Monday, January 15, 2007

MEMADAN MUKA

Cekak Oh Cekak
Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di dalam gelap
Menyinari selalu
Tapi duluuuu.
Kini kau dah mula malap
Angkara timbul kongsi gelap
Terus berkongsi dalam gelap
Nikmat selalu.

“Tak ada ke satu usaha cepat yang boleh diambil untuk menyelesaikan kemelut SC yang sedia ada,” Tanya rakanku dalam satu majlis ketika menyambut hari jadinya.

“Nak buat macam mana. Tunggu le next mesyuarat. Ada le perubahan. Siapa yang tinggal dan siapa pulak yang tersingkir. Lepas tu tengok pulak pepecahan. Kalau betul gayanya akan ada dua Guru.” Kata rakan seorang lagi.

Saya hanya diam membisu. Nak kata apa lagi. Semuanya membicarakan isu secara logik. Itulah jadinya kalau tindakan diserahkan sahaja pada suasana. Satu pihak serah pada pihak berkuasa. Satu pihak serah pada saat dan ketika yang menentukannya. Pihak yang menyerahkan nasib pada pihak berkuasa sentiasa berdoa agar En. Mat digari dan dijatuhi hukuman. Senang untuk ambil tindakan seterusnya. MMT mesti tak kata apa. Berdoalah mereka siang malam. Ada yang menunggu daripada empat puluh hari ke seratus hari dan berhari-hari. Sesekali akan melatah juga dan keluarkan Surat Perkeliling untuk memberi amaran dan ugutan kepada ahli. Lepas tu senyap balik. Tapi tak boleh juga kita nak marahkan mereka mengeluarkan surat. Itu ilmu isyarat namanya. Bukan secara lisan atau memek muka untuk mengzahirkan ilmu tersebut tapi berdasarkan tulisan. Pandai juga mereka aplikasikan ilmu isyarat. Habis semua orang takut. Takut kena pecat lo.

Pihak lagi satu hanya ambil sikap tunggu dan lihat. Harapan mereka kalau bantahan diterima, dapatlah dibuat mesyuarat agung luar biasa. Senang diambil kata putus. Harap-harap geng yang dianggap bukan bernafsu manusia oleh sesetengah orang, akan tersingkir. Maka senanglah buat kerja seterusnya. Geng-geng yang ada bukannya bersatu . Ada yang sokong En. Mat dan ada yang tidak. Mereka pun tak bersatu hati macam mana ahli nak bersatu hati. Mereka patut selesaikan masalah mereka sendiri. Setiap arahan MMK mana ada sebulat suara. Kalaupun ikut demokrasi, persatuan bukan negara tapi persatuan silat la. Hal Guru pulak tu.

Secara logiknya, pihak MMK perlu bertindak dan buatlah sesuatu. Kalau rasa Guru yang ada hilang power dan dah tak nak lagi, lantik Guru baru. Tak payah tunggu MMT bersidang. MMT susah sikit. Sulit tak sulit pun susah nak beza. Mereka suka angkat tangan dan tak angkat tangan. Kalau orang berkuasa MMK tidak mahu bertindak, serahkan sahaja kepada ahli. Buat mesyuarat agung cepat-cepat. Dalam mesyuarat, serahkan mandat yang ada, yang telah diberi sebelumnya. Senang aja cerita sebab boleh tutup buku. Tapi nampaknya mereka nak juga pertahankan TA . Tahta = Kuasa lo dan Wanita = glamour ma. Harta mana macam. Itu gua tatak tau lo.

