Tuesday, February 1, 2011

KENANGAN 9.

MENCABAR SC.

Kerap belaku di masa-masa lalu betapa banyak silat Melayu yang ’gulung tikar’. Niat murni menyebarkan ilmu dalam mayarakat Melayu sering terbantut kerana sekatan dengki. Apabila dicabar mengadu tenaga, mereka yang kalah terpaksa beralah. Malangnya silat yang menang tidak pula berminat mengambil tempat untuk menyebarkan ilmu persilatan. Hanya semata-mata menutup gelangggang orang menjadi kepuasan. Sifat yang sama telah dikiaskan Ustaz sebagai ular yang bersifat kianat. Setakat mematuk untuk mematikan mangsa. Lebih baik sifat harimau berbanding ular. Mangsa dibunuh harimau kerana sememangnya makanan binatang tersebut.

Walau bagaimanapun, usaha-usaha untuk ’menggulungtikarkan’ SC sentiasa menemui jalan buntu. SC terus berkembang dan bertapak dari satu tempat ke tempat lain. Di mana Cekak bertapak maka disitulah terjadinya suasana ’kepanasan’ pada silat-silat Melayu yang lain.

Semasa saya sedang belajar SC di kelas universiti, berlaku juga sengketa dengan Gayung Fatani. Mereka turut menggunakan istilah Cekak pada persilatan mereka. Hal yang demikian tidak menyenangkan Ustaz. Ketika itu, guru Gayung Fatani pernah melawat kelas kami di universiti. Desakan Ustaz supaya mereka menarik balik perbuatan tersebut telah dituruti. Oleh itu, sengketa yang lebih buruk dapat dihindari.

Umum mengetahui ketika itu juga betapa hubungan Gayung Fatani dengan Kalimah begitu erat sekali. Saya pernah membaca tulisan mereka dalam majalah Pendekar. Guru kedua-dua persilatan itu, ada hubungan keluarga. Maka tidak hairanlah persilatan tersebut menyusun strategi bagi menghalang perkembangan SC. Namun begitu, kepimpinan Ustaz yang bersemangat kental telah dapat menangkis dan mengharungi segala cabaran yang hebat tersebut.

Dugaan pada SC tidak terhenti begitu sahaja. Saya masih teringat peristiwa yang berlaku ketika kita menyambut perayaan sepuluh tahun. Perayaan yang diadakan di Sulaiman Club itu dipenuhi dengan acara penyampaian sijil, pingat dan demontrasi silat secara besar-besaran. Ramai yang hadir. Itulah acara yang besar dan mempunyai pengertian yang tersendiri kepada saya sejak melibatkan diri dengan SC. Setakat menerima sijil rendah sahaja. Belum ada yang bersifat ’jasa.’

Dua peristiwa besar telah berlaku di sebalik Perayaan tersebut yang benar-benar terasa dihati dan tidak dapat dilupakan hingga sekarang. Setelah pertunjukan berlangsung, saya masih berada di padang bersama-sama dengan rakan taulan. Berat rasanya hati untuk meninggalkan padang pertunjukan. Rasa puas membuat persembahan. Ustaz pun ada bersama. Kami bergambar.

Ketika rancak bersembang dan bergambar, tiba-tiba saya dapati awan menjadi ’hitam’. Masing-masing berasa hairan. Bila diamati, rupa-rupanya beratus ribu lebah atau mungkin berjuta bilangannya sedang melewati padang pertunjukan. Sungguh luar biasa. Terdetik di hati, adakah ini petanda bermulanya zaman kecermerlangan silat Melayu yang akan dipelupori oleh SC. Rakan-rakan yang menyaksikannya pasti terdetik rasa yang sama. Tetapi tak beranilah membuat kesimpulan. Silap gaya, syirik jadinya. Ustaz pun tidak membuat sebarang ulasan. Tak adapun yang bertanya.

Apabila hari hampir gelap, bergegaslah kami pulang. Saya pulang ke pejabat Jalan Haji Sirat. Ketika itu Ustaz dan Pak Wan ada bersama. Kami bertiga sahaja. Saya malas nak balik ke rumah. Melepak dulu di pejabat. Mandi dan sembahyang Maghrib.

