Saturday, January 23, 2010

GURU MESTI STANDARD

3. Penerimaan Ahli Terhadap Guru PA

Dalam zaman Ustaz, penerimaan anak muridnya terhadap kepemimpinan Ustaz tidak mendatangkan sebarang masalah. Konsep menderhaka terhadap guru tidak pernah timbul atau terlintas secara keseluruhannya dalam pemikiran anak muridnya. Kalau adapun perasaan tersebut timbul, bolehlah dikatakan sebagai kes yang terpencil sahaja. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya Ustaz telah berjaya memupuk sifat ketaatan dalam kalangan anak muridnya terhadap guru.

Pemergian Ustaz menimbulkan sedikit kejutan dalam kalangan anak muridnya tentang konsep guru. Dikatakan Ustaz telah pergi tanpa menunjukkan penggantinya secara formal. Dalam silat, guru mesti ada. Maka usaha-usaha mendapatkan ganti telah dijalankan. Pada mulanya konsep-konsep spritual diutamakan seperti menitikberatkan alamat pengganti secara mimpi dan pelbagai usaha lagi. Saya rasa, orang yang perasan layak menjadi guru juga telah berusaha melakukan usaha secara spritual untuk mendapatkan jawatan tersebut.

Akhirnya Pak Ak telah diterima oleh ahli-ahli SC sebagai pengganti Ustaz dengan persetujuan keluarga. Peranan keluarga masih diutamakan bagi maksud penentuan guru. Persoalannya, adakah lantikan PA sebagai guru telah dapat memenuhi semua kehendak ahli. Nampaknya, perkara tersebut tidak berlaku. Dari sinilah bermulanya satu era baru. Era perasaan murid terhadap gurunya yang mula berubah. Bukan semua anak murid yang mempelajari SC melalaui ustaz Hanafi yang dapat menerima kepemimpinan Pak Ak. Pada hal, lantikan PA adalah dibuat secara sah oleh jawatankuasa tertentu dengan restu keluarga sendiri.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, riaksi murid SC terhadap gurunya di zaman PA dapat saya bahagikan kepada beberapa puak. Pembahagian ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pergaulan saya dengan mereka.

Satu puak menolak kepimpinan PA atas alasan dirinya sendiri adalah lebih layak. Puak ini saya lihat terbahagi pula kepada dua. Satu golongan ialah mereka yang berada di luar persatuan dan berkempen secara terbuka untuk memperlihatkan dirinya adalah layak sebagai guru SC. Satu golongan lagi ialah mereka yang juga berasa diri lebih layak sebagai guru tetapi tetap berada dalam persatuan. Mulut mereka tunduk pada kepemimpinan guru PA tapi dihatinya berlainan sekali. Saya menyedari akan suasana ini apabila dinyatakan sendiri oleh PA melalui gelagat yang ditunjukkan oleh mereka.
Terdapat satu puak lagi yang membandingkan kepimpinan PA dengan kepimpinan yang lalu. Nampak sangat perbezaan dari segi kepemimpinannya. Mereka rasa semacam guru yang ada tidak ada standard dan perlu diganti. Kita tak dapat lari daripada membuat perbandingan. Mereka berasa Silat Cekak yang hebat perlu dipimpin oleh manusia yang hebat. Hebat di sini bukan setakat hebat bersilat tetapi juga hebat berkomunikasi dan menyampaikan ucapan.

Puak yang lain adalah mereka yang menumpukan sepenuh ketaatan terhadap kepimpinan guru yang ada iaitu PA. Puak ini saya lihat ada dua. Satu golongan adalah mereka yang benar-benar menaruh keyakinan pada PA tanpa berbelah bahagi. Manakala satu golongan lagi ialah mereka yang perlu memberi sokongan padu kepada PA kerana sebelum ini mereka telah diketepikan dan tiada tempat untuk bergantung. Sekarang telah ada dahan yang baru untuk bergantung. Maka bergantung eratlah mereka pada dahan yang baru tersebut.

Kepelbagaian pandangan terhadap kepimpinan Guru dalam SC telah mewarnai suasana yang ada dalam SC itu sendiri. Hal ini demikian kerana telah wujud pelbagai pendapat mengenai guru yang ada dalam SC. Maka zaman PA telah timbul krisis identiti guru pada pandangan kalangan murid lama. Pandangan yang berbeza berkaitan pengiktirafan pada guru dalam kalangan murid inilah telah menjadi satu lagi faktor penyumbang pepecahan kita. Hinggakan ada kalangan murid SC, bila ditanya siapa guru mereka, maka dijawabnya ialah Ustaz Hanafi. Tapi bagaimana kedudukan PA dalam institusi perguruan dalam SC. Satu lagi kajian boleh dilakukan tentang sikap dan pendapat yang wujud itu pada satu masa nanti.

Suasana yang tidak tenteram ini telah berlarutan dari masa ke masa. Ekoran daripada itu pihak-pihak yang dikatakan rapat dengan Ustaz telah manganjurkan satu foram di Universiti Sains Malaysia sempena dengan satu mesyuarat agung. Ahli foram tersebut ialah En Am, En Rahman Botak dan saya sendiri. Foram dipengerusikan oleh En Abu Hamid. Foram tersebut cuba membincangkan juga maksud guru dan ketaatan murid terhadap guru. Malang juga apabila salah seorang peserta foram tersebut cuba menceritakan tindakan-tindakan murid yang dikatakan mengenepikan guru. Usaha-usaha ‘memperkena’ peserta foram lain yang dianggap tidak sehaluan dengan mereka, saya kira telah gagal. Maka foram yang berlangsung tersebut tidak dapat memainkan peranan sebagai pentas untuk satu penyelesaian masalah berkenaan guru. Sebaliknya foram itu lebih memburukkan keadaan dan meneguhkan pendapat kumpulan-kumpulan tertentu dalam SC. Semua kumpulan yang wujud itu adalah berdasarkan tafsiran yang berlainan atas kedudukan guru. Maka institusi guru dalam SC mula tergugat. Bagaimana pula penerimaan guru di zaman berikutnya.

Kita sambung lagi.