Berdasarkan suasana yang ada sekarang, ramai ahli yang berpendapat sangat malang sekali apabila MMK buat tak kisah sahaja. Mentang-mentanglah ada antara mereka yang dah dianggap bukan manusia lagi. Kalau tak kisah maknanya mereka ambil mudah sahaja. Buat kerja sambil lewa. Tindakanpun sambil lewa. Ahli-ahli terkapai-kapai dan ramai yang kecewa. Tapi suasana yang berlaku, jadi semacam satu hiburan kepada sesetengah ahli MMK pulak. Bila suasana itu berlaku, tidak hairanlah ramai ahli yang berasa penat dan hilang semangat untuk meneruskan perjuangan SC. Apabila hilang semangat, timbul sifat-sifat negatif. Sifat ini lambat pulih. Akibatnya sistem badan kita terganggu. Lama-kelamaan badan boleh jadi tak sihat. Monyok sahaja. Kalau dak monyok, muka jadi hodoh. Akibatnya cepat tua. Jadi, secara langsung, MMK-lah yang telah menyebabkan wajah-wajah ahli tidak ceria dan hilang seri muka serta cepat tua. Prestasi kerja akan menurun. Yang cepat tua tu kita susah nak terima. Kepada ahli-ahli yang sedemikian, berhati-hati dengan perasaan ini. Tapi kalau dah terjadi nak buat macam mana. Kalau dirasakan MMK yang menyebabkannya, dakwa aje mereka di mahkamah. Mahkamah lagi. Bestnya.

Dalam keadaan sekarang kita mesti cerdik. Apabila berbunyi gendang, jangan mudah menari. Orang biasa hanya pandai menari mengikut gendangnya. Kenapa tidak kita menari mengikut gendang sendiri yang diubahsuai secara hakiki. Orang-orang cerdik ni tak mudah jatuh dalam lubang yang dia dah nampak. Jangan ikut perasaan dan jangan ikut kawan atau kadang kala jangan ikut peraturan. Kelak menjerat diri. Gunakan kaedah tindakan berdasarkan aksi. Istilah sekarang dipanggil refleksi aksi.

Apa yang pastinya sekarang ini, akibat sikap ambil mudah, persatuan kita hanyut tanpa haluan. Kemana hanyutnya. Masa sahaja yang akan menentukan penghujungnya. Kita hanya boleh menunggu dan terus menunggu. Kecemerlangan kita semakin pudar dari hari ke hari. Akibat sikap ambil mudah MMK, banyak menyusahkan ahli-ahli untuk menggerakkan persatuan. Pengambilan ahli baru, majlis ijazah dan perjumpaan-perjumpaan khas untuk tujuan silat semuanya jadi susah . Kita bukan hanya menuding jari pada MMK secara membuta tuli. Tapi MMK-lah badan yang sah ketika ini untuk menggerakkan atau memulihkan persatuan. Tanggungjawab terletak di bahu mereka. Dalam keadaan sekarang, mereka perlu bergerak tanpa berat sebelah pada mana-mana pihak. Yang utamanya selamatkan Persatuan.

Dalam suasana sekarang, pihak MMK dan pihak yang bertelagah hendaklah bertindak dengan sebaik-baiknya. Jangan cakap sahaja demi menjaga persatuan. Ambillah tindakan rasional secara berbincang dengan pelbagai pihak, baik di pusat atau cawangan. Buanglah sikap sangka buruk sesama ahli. Tak kanlah En. Mat dan teamnya seratus peratus buruk perangai. Dalam sepuluh tak kanlah semuanya tak betul. Janganlah tolak terus Guru yang ada. Tapi kalau diri bersikap angkuh, susahlah sikit. Bila rasa angkuh dan berasa diri sahaja yang berhak dan betul maka tanggungjawab membetulkan keadaan yang ada, dianggap tidak menjadi tanggungjawab lagi dan dipandang ringan. Akan timbullah nanti kata-kata, “En. Mat yang mulakan, En. Mat-lah yang bertanggungjawab.” Senangnya bercakap. En. Mat bukannya persatuan. Hatta SC dah jadi silat keluarga, persatuan bukan hak keluarga. Kalau semuanya hak keluarga, ambillah ijazah kalangan keluarga aje. Ijazah keluarga, MMK keluarga, MMT keluarga, Jurulatih keluarga, Penuntut keluarga. Skandal keluarga. SPA keluarga. MMN keluarga. Semuanya keluarga. Nak join, kahwin aje dengan keluarga. Tak kiralah. Jadi biras pun tak apa.

