5. Penerimaan Ahli Terhadap Guru kini dalam SC.
Puncak perselisihan di zaman En Mat telah membawa kepada peyingkiran En Mat dari sudut persatuan. Dalam zaman ini, peranan persatuan amat kuat sekali. Kepimpinan En Mat sebagai guru SC telah tidak diiktiraf oleh persatuan SC yang ada. En Mat dipecat daripada jawatan guru silat SC atas kehendak persatuan. Walau bagaimanapun, dari segi ketaatan murid silat terhadap En Mat adalah masih kuat dan utuh.
Oleh sebab sokongan ahli silat dalam SC masih utuh terhadap guru En Mat, maka beliau masih berupaya meneruskan tugasnya sebagai seorang guru yang bermandat untuk membuat ijazah dalam kalangan anak murid silatnya. Masih banyak persatuan di peringkat negeri yang tetap mengakui kepimpinannya sebagai guru SC berdasarkan adat dan adab. Mana mungkin bagi pihak mereka memanggil guru yang hendak ijazah bakal murid SC tanpa ada mandat. Setakat mematuhi desakan persatuan tentulah tidak memadai. Silat lain dan persatuan lain. Mana boleh minyak dan air bercampur.
Saya kira pendirian mereka masih tetap dan teguh untuk menyokong kepimpinan guru En Mat. Sekurang-kurangnya mereka tidak mahu terlibat dalam apa jenis bentuk penipuan yang berkaitan dengan bidang persilatan. Tambahan pula ramai kalangan mereka yang menerima ijazah SC melalui En Mat. Ikrar pertama, taat akan guru tetap menjadi pegangan utama mereka.
Persatuan yang menyingkir guru tetap juga menjalankan aktiviti persilatan. Seperti yang dinyatakan dalam tulisan awal, peranan guru adalah sangat penting dalam kegiatan silat. Konsep ini masih diterima pakai dalam persilatan kita. Oleh sebab itu golongan persatuan yang menyingkir guru amat perlu mencari guru bagi mengesahkan kegiatan silat mereka. Akhirnya En Jo telah dilantik sebagai guru.
Usaha-usaha mencari guru bukan senang untuk dilakukan. Mereka yang berfaham ‘guru mesti standard’ masih ada dalam kalangan mereka. Pastinya guru yang hendak dilantik memerlukan ukuran standard kualiti yang tertentu. Pada pendapat saya, setelah wujudnya kompromi dalam persoalan tersebut maka baharulah guru baru boleh diisytiharkan. Maka jadilah guru yang ada hanya berkuasa dalam bidang persilatan sahaja. Perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan hubungan luar, struktur organisasi direka sedemikian rupa bagi menutup segala kelemahan guru yang ada atas semangat ‘guru mesti standard’.
Seperti yang dinyatakan, institusi guru dalam silat adalah penting dan mempunyai pengertian dan falsafahnya sendiri. Mandat adalah merupakan satu perkara asas yang tidak boleh ditolak begitu sahaja. Maka bagi membenarkan pelantikan Jo sebagai guru maka strategi menyakinkan anak murid silat terhadap kepemimpinan guru yang bermandat adalah amat penting. Para bijak pandai mereka mampu berbuat demikian dalam kalangan ahli silat yang menyokong mereka. Kalau dulunya mereka berupaya membuktikan pelantikan En Mat sebagai guru adalah sah kerana mempunyai mandat, maka sekarang mereka pula perlu membuktikan hal yang sama terhadap guru baru yang mereka lantik.
Mereka yang menyokong kepimpinan persatuan tetap akan terus menyokong sebarang keputusan yang diambil oleh persatuan. Namun, mereka yang menyokong En Mat, akan tetap menolak alasan-alasan baru yang mereka cuba utarakan. Oleh sebab itulah kita dapat lihat wujudnya manusia yang meludah ke langit, menimpa diri sendiri dan wujud juga manusia yang terpaksa menjilat ludah yang diluahkan. Kini, mereka pula perlu membuktikan betapa En Mat sendiri tiada mandat atas pelantikannya. Satu masa diangkat kepimpinan En Mat dan bila tiba masanya maka dipunahkan pula. Macam bola takraw.
Oleh itu, menyedari bahawa faktor mandat sukar dibuktikan, maka pada pihak persatuan, terpaksalah mereka membuat ketetapan betapa mandat tidak lagi merupakan faktor penting dalam pelantikan guru. Hal yang demikianlah menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kenyataan yang pelik-pelik. Kepelikan kenyataan mereka tersebut tentunya menyanggahi adat dan adab kebiasaan institusi perguruan dalam bidang persilatan Melayu. Maka terputuslah salasilah perguruan SC dalam kalangan mereka jika digalurkan daripada pancar Ustaz Hanafi.
