Bila timbul tahun baru, ramai yang berazam. Walaupun telah berazam di awal Muharam, tapi azam di tahun baru Masehi amat kuat pengaruhnya. Maka berazamlah kita setiap awal tahun. Akhir tahun mungkin lupa. Maka dibina semula azam yang sama di awal tahun. Maka sampai ke tualah asyik berazam. Adakalanya tercapai dan tidak kurang juga yang terbengkalai begitu sahaja.
Dari segi bahasa, azam bermaksud kemahuan atau keinginan yang sangat kuat bagi mencapai satu-satu tujuan. Ada yang mengatakan azam itu juga bermaksud cita-cita. Ada pula yang mengaitkan azam dengan niat dalam diri kita. Saya pernah bincangkan perbezaan maksud niat dan cita-cita dalam konteks ajaran yang saya terima daripada Ustaz. Niat yang wujud pada diri kita adalah beserta dengan perbuatan. Cakap serupa bikin. Apa yang dicakap pasti akan dibuatnya. Kalau setakat berazam tanpa disertai dengan perbuatan maka tinggallah hasrat tersebut menjadi cita-cita sahaja.
Dalam konteks persilatan Silat Cekak, apalah agaknya bentuk azam yang kita bina. Walau bagaimanapun, setiap ahli mesti ada azamnya. Pastinya semua azam tersebut bergantung pada kepentingan dan kedudukan dalam persatuan dan kepentingan dan kedudukan dalam bidang persilatan.
Dalam bidang persilatan, azam pada penuntut silat tentu berbeza dengan Jurulatihnya. Begitu juga dalam konteks persatuan. Azam ahli biasa tentunya berbeza dengan azam pada mereka yang berjawatan dalam persatuan. Azam akademik silat macam mana pulak bentuknya.
Pada diri saya, azam yang dibina dalam SC tak banyak berubah. Tambahan pula dalam usia saya yang sebegini. Saya tersangat berazam untuk menyatakan kebenaran yang saya terima daripada Ustaz dalam konteks persilatan SC. Malah apa yang saya tulis selama ini adalah berdasarkan kebenaran hakiki yang saya fahami. Fahaman ini telah ditanam sekian lama oleh ustaz. Sama ada orang lain mengiktirafnya atau tidak, saya tidak peduli. Yang penting ialah saya tahu apa yang telah dilakukan oleh Ustaz dalam pembinaan sahsiah diri saya.
Ada yang terasa atau ada yang terkena, bukan tujuan utama penulisan ini. Saya telah begitu lama “menghabiskan masa” dalam perjuangan SC. Kadang kala habis masa muda saya dek berjuang dalam Silat Cekak. Tak merasa enjoy alam muda. Habis semua masa ‘digadaikan’ dalam kegiatan silat. Sekarang ini agaknya baru nak rasa balik apa yang sepatutnya saya rasa di usia muda. Tersenyum simpul dibuatnya.
Saya berasa bersalah kalau saya bertentang pendapat dalam diri saya sendiri. Itu sebabnya apa yang patut saya cakap maka saya akan cakap. Tidak ada apa-apa kepentingan buat diri saya dalam SC. Setakat ini saya berpuas hati kerana dapat merasai nikmat kemerdekaan atau merasai erti kemerdekaan dalam konteks SC. Fahaman saya adalah fahaman yang diasaskan oleh Ustaz. Siang malam saya bersama dengan ustaz ketika saya berada di kuala Lumpur. Saya rasa bahawa saya tidak pernah berubah sikap atau prinsip atau pegangan dalam SC dari dulu atau sekarang. Apa yang saya tulis dalam ruangan ini adalah sama seperti apa yang saya tanamkan di jiwa penuntut ketika mengendalikan kelas SC, baik di zaman Ustaz, zaman Pak Ak dan di zaman En Mat. Sama ada ‘murid-murid’ saya dapat ikut atau berubah pendapat, itu adalah hak mereka. Mungkin banyak alasan yang ada pada mereka. Maklumlah, acuan mereka tidak sama dengan acuan saya dalam perjuangan SC. Atau mungkin benih yang sedang tumbuh lupa nak jurus dengan air mutlat.
Bukan setakat azam saya untuk tidak mengubah fahaman yang ada, malah saya turut berazam untuk tidak mengubah buah-buah atau sistem-sistem dalam pembelajaran SC yang telah disusun oleh Ustaz Hanafi dan diperturunkan kepada saya. Lantaklah dibuat beratus kali pelarasan bagi mengubah buah-buah dalam SC. Saya tetap saya. Buah saya tetap buah saya. Mana boleh diubah-ubah buah saya. Buah saya telah disusun oleh Ustaz. Mana mungkin buah yang disusun oleh Ustaz, saya biarkan pula untuk disusun oleh orang lain. Pasti ummh nya akan berbeza. Tangannya tidak sama. Kepentingannya tidak sama dan matlamatnya pun tentu tidak sama.
