Sunday, February 13, 2011

KENANGAN 17.


BUNGA PEPECAHAN JURULATIH


Ketika awal zaman Ustaz, perpaduan sesama Jurulatih sangat hebat. Hubungan kami amat mesra. Ketika kegiatan berpusat di Lorong Haji Sirat, rata-rata Jurulatih yang ada sekitar umur dua puluhan atau awal tiga puluhan. Kerap kali tindak tanduk mereka bersifat kebudak-budakan. Yang nampak tua hanya Pak Wan dan Pak Din Panjang. Itu sebab agaknya mereka bergelar ’Pak’. Tapi gelagat mereka juga umpama anak muda. Tak nampak perangai seperti orang tua-tua. Masa itu guru CM yang baru belum terlibat dalam kumpulan kami. Masih berperanan membuat kopi.

Setiap minggu kami akan berkumpul bersama. Berkumpul dalam sesi latihan bersama Ustaz. Jurulatih sering berkumpul setiap minggu. Kelas kemahiran dikendalikan Ustaz, kecualilah pada ketika-ketika tertentu. Setelah berpindah ke Jalan Putera, latihan kemahiran tersebut tetap berterusan. Cuma, terdapat muka-muka baru yang telah dilantik sebagai Jurulatih.

Di Lorong Haji Sirat, pergaulan kami lebih bersifat ke anak-anakan. Kadang kala bergurau melampaui batas. Saya dapat rasakan betapa gurauan tersebut begitu asing bagi diri saya. Contohnya, ’passing kentut.’ Sengaja saya tuliskan di sini untuk menunjukkan betapa erat persahabatan dan kemesraan dulu. Para pembaca boleh menggambarkan tabiat kebudak-budakan tersebut. Tak salah saya, ada tiga orang yang berperanan sebagai pelopornya. Ketika ini, kesemuanya telah berada dalam geng Akademik kecuali seorang di sebelah kita.

Apabila salah seorang daripada mereka ’mengentut’ maka dipassing pada orang lain secara menyentuh tangan di anggota kawan. Tidak kira di mana-mana bahagian. Saya guna istilah mengentut kerana sengaja mereka berbuat demikian. Bila ada yang kentut maka para Jurulatih akan berpecah daripada barisan. Takut disentuh. Kalau disentuh kena passing pada orang lain. Sasaran utama mereka ialah Pak Wan dan Pak Din termasuk lain-lain Jurulatih yang ’boleh makan’.

Terjadi satu peristiwa apabila orang terkena sentuhan tidak dapat mencari sasaran. Pelan-pelan dia mendekati orang yang tidak ada pengetahuan tentang mainan tersebut. Bila ’disampaikan’ pada orang berkenaan maka terdengar suara gelak. Konsep ’passing’ tamat di situ sahaja. Maka mulalah latihan silat seterusnya sehingga ada yang mengentut lagi. Pernah terjadi, orang yang ’dikenakan’ adalah Ustaz sendiri. Semuanya tersenyum simpul. Saya tak pasti sama ada Ustaz menyedari sifat kebudak-bukan tersebut. Saya yakin, Ustaz tahu tapi membiarkan ’anak-anak’ bersifat demikian. Maka berlarutan perbuatan tersebut untuk sesekian lamanya.

Kutuk-mengutuk hebat juga. Tapi dalam bentuk gurauan. Walaupun gurau, saya rasa pedih juga kutukan mereka. Pak Wan juga selalu dijadikan sasaran. Pelat Kelantannya dijadikan gurauan. Pada satu ketika, nampak sangat geramnya. Beliau hilang pertimbangan kerana kutukan yang diterima melampaui batas. Maka beliau ’mengamuk’ menyerang kawan Jurulatih yang ada bersama. Kami sangkakan beliau juga bergurau. Mula-mula kami bertempiaran lari. Bila keadaan tidak terkawal maka terpaksalah kami menenangkannya.

Sejak itu, Ustaz memberi amaran keras kepada kami. Perbuatan tersebut perlu disekat. Maka sejak itu perbuatan keanak-anakan tersebut telah dihentikan. Namun begitu, tidak ada dalam kalangan kami yang menyimpan perasaan dendam di hati. Buktinya, hubungan seterusnya adalah seperti biasa. Kerap kali selesai silat, kami akan ke kedai mencari minum. Ramai yang rela berbelanja. Ramai-ramai duduk berkembarkan meja. Berbincang tentang silat. Hal-hal yang melucukan akan mengundang gelak ketawa.

