Sunday, January 31, 2010

GURU MESTI STANDARD

6. Kesimpulan Saya Atas Institusi Perguruan SC.

Saya adalah dengan cara pemikiran tersendiri. Pada saya, semua guru, sama ada saya berguru dengannya atau tidak adalah perlu dihormati dan ditaati. Tambahan pula jika guru berkenaan berada dalam SC sendiri. Hal ini demikian adalah bersesuaian dengan janji kita di hadapan guru iaitu “Tidak boleh menderhaka terhadap segala guru-guru kita yang lama dan baru”. Ikrar ini dulunya diucapkan sedemikian rupa. Mungkin untuk maksud ringkasnya maka dikatakan setakat tidak menderhaka kepada guru.

Maka sepatutnya tidak timbul persoalan, guru yang mana dalam SC perlu dihargai. Jika seseorang itu bergurukan Ustaz maka adakah PA dan En Mat juga boleh dianggap gurunya. Berdasarkan ikrar tersebut, saya berpendapat maka jawabnya ialah ‘ya’. Cuma, bolehkah seorang lagi guru dalam SC dimasukkan dalam kategori guru.

Membincangkan hal ini, pendapat saya masih lagi terikat dengan faktor mandat. Satu segi jika mandat adalah sah dan telah ada maka kita perlu mengakui guru berkenaan sebagai guru SC atas kebolehan yang sedia ada padanya. Sama ada guru itu pandai bercakap atau tidak pandai bercakap atau guru itu berpesonaliti unggul atau guru itu tidak ada personaliti, semuanya tidak menjadi hal dalam mengiktiraf seseorang yang layak dan telah menerima mandat untuk menjadi guru SC. Sebaliknya jika guru berkenaan tidak ada kesinambungan dalam mandatnya maka terkeluarlah salasilahnya sebagai pewaris ilmu Ustaz dalam memperjuangkan SC. Pada saya, beliau tidak boleh dianggap sebagai guru SC.

Tapi itu semua kata kita. Tanpa ada pegangan yang kukuh dalam adab dan adat, siapapun boleh kita lantik. Niat akan menghalalkan cara. Lantiklah siapa saja berdasarkan keinginan dan strategi. Peraturan persatuan akan banyak membantu dalam soal ini. Perkara yang tak boleh akan dibolehkan. Perkara yang boleh akan tak dibolehkan melalui peraturan yang sedia ada.

Saya mempunyai pegangan saya yang tersendiri. Ketika pepecahan puncak berlaku dengan hebatnya di zaman PA, saya rasa cawangan sayalah yang terakhir menyatakan pendirian. Itupun setelah saya mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai soal mandat. Pendirian ini adalah tetap berdasarkan mandat iaitu sama ada mandat telah diturunkan atau tidak. Apabila saya yakin bahawa mandat telah diturunkan maka baharulah keputusan dibuat. Cuma dalam zaman pepecahan En Mat, saya tidak ada apa-apa kepentingan lagi dalam persatuan. Jawatan pun tiada. Guru merelainya. Pendapat saya adalah berdasarkan pegangan saya dalam bidang persilatan SC. Bukannya persatuan SC. Saya telah menyentuh soal ini dalam tulisan yang terdahulu.

Berbalik pada kesetiaan dan penghormatan kita kepada guru, saya pernah menulis sebelum ini tatkala saya bercerita tentang guru silat yang terdahulu. Berlainan perguruan dan berlainan guru. Terkomen dan tersentuhlah sikit tentang bekas guru saya yang berkenaan. Semua pendengar gelak dan semacam puas. Ustaz tersenyum sahaja. Selesai perbualan, Ustaz memanggil saya. Ustaz timbulkan beberapa persoalan kepada saya. Antara lain Ustaz persoalkan saya tetang punca saya menerima dan mengenal tentang silat. Mana boleh mencaci atau mengomen guru silat yang memperkenalkan dunia persilatan kepada kita, walaupun kita telah meninggalkan mereka. Masa perlu, dipuji masa tak perlu, kita caci. Itu adalah perbuatan biadap. Saya terkedu dan berasa malu. Peristiwa itu saya jadikan sempadan. Sesuailah dengan janji dan ikrar kita untuk mentaati, menghormati dan menyangjungi sama ada guru yang ada atau guru lain yang membangunkan diri kita dalam apa bidang sekalipun.

