Saturday, February 6, 2010

PERTEMUAN SAHABAT LAMA.

CATATAN PENGALAMAN

Dalam perjalanan balik dari Sabah, tiba-tiba nama saya dipanggil berulang kali. Saya tersentak dan memandang wajah si pemanggil.
“Tak kenal saya lagi?” Itulah suara yang keluar dari wajah yang kelihatan ceria. Saya tidak menjawab kerana memang saya tak ingat.

“Sayalah Sidek Stro. Sama-sama belajar SC di UM dulu.”
Baru saya teringat. Kami berpelukan. Maklumlah. Telah lebih daripada tiga puluh tahun yang lalu, maka kini baru berjumpa. Seorang di Johor, seorang di Perak. Akhirnya bertemu semula di Sabah. Raut mukanya masih muda. Usianya sama dengan saya. Baru lima puluh enam tahun. Mungkin warna kulitnya lebih gelap berbanding saya.

“ Silat Cekak macam mana.” Timbul pertanyaan sambil lewa daripadaya. “Dengar cerita telah berpecah dua.” Sambungnya lagi.
Saya tersenyum sahaja dan terus menjawab,”Bukannya berpecah dua tapi dah jadi tiga. Itu yang rasminya. ” Sama-sama ketawa. Tentunya ketawa kami berlainan maksudnya.

Kami berbual panjang. Dalam perbualan tersebut sempat beliau bertanya dan menyatakan perkembangan ahli-ahli yang sama-sama belajar SC dahulu. Pasangan silat saya rupa-rupanya telah menjadi MP di sebuah kawasan di negeri utara. Saya tak perasan kerana beliau berada di parti pembangkang. Kalau perasan pun tentu tak selesa nak jumpa. Pegawai kerajaan lain maksudnya.

Teringat kisah lama bersama dengan pasangan silat saya. Dalam bidang persilatan, dia tak tahu apa benda pun. Asas silat lain langsung tak ada. Maka penerimaannya pada setiap pelajaran silat adalah agak lembab sedikit berbanding dengan saya. Oleh itu saya berperanan sebagai pemudah cara untuk memudahkan kefahamannya. Maka mudahlah saya membuat penerangan bagi setiap buah yang kami terima tanpa ada sebarang perbahasan daripadanya. Kadang kala saya lajakkan saja penerangan padanya. Beliau terima saja. Apabila saya sendiri menerang padanya maka secara langsung kefahaman saya menjadi mantap dan bertambah. Jika saya tidak faham maka akan saya bertanya pada Ustaz. Jawapannya menyebabkan saya lagi faham dek kerana proses memahamkan kawan. Beliau turut apa saja kehendak saya. Oleh itu banyak kali dia yang tumbuk dan saya membuat buahnya.

Terfikir juga. Itulah salah satu untungnya jika pasangan kita kurang mengetahui tentang silat. Kalau tidak ada sifat bertolak ansur, maka masing-masing akan tunjukkan kebolehan. Akibatnya masa latihan silat akan kurang. Lebih banyak bercakap dan bertengkar daripada berlatih.

Dalam kalangan ahli yang lain ada yang sedang menjadi pengarah pelajaran di salah sebuah negeri di semenanjung dan ada juga yang telah bergelar arwah. Mereka yang masih ada, ramai yang sudah tak aktif lagi kecuali saya dan En Abu Hamid. Manakala seorang lagi sahabat telah berada di seberang sana. Hanya kami bertiga daripada jumlah yang tamat, masih bergiat dalam pementasan SC.

Mengimbau kisah lama di pusat latihan UM. Ketika itu saya telah dilantik sebagai presiden persatuan. Masa kami belajar di kelas yang sulung tersebut, bilangan ahli berdaftar adalah seramai 56 orang. Rasanya empat puluh lebih yang tamat. Rata-rata mereka yang mempelajari SC itu, semuanya pernah belajar silat lain. Antara mereka, ada yang bertaraf guru seperti guru silat tongkat daripada Terengganu dan ada juga antara mereka yang bertaraf Jurulatih seperti kawan saya tersebut. Silatnya ialah sejenis silat kuntau daripada Johor.

