Tuesday, August 31, 2010

BUAH HENTAK.

Saya sangat suka dengan buah ini. Buah ini juga dikenali sebagai Keputusan Silat Harimau. Di mana letak gerak harimaunya. Saya pun tak pernah bertanya dengan sesiapapun. Tapi saya buat kesimpulan sendiri. Mungkin kalau kita lakonkan gerak tangan kanan dan tangan kiri, termasuk gerak kaki yang diangkat ke atas, maka rupanya pun hebat dan saya dapat hubungkan dengan gerak harimau. Saya buat andaian sendiri. Namun begitu, hal berkenaan bukan masalah perdu yang perlu dibahaskan. Di mana letak harimaunya maka fikirkan sendiri. Perkara pentingnya ialah penguasaan buahnya.

Jatuhan buah ini juga amat cantik kalau kena seni buatnya. Geraknya sangat laju dan sukar digambarkan oleh mereka yang menonton. Buah ini ringkas dan amat padat. Pengambilnya berkeadaan tenang menghadapi serangan. Bila diserang, umpama kilat musuh kecundang. Pasangan silat yang menyerang itu, tiba-tiba jatuh telentang di bumi. Para penonton sukar mengesan punca jatuhannya. Begitulah hebatnya buah Keputusan Silat Harimau.

Mengambil buah ini tetap memerlukan ketangkasan, kekemasan dan ketepatan. Tidak boleh teragak-agak. Hal yang demikian tersangat sesuai dengan makna hentak. Istilah hentak adalah bermaksud memijak dengan kuat. Perbuatan memijak dengan kuat itu merupakan kejutan. Pesilat yang ambil buah ini perlu bergerak dengan berani, yakin dan cekal. Tidak boleh teragak-agak. Perlu membuat keputusan dan tindakan segera.

Oleh itu saya menaruh keyakinan bahawa jika kita sering berlatih buah Hentak ini maka secara langsung sifat-sifat berani, yakin dan cekal yang saya sebutkan itu boleh disemai dan dipupuk dalam diri kita dari masa ke masa. Hari-hari mau. Sifat-sifat berani, yakin dan cekal akan membolehkan kita semakin hebat dan boleh bergaya dengan penuh keyakinan dalam SC.

Penekanan saya pada buah ini ada pada empat tempat. Pertamanya, siku kanan kita mesti berada pada ketiak pasangan kita. Keadaan siku itu, tersangkut pada bahagian tulang ’lubang’ ketiak. Perbuatan itu perlu dipastikan tepat, dalam keadaan tangan kanan kita terbuka kerana menolak tangan kanan pasangan. Mungkin pesilat akan menghadapi masalah apabila pasangannya bersifat geli. Walau bagaimanapun, Jurulatih perlu mencari jalan bagi mengatasinya.

Keduanya tangan kiri perlu memaut bahu kiri pasangan dalam keadaan siku tangan kiri itu rapat pada badan. Dalam konteks ini masalah yang timbul ialah tangan pesilat itu pendek dan badannya melebihi lemak. Siku tangan kirinya yang sepatutnya rapat ke badan pasangan, akan menarik badan pasangannya. Hal yang demikian akan menyebabkan jatuhan yang bakal dilakukan tidak dapat dibuat dengan sempurna. Bantu pesilat itu.

Ketiga, kaki perlu rapat ke bahagian belakang pasangan dengan kedudukan kaki itu tergantung pada pelipat. Perbuatan ini akan ’menyeksa’ pesilat yang berkaki pendek. Akan berlaku nanti, lutut kaki kanan pesilat itu terkeluar dari medan yang sepatutnya. Nampak buruk dan sangat mendukacitakan. Namun begitu, sekali lagi Jurulatih perlu mencari ikhtiar bagi mengatasi masalah tersebut.

Penekanan akhir yang penting ialah jatuhan secara hentakan yang dilakukan mesti secara serentak antara gerakan kaki, siku kanan dan tangan kiri. Serentak hala ke bawah. Kesemua empat gerakan yang saya tekankan itu, perlu dilakukan dalam proses yang berterusan. Mana dulu dan mana kemudiannya. Secara mata kasar, amat sukar dikesan. Tapi ada perbezaan.

Sebagai Jurulatih, kita perlu perhatikan sama ada buah tersebut menjadi atau tidak. Jatuhan yang benar menjadikan pasangan yang menyerang akan jatuh umpama ’nangka busuk’ jatuh ke tanah. Badannya secara automatik akan rapat dengan pembuat buah. Kalau pasangan yang membuat buah terpaksa melangkah ke depan untuk merapatkan diri bagi tindakan berikutnya, maka maknanya buah itu tidak menjadi. Jika lutut pasangan yang menyerang jatuh dahulu sebelum telentang maknanya juga buah tersebut tidak menjadi. Maka perlu diulang lagi.

Seperti yang saya nyatakan di atas, pengajaran buah ini akan bermasalah jika pesilat itu mempunyai tubuh badan yang melebihi had dan kaki serta tangannya pendek. Menyuruh pesilat itu ’mencuri’ langkah kaki kiri, pasti akan menyelesaikan masalah menurunkan buah tersebut. Namun begitu bagi maksud penguasaan buah Hentak, perbuatan mencuri langkah eloklah cuba-cuba dihindarkan. Oleh itu, sekali lagi ketika saya mengajar dulu, saya sendiri atau Jurulatih yang lain akan membuat tumbukan. Kita boleh menyesuaikan tumbukan kita bagi memudahkan pesilat kita membuat buah.

Kita perlu ingat bahawa tugas kita ialah memandu mereka bagi menguasai buah-buah asas dan jatuh. Permudahkan mereka bagi menguasai buah tersebut berdasarkan sukatan pelajaran. Kalau pun buah tersebut sukar dikuasai mereka bagi menentang musuh, banyak lagi buah-buah dalam SC yang dapat digunakan secara berkesan. Pelajaran perlu diikuti dan dikuasai. Maka permudahkan mereka untuk mencapai hasrat tersebut. Jurulatih juga perlu sensitif dengan sifat-sifat semula jadi yang ada pada penuntutnya. Sifat-sifat seperti penggeli, tangan pendek dan kaki pendek akan mempengaruhi kekemasan buah ini. Maka bantulah mereka agar mereka benar-benar dapat menguasai buah Keputusan Silat Harimau.

Sunday, August 29, 2010

KUNTAU KANAN GANTUNG.

Mempelajari buah Kuntau Kanan Gantung telah memahamkan kita lagi tentang maksud gerak kuntau dalam pembelajaran SC. Kecuali buah Kuntau Jatuh, lain-lain buah kuntau sama ada Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung serta Kuntau Kanan Gantung, kesemuanya memulakan gerak secara lembut. Kekuatan deria rasa amat mustahak sebelum bertindak dengan hebatnya. Mungkin kita dapat sesuaikan gerak-gerak tersebut dengan prinsip SC. Lembut tapi keras. Tenang tapi pantas. Orang yang berjiwa lembut rupa-rupanya ada kekuatan keras dalam pelbagai sudut di sebalik kelembutan yang ada.

Membuat asas buah Kuntau Kanan Gantung memerlukan pergerakan kedua-dua tangan dan kaki kanan kita. Geraknya lembut, tidak keras dan tidak kaku. Tapi bergantung juga pada penumbuk yang tiba. Kita perlu sedar bahawa amat mudah kita mengeluarkan arahan supaya kedua-dua tangan penuntut yang mengambil buah tersebut mesti lurus. Tangan kanan disuruh ke lengan dan tangan kiri disuruh ke bahu. Kalau kita tak cukup pengetahuan dan pengalaman, arahan tersebut akhirnya akan menyusahkan diri kita sendiri.

Kalau tangan diarahkan lurus, akan memungkinkan tangan penuntut umpama robot, kaku dan tidak ada kemudahlenturannya. Apatah lagi jika tangan penuntut kita pendek. Arahan meletakkan tangan ke lengan dan bahu pasangan mereka akan benar-benar menyusah dan menyeksa mereka. Oleh sebab arahan maka terpaksalah mereka lakukan juga dalam keadaan diri tidak stabil. Ketika mereka membuat buah pasti banyak kalilah Jurulatih menegur kelemahan mereka yang tidak mudah diperbaiki. Itu sebabnya pada penuntut jenis tangan pendek itu, sama ada saya atau Jurulatih perlu berperanan membuat tumbukan agar penuntut itu berupaya membuat buah asas dengan tepat dan lengkap. Hal yang demikian kerana kita sebagai Jurulatih boleh menyesuaikan gerak kita bagi membolehkan penuntut itu membuat buah atau menyusahkan mereka.

Buah kuntau Kanan Gantung memerlukan peranan kaki kanan untuk diletakkan di pelipat pasangan kita. Sekali lagi peranan kelembutan perlu diambil kira. Gerakkan kaki ke pelipat dengan lembut. Jangan disepak pelipat pasangan kita. Letak kaki ke pelipat seperti mana ketenangan kita meletakkan tangan di bahu dan siku.

Seperti Kuntau Kiri Gantung, kaki yang diletakkan di pelipat itu jangan mencangkuk pelipat pasangan. Luruskan kaki dan rendahkan lutut. Maka dalam hal ini, sekali lagi lihat bentuk tubuh badan penuntut kita. Jika kaki mereka pendek atau badan mereka terlebih lemak maka amat sukar bagi mereka menggunakan kaki untuk melakukan gerak asas Kuntau Kanan Gantung. Lebih-lebih lagi jika kita memberi arahan supaya menegakkan badan sambil bergantung pada badan pasangan kita. Arahan menegakkan badan akan menyeksa penuntut berkenaan. Kaki pendek pasti terpaksa membongkokkan badan. Kalau tidak berbuat demikian amat mustahil kaki penuntut berkenaan boleh diletakkan di belakang pelipat. Manakala arahan supaya badannya bergantung pada badan pasangan silatnya akan benar-benar menyeksa pasangan berkenaan. Terpaksa menampung berat guni beras yang boleh menyakitkan pinggang.

Oleh itu para Jurulatih perlu mempunyai budi bicara yang amat tinggi. Jangan syok sendiri. Semua arahan pasti akan dituruti oleh penuntutnya. Disuruh duduk, duduk dan disuruh berdiri, berdiri. Mereka tidak akan membantah. Seksaan yang diterima, mereka serap begitu sahaja. Semangat mereka akan luntur jika diri mereka tidak dibina. Itu sebabnya saya selalu katakan betapa Jurulatih boleh menaikkan semangat penuntutnya atau merudumkan semangat mereka. Oleh itu, sekali lagi kita boleh memainkan peranan untuk membuat tumbukan. Beri peluang kepada mereka membuat buah asas seperti mana yang sepatutnya. Jangan biarkan mereka yang ’kurang sempurna’ itu mengambil buah bersama rakan. Kecualilah untuk latihan-latihan seterusnya.

Untuk maksud jatuhan, peranan kita ialah memastikan para penuntut melurut kedua-dua tangan sambil kaki kanan menghiris pelipat untuk membuat jatuhan. Sekali lagi beri penekanan lurutan tangan dan hirisan kaki kanan. Jangan bertolak ansur jika penuntut gagal membuat gerakan dengan kemas dan teratur. Biar penuntut itu menumbuk berkali-kali. Boleh buat sebab asas letak kaki secara sentuhan dan bukannya secara pukulan. Agaknya itu sebab saya perhatikan buah ini dibuat secara tidak kemas kerana kurang latihan. Macam mana hendak berlatih kalau diajar sejak asas memukul kaki. Dua kali pukul kaki menyebabkan latihan tidak boleh diteruskan lagi. Kaki sakit, pelipat pasangan kita sakit dan akhirnya tak cukup latihan.

Setelah jatuh maka kaki kiri perlu bertindak segera mengunci kaki pasangan. Lagi jauh kuncian ke dalam maka lagi baik. Sedalam mana kuncian tersebut amat bergantung pada kesediaan pasangannya menerima kuncian. Kalau meraung umpama cakar harimau, maka eloklah dihentikan proses kuncian.

Ketika jatuhan dan kuncian, sekali lagi peranan Jurulatih amat penting bagi memelihara keselamatan penuntut yang kena jatuhan. Jatuhan yang tidak betul memungkinkan jatuhan lutut pada kaki kirinya, sama seperti kaki kanan yang dihiris. Oleh itu penuntut itu terdedah pada kecederaan kerana tiada imbangan. Pernah terjadi di kelas saya. Penuntut berkenaan kehilangan imbang dan rakannya terlepas pegangan tangan. Akibatnya penuntut itu terjatuh ke hadapan didahului dengan bahunya. Ekorannya penuntut itu mengalami patah tebu antara bahu dan tengkok. Sukar dibaiki tulang yang patah di bahagian berkenaan. Berhati-hatilah dengan buah Kuntau. Tidak kira Kuntau Jatuh, Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. Lembut geraknya tapi kasar kesudahannya.

Kadang kala apabila penuntut-penuntut di kelas saya amat berminat dengan buah-buah ’gantung’ tersebut maka saya akan memberi penerangan yang melangkaui dari pelajaran yang ada. Saya akan tunjukkan gerak-gerak ’menganak’ setelah jatuhan dibuat. Lagi sakit rupanya. Begitulah hebatnya pukulan kuntau dalam pelajaran kita.

Saya juga akan tegaskan kepada mereka terutama penuntut samasa di kelas kemahiran tentang peranan kaki kanan atau kaki kiri yang digantung pada pelipat. Saya tunjukkan betapa penggunaan kaki kiri atau kaki kanan pada buah-buah berkenaan walaupun bermaksud hirisan, apabila dibuat dengan kejutan akan menampakkan gerak pukulan. Oleh sebab mereka telah menguasai teknik hirisan, penekanan pada pukulan tidak mendatangkan masalah pada pelajaran kemudiannya. Lebih-lebih lagi pada masa latihan kemahiran. Pada masa pelajaran kemahiran, saya akan gunakan istilah sepakan kaki secara hirisan. Sepakan hiris itu merupakan kombinasi pukul dan hiris pada kaki pasangan berkenaan. Hirisan adalah satu teknik kemahiran yang patut ada pada pengamal SC. Pelajaran Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung adalah punca kemahirannya. Kalau tidak ada kemahiran itu maka saya simpulkan terdapat kekurangan.

Berdasarkan pengalaman, amat jarang saya lihat para penuntut yang dapat membuat teknik sepakan secara hirisan ini dengan tepat dan sempurna. Sepakan jenis ini menyebabkan risiko pelipat tidak jatuh adalah amat kurang. Pada anggapan saya, kegagalan membuat sepakan secara hirisan terjadi kerana dari awal lagi penuntut berkenaan disuruh pukul atau sepak pelipat pasangannya sama ada buah Kuntau Kiri Gantung atau kuntau Kanan Gantung. Pengajaran yang demikian adalah gopoh dan amat merugikan penuntut pada pelajaran yan g akan datang.

