Tuesday, February 15, 2011

KENANGAN 18.


PEPECAHAN GELOMBANG PERTAMA.


Terdapat pelbagai kumpulan dalam kalangan mereka yang lebeh rela berpecah. Maka saya tuliskan di sini buat kenangan bersama. Tulisan ini mungkin boleh dijadikan asas kepada penyelidikan pada mereka yang berkenaan satu masa nanti. Apa yang berlaku pasti akan berulang pada masa-masa depan. ”Ada ulu, ada parang. Ada dulu, ada sekarang.”

Satu kumpulan adalah mereka yang berasa dirinya layak sebagai Guru Utama. Sepanjang ingatan saya, dalam kumpulan ini terdapat tiga orang yang terlibat dan akan saya bincangkan bersama. Semuanya menganggap pelantikan PA sebagai Guru Utama, atas restu keluarga, dianggap satu kesilapan. Saya dapat mengetahuinya melalui pengalaman bersama.

PA sendiri melahirkan perasaan kesalnya pada salah seorang daripada mereka. Beliau seorang Jurulatih senior. PA dapat mengesannya melalui tindak tanduk yang ada. Jurulatih itu menganggap dirinya layak dan disukai Ustaz, berdasarkan kebolehan yang ada. Walau bagaimanapun, pelantikan PA direstui semua pihak. Hal yang demikian tidak memungkinkan Jurulatih yang perasan layak jadi guru itu memunculkan diri untuk menuntut jawatan guru. Pasti tersingkir dan tinggal kenangan. Walau bagaimanapun, berkat kesabarannya dapat juga dia menjadi guru sekarang ini. Guru Persatuan.

Ada dua orang lagi yang menganggap diri mereka layak sebagai guru. Namun begitu, tuntutan mereka dikira susah sebab tidak berada dalam persatuan SC. Seorang dari mereka memanglah murid tua. Keturunan Boyan. Sangat terkenal dengan hati keringnya sebelum bertemu Ustaz. Dalam SC, namanya terus dibualkan sebagai orang yang ’handal’. Berani dan hebat orangnya. Tapi kurang ada pengikut sebab jarang bersama dalam kelas. Setakat menyalak begitu saja. Kurang ada kesannya. Sekarang telah meninggal dunia.

Seorang lagi yang menganggap dirinya layak sebagai Guru Utama, telah menjalankan kempen merata-rata. Satu masa yang lalu, sememangnya beliau tersangat rapat dengan Ustaz. Menjawat jawatan Timbalan Presiden. Kalau sudah rapat tentunya banyak ilmu yang beliau dapat. Walau bagaimanapun, akhirnya beliau tersingkir daripada persatuan. Bersama-sama dengannya, saya ada satu pengalaman.

Kejadian berlaku pada satu malam ketika saya berkunjung ke pejabat silat Jalan putera. Rasanya, beberapa minggu selepas mandat guru diberi pada PA. Pada malam itu saya dipanggil oleh seorang pesilat yang saya kenali. Beliau berasal dari utara. Anak murid tua Ustaz yang menuntut di Kedah. Beliau menumpang hidup di rumah Ustaz di akhir-akhir usia Ustaz.

Beliau mengajak saya keluar makan malam kerana lama tidak jumpa. Saya bersetuju kerana sememangnya baru sampai dan tak makan lagi. Kami menuju ke sebuah kereta yang sedang menunggu. Pemandunya pun saya kenali. Mengusahakan kelas memandu. Namanya malas nak sebut. Begiat aktif di zaman akhir Ustaz. Tapi tidak tergolong dalam kalangan mereka yang hebat dalam SC. Pergerakannya lembab.

Saya dibawa ke satu tempat yang agak asing. Sebuah taman perumahan. Tujuan ke situ tidak diberitahu. Sampai ke tempat yang dituju, saya dipelawa memasuki sebuah rumah dua tingkat. Saya terkejut. Ramai yang menanti kedatangan saya di sana. Sesetengahnya sangat saya kenali. Termasuklah seorang rakan yang aktif dalam jawatankuasa pusat ketika Ustaz masih ada. Namanya malas nak sebut sebab ketika ini berada di pihak En Mat sebagai murid tertua. Seorang lagi berketurunan Arab agaknya. Tersangat aktif dalam persatuan ketika Ustaz masih ada. Tak sangka sungguh. Dulu, tersangat taksub dengan SC.

Saya tertanya-tanya tujuan utama saya dibawa ke sana. Sebentar kemudian, keluarlah pemimpn mereka berpakaian jubah berpegangkan tasbih. Wah! Hebat sekali dan sukar dipercayai. Beliau pernah bersama-sama saya dalam satu kumpulan Jurulatih menyebarkan SC di kelas-kelas silat. Saya bersamalam dengannya dan mengeluarkan kata-kata, ”Apa khabar Pak Wan.” Beliau selamba dan bersahaja macam layan tak layan.