Kesemua mereka sangat berminat dan berkeinginan untuk mengetahui tentang SC secara lebih mendalam. Tambahan pula SC baru mula bertapak. Pergerakannya yang luar daripada kebiasaan yang ada telah menarik minat kami. Gendang dan tari tidak ada. Itu semua telah menjadi satu tanda tanya kepada kami. “Betulkah hebat SC ini.” Itulah antara lain persoalan yang sering kami bincangkan. Saya masih simpan satu artikal lama tentang Silat Cekak yang pernah diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan sukan Malaysia pada November 1969. Kami jadikan sebagai satu bahan rujukan dan sering membuat perbincangan sesama kami. Persoalan sejauh mana kebenaran dalam tulisan tersebut amat kami nanti-nantikan. Percaya mungkin boleh tapi nak yakin, hati susah sikit menerimanya.

Dalam tulisan ini saya tuliskan kembali sebahagian daripada artikal tersebut untuk tatapan kita bersama tanpa mengubah ayat atau perkataanya melainkan ejaan yang diubah berdasarkan ejaan baku bahasa Melayu. Artikal tersebut masih ada dalam simpanan saya.

Petikan daripada artikal tersebut bertuliskan yang sedemikian:

“Sebenarnya silat ini bukanlah sejenis silat permainan bahkan sejenis silat menjaga diri (Self Defence).

Namanya yang asal ialah SILAT CHEKAK sekarang diberi nafas baharu dengan nama SILAT KEDAH kerana menurut sejarah, silat ini berasal dari negeri Kedah sendiri. Silat ini adalah berlainan caranya dari silat-silat yang ada, sama ada dari dalam dan luar negeri. Ianya tak mempunyai tari, Silat Kedah ini ada mempunyai kaedah-kaedahnya yang tetap dan tak boleh dipinda-pinda. Kaedah-kaedahnya ialah A, B, C dan D, iaitu lapan perkara, empat tangan kiri dan empat tangan kanan dan mempunyai dua tapak sahaja. Ia tidak mempunyai tapak tiga dan empat sebagaimana yang dimainkan oleh silat-silat lain, lebih tegas silat ini ialah silat tangan dan bukannya silat badan kerana tanganlah yang menjaga badan. (Rakyatlah yang mesti mempertahankan Raja). Tangan yang mendatang dan tanganlah yang menyambut, bukannya tangan yang datang badan yang lari.

Silat ini menanti musuh dengan berdiri tegak seperti mana orang berdiri ketika hendak sembahyang kerana diambil kaedahnya dari orang yang berdiri seperti berdoa, Takbir, Qiam dan Roko’. Menurut pengetahuan silat ini berdiri lurus seperti orang hendak bersembahyang itu adalah berdiri yang paling kukuh sekali dan ia dapat menanti musuh dari empat penjuru, dari hadapan, kiri, kanan dan serangan dari belakang. Ia tak mahu berdiri menanti musuh dengan satu kaki di hadapan dan satu kaki di belakang kerana pada pendapatnya berdiri begitu adalah tak kukuh dan mati langkah jika diserang dari kiri dan kanan.

Silat ini tak melangkah ke kiri dan ke kanan andainya diserang musuh, bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu (iaitu makan gerak dalam gerak) sambil menangkis sambil memakan. Sekiranya silat ini menyerang ditangkis pun makan dan tak ditangkis pun makan. Menurut kaedah, kajian dan falsafah silat ini ia dapat menentang segala jenis silat dalam negeri dan luar negeri.

PELAJARANNYA
Mempelajari dan mengkaji segala buah keputusan Silat Melayu itu menjadi mata pelajarannya, umpamanya keputusan silat-silat Sendeng, Terlak, Lintau, Harimau, Kuntau, Kemanga, Sepelet dan Gayung Petani. Tujuan besar silat ini mengkaji segala keputusan ilmu (buah silat) silat melayu ialah supaya ia dapat mengalahkan musuh ketika ianya menyerang.”


Begitulah sebahagian daripada petikan artikal tersebut. Saya tidak ingin berbincang dalam tulisan ini tentang pengertian atau ketepatan artikal itu berbanding dengan kenyataan dan perkembangan yang ada sekarang. Mungkin saya akan ulas dalam tulisan yang lain. Cuma pada ketika itu, Cuma itulah rujukan kami tentang maksud Silat Cekak yang ada. Di samping itu ada artikal yang ditulis dalam Dewan Masyarakat pada tahun tujuh puluhan. Kemudiannya kalau tak salah saya ada kajian ilmiah yang ditulis oleh seorang penuntut tentang SC bagi memenuhi syarat ijazahnya. Selain daripada tulisan-tulisan tersebut, tidak banyak tulisan yang menceritakan tentang Silat Cekak. Oleh hal yang demikian maka kami simpan artikal di atas sebagai bahan tatapan dan rujukan kami. Sekali sekala kami jadikan sebagai bahan perbincangan.

Kita sambung lagi.