan yuran keahlian Pesaka berdasarkan bilangan ahli.

Apabila kita menerima borang dan mengisi butir-butir peribadi, setelah diluluskan oleh satu jawatankuasa dalam mesyuarat maka kita didaftar sebagai ahli persatuan silat tersebut. Sebaliknya untuk menjadi ahli silat maka kita perlu melalui atau menerusi proses adat dan adab yang ditetapkan. Kebanyakan prosesnya tidak bertulis. Ijazah perlu diikuti dan akhirnya kita akan dimandikan dalam acara penamat silat. Tapi ramai yang menyangka bila tamat maka tamatlah kegiatan dan menghaibkan diri. Tak pernah jumpa-jumpa lagi dalam kelas silat.

Kalau ada orang yang bertanyakan kita apakah tujuan kita bersilat maka pada saya jangan lupa skop perbincangan kita tersebut. Adakah isi percakapan kita berdasarkan minat menjadi ahli persatuan atau sebenarnya berminat menjadi ahli silat. Kedua-dua konsep ahli tersebut adalah sangat berbeza.

Jikalau kita mementingkan sebagai ahli persatuan maka kita akan menumpukan perhatian pada peraturan-peraturan yang wujud hasil daripada penubuhan persatuan tersebut. Keputusannya adalah secara demokrasi melalui mesyuarat agung atau mesyuarat perwakilan. Peraturan yang dinyatakan dalam perlembagaan tak boleh diubah melainkan dalam mesyuarat agung dengan kuota-kuota tertentu. Tulisan peraturan tersebut membolehkan ramai ahli membuat tafsiran. Maka timbullah pertengkaran sesama ahli untuk menegakkan pendapat masing-masing.

Jika kita mementingkan pengenalan sebagai ahli silat maka adat dan adab adalah merupakan sumber rujukan. Kebanyakan adat dan adab ini tidak bertulis tapi telah diterima pakai dan berlangsung dari satu jenerasi ke satu jenerasi yang lain. Adat dan adab ini tidak susah untuk dilaksanakan. Jarang ada perbahasan tentang tafsirannya. Hal ini demikian kerana ketua adat mempunyai kuasa mendatori untuk mentafsir atau melakukan perubahan. Itu sebabnya kerap kali kita lihat guru dalam SC boleh menyesuaikan kehendak-kehendak adat mengikut situasi semasa. Maka adat dan adab tersebut adalah lebih anjal. Berbeza dengan peraturan persatuan yang mengongkong daya fikir kita hingga menjurus ke arah putar belit dengan cara memberi pelbagai alasan untuk mencapai niat di hati.

Sebagai ahli silat kita mementingkan aspek keberkatan guru. Keberkatan adalah sesuatu yang sukar diterangkan melainkan seseorang itu dapat merasainya sahaja. Umpama gula yang manis. Manisannya tidak boleh diterangkan melainkan dirasai sendiri oleh individu tersebut. Keberkatan ada kaitannya dengan kemenjadian. Sesuatu gerak itu tidak akan menjadi melainkan atas kehendak Yang Empunya Gerak. Di sinilah keberkatan guru memainkan peranan penting. Jika kita menitikberatkan keberkatan guru maka guru yang ada biarlah guru yang sebenar-benar guru. Walaupun ada karektor tentang konsep sebenar guru, tetapi yang penting guru yang terlantik itu mempunyai punca kuasa atas lantikannya. Maknanya pelantikannya adalah sahih dan sah. Kesahihah dan kesahan pelantikan guru tersebut erat kaitannya dengan mandat daripada guru yang terdahulu. Kebiasaannya mandat yang ada erat kaitannya dengan keturunan dan warisan dan bukan umumnya daripada masyarakat.

Dari segi adat dan adab kita menerima hakikat pelantikan secara itu. Oleh itu kalau kita benar-benar ingin menjadi seorang ahli silat, titik beratkan soal ini. Kalau setakat tak kisah sebagai ahli persatuan maka kita tak kisah siapa gurunya. Konsep lantikan berdasarkan suara ramai atau berdasarkan badan khas semuanya terikat dengan persatuan dan tertulis dalam perlembagaan. Tugas sebagai guru menjadi terbuka. Maka samalah tarafnya dengan seni bela diri yang lain hatta ada persamaannya dengan seni bela diri yang diimport dari luar negara.

Pada ahli persatuan, siapapun boleh dilantik bersandarkan suara ramai. Keturunan guru tidak menjadi penting. Di samping itu soal keberkatan tidak lagi menjadi pokok utama. Yang penting bagi mereka ialah kefahaman dan latihan yang bersungguh-sungguh terutama melalui kursus-kursus yang dianjurkan dari masa ke masa. Pelantikan guru hanyalah memenuhi keperluan dan tidak begitu diambil berat. Guru tidak berkuasa bagi menentukan hala tuju silat. Yang pentingnya ialah sokongan ahli secara sulit atau secara angkat tangan. Lama-lama pasti akan muncul politik wang dan hubungan. Pengaruh boleh dijual beli. Kehebatan guru bukan berdasarkan kebolehan silat tetapi berdasarkan hubungan. Oleh itu jika kita mementingkan aspek keberkatan dalam pembelajaran silat maka beratkan pada pelantikan guru yang layak. Layak di sini ialah guru yang telah menerima mandat.

