Sunday, January 21, 2007

PETUA AHLI YANG BAIK

BERHATILAH

Dengar cerita ramai yang hadir semasa sambutan awal muharam. Tapi ramai yang takut hadir dengan pelbagai alasan. “Ada kelas le,” dan macam-macam. Pokok pangkalnya takut dengan buaya atau naga atau harimau besar yang sedang menganga untuk membaham sesiapa sahaja yang hadir kerana tidak ikut perkeliling. ‘Ada gigi ka.’ Walau bagaimanapun semangat silat masih ada. Nak pergi, takut, tak pergi rasa semacam ada satu ikatan yang menarik minat atas perhimpunan tersebut. Jadilah mereka serba salah dengan alasan yang pelbagai. Walau bagaimanapun saya kagum dengan usaha yang dilakukan oleh para pendokong SC. Setiap aktiviti tahunan SC tetap diteruskan. Tidak seperti satu pihak lagi yang asyik dengan perkeliling. Asyik dengan undi sulit yang tidak sah. Asyik dengan kes cabul atas gadis yang masih dara dan yang telah hilang dara tapi milik pengeluar surat perkeliling. Asyik dengan Badan Siasatan dan Kehakiman. Asyik dengan Guru yang tidak sah. Asyik dengan Presiden yang tergantung dan Asyik dengan mahsyoknya.
Apa pun saya simpati dengan ahli-ahli yang tunggu dan lihat. Mereka menunggu-nunggu siapa yang menang untuk tindakan seterusnya. Kalau sokong En Mat, takut dipecat dengan segera. Kalau sokong pihak lagi satu, kalau En Mat naik, pasti kena pecat juga. Bab-bab pecat inilah yang cuba dielakkan. Mereka malas nak memulakan lagi usaha untuk membangunkan semula SC. Cukup dengan SC yang ada. Lebih-lebih lagi pada mereka yang telah dimamah usia.

Dalam tajuk ini saya selaku adik yang baru berkecimpung dalam kancah ini ingin memberi beberapa tip kepada abang-abang dan pakcik-pakcik yang ingin bergiat dalam SC. Sekurang-kurangnya dapat membantu mereka mengelakkan diri hingga ada antara yang tidak sedar diri, lupa akan tanggungjawab yang sebenarnya terhadap keluarga dan bidang kehidupannya. Beria-ria sangat dengan kegiatan silat, kelak akan menjahanamkan diri jikalau beberapa prinsip dan kefahaman tidak diikuti.

Berpersatuan bukanlah budaya orang-orang kita. Kalau satu-satu tempat tu tak ada surau, bersatulah mereka untuk mendapatkan surau. Tapi bila ada surau, pasti mereka berpecah sebab rebut kuasa. Dalam masyarakat Cina ada macam-macam persatuan. Dari persatuan yang besar-besar hingga sekecil-kecilnya seperti persatuan pembuat kopi dan persatuan membaiki kasut di tepi jalan. Masyarakat kita mana ada persatuan macam tu. Kalau ada persatuan sering berpecah. Sebabnya berebut kuasa dan bila ada kuasa ingin menonjolkan kuasa. Kebajikan ahli selalu dilupakan. Persatuan-persatuan silat yang dulunya hebat, semuanya berpecah apabila gurunya mati. Ada satu lagi silat bertaraf kebangsaan tapi tengoklah bila gurunya mati pasti silat itu berpecah. Maknanya berpecah adalah mesti dalam masyarakat kita . Persatuan tidak akan tahan lama. Jadi tak heranlah persatuan kita pun berpecah. Kalau sudah faham prinsip ini maka hati kita boleh tenang.

Bab taksub dengan guru dah jadi budaya kita. Kita kena terima prinsip ini kalau nak bersama persatuan. Kalau guru buat sesuatu kesalahan, dikatakan sebagai menguji muridnya. Guru menggelintir anu muridnya pun dianggap ujian kepada muridnya. Itu sebab kerana taksub, ada yang mendahului guru daripada kedua ibu bapanya. Sampai nak memilih jodohpun tunjuk gambar pada guru. Ibu bapa dah jadi orang nombor dua. Nasib tak baik akan berlaku apabila guru nak jumpa bakal jodoh kita. Dah dirunas dan diperiksa hingga ke dalamnya baru dikata “ok” dan diserah pada kita. Kitapun terimalah atas prinsip berkat guru. Jadi kalau nak masuk silat kena faham hal ini. Setuju tak setuju kena terima kalau hendak bersama persatuan. Biasanya orang yang taksub dengan guru menganggap guru terpelihara daripada sebarang kesalahan. Guru mesti hebat dalam apa segi sekalipun termasuk ilmu kejantanan dan kewanitaan. Anggapan ini mesti ada kalau kita nak tunjukkan kesetiaan pada guru. Kalau kita menerima hakikat ini, kalau guru buat silap, kita tak mudah melenting. Cuma yang boleh kita kata ,”tak sepatutnya”. “Tak sepatutnyanya ahli ugama buat maksiat. Tak sepatutnya budak dirogol. Tak sepatutnya guru berhutang dengan murid.” Banyak lagi benda tak sepatutnya. Kita manusia. Tabiat manusia sama sahaja. Bezanya ialah darjat di dunia. Akan tetapi potensi untuk melakukan sesuatu di luar daripada norma sepatutnya tetap terbuka luas. Kalau kita faham senang cerita dan boleh bergiat dalam persatuan. Kalau tak faham, jangan aktif. Selepas belajar silat, boleh belah.

