2. Peranan Guru
Kita telah memahami betapa guru dalam silat memainkan peranan penting untuk membentuk keperibadian anak muridnya dan menentukan hala tuju bidang persilatan anak murid tersebut. Peranan guru silat juga bermaksud peranannya sebagai pemimpin, ketua, pengurus, pemandu, pembimbing dan pelbagai jenis gelaran jawatan yang melambangkan sifat mengetuai sesuatu dalam bidang persilatan. Oleh sebab silat juga dikuasai oleh persatuan maka peranan presiden persatuan juga dianggap hanya layak disandang atau ditanding oleh guru dalam silat berkenaan. Begitulah kuatnya pengaruh guru dalam mana-mana silat Melayu.
Dalam tulisan ini, apabila kita membincangkan tentang peranan guru dalam SC, saya lebih banyak merujuk pada zaman Ustaz. Hal ini demikian kerana penglibatan langsung diri saya adalah banyak yang berlaku di zamannya. Saya juga akan menyentuh tentang suasana yang wujud dalam zaman-zaman guru yang berikutnya dari segi hubungan antara guru dengan muridnya.
Dalam SC, kedudukan guru adalah teguh dan mantap. Keteguhan dan kemantapan ini adalah hasil pengajaran yang terdapat dalam SC itu sendiri. Setiap calon ahli SC perlu diijazah terlebih dahulu. Ikrar berbentuk sumpah dilafazkan oleh bakal ahli supaya tidak menderhaka terhadap guru. Kalau ahli berkenaan enggan berbuat demikian maka dia tidak layak menjadi ahli SC. Jika bersetuju maka bermulalah proses ahli berkenaan menerima ilmu yang bakal diajar dalam SC. Pengajaran disampaikan sama ada oleh guru tersebut atau wakilnya.
Dengan adanya ikatan antara murid dan guru itu, dijangkakan proses penurunan ilmu akan berjalan lancar. Murid ikhlas menyerahkan diri untuk diasuh oleh guru. Bagi pihak guru pula, tidak ada sebarang prasangka yang timbul kerana ikrar yang dilafazkan membuktikan ketaatan muridnya daripada sifat menentang atau menderhaka kepada guru. Maka mudahlah guru untuk menurunkan ilmunya.
Betapa pentingnya ketaatan ini telah dilambangkan dalam pantun seperti yang berikut:
Taat ke guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.
Salah satu perkara yang kita cari dalam pentas kehidupan ini ialah keberkatan dalam hidup. Banyak faktor yang memberi sumbangan atas keberkatan yang kita dapat. Salah satu faktor tersebut ialah taat akan guru yang ada. Keberkatan dalam hidup akan membawa ketenangan diri, sentiasa berada dalam keadaan selamat , cukup dalam membiayai keperluan hidup dan banyak lagi. Manusia tidak akan terlepas daripada dibelenggu oleh masalah dalam hidup. Kita memerlukan kekuatan dalaman untuk menghadapi dan mengatasinya.
Semasa saya belajar dulu, ada disebut-sebut perkataan Sheikh Tajrid. Dulunya, dalam mandi silatpun nama sheikh tersebut disebut. Umumnya dikatakan bahawa konsep Sheikh Tajrid itu membawa erti sheikh yang tersembunyi. Kalau dilambangkan sheikh itu sebagai pemimpin yang tersembunyi maka jelaslah betapa Ustaz sendiri memainkan peranan sebagai sheikh yang tersembunyi dalam usahanya membangunkan keperibadian muridnya. Saya tidak mahu berbincang dengan begitu mendalam aspek ini. Saya menulis setakat apa yang mudah saya faham.
Ustaz telah memainkan peranan terpenting sebagai tempat rujukan anak muridnya terutama hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Teringat saya kisah lalu. Ustaz menulis atas papan hitam tentang konsep ketua atau pemimpin untuk tatapan ahli setelah Ustaz mengupas pengertiannya. Antara lain tertulis betapa peranan pemimpin akan sentiasa dapat menenangkan pemikiran para ahli. Jika ada ahli yang berfikiran serabut, bila berjumpa dengan pemimpinnya maka fikirannya akan tenang. Malah bila bersua mukapun fikiran ahli akan berada dalam keadaan sedemikian. Jika ahli tersebut mempunyai masalah, jika berjumpa dengan pemimpinnya maka masalah itu akan terungkai dengan mudahnya. Secara langsung dengan peranan yang ada itu telah menjadikan fikiran ahli sentiasa berada dalam keadaan tenang. Aspek ketenangan ini telah memudahkan ilmu SC dimasukkan dalam jiwa mereka dari masa ke masa.
