Wednesday, February 2, 2011

KENANGAN 10.

CAKAP-CAKAP MOTIVASI

Ilmu silat adalah merupakan teman setia kita. Dalam keadaan sesak menghadapi ancaman, silat amat berguna. Sekurang-kurangnya ilmu silat yang ada dapat memberi keyakinan. Keyakinan akan diiringi dengan sifat berani. Apabila kita berani, saingan kita akan takut. Berani atau takut, kita sendiri tentukan. Kalau bersifat berani maka akan beranilah kita. Begitulah sebaliknya. Namun begitu, sifat berani perlu ada asasnya.

Dalam pengalaman saya, pernah terjadi satu peristiwa saya ditahan oleh dua orang pemeras ugut yang menggunakan pisau di jalan yang gelap. Di situlah pentingnya ilmu silat yang dipelajari. Tidak ada orang lain yang boleh dilaungkan untuk membantu. Kalaulah kita takut maka musuh kita akan berani. Kalau kita berani, musuh akan takut. Perkara penting biarlah keberanian kita berasas. Dalam konteks itu, saya berasa puas kerana dapat mengusai keadaan dan mengatasi rintangan serta ancaman.

Kita sering diwar-warkan betapa SC adalah sejenis silat yang benar-benar bertanggungjawab, hebat dan berupaya menghadapi segala bentuk serangan. Persoalannya ialah sama ada kita benar-benar dapat bertanggungjawab atas diri kita sendiri dengan ilmu SC yang kita pelajari.

Kita sering disyarahkan betapa,”Silat itu adalah gerak. Yang bergerak adalah dua tangan dan dua kaki. Gerak itu adalah berpunca dari Yang Empunya gerak.

Ayat di atas mempunyai kuasa yang dapat mempengaruhi jiwa serta memberi motivasi pada pesilat SC. Falsafahnya banyak memberi saranan supaya para pesilat SC berada dalam keadaan yakin. Hal yang demikian adalah kerana SC itu sendiri mempelajari dan mengkaji pergerakan dua tangan dan dua kaki. Kajian kita mendapati bahawa kuda-kuda dan langkah-melangkah amat merugikan. Pembuktiannya ada. Pelajaran SC sendiri membuktikan betapa gerak yang ada dalam SC amat praktis dan berguna dalam apa juga keadaan, ruang dan masa.

Kita diyakini bahawa semua seni bela diri yang ada di muka bumi ini adalah terhasil daripada pergerakan tangan dan kaki. Biarlah apa nama seni bela diri sekalipun. Nama silat yang menggerunkan pada orang akan tidak menjadi gerun pada pengamal SC. Kita dipupuk dengan pegangan bahawa pergerakan mereka tetap bertunjangkan tangan dan kaki.

Oleh sebab pembelajaran SC berasaskan dua tangan dan dua kaki, maka pesilat SC diyakini dengan pegangan bahawa SC dapat menghadapi segala rupa bentuk serangan, sama ada tangan atau kaki. Kalau bergaduh, habis ’koman’ sekalipun, ahli SC akan berada di tahap seri. Nama kalah, tidak sekali. Itulah keyakinan yang ada pada pengamal SC hasil kata-kata motivasi yang ditanam dalam kalangan mereka dari masa ke masa.

Konsep gerak iaitu kepunyaan Yang Empunya gerak, sentiasa juga dipupuk dalam kalangan ahli. Kalau Tuhan mengizinkan, pengamal SC yang dikatakan lembut atau lambat masih boleh mengalahkan musuh yang bersikap bengis dan baran. Kita diyakinkan betapa mereka yang dikatakan hebat dan kuat, pada hakikatnya kekuatan dan kehebatannya bersilat adalah merupakan hak Allah Taala. Sifat bongkak pasti akan memakan diri.

Sesuai dengan konsep Yang Empunya gerak, ahli-ahli SC disarankan supaya mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa. Konsep selawat dan taubat dinjurkan Ustaz dari masa ke masa. Perbuatan tersebut bagi membina kekuatan dalaman pada diri setiap pesilat SC. Lemah bersilat tidak bermakna akan gagal menghadapi ancaman ketika bertemu dengan musuh. Kata-kata yang menyarankan pesilat supaya mendekatkan diri dengan Tuhan telah memberi satu kekuatan dalaman. Betapa hebatnya seseorang pesilat itu, jika Tuhan tidak berserta maka geraknya akan mudah dikalahkan oleh pesaingnya. Kata-kata tersebut telah dilambangkan dalam rangkap Pantun Cekak seperti yang berikut:,

Silat Cekak pada lahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya.
Hendaklah mahir seluruh anggotanya,
Hendaklah jujur pada jiwanya.