Dalam persatuan, kita mesti sanggup berkorban. Kalau sanggup berkorban pada persatuan, maknanya kita mesti sanggup berkorban pada gurunya. Pengorbanan ini tidak akan dibayar atau dinilai dengan wang ringgit. Jadi berkorbanlah dengan ikhlas termasuk pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Perasaan jangan cakap. Kalau sanggup berkorban apa sahaja, baru libatkan diri dengan sepenuh masa pada persatuan silat. Jangan sentiasa berharap pengorbanan ini akan diberi ganjaran oleh guru. Jauh panggang daripada api. Gunakan moto, ‘berkorbanlah hingga diri terkorban.’

Biasanya semasa kita melibatkan diri dalam dunia persilatan, umur kita lebih muda daripada guru silat. Jadi, pengorbanan kita hanya guru yang ada yang tahu dan menghargainya. Itupun kalau dia nak hargai. Bila dia meninggalkan kita, penggantinya belum tentu tahu akan pengorbanan kita. Dia ada orangnya. Silap-silap gaya kita akan tersisih dalam era pentadbirannya. Terkapai-kapailah kita dan mungkin menyesal yang amat sangat atas masa yang telah terkorban selama ini. Tidak ada lagi insan yang ingin menghargai usaha kita selama ini. Kalau hakikat ini sanggup kita terima, ayuh! Teruskan pegorbanan kita.

Semasa kita berbakti dengan persatuan, kalau sakit atau menemui kemalangan, kita mesti sanggup tanggung sendiri dan sanggup menerima fahaman kebanyakan ahli bahawa kemalangan yang menimpa kita menunjukkan musibah atas sikap kita yang tak betul dengan guru. Kalau kemalangan dan putus sebelah kaki, terimalah hakikat kita berniat tidak baik dengan guru. Di hospital, pandai-pandailah sembuhkan diri sebab kemungkinan besar tak ada sesiapa penguasa tertinggi persatuan yang datang melawat. Bila dah baik, kita mesti sanggup minta maaf banyak-banyak pada guru atas kemalangan yang menimpa diri kita. Kalau guru dah maafkan kita maka kita akan berada dalam keadaan aman dan tenteram. Baharulah kita boleh teruskan perjuangan dalam silat walaupun kaki dah tinggal sebelah.

Dalam persatuan, kita tidak boleh mengharapkan balasan atau minta apa-apa balasan. Kena terima sahaja apa yang diberi oleh guru tanpa banyak soal. Kalau guru nak bagi wali jantan ke, lading ke, pingat ke atau apa-apa ke, terima saja. Jangan komen atau jangan banyak bicara. Setiap pemberian, kita nilai sendiri dan jangan minta apa-apa pandangan daripada orang lain. Cuma pesan saya kita perlu ada pengetahuan atas setiap pemberian yang kita terima. Misalnya, pemberian wali jantan atau wali betina. Wali jantan, ukuran anu kita. Ahli perempuan sentiasa nak tahu. Wali betina, menunjukkan kedalaman anunya. Kita pun pasti nak uji. Jadi kita mesti berhati-hati. Itu sahaja tugas kita.

Kalau kita hendak bergiat juga, mesti terima hakikat bahawa perasaan dengki mesti ada dalam persatuan. Perasaan ini selalunya timbul secara tidak disedari. Bila dengki pasti ada ahli yang cuba mencari pengaruh guru untuk menidakkan kebolehan orang lain. Silap-silap haribulan kita akan tersingkir. Oleh itu kita mesti sanggup bersifat pak turut sahaja. Angguk pada semua perkara walaupun fikiran kita memberontak. Cuma kena jaga-jaga sebab kesannya akan beralih pada rambut. Rambut akan menjadi beruban atau akan botak kalau perasaan dan akal kita tak sama dengan perbuatan. Tapi itu tak jadi masalah kalau kita sanggup berjuang dalam persatuan silat kita. Biar kepala kita botak. Tak gitu kepala yang ada pun dah botak. Alang-alang botak, biar semuanya botak.

Tip lain kalau nak bergiat dalam persatuan silat, kita kena dahului kehendak guru daripada kehendak kita atau keluarga kita. Guru nak duit, bagi. Guru nak apapun bagi. Ini prinsip kesetiaan. Jangan ungkit-ungkit sebab ungkitan ini akan menyebabkan ilmu yang dipelajari akan hilang atau tidak berkat. Kalau guru nak anu, fakir sendiri. Kalau sedap apa salahnya. Yang penting kita mesti sanggup memenuhi kehendaknya. Kalau ada program persatuan, kita kena libatkan diri. Kalau kita ahli jawatankuasa sekali pun, kalau dikenakan bayaran, sila bayar. Nanti dikatakan nak free sahaja. Kalau satu meja seribu, kongsi sepuluh orang, seratus ringgit seorang. Kalau duit tak ada nak bayar, sila berhutang. Ini adalah cara menunjukkan kesetiaan kita pada persatuan khasnya pada guru. Kalau boleh, bawa hadiah. Mana nak dapat! Itu gunanya kita libatkan diri dalam CNI. Dapat hemper bagi persatuan. Jadi, kita akan dapat nama, persatuan dapat hamper.

Semua tip yang saya nyatakan di atas amat perlu difahami kalau kita hendak aktif dalam persatuan. Kita mesti sanggup menyesuaikan diri dengan tuntutan yang ada dalam persatuan. Jika kita gagal berbuat demikian, kita akan kecewa dan akhirnya menjadi pemberontak atau kumpulan sayap kiri. Kalau semua ahli faham, tak adalah kecoh-kecoh macam sekarang. Semuanya aman sebab ahli faham akan tanggungjawabnya sebagai ahli persatuan untuk menuntut ilmu daripada gurunya. Kalau dirasakan tanggungjawab itu berat, belajar sahaja dan jangan ada niat untuk bergiat aktif dalam persatuan. Habis belajar, belah.


Salam mesra daripada adikmu.