Tuesday, February 22, 2011

KENANGAN 22.

UMUR UKURAN MATANG

Kedua-dua gelombang pepecahan yang berlaku dalam SC, tentu ada sebab-sebabnya. Tafsiran sebabnya adalah pelbagai. Namun begitu, saya berpendapat bahawa pepecahan-pepecahan tersebut adalah berasaskan pada krisis kepemimpinan yang melanda Silat Cekak.

Dalam tulisan ini, saya tidak akan menyentuh sebab-sebab pepecahan pada gelombang kedua. Hal yang demikian disebabkan peristiwa pepecahan baharu sahaja berlaku. Puncanya dikaitkan dengan tingkah laku guru. Sama ada kebenaran atau tidak, pepecahan tersebut juga dapat dikaitkan dengan krisis kepemimpinan yang melanda dalam persatuan kita. Kalau pemimpin tidak disukai maka pelbagai alasan akan dicari. Menegakkan kebenaran tidak bererti. Pelbagai pihak mempunyai kepentingan diri. Menyebelahi satu-satu pihakpun ada strategi. Rosak SC kerana wujudnya manusia yang sebegini. Bersetankan mulut, berajakan di hati.

Tulisan ini saya fokaskan pada pepecahan gelombang pertama. Krisis kepemimpinan masih lagi menjadi perkara utama. Pelbagai alasan diberi dan dicari. Dalam hal ini, nampaknya faktor usia atau umur dijadikan salah satu tajuk angkara pepecahan. Kita boleh berkongsi bersama tentang faktor umur seperti yang dibahaskan. Umur sebagai ukuran matang.

Bilangan hari amat penting dan sering dibincangkan dalam masyarakat dan budaya kita. Itu sebabnya angka tujuh, empat belas, dua puluh satu dan sebagainya amat penting pada mereka. Kita selalunya menghubungkan angka-angka tersebut dengan sesuatu tindakan atau kejadian atau pegangan. Yang paling biasa sekali, bila angka juga dihubungkan dengan umur seseorang.

Saya ingin berkongsi pandangan dan pendapat tentang angka hari yang dikaitkan dengan umur dalam konteks pepecahan gelombang pertama. Faktor umur telah dijadikan pegangan untuk membentuk tindakan dan sikap pada kebanyakan ahli kita.

Setelah Ustaz meninggalkan kita, mencari pengganti adalah amat sukar sekali. Kaedah bermimpi agak sukar diterima pakai. Angka empat puluh dijadikan masa transisi. Kalau-kalau dapat alamat secara mimpi. Tapi, tidak ada sesiapa pun yang bermimpi. Bukan alamat yang datang tapi benda lain yang datang. Sedar-sedar habis basah tilam. Mimpikan anu agaknya.

Akhirnya Pak Ak dilantik sebagai Guru Utama. Dasarnya adalah sebagai pemegang amanah. Keluarga Ustaz menyetujuinya. Ketika kita mencari pemegang amanah, saya rasa kita juga merujuk pada umur sebagai salah satu kriteria utama. Saya dapat rasakan, kerana umur juga berkesudahan hingga tertunjuknya Pak Ak untuk memikul tugas memegang amanah sebagai Guru Utama. Umur telah dijadikan faktor penentu yang utama.

Ketika itu agaknya kita tidak terfikir tentang faktor utama yang melibatkan kebolehan memimpin, pengetahuan am yang luas dan keterampilan diri untuk dijadikan Pak Ak sebagai pemimpin. Persoalan yang mengaitkan Pak Ak dengan sifat khianat dan kepentingan diri sukar dikesan kerana itu soal hati yang sentiasa terdedah pada hasutan iblis. Yang kita ambil kira selain faktor umurnya, mungkin kerana beliau nampaknya lurus orangnya. Kita gagal melihat ”kelingkingnya berkait” . Lama-lama baru tahu.

Apabila PA terlantik sebagai Guru Utama, masing-masing mula ’melompat’. Masa ijazah, seram bulu roma apabila beliau berbicara sesuatu pada pesilat yang baru mula menceburi SC. Semasa memberi syarahan, kita tidak tahu mana satu hujung dan mana satu pangkalnya. Falsafah SC ditafsir ikut pengetahuan beliau. Ketika itu semua pihak faham tahap mana pemikirannya. Suasana menjadi haru biru. Nasib baik cepat-cepat beliau menyerahkan balik mandat pada En Mat. Kalau tidak banyak lagi soal-soal mengarut yang terkeluar.