Ketika berbual atau bersyarah dengan ahli kumpulan yang ada, saya hanya bertaraf salah seorang pendengar sahaja. Rupa-rupanya saya ’diculik’ untuk mendengar amanah guru mereka. Harapannya agar saya mengikuti mereka. Susah saya nak percaya. Rakan bersama, kini telah bertukar sifat dan sikap. Apa agaknya yang ada dalam kepalanya ketika itu. Pada hal dulunya, hubungannya dengan guru yang ada boleh dianggap baik.

Ucapan beliau menjelaskan penentangannya atas pelantikan PA sebagai penerima amanat menjalankan tugas guru utama. ”Mana beliau ada isi. Hanya kulit semata-mata. Bagaimana nak pimpin silat. SC mesti punah.” Itulah antara lain kata-katanya yang menarik perhatian saya.

Banyak lagi isi berbicara menentang pelantikan guru yang ada. Mereka yang hadir semua mengangguk tanda bersetuju. Selesai syarahannya, saya sempat berbual pendek bersama rakan-rakan, tapi saya tak banyak bercakap. Rakan-rakan yang lain sibuk berbincang bagi menyusun strategi atau gerakan untuk menjatuhkan kepemimpinan yang ada. Mereka menganggap guru yang ada tidak layak dan tidak kuat untuk memikul amanat dan mandat yang dianggap berat, tinggalan Ustaz.

Cukup masa, saya mengundur diri. Tak banyak cerita mengenai kejayaannya. Dalam hati saya, gelagat kawan saya itu tidak merupakan ancaman. Syok sendiri rasanya. Sokongan persatuan di peringkat negeri tidak ada. Ketika itu, persatuan merupakan salah satu punca yang kuat bagi menentukan kesahan guru dalam SC.

Setahu saya, itulah tiga manusia mendakwa diri mereka layak diangkat sebagai Guru Utama. Mungkin ada kalangan Jurulatih lain yang bersifat demikian tapi tidak berkesempatan dan tiada ruang.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Pepecahan Jurulatih semakin ketara. Walaupun ketuanan PA masih tidak disanggah, tapi pandangan Jurulatih atas kepemimpinannya menampakkan percanggahan pendapat.

Terdapat satu kumpulan Jurulatih yang merasakan standard PA sebagai guru tidak berada dalam piawaian yang sepatutnya. Mereka memandang rendah keupayaan guru berucap dan mengeluarkan buah fikiran. Pendapatnya mula disanggah. Hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan persatuan mula diambil alih sama ada disedari atau tidak disedari guru oleh mereka yang mengganggap lebih layak.

Ada juga kalangan Jurulatih yang memandang rendah keupayaan guru dalam persilatan. Maklumlah, sama-sama turun ke kelas. Ada juga antara mereka yang ’mengajar’ PA tentang gerak-gerak baru yang diselaraskan ketika beliau di cawangan dan masih menjadi Jurulatih. Bila PA menjadi guru, dirasakan diri Jurulatih itu lebih tahu. Itu sebabnya dalam zaman PA sebagai guru, beliau sendiri yang membuat pelarasan buah dari masa ke masa. Guru terketepi. Tapi tak pernah saya ikut pada pelarasan yang dibuat.

Dalam suasana berselisih pendapat dalam kalangan Jurulatih, terdapat kumpulan Jurulatih yang berdiri teguh di belakang PA. Mereka bertindak sebagai pembela guru bagi menangkis segala pendapat yang bertentangan dengan Guru Utama. Pertentangan kumpulan yang pro dan anti gaya kepemimpinan guru semakin berleluasa. Semuanya para Jurulatih yang memegang jawatan utama persatuan. Puncaknya ialah pepecahan. Saya tak berminat untuk membincangkan perkara ini kerana pernah disentuh dalam tulisan terdahulu.

Kadang kala saya amat sukar menerima kenyataan pepecahan tersebut. Sama-sama dalam perjuangan menegakkan SC. Dalam kelas latihan sejak di pejabat Jalan Haji Sirat, jelas wujud kemesraan yang sejati. Sama-sama bergurau mesra, melambangkan ikatan padu sesama kami. Tidak terfikir dan tergambar, pada satu saat dan ketika kami akan berpecah. Akhirnya kami berpecah. Bila berpecah, tahapnya berpatah arang. Buruk sekali sifat ahli SC. Bila berpecah menjadi orang yang bukan bersifat seperti ahli SC berdasarkan ajaran dan kefahaman Ustaz.
Sambung lagi.