Sunday, January 7, 2007

Cekak Hai Cekak

Hai silat Cekak Hanafi.
Aku tahu asal usul mu,
Kau berasal dari………..
Dengan berkat kata…………..

Alhamdulillah, akhirnya pergantungan En. Mat, baharu dikenakan talinya. Pergantungannya bertali iaitu selama tiga tahun. Zalim sungguh mereka yang terdahulu yang menggantungkannya tanpa tali. Tapi siapa pula penggantinya untuk mempastikan pergerakan SC terus berkembang. Tidak disebutkan. Silat dibenarkan bergerak. Bergerak ikut suka hati. Jadilah sekarang ini pergerakan SC secara suka hati. Ada yang mengesyorkan, pilih sahaja pengganti daripada mereka yang berjuang bersama-sama dengan Ustaz Hanafi. Adoh-adoh, si bangka juga pilihan mereka. Ramai yang segak bestari dan comel lote. Tak laku lagi rupanya.

Dalam suasana mencari pengaruh sekarang ini, ramai yang mendesak supaya menyebelahi pendapatnya sahaja. Tidak kiralah sama ada ahli biasa atau mereka yang berjawatan. Bila berhubung dengan ahli yang lain, mulalah mendesak ahli itu mengikut pendapatnya. Pada saya hak berfikir dan hak bertindak, biarlah diberi kebebasan kepada individu. Jika mereka berfikir untuk menyebelahi En. Mat, silakan. Begitu juga jika mereka berfikir untuk menyebelahi MMK, teruskan. Kita tidak boleh menipu diri kita sendiri. Pemupukan nilai sejak kecil dan pengalaman yang dialami sepanjang berada dalam SC akan menentukan hala tuju setiap ahli. Saya yakin, jika ada ahli yang bercanggah antara tindakan dengan bisikan hati kecilnya, mereka pasti akan kecewa sepanjang hayat dan hidup dalam kepura-puraan. Jangan menipu atau berbohong pada diri sendiri. Kalau hati kecil telah menyatakan kebenaran melalui dua mata dan dua telinga serta satu akalnya, keluarkan melalui mulut yang satu. Itulah kebenaran yang hakiki. Pilih siapa, tak penting, yang penting jangan menipu diri sendiri.

Surat terbaharu yang dikeluarkan oleh MMK yang saya lihat melalui laman web membawa banyak implikasi dari segi perjuangan dan pengembangan SC. Guru digantung, aktiviti SC boleh diteruskan, pengganti tiada dan pergerakan SC di cawangan dikawal. Tapi MMK percaya bahawa mereka melakukan itu semua dengan iklas demi masa depan SC. Mungkin dalam ruangan ini kita perlu memikirkan beberapa implikasi atau sifat yang boleh kita fikirkan bersama.

i. Mengeluarkan arahan menunjukkan mereka tidak sensitif langsung dengan pergerakan dan aktiviti persilatan dalam kelas. Implikasi atas keputusan itu menunjukkan bahwa mereka yakin Silat Cekak boleh dikembangkan atau diajarkan tanpa Guru. Itu sebabnya mengapa SC dibenarkan bergiat. Keadaan ini menunjukkan dua keadaan.

(a). Sahlah bahawa aktiviti mereka selama ini tidak pernah atau kurang sangat turun padang. Mereka hanya kumpulan ahli yang terlibat dan terikat dengan acara-acara besar SC. Hal dalam kelas tidak pernah tahu dan tak pernah ambil tahu atau maknanya tak pernah sensitif dengan pengajaran silat di kelas. Itu sebab tindakan mereka menampakkan sikap tidak mengambil kira apa implikasinya pada perkembangan SC.

(b). Mungkin tindakan mereka betul, berdasarkan darurat. Kalau darurat yang haram jadi harus dan boleh buat. Maknanya dalam keadaan tidak menentu sekarang setelah guru digantung, silat perlu dijalankan kerana persatuan yang ada adalah persatuan silat. Oleh sebab sesak atau darurat maka buatlah apa saja. Ijazah sendiripun boleh. Pokok dan buahnya, SC berjalan. Tercatat dalam sejarah wujudnya tempoh kelonggaran dalam pergerakan SC.

ii. Kalau adat masih diperlukan dalam SC, Guru mesti ada. Kalau telah digantung tiga tahun maknanya Guru yang ada telah tidak dikehendaki lagi. Mereka akan mencari Guru baru. Siapa? Ramai yang akan tertanya-tanya, adakah penggantinya yang layak terdiri daripada mereka yang tak angkat tangan dalam mesyuarat MMT. Atau penggantinya nanti akan menjadi boneka pada mereka yang berhajat menguasai Guru.

Dalam keadaan sekarang, saya rasa sangat elok jikalau hal yang berkaitan dengan Guru melibatkan Yang Dipertua Cawangan di peringkat Negeri. Mintalah pandangan mereka terlebih dahulu. Saya tak pernah tahupun ada perjumpaan antara MMK dengan MMN. Berbincanglah. Dapatkan pandangan mereka kerana ini melibatkan kedudukan Guru dalam persatuan. Apa salahnya jika MMK panggil satu mesyuarat sama ada mesyuarat luar biasa atau mesyuarat apa-apa sahaja yang melibatkan perwakilan. Terangkan tentang kedudukan atau suasana sekarang hingga menyebabkan pergantungan dilakukan.