Pernah berlaku satu peristiwa apabila kumpulan kami dianugerahi pelajaran menengah oleh Ustaz. Ada hamba Allah Jurulatih yang ’hebat’ tapi gagal membuat sepakan berkenaan dengan sempurna dan tepat. Saya masih ingat lagi kata-kata Ustaz yang tidak senang. Ustaz memarahi beliau dengan sebab mengabaikan pelajaran jatuh buah Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. ”Orang suruh latih betul-betul buah-buah tu, buat main-main.”
Maknanya pelajaran buah-buah gantung berkenaan itu amat banyak maknanya untuk mendapatkan pelajaran hebat seterusnya.

Cubalah tanya pada mereka yang telah dapat Sijil Menengah. Yakinkah mereka dengan pelajaran yang ada. Kalaulah tangan dimatikan fungsinya, bolehkah keyakinan diri tetap berada bersama mereka. Tanya aje.

Sekian setakat ini. Sambung dengan buah lain.

Thursday, August 26, 2010

KUNTAU KIRI GANTUNG.

Prinsip asas ketika membuat asas Kuntau Kiri Gantung adalah sama dengan Kuntau Kiri. Prinsip gelek dan gerak kaki perlu diberi tumpuan. Penggunaan Kaedah B dan D adalah berpasangan. Gerak gelek menjadi sokongan. Seperti buah Kuntau Kiri, penekanan utama ialah tangan kanan jangan memegang penumbuk pasangan, ketika asas lagi. Memadai dengan sentuhan sahaja. Kalau penekanan itu tidak dikuasai maka akan saya suruh mereka mengulang lagi tumbukan berkali-kali hingga gerak sebenar telah mereka kuasai.

Perbezaan yang ada antara Kuntau Kiri dengan Kuntau Kiri Gantung adalah berkait rapat dengan penggunaan kaki yang diletakkan atas pelipat pasangan kita. Dalam gerak Kuntau Kiri Gantung, peranan kaki adalah tersangat penting. Sendi kaki kiri diletak di belakang pelipat musuh. Sekali lagi penekanan pada kaki perlu diberi perhatian berat. Pantang saya jika kaki yang diletak itu bermula dengan sepakan. Peranan kaki tersebut hanya berbentuk sentuhan pada pelipat pasangan kita. Jangan dipukul pelipat atau memberatkan badan pada pasangan kita.

Ingatkan juga pada penuntut. Kaki kita jangan mencangkuk pelipat pasangan kita. Nampak pun buruk. Kita perlu akui bukan senang meluruskan tapak kaki kita. Lutut kita perlu direndahkan bagi membolehkan kaki tidak mencangkuk, hanya membuat sentuhan di belakang pelipat. Persoalannya adalah pada bahagian mana. Kalau ditafsir sebagai belakang pelipat, banyak tempatnya. Setiap tempat memberi kesan yang berbeza dalam proses jatuhan. Sukar ditulis dalam ruangan ini melainkan secara praktikal. Pada mereka yang pernah bersama, tentu tahu akan maksud penerangan saya.

Melakukan gerak gantung kaki kita di pelipat pasangan amat terlalu sukar pada mereka yang berbadan besar atau kaki yang pendek atau kaki yang berisi umpama ubi gajah. Peraturan asas kita tersebut amat menyusahkan mereka. Apa kan daya. Pelajaran kita perlu dilalui juga. Tapi kemudahlenturan sikap kita sebagai Jurulatih mesti ada. Jangan dibebankan mereka tak tentu hala.

Ingatkan juga pada mereka. Buah asas ada sambungannya. Pergerakannya tidak terhenti di situ sahaja. Mungkin beberapa saat sahaja singgah di belakang pelipat. Ketika pelajaran asas, jangan diberatkan badan kita yang besar pada pasangan. Lebih-lebih lagi pasangan yang kecil molek berbanding dengan mereka yang besar gajah.

Pada pandangan saya, memukul pelipat ketika buah asas adalah perbuatan gopoh yang tidak sesuai dan merugikan gerak ketika membuat jatuhan. Malah semasa proses jatuhan juga jangan dipukul-pukul kaki pasangan kita. Berdasarkan pemerhatian, pada jangka masa panjang akan memberi kerugian pada penuntut ketika masuk ke peringkat pelajaran seterusnya.

Saya tegaskan prinsip sentuhan kaki berkali-kali pada penuntut. Kalau penekanan itu tidak dikuasai maka ulang tumbukan berkali-kali hingga saya berpuas hati. Gerak sentuhan pada tangan dan kaki secara automatik tersangat penting ketika membuat buah asas. Sekali lagi saya tegaskan. Jika gagal berbuat demikian maka ulang tumbukan berkali-kali. Biarlah beratus kali hingga gerak sentuhan dapat disebati. Itulah ingatan Ustaz dulunya kepada saya. Jatuhan buah Kuntau Kiri perlu dibuat berhati-hati. Bukan senang nak bagi jadi. Betul di tangan tapi salah di kaki. Kekadang pulak semua tak jadi.

Ada dua perkara yang saya tekankan ketika membuat jatuhan. Pertamanya, tangan yang gelek masuk perlu menolak penumbuk pasangan dengan daya yang ada. Hal yang demikian tidak mendatangkan masalah. Ketika pelajaran asas, penuntut telah dididik dan dibiasakan agar mereka tidak memegang tangan. Oleh itu, tolakan yang dilakukan adalah ’bersih’ dari unsur-unsur pegang tangan kerana kebiasaan yang dipupuk ketika pelajaran asas.

Perbuatan menolak tangan tersebut perlu seiring dengan hirisan kaki ke depan hingga pelipat pasangan kita jatuh sendiri. Dua perbuatan tersebut perlu bersepadu. Jika perbuatan gerak dulu dan gerak kemudian berlaku dan kelihatan amat ketara maka akan saya suruh ulang penumbuk. Misalnya tolakan tangan mendahului hirisan kaki atau hirisan kaki mendahului tolakan tangan. Buat lagi dan lagi hingga saya berasa puas hati. Perbezaan ketika dalam proses gerak mesti tidak ketara. Latihan menggunakan kaki berkali-kali tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada pasangan tersebut. Jangan kira nak buat barisan cepat-cepat. Ulangan penumbuk juga tidak mendatangkan beban. Hal yang demikian kerana penuntut telah dilatih tidak memukul atau menyepak pelipat. Perbuatan kaki hanya menghiris sambil maju ke depan. Pelipat tidak akan rosak. Boleh berlatih panjang.

Apabila kita berpuas hati dengan gerak tolakan tangan dan hirisan kaki, maka barulah kita tekankan soal kuncian. Buah Kuntau Kiri sepatutnya meninggalkan kesan sakit yang amat sangat pada kaki pasangan yang dikunci. Mulut pasangan kita pasti berbunyi tanda berada dalam kesakitan. Saya jelaskan pada mereka betapa kuncian kaki tersebut perlu seiring dengan proses memaut tangan kiri pasangan kita setelah berlaku tolakan tangan kanan. Beri penekanan pada semua yang saya nyatakan di atas. Jatuhan buah ini ada sambungan. Tidak sesuai ditulis dalam ruangan ini. Bukan direka tapi hasil pengetahuan yang ditunjuk oleh Ustaz.

Sambung.

Monday, August 23, 2010

KUNTAU KIRI

Perkataan ’kuntau’ telah menarik perhatian saya. Sebelum ini kami telah diperkenalkan dengan kuntau jatuh. Kali ini ada kuntau kiri dan kuntau kanan. Ada yang bersuara buat lawak. ”Ada pulak kuntau berdiri. Tak ada ke pulak kuntau bawah, depan dan kuntau belakang.” Kami ramai-ramai ketawa. Saja seronok-seronok bagi menghilangkan stress belajar Silat Cekak yang bermula dari pukul tiga hingga lewat petang, setiap Sabtu dan Ahad.

Saya juga cuba membuka kamus untuk melihat makna perkataan kuntau. Maklumlah ketika itu saya menuntut sebagai siswazah fakulti bahasa Melayu dan Sejarah.

Masa kecil dulupun saya pernah dengar tentang istilah kuntau Cina. Bila buka kamus, sah istilah kuntau dirujuk pada silat atau pencak cara Cina. Kuntau juga dirujuk pada orang-orang Jawa yang terkenal dengan kuntau Jawa. Agaknya istilah kuntau adalah bermakna silat. Kalau kuntau Cina maka maknanya ialah silat Cina. Kalau kuntau Jawa maknanya silat Jawa. Namun begitu orang Jawa juga adalah rumpun bangsa Melayu.

Tak mahu susah-susah memikirkan istilah kuntau, saya rujuk pada Ustaz. Keseluruhan jawapannya menjurus kepada makna pergerakan tangan yang menggenggam penumbuk. Kalau pergerakan silat dilambangkan dengan tapak tangan yang terbuka maka gerak kuntau pula dilambangkan dengan genggaman tangan. Saya faham akan konsep tersebut dan dijadikan fahaman diri. Bila ada penuntut yang bertanya kepada saya akan istilah kuntau maka jawapan saya berbelit sedemikian rupa. Selalunya selepas diberikan jawapan, penuntut saya angguk dan diam sahaja. Tanda fahamlah maknanya. Agaknya.

Mengambil buah ini memerlukan perbuatan gelek. Sekali lagi penekanan pada gerak kaki sangat diutamakan. Jangan beralih tempat pada tapak kaki kanan. Penggunaan hujung kaki atau tumit kaki pada ketika ini sudah tidak menjadi persoalan.

Penggunaan Kaedah B dan D saling berpasangan. Gerak gelek menjadi sokongan. Tapi yang mana dulu dan yang mana kemudian. Seperti yang saya terangkan terdahulu, jika dua atau tiga gerak digunakan dalam satu ketika yang sama maka akan janggal jadinya. Saya tekankan kepada penuntut saya. Dulu dan kemudian amat sukar diukur dengan mata kepala. Tak boleh nampak perbezaannya kerana geraknya begitu pantas tanpa nampak dulu dan kemudiannya.

Walau bagaimanapun, penekanan utama yang saya berikan kepada penuntut ialah tangan kanan kita jangan memegang erat penumbuk musuh ketika asas buah ini bermula. Memadai dengan sentuhan sahaja. Kalau penekanan itu tidak dikuasai maka akan saya suruh mereka mengulang lagi tumbukan berkali-kali hingga gerak sebenar telah dapat mereka kuasai. Gerak sentuhan pada tangan secara automatik tersangat penting ketika membuat buah asas.

Kalau setakat tangan kiri bengkok, atau kaki kurang berada di posisinya dengan tepat di belakang pelipat maka saya buat teguran biasa sahaja. Tidaklah hingga menyebabkan mereka terpaksa menumbuk berkali-kali.

Ketika membuat jatuhan pada buah ini, kecepatan, kekemasan dan ketepatan perlu dikuasai. Kejutan hanya terhasil apabila ketiga-tiga prinsip itu terbukti. Kejutan amat penting kerana buah ini begitu ’selamba.’ Saya tekankan juga, ketika membuat jatuhan, kaki kanan jangan sekali-kali langkah ke depan. Jatuhan perlu pada tempat asal. Peranan tangan tangan dan tangan kiri tetap ada bagi membuat kejutan. Tekan tangan hingga bahu pasangan kita hampir-hampir mencecah tanah. Berhati-hati pada mereka yang suka membuat jatuhan secara memulas dan hirisan tangan pasangan kita. Pada silat Melayu kealpaan di situ amat bermakna buat mereka membuat tindak balas. Ketika mengajar, saya akan perhatikan gerak penuntut. Penekanan saya pada mereka agar gerak jatuhan Kuntau Kiri tidak bermalam di mana-mana. Jika bermalam maka ulang lagi berkali-kali. Kadang kala saya sendiri akan membuat tumbukan.

Saya beri ingatan pada mereka betapa buah Kuntau Kiri tidak ada pukulan hakiki. Senang diambil tapi biarlah bererti dan benar-benar difahami akan kelebihan buah ini. Teringat saya pada satu ketika bersama Ustaz Hanafi. Ustaz bertanya tentang buah-buah silat kita yang tidak diiringi oleh pukulan. Saya senaraikan dengan lisan secara agakan. Sukar dijawab pada soalan spontan. Meraba-raba mencari jawapan. Ustaz menyebut tentang buah ini. Pukulannya tersembunyi. Ditunjukkan pada saya letak pukulan tersebut. Oleh sebab kami hanya berdua, setelah diturunkan buah maka perlulah saya mencuba. Ustaz menumbuk dan saya membuat buah. Ustaz tidak ada masalah. Ikhlas menurunkan ilmu kepada saya. Tapi diri saya terasa tak selesa. Tak ada pasangan untuk membuat buah yang diturunkannya.

Oleh sebab pelajaran tambahan pada buah tersebut tidak diturunkan dalam kelas maka saya juga tidak berbuat demikian pada penuntut saya. Saya hanya menyampaikan pengetahuan tentang SC berdasarkan apa yang diterima semasa saya menuntut SC dalam kelas sahaja. Walau bagaimanapun, dalam kelas kemahiran, pelajaran tambahan tetap saya sampaikan. Setelah menerima dan memahami pelajaran tambahan tersebut, maka dalam kelas kemahiran perlu dipraktikkan gerak pukulan yang diterima. Ketika membuat buah Kuntau Kiri dalam kelas kemahiran, semua penuntut mesti memasukkan pukulan. Ulang perbuatan hingga jadi amalan gerak. Sekian setakat ini.
Sambung lagi ketika terluang masa.

Saturday, August 21, 2010

KUNTAU JATUH.

Buah ini cantik, kasar dan menggerunkan. Setelah membuat jatuhan, tangan kanan kita dengan cepat memukul penyawa. Dalam pertunjukan, buah Kuntau Jatuh menarik minat penonton. Ramai penonton yang bersuara tanda cemas akan kesudahan buah tersebut dalam pertunjukan. Hinggakan tanpa kuncian pada kaki setelah jatuhan, tidak mencacatkan kehebatan buah ini pada kaca mata para penonton.

Saya sering tegaskan, prinsip melakukan gerak kaedah B dengan gerak kaki masuk ke dalam perlu berhati-hati. Saya pernah menerangkan betapa dua gerak dalam satu ketika akan tetap dikira satu gerak. Kalau cuba menjadikan dua gerak maka salah satu gerak berkenaan akan kurang fungsinya. Berdasarkan prinsip inilah saya sentiasa berhati-hati ketika membuat penerangan. Ketika menepis tangan pasangan kita, gerak kaki perlu bersahaja terlebih dahulu, sebelum gerak sebenar masuk ke dalam pelipat. Kiraannya berdasarkan saat dan ketika. Tak nampak bezanya secara mata kasar. Seolah-olah bersepadu dalam proses membuat buah. Mudah diterangkan secara perbuatan daripada tulisan ini berbentuk kenyataan.

