Saturday, February 12, 2011

KENANGAN 16.

PERANGAI BERULANG

Nampaknya, apa yang berlaku di zaman pepecahan gelombang pertama, telah berulang kembali pada pepecahan kali kedua. Tindakan yang dilakukan oleh penguasa persatuan di zaman PA adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh penguasa persatuan ketika En Mat disingkirkan buat kali kedua.

Perangai atau sifat yang wujud pada watak-watak utama adalah sama dengan sifat dan perangai pada watak-watak yang wujud pada pepecahan gelombang kedua. Pada masa pepecahan yang pertama, saya menulis tentang watak-watak yang ada pada satu ketika yang lalu. Saya berasa sangat kecewa. Kekecewaan itu saya terbitkan semula dalam Kenangan 14 yang lalu.

Dalam tulisan ini, saya terbitkan semula tulisan tersebut. Cuma saya sesuaikan dengan suasana yang ada pada pepecahan gelombang kedua. Nampaknya hampir-hampir sama. Saya ubah perkataan sikit-sikit sahaja.

Hasilnya tulisan tersebut adalah seperti berikut. Bandingkan perangai dulu dengan perangai sekarang dalam tulisan berikut yang sama ayatnya. Nampaknya tak banyak yang berubah. Tulisan yang dulu itu boleh dituliskan semula untuk maksud menggambarkan pepecahan sekarang.

Sesuatu yang saya tak boleh terima sepanjang pengalaman saya dalam SC ialah perpecahan. Kenapa mesti terjadinya perpecahan. Mana perginya ikatan mesra dan janji setia dengan Allahyarham Ustaz.

Semua sahabat dan para pendokong SC telah diingatkan, janji hormat dan setia bukan setakat dengan diri Ustaz sahaja. Kaum keluarganya mesti dijaga dan diletakkan pada taraf yang sama. Semua orang faham dan mengakuinya.

Ustaz ada sahabat-sahabat yang mempunyai ikatan yang teristimewa. Kenapa mereka ini ditentang. Mana perginya perbincangan. Lebih malang lagi yang menentang adalah orang yang ditatang oleh yang kena tentang. Sahabat-sahabat tersebut memegang teraju pentadbiran. Merekalah yang mengangkat martabat En Mat yang akhirnya ditentang oleh mereka sendiri. Sungguh malang.

Di satu pihak, sahabat kita JM sanggup dipergunakan. Penyerahan tidak pernah berlaku. Tapi apa akan jadi dengan orang yang menentang. Tentu akan tenggelam. Akhirnya buat pakatan. Dibuat serahan guru padanya. Terjadilah perpecahan.

Saya kenal benar dengan sahabat kita tu. Sama-sama dalam AJK Pusat ketika itu. Tak banyak cakap dalam mesyuarat. Pastinya kekurangan idea. Pernah turun ke kelas bersama dalam pelarasan utama. Turut apa yang diselaraskan. Tidak popular. Cuma terkenal kerana cerita pernah ditampar Ustaz dalam suasana mimpi kerana melanggar perintah Ustaz.

Bila Ustaz menyahut suratan Ilahi, tidak pernah terlintas lantikannya sebagai guru yang utama. Rata-rata tidak ada kumpulan yang bersetuju dengan pelantikannya walaupun atas dasar amanah. Ini memandangkan umurnya dan “mungkin” kebolehannya tidak setanding PA. “Mungkin” kerana ramai lagi yang setanding dengannya.

Kaki penentang ambil peluang merapatkan diri. Bertindak sebagai pembela. Mengacum di sana sini. Ketika En Mat ijazah, kaki tangan yang merupakan kuncu-kuncu penentang akan menyebarkan fitnah. Itulah kerja mereka. Mengutuk guru kerana dikatakan buah jenayah sex. Sahabat-sahabat baru terus bekerja dengan tanggunjawab yang dipikul. Tiada masa turun ke bawah menangkis fitnah yang disebarkan oleh golongan lama. Bukan jenis kita bertelagah fikiran kerana hal yang demikian akan menyekat peluasan dan perkembangan SC.