Hakikat gerak adalah hak Yang Empunya gerak. Keberkesanannya, erat kaitannya dengan jiwa pesilat itu sendiri. Jujur pada jiwa bermakna keredhoan kita pada Yang Esa. Cakap yang dikeluarkan biarlah serupa bikin. Jangan menipu diri sendiri. Setiap yang terdetik di hati tetap selaras dengan apa yang dituturkan. Apa yang ditutur maka dipraktiskan dalam amalan seharian. Pesanan Ustaz pada saya, sembahyang sebagai tiang agama jangan leka untuk didirikan atau dibangunkan terlebih dahulu. Apabila ada dasarnya bertiangkan sembahyang maka mudahlah dipupuk sifat jujur dalam diri pesilat itu.

Kita selalu diyakinkan. Melalui kesungguhan latihan dua tangan dan dua kaki berserta dengan kejujuran di hati atau di jiwa, maka bentuk gerak kita akan menjadi hebat.

Kata-kata berbentuk provokasi kadang kala diajukan dalam kalangan penuntut. Adatnya adakah pesilat kita sentiasa yakin diri dalam keadaan hebat sepanjang masa dan boleh menghadapi segala ancaman yang ada. ”Kita boleh percaya apabila kita nampak buah epal dipanah atas kepala seseorang. Namun begitu, yakinkah kita apabila epal tersebut diletak di atas kepala kita sendiri untuk dipanah.” Hanya diri kita sendiri yang boleh menjawab persoalan tersebut.

Kata-kata dalam ayat itu boleh menyedarkan para pesilat. Secara langsung mereka dirangsangkan supaya belajar dengan bersungguh hati. Mereka yang lemah dan kurang yakin, akan dibimbing atau dipandu sepanjang masa. Akui kelemahan dan kekuatan yang ada. Dalam usaha membangunkan kehebatan pesilat yang dididik, jangan lupa membangunkan kehebatan diri sendiri.

Saya selalu mengingatkan para Jurulatih supaya memahami dan menghayati perkataan-perkataan ’mantap’ yang ada dalam SC. Saya juga sering jelaskan pada Jurulatih betapa mereka perlu berhati-hati ketika membincangkan istilah mudah dalam SC. Jangan biarkan pesilat kita terperangkap dalam istilah. Kita tidak mahu oleh sebab ’mudah’ akhirnya penuntut akan ambil mudah. Kerja yang mudah hasilnya pasti tak seberapa. Kalau berniaga bermodalkan sepuluh sen jangan harap untuk untung seringgit.

Oleh sebab itu, semua Jurulatih di bawah pengawasan saya sentiasa diingatkan dengan faktor masa dari semasa ke semasa. Masa yang terhad perlu disesuaikan dengan diri. Jangan cuba mengurus masa. Orang yang mengurus masa selalu lupa diri. Kita perlu mengurus diri. Sesuaikan diri dengan masa yang ada. Kalau kelas latihan diuntukkan sejam setengah, maka pergunakan masa itu dengan sepenuhnya.

Waktu mengajar yang ditentukan, perlu dipatuhi dengan sebaik-baiknya. Saya selalu nyatakan pada mereka. Orang yang hebat sentiasa mendahului masa. Kalau mula kelas pukul lapan, ahli yang belajar dan jurulatih yang mengajar perlu datang awal. Orang biasa hanya sentiasa menepati masa tapi orang lemah sentiasa melewati masa. Segala-galanya berpunca pada sikap. Sikap positif akan melahirkan perbuatan yang positif. Sikap nagetif akan melahirkan perbuatan nagetif.

Seperti kata-kata rakan saya, kalau kehebatan dapat kita kaitkan dengan air, maka bermadahlah rakan saya:

Orang yang hebat sentiasa boleh berjalan di atas air.
Orang yang baik hanya boleh berjalan sesekali atas air-jika terdesak.
Orang yang sederhana hebat hanya pandai menggunakan air.
Orang yang lemah hanya pandai buang air.

Jadikan diri kita hebat sepanjang masa. Sambung lagi.