Azam yang ada dalam kalangan kita, juga dapat dikatakan satu perjuangan. Seringkali kita membincangkan makna perjuangan. Ada pelbagai tafsiran. Walau bagaimanapun setiap orang ada perjuangannya sendiri dan berazam untuk mencapainya. Malah dalam SC pun akan terdapat perjuangan individu terutama untuk mendapat tempat sebagai Jurulatih atau mendapat kedudukan dalam persatuan. Seperti biasa, kadang kala perjuangan kita akan tercapai dan adakalanya terbengkalai begitu sahaja.
Baru-baru ini telah dilancarkan satu perancangan yang besar dalam SC. Program Jom Silat dikatakan mempunyai misi untuk menghimpunkan puluhan ribu pesilat dalam jangka masa yang tertentu. Misi berbentuk satu perjuangan dalam SC tersebut perlu dipikul oleh semua ahli silat atau ahli persatuan. Perancangan ini akan terarah dan berfokas. Kita mengharapkan agar perjuangan memenuhi impian tersebut akan tercapai dan beroleh kejayaan.
Terkenang di masa yang lalu. Ustaz juga mempunyai misi dalam perjuangannya. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya, tersimpul bahawa ada perjuangan Ustaz yang tercapai dan ada juga perjuangannya yang saya rasa belum tercapai atau masih tidak sempurna. Pada pendapat saya, kalaulah barisan kepimpinan SC yang sedia ada dapat berbincang dalam isu ini, alangkah baiknya. Tajuknya adalah pelbagai. Sekurang-kurangnya kita boleh membincangkan tentang kefahaman dan pengertian kita atas perjuangan Ustaz dalam kaca mata kita. Kalau ada misi perjuangan Ustaz yang belum tercapai bolehlah dijadikan panduan untuk perancangan kita seterusnya dengan strategi-strategi yang lebih mantap dan berfokas.
Dalam tulisan ini elok juga saya berkongsi kesimpulan dengan para pembaca tentang beberapa perjuangan yang saya anggap belum selesai atau belum mantap dan perlu diberi perhatian. Semuanya adalah berdasarkan pengertian saya atas perjuangan Ustaz dari kaca mata saya semata-mata. Jika perjuangan Ustaz diambil kira dalam program perjuangan SC seterusnya, sekurang-kurangnya ada kesinambungan dengan apa yang diharapkan oleh Ustaz. Atau sekurang-kurangnya boleh dimasukkan dalam misi perjuangan barisan kepimpinan SC yang ada.
Saya tidak mengklasifikasikan perjuangan dalam SC yang saya faham tersebut berdasarkan masa. Apa yang saya tulis adalah berdasarkan kepada apa yang saya faham atas keinginan Ustaz dalam misi perjuangannya dari masa ke masa, sepanjang waktu bersama dengannya. Mungkin tafsiran saya benar dan mungkin juga salah. Namun begitu elok juga tulisan saya ini dibaca sebagai renungan kita bersama dan boleh juga diambil kira dalam perancangan SC untuk tahun-tahun seterusnya.
Ustaz pernah menerangkan kepada saya bahawa SC adalah merupakan silat akhir zaman. Kerap juga penegasannya dibuat secara individu ketika bersamanya. Saya tidak tahu sejauh mana konsep SC sebagai silat akhir zaman telah tersebar luas dalam kalangan pemikiran ahli. Banyak kupasan boleh dibuat mengenai konsep tersebut. Berdasarkan konsep ‘akhir zaman’, konsep itu membawa erti bahawa SC adalah sejenis silat yang mutlak dan tak ada yang setanding dengannya. Konsep tersebut bukan setakat teori semata-mata. Kita berjaya membuktikannya. Ketika itu, semua warga Cekak berdiri teguh bersama Ustaz bagi mendaulatkan seni kebangsaan tersebut.
Pada diri saya sendiri, konsep yang ditanam oleh Ustaz tersebut telah menjadi perangsang untuk terus menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat. Dengan kefahaman yang mantap bahawa ‘silat itu gerak dan gerak itu berasaskan gerak tangan dan gerak kaki’, menjadikan faktor keyakinan adalah begitu mantap dalam diri sendiri. ‘Ancaman’ atau halangan silat-silat lain atas perkembangan SC tidak menjadi bebanan malah dianggap cabaran yang boleh diatasi dengan mudah.