Selepas menunaikan kewajipan, kebetulan telefon berdering. Lantas diangkat oleh Pak Wan. Saya ada di situ. Peribincangan mereka semakin panas dari minit ke minit. Ustaz mendengar, lantas menuju ke arah Pak Wan. Ganggang telefon diserahkan kepada Ustaz.

Pak Wan yang saya kenali, baran juga sifatnya. Kalau berjalan dengannya, saya pun serba salah. Pernah terjadi peristiwa seorang penunggang motor yang menunjukkan isyarat lucah kepada kami yang sedang berkereta. Dikejarnya penunggang tersebut hingga dapat. Bila turun dari kereta terus leher baju orang itu dicekak tanpa ada apa-apa bicara. Tak tahulah kalau-kalau dia berani kerana saya pun ada. Tapi itulah sifatnya. Cepat baran. Beliau pernah dihantar Ustaz belajar satu jenis silat yang menggunakan nama Cekak. Boleh menuntut dalam masa sehari. Seronok juga mendengar cerita Pak Wan. Betapa beliau telah berjaya mengkelamkabutkan guru yang mengajar.

Saya mendengar perbualan antara Ustaz dengan si pemanggil tersebut. Jelas suara Ustaz dalam bualan,”.....tak ada masalah, janji patah, pengsan atau mati. Timbang mesti sama berat. Permit cari sendiri”. Begitulah ringkas dan tegasnya suara Ustaz.

Peristiwa tersebut sangat menarik perhatian saya. Lantas saya bertanya akan situasi yang berlaku. Rupa-rupanya orang yang bergelar Mat Apo… yang mewakili sebuah persatuan bela diri yang popular di Siam. Beliau tak puas hati dengan pertunjukan SC di Padang Sulaiman sebentar tadi. Cakap besar katanya. Mereka ajak try. Ustaz menerima cabaran dan menyuruh mereka tentukan tempat dan dapatkan permit.
Saya cuba mengingat akan bentuk pertunjukan yang menyebabkan perasaan tak puas hati tersebut. Tak tahu persembahan mana yang dimaksudkan. Tapi saya yakin persembahan menyerang sambil menangkap balik buah-buah yang berkaitan dengan seni bela dirinya mungkin dianggap sebab utama. Ketika itu salah satu persembahan SC adalah serangan mematikan buah lawan.

Sepanjang ingatan saya, bentuk persembahan demikian pernah dilakukan sebanyak dua kali ketika Ustaz ada bersama. Pertama di Sulaiman Club dan keduanya persembahan di ITM. Selepas itu SC tidak lagi membuat persembahan berupa serangan.

Esok, demi esoknya, kami sentiasa menanti jawapan dari pencabar yang telefon. Tiada jawapan. Gempar yang lebih. Jelas lagi kefahaman saya betapa perkembangan SC sentiasa menghadapi onak dan ranjau. Bukan mudah untuk SC berkembang. Semuanya terbit hasil perasaan hasad dan dengki.

Cabaran SC tidak terhenti setakat itu saja. Tentangan silat Melayu yang diketuai Lincah amat hebat sekali. Maklumlah. Piala pusingan telah kita miliki. SC telah dijemput untuk menghadiri satu persidangan silat anjuran mereka. Agenda tersembunyinya telah dapat dikesan oleh Ustaz. Mereka cuba menemukan SC dengan Kalimah. Dalam keadaan itu, Ustaz berjaya menyusun strategi. Tidak ada perbincangan. Ustaz mengarah tanpa perlu berbincang. Segala dokumen telah dikumpulkan. Menunggu masa bagi menghadapi kemungkinan.

Sekali lagi SC berjaya menempuh halangan. Ustaz bercerita kepada kami betapa kelam kabut di pihak lawan. Itulah strategi. Ustaz memang hebat menyusun strategi. Banyak lagi cabaran-cabaran berbentuk cabar kekuatan atau cabar kehebatan SC. Semuanya lulus ditempuhi. Lagilah orang lain sakit hati.

