Saturday, February 19, 2011

KENANGAN 20.


AKAN TERUS BERPECAH.


”Ada ulu, ada parang. Ada dulu maka akan ada sekarang.” Itulah ungkapan yang popular satu masa lalu. Sesuatu yang telah berlaku akan tetap berulang. Sejarah telah membuktikannya.

Masyarakat Melayu memang suka berpecah. Hingga pernah dijadikan gurauan tentang masyarakat kita. ”Sebelum ada surau atau masjid, masyarakat kita akan bersatu untuk mendapatkannya. Apabila berjaya mendapatkan masjid atau surau, masyarakat kita akan berpecah ketika proses mengendalikan pentadbirannya.”

Sebelum SC berada di puncak kegemilangan, terdapat silat-silat Melayu lain yang hebat-hebat sama ada di peringkat kebangsaan atau di peringkat negeri. Apa yang saya lihat, secara umumnya kesemua silat tersebut telah mengalami zaman kemelesetan atau kemerosotan apabila gurunya meninggal dunia. Sebutlah apa saja nama silatnya. Biasanya, habis guru maka habislah zaman kegemilangan pesilatan berkenaan.

Nampaknya hal yang demikian turut terjadi pada silat kita. Kematian Ustaz memberi impak yang sangat besar pada perkembangan persilatan SC. Secara kasarnya, terdapat tiga golongan yang berpecah daripada warisan Ustaz. Kesemua golongan tersebut didokong oleh persatuan yang membolehkan mereka bergerak dengan bebas dan sah berdasarkan undang-undang negara. Semestinya tidak berdasarkan undang-undang atau peraturan-peraturan persilatan.

Pepecahan tersebut tidak merangkumi bekas Jurulatih yang membuka silat-silat sendiri yang berasaskan SC. Mereka tidak bernaung pada mana-mana persatuan yang wujud. Begitu juga dengan ramainya bekas Jurulatih yang mencampuradukkan SC dengan silat Melayu yang lain bagi maksud penyebaran ilmu silat lain dalam kalangan masyarakat.

Itulah kesannya apabila SC berpecah dan banyak guru. Tonggak kekuasaan guru pada SC adalah semakin longgar. Nampaknya, guru tidak lagi berupaya bagi mengawal ahli persilatan SC yang berlainan kepemimpinan dan berlainan persatuan. Hal yang demikian terjadi kerana persatuan SC berpecah tiga. Penguasaan guru hanya terhad pada ahli persatuannya sahaja.

Nampaknya lagu P. Ramlee, ’Madu Tiga’ mula dijadikan bahan strategik oleh kumpulan-kumpulan ini. Kesetiaan ahli-ahli SC boleh berubah-ubah mengikut persatuan. Jika keahliannnya dalam satu-satu persatuan itu tidak dikehendaki maka ahli tersebut boleh keluar dan memasuki persatuan yang lain. Semua persatuan itu berjuang atas nama SC. Hal yang demikian tidak susah untuk dilakukan. Untuk memasuki persatuan lain, gunakan kaedah kutukan. Kutuk persatuan asal akan membolehkan ahli itu memasuki persatuan yang baru. Nampaknya itulah yang terjadi pada mereka yang tidak tetap pendirian.

Tidak ada penguasaan yang berpusat. Kita lemah kerana kita berpecah. Samalah keadaannya dengan bangsa kita yang mula dipandang rendah oleh bangsa-bangsa lain dalam negara sendiri. Kelemahan kita adalah kerana kita berpecah. Apabila lemah maka orang lain akan menunjukkan kekuatan. Maka berterusanlah kita berada dalam keadaan yang sentiasa lemah.

Tidak ada satu kuasa tertinggi dalam alam persilatan SC yang dapat mengawal penyebaran SC secara berleluasa. Apabila ada seseorang yang menyebarkan silat dan geraknya sama seperti SC yang ada, siapakah yang boleh mengawal tingkah lakunya. Dia akan bebas menyebarkan SC sesuka hati bernaungkan pada satu-satu persatuan lain yang lebih umum seperti persatuan belia atau sebagainya.

