Tuesday, February 22, 2011

KENANGAN 21.

DAN BERPECAH LAGI.

Dua lagi persatuan yang mendokong perkembangan SC warisan Ustaz tidak akan begitu mudah dapat mengelak daripada pepecahan. Kumpulan Jurulatih Lorong Haji Sirat amat ramai dalam kalangan mereka. Pepecahan akan pasti berlaku jika golongan mereka itu cuba disisihkan. Merekalah yang berjuang mengasaskan kehebatan SC. Kalau mereka cuba disisihkan maka menjadi tugas mereka untuk memusnahkan usaha yang mereka asaskan. Itulah agakan dan andaian saya.

Dalam CM, kumpulan Jurulatih yang berpendidikan Lorong Haji Sirat sedang menerajui kepemimpinan persatuan. Di samping itu, terdapat kumpulan Jurulatih dari Jalan Putera. Kumpulan ketiga adalah mereka yang diijazah oleh PA. Manakala Kumpulan Jurulatih yang keempat ialah mereka yang diijazah oleh En Mat tapi telah berpaling tadah. Sekarang ini wujud kumpulan Jurulatih kelima yang diijazah oleh guru yang baru.

Kelima-lima kumpulan berkenaan mempunyai latar belakang yang berbeza. Hal yang demikian adalah meliputi dari segi pengalaman, sikap dan ketaatan. Kumpulan yang diijazah oleh Ustaz sedang semakin tua. Manakala kumpulan Jurulatih yang diijazah oleh PA dan guru yang ada masih muda dan pastinya mempunyai cita-cita yang tinggi.

Saya yakin, pelantikan guru yang ada juga tidak disenangi oleh kumpulan ijazah PA. Pertentangan akan berlaku apabila golongan ini mula terketepi apabila murid guru yang ada semakin menguasai persatuan. Tunggulah saat dan ketika. Kepemimpinan guru yang ada tidak mudah diterima. Difahamkan, ramai juga mereka yang menaikkan PA yang tersingkir begitu sahaja. Apabila berpecah maka akan timbul guru baru. Maka bertambahlah lagi satu perguruan SC warisan Ustaz Hanafi.

Pepecahan pada Akademik juga pasti akan menjelang tiba. Maka tunggu juga saat dan ketikanya. Kumpulan itu juga mengandungi pelbagai kumpulan Jurulatih yang tidak tentu taat setianya. Taat setia pada siapa. Nampak sangat golongan Jurulatih Lorong Haji Sirat yang amat berkuasa. Konsep persilatan, persatuan dan syarikat mula diketengahkan. Masing-masing ada penguasanya yang tersendiri. Hal yang demikian termasuklah kuasa pesilatan, kuasa persatuan dan kuasa eksekutif berdasarkan prinsip koperat.

Kumpulan mereka juga mempunyai pelbagai kumpulan Jurulatih. Setakat ini seperti dikata, kumpulan Jurulatih didikan Ustaz sejak zaman Lorong Haji Sirat masih berkuasa. Mereka dibantu oleh kumpulan Jurulatih dari Jalan putera. Di samping itu terdapat dalam kalangan mereka kumpulan Jurulatih yang pernah diijazah oleh PA tapi telah berpaling tadah. Begitu juga dengan kumpulan Jurulatih yang pernah diijazah oleh En Mat yang juga telah berpaling tadah. Perkembangan SC seterusnya telah mewujudkan satu kumpulan Jurulatih baru yang diijazah oleh guru yang sedia ada dalam kalangan meraka. Hal yang demikian membawa makna terdapat lima kumpulan Jurulatih yang sedang wujud dalam kalangan mereka.

Seperti yang dikata, setiap kumpulan mempunyai pegangan, sikap dan pembawaan yang amat berbeza. Perbezaan ini akan ketara dari masa ke masa apabila perjuangan berkepentingan telah mencapai matlamatnya. Matlamat asal adalah untuk menjatuhkan En Mat. Maka bersatulah mereka ke arah pencapaian matlamat tersebut. Namun begitu, apabila hajat telah tercapai, En Mat telah disingkirkan maka tamatlah perjuangan yang ada. Ketika inilah akan berlaku persengkataan. Setiap kumpulan akan mula mempersoalkan perjuangan. Pastinya perjuangan itu adalah berkaitan dengan kepentingan pada setiap kumpulan.

