Thursday, February 3, 2011

KENANGAN 11.

SC AMATLAH ’MUDAH’.

Jurulatih juga berperanan untuk mengurangkan tekanan dalam kalangan pesilat dalam proses pembelajaran. Jurulatih selalu memotivasikan pesilat dengan penggunaan konsep mudah dalam pembelajarannya. Hal yang demikian akan menjadikan pesilat SC tidak tertekan dan berterusan mempelajari SC dari masa ke masa. Dalam pantun SC sendiri ada dilahirkan perkataan mudah.

Silat Cekak amatlah mudah,
Bagi mereka yang mendapat hidayah.
Namun begitu hendaklah tabah,
Mudah-mudahan mendapat faedah.


Kalau konsep mudah dapat difahami oleh pesilat, maka mudahlah kita membincangkan konsep mudah yang ada pada SC dalam kalangan mereka. Kefahaman mengenainya adalah dianggap perlu bagi mengurangkan salah anggap dan ketegangan dalam proses mendapatkan ilmu SC.

Berdasarkan pengalaman saya bersilat, sememangnya SC adalah mudah. Ketika memulakan sesi latihan, kita tidak memerlukan upucara buka gelanggang seperti mana kelaziman silat-silat Melayu yang lain. Malah, pakaian silat di peringkat pemulaan masih bebas. Mungkin ada dalam kalangan kelas yang menempah baju T untuk latihan. Pemakaian uniform silat semasa latihan tidak dimestikan.

Pada peringkat awal penglibatan saya dalam SC, pakaian silat atau dikenali sebagai uniform silat, bukan mudah untuk diperoleh. Setelah tamat silat, baru dibenarkan memakai uniform silat. Itupun belum tentu kekalnya. Jika tidak berminat lagi dengan SC, uniform itu sendiri akan diambil balik atau dibeli balik oleh persatuan. Pucuk pangkalnya, pesilat yang tidak aktif lagi dalam persilatan adalah tidak layak menyimpan uniform SC.

Terdapat satu pengalaman berkaitan uniform yang sentiasa ada dalam fikiran saya. Peristiwa bermula apabila terdapat seorang pesilat yang tak perlu disebut nama telah enggan melibatkan diri dalam SC lagi. Keengganannya itu disertai dengan tindak-tanduk yang tidak menyenangkan Ustaz. Hal yang demikian telah menyebabkan Ustaz mengarah usaha bagi mendapatkan balik uniform yang ada pada beliau.

Uniformnya berjaya dibeli. Ustaz membenarkan saya memilikinya dan dibayar dengan menggunakan wang sendiri. Alhamdulillah, uniform itu kekal pada saya hingga ke hari ini. Mungkin bahagian pinggang agak sendat sedikit. Tapi masih boleh dipakai untuk dibuat pertunjukan.

Selain daripada itu, mempelajari SC tersangat mudah. Ketika saya mula-mula mempelajari SC, terasa di hati sesuatu yang luar biasa. Hal yang demikian kerana saya membandingkan pengalaman saya bersilat. Kalau dulunya, sebelum memulakan latihan , saya perlu membaca sesuatu.

Dalam satu silat yang pernah saya pelajari, kami perlu meminta izin dari bumi dan langit terlebih dahulu. Begitu juga dengan silat lain yang saya pelajari. Perlu membaca beberapa jenis ayat Al-Quran sebelum memulakan latihan. Berbeza dengan SC yang begitu mudah sahaja.

’Pengkeras’ dalam SC tidak banyak dan tidak menyusahkan. Kain putih dan wang pengkeras amat mudah diadakan. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Bakal ahli perlu mengadakan ’saknika’ benda. Di samping ayam, mereka perlu membawa pelbagai bahan seperti jarum, garam, sintuk dan sebagainya. Ikut keperluan silat yang dipelajari. Walaupun mudah didapati tapi jenisnya banyak dan leceh sekali.

Proses mempelajari SC juga dikira mudah. Pelajaran SC adalah bersistem dan mudah diikuti. Pelajarannya berturutan dan ada kaitan. Itu sebabnya dalam majlis-majlis penerangan, kesinambungan satu-satu pelajaran amat mudah diterangkan. Para penonton mudah memahami dan mudah menerima dari segi logiknya. Dari huruf menjadi perkataan. Dari perkataan menjadi ayat. Dari ayat menjadi karangan.

