Monday, January 31, 2011

KENANGAN 8.

Cabaran SC

Mereka yang menceburi dalam sebarang kegiatan silat akan tetap mempertahankan kelebihan silatnya itu. Tidak kiralah jenis silat apa. Para Jurulatihnya akan menegaskan kehebatan persilatannya hingga menidakkan kelebihan orang lain.

SC memandang serius tentang komen-komen pada silat-silat Melayu yang lain. Malah, dalam ikrar kita, telah ditegaskan betapa kita jangan mencaci silat-silat Melayu. Kita berbangga atas kebolehan kita dalam lingkungan persilatan kita sendiri. Kita membuktikan kehebatan kita berdasarkan apa yang kita ada. Bukti-bukti secara teori atau praktikal menguatkan pendapat kita bahawa SC adalah istimewa.

SC menekankan betapa ilmu silat yang merupakan hak orang Melayu adalah hebat dan tidak ada tolok bandingnya. Kehebatan silat Melayu tidak ada tolok bandingnya. Atas kesedaran itulah kita mengenengahkan kehebatan SC sebagai salah satu seni bela diri orang Melayu. Sesuailah dengan maksud patun yang diungkapkan Ustaz:

Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan.
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Menyesuaikan dengan makna kemerdekaan.


Kita yakin bahawa SC adalah benar-benar asli. Bangsa Melayu perlu berbangga dengan seni bela diri Melayu yang hebat berbanding dengan seni bela diri dari luar. Gerak bela diri dari luar lebih bercorak sukan dan kurang nilai seninya. Walaupun pahlawan Melayu tidak terhad bilangannya, nama Hang Tuah boleh disimbolkan kehebatan orang Melayu dalam dunia persilatan.

Silat Cekak sentiasa menganjurkan agar kita menaruh keyakinan pada silat Melayu. Seperti ungkapan pantun berikut:

Silat Cekak benar-benar asli,
Tidak bercampur hak luar negeri.
Hendaklah belajar bersungguh hati,
Untuk menjaga diri sendiri.


Kita sentiasa menyakinkan masyarakat Melayu sepaya berbangga dengan ilmu silat Melayu yang asli. Pastinya SC. Warisi dan pelajarilah SC dengan bersungguh hati. Hal yang demikian adalah jaminan bahawa SC berupaya menjaga diri dan menjadi teman yang amat setia dalam masa diri kita diancam.

Rupa-rupanya bukan mudah bagi kita untuk menyebarkan SC. Mengajak masyarakat Melayu berbangga dengan seni bela dirinya sendiri, telah menjadi agak susuh. Banyak usaha yang telah kita jalankan bagi menarik minat masyarakat Melayu mewarisi SC. Malah, dalam usaha kita membuktikan apa yang ada dalam SC, telah tidak menyenangkan pesilat-pesilat lain. Mereka menganggap kita cakap besar atau cakap melampau dan atau atau yang lain. Penentangan dari mereka telah kita hadapi dari masa ke masa. Seboleh-bolehnya mereka ingin melenyapkan SC daripada perbendaharaan kata persilatan Melayu.

Ketika saya berumur dua puluhan, SC masih belum popular. Nama SC mula mendapat perhatian dalam akhbar pada awal tahun tujuh puluhan ekoran program Konvensyen Silat yang diadakan di Universiti Sains Malaysia. Rasa-rasanya sekitar tahun tujuh puluh dua atau tujuh puluh tiga.

Akhbar BH memainkan peranan seolah-olah memperkecil-kecilkan SC. Akhirnya baru saya tahu, penulis akhbar berkenaan berada dalam silat yang berselisih pendapat dengan SC.

Dalam Konvensyen itu, timbul polimik tentang kebenaran SC. Sebelum itu guru SC, Ustaz Hanafi membentangkan kertas kerja yang berkaitan dengan SC. Pastinya kertas kerja berkenaan, menyatakan tentang kelebihan silat kita. Kita faham bahawa menyatakan sesuatu kelebihan yang ada pada SC, pasti akan menyentuh silat-silat Melayu yang lain. Perkara berkenaan tentunya tidak menyenangkan mereka.