Murid yang diijazah oleh guru yang ada akan terus berkembang dari masa ke masa. Pada satu masa nanti, mereka tidak akan mengerti perjuangan menyingkirkan guru yang sah dalam konteks perjuangan mereka. Maka persoalan lain yang akan timbul. Sekurang-kurangnya persoalan tentang kekuasaan guru mereka sendiri yang terikat dengan persatuan dan syarikat yang ada.

Ketika itu kumpulan Jurulatih ijazah Ustaz dan Pak Ak semakin tua. Bila tua bermakna akan terus diketepikan. Maka akan jadilah mereka umpama melukut di tepi gantang. Amat tragis dan mengaibkan ketika itu. Kalau dapat anugerah atau pingat-pingat, tak apa juga. Risau-risau, tak dapat apa. Terus dilupa dan terus diketepikan kerana sudah tua. Tua bangka. Sedarlah cepat-cepat supaya tidak menyesal di hujung usia.

Nampaknya penguasaan pada individu yang terus bergerak atas nama SC semakin kurang. Ketika ini, setiap ahli akan bebas mendakwa sebagai mewarisi ilmu dari Ustaz. Walau bagaimanapun, dalam ruangan ini saya akan terus menerus menulis bagi menghitamputihkan zaman-zaman awal sejarah perkembangan SC. Sekurang-kurangnnya dapat dijadikan bahan kajian atau sejarah kenangan ketika SC berada di puncak kegemilangan. Bentuk tulisan adalah berdasarkan kaedah IT.

Kadang-kadang saya terfikir kenapa pada zaman Ustaz pepecahan dalam kalangan ahli amat kurang berlaku. Kalau adapun yang kurang bersetuju dengan Ustaz, mereka tidak dapat menyebarkan pengaruh atau pendapat mereka pada ahli-ahli. Mereka akan menarik diri tanpa mewujudkan polimik atau bunga-bunga pepecahan sesama ahli.

Terbayang pada tokoh-tokoh persilatan lama yang menghilangkan diri kerana pelbagai alasan. Termasuk alasan merajuk diri. Perkara pastinya, mereka tidak menyebarkan pengaruh supaya ahli-ahli yang lain menentang kepimpinan yang ada. Menentang Ustaz, jauh sekali. Pemergian atau menghilangkan diri, tidak dapat dikesan oleh sesiapa, melainkan teman atau rakan rapat sahaja.

Nampak sangat perpaduan sesama ahli amat kukuh pada zaman Ustaz. Pada dasarnya, tentu banyak sebab yang menjadikan SC amat mantap di bawah kepimpinan Ustaz Hanafi. Saya bincangkan di sini berdasarkan pendapat saya secara umum. Lain masa akan diperincikan.

Pertamanya kerana ketika zaman Ustaz, para Jurulatih adalah muda-muda sahaja. Tak banyak karenah dan kurang kepentingan diri. Ramai yang bersifat kebudak-budakan seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Ustaz adalah seorang yang tegas. Anak muridnya hormat dan takut pada Ustaz. Hormat dan takut telah membawa kepada kesetiaan. Tidak ada siapa pun yang berani menentang sama ada secara berdepan atau secara di belakang.

Ustaz adalah seorang yang tegas dan tidak akan bertolak ansur jika sesuatu itu mengancam persilatan atau persatuan. Jika ada sebarang karenah yang boleh menghancurkan persatuan yang mendokong persilatan SC, cepat-cepat Ustaz padamkan. Oleh itu, ramai yang tersingkir semasa Ustaz, termasuk Setiausaha Agung dan Timbalannya sendiri.