Saya juga membuat penekanan betapa pentingnya membuat pukulan dengan menggunakan bahagian bawah telapak tangan ke dagu pasangan kita. Tangan kita separuh genggam. Maka dagu pasangan kita akan menjadi sasaran. Ada juga pukulan secara menggunakan hujung jari di leher pasangan. Hebat juga. Paling hebat diberitakan juga wujudnya pukulan tahyat di leher pasangan kita. Jarang sekali digunakan. Buatlah mana yang hebat. Cuma, jangan sesekali ketika masuk, tangan kanan terus ke bahu atau ke dada pasangan untuk membuat jatuhan. Buruk pada pandangan rupa. Lebih-lebih lagi tangan ke dada pasangan kita yang masih dara.

Satu lagi penekanan yang saya beri, ada kaitan dengan jatuhan. Ketika menjatuhkan pasangan kita, jangan ikut pergerakan badannya. Jatuhan kita perlu secara bertentangan sambil membuat kuncian pada kaki pasangan. Bila stabil, dengan segera membuat pukulan di bahagian penyawa. Brek mesti ada. Kuncian yang tepat dan mengena boleh juga diukur melalui suara pasangan kita. Jeritan atau laungannya akan membolehkan kita menghentikan proses kuncian. Tapi ada juga pasangan yang tak berasa apa-apa. Sakit tak ada tapi geli ada. Maka itulah tanda kuncian kita tidak memberi makna. Berlatihlah lagi hingga terkeluar suara daripada mulut pasangan kita.

Ketika pembelajaran buah ini, ada juga yang menimbulkan persoalan. Kalau kuntau ada jatuhnya maka mana pulak kuntau yang tak jatuh. Rupa-rupanya ada kuntau jatuh yang dibuat secara berdiri. Kalau rajin, tunjukkan. Kalau tidak, tangguhkan semasa kelas kemahiran. Janji mesti ditunaikan.

Friday, August 20, 2010

KIDUNG KIRI.

Mempelajari pelajaran Kidung Kiri telah mendatangkan dua persoalan besar kepada diri saya. Hendak bertanya kepada ustaz atau Jurulatih yang ada terasa berat. Takut-takut soalan yang ditanya akan ditertawakan atau dianggap tidak relevan.

Persoalan pertama yang berbangkit di benak saya ialah tentang istilah kidung. Istilah tersebut begitu asing buat diri saya. Masuk SC baru kenal istilah kidung. Saya buka Kamus Dewan. Istilah kidung dirujuk pada nyanyian atau syair yang dinyanyikan. Lagu itu pula dihubungkan dengan nyanyian oleh orang Kristian dalam gereja. Kalau nama terbitan mengidungkan maka maknanya ialah menyanyikan atau melagukan.

Saya cuba kait-kaitkan terjemahan istilah tersebut dengan bidang persilatan. Sukar juga kerana tak mengena. Saya rujuk cikgu bahasa Melayu. Jawapan yang diberi adalah sama maknanya. Lantas dijawabnya bahawa istilah sebenar kidung mungkin berbeza dalam pengertian bidang persilatan. Saya diam sahaja. Menurutnya lagi, pengertian istilah itu dalam silat hanya diketahui oleh mereka yang mencipta nama buah tersebut. Tentu ada rahsia di sebalik pengalaman penciptanya. ”Kalau nak tahu maka tanyalah orang mahir dalam bidang silat itu dahulu.” Mudah sungguh jawapannya.

Walau bagaimanapun, saya terima jawapan beliau. Istilah Kidung tak ada kena mengena dengan istilah hiburan. Istilah kidung mempunyai pengertian tersendiri dalam bidang persilatan dan merupakan nama khas. Asal usul istilah kena tanya pada perekanya. Itulah kesimpulan saya. Saya simpulkan buat ketetapan hati saya. Tak ada persoalan lagi. Tak tanya pada Ustaz pun.

Sepanjang pengalaman saya mengajar silat, amat jarang sekali penuntut silat yang bertanyakan istilah kidung. Kalau adapun yang bertanya maka jawapan saya istilah itu adalah nama khas. Umpama nama manusia bergelar Mamat. Tak ada bahasa lain seperti bahasa Arab yang boleh memberi makna. Hanya rekaan pada pemberi nama. Nampaknya jawapan saya dapat memuaskan hati penuntut yang bertanya.

Satu persoalan lagi adalah berkaitan dengan gerak dalam buah tersebut. Ketika mempelajari buah Kidung Kiri, terasa celaru juga dengan istilah kaedah. Dikatakan oleh Jurulatih bahawa Kidung Kiri menggunakan kaedah gelek. Terfikir pula. Bila masa gelek dijadikan kaedah. Nak bertanya, malas. Cuma buat kesimpulan sendiri bahawa buah Kidung Kiri menggunakan kaedah A bersepadu dengan menggelekkan badan untuk masuk gerak ke dalam. Gelek merupakan gerak sampingan yang bersepadu.

Bukan mudah membuat buah ini. Kita memerlukan keberanian tanpa ragu-ragu ketika gelek ke dalam. Kesepaduan kaedah dan gelek perlu ada. Jika tidak, maka birulah dada. Kecualilah jika penumbuk pasangan kita membuat lencongan. Tak tepis pun tak apa. Pasti tak kena. Maka rugilah pasangan tersebut. Mudah pembelajaran tapi kurang mendatangkan kesan. Pada pasangan yang benar-benar ikut peraturan maka latihan buah ini amat sukar. Walau bagaimanapun setelah menguasai kaedah mengambil buah ini maka hebatlah pasangan pesilat tersebut.

Saya rasa, ketika pembelajaran buah Kidung Kiri, isu dan persoalan tentang cara pergerakan kaki telah tidak timbul lagi. Para penuntut telah jelas sama ada menggunakan tumit kaki atau hujung kaki. Setakat ini saya difahamkan bahawa semua Jurulatih bersetuju dengan penggunaan hujung kaki. Agaknya. Tapi pasti juga ada yang guna tumit kaki. Dikatakan takut urat belakang kaki kanan bengkak. Lemah tenaga batin.

Ada tiga tempat atau situasi yang sangat saya tekankan ketika membuat buah Kidung Kiri. Pertamanya kita perlu memastikan ketika gelek masuk, tapak kaki kanan tidak berubah dari tempat asal melainkan pergerakan pusing. Hanya kaki kiri yang langkah masuk dalam keadaan berani, cekal dan tanpa ragu-ragu atau tanpa teragak-agak.

Penekanan kedua ialah perbuatan tetak tangan setelah rapat dengan musuh. Jangan tampar nyamuk. Selalu saya pastikan, setelah menetak maka proses menjatuhkan pasangan kita perlu ada kesinambungan. Tangan kanan secepat kilat memegang pergelangan tangan pasangan kita untuk membuat jatuhan. Jangan bermalam. Kalau tak kuasai maka ulang-ulang hingga berjaya. Ketika buat buah, janganlah hendaknya anggap siku kiri yang menepis kaedah A boleh mematahkan tulung rusuk lawan. Tak nampak logiknya. Gelak dek orang. Pendapat baru yang tak ada di zaman saya.

Penekanan ketiga yang saya beri ialah ketika membuat jatuhan. Saya akan pastikan jatuhan dibuat pada tempat yang sama tanpa ada sebarang usaha mengubah kedudukan kaki. Maksudnya orang yang membuat buah jangan sesekali mengubah tapak kaki kanannya ke depan bagi memudahkan jatuhan. Jangan ambil mudah. Saya buktikan betapa menjatuhkan pasangan di tempat yang tetap, lain sakitnya berbanding jika kaki kanan melangkah ke depan.

Mungkin ada persoalan lain. Kalau ada kiri mana kanannya. Kalau ada Kidung Kiri tentu ada Kidung Kanan. Jangan banyak melayan. Katakan. Cekap kiri dulu baru belajar kanan. Beri harapan. Tapi mesti tunaikan. Satu masa tetap kita tunjukkan kehebatan Kidung Kanan. Tapi tegaskan betapa tersisih pergerakan tersebut. Pelarasan sah di zaman Ustaz. Jangan persoalkan.

Thursday, August 19, 2010

KILAS DEPAN.

Pengajarannya melibatkan pengenalan kaedah baru yang dinamakan Kaedah C. Ketika menuntut dulu, buah itu terasa janggal. Saya tidak dapat menerima logik musuh menumbuk di bahagian bawah. Kalau menumbuk di bahagian bawah tanpa kuda-kuda, tak payah tepis-tepis. Kita tumbuk balik terus ke mukanya. Hal yang demikian kerana penumbuk kita ke muka pasangan adalah melebihi jangkauan tumbukan bawah pasangan kita. Ketika itu tumbukan bawah dikaitkan dengan senjata kerawit. Kaedah C berupaya menangkis serangan bahagian bawah yang digelar penyawa itu. Saya terus juga mengikuti pelajaran SC.

Lama-lama baru saya faham betapa Kaedah C memberi makna pada kita. Semasa try antara kami dengan Jurulatih SC, seorang sahabat membuat serangan tangan dari bawah. Silatnya ’mainan’ bawah. Jelas betapa Kaedah C boleh memainkan peranan bagi menangkis serangannya. Oleh itu, ketika saya mengajar, pengetahuan tentang serangan musuh dari bawah terus ditekankan. Saya telah menggayakan serangan tersebut bagi memudahkan kefahaman penuntut. Sekurang-kurangnya dengan cara kita membuat penerangan itu akan menjawab beberapa persoalan tersembunyi yang mungkin terlintas dalam benak kalangan penuntut kita.

Mengambil buah Kilas Depan perlu berhati-hati. Hal ini kerana pasangan kita juga mempunyai peluang yang sama untuk memaut tengkok. Kalau gerak kita diketahuinya maka ketika kita menepis, pasangan kita juga boleh membuat pergerakan buah yang sama. Ramai kalangan penuntut yang suka main-main dengan buah ini disebabkan wujud peluang yang sama membuat buah. Pastinya ketika Jurulatih alpa daripada mengawasi mereka. Maka pelajaran buah ini menjadi kacau. Tak jadi belajar. Sepatutnya ketika pelajaran, orang yang menumbuk tidak boleh membuat reaksi kerana pelajarannya setakat jatuhan sahaja.

Sekali lagi konsep kejutan memainkan peranan ketika mengambil buah Kilas Depan. Pergerakan pasangan kita yang mengambil buah berkenaan perlu melambangkan prinsip kejutan. Membuat kejutan bermakna lambang kesempurnaan gerak seperti yang saya bincangkan. Ketika proses mengambil buah itu juga, saya turut tekankan betapa perlunya siku kita hampir dengan badan.

Pukulan lutut pastinya di bawah dagu pasangan. Tangan kanan kita yang memegang kepalanya akan memainkan peranan untuk memantapkan pukulan lutut kita ke dagu atau muka. Namun begitu ada juga Jurulatih yang menyuruh penuntut agar menjauhkan pukulan lututnya daripada dagu pasangannya. ’Untuk keselamatan’ kata mereka. Nampak terkangkang. Jadi, elok juga pukulan lutut itu dinamakan pukulan mengangkang.

KILAS BELAKANG.

Mempelajari buah ini bermakna para penuntut akan mempelajari satu lagi bentuk pukulan dengan dimulai dengan kaedah ’A’. Pukulan adalah pada leher pasangan yang menumbuk. Setelah mendapat empat buah maka saya mula simpulkan bahawa kaedah yang diambil tidak boleh dilakukan sambil lewa. Daripada kaedah maka datangnya buah-buah tersebut. Saya dapat rasakan betapa perbuatan mengambil buah berasaskan Kaedah A memerlukan ketangkasan, kekemasan dan ketepatan. Hal yang demikian menjadikan gerak kita berbentuk kejutan pada pasangan yang menumbuk.

Kejutan yang digunakan menghasilkan pukulan yang mantap dan pergerakan yang hebat. Hal yang demikian juga menyebabkan saya memberi penekanan, setiap kali para penuntut mengambil buah-buah, kejutan dalam pergerakan mesti ada. Kejutan bukannya bermaksud mengejut. Kejutan menunjukkan perbuatan automatik yang dihasilkan kerana ketangkasan, kekemasan dan ketepatan kita ketika membuat Kaedah. Saya pernah menulis tentang konsep kejutan dalam SC.

Punggung ’bertemu’ punggung adalah merupakan salah satu penekanan yang diberi. Sejauh mana perbuatan bertemu punggung ini perlu dilakukan. Susah diterangkan secara tulisan. Tetapi perkara yang pastinya, kerana prinsip inilah maka mudah bagi kita menjatuhkan lawan. Jatuhan yang dilakukan tidak banyak menggunakan kekuatan seperti gerak sukan. Kita tak membanting. Kalau membanting bermakna badan lawan akan berada atas pinggang kita. Bayangkan kalau pasangan kita orang yang terlebih badan. Akan terpeliut pinggang kita. Paling malang kita yang membanting terus jatuh ditimpa badan pasangan.

Dalam silat Melayu lain yang saya pelajari, bentuk buah ini ada diajar. Bezanya ialah cara ambil buah berdasarkan elakan. Tangan akan berpaut pada bahu sebelah dalam dan terus membanting. Amat sukar melakukan gerak ini pada mereka yang berisi. Perlu ada kekuatan. Gerak sukan. Ketika menuntut dulu, Ustaz menekankan betapa SC juga menumpang pada kekuatan lawan bagi menewaskan kekuatan mereka. SC merupakan silat yang berseni. Seni adalah sesuatu gerak yang halus dan dapat digunakan dalam pelbagai keadaan. Kalau betul seninya, si kecil boleh menghadapi si besar dan si kurus berupaya menghadapi si gemuk.

Bagi membuktikan kata-kata itu, ketika belajar dan mengajar buah Kilas Belakang maka saya menukar pasangan, mencari pasangan yang terlebih badan. Maka terbukti kehebatan seni yang ada dapat menjatuhkan lawan yang besar daripada kita. Jatuhan lawan yang mudah itu adalah dengan teknik jatuhan betul seperti yang sepatutnya dalam SC dan bukannya secara membanting lawan. Hal yang demikian terbukti adalah kerana hasil penekanan pembelajaran pada dua tempat seperti yang saya bincangkan di atas.

Wednesday, August 18, 2010

SENDENG ATAS.

