Saturday, February 12, 2011

KENANGAN 15.


ASAS PEPECAHAN JURULATIH


Perpaduan sesama Jurulatih mula tercalar apabila kita berpecah guru pada pepecahan gelombang pertama. Guru yang berpecah melibatkan En. Mat dan Pak Ak. Pepecahan tersebut erat kaitannya dengan pengurusan persatuan. Persatuan membenarkan pertambahan guru. Setiap guru ada pengikutnya. Pepecahan tersebut mengundang pepecahan dalam kalangan Jurulatih.

Ketika pepecahan tersebut, saya pernah menulis artikal berkenaan kekesalan saya. Dalam ruangan tulisan ini, saya tuliskan semula tulisan tersebut dengan sedikit pengemaskinian ayat dan pembetulan bahasa.
Beginilah tulisan tersebut:

”Sesuatu yang saya tak boleh terima sepanjang pengalaman saya dalam SC ialah perpecahan. Kenapa mesti terjadinya perpecahan. Mana perginya ikatan mesra dan janji setia dengan Allahyarham Ustaz.

Semua sahabat dan para pendokong SC telah diingatkan, janji hormat dan setia bukan setakat dengan diri Ustaz sahaja. Kaum keluarganya mesti dijaga dan diletakkan pada taraf yang sama. Semua orang faham dan mengakuinya.

Ustaz ada sahabat-sahabat yang mempunyai ikatan yang teristimewa. Kenapa mereka ini ditentang. Mana perginya perbincangan. Lebih malang lagi yang menentang adalah orang yang ditatang oleh yang kena tentang. Sahabat-sahabat tersebut memegang teraju pentadbiran. Merekalah yang mengangkat martabat orang yang akhirnya menentang mereka sendiri. Sungguh malang.

Di satu pihak, sahabat kita PA sanggup dipergunakan. Penyerahan berlaku. Tapi apa akan jadi dengan orang yang menentang. Tentu akan tenggelam. Akhirnya buat pakatan. Lupa serahan. Terjadilah perpecahan.

Saya kenal benar dengan sahabat kita tu. Sama-sama dalam AJK Pusat ketika itu. Tak banyak cakap dalam mesyuarat. Pastinya kekurangan idea. Pernah turun ke kelas bersama dalam pelarasan utama. Turut apa yang diselaraskan. Tidak popular. Cuma terkenal kerana pernah try dengan Ustaz. Beliau juga terpilih untuk berhadapan dengan Lincah. Itu sahaja.

Bila Ustaz menyahut suratan Ilahi, bukan tiba-tiba beliau terlantik sebagai guru yang utama. Ada kumpulan yang bersetuju dengan pelantikan tersebut atas dasar amanah. Ini memandangkan umurnya dan “mungkin”; kebolehannya. “Mungkin” kerana ramai lagi yang setanding. Saya rasa kalau bukan faktor umur, orang tak lantik.

Kaki penentang ambil peluang merapatkan diri. Bertindak sebagai pembela. Mengacum di sana sini. Ketika sahabat kita ijazah, kaki tangan yang merupakan kuncu-kuncunya akan menyebarkan fitnah. Itulah kerja mereka. Sahabat-sahabat lama terus bekerja dengan tanggunjawab yang dipikul. Tiada masa turun ke bawah menangkis fitnah yang disebarkan. Bukan jenis kita bertelagah fikiran kerana hal yang demikian akan menyekat peluasan dan perkembangan SC.

Bila keadaan bertambah buruk, pastinya kita sayangkan SC. Kalau orang boleh melantik kenapa tidak boleh menggugur. Kalau mandat boleh diberi kenapa tidak boleh ditarik. Rupa-rupanya bukan mudah. Pengaruhnya amat tebal di peringkat bawah. Usaha memfitnah membawa hasil. Ahli silat termasuk para Jurulatih sudah mula berpecah-belah. Kesepakatan dan perpaduan Jurulatih mula tercabar.