Cabar mencabar antara SC dengan silat lain berterusan di cawangan-cawangan tertentu. Bukan mudah untuk SC bertapak. Malah di cawangan saya juga turut menempuh dugaan yang hampir sama. Teringat peristiwa ketika SC hendak bertapak. Segala usaha dilakukan oleh seteru setia kita untuk menggagalkan petapakan SC. Surat-surat tuduhan yang dihantar ke Majlis Agama mengatakan Ustaz membawa ajaran sesat nampaknya tidak membawa apa-apa makna. Satu cara yang mereka nampak ialah ’beradu tenaga’. Kalau kalah, hajatnya kami tidak boleh membuka silat di tempat saya.
Melalui usaha Pak Abu, saya diketemukan dengan kepemimpinan mereka. Gelanggang mereka di atas bangunan. Tidak ada gelanggang di atas tanah. Dalam pertemuan itu berlaku perbincangan. Saya menerangkan tentang SC berdasarkan pengalaman saya. Panas juga perbincangan kami. Tapi saya buat-buat tak erti.

Rupa-rupanya, perbincangan tersebut tidak berhenti di situ. Kata-kata kami yang menegakkan kebenaran SC dikatakan telah menyentuh perasaan mereka. Esoknya, mereka mencabar kami beradu tenaga. Itulah keputusan muktamat untuk menentukan kebenaran. Sayapun berasa hairan. Kenapa pada malam pertemuan tidak dibuat ketentuan. Agaknya mereka lambat berfikir akan isi perbualan kami. Kurang pelajaran. Agaknya juga pelajaran setakat darjah enam. Walau bagaimanapun, Pak Abu ditugaskan mengatur pertemuan.

Kebetulan berlaku. Ketika itu Ustaz ada bersama kami kerana bermalam bersama ahli di cawangan yang bakal ditubuhkan. Saya meminta izin ustaz untuk pergi ’berjuang’ pada malam tersebut. Pak Abu turut bersama. Kata-kata Ustaz telah menyuntik semangat saya. ” Pergilah. Tak akan jadi apa-apa. Mereka hanya ada sarung. Senjatanya pada kita.” Rupa-rupanya, ada kebenaran. Tepat sekali kata-kata Ustaz.

Itulah pertama kali saya difahamkan dengan konsep isi dan kulit. Sarung dan senjata. Zaman pepecahan gelombang pertama, istilah-istilah tersebut sangat popular. Istilah sarung-menyarung memang hebat rupanya.

Tapi sekarang ini ramai yang bersarung pada mulanya, bangkit pagi hilang sarung entah ke mana. Atau ramai yang bersarung untuk menggunakan senjata. Mengeluarkan bisa yang disekat kesannya. Rancang keluarga kata mereka. Itulah fahaman moden yang ada. Agaknya.

Berbalik pada cabaran yang kami terima. Kami pergi bersama seorang pegawai polis yang merupakan ahli juga. Sebagai saksi jika berlaku apa-apa. Nampaknya, tak menjadi ’gaduh’ rupanya. Entah apa puncanya. Mereka tidak hadir seperti mana yang ditetapkan. Difahamkan guru merekapun ada di tempat mereka. Bagus juga tak jadi ’bertarung’. Ketika itu boleh dikira minggunya saya mendirikan rumah tangga. Tak puas lagi pada pertarungan yang ada.

Begitulah antara lain cabaran pada SC. Bukan mudah untuk mengembangkan SC. Bukan mudah untuk masyarakat menerima SC. Sepatutnya kalau enggan terima, apa perlunya beria-ria melenyapkan SC. Itulah nafsu kianat namanya. Sanggup menghapuskan pusaka Melayu daripada menyekat seni bela diri dari luar yang berleluasa dalam masyrakat Melayu. Tidak ada semangat bangsa rupanya dalam kalangan mereka. Berbeza sekali dengan kita. Kita yang hebat . Bersemangat Melayu.

Sekian, sambung lain.