Semasa pembelajaran asas Sendeng Atas, buah yang ketiga ini memulihkan semangat saya dan rakan-rakan ketika belajar dulu. Kami berasa begitu kagum dengan buah itu. Pukulan tidak boleh dijangka, cepat dan amat berkesan. Tergambar dalam fikiran betapa hebatnya gerak Sendeng seperti yang sering diperkatakan orang sebelum ini. Silat Sendeng juga terkenal sebagai silat yang berkesan untuk menghadapi musuh. Buah yang diperoleh telah membuktikan kata-kata tersebut. Dalam pelajaran asas, perolehan buah Sendeng telah mengembalikan semangat setelah dilunturkan oleh buah Gayung Fatani. Hal ini demikian kerana buah Pertama dan buah sendeng, jelas akan pukulannnya. Manakala pembawaan buah Gayung Fatani lebih tenang dan tiada gerak pukulan. Kepuasaan mempelajari buah kedua (Gayung Petani)tersebut agak lewat iaitu ketika jatuhan.

Saya rasa, ketika Jurulatih menyampaikan buah ketiga itu, persoalan tentang gerak kaki dikira selesai. Tentunya mereka telah buat ketetapan sama ada menggunakan hujung kaki atau tumit. Hal yang demikian tentunya ada kaitan dengan buah yang kedua. Pada pemerhatian dan pengetahuan saya, gerak kaki pada buah Sendeng ini membawa empat jenis gerakan. Macam-macam ada:

a. Gelek dengan tumit dan rapat kembali dengan menggunakan hujung kaki, atau
b. Gelek dengan hujung kaki dan rapat kembali dengan hujung kaki, atau
c. Gelek dengan tumit kaki dan rapat kembali dengan tumit kaki, atau
d. Gelek dengan hujung kaki dan rapat balik dengan tumit.

Buatlah ketetapan dan pilihan. Saya tak ada komen. Pastinya penggunaan gerak-gerak kaki tersebut tetap mempengaruhi gerak gelek kita. Namun begitu, pendirian saya adalah jelas dalam soal ini daripada dulu hingga sekarang. Walau bagaimanapun gerak-gerak kaki tersebut tidak perlu menjadi isu utama pada buah Sendeng Atas. Tiada kesudahannya. Isu utama ialah sejauh mana penuntut itu berkeupayaan membuat pukulan, seiring dengan perbuatan gelek dan tepisan yang berbentuk awasan. Pastinya pukulan itu disasarkan pada dagu. Saya gunakan perkataan awasan bermaksud, tepisan pada buah ini adalah berbentuk sentuhan. Tidak menolak tangan. Hal ini demikian berlaku kerana kaedah gelek telah banyak membantu untuk melakukan pukulan secara kejutan.

Walau bagaimanapun, buah Sendeng Atas akan menjadi mantap jika penumbuk pasangan kita mensasarkan dada. Kalau penumbuknya terkeluar dari sasaran dada maka kita amat sukar memainkan peranan tangan kiri sebagai maksud awasan. Daripada pemerhatian, jika tumbukan pasangan kita tersasar jauh dari dada akan menyebabkan tangan kiri pasangannya terikut-ikut dengan hala penumbuk tersebut. Prinsip menepis akan bertukar menjadi tolakan tangan. Tak kena seninya.

Gelek dan pukulan mesti nampak serentak. Berilah penekanan pada prinsip ini. Sebaik sahaja tumbukan musuh sampai ke dada kita, ketika itu pukulan kita telah mengena dagunya. Oleh sebab pukulan itu datangnya dari bawah, telah menyukarkan pasangan kita membuat jangkaan. Lagi laju tumbukan pasangan kita maka lagi lajulah pukulan yang datang dari bawah itu tiba. Terasa hebatnya buah ini. Satu kepuasaan mendapatkannya.

Saya tidak akan berpuas hati jika pukulan penuntut jauhnya ’berbatu’ dari dagu pasangannya. Tidak ada sebarang alasan untuk membenarkan perbuatan tersebut. Hal ini demikian, keistimewaan buah Sendeng Atas adalah atas kejutan pukulannya dari bawah. Kelajuannya adalah bergantung erat dengan penumbuk yang tiba. Lagi laju kita menumbuk maka lagi laju pukulan tiba. Kalau pukulan jauh dari dagu maka akan hilanglah keistimewaan buah Sendeng Atas. Umpama anak dara kehilangan anunya. Hilang keistimewaannya. Tidak memberi makna.

Pukulan yang jauh dari dagu, difahamkan dengan pelbagai alasan yang longgar dan hiba. Takut mudarat dijadikan alasan utama. Tapi para penuntut tidak bertanya. Mereka hanya menurut kehendak Jurulatih yang ada. Di suruh jauh penumbuk dari dagu maka para penuntut akan berbuat demikian. Kalau disuruh sasarkan pukulan di bawah dagu semasa jatuhan atau ketika pelajaran potong sahaja, maka para penuntut juga akan berbuat demikian. Mereka menurut sahaja. Malangnya para Jurulatih tergamak memaksa para penuntut menurut kehendak mereka yang tak tentu hala. Kalau diri penakut untuk menerima pukulan maka dipaksa pula para penuntut berbuat demikian supaya takut seperti mereka. Haprak juga namanya.

Lagi tak guna, logik menjauhkan penumbuk daripada dagu pasangan yang ada ’diturunkan’ pada anak buahnya dengan alasan menjaga keselamatan diri. Kebetulan pulak tabiat merokoknya tidak diambil kira. Kalau dikirakan keselamatan pada diri, perbuatannya merokok adalah lebih membawa mudarat dan tak selamat berbanding dengan perbuatan berlatih silat dengan menekankan aspek pukulan. Tak kiralah pada buah apa. Malang sekali apabila kita mendapat Jurulatih yang sedemikian rupa dalam konteks ingin mendapatkan ilmu yang sebenar-benarnya tentang SC.

Ada juga kalangan penuntut yang menimbulkan persoalan tentang istilah atas. Kalau ada Sendeng Atas maka mana pulak Sendeng Bawahnya. Pada saya, terlalu awal untuk menjawabnya. Tapi saya jawab juga. ”Dari atas baru turun ke bawah. Kalau terus ke bawah maka mana ada ummnya. Tak akan merasa cakar harimau atau cakar lang atau cakar-cakar yang lainnya. Sedapppnya.

Tuesday, August 17, 2010

KEPUTUSAN

Buah Gayung Petani dikaitkan dengan konsep keputusan. Maka jadilah buah itu sebagai Keputusan Gayung Petani. Pengenalan buah ini dengan namanya yang tersendiri telah mula membuka minda para penuntut untuk bertanyakan soalan. Soalan tersebut jika tidak diselesaikan akan terus menerus menjadi persoalan pada mereka. Sepanjang pengalaman saya menuntut dan pengalaman bersama dengan para penuntut, hal yang demikian membolehkan mereka membuat persoalan dalam dua perkara yang berkaitan dengan istilah dan gelaran pada buah-buah SC yang tersenarai.

Kalau nama buah berdasarkan bilangan, selepas buah pertama sepatutnya buah kedua. Rupa-rupanya sebutan nama buah dalam SC yang pertama itu adalah istilah nama khas dan bukannya berdasarkan bilangan. Maka buah yang pertama kali diperkenalkan kepada penuntut ialah buah Pertama. Itulah gelaran khas untuk buah yang pertama kali diperkenalkan kepada penuntut.

Oleh sebab senarai nama buah tidak berdasarkan bilangan, persoalan yang timbul ada kaitan dengan nama silat-silat Melayu yang dikaitkan dengan buah SC. Mungkin timbul kata-kata dalam hati penuntut baru yang mempersoalkan keasliah buah-buah SC. Ada yang menganggap buah-buah SC itu telah diimport daripada silat Melayu yang lain. Penuntut yang inginkan penjelasan segera, pasti akan terus bertanya. Manakala penuntut lain yang kurang berminat dengan masalah, pasti akan memendam persoalan yang ada hingga mereka mendapat jawapan sendiri.

Malah, masyarakat luar yang tidak berkenaan dengan kita juga sibuk membuat ulasan tentang buah-buah kita satu ketika lalu. Hal ini demikian kerana dalam proses awal perkembangan SC, nama-nama silat lain yang disentuh dalam senarai nama buah kita telah tidak menyenangkan perguruan berkenaan. Timbul tuntutan supaya kita menggugurkan nama silat-silat lain tersebut dalam sistem pelajaran kita.

Pernah satu ketika yang lalu, ada usaha-usaha kita memperkemaskan sebutan nama buah-buah dalam SC. Kita disarankan menyebut nama buah berdasarkan senarai angka dan bukan dirujuk pada nama buah sebenar. Nama sebenar buah tetap kekal, cuma tidak diwar-warkan. Namun begitu keputusan itu tidak popular dan kita terus menggunakan nama-nama buah seperti mana yang diajari Ustaz Hanafi. Pernah juga disarankan supaya sebutan angka bersekali dengan nama asal buah berkenaan. Cara itu pun tidak popular.

Akhirnya kita terus menyatakan gelaran buah yang ada dalam SC pada nama yang sebenarnya ketika menyampaikan pelajaran. Tambahan pula, lama-kelamaan perkembangan SC semakin mantap dan saingan daripada silat Melayu yang lain semakin kurang. Maka kecaman silat lain atas penggunaan nama buah dalam SC yang berkaitan nama silat mereka telah semakin hambar, basi dan kurang diutarakan.

Dalam tulisan yang terdahulu saya telah menyentuh persoalan tentang keaslian buah-buah SC secara panjang lebar. Walau bagaimanapun elok juga saya ulas kembali serba sedikit cara-cara saya menjawab persoalan tersebut dalam kalangan penuntut saya.

Saya katakan pada mereka. Zaman dulu-dulu mana ada persatuan silat. Rasanya guru-guru SC sebelum Ustaz pun menyebarkan ilmu SC tanpa ada persatuan. Apatah lagi dengan perguruan silat yang kita kenali sekarang. Banyak silat yang tidak ada nama. Namun begitu, tuntutan mengadakan persatuan memerlukan nama persatuan. Maka banyak persatuan yang menggunakan nama buah yang ada sebagai salah satu pengenalan nama persatuannya. Bila ada persatuan maka mulalah ditimbulkan soal hak yang terpelihara pada gerak silat yang ada. Pada hal, silat adalah merupakan gerak yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Semua bangsa Melayu mempunyai hak atas gerak-gerak yang ada dalam masyarakatnya. Namun begitu prinsip tersebut telah hilang. Nama-nama gerak silat dalam masyarakat kita telah mula dijadikan hak milik terpelihara. Lebih-lebih lagi nama-nama gerak tersebut telah dijadikan pengenalan persatuan mereka. Oleh itu apabila kita membincangkan tentang senarai nama-nama buah kita, eloklah jika perbincangan tersebut merujuk pada zaman dulu kala. Bukannya dalam konteks zaman sekarang.

Terdapat satu pertubuhan silat yang menggunakan nama buahnya pukulan Cekak. Saya pernah menuntut silat berkenaan. Sepanjang pengalaman saya dalam SC, tak pernah adapun jenis gerak pukulan berkenaan dalam SC. Kitapun tak pernah mengatakan mereka mencedok pelajaran daripada silat kita. Ada juga nama persatuan yang merujuk pada nama tempat.

Oleh itu, saya berpendapat dengan kajian terperinci tentang kedudukan ini boleh kita terbitkan untuk pengetahuan ahli-ahli kita. Saya tidak mahu menulis panjang dalam tulisan ini. Elok sangat jika LPT kita menganjurkan majlis diskusi mengenai persoalan tersebut.

Satu lagi persoalan pada penuntut ialah makna keputusan dalam buah-buah yang tersenarai. Kenapa ada buah keputusan dan ada buah tidak ada istilah keputusan. Saya berpendapat, persoalan ini perlu dikupas secara berhati-hati. Kupasan kita memerlukan daya pemikiran yang luas. Kita tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsir sebagai berbentuk merendah-rendahkan persilatan lain kerana tentunya terkeluar daripada ikrar kita.

Untuk perhatian bersama, menurut kamus Dewan, istilah keputusan bermaksud kesudahan atau akhirnya atau penghabisan pada satu-satu perkara. Apabila kita kaitkan dengan gerak maka keputusan gerak itu merujuk pada intisari atau kesimpulan yang melambangkan gerak berkenaan. Tentunya kita sebagai ahli SC berasa bangga dan bertuah memperoleh gerak-gerak itu.

Walau bagaimanapun, masyarakat silat Melayu yang lain cukup sensitif dengan pengunaan istilah keputusan yang menyentuh pada nama-nama buah silat mereka. Lebih-lebih lagi ada dalam kalangan kita yang menganggap keputusan buah-buah silat berkenaan adalah pakaian guru dan buah guru. Lagi mereka marah apabila buah guru mereka diambil. Takut guru mereka kehilangan buah. Apa pun, berhati-hatilah memberi jawapan.

Saya fahamkan rakan-rakan pembantu saya. Buah-buah jatuhan yang ada dalam SC adalah semata-mata untuk memahirkan penggunaan kaedah A hingga D termasuk gerak-gerak sokongan seperti gelek luar dan gelek dalam. Buah yang dipakai telah diselaraskan oleh Ustaz. Pelarasan tersebut telah memantapkan penggunaan gerak dalam SC. Buah-buah jatuh yang ada sekarang telah diputuskan Ustaz dan amat sesuai untuk latihan memantapkan gerak Kaedah. Tidak perlu dikurang atau ditambah.

Kita boleh membuat kesimpulan bahawa kesemua buah jatuhan dalam SC adalah merupakan alat bagi kita untuk memantapkan kemahiran menggunakan kaedah. Akhirnya buah-buah tersebut akan dipintas melalui pelajaran buah potong. Maka hilang kehebatan pada buah jatuhan berdasarkan pada prinsip menyerang. Kalau kita berpegang pada fahaman yang saya bincangkan tersebut, persoalan pada buah jatuh tidak perlu diambil berat. Hal-hal yang berkaitan dengan nama, jenis sama ada keputusan atau tidak atau lain-lain yang berkaitan dengan buah jatuhan adalah tidak perlu dijadikan persoalan. Itu bukan perdunya dalam kefahaman SC. Persoalan yang perlu ada dalam kalangan kita ialah sejauh mana kita dapat menggunakan kaedah-kaedah A hingga D dengan tepat, tangkas dan kemas berdasarkan buah-buah jatuhan yang disenaraikan.

Kadang-kadang saya berbisik pada sahabat-sahabat saya. Jangan beria-ria sangat nak jadikan buah jatuh cantik di mata dari segi buahnya sahaja. Tengok kaedah yang diaplikasikan. Maka, kalau dalam pertandingan, penggunaan kaedah yang kemas, tangkas dan tepat perlu diberikan markah lima puluh peratus daripada markah keseluruhannya.

Sekian secara ringkas.

Monday, August 16, 2010

GAYUNG FATANI/PETANI.

