Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan,
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Mensesuaikan dengan makna kemerdekaan.
Silat Cekak benar-benar asli,
Tidak bercampur hak luar negeri,
Hendaklah belajar bersungguh hati,
Untuk menjaga diri sendiri.
Silat Cekak tersangatlah mudah,
Bagi mereka yang mendapat hidayah,
Sungguhpun begitu hendaklah tabah,
Insya-Allah mendapat faedah.
Silat Cekak pada lahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah mahir seluruh anggota,
Hendaklah jujur pada jiwanya.
Taat ke guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.
Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.
Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasanya kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhirat kita masuk neraka.
Wajiblah menjaga diri sendiri,
Menerima amanah Tuhan Rabbi,
Supaya menjadi mukmin sejati,
Demi menegak Islam yang suci.