Kuncu-kuncu PA yang tidak ada tempat dalam zaman Ustaz mula mencari dahan untuk berpaut. Betul juga. Setelah dapat dahan berpaut, mereka akan memastikan keteguhannya supaya jangan mudah menjadi reput. Kalau dahan menyembah bumi, maka ahli-ahli yang mengampu akan pergi ke mana. Pasti hilang. Kalau meludah ke langit pasti akan jatuh ke muka sendiri. Tidak hairanlah mereka terpaksa berjuang mati-matian bagi mampastikan sahabat kita terus berkuasa sebagai penaung atau dahan bergantung yang utama.

Ketika berpecah dahulu, saya yakin diri saya telah membuat keputusan sebenar berdasarkan kebenaran. Saya berpihak dan menyebelahi SC kepimpinan En Mat. Salah satu sebabnya, saya mengambil kira siapakah tokoh-tokoh yang berada di kedua-dua pihak. Rupa-rupanya, mereka yang sombong selama ini memang berpihak bersama PA.

Rata-rata mereka yang berada di pihak sana adalah terdiri daripada mereka yang dulunya adalah golongan ego dan bongkak dalam SC. Hal yang demikian termasuk juga pasangan sombong parang lading seperti mana yang saya ceritakan dalam tulisan terdahulu. Mereka menentang apa sahaja yang ingin dijalankan dalam SC. Kalau arahan datangnya secara langsung daripada Ustaz, mereka tak berani menentang. Hairannya, jika arahan Ustaz sekali pun, tetapi melalui kepimpinan yang ada ketika itu, mereka akan menentang. Bila diketahui arahan itu arahan Ustaz, baru mereka tersipu-sipu.

Sifat ini tidak menghairankan kita. Lihat sahaja penulisan penulis-penulis upahan mereka dalam blog yang disiarkan. Itulah sikap mereka dari dulu dan nampaknya tidak berubah-ubah perangai dan tindak tanduk mereka. Jadi, kepada penulis-penulis SCH, teruskan penulisan saudara-saudara. Isi-isi penulisan yang membuka minda dan memberi pengetahuan kepada ahli-ahli yang selama ini dilakukan, teruskan. Dalam pada itu, waspadalah. Pihak sana sentiasa mengikutinya. Gunakan bahasa yang tidak melambangkan kedangkalan berfikir.

Hal ini demikian kerana kita bercakap berdasarkan kebenaran. Oleh itu isi penulisan yang mantap perlu lahir daripada keikhlasan dan kematangan berfikir penulis SCH sendiri. Rasanya semua penulis kita bersetuju bahawa penulisan mereka menampakkan sifat umpama perlakon sarkis atau dikenali sebagai Badut.

Kita masih cuba mengaitkan Silat Cekak Ustaz Hanafi dengan CM. Masa telah berlalu. Pada saya, tidak ada lagi apa-apa kaitan CH dengan CM. Kita percaya penyerahan telah berlaku. Jangan ragu-ragu dan tidak payah dipersoalkan lagi. Jika CM masih ingin mempersoalkan isu atau fakta, itu tanggunjawab mereka pada persatuan mereka. Maksud kefahaman mereka belum tercapai atau mereka masih belum berada di puncak kebenaran. Mereka seumpama “Anjing Menyalak Bukit”. Insyaallah satu ketika nanti apabila salakan mereka menghasilkan gegaran yang kuat, bukit akan runtuh dan menimpa diri mereka umpama runtuhan bukit di Bukit Tambun. Enjin kereta akan terus berbunyi selagi belum sampai ke destinasinya.

Pada kita, kefahaman dan pegangan kita adalah jelas. Kita telah diberi hak untuk mengembangkan CH dibawah kepemimpinan Guru Utama kita, En Md Radi. CD sudah ada. Risalah telah dikeluarkan. Kukuhkan kefahaman dan pegangan kita. Jangan ragu-ragu.