Memperkenalkan buah kedua kepada penuntut semacam ada pertentangan konsep antara buah itu dengan buah terdahulu iaitu buah Pertama. Itulah antara lain tanggapan yang wujud pada pemikiran saya ketika menuntut dahulu. Gerak pertama lebih kasar daripada gerak buah kedua. Umpama jantan dengan betina. Gerak pertama dikira jantan kerana kasar manakala gerak buah kedua dikira betina kerana kelembutan mengambilnya. Mujurlah ketika itu saya tetap ingin meneruskan pengajian untuk mendalami tentang SC. Saya tetap ikuti pada pelajaran yang diberi. Betina atau jantan tak jadi masalah. Saya cuba logikkan pada satu-satu gerak yang diperkenalkan kepada kami. Masuk jatuhan baru tahu. Hebat untuk memahirkan gerak. Kena sabar. Rupa-rupanya ada tujuan di sebalik penyusunan buah yang sedemikian rupa. Bijak sungguh Ustaz berbuat demikian.

Buah Gayung Fatani adalah berdasarkan gerak rasa. Ketika mengambil buah berkenaan pun kita tidak memegang, sebaliknya melakukan gerak sentuh sahaja berkonsepkan rasa. Maka sentuhan pun berdasarkan rasa. Terasa kulit tangan telah bersentuh. Mata perlu bertentang mata. Jangan dipandang benda lain. Demi menekankan prinsip sentuhan dan rasa itu, saya sendiri sering menumbuk para penuntut agar prinsip sentuhan dan rasa dalam buah kedua itu dititikberatkan oleh penuntut. Penat juga menumbuk selagi mereka tidak menguasai prinsip tersebut.

Tindak balas kita adalah bergantung pada riaksi pasangan kita. Empat riaksi mereka yang dikira sebagai pecahan buah adalah mantap dan merangkumi serta mencakupi segala bentuk gerak tindak balas musuh. Berdasarkan pengalaman, saya simpulkan betapa segala tindak balas daripada musuh dalam keadaan kita menunggu serangan adalah tersimpul daripada tindak balas yang empat tersebut. Saya yakin bahawa Ustaz telah mengkajinya. Pengurangan atau sebarang penambahan dalam gerak yang ada pasti meninggalkan kesan buruk buat jangka panjang.

Satu lagi penekanan yang saya beri ialah ketika pasangan yang menumbuk, membuat tindak balas. Tangan kiri kita memainkan peranan sebagai pemandu untuk kita mengikuti dan mengawasi tindak balas gerak pasangan kita. Berlatihlah hingga kita menguasai segala gerak tindak balas pasangan kita tanpa diberi tahu gerak tindak balas yang ingin dibuat.

Soal gerak kaki atau tumit telah jadi persoalan. Saya beritahu penuntut saya. Tumbuk jantan kita ialah satu. Cakap jantan adalah satu. Benda jantan pun satu. Maka gerak kita juga adalah satu. Satu gerak yang sama dalam kelompoknya. Aplikasi gerak dalam kehidupan kita juga menghasilkan pendirian yang satu. Maka buatlah ketetapan. Kalau pakai tumit maka gerak-gerak lain yang bersamaan dengannya eloklah menggunakan tumit. Kalau dah pilih gerakan kaki dengan menggunakan tumit maka mana mungkin kita gunakan gerak hujung kaki pada buah Kidung Kiri atau Kuntau Kiri atau-atau yang lainnya. Lagi dahsyat kalau dicampur-campurkan gerak tersebut antara hujung kaki dan tumit. Maka secara langsung penuntut itu dilatih untuk mempunyai banyak pendirian.

Kalau perbuatan banyak maka pendirian pun jadi banyak. Agaknya itu sebab pengamal perbuatan yang banyak mempunyai pendirian yang pelbagai. Mula-mula sokong dan akhirnya menjilat air yang diludah. Elok juga buat kajian tentang pendapat yang pelbagai pada manusia ini. Terutamanya yang mengepit sesuatu untuk dibuat sumpahan. Suruh dia bersilat dan lihat gerak kaki antara Gayung Fatani dengan Kidung Kiri. Kalau tak sama dan bercampur aduk maka sahlah jenis tak tetap pendirian. Boleh berubah-ubah. Kalau gerak silat yang merupakan perdu persilatan pun boleh berubah maka apatah lagi pendapat sampingan dalam persilatan kita. Itulah pegangan saya.

Pecahan ketiga adalah sukar dilakukan oleh penuntut. Bukan semua penuntut yang boleh menyepak rusuk. Malah Jurulatih sendiri pun amat sukar berbuat demikian. Lebih-lebih lagi mereka yang memiliki perut yang maju ke depan atau jenis kaki pendek. Walau bagaimanapun, sepakan di rusuk tersebut adalah logik dan berkemungkinan besar akan dilakukan oleh musuh kita dalam posisi kita menunggu tindak balas musuh.

Oleh sebab kesukaran melakukan sepakan tersebut maka tugas membuat sepakan hanya dilakukan oleh Jurulatih atau penuntut yang mampu membuat sepakan demikian. Malah ketika berlatihpun bagi pasangan yang gagal membuat sepakan untuk pecahan ketiga perlu mendapatkan bantuan daripada pesilat lain sama ada daripada Jurulatih atau rakan-rakan.

Suatu ketika yang lalu, saya difahamkan bahawa kaedah mengambil buah pecahan tersebut ada dalam buah Sengkak. Namun begitu buah Sengkak telah ditiadakan sejak zaman Ustaz. Kita tidak menghadapi masalah kerana kaedahnya masih berada dalam pecahan ketiga buah Gayung Fatani. Semasa saya menunaikan tanggungjawab menyampaikan ilmu SC kepada penuntut maka ayat-ayat tersebut tetap saya gunakan. Penuntut faham. Dalam pelajaran umum, buah Sengkak ditunjuk sahaja sebagai buah yang tersisih kerana cara mengambilnya agak berbahaya dan telah ada dalam pecahan ketiga Gayung Fatani. Puas hati buat penerangan.

Kesimpulannya, penekanan pada buah ini ada tiga. Di samping prinsip sentuhan dan gerak rasa, mata perlu bertentang mata. Peranan tangan kiri amat penting dan memberi makna bagi memahami gerak pasangan kita.

Sambung lagi.

Saturday, August 14, 2010

BUAH PERTAMA

Menurunkan pelajaran buah Pertama bermakna bermulalah kita memperkenalkan buah kepada penuntut. Kalau penuntut itu peminat silat, pastinya pengajaran buah merupakan saat yang ditunggu-tunggunya. Semasa saya menuntut dulupun saya ternanti-nanti saat dan ketika untuk merasai dan mengetahui kehebatan buah-buah yang ada dalam SC. Setelah merasai pengalaman buah Pertama maka rasa puas dan yakin diri terhadap SC mulai timbul. Tak silap memilih dan mempelajari SC. Sekurang-kurangnya itulah ungkapan yang wujud dalam benak diri sendiri. Saya rasa sikap yang sama pasti wujud dalam kalangan penuntut yang ada.

Segala-galanya bermula dengan pertama. Asyik mahsok pertama akan mengatasi segala-gala perbuatan berikutnya. Akan dikenang sepanjang masa. Perkara yang pertama akan melambangkan kehebatan untuk perkara-perkara seterusnya. Oleh itu perbuatan kita yang pertama memberi buah perlu melambangkan kehebatan SC. Mana mungkin kita dapat bandingkan cinta pertama dengan cinta kedua atau ketiga atau cinta-cinta kita seterusnya.

Maka itu sebabnya, kekemasan, ketangkasan dan ketepatan menyampaikan buah Pertama tersebut perlu ada pada Jurulatih. Kekemasan, ketangkasan dan ketepatan akan menghasilkan kejutan. Hal yang demikian kerana buah itu pertama kali diberi pada penuntut. Kebetulan pulak namanya pun buah Pertama. Dalam perjuangan atas tilam yang empuk, kehebatan pertama itu jika diberi keutamaan akan meninggalkan kesan jangka panjang yang berterusan. Puas memanjang. Itulah penandaarasan yang kita letakkan. Maka tidak hairanlah sikap positif saya pada SC telah bermula dari awal pelajaran lagi. Pelajaran buah Pertama.

Kejutan tepisan Kaedah A berserta dengan kehebatan mengambil buah mesti ada. Ketika dulu, apabila saya dikenakan pukulan hebat dirusuk dan ditunjukkan pukulan di bawah ketiak sebagai pilihan, keyakinan saya pada SC telah terbukti buat diri saya sendiri. Saya rasa puas dan ingin mengetahui kehebatan seterusnya. Saya bernasib baik kerana Ustaz tidak membuka tangan dan meletakkan tangannya yang terbuka di rusuk saya. Pastinya saya berasa geli umpama urutan di Cedik Puri. Maknanya pada saya, mereka yang mendapat buah Pertama dengan pukulan tangan terbuka maka amatlah malang baginya. Malang jika penuntut itu benar-benar ingin menghayati SC sebagai silat terhebat dalam persilatan Melayu.

Semasa jatuhan, beberapa penekanan saya berikan. Menampar lengan setelah dijatuhkan pelipat adalah merupakan salah satu perbuatan terpenting. Tampar lengan perlu secara kejutan. Pergerakan tangan akan ‘mati’ akibat kejutan tamparan yang betul.
Kejutan tersebut seolah-olah menghasilkan aliran letrik. Itulah yang saya alami ketika menuntut dulu. Maka perbuatan saya menampar lengan semasa menurunkan buah tersebut, perlu dirasai kesannya seperti mana yang saya alami. Hal yang demikian adalah penting bagi menghasilkan keyakinan pada para penuntut sebagai sesuatu yang pertama dalam gerak buah Pertama.

Kebiasaan silat melayu yang jatuh tidak akan berkeadaan telentang, melainkan mengereng. Ketika itulah tangannya akan cuba menyauk kaki. Tapi dalam konteks jatuhan kita, akibat kejutan tamparan yang diberi, tangan pasangan kita biasanya akan menjadi kaku atau kebas. Maka mudahlah kita melihat gerak seterusnya sebelum kita ‘menganak’ gerak kita sendiri.

Oleh itu, kita jangan terlalu gopoh membuat pukulan sampingan sama ada dengan tangan atau kaki setelah pasangan kita dijatuhkan. Pada hal pukulan yang amat penting ditekankan ialah pukulan pertama di rusuk yang serentak dengan gerak kaki kita apabila pasangan kita membuat tumbukan. Dan satu lagi ialah pukulan secara tampar apabila pelipat pasangan kita jatuh ditekan. Jangan lupa dua pukulan tersebut. Itulah penekanan pada pengajaran yang sangat saya pentingkan. Selagi penuntut kita tidak dapat menguasai kedua-dua pukulan tersebut maka selagi itu akan saya suruh ulang dan berlatih hingga dapat. Ketika saya tumbuk penuntut maka itulah penekanan yang saya amat utamakan. Banyak faedahnya dalam usaha untuk mematikan gerak lawan.

Prinsip-prinsip lain seperti gerak ‘curi’ kaki kiri ke depan ketika mengambil buah, pelipat bertemu ponggong dan sebagainya maka nyatakan seperti arahan yang diberi berdasarkan buku panduan. Semuanya pada saya merupakan perkara ranting dalam buah Pertama. Kepentingannya tetap ada. Cuma kita jangan ambil mudah. Itu sebabnya juga untuk asas buah Pertama, saya lebih galakkan Jurulatih yang menumbuk penuntut dan bukannya tumbukan dan ambilan buah secara berpasangan antara sesama penuntut di peringkat pemulaan pelajaran.

Kalau Jurulatih yang menumbuk dan penuntut membuat buah maka banyak masalah dapat diselesaikan. Kita boleh selaraskan kedudukan badan kita bagi membolehkan penuntut membuat gerak tangan dan kaki secara serentak. Malah kita boleh rasakan sama ada penuntut kita membuat gerak yang tepat ataupun tidak. Maka mudahlah kita membuat pembetulan secara berterusan dalam waktu yang sama. Jangan terkeluar cakap. “Kalau macam ni, matilah kita nak mengajar.” Kalau nak mati maka eloklah duduk di rumah. Jangan ‘mati’ di kelas silat. Kalau nak mengajar maka ajarlah sungguh-sungguh.

Sambung dengan buah yang lain.

Friday, August 13, 2010

FAHAMAN SAYA PADA BUAH YANG ADA

Saya telah banyak menyentuh tentang kelebihan Kaedah dan keperluan kita mengambil berat pada pengajaran dan pembelajarannya. Dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang falsafah pada setiap buah yang ada dalam SC. Falsafah diertikan sebagai ‘kebenaran’ pada seseorang. Apabila saya membincangkan falsafah setiap buah tersebut maka bermakna saya menyatakan pengertian atau pegangan saya pada buah-buah berkenaan. Dengan kata lain, falsafah buah-buah dalam SC bermakna apa yang saya faham tentang buah-buah tersebut. Saya tidak berminat untuk menyentuh cara membuat atau penekanan yang perlu dibuat berdasarkan apa yang terdapat dalam buku panduan mengajar buah-buah SC, sama ada diterbitkan ketika ini atau di masa-masa sebelumnya.

Jangan salah tafsiran. Sekali lagi saya tegaskan bahawa perkara yang ditulis dalam tulisan ini adalah berdasarkan pengertian saya pada buah-buah berkenaan. Kalau dikatakan ‘pada pengertian saya’ maka bermakna itulah yang saya faham dan saya ‘bawa’ selama saya diamanahkan menjadi Jurulatih di Cawangan saya. Penegasan ini difikirkan perlu kerana apa yang ditulis adalah berdasarkan pengertian saya tanpa terikat dengan mana-mana panduan sama ada lisan atau tulisan yang ada melainkan dengan apa yang saya peroleh kefahamannya secara lisan dan secara perbuatan daripada Ustaz Hanafi. Saya bertanggungjawab atas tulisan ini semata-mata memenuhi hasrat, apa yang saya faham diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Maka tambah lagi satu sumber rujukan.

Apa pun, telah terbukti banyak generasi ahli Silat Cekak yang saya telah lahirkan. Kalau ada fahaman sama ada fahaman baru atau lama yang bercanggah dengan apa yang saya tulis maka fahaman itu adalah di luar kemampuan pemikiran saya. Walaupun selepas Ustaz, terdapat usaha-usaha pelarasan buah-buah dalam SC, tetapi saya berpandangan bahawa pelarasan muktamat hanya wujud di zaman Ustaz Hanafi sahaja.