Sebagai ahli silat, kita mempunyai banyak kebebasan untuk berfikir dan bertindak. Semua ini berlaku kerana tidak ada undang-undang atau peraturan-peraturan bertulis. Secara langsung kita mempunyai kebebasan berfikir dan bertindak. Risikonya adalah kurang. Habis kuat, kita akan dimarahi oleh guru atau dinasihati oleh guru yang bertindak sebagai pelindung adat dan adab tersebut. Hal ini agak berbeza jika dibandingkan sebagai ahli persatuan. Kita perlu mematuhi peraturan yang diterima pakai. Keengganan mematuhi peraturan akan menyebabkan kita boleh dikenakan sesuatu tindakan. Itu sebabnya kita sering mendengar berlakunya pemecatan atau tindakan pergantungan ke atas ahli. Semuanya atas sifat kita sebagai ahli persatuan. Sebagai ahli silat, mana pernah guru memecat keahlian melainkan tidak mengiktirafnya sebagai murid. Tapi keistimewaan murid itu memperoleh ilmu tidak boleh ditarik balik. Ilmu yang ada tetap berada dalam dadanya. Namun begitu jangan lupa akan konsep keberkatan. Itulah keistimewaan yang hakiki yang tidak boleh dijual beli.

Kalau kita menentukan penglibatan kita sebagai ahli silat maka fokas kita terhadap silat adalah lebih jelas. Aktiviti kita dalam SC juga berfokas pada kegiatan silat. Kedudukannya dalam persatuan hanya menjadikan persatuan sebagai alat untuk mengembangkan silat. Hal ini berbeza dengan ahli persatuan yang berfokaskan persatuan. Banyak cabang yang menyebabkan mereka perlu berfikir. Puncaknya ialah merebut jawatan. Untuk mendapatkan jawatan mereka perlu menyusun pelbagai strategi. Mendapat jawatan bermakna ada kedudukan. Mereka yang tidak mempunyai pegangan yang kukuh akan menjadikan kedudukan itu sebagai batu loncatan bagi menyebarkan pengaruh. Akibatnya tumpuan kepada silat semakin kurang. Dunia glamour semakin mendapat tempat. Kedudukan juga adalah kuasa. Orang yang berkuasa akan berusaha untuk mempertahankan kuasa. Bila kuasa hilang maka mereka akan berusaha untuk mengembalikannya. Maka tersebarlah politik silat dalam SC. Itulah salah satu punca pecah belah dalam silat.

Saya menulis dalam ruangan ini oleh sebab dalam SC terdapat dua haluan yang berbeza. Satu haluan benar-benar berfokaskan silat dan perjuangannya dan satu haluan lagi menghabiskan masa dengan peraturan-peraturan persatuan dan sanggup melemahkan perjuangan silat itu sendiri. Soal adat dan adab bukanlah menjadi sumber rujukan utama mereka. Sumber rujukan utamanya ialah peraturan yang terkandung dalam perlembagaan. Peraturan ini sanggup digunakan untuk membantutkan sebarang kegiatan silat yang difikirkan tidak sesuai pada pandangan mereka.

Apabila ada ahli yang bertanya pada saya tentang kedudukannya dalam persatuan yang berbeza, maka saya akan beri mereka untuk membuat pilihan sama ada mementingkan kemenjadian sebagai ahli silat atau mementingkan kemenjadian sebagai ahli persatuan. Kalau mementingkan silat maka kita perlu nyatakan tentang keperluan mementingkan asal usul guru yang membawa silat tersebut. Kalau sebaliknya, buatlah apa yang patut.

Sekian dan terima kasih.

Monday, August 10, 2009

SEBALIK AMALAN MANDI

Kebiasaan silat Melayu, ahlinya akan mandi silat dahulu sebelum turun ke gelanggang. Mandi silat dikatakan satu kaedah pengiktirafan murid oleh gurunya. Ada yang bernasib baik kerana melalui mandi yang pertama ini akan memberi isyarat kepada gurunya untuk menjadikannya anak angkat. Setelah mandi, sebelum memulakan latihan, terdapat pelbagai kaedah membuka gelanggang. Ada yang perlu membaca sesuatu sama ada ayat-ayat tertentu atau jampi mentera dan ada yang menyeru bumi dan langit untuk memohon kebenaran memulakan langkah. Suasana syarat pembelajaran yang sebegitu telah menyebabkan masyarakat kita mempersoalkan adat-adat yang dianggap menyeleweng. Hal ini menyebabkan sebilangan besar kalangan masyarakat kita berasa takut dan melarang anak-anak mereka belajar silat. Ada yang mendakwa takut gila Isim atau takut berkaitan dengan jin atau hantu jembalang atau amalan-amalan yang menyanggahi agama kita. Ramai juga kalangan masyarakat yang memandang rendah akan ilmu silat, walaupun dikatakan ilmu silat ini adalah hak masyarakat.

Kita dapat rasakan perbezaan dalam upucara penerimaan ahli dalam SC. Mereka yang menuntut SC pada dasarnya diterima sebagai ahli persatuan tapi pada hakikatnya sebagai ahli silat belum tentu. Setelah memahami gerak SC baharulah ‘diiktiraf’ dalam mandi potong sebagai ahli yang boleh menguasai pelajaran SC seterusnya. Itu sebabnya mereka yang ghaib sebelum masuk pelajaran potong, tidak mendatangkan masalah kepada kita dalam konteks pembelajaran SC. Pelajaran yang dipakai tidak mendatangkan kesan kepada mereka. Pelajaran potong akan dapat memintas segala pelajaran mereka yang ada. Itu sebabnya juga mereka yang berhenti sekerat jalan, kita katakan tidak ada rezeki atau tidak ada habuan.