Maka orang berkenaan akan terus menyebarkan SC. Siapakah yang boleh mengambil tindakan ke atasnya. Hal yang demikian kerana dia boleh mendakwa berada dalam satu-satu kumpulan yang bertentangan dengan mereka yang mempersoalkan aktivitinya dalam SC.

Berdasarkan keadaan yang saya sebutkan di atas, saya yakin SC akan terus berpecah sama ada secara berpersatuan atau sebagai individu yang terus menerus menyebarkan SC. Berkemungkinan besar, dia yang sebar SC dan dia juga yang melakukan ijazah. Tak payah pakai mana-mana guru. Semuanya gara-gara telah tidak ada pengawalan dari satu guru yang hakiki lagi.

Dari segi persatuan yang ada, seperti yang selalu saya tegaskan bahawa SC akan terus berpecah. Mungkin faktor masa akan menentukan waktu dan bentuk pepecahan. Kalau kita analisis faktor-faktor besar yang menyebabkan pepecahan pada gelombang pertama dan gelombang kedua, kita dapati semuanya didalangi oleh kumpulan Jurulatih yang mendapat didikan daripada Ustaz sejak zaman Lorong Haji Sirat.

Mereka yang mendapat didikan di lorong Haji Sirat adalah seratus peratus merupakan anak murid dan anak didik Ustaz Hanafi. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan kumpulan di Jalan Putera. Asuhan yang diterima mereka telah bercampur dengan pemikiran PA. Itu sebabnya dalam tulisan ini saya selalu merujuk kumpulan Jurulatih berdasarkan perbezaan tempat latihan.

Dari segi adatnya, kumpulan Jurulatih di Lorong Haji sirat, sepatutnya mempunyai daya tahan, kekuatan mental bagi menepis tohmahan dan sebutlah apa saja. Mereka dididik terus oleh Ustaz. Tentunya juga kesetiaan mereka adalah teruji. Pingat Setia yang dianugerahi Ustaz melambangkan mereka sebagai barisan utama yang akan terus menerus mempertahankan SC daripada sebarang bentuk pancaroba atau ancaman.

Kita tentunya menjangkakan bahawa kumpuilan Jurulatih inilah yang akan terus menerus memperkembangkan SC tanpa ada sebarang maksud kepentingan diri. Segala-galanya dilakukan demi guru yang tercinta. Kaum keluarga Ustaz tidak mudah dilupakan begitu saja. Mempertahankan SC, bermakna mempertahankan guru yang ada dan kaum keluarga yang disayangi Ustaz. Itulah pesanan Ustaz dari masa ke masa kepada kami yang merupakan kumpulan Jurulatih didikan Lorong Haji Sirat.

Sayang seribu kali sayang. Kumpulan Jurulatih yang diharap-harapkan membela SC akhirnya umpama kata pepatah, ”Harapkan pagar, pagar makan padi.” Merekalah yang telah berjaya memainkan peranan utama untuk memimpin pepecahan yang ada dalam SC.

Semuanya gara-gara pertentangan pendapat yang wujud sesama mereka. Lihat saja pepecahan pada gelombang pertama. Tetap ada penglibatan mereka. Pada masa pepecahan gelombang kedua, kumpulan Jurulatih tersebut tetap ada. Bukannya mereka ingin terus mempertahankan SC, tapi bersama-sama memusnahkan SC. Kelas-kelas SC ditutup dengan drastiknya. Kepemimpinan yang bercanggah telah disingkirkan.

Bila diberitakan pada saya tentang adanya perhimpunan ahli-ahli yang belajar di Jalan putera, saya diam sahaja. Tentunya mereka yang hadir adalah ramai bekas Jurulatih pada suatu ketika dulunya. Saya difahamkan bahawa ramai yang hadir tidak tahu apa-apa tentang wujudnya pepecahan kali kedua.