Itulah punca kuasa kita bagi meneruskan usaha-usaha penyebaran pusaka Hanafi. Usaha-usaha penambahbaikan atau pengurangan pelajaran adalah tidak perlu dan tidak sesuai selagi kita ingin mendakwa bahawa pelajaran yang diterima dan diperturunkan kepada orang lain merupakan pusaka Hanafi. Sepatutnya sebarang bentuk pelarasan tentang Silat Cekak adalah perlu berasaskan punca kuasa ketika Ustaz ada bersama. Saya juga berpendapat, tanpa kehadiran Ustaz, bukan pelarasan baru yang cuba dibentuk tapi lebih merupakan perbincangan dan peneguhan atas apa yang telah diselaraskan terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, rasanya tak rugi kita kongsi bersama atas pemikiran saya yang ada sejak zaman dahulu dan kala. Zaman Ustaz dan seterusnya zaman Pak Ak dan awal zaman En Mat sebelum saya mengurangkan aktiviti persilatan akibat kesibukan menjalankan tugas. Peranan saya lebih banyak setakat berlisan daripada turun ke kelas latihan. Maka kuranglah perbuatan melainkan ada kunjungan inginkan penjelasan.

Dalam tulisan ini, saya juga ingin berkongsi pengalaman secara menyingkap semula cara dulu-dulu saya mengendalikan pemberian buah-buah SC dalam kalangan penuntut. Saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang aspek-aspek penting yang saya tekankan pada setiap pelajaran buah SC.

Ketika saya menjadi Jurlatih di pusat, setiap kali kumpulan kami sebagai Jurulatih ditugaskan mengajar silat di pusat-pusat latihan, pastinya kami akan berjumpa dengan Ustaz terlebih dahulu. Perbuatan tersebut adalah untuk meminta izin secara bersalam dengan Ustaz. Selalunya Ustaz ada di pejabat silat kerana Ustaz menetap di sana. Kerap kali juga ketika berjumpa itu Ustaz akan mengingatkan atau menerangkan tentang penekanan yang perlu dibuat ketika menyampaikan satu-satu pelajaran tersebut.

Itu sebabnya dalam tulisan yang lalu betapa saya aplikasikan konsep meminta izin itu dalam tugasan saya sebagai Jurulatih merangkap Penyelia Kelas, ketika berada di cawangan. Oleh sebab saya dilantik sebagai wakil guru secara tauliah dan bermandat, maka pembantu saya yang akan mengajar SC perlu bersalam dengan saya sebagai simbolik mendapat izin daripada Guru Utama yang mewakilkan saya. Saya percaya bahawa kesan perbuatan tersebut maka wujudlah tautan pada rangkaian ilmu anak murid yang menuntut SC daripada saya hingga ke punca ilmu iaitu Guru Utama SC pada setiap buah dalam SC.

Dalam melaksanakan amanah penurunan ilmu SC, Ustaz tidak pernah memarahi Jurulatih yang ponteng kelas. Saya dapat rasakan betapa tanggungjawab tersebut bukan terletak pada Jurulatih berkenaan. Hal yang demikian juga saya jadikan panduan. Jika ada kalangan pembantu saya yang tidak dapat hadir atau ponteng kelas mengajar, maka saya akan cuba elak daripada memarahinya. Atas dasar tanggungjawab, ketidakhadirannya pasti bukan berpunca daripada sikap suka ponteng tetapi kerana sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan. Itulah antara lain anggapan saya betapa pemikiran positif patut ada dalam kalangan pengendali kelas SC selaku Jurulatih.

Zaman dulu-dulu tak ada panduan bagi menjalankan tugas. Kekuatan diri dan daya emiginasi seseorang Jurulatih akan mempengaruhi corak kepemimpinan kelas latihan silatnya. Corak kepemimpinan itulah yang banyak mempengaruhi akan mutu pengajaran dan pembelajaran serta kualiti pesilat SC yang bakal dilahirkan. Lebih-lebih lagi ketika konteks dengan Ustaz semakin renggang kerana tuntutan masa dan bilangan kelas.

Bersambung dengan ulasan buah.

Wednesday, August 11, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN (5)

Bahagian Akhir Tajuk Ini

Selaku Penyelia Kelas dan ketua Jurulatih di cawangan, saya cuba sedaya upaya menghadirkan diri pada setiap kali latihan silat. Di samping dapat mengawal mutu silat yang diajar, kehadiran saya boleh memberi dorongan kepada para penuntut; malah pada Jurulatih itu sendiri. Walau bagaimanapun kadang kala saya gagal berbuat demikian kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan. Maka ketiadaan saya, perjalanan dan pengendalian kelas latihan akan diberi mandat pada Jurulatih lain yang saya pilih.

Setiap latihan, saya akan pastikan Jurulatih saya sentiasa dalam keadaan ’cergas’. Kecergasan yang saya maksudkan meliputi juga tiga faktor yang amat penting. Saya sentiasa ambil berat dan selalu memberi penekanan kepada mereka. Faktor yang terpenting, Jurulatih tersebut mesti mempunyai stemina. Faktor ini tersangat penting bagi melancarkan pemberian buah-buah silat. Mereka tidak boleh menampakkan keletihan ketika mengambil atau memberi buah. Hal yang demikian bagi mengelakkan kata-kata yang mungkin muncul dalam hati penuntut betapa lemahnya Jurulatih mereka pada hari tersebut. Kalau mereka sakit atau tidak cergas, lebih baik mereka berperanan sebagai pemudah cara; dan bukannya memberi buah. Tugas memberi buah boleh dimandatkan pada Jurulatih lain. Jangan tamak atau degil. Yang pentingnya ialah pembelajaran penuntut dan bukannya kita syok sendiri.

Salah satu cara menjaga stemina ialah jaga perut sendiri. Agak terlebih buncitnya maka buatlah sesuatu. Buat ujian. Lebih buncit atau tidak, kalau dipandang ke bawah, nampak atau tidak anu kita yang sedang berehat. Kalau dipandang ke bawah tak nampak anunya kerana terhalang oleh buncit perut maka bertindaklah segera. Jangan tengok ketika anu menggalak. Pasti nampak lebainya sahaja. Tak sah. Oleh itu, kuruskan perut dengan pelbagai cara. SPA pun ada. Cuma jaga baik-baik. Jangan jadi tajuk berita.

Di samping itu, kecekapan mereka bersilat perlu sentiasa tekal dan tepat. Mereka perlu berlatih terlebih dahulu pada pelajaran yang bakal diberi pada penuntut. Hal yang demikian boleh membantu ketepatan dan ketekalan mereka menyampaikan buah.

Akhir sekali saya akan pastikan semua Jurulatih saya berada dalam emosi yang tenang. Jangan baran-baran. Itu hak saya selaku ketua Jurulatih. Tugas mereka ialah memandu para penuntut agar penuntut dapat mempelajari dan menguasai pelajaran SC dengan sempurnanya. Jangan ada dua nakhoda dalam satu perahu. Pasti akan saya ’tendang’ dari kapal yang sedang belayar jika ada nakhoda yang lain.

Seperti yang saya tegaskan, kepelbagaian bentuk latihan adalah perlu. Hal yang demikian dapat memberi rangsangan dan mengelakkan perasaan jemu dalam kalangan penuntut. Dalam tulisan ini saya bincangkan tentang contoh bentuk latihan yang pernah saya lakukan. Bentuk ini tidak tetap dan sering berubah mengikut kesesuaian masa dan keadaan.

Hari Pertama Latihan.

Permulaan pelajaran, penuntut dihimpunkan dalam bentuk bulatan atau dalam satu kawasan yang ditentukan. Secara langsung saya telah berupaya mengenali Ketua Kelas pada pandangan pertama, tapi pada peringkat mencuba kebolehannya. Saya memanggil penuntut berkenaan berhadapan dengan saya dan memulakan penerangan.

Pada mulanya penuntut itu akan meletakkan penumbuk di dada kita. Maka bermulalah penerangan tentang Kaedah A. Kemudian Jurulatih akan menumbuk dan tumbukan itu ditepis dengan menggunakan Kaedah yang diajar pada kelas latihan tersebut. Kaedah letak, tumbuk dan tumbuk secara tarik kaki ke belakang adalah sangat popular. Penuntut yang lain dilarang membuat latihan sendiri. Semua perhatian ditumpukan pada penuntut yang sedang mempraktikkan Kaedah tersebut.

Selesai penuntut itu menumbuk, beliau akan diletakkan pada kawasan lain dan terus memerhatikan penuntut lain yang sedang mengambil buah. Biasanya penuntut berkenaan adalah pasangan latihannya. Apabila pasangannya selesai mengambil kaedah maka barulah mereka dibenarkan berlatih di tempat lain dengan pengawasan pembantu Jurulatih.

Setelah beberapa orang penuntut terlibat mengambil buah dan diperhatikan oleh semua penuntut dalam kelas berkenaan maka barulah berpecah kumpulan dengan awasan Jurulatih yang ada pada ketika itu. Bilangan kumpulan pun bergantung pada bilangan Jurulatih yang ada. Setelah semua penuntut mengambil buah maka mereka dibenarkan berlatih secara bersendirian.

Setelah Jurulatih berpuas hati pada jumlah masa latihan bebas dalam kalangan penuntut, Jurulatih akan memanggil mereka supaya membuat tumbukan secara barisan. Biasanya dibilang satu hingga lapan. Jumlah maksimum membilang adalah bergantung pada keperluan Jurulatih berkenaan. Mereka yang tidak tepat membuat latihan maka kelas akan diberhentikan setika bagi membolehkan penuntut itu mengulang semula gerak yang tidak tepat tersebut. Jika gerak yang diulang masih berkekalan salahnya maka pasangan itu akan dikeluarkan daripada barisan dan diletakkan di bawah awasan pembantu Jurulatih yang lain bagi membetulkan pergerakan. Jika pembantu Jurulatih tersebut telah berpuas hati maka barulah dimasukkan semula pasangan tersebut dalam barisan.

Kita tidak mahu mengganggu barisan yang ada. Kalau gerak yang salah dibetulkan dalam barisan maka akan mengganggu pasangan yang lain untuk meneruskan latihan. Mereka akan menunggu Jurulatih dan itu sangat membosankan. Tambahan pula jika Jurulatih membetulkan kesalahan pasangan tanpa memberi arahan kepada pasangan lain supaya ’merehatkan diri’. Timbul keadaan tergantung pergerakan mereka kerana menunggu arahan seterusnya daripada Jurulatih yang sedang sibuk membetulkan kesalahan pasangan lain.

Setelah Jurulatih berpuas hati dengan latihan maka kelas boleh disuraikan dan penuntut dibenarkan minum. Dalam kelas saya penyediaan minum memang ada. Biasanya tea kosong panas atau ais. Kerap kali beserta kueh mueh. Suasana yang sedemikian akan dapat memberi dorongan untuk terus belajar dalam kalangan penuntut.

Hari Kedua Latihan dan latihan-latihan seterusnya.

Setiap kelas latihan, Jurulatih perlu sampai lebih awal daripada penuntut. Sekurang-kurangnya telah ada seorang Jurulatih. Boleh dibuat giliran. Sampai saja penuntut di kelas latihan maka teruslah memulakan latihan secara bebas. Setelah semua penuntut sampai pasti ketika itu Jurulatih yang bertugas telah ada. Ketika mereka berlatih maka Jurulatih akan membuat awasan. Tegur dan perbetulkan mana-mana gerak yang tidak kemas.

Kalau kelas latihan yang telah banyak pelajarannya, ketika para penuntut berlatih maka ketika itu mereka yang ketinggalan buah akan diberi pelajaran yang tertinggal. Hal yang demikian adalah merupakan prinsip SC. Setiap penuntut tidak boleh melangkau pelajaran. Pelajaran yang diterima mesti berdasarkan turutan.

Setelah puas penuntut berlatih secara bebas maka bolehlah kita membuat latihan secara barisan. Setelah berpuas hati maka kita kumpulkan mereka untuk memberi pelajaran baru pada hari tersebut. Prinsip pemberian tetap sama. Setelah diberi pelajaran maka mereka akan membuat latihan bebas dengan pengawasan Jurulatih. Setelah itu akan dibuat barisan. Ketika itu teguran dan bimbingan adalah secara berterusan. Begitulah keadaannya pada kelas-kelas yang berikutnya, hingga mereka tamat pelajaran. Dalam masa itulah kepelbagaian latihan perlu ada. Jurulatih perlu kreatif bagi mengelakkan perasaan jemu dalam kalangan penuntut.

Sekian.

Monday, August 9, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN (4)

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN (4)

Konsep perbuatan memberi salam sama ada menggunakan tangan atau mulut, sangat saya pentingkan. Dalam tulisan terdahulu, saya telah sentuh tempat-tempat yang perlu dipraktikkan perbuatan salam menggunakan tangan. Perbuatan salam meliputi antara penuntut dengan penuntut, penuntut dengan Jurulatih dan sesama Jurulatih. Kalau dikirakan berapa kali salam, tentunya banyak kali. Antara lain dapat kita lihat dalam situasi seperti yang berikut:

a. Sampai kelas, salam dengan Jurulatih yang sedia menunggu.
Bergantung pada situasi. Siapa yang dulu sampai.
b. Bersalaman sesama penuntut.
c. Setiap kali penuntut menerima buah pada sebelum dan selepas dapat buah.
d. Masa balik, bersalam dengan Jurulatih dan sesama rakan.
e. Dalam proses penurunan buah, sesama Jurulatih juga saya tekankan disiplin salam. Pembantu Jurulatih hanya dibenarkan mengajar atau mengendalikan kelas selepas bersalam dengan Jurulatih yang bertanggungjawab dalam kelas berkenaan. Bersalam sama ertinya dengan konsep menerima izin menjalankan tugas atas dasar Jurulatih atau Penyelia Kelas tersebut adalah wakil Guru. Kesannya amat baik. Hal-hal yang memungkinkan sifat angkuh atau tak sehaluan atau ’melawan taukeh’ dapat dihindarkan. Keadaan yang sedemikian telah terbukti kebenarannya.

Adab dan adat bersalam ini jika ditekankan perbuatannya akan memberi banyak manfaat. Suasana kelas akan menjadi lebih seimbang dan harmonis. Saya selalu ingatkan pada mereka yang bersalam. Ketika perbuatan salam dilakukan maka mata biasakan bertentang mata dengan orang yang kita salam. Rasakan sentuhan salam tersebut. Dari mata turun ke hati. Itu sebabnya orang yang bersalam tanpa merenung mata adalah merupakan orang yang bersama jasad tanpa beserta dengan hati atau rohnya. Sambil lewa dan tidak memandang atau tidak mengakui kewujudan kita di depan matanya. Jangan-jangan sifat demikian melambangkan keangkuhannya yang sebenar.

Saya juga telah sentuh dalam tulisan terdahulu jenis golongan ini yang mendakwa rapat dengan Ustaz. Tapi bongkak dengan sesama ahli silat yang lain. Salam tak tengok muka. Besar kepala. Ambil peluang rapatkan diri dengan Ustaz dalam keadaan kesampingkan orang lain. Jenis haprak dalam persilatan kita. Bila berbicara maka dibuktikan sebagai pengamal SC yang mulia. Jenis manusia ini memang ada dalam kalangan kita. Kerap kali tampil ke depan mendakwa sebagai pembela perjuangan SC pusaka Hanafi yang mulia. Pembela yang bermusim. Kemunculannya ikut keperluan. Bukan berjuang sepanjang masa. Janganlah kita terpedaya dengan bijik buah mereka.