Mereka yang pernah menuntut silat Melayu, ketika mempelajari SC akan dapat merasai beberapa pelakuan yang di luar daripada kebiasaan silat. Kadang kala semacam tidak puas dek mudahnya mempelajari SC. Hal ini demikian kerana dalam SC, kita menekankan betapa SC menentang unsur-unsur khurafat yang bertentangan dengan agama dan kita menegaskan betapa pelajarannya adalah dalam dunia sedar tanpa ada jampi serapah atau mentera-mentera yang membolehkan kita menjadi handal. Malah kita juga ditegaskan tiada baca-baca sebagai amalan untuk mendapatkan ilmu dengan cepat. Silat kita berdasarkan pergerakan yang nyata dan berasaskan pergerakan dua tangan dan dua kaki. Tidak ada pelajaran pintas melainkan kena turun kelas untuk mengikuti pengajian silat sepenuhnya. Setelah tamat silat, baharulah kita diberi beberapa petua yang dikira formula atas satu-satu perkara.

Kalau adapun ayat-ayat yang disuruh baca, maka kita disaran supaya menjadikannya sebagai amalan tanpa mengharapkan sesuatu di sebaliknya. Ustaz pernah menegaskan betapa tahap kita umpama hamba yang melakukan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau upahan. Malah tidak boleh atau tidak bermimpi pun untuk mendapatkan upah. Mereka yang melakukan sesuatu kerana upah, tahapnya adalah kuli. Pada kita, mengamal ayat maknanya memahami tujuan dan pengertian ayat-ayat tersebut dan aplikasikan dalam kehidupan diri. Jangan harapkan sesuatu pulangan seperti yang dinyatakan di atas. “Tahap kita adalah tahap hamba dan bukannya tahap kuli.” Itulah kata-kata Ustaz yang tidak mudah saya lupakan.

Walaupun ada amalan tidur atas kain putih atau mandi bersama kain putih, amalan-amalan tersebut tidak pernah dikuatkuasakan pada ahlinya. Tidak adapun pegawai khas untuk mempastikan penuntutnya mesti melakukan perbuatan tersebut. Pada adatnya, kalau tidak dilakukan perbuatan mandi bersama kain putih pun, maka pelajaran fizikal yang ada tidak mudah luput atau hilang begitu saja bersama angin. Rajin berlatih, ada kesannya. Malas berlatih pun tetap ada kesannya. Bukannya kerana mandi maka hal-hal ingat atau lupa itu boleh terjadi dengan begitu mudah sekali. Malahan saya yakin dan percaya, ramai ahli yang telah tamat tetapi tidak melakukan amalan-amalan tersebut dalam SC. Alasannya pelbagai. Cuma kita tegaskan kepada mereka yang telah tamat betapa perbuatan mandi silat tersebut perlu dilakukan. Kadang kala kita boleh kaitkan amalan itu dengan aspek keberkatan. Tapi syaratnya guru mesti betul dan bertali dengan guru sebelumnya. Tali ini dilambangkan melalui mandat. Pada mereka yang mempercayai bahawa mandat itu hak masyarakat, maka lagi banyaklah keberkatan mereka daripada pelbagai golongan masyarakat. Termasuk keberkatan daripada golongan masyarakat hindraf.

Tapi bagi diri saya sendiri, perbuatan yang disuruh oleh guru, ada kaitannya dengan konsep kesungguhan. Kalau kita bersungguh banyak yang kita dapat. Kesungguhan juga erat kaitannya dengan menurut arahan daripada guru dalam konteks persilatan. Dari sudut psaikologi, kalau arahan dan suruhan guru dituruti maka mudahlah ditambah ilmu yang ada dalam SC. Tapi kalau mandipun malas dibuat, nampak sangat tidak ada kesungguhannya. Bagaimana pulak guru dapat menambah pelajaran seterusnya.

Untuk mengaitkan sifat ahli yang bertukar atau perubahan sikap dalam kalangan ahli dengan mandi yang ada dalam SC, agak sukar saya ulas. Sepanjang saya berada dalam SC, saya pernah juga mendengar mereka yang dimandi oleh guru ada yang terlibat dengan pelbagai peristiwa pelik. Ada yang pengsan, ada yang tidak sedar diri dan pelbagai lagi peristiwa pelik. Saya sukar mengulasnya kerana saya tidak pernah ada di tempat kejadian semasa kejadian pelik-pelik tersebut berlaku. Setakat dengar cerita sahaja. Sepanjang saya diwakilkan guru untuk memandikan para penuntut yang tamat silat atau mandi potong, saya tidak pernah menghadapi peristiwa tersebut. Semua penuntut yang saya mandikan, berada dalam keadaan normal. Kadang-kadang berkata-kata juga hati ini. Betulkah cara mandian yang dibuat. Rasanya semua kaedah telah dituruti. Oleh itu sampai sekarang apabila ada ahli yang bertanya tentang power mandi yang berkait pada seseorang, saya sukar berbincang atau mengulas mengenainya. Tak minatpun untuk berbincang.