Saya ingin mengajak para pembaca merasakan betapa semasa Ustaz, hubungan kami sangat akrab. Ketika itu tidak terlintas di hati saya betapa perpaduan dan kemesraan yang terjalin itu akan diakhiri dengan pepecahan. Pepecahan itulah membentuk tiga guru yang sedia ada. Pepecahan yang tidak mungkin boleh berbaik lagi, umpama berpatah arang. Itulah sifat kumpulan yang berpecah selepas Ustaz meninggal dunia. Dulunya bersahabat dengan penuh mesra.

Setelah SC berpindah ke Jalan Putera, perkembangan SC semakin luas. Banyak kelas latihan yang dibuka. Mereka yang bekereta semakin bertambah. Masalah pengangkutan ke kelas-kelas latihan bukan lagi menjadi halangan utama. Persatuan kita semakin mantap. Orang yang dulunya bersifat kebudak-budakan, telah mulai bersifat matang. Ramai yang telah ada tanggungjawab terhadap keluarga. Kalau dulu berhati putih, kini mula timbul titik-titik hitam. Itulah tanda sifat matang. Telah ada kepentingan.

Generasi baru yang terlibat dalam pengurusan persatuan semakin bertambah. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak berasa ’nikmat’ bersilat ketika SC kekurangan dalam serba serbinya ketika beroporasi di pejabat lama.

Saya terkenang kembali. Terbayang-bayang dalam pemikiran. Ketika di pejabat baru, dapat dirasakan bibit-bibit kerengganan kemesraan mulai timbul. Adu domba dan sifat menghasut mula ada. Ramai yang menjadi mangsa. Kalau saya sebutkan nama dalam ruangan ini, tentu generasi baru kurang mengetahuinya. Saya mengetahuinya kerana pada sayalah mereka juga meluahkan perasaan.

Keputusan yang diambil mereka ialah mengundur diri. Itulah sifat Jurulatih atau pesilat dulu. Kalau tak suka maka undur diri. Tapi sekarang ini lain sifatnya. Hatta tak suka akan guru pun tidak memungkinkan mereka undur diri. Lawan, terus lawan. Tak tahu sifat malu. Sebabnya ialah ada persatuan. Itulah salah satu buruknya fahaman persatuan.

Ketika itu nampak jelas perbezaan pendapat dalam kalangan kami. Hinggakan dalam Jawatankuasa pusat, pertentangan itu tetap berlaku. Saya dapat rasakan betapa pendapat saya sering sehaluan dengan Pak Wan dan Jo Black. Namun, kami sering berselisih pendapat dengan kumpulan yang satu lagi. Semuanya berada di geng akademik ketika ini.

Ahli-ahli yang lain biasanya hanya mendiamkan diri dari awal mesyuarat hingga ke akhirnya. Termasuklah ada dua orang yang menjadi popular ketika ini. Seorang menjadi pemimpin tertinggi kumpulan Akademik dan seorang lagi merupakan ahli tertua dalam kalangan kita. Walau bagaimanapun, perselisihan pendapat itu hanya berlaku ketika mesyuarat. Luar mesyuarat, hubungan kami macam biasa. Nampak jelas sifat profesionalnya.

Ketika saya balik ke cawangan, diberitakan perselisihan pendapat sesama Jurulatih di ibu pejabat semakin meluas. Hal yang demikian berlaku disebabkan para Jurulatih juga merupakan pemegang utama jawatan persatuan. Beberapa bulan saya di cawangan, akhirnya saya mengundur diri daripada jawatan pusat. Elok juga menumpukan perhatian di cawangan sahaja.

Lepas seorang, seorang telah mengundur diri daripada persatuan dan persilatan. Berita yang menggemparkan saya ialah Pak Wan sendiri terpaksa melepaskan jawatan Timbalan Presiden. Walau bagaimanapun kegiatannya dalam persilatan tetap berterusan. Cuma, pangkat dalam persatuan telah dilucutkan. Ketika itu persilatan dan persatuan dapat dibezakan.

Kematian Ustaz, benar-benar telah memberi kesan buruk pada perpaduan dan kemesraan dalam kalangan Jurulatih. Pelantikan Pak Ak bukan mudah diterima oleh semua Jurulatih. Maklumlah, Pak Ak sendiri biasa berlatih bersama dalam kelas. Kewibawaannya mula dipersoalkan dari masa ke masa.

Walaupun saya berada di cawangan, saya kerap ke ibu pejabat. Ramai yang meluahkan perasaan pada saya. Kadang kala luahan itu berbentuk perbincangan atau perbualan biasa. Malah, Pak Ak sendiri pernah melahirkan perasaannya pada saya ketika beliau berada di majlis ijazah di tempat saya. Berdasarkan maklumat-maklumat tersebut, saya dapat membuat kesimpulan. Perbezaan pendapat dalam kalangan Jurulatih mula ketara. Tapi tak tergambar kami akan ’berpecah gila.’ Bersambung.