Monday, February 1, 2010

PERANAN MURID DALAM SC

Ada yang bertanya saya tentang tajuk tersebut. Soalan mudah tapi payah juga menjawabnya. Jawapannya boleh dibincang dalam pelbagai sudut peranan murid yang berkenaan. Tidak dapat dielakkan juga perbincangan itu juga akan menyentuh peranan sebagai ahli persatuan yang terikat dengan peraturan persatuan atau peranan sebagai ahli silat yang terikat dengan adat dan adab persilatan.

Dalam tulisan ini saya akan fokaskan pada peranan saya selaku murid dalam SC pada satu ketika yang lalu. Bolehlah kita berkongsi pengalaman buat generasi baru. Namun begitu, jangan main ikut-ikutan. Lihat juga nilai diri yang ada sebelum dibuat penyesuaian atau ulasan. Hal ini demikian bagi mengelakkan sebarang kekecewaan. Dalam tulisan ini juga, saya akan cuba mengulas tentang tindak-tanduk murid-murid lain yang mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai dengan sikap dan pandangan saya selaku murid dalam SC.

Pada saya, sebagai seorang murid silat, kita perlu memupuk perasaan ikhlas terhadap guru di hati kita. Konsep ikhlas tidak perlu dibuktikan kepada sesiapa. Kita yang empunya diri sahaja yang mengetahuinya. Walaupun mungkin ada perasaan yang berkata-kata atau ragu-ragu, sifat dan sikap tersebut perlu dihapuskan dengan seberapa segera. Lafaz ketika ijazah boleh dijadikan pegangan untuk mentaati guru sepanjang masa. Bila bersalam, tenung muka guru dan tunjukkan sifat menerima dan gembira bertemu dengannya. Adab kita bersama guru perlu dijaga dengan sempurna. Hindari daripada perkara-perkara yang guru kita tidak suka. Saya ambil satu contoh pengalaman ketika bersama dengan Ustaz. Ketika duduk atas kerusi, ada dua perkara yang Ustaz tidak gemari. Pertama, duduk menyelang kaki dan kedua lutut berhinjut-hinjut ketika duduk. Pengalaman ini saya dapati ketika Ustaz menegur salah seorang murid silat yang berbuat demikian. Oleh itu hal yang demikian jadikan panduan dan sempadan ketika berhubung dengan guru kita. Lain padang maka lain belalangnya.

Kepentingan adab kita bersama guru juga adalah bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati guru terhadap kita. Perasaan tak puas hati ini, walaupun sedikit atau berbentuk lintasan akan menjadi penghalang utama bagi guru untuk menurunkan sebarang ilmu atau meneruskan perbualan dengan kita. Pernah terjadi ketika Ustaz ingin membincangkan sesuatu petua, suaranya seakan-akan tersekat yang menghalang perbualannya. Pada fikiran saya tersekat-sekat tersebut pastinya ada kaitan dengan hati dan fikirannya. Maknanya ialah ada sesuatu yang tak kena pada hatinya hingga menyebabkan ilmu yang berharga yang sepatutnya ingin disampaikan pada ketika itu telah terhalang. Dulu tidak ada majlis petua. Petua yang diperoleh adalah berdasarkan kerelaan Ustaz untuk menyampaikannya. Itu sebabnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu sama ada fizikal atau petua, saya lebih suka berjumpa dengan Ustaz secara empat biji mata. Kalau membawa kawan lain, jika adab tak erti digunakan, pasti saya akan kecewa untuk mendapatkan apa yang dihajati. Maka perlulah kita bersopan dan bertertib ketika kita bersama guru jika inginkan ilmu seterusnya.

Sebagai murid pastinya kita akan cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati dan kehendak guru. Fahami akan perkara-perkara yang digemarinya serta hindari diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak digemarinya. Kita juga perlu sedaya upaya menjadikan guru sentiasa berpuas hati dengan segala tindak tanduk yang kita lakukan. Lebih-lebih lagi jika guru kita tersebut berkata kias dan melakukan sesuatu dengan maksud kias. Sesungguhnya, diri kita juga akan diuji tentang kesungguhan dan kesetiaan kita terhadapnya tanpa kita sedari. Ujiannya adalah pelbagai. Oleh itu, berhati-hatilah dengan sifat dan perbuatan kita. Jadikan diri kita sepanjang masa adalah sama. Cuma yang perlu kita lakukan adalah penyesuaian diri atas kehendak adab dan sopan pelakuan kita yang sepatutnya seperti mana yang disarankan oleh guru kita.