Bila keadaan bertambah buruk, pastinya kita sayangkan SC. Kalau orang boleh melantik kenapa tidak boleh menggugur. Kalau mandat boleh diberi kenapa tidak boleh ditarik. Rupa-rupanya sangat mudah. Pengaruh mereka amat tebal di peringkat persatuan. Usaha memfitnah membawa hasil. Ahli silat termasuk para Jurulatih sudah mula berpecah-belah. Kesepakatan dan perpaduan Jurulatih mula tercabar.

Kuncu-kuncu JM yang tidak ada tempat dalam zaman En Mat mula mencari dahan untuk berpaut. Betul juga. Setelah dapat dahan berpaut, mereka akan memastikan keteguhannya supaya jangan mudah menjadi reput. Kalau dahan menyembah bumi, maka ahli-ahli yang mengampu akan pergi ke mana. Pasti hilang. Kalau meludah ke langit pasti akan jatuh ke muka sendiri. Tidak hairanlah mereka terpaksa berjuang mati-matian bagi mampastikan sahabat kita terus berkuasa sebagai penaung atau dahan bergantung yang utama.

Ketika berpecah dahulu, saya yakin diri saya telah membuat keputusan sebenar berdasarkan kebenaran. Saya berpihak dan menyebelahi SC kepimpinan En Mat. Salah satu sebabnya, saya mengambil kira siapakah tokoh-tokoh yang berada di kedua-dua pihak. Rupa-rupanya, mereka yang sombong selama ini dan berkepentingan diri memang berpihak bersama JM.

Rata-rata mereka yang berada di pihak sana adalah terdiri daripada mereka yang dulunya adalah golongan ego dan bongkak dalam SC. Hal yang demikian termasuk juga pasangan sombong 2L serta ketua pengubah pelajaran SC, seperti mana yang saya ceritakan dalam tulisan terdahulu. Mereka menentang apa sahaja yang ingin dijalankan dalam SC. Kalau arahan datangnya secara langsung daripada En Mat, mereka tak berani menentang. Hairannya, jika arahan En Mat sekali pun, tetapi melalui kepimpinan yang ada ketika itu, mereka akan menentang. Bila diketahui arahan itu arahan En Mat, baru mereka tersipu-sipu.

Sifat ini tidak menghairankan kita. Lihat sahaja penulisan penulis-penulis upahan mereka dalam blog yang disiarkan. Itulah sikap mereka dari dulu dan nampaknya tidak berubah-ubah perangai dan tindak tanduk mereka. Jadi, kepada penulis-penulis SCH, teruskan penulisan saudara-saudara. Isi-isi penulisan yang membuka minda dan memberi pengetahuan kepada ahli-ahli yang selama ini dilakukan, teruskan. Dalam pada itu, waspadalah. Pihak sana sentiasa mengikutinya. Gunakan bahasa yang tidak melambangkan kedangkalan berfikir.

Hal ini demikian kerana kita bercakap berdasarkan kebenaran. Oleh itu isi penulisan yang mantap perlu lahir daripada keikhlasan dan kematangan berfikir penulis SCH sendiri. Rasanya semua penulis kita bersetuju bahawa penulisan mereka menampakkan sifat umpama perlakon sarkis atau dikenali sebagai Badut.

Kita masih cuba mengaitkan Silat Cekak Ustaz Hanafi dengan Akademik. Masa telah berlalu. Pada saya, tidak ada lagi apa-apa kaitan CH dengan Akademik. Kita percaya penyerahan tidak berlaku. Jangan ragu-ragu dan tidak payah dipersoalkan lagi. Jika Akademik masih ingin mempersoalkan isu atau fakta, itu tanggunjawab mereka pada persatuan mereka. Maksud kefahaman mereka belum tercapai atau mereka masih belum berada di puncak kebenaran. Mereka seumpama “Anjing Menyalak Bukit”. Insyaallah satu ketika nanti apabila salakan mereka menghasilkan gegaran yang kuat, bukit akan runtuh dan menimpa diri mereka umpama runtuhan bukit di Bukit Tambun. Enjin kereta akan terus berbunyi selagi belum sampai ke destinasinya.