Dalam konteks ini, Ustaz telah berjaya memainkan pernannya sebagai seorang pemimpin yang sangat berwibawa. Anak muridnya tersangat mudah memahami apa yang ingin disampaikannya. Secara langsung ilmu yang terpahat dalam hati sunabari para ahli telah menyumbangkan keberkatan dalam kehidupan seharian para ahli SC. Sesungguhnya Ustaz juga telah berjaya mewujudkan pemikiran tenang dalam kalangan ahli. Keyakinan ahli terhadap SC bertambah dari masa ke masa. Bukan sahaja setakat belajar SC, mendengar syarahan Ustaz juga melahirkan keyakinan kukuh yang mendorong ikatan ahli terhadap SC bertambah erat. Oleh sebab ikatan erat tersebutlah menjadikan komitmen ahli terhadap SC juga lahir secara semula jadi. Jiwa mereka diserahkan sepenuhnya terhadap perjuangan SC.
Apabila hati sentiasa ikhlas terhadap SC maka mudahlah Ustaz atau wakilnya memasukkan fahaman SC. Pelajaran fizikal SC juga mudah disampaikan dalam keadaan murid yang belajar tidak mempunyai perasaan ragu-ragu terhadap isi pelajarannya. Maka jadilah kehebatan anak murid SC seiring dengan kehebatan SC itu sendiri.
Secara langsung suasana tenang yang wujud dalam situasi pembelajaran SC dan suasana tenang yang wujud dalam pemikiran ahli tersebut, memudahkan ilmu yang disampaikan masuk ke benak penuntut. Konsep berpijak di bumi nyata dan tidak terbuai-buai dengan dunia khayalan telah menjadikan anak murid SC dapat berfikir dengan sempurna atas segala ilmu yang disampaikan. Oleh itu, apabila kita boleh berfikir maka ilmu yang kita dapat boleh juga dikembangkan secara kreatif melalui percambahan fikiran dalam konteks dasar dan kaedah yang telah ditetapkan oleh Ustaz. Hanya sedikit panduan yang diberi oleh guru maka telah membolehkan anak muridnya mengembangkan ilmu tersebut dalam pelbagai bentuk.
Walau bagaimanapun, Ustaz tetap memberi ingatan kepada anak muridnya supaya tidak ada sedikitpun perasaan prasangka buruk atau pemikiran yang negatif yang membolehkan wujudnya sifat-sifat menentang. Dalam silat, sifat menentang disamaertikan dengan istilah menderhaka. Sifat menderhaka akan menerbitkan perasaan benci, iri, dengki dan akhirnya bersifat khianat. Khianat adalah sifat puncak dalam konsep menderhaka. “Iri merujuk pada perasaan, dengki merujuk pada hati manakala khianat merujuk pada perbuatan atau tindakan.” Itulah antara kata-kata ustaz apabila Ustaz mengupas konsep perkataan-perkataan tersebut. Dalam ilmu KK ada Ustaz bezakan antara konsep perkataan B, K dan P. Tak boleh bincang dalam ruangan ini.
Kalau wujud perasaan benci hingga membawa kepada perbuatan khianat dalam konteks menderhaka kepada guru maka apa yang kita boleh dapat lagi daripada guru kita. Penerimaan ilmu akan terhenti dengan serta merta. Perasaan buruk yang wujud dalam hati kita akan terus mewujudkan titik-titik hitam hingga akhirnya menghitamkan keseluruhan hati kita terhadap guru dan sesuatu yang berkaitan dengan guru. Maka secara langsung ilmu yang pernah disampaikan oleh guru akan terpadam dari masa ke masa. Akhirnya tiada ilmu yang lekat kerana melupakan guru bererti melupakan ilmu yang telah disampaikannya oleh guru atau wakilnya. Fahaman muntah ilmu, terbang ilmu dan sebagainya apabila menderhaka terhadap guru merupakan bidaah dalam kefahaman SC. Tak lekat ilmu bukan kerana ada kuasa yang menarik ilmu tersebut. Ilmu yang tidak lekat pada diri adalah bergantung pada diri kita sendiri.
Kita sambung lagi.