Thursday, February 17, 2011

KENANGAN 19.

PEPECAHAN GELOMBANG KEDUA.

Rupa-rupanya, pepecahan itu bersifat candu. Macam orang merokok. Kalau sekali merokok maka perbuatan tersebut akan terus berulang. Begitu juga dengan pepecahan dalam SC. Sekali berpecah, semacam ketagihan candu, persatuan kita akan terus berpecah.

Pepecahan persatuan memberi kesan kepada Jurulatih. Persatuan telah menguasai pergerakan silat. Silat dikendalikan oleh Jurulatih. Apabila persatuan berpecah maka bidang persilatan juga turut terjejas. Pepecahan dalam persilatan memberi makna pepecahan dalam kalangan Jurulatih silat Cekak.

Di akhir-akhir zaman kepemimpinan Ustaz, saya telah jelaskan betapa riak-riak perbezaan pendapat mulai ketara. Perbezaan pendapat itu telah menjadi asas pepecahan dalam kalangan Jurulatih. Pada zaman PA, perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin SC semakin ketara. Masing-masing ada pendapat dan alasan yang kukuh. Para Jurulatih tidak terkecuali terlibat dalam sengketa yang ada. Maka berlakulah pepecahan dalam gelombang pertama.

Peranan Jurulatih amat penting. Masing-masing pihak cuba mendapatkan sokongan daripada Jurulatih sama ada di peringkat pusat atau di peringkat cawangan negeri. Jurulatih adalah pemimpin utama. Hubungan mereka dengan ahli adalah rapat sekali. Melalui Jurulatihlah idea atau pemikiran kumpulan-kumpulan tersebut dapat disalurkan dalam kalangan ahli.

Saya difahamkan, apabila para Jurulatih diheret dalam kancah persengketaan, maka suasana kelas latihan telah mula porak peranda. Tumpuan pada silat mulai longgar. Sesi latihan silat dalam kelas mula dimasukkan agenda pengulasan oleh Jurulatih tentang perbezaan pendapat yang ada.

Oleh itu, tumpuan pesilat dalam kelas mula diluaskan. Kalau dulunya pemikiran pesilat ditarik pada perbezaan SC dengan silat Melayu yang lain, kini pemikiran pesilat ditarik pula tentang perbezaan pendapat antara pelbagai kumpulan dalam SC. Hilang fokas utama dalam dunia persilatan SC.

Apabila teraju kepemimpinan silat beralih pada En Mat, pembahagian kumpulan Jurulatih semakin luas. Satu kumpulan pastinya berdiri teguh belakang guru Pak Ak. Mereka mempertahankan guru mereka dalam segala perkara. Satu kumpulan lagi, pastinya berdiri teguh pada En Mat. Masing-masing kumpulan menyusun strategi bagi mempastikan kewibawaan guru yang ada. Hal ini demikian kerana berlainan persatuan membawa makna ’berlainan silat’ dan berlainan gurunya. Maka sekali gus para Jurulatih telah berpecah kepada dua kumpulan besar.

Walau bagaimanapun, terdapat Jurulatih yang membentuk kumpulan serpihan, terkeluar dari sengketa perbalahan. Mereka tidak menyebelahi mana-mana pihak. Ada yang tidak dapat menerima hakikat berlakunya peralihan kuasa ketika guru utama yang ada masih hidup. Fikiran mereka terkeliru dan terganggu. Kedua-dua guru yang ada amat dihormati dan disanjungi. Berat rasa di hati untuk memihak pada satu-satu guru. Jalan mudah pada mereka ialah berehat. Namun, hati tetap pada SC. Silat yang telah diwarisi dari Ustaz Hanafi.

Pepecahan yang berlaku telah mengasingkan pendapat dalam kalangan Jurulatih. Saya sendiri telah berada dalam kumpulan En Mat. Maka sahabat-sahabat saya yang berada bersama PA tidak dapat berhubung lagi. Putus hubungan. Bersua muka, pasti lari. Hilang kemesraan yang terjalin selama ini. Walau bagaimanapun, mereka yang bergiat awal dalam SC telah memilih kepemimpinan En Mat. Cuma, Jurulatih lama yang berpihak sebelah PA boleh dibilang dengan jari. Kecuali Jo Black dan Maidin, yang lainnya tidak berperanan hebat semasa Ustaz. Kita lupakan kegiatan mereka.