Satu ketika dahulu terdapat peristiwa yang ada kaitan dengan rakan saya yang sama-sama menuntut SC. Selesai tamat, fikirannya haru biru dan tidak keharuan. Tapi bukanlah berlaku sebaik sahaja mandi tamat. Prosesnya mengambil masa. Pernah kaum kerabatnya ‘menyerang’ Ustaz di rumah persatuan Jalan Putera. Ustaz dikatakan membawa ajaran sesat hingga menyebabkan rakan saya tersebut tak tentu arah. Saya masih ingat lagi bagaimana Ustaz membuktikan bahawa SC bukanlah sejenis silat yang bergantung pada benda-benda ghaib tanpa berpijak di bumi nyata. Malah Ustaz sendiri menunjukkan baju kot yang banyak dimilikinya bagi membuktikan fikirannya adalah modern bukan seperti yang disangkakan oleh keluarga rakan saya tersebut. Saya difahamkan bahawa kecelaruan fikirannya berlarutan hingga akhirnya terpaksa melepaskan jawatan kerajaan dan meninggal dunia ketika usia muda. Walaupun Ustaz berkali-kali memandikannya tapi sifat dan sikapnya tidak berubah.

Saya tidak begitu berminat membuat komen kerana pengalaman saya yang kurang dalam bidang ini. Tapi setahu saya, mengenangkan rakan saya tersebut mungkin ada faktor-faktor lain yang sangat berkaitan dengan gejala yang berlaku. Ketika Ustaz membuat syarahan atas tajuk mengenai taat pada kedua ibu bapa, sahabat saya menggenang air mata. Tiba-tiba beliau berdiri dan menuju kepada Ustaz sambil menghulurkan tangan dengan kata-kata, ”Saya banyak bersalah pada kedua ibu bapa saya”. Semua orang tergamam dan saya pun tersentak pada ketika itu. Sejak itulah sifatnya bercelaru. Apakah hal-hal yang berada di sebaliknya. Tapi yang pastinya bukannya kerana mandi tamat tapi tentunya ada hal-hal yang lain. Cukup setakat ini perbincangan saya mengenainya.

Ada ahli yang bertanya kepada saya. Sejauh manakah mandi silat dapat membersihkan amalan karut marut yang ada dalam diri kita. Saya sukar menjawabnya. Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu karut tersebut. Mungkin ada kaitan dengan amalan-amalan yang bercanggah dengan agama kita. Atau amalan-amalan yang bercanggah berkaitan dengan jin. Tapi saya diyakinkan bahawa dengan cara mandi maka ilmu-ilmu yang karut tersebut boleh terhapus. Difahamkan bahawa dalam masa inilah si pengamal tersebut akan menemui pelbagai dugaan. Jikalau jin yang berkenaan jenis degil maka penuntut silat tersebut akan lama sasaunya dan memerlukan bantuan untuk menyembuhnya. Jika jenis jin haprak, dengan sekali mandi ilmu karut tersebut mudah dikeluarkan.

Dalam hal ini saya tidak mengambil berat untuk dijadikan tajuk perbualan bersama penuntut silat yang saya didik. Biarlah guru yang membincangkannya. Saya lebih menumpukan perhatian pada gerak fizikal dan gerak luaran mereka. Jika ada penuntut yang bergelang atau berantai atau bersubang pada pemulaan kelas maka saya akan pastikan setelah tamat nanti, semua tabiat tersebut akan hilang. Fikiran yang senget, akan cuba dicentrekan. Tak payah tunggu masa mandi tamat maka tabiat tersebut akan hilang. Setakat ini saya berjaya.

Menyentuh soal mandi, sepanjang yang saya tahu dan ingat ada dua hal yang berkaitan dengannya dan masih dalam ingatan saya. Saya berpengalaman dalam kedua-dua perkaitan tersebut.

Pertamanya ketika saya baru berkecimpung dalam SC, ada diberitakan betapa seorang ahli daripada silat lain yang terkenal dengan ilmu megahnya hilang ilmunya itu dek kerana mandi tamat SC. Sebelum ini beliau dikatakan berkebolehan ditanam hidup-hidup tanpa mendatangkan kemudaratan pada diri. Satu lagi kelebihannya ialah dikatakan rambutnya tidak putus dikerat dengan apa jenis senjata tajam termasuk razor blade. Difahamkan jika hendak menggunting rambut, perlu dibuka “kunci” terlebih dahulu bagi membenarkan rambutnya digunting atau dipotong. Maknanya kekebalannya sangatlah hebat. Saya difahamkan juga, selepas mandi silat, ilmu tersebut hilang begitu saja. Saya sempat bertemu dengan orang tersebut. Dia pun ada menceritakannya tapi tidaklah saya tanya dengan lebih lanjut. Saya juga tidak begitu ambil pusing sangat dan tidak pernah mengwar-warkan kelebihannya pada para penuntut saya. Yang pastinya mana pernah saya kerat rambutnya dan mana pernah saya tanam tubuhnya. Tengok pun tak pernah.