Peristiwa teguran Ustaz terhadap saya boleh dijadikan panduan. Kalau guru yang berlainan silat pun kita tetap hormati kerana jasanya terhadap kita, apatah lagi guru yang ada dalam SC. Itu bermakna walaupun PA dan En Mat tidak mengijazah kita tapi mandat yang diterimanya adalah perlu diakui dan perlu dihormati. Taraf mereka tetap sebagai guru silat SC. Maka arahan mereka perlu dipatuhi.

Namun begitu kenapa kepimpinan En Mat pula ditolak setelah mandat yang jelas diperoleh daripada PA. Penolakan ini bukannya segera tetapi mengambil masa yang dikira lama. Bagaimana mereka yang menegakkan mandat pada En Mat, akhirnya menolak mandat tersebut. Paling malang apabila dikatakan tidak ada mandat yang En Mat terima. Banyak sebab yang saya telah sentuh dalam penulisan terdahulu. Tidak perlu saya mengulas lagi.

Walau bagaimanapun, berdasarkan hukum nafsu, kalau hati tidak mahu menerima sesiapapun sebagai guru maka diri orang itu akan tetap menolak kepimpinan Guru yang ada tersebut. Cakaplah apa saja. Buktilah apa sahaja. Akhirnya diri sendiri yang membuat keputusan. Keputusan diri adalah keputusan hati. Hati busuk maka keputusan pun busuk. Sekarang ini kita sudah tidak peduli tentang mandat pada guru. Yang penting ialah guru mesti ada standard. Saya yakin dan percaya, keadaan yang berlaku dalam kedua-dua pembawaan guru tersebut akan menjadikan institusi perguruan dalam persilatan mereka akan berada dalam keadaan goyah. Oleh itu fikirlah sebaik-baiknya pada mereka yang ingin mencari perguruan SC yang sebenar-benarnya dan berfikirlah sebelum konsep guru bertahta di hati.

Keadaan yang sama juga berlaku pada persatuan SC yang kita tinggalkan dulu. Selepas PA, jawatan guru telah diambil alih oleh orang baru yang tidak diketahui punca mandat yang sebenarnya. Yang pastinya guru baru mereka adalah lantikan persatuan melalui satu mesyuarat agung khas. Tinggallah guru asalnya dalam gelaran presiden seumur hidup. Maka hilanglah gelaran guru silat seumur hidup dan mulalah guru baru yang terus hidup.

Saya dapat rasakan betapa kedudukan guru baru tersebut adalah tidak mantap dan boleh berpecah bila-bila masa. Mereka masih lagi mempunyai ramai anak murid yang pernah diijazah oleh Ustaz Hanafi. Ramai juga yang seangkatan dengan guru baru mereka. Maka akan berlaku krisis identiti perguruan antara anak murid yang diijazah oleh Ustaz dengan anak murid yang diijazah oleh PA dan seterusnya kewujudan anak murid yang sedang diijazah oleh guru mereka yang ada. Tunggu dan lihat ketika keadaan menjadi tak tentu arah. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa mereka yang diijazah oleh guru tersebut akan terus menunjukkan kesetiaan dan sifat membela akan guru mereka yang ada. Berilah apa jua alasan sama ada bersabit mandat atau hak. Semuanya tidak berguna di sisi mereka.

Kalau dikirakan kehebatan, semua kepimpinan ‘guru’ SC sama ada bermandat atau tidak adalah hebat dalam konteksnya. Guru CM yang sedia ada juga masih dikira hebat. Serapat-rapat saya dengan Ustaz, saya tak pernah menyentuh tubuh badan Ustaz. Hal ini amat berbeza dengan guru CM yang ada sekarang. Beliau pernah memicit badan Ustaz. Kalau badan berjaya disentuh maka beliau juga dikira hebat.

