Sunday, March 28, 2010

4. PENYESUAIAN STRATEGI PENYAMPAIAN ILMU

Perubahan masa menyebabkan SC terus berkembang. Seperti yang dikatakan bahawa kita tidak boleh menafikan betapa pengawalan ke atas SC tidak sekuat di awal perkembangannya. Hal ini demikian kerana kelas-kelas SC semakin berkembang. Bakal penuntut SC tidak lagi terhad dalam kalangan masyarakat awam. Permintaan pelajar-pelajar daripada pusat-pusat pengajian semakin bertambah. SC telah mempunyai pelbagai pemikiran. Pelajar-pelajar yang ada lebih bersifat kreatif dan kritis. Mereka tidak mudah menerima sesuatu tanpa ada unsur-unsur logik dan rasional. Keadaan ini perlu diambil berat oleh tenaga pengajar dalam SC.

Mereka yang masuk SC mempunyai pelbagai tujuan. Ada yang masuk kerana minat, kerana kawan, kerana mengisi masa lapang dan kerana keperluan markah kokurikulum di pusat-pusat pengajian. Oleh sebab itu makna kerahsiaan dalam SC semakin longgar. SC kurang dirasai sebagai satu jenis silat yang sangat dicemburui pada orang lain yang bukan ahli.

Ketika ini, permintaan daripada sekolah semakin bertambah. Amat sukar untuk mengehadkan kemasukan pelajar hanya pada pelajar menengah atas yang lebih tinggi umurnya. Pada hal pelajar-pelajar menengah rendah juga amat berminat dengan SC. Berdasarkan perkembangan tersebut, perubahan dari segi penyampaian ilmu SC amat perlu dilakukan. Dalam hal ini saya nampak perubahan itu perlu dilakukan dalam dua keadaan yang berbeza. Pertamanya strategi penerangan dan keduanya sukatan pelajaran.

Pembelajaran di sekolah dan di universiti akan mengambil masa yang lama. Banyak penghalang dalam proses pengajaran. Salah satu penghalang utama ialah masa dan yuran pembelajaran. Hal ini demikian banyak berlaku di sekolah-sekolah. Bentuk sukatan pelajaran SC perlu dirangka dengan lebih teliti. Masalah-masalah yang timbul sangat perlu diambil kira dalam perancangan tersebut. Rangka sukatan pelajaran SC perlu juga meliputi jangka masa latihan dan bentuk latihan.

Umur pelajar dan saiz pelajar akan mempengaruhi bentuk pengajaran SC. Kita perlu menarik minat pelajar tersebut sejak mereka berada dalam tingkatan satu lagi. Selama lima tahun mereka akan berada dalam pengajian di sekolah. Jadi, apakah bentuk susunan pelajaran yang sesuai bagi mereka. Bagaimanakah isi pelajaran dapat dilanjutkan sekurang-kurangnya empat tahun. Dalam jangka masa tersebut kesetiaan mereka untuk terus berada dalam SC perlu juga diambil kira. Program-program motivasi perlu dimasukkan sekali.

Saiz tubuh badan juga perlu diberi perhatian. Jika pengambilan ahli-ahli SC dibuka sejak Tingkatan Satu lagi maka saiz tubuh badan mereka perlu diambil kira. Pelajar yang kecil pasti mempunyai tangan yang kecil. Kaedah dalam SC boleh memudaratkan mereka jika melakukan gerak kaedah dan gerak pukulan tanpa pengawalan dan pengawasan yang betul. Jadi, aspek keselamatan pelajar sangat perlu diambil kira. Dalam konteks inilah prinsip pukulan dalam SC amat perlu diberi tafsiran baru. Ketika inilah juga jika difikirkan gerak pukulan perlu ditangguhkan dahulu maka prinsip tersebut perlu diberi perhatian. Untuk jangka panjang, kita sesuaikan pelajaran SC dengan suasana dan tuntutan peraturan di sekolah-sekolah.

Oleh itu, pengajaran di kelas biasa, sekolah dan di pusat pengajian tinggi memerlukan bentuk pengajaran yang berlainan. Jenis penuntut dan tahap pemikiran mereka adalah berbeza. Cabaran yang kita hadapi turut berbeza antara ketiga-tiga kategori penuntut tersebut. Semua faktor tersebut perlu difahami oleh kepimpinan yang ada. Pada pendapat saya mereka yang berumur dan remaja perlu diberi ‘rasa’ seperti yang ada dalam SC. Tolak ansur hanya perlu dalam kalangan pelajar sekolah di tahap menengah rendah.

Dalam konteks berlainan suasana di sekolah, institusi pengajian tinggi dan kelas-kelas biasa, penerangan kita di pusat-pusat latihan tersebut perlu berhati-hati dan mengambil sikap menurut keperluan semasa. Jangan sesekali hentam koromo sahaja. Persoalan yang ditimbulkan perlu juga dijawab dengan kesesuaian pada tahap pemikiran mereka. Sekarang ini banyak persoalan yang sering ditimbulkan. Kadangkala persoalan baru yang ditimbulkan adalah diluar daripada kefahaman kita yang sedia ada. Berhati-hati memberi jawapan dan lihat pada tahap pemikiran mereka.