Walaupun ahli-ahli MMK dilantik dalam mesyuarat agung dan mempunyai mandat, akan tetapi mandat yang diberi adalah untuk menjalankan persatuan. Walau bagaimanapun mereka telah mengambil keputusan tentang kedudukan Guru. Ini bukan perkara main-main. Bagaimana dengan pemikiran ahli-ahli MMK tersebut. Jikalau mereka berfikiran jauh tanpa dipengaruhi hawa nafsu dan tanpa mempunyai niat jahat, kira keputusan tersebut ok lah juga. Tetapi bagaimana pula jika pemikiran mereka sempit, tanpa memikirkan masa depan SC atau persatuannya dan mempunyai niat jahat terhadap Guru akibat perasaan geram, maka malanglah pergerakan kita. Setelah sekian lama baharulah perkeliling tersebut dikeluarkan. Orang akan timbulkan isu surat perkeliling tersebut erat kaitannya dengan aktiviti Perjumpaan Jurulatih yang mereka ingin dijalankan pada masa terdekat ini oleh kumpulan yang menyokong En. Mat. Nampaknya semacam ada agenda tertentu hingga Perkeliling tersebut terpaksa dikeluarkan.

Kalau undang-undang negara mengesahkan kesalahan Guru, saya yakin apa sahaja tindakan MMK adalah berpatutan dan akan disokong oleh ramai ahli. Usahkan gantung, singkirpun ramai yang sokong kerana hukuman jelas dan nyata. Malangnya, kesalahan Guru selama ini hanya ditentukan oleh ahli-ahli dalam Badan Siasatan dan Badan Kehakiman yang kewibawaannya dipersoalkan. Keadaan yang wujud ini mengundang banyak pepecahan antara ahli.

Ekoran tindakan dan suasana sekarang , banyak perkara yang saya bayangkan ;

i. Saya dapat bayangkan sekarang, tindakan di kalangan ahli seterusnya ialah soal pemecatan. Tak kira siapa yang menang. Kalau berlaku mesyuarat agung sekali lagi, ahli-ahli yang menyokong En. Mat yang menang, kerana perintah mahkamah atau sebagainya, ramai yang akan dipecat oleh mereka. Semestinya ramai ahli-ahli MMK tak akan nampak muka. Begitu juga sebaliknya. Jika usaha-usaha MMK selama ini diakhiri dengan kemenangan, ramai yang menyokong En. Mat akan dipecat. Sama ada di peringkat pusat atau negeri. Ayoyo mereka akan tinggalkan silat dengan sedih dan hiba. Itu sebab ramai yang tak berani bersuara sekarang. Menulis apatah lagi. Tak tentu siapa yang akan menang, takut kena pecat lo.

ii. Akan tertubuh Silat baru. Jika penyokong En. Mat tersingkir, pasti akan ada silat baru. Apa agaknya nama silat tersebut. Tetapi jika penyokong MMK tersingkir, tak pasti lagi . Umur mereka ramai yang hampiri enam puluh tahun. Ramai yang berkecimpung dalam perniagaan atau menjawat jawatan yang memerlukan komitmen yang tinggi. Mungkin tak jadi tubuh silat baru tetapi mengundurkan diri sambil menjilat jari. Tapi jangan heran. Mereka yang mengamalkan tongkat fatimah dan kacip ali, akan tetap buka silat baru.

iii. Silat yang ada, tak kiralah siapa yang jalankannya akan tawar. Ramai ahli yang berasa diri mereka tertipu. Tertipu dengan ajaran Ustaz Hanafi sendiri. Cakap tak serupa bikin. Tertipu dengan sikap ramai yang memiliki dua perwatakan. Ramai yang berpara-pura hingga duduk dalam perasaan takut dek sayangkan SC. Usahkan nak bercakap dan menulis, untuk melahirkan pendapat pun susah.

iv. Ramai yang akan mengumpul dosa. Hubungan sesama ahli kalau dulunya akrab, akan berpatah arang. Mustahil akan bersambung semula. Sesuailah dengan falsafah, “Bertemu kerana silat dan berpisahpun kerana silat”. Cuma yang beratnya kalau tak kenal, tak apa. Kalau dah kenal, tak bertegur sapa, ramai lagi yang mengumpul dosa. Soal kata-mengata selepas ini akan lebih ketara. Maki hamun jangan dikata. Masuk silat dengan harapan dapat pahala tapi dosa juga yang bertimbun.

v. Adap dan adat yang ada dalam SC akan menjadi longgar. Di masa-masa akan datang, Guru akan dipilih berdasarkan kepentingan MMK. Silap jalan, boleh jalan. Beberapa adat dalam silat mungkin akan diketepikan. Ijazah akan menjadi longggar. Makan ayam? Mungkin tinggal kenangan.

vi. Perebutan pengaruh akan berleluasa. Setelah tersingkir beberapa nama yang hebat tak kiralah sebelah mana, pasti yang tinggal terserlah kehebatannya. Untuk menunjukkan kuasa dan kewibawaanya, silat akan menjadi mangsa. Entah-entah sistem akan bertukar. Keaslian buah, jangan dikira lagi.
Ramai yang telah bersedia menghadapi gejala yang akan berlaku. Retak mencari belah. Belah tetap belah. Dulu sahabat, tiba-tiba menjadi renggang. Bukan bermusuh tapi terjalin hubungan sumbing. Semuanya tidak terjadi dengan sendirinya. Inilah salah satu akibat jika mana-mana organisasikanpun dipimpin oleh manusia yang berfikiran kecil. Banyak lagi yang saya bayangkan. Cukup sekadar enam perkara tersebut. Angka enam pun merupakan angka keramat dalam SC. Segala bayangan mungkin benar dan mungkin ya. Bergantunglah cara mainannya. Kata kita enam tolak enam pasti seri. Ye ke ? Dalam SC banyak benda pelik boleh terjadi. Pelik tapi benar.