Apapun alasan yang diberi, pepecahan dalam SC telah melanda kita dengan hebatnya. Sejarah telah berlalu. Tidak mungkin SC akan kembali ke bentuk asal. Semakin lama usia SC maka akan semakin banyak melahirkan persatuan bagi mendokong perkembangan SC yang telah diasaskan oleh ustaz Hanafi. Kekuatan setiap persatuan adalah banyak bergantung pada strategi yang dirancang oleh barisan kepemimpinan persatuan. Strategi yang betul akan menyebabkan keahlian dalam persatuannya terus menerus bertambah dari masa ke masa.

Berdasarkan pengalaman yang ada dalam SC, saya berpendapat, setiap guru yang ingin berjaya, perlu menyusun strategi dari dua segi yang berbeza. Pertamanya dari segi persilatan dan keduanya dari segi persatuan.

Dari segi persilatan, mengajar silat perlu diberi keutamaan. Guru yang ada perlu turun padang. Maknanya sekali sekala perlu berada dalam kelas-kelas latihan di merata cawangan. Ijazah silat jangan sesekali diberi mandat pada sesiapa. Guru sendiri perlu melakukannya.

Kelas-kelas kemahiran dalam kalangan Jurulatih juga perlu diadakan setiap masa. Sekurang-kurangnya seminggu sekali. Konteks dengan para Jurulatih perlu rapat. Jurulatihlah yang akan memainkan peranan untuk mengeratkan hubungan antara guru dengan murid silat. Hati mereka perlu diikat. Salah satu caranya ialah mengajar mereka kemahiran bersilat.

Saya yakin, ketika mengajar silat maka akan wujudlah ikatan rapat antara guru dengan Jurulatih. ’Penangan’ guru perlu dirasa. Berkat tentunya. Secara langsung semangat Jurulatih dapat ditingkatkan dari masa ke masa. Hal yang demikian tersangat penting untuk menyemarakkan lagi perkembangan SC dalam kalangan masyarakat.

Dari segi persatuan, pelbagai aktiviti perlu di susun. Akitiviti-aiktiviti sosial yang berbentuk penambahan pengetahuan perlu diadakan dari masa ke masa. Kebolehan bersyarah memang ada pada guru kita. Setiap perayaan keagamaan perlu juga disambut. Galakkan mereka bertanggungjawab dalam pengurusan sesuatu acara. Secara langsung hal yang demikian akan mengikat dan memberi motivasi kepada mereka untuk terus kekal lama dalam SC yang dipimpin oleh guru yang berkenaan.

Selain daripada perkara yang dibincangkan di atas, guru yang ada patut menyatakan dan menyampaikan matlamat atau kehendaknya pada Jurulatih SC yang dipimpinnya. Tunjukkan penghujung pada perjuangannya supaya para ahli mendapat satu gambaran jelas tentang matlamat akhir SC.

Guru juga boleh mengadakan perjumpaan dalam kalangan Jurulatih dan kepemimpinan persatuan peringkat cawangan atau pusat selama sehari dua. Hasrat guru boleh disampaikan. Hal yang demikian akan mewujudkan konteks yang lebih rapat antara guru dengan barisan kepimpinan di semua peringkat sama ada di negeri-negeri atau di pusat-pusat pengajian tinggi.

Saya yakin apabila kedua-dua aspek tersebut diambil berat, akan memudahkan guru yang ada menyusun strategi bagi memantapkan persilatannya. Aspek persilatan ada cara pengendaliannya dan aspek persatuan pun ada pula cara pengendaliannya. Jagalah kedua-dua bidang tersebut dalam usaha mengukuhkan persilatan yang dipimpin.

Setiap pergolakan atau bibit-bibit pergolakan perlu dihapuskan dengan serta merta. Jangan biarkan gejala buruk itu terus berkembang. Bertindak segera bagi meredakan keadaan. Insyaallah akan berjaya.

Kita tidak mengharapkan pepecahan yang berterusan. Nampaknya harapan untuk seperti dulu-dulu mungkin amat tipis. Namun begitu, manalah tahu. Tiba-tiba akan lahir atau muncul seorang ’penyatu’ yang dapat menyatukan kesemua persilatan SC yang berpecah. Penyatuan semula di bawah satu persatuan dan satu guru. Mimpi agaknya.