SC tidak gopoh. Meletakkan penumbuk pada pasangan silat, pun ada kira-kiranya. Mula-mula letak dan kemudiannya baru membuat tumbukan. Umpama pengantin baru yang perlu dibelai pelahan-lahan. Mula-mula letak dan kemudian baru dianukan. Kalau tidak, alamat pengantin perempuan cabut lari tengah malam.

Mereka yang telah tamat SC pasti mengerti dan memahami maksud penulisan saya. Buah jatuh pun dimulakan dengan asasnya. Saya telah bincangkan dalam tulisan yang terdahulu.

Walaupun pelajaran SC dianggap mudah, hasilnya tidak menjejaskan kualitinya. Para Jurulatih sentiasa menekankan supaya pesilat jangan permudahkan pembelajarannya. Mereka juga sentiasa menjaga kualiti pembelajaran dan pengajarannya.

Hakikatnya ketika itu, SC amat mementingkan kualiti dan bukannya kualiti semata-mata. Kita tak pernah mendabik dada bermegah dengan bilangan ahli yang ramai. Penekanan kita ialah ahli silat dan bukannya ahli persatuan. Ahli silat bermakna, mereka yang telah menghabiskan pelajaran dan menguasai pelajarannya. Manakala ahli persatuan ialah mereka yang berdaftar sebagai ahli dalam persatuan. Tak tamat silatpun tetap dianggap ahli persatuan.

Oleh sebab kualitilah maka setiap negeri hanya ada satu Cawangan. Daripada cawangan, SC tersebar luas melalui kelas-kelas atau pusat-pusat latihan. Prinsip kita, sekali cawangan dibuka jangan sesekali cawangan itu ditutup. Malangnya ketika ini, kita sendiri menutup cawangan atas nama persatuan. Kalau dulu, kita bersungguh-sungguh membanyakkan kelas SC, tetapi sekarang bersungguh-sungguh menghilangkan kelas latihan. Semuanya gara-gara kepentingan diri dan bersemangat persatuan. Pada hal membuka dan menutup kelas masih berkait dengan orang yang sama. Masa berubah dan sikap pun berubah. Itulah hipokrat namanya.

Hilang faktor persilatan yang satu masa dulu tersangat dibangga-banggakan. Angkara golongan haprak dalam SC. Tak sedar dek untung. Lupa ikrar ketika bersama Ustaz untuk mengembangkan SC. Kerana faktor cari makan dan kepentingan diri, prinsip SC terpaksa digadaikan. Ramai pengikut pulak tu. Pengikut jenis buta kayu. Kalau ada Ustaz, lama dah kena penyepak. Agaknya.

Dari masa ke masa, walaupun SC dianggap mudah, kualiti SC sentiasa dijaga. Kursus-kursus khas telah diadakan. Golongan lapis baru dilibatkan bagi menghadiri kursus berkenaan. Oleh sebab perkembangan silat erat kaitannya dengan persatuan, maka kursus-kursus yang melibatkan pentadbiran turut diadakan. Hal yang demikian juga adalah sebagai satu usaha untuk menjamin kualiti SC itu sendiri.

Oleh sebab kata-kata perangsang sentiasa disemai dari masa ke masa, ahli SC sentiasa berasa yakin dan amat percaya bahawa silat yang diamalkannya adalah hebat dan tetap hebat. Tidak ada tolok bandingnya dengan persilatan lain. Kata-kata perangsang itu sentiasa disemai oleh para Jurulatih yang tetap terangsang.

Selalau saya ingatkan. Para Jurulatih perlu menjaga mutu pelajaran yang ada pada diri mereka. Kelas-kelas kemahiran patut diadakan setiap masa bagi mempastikan kualiti Jurulatih sentiasa terjamin. Para Jurulatih diyakinkan betapa mereka perlu sentiasa mengambil berat dalam proses pembelajaran penuntutnya.

Seiring dengan itu Jurulatih juga perlu mengambil berat proses penurunan ilmu kepada pesilat. Hal yang demikian amat penting supaya kualiti SC sentiasa terjamin. Hasilnya, keyakinan diri para pesilat dapat dipupuk dan disemai dari masa ke masa. Secara langsung kualiti pesilat akan terjaga di samping Jurulatih sendiri turut hebat sepanjang masa.
Sekian. Sambung lagi.