Pada pengamatan saya, azam dalam SC adalah merupakan satu proses yang berlaku dari masa ke masa. Azam tersebut tidak terhad di awal atau di akhir tahun semata-mata. Malah setiap kali ijazah silat dilakukan, maka setiap kali itulah azam dalam diri penuntut SC ditanam. Kita ditanam dengan azam untuk terus taat pada guru, ibu, bapa, ikatan setiakawan sesama ahli dan berazam untuk tidak mencaci silat-silat Melayu yang lain. Azam ini umpama ikrar juga agaknya. Cuma yang berbeza ialah tidak mengangkat tangan. Ikrar berbentuk azam tersebut disemai dalam hati dan diharapkan akan tumbuh subur dalam jiwa setiap penuntut dalam SC.
Rupa-rupanya dalam proses penyuburan azam yang ditanam oleh guru melalui majlis ijazah tersebut, bukan senang untuk tumbuh subur dalam jiwa seseorang ahli SC. Ada yang tidak tumbuh-tumbuh langsung. Ada yang tumbuh tapi mati pucuknya atau mati batangnya atau hanya tumbuh batang tanpa berdaun. Oleh itu sukarlah proses sintisis untuk berlaku.
Malas nak komen tentang azam berikrar untuk taat akan guru. Taatkan ibu dan bapa pun sukar diukur. Kita tak nampak. Hanya diri pesilat itu sahaja yang tahu. Namun begitu, tentang ikrar sesama ahli jangan bergaduh, boleh kita nampak dalam konteks praktisnya. Ramai yang cakap tak serupa bikin. Fikiran mereka terikut-ikut dengan persatuan. Setakat ini sejak zaman Ustaz, PA, En Mat dan PJ semuanya pasang ikrar sesama ahli silat tak boleh gaduh. Mungkin sekarang ini perlu sedikit perubahan dalam sebutan. Eloklah disebut, ‘sesama ahli persatuan tidak boleh bergaduh’. Masukkan istilah persatuan. Maka barulah bertepatan dengan konteks hubungan sesama ahli SC ketika ini. Baharulah cakap serupa bikin. Bolehlah ditanam dengan hebatnya erti permusuhan dalam konteks berlainan persatuan, walaupun sama persilatan.
Saya tidak tahu akan pegangan orang lain. Pada saya selagi orang itu terus mengatakan bahawa pelajaran SC-nya adalah berdasarkan pusaka Ustaz Hanafi maka selagi itulah saya tetap menghormatinya. Kalau cuba bercakap dari segi persatuan pun maka saya akan tetap berbincang dalam konteks persilatan SC yang kaya dengan adat dan adabnya, hasil semaian Ustaz. Hal ini meliputi soal-soal mandat, warisan dan sebagainya. Tidak timbul soal bersengketa sesama ahli silat. Yang wujud hanyalah perbezaan pendapat dalam konteks persatuan, bukannya sebagai musuh hakiki dalam silat. Itulah ajaran yang telah disemai oleh ustaz Hanafi dan terus subur di jiwa saya, dibajai dengan kefahaman yang telah dilakukan oleh Ustaz. Saya dapat rasakan bahawa ‘Pohon’ yang tumbuh di jiwa saya adalah lengkap dengan batang, dahan dan ranting serta daunnya. Tidaklah hanya batang semata-mata.
Cuma ketika ini kita dapat saksikan betapa muncul manusia haprak yang tak erti bahasa. Bahasa SC. Berasa diri hebat sekali dengan kefahaman SC yang ada. Apabila ahli tidak senada maka mudah sangat mengeluarkan cap bagi merendah-rendahkan diri orang lain yang tidak senada dengan mereka. Inilah golongan haprak Siam yang mudah membuat pelbagai cap atau mudah memberi pelbagai jenama. ’Soi punya olang’ kata orang Cina.
Pada generasi baru yang mengagung-agungkan fahaman Ustaz Hanafi, saya perlu nasihatkan mereka agar dalamilah fahaman Ustaz tersebut dengan fikiran yang terbuka. Kalaulah kita berbangga dengan Mazhab Shafie, maka dalamilah mazhab tersebut dengan sebenar-benarnya sebelum membuat komen akan mazhab-mazhab yang lain. Kalau kita berbangga dengan fahaman Hanafi maka dalamilah fahaman dan ajaran-ajarannya sebelum membuat komen pada ahli SC yang lain. Praktikkan fahaman tersebut dengan jujur dan ikhlas. Jangan asyik nak pecat-pecat. Itulah haprak siam namanya.
Demikianlah azam saya. Saya adalah saya dalam konteks perjuangan SC. Ketika saya membuat ketetapan apabila berpisah dengan PA, saya disanjung oleh golongan tertentu. Tapi golongan ini mengeji pulak ketika saya membuat ketetapan dalam perbalahan guru, dalam persengketaan yang baru berlaku. Pada hal ketetapan saya tetap menggunakan formula yang sama. Inilah agaknya golongan haprak siam keturunan Hadnyai. Sanggup melacurkan fahaman dan fikiran dalam konteks ajaran Hanafi.
Sekian setakat ini.