Sebagai ahli Silat Cekak Ustaz Hanafi, saya menyeru rakan-rakan seperjuangan sekalian supaya memberhentikan perbalahan dengan CM. Kita sebagai ahli yang percaya, yakin dan jelas pegangan kita pada CH, akan mendiamkan diri seperti mana kita mendiamkan diri dengan dakwaan Kalimah tempoh hari. Biar mereka terus menyalak kerana mereka tak akan faham-faham.

Lebih baik ruangan web kita digunakan untuk bertukar-tukar maklumat, fikiran, pandangan, luahan hati dan sebagainya sesama kita. Saya sangat minat idea yang ditulis oleh ahli-ahli CH dalam ruangan itu. Kita adalah kita, mereka adalah mereka. Taraf kita tak sama dengan mereka. Mereka tiada kaitan langsung dengan kita. Bercerai talak berapa? Entah! Yang pasti jikalau bergaul pasti tak kena.

Peranan kita yang penting ialah meneruskan perjuangan dalam SC. Orang yang hebat sentiasa memandang ke hadapan. Si penakut atau siragu-ragu atau manusia toksid sentiasa memandang atau menoleh ke belakang. Sekurang-kurangnya mereka rasakan ada jembalang di belakang yang akan mencekik leher. Teruskan perjuangan tuan, puan, saudara dan saudari dalam mengembangkan Silat Cekak Ustaz Hanafi.”

Demikianlah tulisan saya yang lalu ketika berpecah dengan CM.

Berdasarkan tulisan di atas, saya yakin bahawa pepecahan pertama yang saya gelarkan sebagai pepecahan pada gelombang pertama telah berterusan dalam pepecahan gelombang kedua. Apa yang berlaku di masa lalu, telah berulang semula. Pepecahan kedua yang tiada hujung pangkalnya hingga kini, masih berterusan. Sampai bila. Pastinya hingga guru asal yang diakui mereka berundur dari perjuangan persatuan yang mereka pergunakan. Itulah kehendak mereka.

Nampaknya mereka yang bergelar tokoh persilatan di belakang Ustaz Hanafi, lebih rela persilatan yang dibangunkan dulu dimusnahkan begitu sahaja. Kelas-kelas silat yang dulunya berkembang megah, cuba dimusnahkan dengan mempergunakan undang-undang persatuan.

Kalau ahli bersatu hati, kerjasama erat selalu diberi. Tapi, berhati-hati. Sekali membenci maka ,”Berkerat rotan, berpatah arang.” Pepecahan persatuan telah membawa gejala yang amat buruk. Kita boleh saksikan sendiri sejak kita berpecah pada gelombang pertama dan gelombang kedua.

Pada pepecahan gelombang pertama, rakan akrab sebagai Jurulatih mula longgar dan berjauhan sesama mereka. Hilang teman yang selama ini boleh bergurau dan beramah mesra. Langsung tiada peluang untuk dipulih hubungan sesama mereka.
Pepecahan telah membentuk satu barisan Jurulatih baru dalam Cekak Hanafi. Malangnya, apabila berpecah pada gelombang kedua maka hubungan yang selama ini terjalin, punah begitu sahaja. Langsung dilupakan hubungan mesra selama ini. Seolah-olah hubungan yang wujud itu tidak pernah berlaku. Tidak tetap pendirian kerana tiada pegangan.

Di sebelah kita, terdapat kumpulan barisan Jurulatih yang baru. Mungkin wujud kekuatiran akan brlaku pepecahan pada gelombang ketiga. Kerana itulah agaknya pengawasan rapi perlu dilakukan. Pasukan khas bermata gelap telah dibentuk bagi mengawasi serangan gelombang ketiga. Gelombang yang akan melanda perlu disekat dengan pelbagai cara. Tapi rasanya gelombang yang menyerang adalah merupakan ketentuan Ilahi. Mana mungkin keupayaan manusia boleh menahan serangan gelombang tersebut. Apapun, kita telah berusaha.

Kita mengharapkan agar serangan gelombang pepecahan tidak berlaku di pihak kita. Gunakan ’bomoh’ agar pepecahan yang berlaku beralih pada kumpulan asal SC dan kumpulan baru geng Akademik.
Sekian dan bersambung lagi.