Keduanya saya pernah mendengar syarahan daripada seorang doktor yang dijemput dalam satu majlis Jurulatih untuk membicarakan perkaitan mandi SC dalam konteks sains. Doktor tersebut merupakan ahli SC. Beliau merupakan salah seorang yang sangat dihormati oleh Ustaz. Menurutnya, ketika kita menggosok-gosok kulit di badan atau mana-mana anggota, sebenarnya gosokan kita itu membentuk satu lapisan yang boleh dianggap sebagai pelindung diri. Lapisan itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar tapi lapisan ini boleh menjadi pelindung dengan cara memberi isyarat kepada kita sebelum sesuatu serangan itu sama ada serangan tangan atau kaki atau senjata dapat memudaratkan tubuh badan kita. Serangan-serangan itu akan melalui lapisan yang terbentuk itu terlebih dahulu dan boleh mengarahkan kita supaya kita yakin dan cepat bertindak. Hebat sungguh khasiat mandi kita. Kadang kala membuatkan saya terfikir untuk mengaitkan konsep tersebut dengan gerak mata hati.

Untuk pengetahuan semua, satu ketika beliau pernah dilantik sebagai ahli MMT. Saya masih ingat lagi betapa beliaulah yang membawa satu bungkusan yang dikepit semasa mesyuarat MMT bagi menentukan kedudukan guru. Saya tertanya-tanya akan kandungan bungkusan tersebut. Semasa mesyuarat, beliau mengatakan ada hal mustahak yang menyebabkan perlu berundur lebih awal. Rupa-rupanya, dikeluarkan Al-Quran daripada sampul yang dikepitnya dengan menegaskan bahawa beliau akan mempercayai En Mat jika En Mat sanggup bersumpah atas Al-Quran yang dibawanya. Setelah En Mat bersumpah, beliau berasa puas hati dan beredar daripada tempat mesyuarat. Tapi entah macam mana boleh berubah pendapat. Apa punya manusia. Buat apa la teruk-teruk bawa Al-Quran. Akhirnya tak pakai pulak. Cakap orang lain yang tak dipakai pada awalnya, akhirnya dipakai pulak. Itu juga mungkin hasil pelajaran SC. Pakai tak pakai dan tak pakai akhirnya pakai.

Dulu saya selalu kaitkannya sebagai penambah ilmu berkaitan dengan mandi. Tapi sekarang saya bayangkan sifat kartun pada dirinya. Tapi kerana tulisan ini, saya kaitkan juga diri beliau dengan ceramahnya mengenai mandi. Para pembaca fikirlah sendiri tentang kebenarannya. Bolehlah tanyakan beliau sekali lagi. Tapi jangan-jangan dah berubah konsepnya. Pakai tak pakai. Tak pakai, pakai. Agaknya.

Saya sangat berpendapat bahawa fikiran yang bercelaru setelah mandi erat kaitannya dengan tabiat kita yang sedia ada. Namun begitu saya tidak menafikan bahawa mandi yang ada dalam SC membawa banyak maknanya. Setakat ini saya kurang minat membincangkan aspek tersebut. Guru lebih memahaminya dan biarlah hak guru untuk membincangkannya. Apa yang penting pada saya ialah apa yang saya dapat hasil daripada pelajaran mandi dalam SC. Banyak perkara yang saya dapat. Sama ada psikologi atau tidak, kalau saya letih dan kurang bersemangat maka saya akan mandi. Tapi mandi saya berserta niat dan praktikal sesuai dengan konsep mandi silat. Mandi tetap mandi.

Banyak faedah pada diri. Kalau mandi pasti berkait dengan bacaan. Sekurang-kurangnya bacaan Bismillah. Tak akan sampai hati kita membaca ayat-ayat tersebut dalam keadaan kita berbogel. Secara langsung ada kain basahannya menutupi anu kita. Selesai mandi kain basahan tersebut akan diperah sebelum disidai di mana-mana tempat. Sekurang-kurangnya ada juga exercise. Badanpun boleh sihat. Itulah ceritanya sebalik amalan mandi pada tafsiran diri saya.

Sekian setakat ini.

Thursday, August 6, 2009

HASRAT GURU

Saya dapat SMS daripada seorang ahli menyuruh saya baca akhbar Utusan Malaysia 5 Julai, muka 24 tentang temuramah akhbar berkenaan dengan Guru Utama. Saya hubungi si pengirim SMS tersebut bertanyakan perkara utama yang dibincang. Beliau menjawab, ”belum baca lagi.” Laaa! Macam mana suruh orang baca kalau diri pun tak baca lagi. Konsep ’cakap serupa bikin’, ’jangan sampaikan sesuatu kalau diri tak sampai’ dan banyak lagi konsep telah wujud dalam SC dan cuba ditanam dalam kalangan ahlinya. Cuma yang pentingnya adakah ahli tersebut boleh berfikir ataupun tidak. Adakah mereka boleh memahaminya atau tidak. Atau adakah mereka umpama daun keladi. Hanya setakat tahap menggatal tapi gagal menyekat air apabila dicurah ke atasnya. Bak kata pepatah Melayu, ’ Ibarat mencurah air di daun keladi.’

Esoknya saya pergi di tempat pembacaan dan sempatlah membaca ruangan berkenaan. Setelah membaca, banyak perkara yang boleh dibincangkan. Sekurang-kurangnya saya boleh tafsirkan empat isu penting yang boleh kita ambil berat daripada ruangan berkenaan.