Begitu juga dengan guru SC yang barui terbit. Beliau juga mempunyai kehebatannya. Tak perlu dinyatakan dalam ruangan ini. Walau bagaimanapun institusi perguruan yang dipegangnya tetap menghadapi cabaran yang hebat. Mereka yang berfikiran berdasarkan perasan dan sentiasa memegang ukuran standard kualiti, masih ramai di sekelilingnya. Berdasarkan pengalaman, saya pasti bahawa mereka tetap mempunyai agenda dan strategi yang tersendiri dalam meneruskan perjuangan SC. Mereka mempunyai keyakinan bahawa kehebatan SC perlu diteruskan dalam acuan yang tersendiri. Fikiran mereka telah terkeluar daripada kotak pemikiran seorang pengamal SC yang dianggap tradisional.

Apabila mandat bukan lagi menjadi faktor utama dalam institusi perguruan SC mereka, maka pemilihan guru seterusnya boleh dilakukan secara kontrak. Itupun adalah kerana mereka masih memegang prinsip bahawa setiap silat itu perlu ada akan gurunya. Kalaulah prinsip ini terkubur kemudiannya dalam pemikiran mereka maka gelaran guru juga akan diubah. Konsep dan prinsip institusi perguruan dalam SC mereka pasti akan berubah. Tentunya gelaran master adalah sangat bersesuaian buat mereka bagi menggantikan gelaran guru. Bentuk ijazah silat pasti akan berubah. Sekurang-kurangnya istilah ijazah perlu ditukar. Agaknya.

Apapun, saya masih dan tetap memegang konsep mandat bagi menentukan kesahan dan kebolehpercayaan seseorang itu sebagai guru dalam SC. Saya yakin bahawa pegangan dan tafsiran saya tersebut adalah berdasarkan atas ajaran yang saya terima sejak bergelumang dengan SC. Saya juga tetap yakin pemikiran saya tersebut adalah juga hasil didikan oleh Ustaz sendiri. Mustahil untuk saya mengubah pandangan sebab tiada apa kepentingan peribadi yang saya inginkan dalam SC. Yang pentingnya ialah saya akan terus mempertahankan kebenaran dalam SC berdasarkan tafsiran dan pandangan saya sendiri.

Pada orang lain, buatlah tafsiran sendiri. Tafsiran dan pandangan saya ini bolehlah dibuat perbandingan dengan tafsiran dan pandangan yang lain. Pada mereka yang masih belum mempunyai sebarang tafsiran dan pandangan, buatlah bandingan dan jadikan panduan. Saya tak akan cuba mengubah tafsiran yang orang lain buat. Maka janganlah hendaknya memaksa saya pula mengubah tafsiran saya sendiri.

Kesimpulannya, kalau berdasarkan mandat maka saya tetap menolak kepimpinan guru yang tidak bermandat. Kebolehannya mungkin hebat dan membolehkan mereka menjawat jawatan guru. Tapi apa kan daya. Adab dan adat silat tetap ada dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Adat dan adab tersebut adalah merupakan budaya dalam masyarakat kita dalam konteks persilatan Melayu. Pertahankan adat dan adab tersebut bagi membezakan silat kita dengan seni bela diri yang lain.

Perbincangan tentang guru dalam SC mungkin dianggap begitu sensitif. Ramai yang ada perasaan dan berkata-kata dalam hati tetapi tidak berani untuk bertanya atau meluahkan pendapat. Tulisan yang saya buat mungkin boleh membantu sedikit sebanyak tentang beberapa persoalan dalam hati. Begitu juga dengan tajuk yang terdahulu yang juga sangat sensitif. Tapi nak buat macam mana. Itulah sahaja pandangan saya sejak sekian lama.

Sekian sahaja kupasan saya tentang pengertian guru buat diri saya dalam SC. Bahan yang ditulis boleh juga dijadikan rujukan diri. Para pembaca juga buatlah tafsiran sendiri. Tapi mesti ada bukti dan ilmu mengenainya. Kalau tidak, akan menjadikan kita bersifat angkuh dalam persilatan sendiri. Diri kita akan tertipu jika benar-benar kita mencari kebenaran dalam dunia kesenian bangsa Melayu. Bangsa yang selalu tertipu dek ahli bangsanya.

Sekian setakat ini.