Minat untuk menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat Melayu telah menjadi semacam satu tanggungjawab. Hal ini sedemikian kerana semangat berbuat demikian adalah bersesuaian dengan azam Ustaz untuk mempastikan semua orang Melayu mempelajari SC. Dalam zaman Ustaz, kecermerlangan SC telah berjaya dibuktikan. Pengaruh silat lain dalam masyarakat kita adalah semakin luntur. Kerap kali berlaku, apabila SC bertapak maka silat lain akan layu. Kita nampak jelas akan keberkatan guru. Oleh itu saya berpendapat bahawa konsep SC sebagai silat akhir zaman perlu ditanam dan disemai dalam kalangan ahli-ahli silat ketika mereka mula berkenalan dengan SC.
Malangnya usaha-usaha ‘menCekakkan’ orang Melayu sepenuhnya amat sukar dilakukan. Tambahan pula kita mula berpecah. Namun begitu jika semangat untuk menyebarkan SC sepenuhnya dalam kalangan bangsa Melayu masih berterusan maka usaha-usaha mengembangkan SC juga akan berterusan. Langkah kita mengadakan program Jom Silat adalah merupakan salah satu langkah yang amat baik untuk menyebarkan SC dalam kalangan bangsa Melayu. Saya berharap kita akan mengambil berat dan terus berusaha bagi memenuhi impian yang dihajatkan.
Perkataan dua puluh satu adalah dianggap keramat dalam persilatan SC. Malah lambang bintang dalam simbul kita mempunyai dua puluh satu penjuru. Pernah saya tanya Ustaz tentang konsep berpenjuru dua puluh satu tersebut. Ustaz pernah menjelaskan bahawa penjuru-penjuru tersebut melambangkan juga tentang wujudnya negeri-negeri yang ramai penduduk Melayu dalam dunia. Ustaz berazam setelah bangsa Melayu dalam negara kita mempelajari SC maka SC akan disebar luas dalam kalangan bangsa Melayu lain di negara-negara luar.
Dalam konteks ini, kita pernah membuat pertunjukan di negara Indonesia. Maka usaha-usaha seterusnya perlu dibuat untuk mengadakan pertunjukan atau promosi di negara-negara lain. Saya rasa di samping negara-negara jiran, ramai orang Melayu di Afrika Selatan, Australia, Seri Langka dan negara-negara lain. Di samping memperkenalkan SC dalam kalangan mereka, fikiran ahli boleh dibuka luas tentang orang-orang Melayu yang ada di serata dunia.
Ustaz berkeinginan untuk mengadakan satu pusat pengajian silat Melayu. Ustaz pernah menyebut tentang usahanya untuk menubuhkan akademik silat. Konsep penubuhannya adalah bersandarkan kepada pembelajaran silat-silat Melayu asli yang terutama namanya ada disebut dalam senarai buah-buah silat kita. Usaha-usaha ke arah hasrat tersebut telah dilakukan sejak zaman Ustaz lagi. Suatu ketika, terdapat satu jenis silat Melayu yang dijemput untuk mengajar ahli-ahli SC. Ahli yang mempelajarinya telah dijemput membuat persembahan dalam perayaan ulang tahun SC. Kali yang keberapa, saya lupa. Yang saya ingat ialah di Sulaiman Club.
Mungkin idea Ustaz ini boleh diteruskan dalam program jangka panjang kita. Walaupun akademik silat telah ditubuhkan dan dikatakan sebagai memenuhi perjuangan Ustaz tapi perjalanannya tidak jelas dan meragukan. Adakah kepentingan penubuhannya berdasarkan kepentingan meneruskan cita-cita Ustaz ataupun kerana kepentingan tertentu.
SC sememangnya boleh diilmiahkan. Sesuai dengan itu Ustaz memang berusaha untuk mendapatkan gelaran doktor kehormat dalam bidang silat. Nampaknya usaha-usaha Ustaz tersebut tidak kesampaian. Maka pemegang amanah yang ada perlu meneruskan usaha-usaha untuk mendapatkan pengiktirafan secara ilmiah tersebut. Secara langsung martabat SC akan dapat dipertingkatkan dalam pesada dunia persilatan kita.
Satu perkara yang membanggakan kita, keinginan Ustaz agar SC mendapat tempat di pusat pengajian tinggi adalah terhasil. Strategi kita seolah-olah ingin mendapat ruang dalam pasukan tentera dan polis telah menyebabkan kebanyakan silat Melayu telah turut memberi tumpuan yang sama. Tapi Ustaz mempunyai strategi tertentu. Ketika silat yang lain sebok berbuat demikian, Ustaz mengalih tumpuan ke pusat pengajian tinggi. Sesungguhnya kejayaan kita bertapak di pusat pengajian tinggi, telah mengangkat taraf SC pada satu tahap yang lain. Begitulah hebat pemikiran Ustaz ketika itu. Pada generasi baru, teruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Ustaz Hanafi. Betul perancangannya, pasti kita berjaya. Dua campur dua, pastinya empat. Bukannya enam tolak enam.
Sekian.