Pertamanya melalui siaran akhbar berkenaan, En Mat masih diiktiraf sebagai Presiden oleh akhbar berkenaan. Akhbar itu telah memetik kata-kata En Mat sebagai Presiden PSSCUHM. Secara langsung En Mat ialah Presiden sah SC. Hal ini semestinya memberi kelegaan dan kepastian pada ahli-ahli SC. Namun, ruangan tumu bual tersebut boleh juga memberi tamparan yang hebat pada mereka yang mendakwa masih menerajui SC ketika ini selain daripada Guru Utama yang hakiki. Rupa-rupanya dakwaan bahawa mereka masih menguasai SC setelah menyingkir Guru Utama adalah tidak mutlak. Alangkah rugi dan sia-sia atas perbuatan peyingkiran tersebut yang menyebabkan kegemilangan SC sedikit tercemar dan dipandang serong oleh masyarakat. Begitu mudah dan megah membuka aib diri orang semata-mata inginkan hasrat diri tercapai. Tapi tak kesampaian juga.

Nampak sangat ruginya SC dalam proses pengembangannya. Tapi itu kata kita. Puak-puak yang enggan berundur daripada SC mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Pada mereka SC perlu diilmiahkan. Fahaman ini berlarutan sekian lama sejak zaman PA lagi. Apabila wujud pepecahan, kesempatan yang bijak pada anggapan mereka, telah diambil dengan menubuhkan akademik silat. Bernaung di bawah syarikat maka akan memudahkan kerja-kerja berkepentingan. Bijak juga kerja mereka. Kalau persatuan menyingkir mereka, syarikat silat masih ada untuk membelanya. Silat bertaraf akademik dan persatuan bertaraf syarikat. Gurunya tidak ada. Sesuailah dengan prinsip mereka iaitu SC adalah hak masyarakat. Guru yang ada pada mereka berperanan utama sebagai alat perayaan sahaja. Tugas rasminya hanyalah duduk atas sajadah mengijazahkan penuntut yang ada. Soal lain, pegawal eksekutifnya ada. Gelarannya pelbagai. Gelaran General Manager besar juga pangkatnya. Gelaran Ketua Eksekutif lagi mulia daripada guru mereka yang ada. Sungguh hebat glemornya.

Kedua, En Mat menekankan, ”Silat bukan sekadar seni bela diri yang mana melaluinya terdapat pelbagai pengajaran, pembelajaran dan elemen modal insan yang dapat membentuk jati diri setiap penuntutnya.”

Perkara penting yang ditekankan ialah pembentukan modal insan. Modal insan adalah berkaitan dengan manusia. Dalam konteks SC, modal insan boleh dirujuk pada mereka yang sedang berkecimpung dalam SC. Saya telah banyak membincangkan betapa SC telah berusaha membangunkan modal insan yang perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni sebagai penuntut silat. Dalam tulisan-tulisan yang lalu saya rajin menulis betapa kualiti para penuntut SC perlu dibentuk dan dibaja terutamanya melalui peranan Jurulatih.

Penekanan dalam pembagunan modal insan ini akan membolehkan ahli-ahli SC memupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengetahuan, menyerap nilai berasaskan adat dan adab dan bersikap positif serta membina disiplin diri dalam kalangan ahli. Peranan Jurulatih amat ketara. Mereka perlu meningkatkan keupayaan dan minat para penuntut untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada dalam SC. Di samping itu mereka perlu membentuk keterampilan dan keperibadian para penuntut. Sekurang-kurangnya dengan cara berpakaian kemas dan pergaulan yang matang antara sesama ahli, dengan Jurulatih atau dengan guru sendiri.

Satu lagi perkara yang penting ialah penilaian atas para penuntut setelah sekurang-kurangnya enam bulan mengikuti kurus SC. Kita perlu memantapkan dan memperbaharui sistem penilaian atas para penuntut kita sama ada di peringkat rendah atau menengah. Mereka yang mendapat sijil adalah sepatutnya terdiri daripada ahli yang boleh bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya bertanggungjawab untuk menjaga diri sendiri. Pingat atau sijil yang kita keluarkan biarlah benar-benar memberi makna pada pemberi dan pada penerima. Kalau berjasa, biarlah benar-benar ikhlas jasanya. Kalau setia biarlah sampai sepanjang hayat kesetiannya. Macam mana nak tahu!. Jawapannya, bukankah dalam SC banyak sangat ilmu mengenainya.

Isu yang ketiga ialah En Mat telah menetapkan dasarnya, “Pada 2015, PSSCUHM akan mengadakan perhimpunan raksaksa yang mana dianggarkan seramai 50,000 pesilat dari seluruh negara akan hadir.”
“Kumpulan sasaran PSSCUHM adalah golongan remaja dan belia dari peringkat umur 13 hingga 40 tahun yang mana merupakan generasi penting bakal menerajui negara pada 2020 kelak.

Kata-kata itu membawa dua makna. Pertama tumpuan kita pada pelajar-pelajar muda di sekolah untuk mempelajari SC adalah benar dan tepat. Kalau umur 13 tahun biasanya pelajar itu sedang berada dalam Tingkatan Satu atau Tingkatan Dua. Oleh itu pengambilan penuntut sejak Tingkatan Satu lagi perlu diambil kira dan diberi penekanan. Cuma cara pembelajarannya boleh disusun agar bersesuaian dengan tumbuh besar pelajar-pelajar tersebut.

Seiring dengan itu, peranan orang-orang kanan En Mat adalah penting untuk menjadikan harapan Guru pada tahun 2015 menjadi kenyataan. Mereka perlu merangka strategi bagi madsud tersebut. Untuk menghimpunkan 50 ribu penuntut silat memerlukan perancangan dari sekarang. Tentukan strategi pelaksanaan dengan tersusun dan tepat. Seboleh-bolehnya dalam minggu ini, perkara tersebut mula dibincangkan.