Kalau MMK atau pihak En. Mat, nak bertindak secara rasional juga, perasaan marah, benci dan dendam perlu dihindarkan sama sekali. Jangan kira marah, benci dan dendam pada diri sendiri. Tengok juga perasaan-perasaan tersebut pada orang lain. Baru ada persaimbangan. Perasaan-perasaan itu menggalakkan sikap kita untuk menghukum dengan ungkapan “padan muka” sahaja. Akhirnya akan menjadikan kita tak ambil kisah. Bila tak ambil kisah maka kita akan mengambil sikap mudah dan sambil lewa. Kita akan lebih mengharapkan hukum alam yang menentukan masa depan persatuan. Lambat sangat jadinya.

Bersemangatlah sikat pada pihak-pihak yang terlibat, yang telah diberi tanggungjawab terutama di peringkat pusat untuk menyelesaikan kemelut yang ada. Janganlah pentingkan diri tapi pentingkan ahli-ahli. Ahli-ahli yang masuk SC ramai yang inginkan ilmu SC sahaja. Jangan seretkan mereka dengan tindakan kita yang asyik bertelagah. Jangan jadikan mereka mangsa secara menyekat kebebasan berjumpa dan berfikir. Berilah kebebasan kepada mereka. Kalau En. Mat bukanpun Guru lagi kerana “digantung”, beliau dah jadi bekas Guru. Tak kan kita nak putuskan hubungan langsung antara mantan Guru dengan muridnya walaupun taraf murid hanya di suatu masa yang lalu. Atas sifat tu tak kan nak larang langsung ahli daripada menemuinya. Hubungan Guru dalam konteks persatuan mungkin tiada tapi dalam konteks sahabat tetap utuh walaupun sampai bila-bila. Jangan pulak kata, “jumpa tak pa tapi bukan pasal silat.” Orang silat kena cakap pasal silat. Tak kan nak cakap pasal cara wirid. Nak gelintir tasbih tak kan tak tahu.

Satu segi , sedap sangat kita menuding jari pada MMK tanpa kita rujuk pada individu. Dengar cerita, ahli-ahli MMK pun dah tak sehaluan. Ada yang main letak-letak jawatan, ada ahli keluarga yang jadi mangsa perbuatan En Mat, ada yang tak ngam, ada yang dilantik oleh ahli, ada yang dilantik oleh En. Mat sendiri dan macam-macam ada. Oleh itu, satu-satu keputusan yang dikeluarkan oleh mereka, tak de yang sebulat suara. Kalau tak ngam, keputusan yang keluar, keputusan siapa. Ikut ranking jawatan kah atau ikut apa. Ada surat ketua penerangan dan ada surat setiausaha. Surat Pemangku Presiden tak pernah tengokpun. Ada ke lagi pemangku presdien. Dah letak jawatanke. Kalau merekapun haru-biru, ahli apatah lagi. Itu sebabnya serah sahaja pada ahli. Serah le sayang ooiii.

Sayang sekali apabila keputusan MMT ditolak dek kerana silap cara undi. Kalau MMT tolak keputusan pemecatan Guru sepatutnya MMK terima saja dan buat perancangan untuk tindakan seterusnya. Pada saya tindakan MMK menolak ketetapan MMT sungguh malang sekali. Kalau dah tolak, MMK bertindak sekarang ini ikut pandangan siapa. Ahli pun tak pernah ditanya. MMN tak pernah dipanggil. Jadi ikut siapa. Malang sekali kalau tindakan MMK berdasarkan pendapat tiga empat kerat manusia yang cuba mewakili pandangan beribu-ribu ahli. Layakkah mereka berbuat demikian. Mungkin layak dan mungkin tak layak. Siapakah yang berhak kata layak. Mesyuarat agung ma. Ahli lo.