Dalam SC pimpinan En Mat, ramai tokoh lama. Ketokohan mereka adalah pelbagai zaman. Umumnya, kumpulan Jurulatih ijazah Ustaz dapat dibahagi dua. Satu kumpulan adalah para Jurulatih yang sama-sama membangunkan SC sejak zaman Ustaz lagi di pejabat Haji Sirat. Sumbangan atau jasa mereka amat besar. Pahit maung telah ditempuh dengan penuh tabah. Satu lagi kumpulan adalah mereka yang lahir di pejabat silat Jalan Putera. Ketika itu SC semakin hebat. Bentuk cabaran atau pahit maung menegakkan persilatan, mungkin berbeza. Kurang cabaran mengembangkan silat.

Setelah PA menjadi guru utama, anak muridnya juga mula bertambah. Ramai yang dilantik sebagai Jurulatih. Maka wujudlah Jurulatih dalam tiga zaman. Kumpulan Haji Sirat, kumpulan Jalan Putera dan Jurulatih hasil didikan PA. Kesemua kumpulan itu mempunyai latar penglibatan yang berbeza. Pastinya pemikiran dan komitmen juga turut berbeza.

Dalam pepecahan gelombang pertama, ketiga-tiga kumpulan Jurulatih yang merujuk pada zaman yang berbeza telah terbahagi dua. Satu kumpulan menyokong terus kepimpinan guru PA. Manakala satu kumpulan Jurulatih lagi menyokong En Mat. Pepecahan tersebut benar-benar mewujudkan sengketa yang tidak memungkinkan mereka berbaik semula. Masing-masing dengan haluannya. Hubungan yang terwujud sekian lama, terkubur begitu sahaja.

Dalam persatuan Cekak Hanafi, SC terus berkembang. Dalam kumpulan Jurulatih tersebut masih terdapat kumpulan Jurulatih zaman Ustaz yang terdiri dari dua latar yang berbeza iaitu didikan Haji Sirat dan Jalan Putera. Satu lagi kumpulan Jurulatih ialah mereka yang mendapat ijazah melalui PA.

Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. En Mat yang terlantik sebagai guru semakin ramai melahirkan murid silat. Antara mereka ramai yang dilantik sebagai Jurulatih. Oleh itu, kumpulan Jurulatih telah bertambah menjadi empat. Kumpulan keempat ialah mereka yang telah diijazah oleh En Mat.

Gelombang pepecahan kali kedua telah tidak dapat dielakkan. SC berpecah dua. Walaupun masih tidak ada penghujungnya, nampaknya pepecahan telah ada. Wujud lagi guru baru. Tercapai cita-cita yang terkesamping sejak pemergian Ustaz. Sekali lagi Jurulatih SC terbahagi dua. Nampaknya, keempat-empat kumpulan Jurulatih itu ada bersama antara perguruan En Mat atau perguruan yang satu lagi. Cuma bilangan Jurulatih yang bergiat di zaman Hj Sirat, ramai yang berpihak pada guru baru. Mungkin yang baru ada umm-nya.

Dalam tulisan ini, saya hanya menyentuh secara umum tentang pepecahan dalam kalangan Jurulatih semasa pepecahan gelombang pertama. Saya tidak menyentuh sebab-sebab pepecahan dan kronologi pepecahan. Memadailah dengan kenyataan bahawa Jurulatih dalam SC telah berpecah. Masing-masing ada pendirian dan pandangannya. Masing-masing juga mendakwa betapa jalan yang dipilih adalah tepat dan sempurna.

Susana pepecahan yang berlaku pada gelombang pertama dan gelombang kedua banyak persamaannya. Operasi menjatuhkan lawan adalah hampir sama. Sifat rakus menutup kelas, juga sama. Tindakan yang sama dan jelas ialah menutup kelas-kelas SC jika berbeza pendapat. Hilang semangat Hanafi. Maka timbulkan semangat kepentingan diri.

Seperti dikata, pepecahan adalah umpama ’candu’. Sekali berpecah maka akan terus berpecah. Pepecahan seterusnya pada CM dan Akademik pasti ada. Saya berpendapat, menyedari hal yang demikian, masing-masing telah menyusun strategi bagi mengelak gelombang pepecahan melanda lagi.

Di pihak kita, penubuhan kumpulan yang digelapkan mata mungkin satu kaedah bagi menyekat pepecahan seterusnya dalam kalangan kita. Di sebelah sana mungkin ada caranya. Strategi yang bermatlamat sama.