Semasa kehadiran guru dalam kelas latihan silat, tunjukkan kesungguhan kita bersilat. Saya rasa ini juga adalah merupakan peranan kita sebagai murid silat. Kalau persilatan kita hebat, tentunya guru kita berasa puas. Kesungguhan yang kita tunjukkan akan memberi kepuasan kepadanya sebagai guru yang bertanggungjawab mendidik dan melahirkan murid silat yang hebat. Kalau di zaman Ustaz, kehebatan dan kesungguhan kita bersilat akan menjadikan Ustaz berasa suka dan akan menarik perhatiannya untuk turun ke kalas latihan bersama kita. Maka banyaklah lagi tambahan ilmu dan petua yang akan kita peroleh.

Peranan kita sebagai murid SC juga ada kaitannya dengan tugas atau amanah yang diberi. Misalnya, saya pernah diberi peranan sebagai Jurulatih. Maka peranan saya sebagai murid silat akan disesuaikan dengan kehendak atau peranan atas tanggungjawab sebagai Jurulatih. Dalam hal ni, sebelum saya menunaikan amanah guru bagi mengajar murid-murid silat yang lain, saya akan dapatkan restu guru terlebih dahulu. Selepas bersalam dan menerima pesanan jika ada, barulah kami menunaikan tanggungjawab mengajar silat. Mungkin prinsip ini sukar dilakukan sekarang. Apatah lagi jika kelas latihan kita berjauhan di cawangan.

Walau bagaimanapun, prinsip ini masih boleh dilanjutkan. Jurulatih yang ingin menunaikan tanggungjawab silatnya bolehlah mendapatkan restu daripada penyelia kelas yang merupakan wakil guru. Inilah simbolik akan adab silat kita. Secara langsung, di peringkat cawangan hanya ada seorang ketua yang menyelaras semua kegiatan silat. Hal ini akan menjadikan cawangan berkenaan utuh dan tidak mudah berpecah.

Ramai kalangan kita yang berpindah setelah tamat pengajian. Maka peranan kita mengembangkan SC di tempat kita berpindah perlu juga diutamakan. Hal ini demikian kerana kita mengakui kehebatan SC. Pengakuan ini akan lebih bermakna jika kita menyebarkannya dalam kalangan masyarakat kita supaya ilmu yang hebat tersebut dapat dikongsi bersama. Lebih-lebih lagi kalau menganggap SC adalah hak masyarakat. Maka perlulah menyebarkan silat ini dalam kalangan masyarakat secara bersungguh-sungguh. Secara sukarela lagi baik.

Di peringkat cawangan, tanggungjawab kita semakin berat. Peranan kita bukan sahaja meliputi pergerakan silatnya tapi juga pergerakan persatuan yang menjadi asas kebenaran pergerakan silat kita. Di samping peranan sebagai pentadbir atau pengurus persatuan yang mengendalikan beberapa kehendak peraturan, kita juga tidak terlepas daripada tanggungjawab silat. Di samping mengajar silat, adat-adat yang berkaitan dengan silat perlu kita pelihara dengan sempurnanya. Misalnya, ketika acara ijazah awal atau penamat, lakukan dengan sepenuh hati, lengkap dan kemas. Seboleh-bolehnya tidak ada cacat cela dari segi pengendalian majlis ijazah tersebut.

Setiap ijazah yang memerlukan perbuatan mandi silat, biasanya saya akan disuruh Ustaz untuk mewakilinya. Untuk itu saya akan bersalam dengan Ustaz terlebih dahulu untuk meminta izin sebelum perbuatan memandi dilakukan. Walaupun isyarat membenarkan saya memandikan murid silat telah ditunjukkan oleh Ustaz, tapi saya masih lagi meminta izin daripadanya. Melalui pendidikan yang saya terima, semua bentuk sentuhan sama ada secara salam atau berpelukan dengan orang yang hebat, akan melahirkan aura mereka ke tubuh badan kita. Di situlah lahirnya konsep keberkatan. Kehebatan guru perlu kita miliki. Bersalam secara ikhlas adalah salah satu kaedah yang mudah untuk memperolehinya. Bukan setakat menunggu sisa makanan atau minuman.

Kesimpulannya, penglibatan kita dalam SC perlu jelas. Persoalkan matlamat akhir kita bersilat. Kalau ingin mengurus diri dalam bidang persilatan maka carilah ilmu SC secara mendalam dan selidikinya dengan bersungguh-sungguh. Dampingi guru dan orang-orang hebat dalam persilatan SC. Sebaliknya jika ingin mengurus silat melalui persatuan maka tidaklah perlu melihat diri dalam penguasaan ilmu silat. Timbulkan minat bersaing untuk jawatan. Pasang strategi. Yang pentingnya dapatkan jawatan. Walau bagaimanapun, segala-galanya adalah bermula dengan niat. Niat akan disertai oleh perbuatan. Sentiasalah nilaikan perbuatan kita. Muhasabah diri hingga boleh membuat ketetapan. Tapi muhasabah biar betul. Bagaimana pula hak diri kita dalam SC.

Sekian setakat ini.