Pada kita, kefahaman dan pegangan kita adalah jelas. Kita telah diberi hak untuk mengembangkan CH dibawah kepemimpinan Guru Utama kita, En Md Radi. CD sudah ada. Risalah telah dikeluarkan. Kukuhkan kefahaman dan pegangan kita. Jangan ragu-ragu.

Sebagai ahli Silat Cekak Ustaz Hanafi, saya menyeru rakan-rakan seperjuangan sekalian supaya memberhentikan perbalahan dengan Akademik. Kita sebagai ahli yang percaya, yakin dan jelas pegangan kita pada CH, akan mendiamkan diri seperti mana kita mendiamkan diri dengan dakwaan CM tempoh hari. Biar mereka terus menyalak kerana mereka tak akan faham-faham.

Lebih baik ruangan web kita digunakan untuk bertukar-tukar maklumat, fikiran, pandangan, luahan hati dan sebagainya sesama kita. Saya sangat minat idea yang ditulis oleh ahli-ahli CH. Kita adalah kita, mereka adalah mereka. Taraf kita tak sama dengan mereka. Mereka tiada kaitan langsung dengan kita. Bercerai talak berapa? Entah! Yang pasti jikalau bergaul pasti tak kena.

Peranan kita yang penting ialah meneruskan perjuangan dalam SC. Orang yang hebat sentiasa memandang ke hadapan. Si penakut atau siragu-ragu atau manusia toksid sentiasa memandang atau menoleh ke belakang. Sekurang-kurangnya mereka rasakan ada jembalang di belakang yang akan mencekik leher. Teruskan perjuangan tuan, puan, saudara dan saudari dalam mengembangkan Silat Cekak Ustaz Hanafi
.”


Demikianlah petikan yang diubah suai dengan suasana pepecahan yang berlaku sekarang. Hanya sedikit pembetulan pada perkataan. Tak banyak ayat yang dipotong atau ditambah. Nampaknya petikan itu sangat sesuai diguna bila-bila masa.

Cuma satu perkara yang saya tidak nyatakan dalam tulisan dulu. Perkara itu ialah penutupan kelas. Ketika CH ditubuhkan, maka kumpulan CM yang menerajui persatuan telah berusaha keras untuk menutup kelas-kelas SC yang dibangunkan oleh En Mat. Sesetengah daripada kelas berkenaan telah wujud sejak zaman Ustaz Hanafi lagi. Cuma, dek kerana menyokong En. Mat, maka kelas berkenaan perlu ditutup. Mana perginya kebebasan bersuara dalam kalangan ahli. Mana perginya tafsiran pada pantun Ustaz, ”Bagi menyesuaikan diri dengan makna kemerdekaan.”

Nampaknya, keadaan yang sama telah berlaku dalam suasana sekarang. Ayat yang sama masih lagi boleh digunakan dengan sedikit sahaja pindaan perkataan. ”Perkara itu ialah penutupan kelas. Ketika CH disingkirkan, maka kumpulan Akademik yang menerajui persatuan telah berusaha keras untuk menutup kelas-kelas SC yang dibangunkan oleh En Mat. Sesetengah daripada kelas berkenaan telah wujud sejak zaman Ustaz Hanafi lagi. Cuma, dek kerana menyokong En. Mat, maka kelas berkenaan perlu ditutup. Mana perginya kebebasan bersuara dalam kalangan ahli. Mana perginya tafsiran pada pantun Ustaz, ”Bagi menyesuaikan diri dengan makna kemerdekaan.”

Saya yakin, petikan dalam Kenangan 14 dan ditulis semula pada Kenangan 15, tetap boleh digunakan untuk gambaran pepecahan berikutnya dengan sedikit peruabahan perkataan. Mungkin nama saja bertukar. Suasana dan perangai tetap sama. Dua campur dua tetap empat. Sekian.