Thursday, February 10, 2011

KENANGAN 13.

TETAMU DALAM.

Jurulatih juga berperanan sebagai tempat rujukan para pesilat yang dibimbingnya. Malah, mereka yang belum menjadi ahli SC pun akan mengubungi Jurulatih untuk mendapatkan maklumat. Oleh itu, Jurulatih akan menerima pelbagai jenis tetamu.

Semasa kelas-kelas latihan silat berlangsung, Jurulatih juga akan menerima tetamu dalam pelbagai situasi. Ada ketikanya kelas latihan akan diperhatikan oleh masyarakat luar yang bukan ahli. Lebih-lebih lagi jika kelas berkenaan berkeadaan terbuka. Hal yang demikian tentunya akan menyusahkan kita menyampaikan pelajaran terutamanya pelajaran rahsia.

Saya juga pernah menghadapi keadaan yang sama. Mereka berada di luar pagar memerhatikan latihan. Hal yang demikian menganggu proses penyampaian ilmu. Walaupun pelajaran yang disampaikan bukanlah rahsia, tapi pada bukan ahli, semua pelajaran kita adalah merupakan rahsia besar. Termasuklah dari kaedah dan buah asasnya.

Oleh itu, ketika pelajaran, saya akan kepung kawasan kelas dengan menggunakan kereta pesilat yang ada. Setiap kali latihan kelas, kereta ahli-ahli akan disusun membentuk kepungan. Jika bilangannya tidak mencukupi, kereta Jurulatih akan digunakan.

Di samping itu, kain-kain rentang juga dipasang mengelilingi pagar. Kain-kain tersebut diambil dari bandar. Proses mengutip kain rentang dilakukan waktu tengah malam. Kami akan pilih kain-kain rentang yang telah luput tarikh aktiviti. Kain-kain rentang tersebut dipasang sekeliling kelas. Sungguh indah suasana kelas dengan kepelbagaian bentuk dan warna.

Kita tidak tahu ketika bila penonton-penonton yang tidak diundang itu berada. Oleh itu, setiap kali latihan maka langkah-langkah awasan didahulukan. Kalau mereka terus menuju ke kelas untuk melihat pembelajaran, mungkin tidak mendatangkan masalah. Hal yang demikian memudahkan kita membuat perancangan. Jika latihan pada malam berkenaan berdasarkan pelajaran rahsia SC maka mudahlah kita alihkan pembelajaran ke pelajaran lain. Pelajaran yang ditunjukkan adalah berserta penerangan. Habis penerangan, mereka akan beredar meninggalkan kelas. Mudahlah kita meneruskan pembelajaran.

Kadang kala ada juga bekas ahli silat yang berkunjung ke kelas. Jika mereka telah tamat maka mudahlah berbincang atau melayan tanpa sebarang sekatan. Jika belum tamat, perbincangan dan layanan berdasarkan silat perlu dihadkan. Saya akan berhati-hati ketika berbincang dengan mereka. Lebih-lebih lagi tentang sesuatu yang melibatkan kefahaman sama ada gerak silat atau kefahaman silat. Saya hanya akan berbincang jika pendengarnya berfikiran terbuka dan boleh bertukar-tukar fikiran.

Ada juga tetamu yang merupakan ahli silat cawangan lain yang datang ke rumah. Mereka, pastinya ingin berbincang tentang SC sama ada dari segi pergerakan atau kefahaman silat. Kefahaman yang dimaksudkan adalah meliputi falsafah, konsep dan prinsip SC. Penerimaan saya atas kunjungan mereka juga banyak bergantung pada keterbukaan pemikiran dan sikap mereka.

Pada tetamu yang bukan ahli, kedatangan mereka ke rumah sangat tidak digalakkan. Jika inginkan penerangan, saya lebih suka mereka datang secara formal dalam majlis-majlis penerangan atau diberi borang dan isikan butiran. Saya kurang melayan mereka. Percakapan atau perbincangan dengan mereka akan terhad. Pada dasarnya, orang luar yang bukan ahli SC yang ingin tahu tentang silat, tidak digalakkan sebagai tetamu saya di rumah. Banyak sukar dari senangnya.

Walau bagaimanapun, tetamu yang merupakan anak didik saya sendiri yang datang ke rumah, tetap dilayan. Darjah layanan terbahagi kepada dua bentuk. Sebagai tetamu, saya tetap akan jamu minuman. Kalau bernasib baik ada juga kueh-muehnya. Namun begitu, kebiasaannya mereka akan membawa bersama makanan. Isteri saya hanya menyediakan minuman.