Isu yang keempat seperti yang dinyatakannya, “.....di samping menonjolkan kepimpinan dan ketuanan kaum Melayu itu sendiri.”

Kalau Melayu menjadi perkara utama, maka sesuatu yang berkaitan dengan Melayu terutamanya dalam konteks silat, maka perlulah kita beratkan sifat-sifat Melayunya. Orang Melayu kaya dengan adat dan adab. Hinggakan dalam silat Melayu pun adat dan adab menjadi rujukan utama. Oleh itu kita memerlukan sikap mementingkan adat dan adab yang merupakan budaya orang–orang Melayu yang perlu bersepadu dengan sikap dan tindak tanduk kita dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana kepentingan adat dan adab dalam silat Melayu adalah penting dan perlu dipentingkan.

Jadi, bagaimanakan pelajaran adat dan adab ini boleh diberi keutamaan dalam SC. Mungkin para pemimpinnya boleh menyusun strategi bagaimana kita boleh menanam konsep adat dan adab dalam pengetahuan ahli. Hal ini meliputi hubungan guru dengan murid, sesama murid dan sebagainya. Perkara yang lebih penting ialah adat pelantikan guru yang sangat berkait rapat dengan istilah mandat, waris dan sebagainya. Semua konsep ini penting untuk ditanam dalam jiwa para penuntut SC.

Kita perlu mengorak langkah baru. Semua pihak, pelbagai lapisan dalam SC perlu melangkap sederap bagi menyusun peranan untuk terus memajukan SC. Semoga kita tetap berjaya.

Sekian setakat ini.

Wednesday, August 5, 2009

MEMBINA KEYAKINAN

Kalau kita mempunyai hala tuju dan pegangan yang mantap, memudahkan sifat keikhlasan bertapak dalam diri kita. Sama ada ikhlas atau tidak, orang luar tidak boleh mentafsir. Kita yang lebih tahu tentang keikhlasan kita. Dan kita juga tidak perlu menyatakan kepada orang lain bahawa kita bersifat ikhlas. Yang penting ialah kita tidak menipu diri kita tentang sifat ikhlas yang ada dalam diri kita. Sifat ikhlas amat penting terutamanya semasa kita menurunkan ilmu SC dalam kalangan penuntut. Pelajaran yang hendak disampaikan akan lebih ’menjadi’ jika kita bersifat ikhlas. Kalau diri kita bersifat ikhlas maka secara langsung prasangka buruk pada orang lain dapat dikurangkan.

Konsep kita ’mengajar’ silat bukannya umpama lilin yang membakar diri. Lagi lama kita mengajar SC maka sepatutnya lagi hebat dan lagi faham akan pergerakan SC.

Kita juga berkeinginan supaya para pesilat yang kita lahirkan adalah pesilat yang hebat. Tidak timbul soal mereka akan menyaingi kehebatan kita yang sedia ada. Lagi mereka hebat dalam pergerakan SC maka lagi kita suka. Itu akan memberi kepuasan pada diri kita kerana kehebatan mereka adalah juga kehebatan kita. Semuanya hasil usaha pemupukan ilmu yang kita curahkan. Sikap prasangka buruk dan perasaan curiga pada diri para penuntut akan lebih terkawal.

Jika ini terjadi maka secara langsung kita boleh membina keyakinan dalam kalangan pesilat. Banyak cara dapat kita lakukan untuk memupuk sifat berani. Salah satu caranya adalah melalui ujian. Dalam kalangan ahli, perkataan ujian lebih dikenali dengan perkataan test. Dalam tulisan ini, saya ingin menceritakan pengalaman tentang usaha-usaha yang pernah saya lakukan untuk membina keyakinan melalui kaedah ujian.

Prinsip membina atau membuat ujian adalah pelbagai. Kita boleh membina soalan atau gerakan yang tidak membolehkan orang membuatnya atau menjawabnya. Kita juga boleh berasa puas atau tidak puas hati kalau soalan yang diberi tidak boleh dijawab atau dibuat oleh orang lain.

Dalam konteks silat, kalau kita menumbuk, kita boleh memudahkan penuntut kita membuat jatuhan atau asas atau tangkisan. Kalau niat tidak membolehkan penuntut kita membuat tepisan atau jatuhan, juga boleh kita lakukan. Begitu juga dengan prinsip galakan. Kita boleh memotivasikan penuntut kita dengan memudahkan mereka membuat gerakan atau kita juga boleh merendahkan ego atau kebolehan mereka dengan cara menyusahkan gerakan mereka. Semuanya terpulang pada diri kita. Apakah tujuan kita mengadakan ujian atau test tersebut. Tetapi pada saya, bentuk ujian yang dilakukan adalah sebagai satu usaha untuk membina keyakinan dalam kalangan penuntut yang mempelajari SC di bawah kepemimpinan kita.

Ujian yang saya lakukan adalah dalam pelbagai bentuk dan peringkat. Selesai sahaja pelajaran kaedah, saya sendiri bersama jurulatih yang lain akan menumbuk para penuntut seorang demi seorang untuk melihat ketangkasan mereka mengambil kaedah. Lagi mantap tangkisan berdasarkan kaedah maka lebih laju dan keras penumbuk kita. Jika tersasul, kita akan mulakan kembali penumbuk dalam kadar yang lembut dan perlahan. Jangan beri mereka hilang keyakinan.

