1. Tanggapan Ketika Masuk SC
Dalam tulisan ini saya cuba menyingkap kembali detik-detik permulaan wujudnya fahaman persatuan dalam kalangan ahli SC. Kita tidak boleh menafikan betapa tebalnya fahaman persatuan dalam kalangan ahli sekarang ini. Hinggakan kita lupa adat dan adab persilatan kita, berbanding dengan peraturan-peraturan yang kita reka sendiri berkaitan dengan persatuan yang kita tubuhkan terkemudian daripada silat.
Pandangan saya adalah berdasarkan perasaan dan pandangan peribadi serta juga berdasarkan pengalaman. Saya membuat tafsiran dan kesimpulan sendiri buat renungan dan perkongsian ilmu dengan para pembaca. Saya yakin dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun lagi akan ada peminat silat yang membuat kajian tentang punca-punca kejatuhan sebuah organisasi silat yang hebat iaitu Silat Cekak.
Apakah punca yang menyebabkan jatuhnya kegemilangan SC tersebut yang telah diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Pastinya banyak puncanya. Fahaman kuat pada persatuan adalah merupakan salah satu punca terbesar kemorosotan kegemilangan SC. Saya yakin bahan yang saya tulis ini boleh dijadikan sedikit panduan buat mereka. Penulisan saya adalah berbentuk catatan pengalaman. Para pembaca cubalah singkap sendiri akan isi-isi yang berkaitan dengan fahaman kuat pada persatuan yang menjadi salah satu faktor kemerosotan silat kita.
Mengenang kembali penglibatan saya dalam SC. Banyak perkara istimewa dalam SC yang menyebabkan saya tertarik untuk mengorbankan masa bersama dengan SC. Ketika menceburi SC, hati tersangat ikhlas bagi mendalami ilmu yang ada. Tidak ada sebarang cita-cita atau niat untuk mendapatkan sebarang kedudukan atau jawatan dalam SC. Yang penting, kehebatan SC yang dicanangkan terutama dalam majalah dan akhbar, perlu saya kuasai kerana sememangnya saya amat berminat dalam bidang persilatan. Saya mengorbankan masa untuk menemui guru SC sendiri bagi mendapatkan kepastian dan penjelasan agar diri benar-benar tidak tersalah pilih akan silat yang perlu dimiliki. Itulah azam diri ketika melangkah masuk dalam dunia persilatan SC.
Kini, suasana SC telah berubah sama sekali. Silat Cekak telah berpecah. Faham persatuan amat hebat hingga sanggup mengorbankan sumpah bila mana sesama ahli Silat Cekak boleh bermusuhan dek persatuan SC yang berlainan. Pada hal semuanya mendakwa silatnya adalah sepancar daripada Ustaz Hanafi.
Sepanjang penglibatan saya dalam SC, saya tetap berasa untung kerana dapat berdamping erat dengan seorang guru silat yang berwawasan tinggi. Pandangannya hebat dan beliau merupakan seorang guru silat yang sangat berwibawa. Percakapannya sangat menarik dan menyentuh hati. Keyakinan tersebut mendorong saya mencari rakan-rakan yang lain untuk bersama-sama menceburi kegiatan SC. Akhirnya kami berjaya menubuhkan satu pusat latihan yang dianggotai oleh lima puluh enam orang ahli. Ustaz sendiri datang mengajar silat dan dibantu oleh anak-anak murid kanannya.
Setelah memasuki SC, dilihat pada anak muridnya, semuanya bersopan dan beradat. Mereka sentiasa menunjukkan rasa hormat yang amat tinggi kepada guru yang ada. Pastinya kesetiaan yang dilahirkan tersebut melambangkan kekuatan diri mereka yang ikhlas hasil asuhan Ustaz Hanafi. Kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi. Saya nampak situasi menang menang. Pada ahli SC, mereka beruntung kerana mempunyai seorang guru yang hebat. Manakala pada guru SC, saya percaya bahawa Ustaz juga beruntung kerana mempunyai murid yang beradap dan bersopan.
Ketika itu, sanjungan anak murid SC terhadap gurunya tidak boleh disangkal. Dalam konteks persatuan, semua anak muridnya beranggapan bahawa persatuan SC itu sendiri adalah milik Guru Utama. Maknanya Ustaz Hanafi adalah seorang guru dan juga seorang presiden persatuan yang tidak boleh disanggah. Mereka tidak langsung cuba memisahkan peranan guru dalam menggerakkan silat dan menggerakkan persatuan. Kedua-duanya adalah bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Mana mungkin ada anak murid Ustaz yang berani menyanggah Ustaz untuk berebut jawatan presiden persatuan. Saya berkeyakinan penuh bahawa telahan dan anggapan sedemikian, langsung tidak timbul di hati anak murid Ustaz ketika itu untuk bersaing dengan Ustaz. Apatah lagi wujudnya sifat berani berebut tanggungjawab sebagai guru silat. Kalau beranilah anak muridnya berbuat demikian, pasti akan dipulau oleh semua ahli silat.
Itulah suasana tanggapan yang ada dalam kalangan ahli. Maka, masing-masing memberi tumpuan untuk memaju dan mengembangkan SC.Hal yang berkaitan dengan dasar silat dan persatuan adalah diserah sepenuhnya kepada kepimpinan Ustaz tanpa wujud sebarang persoalan. Itulah kesimpulan yang saya peroleh sepanjang penglibatan dalam SC di peringkat awal.
Fikiran saya mula terganggu tentang keikhlasan yang ada dalam kalangan murid silat terhadap Ustaz sebagai guru. Saya tidak meluahkan perasaan tersebut pada rakan-rakan. Hal ini demikian kerana sikap yang bertentangan itu timbul dalam kalangan murid-murid kanan Ustaz sendiri. Walau bagaimanapun perasaan itu timbul dengan sendirinya dan berlawanan dengan anggapan diri yang sedia ada.
Sambung lagi.