Mungkin sekarang ini sudah menjadi kebiasaan orang yang tidak mementingkan prinsip dari mata turun ke hati. Hinggakan cenderamata pun ditukar istilah jadi cenderahati. Kalau dulu, setiap pemberian hadiah dikira sebagai lambang buat tatapan mata terlebih dahulu, sebelum berkenan dan dihargai di hati. Sekarang langsung terus di hati. Fahaman songsang. Mata tak payah tengok. Tak payah tengok pemberian orang. Sesuai untuk orang-orang buta dan orang-orang yang buta kayu. Rosak betul budaya kita!.

Zaman dulu-dulu, ketika bersalam pun mereka akan mencuba gerak. Tapi dengan kita hal yang demikian tidak akan mendatangkan masalah. Itupun pada mereka yang mengetahui dan menghayati falsafah, konsep dan prinsip SC. Itu sebabnya dalam situasi bersilat, kita perlu bersikap waspada, hatta pada rakan seperguruan yang memberi salam. Ustaz pernah menyentuh soal ini dalam satu majlis bersama dengannya. Namun begitu, yang jelasnya, konsep ’percaya boleh, yakin jangan’ perlu dipegang dalam pelbagai situasi silat. Hal yang demikian amat berguna pada kita jika mendakwa sebagai pengamal silat. Keuntungannya amat berharga dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Kemantapan mengendalikan satu-satu kelas latihan sangat bergantung pada kewibawaan Jurulatih. Mereka akan menentukan sama ada kelas-kelas latihan tersebut memberi kesan pada pembelajaran penuntut. Peranan mereka umpama peranan guru utama yang telah memberi mandat pada mereka. Tapi yang pastinya jangan berlagak umpama Guru Utama hingga tak sedar kedudukan diri. Cakap sesuka hati. Perasan akan menguasai diri. Akhirnya juga rosak diri. Telah terbukti.

Oleh itu disiplin diri Jurulatih juga adalah merupakan salah satu faktor yang tersangat penting dan saya tekankan dari masa ke masa. Semasa sessi pengendalian kelas, pastikan hanya seorang Jurulatih sahaja yang membuat penerangan. Walaupun pada hari yang berkenaan ada ramai Jurulatih sama ada sama tuanya atau pun tidak, mereka perlu membuat jadual mengendalikan kelas. Jurulatih yang terikat dengan jadual sahaja boleh membuat penerangan. Jurulatih yang lain boleh juga memberi penerangan tambahan dengan syarat mendapat kebenaran atau diberi laluan oleh Jurulatih yang bertugas. Itupun saya tidak galakkan. Tidak mahu persaingan popular sesama mereka. Terutama pada Jurulatih yang tidak mantap kedudukannya.

Lebih baik jika ada penambahan atau penambahbaikan untuk penerangan, nyatakan saja pada Jurulatih yang bertugas terlebih dahulu. Kita tidak mahu wujud kecenderongan dalam kalangan penuntut membuat perbandingan sesama Jurulatih yang mengendalikan kelas mereka. Oleh itu, sebarang kesilapan atau tertinggal fakta hanya akan diterangkan kembali oleh Jurulatih yang membuat penerangan dalam kelas latihan tersebut. Mandatori. Akur sahaja.

Di Cawangan saya, kesemua Jurulatih yang ada, saya kursuskan terlebih dahulu sesuai dengan hala tuju setiap pelajaran SC yang ingin saya bawa. Tambahan pula hampir kesemua mereka adalah merupakan bekas penuntut yang saya didik dalam persilatan SC. Setiap kali pelajaran silat, saya akan beri taklimat kepada pengendali kelas latihan hari itu tentang prinsip buah-buah yang berkenaan. Saya tumbuk dan mereka buat buah. Saya akan komen jika tidak berpuas hati tentang cara mereka ambil buah.

Saya berkeyakinan bahawa cara yang saya lakukan itu adalah patut dan penting kerana penuntut kita akan melihat cara Jurulatih mengambil buah berbanding dengan penerangan yang kita beri. Kerap kali penerangan kita kurang diberi perhatian ataupun dengar tak dengar sahaja. Oleh itu, jangan terang lama-lama. Penerangan biarlah lebih berfokas dan terus pada tujuan buah-buah berkenaan. Jangan membebel macam nenek tua. Tapi cakap tak serupa bikin. Penerangan bercanggah dengan perbuatan. Selalu saya ingatkan mereka.

”Kita membuat penerangan pada mereka yang lupa. Perbuatan yang kita tunjukkan pada penuntut akan menyebabkan mereka boleh ingat kerana sesuai dengan fitrah manusia. Apabila mereka dilibatkan dengan pengambilan buah-buah tersebut maka akan fahamlah mereka tentang apa yang ingin kita sampaikan.”

Oleh itu, jangan banyak bercakap. Tunjukkan buah pada mereka melalui perbuatan benar yang kita lakukan. Kemudian libatkan mereka dengan cara kita pula yang membuat tumbukan dan mereka mengambil buah-buah yang kita turunkan. Maka akan hebatlah penuntut kita. Dua campur dua pastinya empat. Yakin sekali.

Hal yang demikian adalah penting bagi mempastikan setiap buah SC yang diturunkan kepada penuntut benar-benar tepat dan memberi makna pada pengamalnya. Oleh sebab itu, saya berhak campur tangan jika penerangan yang mereka beri pada penuntut tidak lengkap atau tersasar daripada matlamat pelajaran. Setakat pengalaman saya mengendalikan kelas, hal yang demikian tidak mendatangkan sebarang masalah. Kesemua Jurulatih di bawah kelolaan saya masih dapat menerima keadaan yang wujud tersebut. Maka saya terus dihormati sebagai pembimbing utama. Agaknya.

Sekian setakat ini.

Sunday, August 8, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN (3)

Semasa saya menuntut SC, saya merupakan pilihan utama untuk mendapatkan buah baru dalam setiap pemulaan kelas latihan. Semua kaedah atau buah yang akan diturunkan adalah bermula dengan saya menerimanya terlebih dahulu. Kenapa saya dijadikan pilihan utama untuk mendapatkan buah bagi setiap proses penurunan ilmu SC. Dalam hati saya, banyak agakannya. Namun begitu, pastinya hal yang demikian ada kaitan dengan persetujuan bersama Ustaz sebelum buka kelas silat di tempat saya. Saya telah ceritakan dalam tulisan terdahulu tentang persetujuan bersama tersebut. Namun begitu, tidak ada siapapun antara penuntut yang persoalkan keadaan itu. Semua mengakui bahawa saya berperanan sebagai ketua Kelas. Sekurang-kurangnya kerana saya juga bertanggungjawab membuka kelas berkenaan. Agaknya kerana itu saya berhak mendapat keistimewaan.

Oleh sebab saya yang selalu mendahului senarai penuntut mengambil buah, maka saya sentiasa tertanya-tanya akan apa yang bakal berlaku pada diri saya dalam setiap buah yang diperturunkan. Dalam hal ini, maka banyaklah pengalaman yang ’memeranjatkan’ telah saya tempuhi. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah seperti berikut.

Buah pertama, bagai nak patah tulang rusuk. Buah Sendeng Atas, menelan darah akibat bibir pecah. Kilas Belakang, diri melayang dan kebingungan. Buah Kidung, lembek lutut. Tak payah tekan pelipat. Jatuh sendiri. Ali Patah Sudah menghilangkan nikmat minum air. Pasung Kemanga menghasilkan kejutan letrik. Buah Lintau, bintang bersinar. Buah Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung menghasilkan jeritan yang kuat dan begitu juga dengan setiap buah jatuhan lain yang mempunyai ’keistimewaanya’ tersendiri. Itulah antara lain pengalaman yang diterima ketika menerima buah-buah asas dan jatuhan. Pengalaman tersebut adalah teristimewa bagi penuntut pertama yang tidak boleh membuat jangkaan akan apa yang bakal diterima. Penuntut kedua dan seterusnya saya rasa kurang ummm-nya. Mereka sudah boleh membuat jangkaan dan pengawasan diri pada setiap buah yang diterima.

Sebagai penuntut pertama juga, ketika pelajaran potong dan serang maka pengalaman lain pulak yang diterima. Gerak potong banyak dipengaruhi oleh gerak mengambil buah jatuh. Jika pantas mengambil buah jatuhan maka lagi pantas kita memintas. Pastinya kelajuan akan mempengaruhi kekasaran. Lagi laju pergerakan maka lagi memungkinkan kekasaran dalam gerakan. Oleh sebab saya suka ambil cepat dan pantas maka teruk juga menerima pengalaman buah potong.

Buah serang kita adalah sangat ringkas tapi padat. Jika tidak dibuktikan kehebatannya maka memungkinkan wujud sifat tidak mengambil berat dalam kalangan penuntut. Oleh itu, kehebatan Buah Serang perlu dizahirkan pada penuntut. Sekali lagi saya mendapat pengalaman berharga selaku penuntut pertama menerima pelajarannya. Cara Ustaz memberi buah menyebabkan raungan yang tak tentu hala sebutannya. Baru tahu kehebatan serang SC. Walau pun tak banyak pelajarannya tapi amat besar maknanya jika penuntut sendiri menyaksikan kehebatan tumbuk serangnya.

Pemilihan seorang penuntut yang dianggap istimewa dalam kalangan penuntut pada setiap kelas, saya jadikan satu tradisi yang berterusan dari masa ke masa. Penuntut yang terpilih tersebut merupakan ’Ketua Kelas’; pengantara antara Jurulatih dengan para penuntut yang lain dari aspek pentadbiran persatuan. Beliau berperanan membuat pengumuman, mencatat kehadiran, pungutan yuran dan memberi arahan kepada penuntut yang diterimanya daripada Penyelia Kelas dari masa ke masa.

Kebolehan ketua kelas bukan terhad sebagai pembantu dalam pengurusan kelas, tetapi juga berperanan dalam proses menerima buah. Beliau juga saya jadikan sebagai penerima pertama buah dalam setiap pemulaan pelajaran dalam kelas latihan seperti mana yang pernah saya alami.

Sebagai panduan, untuk mengenal pasti watak penuntut berkenaan, saya mendasarkan pada beberapa faktor. Pertamanya ialah minat yang ditunjukkan. Ukuran minat boleh kita ketahui apabila kita turut turun padang bersama dengan mereka bersilat. Sikap dan pelakuan yang ditunjukkan akan memberi makna kepada kita bagi menentukan minat mereka sama ada mendalam atau mendatar sahaja.

Di samping itu, ketahanan fizikal juga perlu diambil kira. Penuntut berkenaan perlu ’tahan’ menerima gerak-gerak pukulan yang ada pada setiap buah. Bukan semua penuntut boleh menerima rasa pukulan tersebut. Walau bagaimanapun, rasa perlu dijelaskan dan ditunjukkan kepada mereka. Oleh itu, penuntut yang pertama adalah dikira bertuah untuk merasa setiap gerak yang ada dalam buah-buah SC. Maka itu, ketahanan dan bentuk fizikalnya adalah amat penting.

Ketua Kelas juga perlu mempunyai watak yang menyenangkan. Sifatnya adalah tidak panas baran. Hal yang demikian adalah penting bagi mengekalkan hubungan baik antara kita dengan ketua kelas yang dilantik. Di samping itu, ketua kelas yang kita lantik perlu mempunyai bakat kepemimpinan. Cakapnya boleh mempengaruhi penuntut lain. Sudah tentu kita juga turut berperanan untuk mengangkat statusnya dalam kalangan penuntut. Beliau dapat dididik untuk membantu kita mentadbir persatuan yang kita pimpin setelah tamat nanti. Hal yang demikian adalah penting bagi mempastikan persatuan kita bertambah mantap dari masa ke masa.

Sekian setakat ini. Sambung lagi.

Thursday, August 5, 2010

Sambungan... PENGENDALIAN KELAS (2)

Betapa mudahnya untuk mendapatkan ilmu SC dapat dilihat pada hari pertama kita berada dalam kelas. Berdasarkan pengalaman, saya lihat mempelajari SC lebih mudah dan tersangat mudah berbanding dengan silat-silat Melayu yang lain. Kita tidak perlu mengenakan pakaian silat yang khas. Memadai dengan T/shirt sahaja. Kalau permulaan kelas, kita hanya menunggu penerangan daripada Jurulatih.

Tidak ada senaman khas melainkan latihan kaki dan tangan. Cuma sekarang ini ada dibuat secara barisan. Zaman saya latihan-latihan tersebut merupakan anisiatif sendiri. Kalau nak kuasainya latih sendiri. Apa yang saya lihat ramai yang membuat latihan sendiri. Pelajaran baru pastinya akan cuba dikuasai dengan sepenuhnya oleh penuntut. Tugas kita ialah terangkan konsep satu genggam dan satu buka. Satu telentang dan satu telengkup. Aplikasikan dalam pelajaran kita.

Walau bagaimanapun tidak perlu kita membanding atau berbahas corak mana yang baik dan sesuai. Perkara pentingnya seperti yang saya nyatakan, dalam kelas latihan silat, kepelbagaian kaedah penyampaian adalah perlu dan amat baik dilakukan. Begitulah mudahnya mempelajari SC. Banyak lagi yang mudah dalam konteks silat selain daripada apa yang saya bincangkan di atas.

Namun begitu, kita perlu menyesuaikan konsep mudah dengan diri kita tanpa memudahkan aspek pembelajaran dan pengajaran. Kita perlu mementingkan kualiti penuntut kita dan bukannya mementingkan kuantiti semata-mata. SC sangat mementingkan kualiti. Berdasarkan pemerhatian saya, itu sebabnya dulu, kita tak pernah mendabik dada dan bermegah dengan bilangan ahli SC. Setakat ukuran ahli persatuan kita boleh menyatakan bilangan yang ada. Namun, berdasarkan ahli silat, ukuran bilangan ahli yang mengamalkan SC amat sukar diukur. Itu sebabnya juga sepanjang ingatan saya, kita tidak mudah mengeluarkan kenyataan tentang bilangan ahli seperti mana yang sering dilakukan oleh silat-silat Melayu yang lain ketika. Bermegah dengan bilangan ramai yang memasuki SC tidak memberi makna kepada kita.