Saya tidak terlibat dengan Konvensyen tersebut. Walau bagaimanapun, Ustaz pernah menceritakan peristiwa yang berlaku itu dalam perbualannya dari masa ke masa.

Seperti yang saya tegaskan, tentunya menceritakan kelebihan SC akan bercanggah dengan amalan-amalan biasa yang ada pada silat-silat Melayu yang lain. Soal berkuda-kuda, tari silat, gendang silat, langkah melangkah dan sebagainya tentu tidak disenangi oleh pesilat lain. Konsep yang dibawa SC adalah menyanggahi amalan dan tradisi budaya silat Melayu yang ada. Bukan senang untuk menerima perubahan. Sesungguhnya perubahan itu amat meyakitkan hati mereka.

Polimik SC berterusan dalam majalah Dewan Masyarakat. Tentunya seteru utama SC ialah Silat Kalimah. Kalau tak salah saya, ketika itu SC adalah bersendirian. Tidak ada silat-silat lain yang menyokong kita. Silat Melayu lain yang terkenal ketika itu dan bergiat dengan aktif ialah Lincah, Gayung dan Gayung Fatani. Boleh dikatakan kesemua persilatan itu berdiri teguh bersama isu yang dibawa Kalimah.

Sebelum itu saya difahamkan SC pernah bersengketa dengan Lincah. Saya hanya mendengar cerita. Peristiwa yang berlaku ketika saya belum bersama. Ustaz pernah bercerita tentang peristiwa pertandingan silat itu pada saya. Malah, Ustaz pernah menunjukkan saya piala pusingan perlawanan silat antara SC dan Lincah. Piala itu berada di tangan kita. Semasa di pejabat Jalan Putera, piala itu masih ada. Ketika ini tak tahu ada di mana.

Pertandingan dengan Lincah tidak menjadi kenyataan. Walaupun permit pertandingan telah dikeluarkan oleh pihak polis, tapi ditarik balik pada saat-saat pertandingan akan berlangsung. Kalau tak salah saya, permit tersebut ditarik pada jam satu petang. Ketika itu Ustaz telah keluar dan berada di kedai Pak Husin untuk menunggu ketika pertandingan.

Saya difahamkan juga bahawa pertandingan tersebut adalah berdasarkan satu lawan satu melibatkan tiga orang. Maknanya ada tiga perlawanan. Kiraan menang atau kalau adalah berdasarkan keputusan patah, pengsan atau mati. Ketiga-tiga wakil kita dipilih berdasarkan kebolehan dan kesetiaan mereka. Ketika ini seorang masih hidup dan dua lagi telah meninggal dunia.

Saya difahamkan Ustaz, betapa jika pertandingan berterusan mungkin akan melibatkan banyak nyawa terkorban. Maklumlah. Jika silat itu kalah, bermakna lenyaplah persilatan itu dari bumi ini. Pasti kurang popular dan kurang pesilat yang ingin belajar lagi. Difahamkan lawan kita bertekad akan mengamuk jika silatnya kalah. Ada baiknya pihak polis menarik balik permit yang telah diberi.

Dalam tulisan ini saya tidak berminat untuk menghurai akan sebab-sebab hingga membawa kepada pertandingan itu. Tidak sesuai menyentuh pihak yang berkenaan. Secara lisan saya tidak keberatan berkongsi pengetahuan berdasarkan penceritaan Ustaz.

Namun begitu, pertandingan tersebut membawa makna betapa perkembangan SC tidak menyenangkan ahli silat Melayu yang lain. Kehebatan kita menyinggung kehebatan mereka. Jalan mudah yang diambil adalah secara beradu hebat. Agaknya, itulah budaya kita. Dengki kianat menjadi amalan biasa. Tak boleh tindakan nampak, akan disusuli pula dengan racun, santau, jembalang atau sebagainya yang sukar dikesan.

Semua penceritaan di atas adalah ketika saya belum bergiat aktif. Tulisan berikut adalah berdasarkan pengalamian setelah berada dalam SC.