Apabila Guru Utama kita mewarisi amanah dan mandat untuk meneruskan perjuangan SC, faktor usia juga dijadikan penghalang oleh sesetengah pihak. Hilang faktor keupayaan, kelayakan dan hak. Faktor umur telah dipergunakan oleh puak-puak Si Katoi untuk menunjukan En Mat tidak layak memegang mandat. Umur En Mat masih muda. Belum mencapai empat puluh tahun.

Kumpulan yang tidak dapat berfikir dan penuh dengan emosi telah dipergunakan dan ditarik untuk bersetuju dengan isu tersebut. Para penghasut dan pemfitnah telah memainkan isu umur dengan berkesan bagi menyebar dan mencari pengaruh. Mereka nampaknya berjaya menyebarkan pengaruh kepada mereka yang kurang berfikir. Berterusanlah mereka dengan sikap yang menjadikan isu umur sebagai faktor utama untuk menolak kepimpinan En Mat.

Yang boleh berfikir sikit, hanya mengeluarkan kata-kata yang lebih lunak, ” Biarlah ’Guru’ yang ada mati dulu, baru ambil alih.”
Hal yang demikian kerana menganggap guru SC yang baru, dikatakan terlalu muda untuk memikul amanah sebagai Guru Utama.

Golongan yang berdiri teguh di belakang En Mat, tetap menganggap umur bukannya faktor utama. Mereka beranggapan bahawa menghubungkan umur dengan tindakan semata-mata menjadikan diri kita tidak dapat berfikir dengan logik dan terburu-buru. Alangkah baiknya umur hanya dijadikan salah satu faktor pilihan di samping kebolehan dan keterampilan yang ada pada seorang itu dalam menentukan sesuatu perkara atau tindakan. Kalau tidak, mana mungkin Usamah diberi kepercayaan mengempalai tentera Islam menetang musuh ketika berumur 18 tahun.

Mereka tetap beranggapan bahawa walaupun En Mat masih muda tapi kebolehannya tetap ada. Kebolehan yang ada itu juga telah digambarkan oleh Ustaz semasa hidupnya. Mereka tetap berdiri teguh di belakang En Mat. Kalaupun En Mat menghadapi kelemahan dalam pentadbiran dan pengurusan silat, masih lagi dikecualikan kerana faktor umur. ”Beliau masih muda dan berilah peluang.” Itulah kata-kata penenang yang sering dikeluarkan oleh barisan tertinggi kepemimpinan SC.

Kerana faktor umur juga menjadikan mereka yang menyokong penuh En Mat dan berada di belakang En Mat cuba menguasai Guru Utama. Difikirkan usia guru yang belum mencapai angka empat puluh, perlu dinasihat sepanjang masa. Malangnya harapan dan impian tersebut telah tidak menjadi. Guru Utama telah ada caranya yang tersendiri.

Hal yang demikian menyebabkan dalam pepecahan gelombang kedua, mereka yang berdiri di belakang En Mat telah menikam En Mat dari belakang. Mereka menjadi pemecah utama dan menubuhkan geng yang lain. Rupa-rupanya berdiri di belakang guru memudahkan mereka membuat tikaman pada guru dari belakang. Geng Anuar agaknya.

Secara kesimpulannya, berdasarkan sejarah perjalanan pepecahan SC pada gelombang pertama, saya menganggap semuanya didahulukan dengan faktor umur sebagai utama. Dari segi kebolehan bersilat, ramai yang mengangap diri mereka adalah setanding. Namun, kerana faktor umur menyebabkan ramai yang berangan-angan menjadi guru, terketepi begitu sahaja.

Golongan ini amat sukar untuk seiring dengan Guru Utama pimpinan En Mat. Merintihlah mereka mencari kelemahan guru. Banyak yang dikutip. Retak menanti belah. Faktor umur tidak dapat digunakan untuk menguasai kepemimpinan En Mat. Geram lagi. Akhirnya mereka berjaya juga mendapatkan jawatan Guru Utama. Geng sana. Kebetulan pulak umur merekapun telah tua. Tak dapat menjadi Guru Utama, setakat menguasai organisasi yang ada, dikira hebat juga. Maka jadilah guru sebagai patung utama.

Segala-galanya telah berlalu. Akibat kesilapan kita, pada tafsiaran saya, kita berhadapan dengan suasana yang ada. Tetapi kita tidak boleh berundur ke belakang. Cuma terus ke hadapan dengan mengambil kira kelemahan yang berlaku dijadikan sebagai sempadan untuk generasi akan datang. Sambung dengan tajuk lain.