Satu ketika dulu di pusat-pusat pengajian tinggi, penerangan tentang gerak kita yang berasaskan sembahyang tidak mendatangkan sebarang masalah. Para bakal penuntut dapat menerima konsep tersebut dengan senang hati. Malah saya sendiri secara peribadi berasa bangga dan bertuah kerana memahami gerak semula jadi manusia yang ada dalam SC adalah gerak yang berasaskan sembahyang. Dalam kempen-kempen mencari ahli, dengan penuh yakin saya menegaskan tentang perkaitan gerak dalam SC dengan gerak sembahyang yang menjadi amalan harian kita. Itulah gerak hakiki yang sesuai dengan tabiat manusia. Bukan main hebatnya percakapan kita. Bercakap dengan penuh yakin dan megah.

Namun begitu, lama-lama timbul persoalan mengenai gerak sembahyang ini apabila masyarakat mula berminat dengan SC. Hingga terseret ahli bijak pandai agama yang melarang keras sesuatu perbuatan yang cuba dihubungkan dengan sembahyang. Malah saya terdengar betapa ada tok guru agama yang mengatakan bahawa mengaitkan perbuatan silat kita dengan sembahyang dianggap biadap dan syirik. Sedap sekali kata-kata yang terpancul melalui mulutnya.

Di samping adanya pendapat daripada ahli agama, muncul pula jurucakap silat-silat Melayu yang mula bercakap bahawa silatnya juga berasal daripada gerakan dalam sembahyang. Kaedah mengelak dengan satu tapak dianggap sebagai kaedah gerak dalam sembahyang. Dalam sembahyang, mana boleh gerak melebihi tiga gerak. Oleh sebab gerak elakan mereka hanya satu tapak dan satu gerak maka mereka menganggap bahawa gerak silatnya masih tidak melebihi tiga gerak yang boleh menafikan gerak silat mereka sebagaimana yang terdapat dalam gerak sembahyang. Kesimpulan pada mereka, gerak silat yang mereka ada adalah berasaskan gerak dalam sembahyang.

Oleh sebab wujudnya bantahan ahli agama tentang gerak silat berasaskan sembahyang dan wujudnya dakwaan bahawa silat-silat Melayu yang lain juga berasaskan gerakan sembahyang maka strategi penerangan kita tentang SC perlu berubah. Saya sendiri tidak lagi menegaskan tentang gerak SC berasaskan gerak sembahyang. Secara langsung saya dapat mengawal perbahasan dalam kalangan pendengar apabila cuba mengaitkan gerak SC dengan gerak sembahyang. Dengan itu penerangan saya berjalan lancar tanpa ada sebarang persoalan daripada pendengar ceramah saya.

Semasa tamat silat juga strategi penerangan mula berubah. Dulu, semasa menyampaikan pelajaran tumbuk serang kita boleh benarkan penuntut yang tamat silat untuk menumbuk. Kita berjaya mengelak dan kemudian kita katakan bahawa penumbuk tersebut sebagai penumbuk bodoh dan tidak betul. Lama-lama saya lebih berhati-hati apabila membuat penerangan dan menyampaikan pelajaran tumbuk serang. Rupa-rupanya dalam kalangan penuntut kita yang tamat, sudah ada yang mengetahui tentang rahsia penumbuk kita. Ada yang mendapat pengetahuan tersebut daripada kawan setia atau daripada adik beradiknya yang sedang tamat SC di kelas yang lain. Silap perhitungan, apabila kita suruh mereka menumbuk, kita mengelak maka penumbuknya hinggap di badan kita. Bukan di lambang.

Oleh itu saya lebih suka menumbuk terus penuntut yang tamat tanpa perlu mengetahui cara penumbuk mereka. Ketika menumbuk, saya akan letakkan syarat bahawa mereka perlu mengelak. Selesai menumbuk atas elakan mereka tersebut, baharulah diterangkan bagaimana penumbuk SC dapat bertindak berdasarkan elakan musuh itu. Secara langsung, diri Jurulatih akan lebih selamat dan perasaan mereka lebih terkawal kerana kejadian di luar jangkaan tidak akan timbul langsung. Risiko semakin kurang. Dapatlah kelas tersebut ditamatkan dengan tenang.

Berdasarkan perbincangan, ketika membuat penerangan atau menyampaikan ilmu, hal-hal yang berkaitan dengan beberapa persoalan yang ada adalah perlu diambil kira. Janganlah membuat penerangan tanpa ada sedikit kajian tentang latar belakang pendengar atau penuntut kita. Berhati-hati itu akan menjadikan kita lebih berjaga-jaga dan mengurangkan risiko semasa mengendalikan latihan atau membuat penerangan.

Sekian setakat ini.