Pengawalan atas kualiti ini juga dapat dilambangkan dengan prinsip membuka satu cawangan di setiap negeri. Kelas-kelas silat yang ada dalam negeri berkenaan akan dinamakan sebagai pusat-pusat latihan. Sekali kita buka cawangan, maka kita akan terus mempertahankan pembukaannya. Keperluan satu-satu pusat latihan adalah berdasarkan keperluan. Biasanya, kelas-kelas di pusat-pusat latihan juga akan dipertahankan dari masa ke masa.
Sebagai seorang Jurulatih yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu dalam kalangan para penuntut, kita perlu benar-benar meletakkan kepercayaan dan keyakinan pada SC. Kita percaya bahawa SC amat hebat dan hebat. Persoalannya adakah kita yakin diri kita juga hebat dan boleh menghadapi segala bentuk ancaman daripada musuh. Sebagai kiasan, kita boleh percaya apabila kita nampak buah epal dipanah atas kepala seorang penonton tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Namun begitu, yakinkah kita atas aspek keselamatan diri apabila epal tersebut diletak di atas kepala kita untuk dipanah.

Itu sebabnya, saya selalu tegaskan betapa kita yang belajar mesti mengambil berat setiap proses pembelajaran para penuntut. Di samping itu, kita perlu mengambil berat proses penurunan ilmu. Hal yang demikian supaya kualiti SC adalah terjamin dan sifat keyakinan dapat disemai.

Masa yang terhad perlu disesuaikan dengan diri. Jangan cuba mengurus masa. Orang yang mengurus masa selalu lupa diri. Kita perlu mengurus diri dan sesuaikan diri dengan masa yang telah ditetapkan oleh Tuhan selama dua puluh empat jam. Orang yang hebat sentiasa mendahului masa. Kalau mula kelas pukul lapan, ahli yang belajar dan Jurulatih yang mengajar eloklah datang awal. Orang biasa adalah orang yang hanya menepati masa. Manakala orang lemah sentiasa melewati masa. Salah satu punca yang menyebabkan orang-orang yang lemah melewati masa adalah disebabkan sifat dan sikapnya yang selalu ambil mudah.

Hubungan kita dengan para penuntut semakin akrab. Dalam konteks silat, hubungan akrab ini akan digunakan oleh para penuntut untuk bertanyakan soalan. Pastinya berdasarkan pengalaman terdekat mereka dalam SC. Hal-hal yang berkaitan dengan tidur atas kain putih mungkin ditanya mereka. Jika ada antara mereka yang pernah membaca berkaitan dengan SC pastinya soalan yang dikemukakan lebih mencabar yang memaksa kita supaya berhati-hati sebelum memberi jawapan.

Kalau kita mengambil jalan mudah mungkin soalan-soalan tersebut tidak dilayan. Kita mungkin menjawab dengan pelbagai jawapan melepas diri. Walau bagaimanapun, jika kita mempunyai pengetahuan maka berilah jawapan kepada setiap persoalan. Berhati-hati. Jangan dilayan persoalan-persoalan kefahaman SC ketika kita mengajar pelajaran fizikal. Biarlah selesai latihan silat maka persoalan-persoalan berbentuk demikian bolehlah diambil kira. Akal penuntut banyak ragamnya.

Saya teringat peristiwa ketika saya belajar SC dulu. Pada hari tersebut kami tak ada mood nak belajar. Tambahan pula Jurulatih yang datang agak ‘garang’ sedikit. Maka kami berpakat untuk berehat sedikit pada hari itu. Caranya adalah dengan bertanyakan sebanyak mungkin soalan. Jurulatih tersebut layan pulak persoalan kami. Maka banyaklah rehatnya daripada berlatih pada hari itu. Beria-ria benar Jurulatih melayan soalan kami yang sengaja dibuat bagi membenarkan perbuatan kami tersebut. Hal yang demikian saya jadikan panduan ketika memimpin kelas SC di bawah pengurusan saya. Setiap persoalan yang dikemukakan perlu berhati-hati ketika menjawabnya. Kita perlu tahu sama ada persoalan itu direka-reka atau sememangnya merupakan persoalan di benak mereka. Hal yang demikian akan dapat menghindari diri kita daripada terperangkap dengan muslihat mereka.

Walau bagaimanapun sebarang gelagat atau sebarang bentuk persoalan yang timbul, semuanya bergantung pada jenis penuntut yang kita ada. Setiap pengambilan penuntut, pasti berlainan perwatakan dan pembawaan. Kalau ada antara mereka yang suka bertanya maka ‘susahlah’ sikit kita menjawabnya. Perlu ada kemahiran menjawab dan ilmu pengetahuan mengenainya. Kadangkala mereka yang kurang ilmu tapi pandai cara menjawab, lebih mudah menyelesaikan persoalan daripada mereka yang berilmu tapi kurang pandai menjawab persoalan. Kemahiran ini boleh diperoleh melalui pengalaman, latihan dan pendedahan oleh pihak berkuasa persilatan.

Kebiasaannya pada pemulaan pelajaran asas, kita akan mengedarkan senarai nama-nama buah SC. Persoalan yang sering ditimbulkan oleh peminat-peminat yang suka bertanya ialah berkenaan nama-nama buah yang terdapat dalam senarai tersebut. Timbul persoalan yang berkaitan dengan keaslian, ceduk-menceduk, kebenaran kita memperoleh buah guru dan pelbagai bentuk persoalan lagi. Segala-galanya bergantung pada kebolehan dan kemahiran Jurulatih mengendalikan persoalan yang timbul tersebut. Akhirnya penuntut akan berasa puas hati atau terus memendam dalam hati akan persoalan yang ditimbulkan tersebut.

Berdasarkan hal-hal yang saya bincangkan di atas, langkah kita mengadakan kursus-kursus untuk para Jurulatih dari masa ke masa adalah baik dan perlu diberi sokongan. Kadang kala boleh juga kita memanggil Jurulatih-Jurulatih lama untuk berkongsi pengalaman dalam proses mereka menyampaikan pelajaran SC dalam kalangan penuntut. Perkara penting yang kita harus ingat ketika ini ialah wujud saingan terbuka dalam kalangan persilatan Silat Cekak bagi menentukan Silat Cekak yang mana satu masih mempunyai kehebatan dan ketepatan pelajarannya. Kita tidak boleh mendakwa diri kita hebat. Kehebatan adalah sesuartu yang dinilai oleh orang lain. Namun begitu kita perlu menyediakan suasana yang membolehkan orang lain mengingatkan bahawa Silat Cekak yang kita ada merupakan satu-satunya Silat Cekak yang benar, boleh dipercayai, berkesinambungan dengan pusaka Hanafi dan hebat.

Sekian.

Monday, August 2, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN

Biasanya masuk minggu kedua latihan dan latihan-latihan seterusnya, kita telah ada hubungan dengan para penuntut. Kita telah dapat memahami sedikit sebanyak tentang mereka. Rasanya para penuntut juga turut memahami perwatakan yang kita ada. Dalam masa pengajaran buah-buah asas, hubungan antara kita dengan para penuntut perlu dirapatkan lagi. Biarlah mereka faham akan kesungguhan dan hala tuju kita membawa mereka dalam persilatan dalam kelas kita. Hubungan rapat antara Jurulatih dan penuntut akan memudahkan proses penurunan buah berlaku.

Ketika inilah kita mula berbicara tentang kelebihan SC yang ada. Kalau kita katakan SC amatlah mudah maka tunjukkan sifat mudah yang ada dalam konteks persilatan dan bukannya aspek latihan. Dalam latihan, kalau kita mengambil mudah maka hasilnya kurang memberi kesan. Modal seringgit tidak mungkin mendatangkan keuntungan ribuan. Kecualilah konsep loteri bola.

Dalam pantun kita, terdapat perkataan ‘mudah’. ”Silat Cekak amatlah mudah”. Saya bependapat, kita perlu memahami dan menghayati perkataan tersebut. Kita tidak mahu oleh sebab dikatakan ‘mudah’ maka akhirnya penuntut kita akan ‘ambil mudah’. Kerja yang mudah hasilnya pasti tak seberapa. Kalau berniaga bermodalkan 10 sen jangan harap untuk untung seringit. Mencari sepuluh sen lebih mudah daripada mencari seringgit.

Pada saya, sememangnya Silat Cekak itu kalau dipandang secara keseluruhan, memang mudah. Tapi saya tidak pernah permudahkan pelajarannya. Kita katakan mudah adalah berdasarkan pandangan keseluruhan kepada silatnya. Mudahnya SC adalah kerana falsafah, konsep dan prinsip yang terkandung dalam pelajarannya adalah jelas dan dapat diterima akal. Kerana itu juga penggunaan kata atau istilah amat kita ambil berat.

Jelaslah, dalam konteks keseluruhan silat, untuk mempelajari SC adalah amat mudah. Hanya wang dan kain putih dijadikan syarat utama. Kalau silat-silat Melayu yang lain, karenah belajar amat banyak. Wang adalah sesuatu yang boleh kita usahakan walaupun kurang berkemampuan. Tapi kalau disuruh membawa jarum, garam, sintuk, anak ayam, ibu ayam, bapak ayam dan sebagainya maka banyak sekali karenahnya. Walaupun bahan-bahan tersebut biasa dan mudah didapati, pencariannya juga boleh mendatangkan kepayahan dalam konteks masa. Itu sebabnya mempelajari SC dikira amatlah mudah.

Mudah juga dapat dirujuk pada proses penyampaian pelajarannya. Berdasarkan pengalaman ketika menuntut salah satu silat Melayu satu ketika yang lalu, setiap kali pelajaran silat, gurunya akan bertanya pada anak muridnya tentang pelajaran sebelumnya. Maknanya guru silat tersebut mengajar berdasarkan kaedah ‘IT’ – ikut terlintas. Begitu juga dengan silat lain yang saya tuntut. Belajar tumbuk dan kemudiaannya akan diajar buah. Gerak silatnya adalah lebih berdasarkan gerak hafalan. Hal ini demikian kerana tiada sistem dalam proses pengajarannya. Kalau dibandingkan dengan sistem kita, pelajaran yang diajar adalah bersekali antara kaedah dan buahnya.

Oleh sebab banyak pengalaman dengan silat Melayu yang lain, maka saya dapat rasakan betapa mudahnya mempelajari SC. Hal ini demikian kerana SC mempunyai sistem penyampaian dalam proses penyampaian isi kandungan pelajarannya. Daripada kaedah kita melakukan gerak asas. Mahir gerak asas maka barulah dibuat jatuhan. Kita juga mempunyai sistem pelajaran untuk menunggu serangan musuh dan sistem pelajaran untuk menyerang.

Pelajaran yang sedemikian mempunyai turutan dan mudah diikuti. Jika inginkan kehebatan bersilat, maka setiap penuntut perlu mengikuti turutan pelajaran tersebut dalam keadaan tidak boleh tidak. Jika ada para penuntut yang berhenti sekerat jalan maka beliau tidak boleh mendakwa telah menguasai SC. Hal ini demikian kerana mempelajari SC bermakna perlu mempelajari keseluruhan isi pelajarannya. Penuntut tersebut perlu menguasai semua isi pelajaran daripada Kaedah hingga tamat dengan kaedah menyerang. Tanpa penguasaan pelajaran tersebut beliau hanya mempelajari sebahagian daripada pelajaran SC. Oleh itu, beliau tidak layak mendakwa dirinya sebagai ahli SC, melainkan sebagai ahli persatuan SC sahaja.

Kita pun tidak terasa rugi apabila ada dalam kalangan penuntut yang meninggalkan SC pada sekerat jalan pembelajarannya. Kita diyakinkan bahawa penuntut berkenaan tidak mempunyai habuan atau rezeki untuk mempelajari keseluruhan pelajaran. Pelajaran yang ada padanya tidak akan memberi makna kerana pelajaran yang seterusnya akan mengatasi ilmu SC yang dipelajarinya itu.

Pelajaran SC yang berturutan memudahkan kita mengikuti latihan dan cepat faham. Konsep ‘berlawanan’ yang menjadi lumrah alam, ada dalam SC. Misalnya kalau ada pelajaran bertahan maka ada pula pelajaran menyerang. Kalau dikunci ada pembukanya. Kalau dipukul ada pintasannya. Kita boleh nampak bagaimana daripada Kaedah lahirnya gerak-gerak seterusnya yang mempunyai kesinambungan. Hebat dan mudah diikuti. Hal yang demikian akan menimbulkan kepuasan dalam kalangan penuntut yang mempelajari SC.

Penggunaan istilah ‘kelas’ silat dapat dilambangkan betapa mudahnya pembelajaran SC. Pembelajaran SC adalah lebih tersusun dan terancang. Perkataan kelas tentunya berbeza akan konsepnya dengan perkataan gelanggang. Kalau gelanggang ada upucara pembukaan gelanggang dan penutup gelanggang. Oleh sebab konsep kita adalah berdasarkan kelas maka konsep kelas tersebut melambangkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku adalah dalam keadaan sempurna. Para penuntut dibimbing supaya dapat mengusai proses penurunan ilmu.

Sesuai dengan konsep kelas juga kaedah penyampaian pelajaran amat dititikberatkan. Para pengajar SC yang bergelar Jurulatih adalah bertanggungjawab mempastikan para penuntut dalam kelas berkenaan dapat menguasai pelajaran silat dengan sempurna. Kaedah penyampaian adalah pelbagai. Kaedah-kaedah tersebut seperti berbaris, latih tubi, arahan, penerangan, syarahan dan sebagainya dapat dijadikan panduan dalam proses penyampaian dan penerimaan ilmu. Saya selalu tegaskan antara konsep memandu dengan konsep mengajar. Kalau niat kita sebagai memandu para penuntut maka tindak tanduk kita tentunya berbeza, berbanding jika kita bertindak sebagai pengajar.

Konsep kelas juga dihubungkan dengan prinsip ujian, peneguhan pelajaran dan pemulihan. Mereka yang diuji, jika tidak mencapai hasrat pembelajaran maka akan dibuat pemulihan. Bentuk pemulihan juga adalah pelbagai. Perkara pentingnya ialah penuntut berkenaan, akhirnya dapat juga menguasai pelajaran SC yang disampaikan.

Saya berpendapat kalaulah Jurulatih asyik menonjol diri atau asyik ‘melepas perasaan’ kepada penuntut silat secara mengherdik atau melalui pelakuan yang bersifat panas baran maka eloklah ditukarkan istilah kelas tersebut kepada istilah gelanggang. Konsep gelanggang amat bersesuaian untuk dihubungkan dengan pelakuan penonjolan kehebatan, panas baran atau memberi arahan dari atas kerusi. Umpama direktor filem zaman P. Ramlee.

Dalam konsep kelas, di samping kebolehan kita mengajar silat, kita juga perlu mempunyai aspek-aspek kebolehan asas yang lain seperti kebolehan menyampai, menguji, membuat peneguhan, pemulihan, motivasi, komunikasi dan sebagainya. Kalau para Jurulatih kurang kemampuan dalam penguasaan pelbagai kemahiran tersebut maka Lembaga Pelajaran perlulah memikirkan kursus-kursus yang sesuai dan berkenaan untuk para Jurulatih.

Sekian.