Sebagai anak didik saya dalam silat, saya akan layan mereka sepenuhnya dari sudut persilatan. Hinggalah mereka mendapat kepastian atau memenuhi hajat bagi menyelesaikan persoalan mereka. Sudut persilatan yang dibincangkan berkisar pada gerak dan kefahaman SC. Mereka perlu diberi perhatian kerana peranan mereka sangat penting sebagai barisan pelapis. Segala masalah atau kekusutan dalam fikiran, perlu dirungkaikan. Saya jelaskan semua persoalan dengan bersungguh hati.

Mencurahkan ilmu pada anak didik saya bukannya satu perkara yang senang. Kesinambungan proses penurunan ilmu tetap berterusan hingga melibatkan masa lega saya sendiri. Waktu-waktu ketiadaan kelas latihan, ramai antara mereka yang berkunjung ke rumah. Habis masa diuntukkan pada mereka. Semata-mata melayan soalan dan persoalan yang dikemukakan. Kadang kala persoalan tersebut berulang-ulang. Apa nak buat. Layan sahaja.

Kebolehan dan pemikiran penuntut yang kita bimbing adalah berbeza-beza. Kekuatan ’cc’ mereka pun adalah tidak sama. Kesemuanya berasaskan pada kelas latihan yang kita pimpin.

Melalui pengalaman mengajar silat, selain kebolehan biasa, terdapat segelintir penuntut kita yang mempunyai kecerdasan intelek dan kecerdasan emosi yang tinggi. Saya kategorikan mereka sebagai golongan cerdik dan bijak. Mereka mempunyai sifat dan sikap yang tersendiri. Semasa latihan silat, mereka cepat dapat. Pemikiran mereka kreatif dan kritis. Kita perlu pandai melayan karenah mereka. Banyak benda yang dipersoalkan. Jurulatih harus sabar. Kadang kala pengetahuan yang kita beri, terasa semacam tiada kepuasan pada mereka.

Kalau betul caranya, mereka boleh menjadi aset kepada persatuan yang kita pimpin. Mereka boleh membantu kita untuk memaju dan meluaskan perkembangan silat kita seterusnya. Kebolehan mereka mengurus persatuan, akan banyak membantu bagi melicinkan perjalanan persatuan. Tapi berhati-hati dengan mereka. Jangan sampai mereka bersifat ’melawan tauke.’

Ada juga dalam kalangan penuntut kita dalam kategori lemah. Pelajaran yang diberi sering lupa. Hinggakan pernah terkenang sesuatu yang melucukan di kelas saya. Malam ini kita ajar , besok lupa. Satu kelas gelar dia Mat Lupa. Ajar jatuh, asas lupa. Ajar potong, jatuh lupa. Ajar penamat semua buah yang lalu, lupa. Bila dah tamat diapun tamat tak nampak rupa. Ini satu pengalaman yang pelik tapi benar. Dah berpuluh-puluh kelas yang diajar, kes macam itu cuma itu sahaja.

Banyak pengalaman kita sebagai jurulatih dalam masa menyampaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Sering kali apabila mereka datang ke rumah, perbualan akan mengambil masa hingga larut pagi. Pernah kedengaran ayam berkokok barulah mereka minta izin untuk pulang. Pendek kata selagi mereka tidak berasa puas atau selagi persoalan mereka tidak terjawab, membatulah mereka di rumah saya.

Kalau persoalan berkaitan dengan kefahaman maka mudahlah bagi saya menjawabnya dengan menggunakan lidah. Tidak perlu banyak menggunakan tenaga. Sebaliknya jika persoalan yang dibawa menyentuh soal gerak dalam SC, alamat berpeluhlah saya dibuat mereka. Ketika itu keletihan tidak terasa. Apabila mereka beredar baru terasa kesannya. Isteri yang teruk mengurut di sana sini. Tapi masih kontrol. Tak sampai pulak bersilat yang lainnya.

Maka teringat tanggungjawab Guru Utama. Tentu lagi teruk melayan karenah anak muridnya. Kalau saya sendiri yang mempunyai bilangan penuntut yang terhad menghadapi kesibukan melayan, apatah lagi guru kita yang mempunyai anak murid daripada seluruh negara. Tentu teruk pekerjaan sebagai Guru Utama. Bersimpatilah pada beliau. Jangan mudah membuat angkara. Sambung lagi.