Ujian ini juga turut dilakukan setelah selesai buah asas; sebelum pelajaran buah jatuh diperkenalkan. Para pentuntut bukan sahaja perlu mantap mengambil buah, tapi juga perlu mengingati kedudukan buah-buah tersebut dalam senarai pelajaran.

Ujian juga belarutan setelah selesai buah jatuh, sebelum diperkenalkan buah potong. Akhirnya ujian yang penting ialah menguji penguasaan secara keseluruhan semua pelajaran yang telah disampaikan kepada para penuntut.

Pernah pada satu-satu ketika yang tertentu para pengujinya adalah mereka yang berasal daripada cawangan lain. Tidak timbul sebarang masalah sebab tidak ada apa yang hendak dibuktikan oleh para penguji melainkan membuktikan kehebatan para penuntut itu sendiri menguasai pelajaran yang kita sampaikan.

Kadang kala ujian yang dijalankan adalah sebagai satu usaha untuk menguji diri kita sendiri dalam keadaan yang sebenarnya. Ketika kita menumbuk, penuntut perlu membuat buah jatuh. Dalam pelajaran potong, apabila mereka pula menumbuk maka kita perlu membuat buah jatuh. Ketika mereka membuat jatuhan pada kita, kadang kala terasa betapa peritnya pukulan mereka apabila terlajak. Tapi kita menerima keadaan tersebut yang pastinya bukannya disengajakan. Kadang kala kita juga berasa sukar untuk membuat buah jatuh. Penumbuk mereka semacam sahaja dan pernah juga hinggap di dada. Itu tidak menjadi masalah. Yakinlah, bukan sengaja mereka berbuat demikian. Perasaan curiga tidak perlu ditimbulkan. Tak perlulah memarahi dengan kata-kata penumbuk yang tidak betul atau sebagainya. Hendak dikatakan jatuh maruah kita, juga tidak mungkin kerana bak kata pepatah, ”ular menyusur akar tak akan hilang bisanya.”

Sesuai dengan konsep diri kita bukannya lilin yang membakar diri, kelemahan kita akan mengingatkan kita supaya lebih berhati-hati dan lebih berwaspada serta jangan mengambil mudah atas satu-satu gerak. Menguji buah-buah umum dalam SC adalah lebih mencabar. Apa yang saya praktikkan ialah para pesilat perlu ’mengalahkan’ para Jurulatih yang membuat ujian tersebut tanpa tindak balas daripada Jurulatih secara keterlaluan. Saya dapat lihat betapa kaedah ini telah menambahkan keyakinan para penuntut silat yang kita lahirkan. Kalau kita berpegang pada konsep bahawa sekali Cekak menyerang, pasti menang, maka konsep ini perlu dilatih. Gerak silat penuntut kita perlu dihabiskan. Kalau niat pukulan pada gerak mereka, maka habiskan dengan pukulan. Kuat atau perlahan pukulan tersebut pada kita, nasiblah. Kita sebagai Jurulatih kenalah tahan sikit. Yang pentingnya gerak mereka ada penghujungnya. Inilah salah satu daripada keistimewan SC. Mulakan dengan ”A” pasti akan berakhir dengan ”Z”. Tak timbul gerak acah-acah atau gerak yang tiada kesudahannya.

Tapi malangnya dalam ujian siljil sebenarnya, kebebasan ini selalunya dihadkan. Pergerakan calon tidak habis. Ketika menunggu serangan daripada Jurulatih, jika para penuntut terlajak pukulannya maka dianggap cuba memukul atau mencuba Jurulatih dan pelbagai istilah lagi. Perkatan ”hoop-hoop-hoop atau sudah-sudah-sudah atau cukup-cukup-cukup” akan dijerit-jeritkan kepada mereka yang diuji. Begitu juga ketika penuntut disuruh menyerang. Kalau Jurulatih sendiri lemah kerana tidak dapat membuat buah-buah yang tertentu, silap-silap haribulan, para penuntut yang dimarahi dengan pelbagai alasan. Termasuk tumbuk tak betul. Sungguh melucukan kerana setelah berbulan-bulan berlatih silat maka penumbuk penuntut tetap tidak betul.

Maka lahirlah perasaan tak puas hati dalam kalangan mereka yang mengambil ujian. Sekurang-kurangnya tak puas hati kerana pelbagai tuduhan yang melulu dan tak tentu hala. Kepuasan mereka terhalang baik ketika menanti serangan atau ketika melakukan serangan. Motovasi dan keyakinan mereka mungkin meleset. Itu semuanya gara-gara Jurulatih yang tidak mempunyai kemampuan sepenuhnya untuk melakukan ujian.

Teringat saya akan peristiwa menguji pesilat untuk ujian sijil rendah di tempat saya. Setelah selesai ujian, beberapa jam kemudian, kedua-dua pihak bertukar-tukar fikiran bagi membincangkan bengkak di badan, di kaki atau di tangan. Kesemuanya tersenyum puas dan menceritakan bagaimana hal itu terjadi. Tidak timbul soal bermasam muka atau jatuhnya maruah atau sebagainya yang nagatif. Penuntut berpuas hati kerana dapat menunjukkan kehebatan dan pihak penguji berpuas hati kerana para penuntut telah dapat menunjukkan kehebatan hakiki. Kedua-dua pihak menaruh keyakinan dalam konteks yang berlainan.

Sekian setakat ini.