Ahli-ahli yang hadir juga lebih banyak mengenangkan nastolgia ketika berada di Jalan Putera. Masing-masing berkongsi pendapat dan pengalaman ketika berada di sana. Tidak ada sebarang usaha bagi menyelesaikan masalah besar yang sedang melanda. Ketika persatuan sedang bergolak, boleh lagi mengenangkan peristiwa lama.

Pada saya, seperti yang dikata, ada strategi yang dirangka. Pihak penganjur ada caranya. Mencari pengaruh dan penyokong pasti menjadi agenda utama. Hal yang demikian kerana mereka yang datang tak tahu apa-apa. Tentang pepecahan yang melanda. Pasti ramai yang boleh ditarik untuk menjadi penyokong setia. Itulah maklumat yang saya terima. Namun begitu, ramai yang datang semata-mata untuk mengenang kisah lama.
Ketika itu saya terkenang pada pandangan yang disuarakan. Alangkah elok jika ada perhimpunan ahli-ahli lama yang mendapat didikan di Lorong Haji Sirat. Mereka perlu berjumpa dan berbincang tentang masa depan SC. Dulunya, merekalah yang berperanan besar bagi menegakkan kedaulatan SC. Sumbangan mereka tidak boleh dinafikan begitu saja.

Walau bagaimanapun, daripada kumpulan merekalah juga maka berpecahnya SC. Rujuklah siapa saja. Pemimpin CM, ada kaitan dengan Lorong Haji Sirat. Apatah lagi kumpulan Akademik yang rata-rata kesemua pemimpinnya ada kaitan dengan didikan Lorong Haji Sirat. Malah di pihak kita, salah seorang yang tersangat berpengaruh bersama En Mat, juga adalah kumpulan didikan di lorong yang sama.

Apabila ditanya pada saya tentang usaha-usaha penyatuan semula, maka saya akan katakan, ”Segala-galanya perlu bermula dengan tokoh-tokoh pejuang yang mendapat didikan di Lorong Haji Sirat.”

Kalau kumpulan tersebut masih lagi dengan egonya, tidak perlu kita membincangkan soal penyatuan. Mustahil boleh berlaku. SC akan terus berpecah dari masa ke masa. Bulan dan tahun akan menjadi saksinya.

Sekarang ini, kumpulan Jurulatih yang berkenaan sedang berada di sebelah mana-mana, terutamanya di sebelah sana. ”Ada ulu ada parang, ada dulu ada sekarang.” Minat memecahkan SC telah menjadi darah daging mereka. Tidak mungkin boleh dipisahkan dengan entiti diri mereka.

Walau bagaimanapun, saya yakin pepecahan dalam kumpulan En Mat tidak akan berlaku dengan mudahnya. Mereka yang berada bersama En Mat adalah terdiri daripada ahli-ahli yang telah diketepikan oleh persatuan yang ada. Pengalaman berpecah dan disingkirkan daripada persatuan yang sedia ada memberi banyak pengajaran tentang erti persahabatan.

Kumpulan Jurulatih yang ada bersama En Mat adalah terdiri dari empat kumpulan. Kumpulan itu tetap mengandungi Jurulatih Lorong Haji Sirat, Jalan Putera, Kumpulan Jurulatih yang diijazah oleh PA dan kumpulan Jurulatih yang diijazah oleh En Mat sendiri.

Saya percaya, Kumpulan Jurulatih Lorong Haji Sirat yang cintakan pepecahan dan kemusnahan SC tidak ada lagi bersama En Mat. Tambahan pula, apabila tersingkir dan berada bersama En Mat, pastilah kesetiaan mereka bersama En Mat adalah tetap dan teruji. Walau pun ada yang berasa curiga dengan kesetiaan mereka, tapi saya yakin bahawa mereka tetap akan terus bersama En Mat selagi beliau terus memimpin SC.
Sambung lagi.