Maka terpaksalah mereka membuktikan betapa silat ini adalah hak masyarakat. Semua yang dilakukan tersebut semata-mata untuk membuktikan betapa En Jo adalah layak dilantik sebagai guru silat dalam SC. Kadang kala kita pun terkeliru akan pendapat dan pandangan baru mereka. Maklumlah,”Dulu lain sekarang lain, dunia berkisar-kisar. Bulu lain panjang lain, tapi kasar-kasar.”
Oleh sebab masalah perundangan negara, maka SC kini mempunyai dua segala-galanya. Ada dua presiden dan dua ahli jawatankuasanya dan ada dua guru yang ada pengikut-pengikutnya. Sifat jantan rupanya kita kerana jantan juga berkonsepkan dua. Setakat ini ketentuan guru yang berhak masih belum ada. Apapun dalam SC gurunya ada dua. Sampai bila keadaan ini akan berterusan. Entah. Mungkin selama-lamanya hingga ada yang akan tiada.
Situasi yang berlaku itu telah menyebabkan penerimaan murid SC terhadap guru dalam SC telah terbahagi kepada dua. Satu kumpulan adalah mereka yang menyebelahi En Jo dan satu lagi kumpulan adalah terdiri daripada mereka yang menyebelahi En Mat. Stategi membuktikan En Jo layak diangkat sebagai guru telah mengena dan dapat mempengaruhi ahli-ahli SC yang selama ini menaruh ketaatan terhadap En Mat. Walau bagaimanapun, saya tidak ada statistik untuk melihat akan gelagat penyokong-penyokong kedua-dua guru tersebut. Gelagat ini berkaitan dengan ijazah SC. Berapa ramai mereka yang diijazah oleh Ustaz dan PA yang masih setia dengan En. Mat. Dan berapa ramai juga mereka yang diijazah oleh En Mat sendiri yang sanggup beralih guru walaupun ikrar taat pada guru telah dilafazkan. Saya kira orang-orang kanan En Mat perlu membuat sedikit kajian untuk perancangan seterusnya.
Berdasarkan analisis saya, di sebelah En Mat suasananya masih tetap dan mantap. Mereka yang bertentangan pendapat dengan En Mat telah berada di pihak yang berlainan. Oleh itu mereka yang mementingkan soal standard dan perasan diri sebagai guru telah tidak ada lagi di sebelah En Mat. Golongan penentang En Mat telah ditapis daripada mendekati guru dalam SC. Dalam masa jangka panjang, pastinya En Mat lebih selamat dan mudah untuk membuat perancangan. Mandat berdasarkan adat dan adab SC masih boleh diteruskan dari zaman ke zaman hinggalah wujud lagi krisis guru dalam SC yang dibawa oleh seseorang. Tapi rasanya kitapun dah tak ada.
Di sebelah sana, kalau dibincang dari sudut mandat maka alasan yang ada adalah tersangat rapuh. Malah En Mat sendiri tidak pernah menyerahkan mandatnya sebagai guru SC kepada En Jo. Mandat adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa-paksa. Alasan ini juga telah pernah digunakan oleh pengikut PA bagi menidakkan kepimpinan guru En Mat ketika kita berpecah dengan PA di satu masa yang lalu.
Apapun yang berlaku di sebelah En Jo, beliau tetap dikelilingi oleh mereka yang mempunyai banyak fahaman. Sekurang-kurangnya fahaman ‘guru mesti standard’ . Tidak hairanlah apabila beliau sendiri telah terpaksa disempitkan ruang geraknya sebagai seorang guru silat. Walau bagaimanapun, sesuatu yang tidak boleh dinafikan ialah beliau akan terus melahirkan ahli SC yang seiring juga sebagai ahli perasatuan SC yang diijazahnya sendiri. Lagi lama peranannya sebagai guru dalam SC berkenaan maka makin ramai anak muridnya sendiri yang dilahirkan melalui proses pengijazahannya. Pastinya akan ramai anak muridnya yang terlibat dalam persatuan. Maka pastinya juga akan lahir pendapat dan perjuangan dalam kalangan anak murid yang diijazahnya sendiri untuk membela nasib gurunya yang dipencilkan dalam SC. Silap perhitungan maka akan berlaku satu lagi pepecahan.
Sekian setakat ini. Sambung lagi.