Monday, January 3, 2011

KESIMPULAN PELAJARAN KEMAHIRAN

Saya berpegang pada pendapat bahawa terdapat tiga kemahiran ’besar’ yang perlu dipupuk dalam kalangan penuntut SC. Saya telah menyentuh Kemahiran Buah Jatuh, Kemahiran Buah Potong dan seterusnya Kemahiran Serang dan Umum. Setiap kemahiran tersebut, terdapat kemahiran-kemahiran ’kecil’ yang berkaitan dengannya. Dalam pelajaran Kemahiran Umum, latihan bagi ketiga-tiga kemahiran besar itu adalah bersepadu.

Cuma, dalam tulisan sahaja menampakkan seolah-olah ada pepisahan dalam latihan ketiga-tiga kemahiran besar itu. Walau bagaimanapun, oleh sebab kekangan masa, penekanan pada ketiga-tiga kemahiran dalam satu-satu masa semasa latihan adalah sukar dijalankan. Dalam konteks masa, dalam kelas-kelas kemahiran yang dianjurkan, saya akan membuat jadual pembelajaran. Ketiga-tiga kemahiran besar tersebut perlu diadakan. Cuma, pemberatan satu-satu kemahiran itu adalah bergantung pada jadual yang disediakan. Masa yang terhad selama sembilan puluh minit akan digunakan sepenuhnya bagi meningkatkan kehebatan pesilat, khususnya para Jurulatih.

Itu sebabnya juga hal-hal yang berkaitan dengan persatuan amat jarang dibincangkan dalam kalangan penuntut ketika kelas-kelas kemahiran berlangsung. Perbincangan adalah terhad dalam kalangan kepimpinan persatuan di tahap cawangan sahaja. Hal yang demikian adalah kerana penuntut yang menuntut SC pastinya inginkan ilmu SC. Tugas Jurulatih adalah menyampaikan ilmu yang diamanahkan pada mereka. Tidak ada dalam senarai tugas mereka untuk membincangkan hal-hal persatuan dan sebagainya yang tidak berkaitan dengan bidang persilatan ketika kelas sedang berlangsung.

Mungkin disebabkan tidak ada perbincangan tentang krisis dalam persatuan, SC di cawangan yang saya pimpin tidak pernah berpecah. Semua penuntut tetap berdiri teguh pada pemikiran SC yang saya anjurkan. Sokongan padu itu boleh berlaku memandangkan mereka nampak akan komitmen saya dengan SC sejak awal penubuhan SC di tempat saya. Itu sebabnya, ketika pepecahan golombang pertama dengan PA, SC di tempat saya tidak berpecah, berbanding dengan tempat-tempat lain.

Cuma, selepas kepemimpinan saya, ketika berlaku pepecahan pada gelombang kedua, terdapat perselisihan pendapat mengenai persatuan. Mereka yang menyaksikan komitmen saya membuka kelas di cawangan telah tiada. Generasi baru yang muncul di cawangan saya adalah berlatarbelakangkan suasana mantap kelas silat yang sedia ada. Pahit maung menubuhkan kelas di cawangan pada peringkat awal, tidak mereka rasai.

Walau bagaimanapun, saya berasa puas betapa perselisihan pendapat yang berlaku ialah ketika kuasa saya pada persatuan telah tidak ada. Tiada atas sifat kerestuan pihak pusat sendiri. Cuma peranan saya sebagai penasihat telah menjadi punesihat. Konsep penasihat adalah melalui pemikiran manakala punesihat adalah melalui celah kangkang.

Namun begitu saya berasa puas hati pada janji mulut yang dikeluarkan pada Ustaz. Pesanan Ustaz ketika saya mula berpisah dengan pusat untuk balik ke kampung masih kekal. Antara lain intipati pesanan adalah tugas atau misi mempastikan SC yang bakal dibangunkan di cawangan tidak terkubur dengan segera. Alhamdulillah. Pusaka Hanafi terus berkembang dengan pesatnya di cawangan saya. Kesinambungan guru dari Ustaz kepada yang berhak tetap saya pertahankan. Pastinya sikap tersebut adalah merupakan kesepaduan bagi mempastikan janji saya dalam perjuangan SC tetap berterusan.

Berbalik pada kelas kemahiran. Ketiga-tiga Kemahiran yang telah dibincangkan dapat dibahagikan kepada dua iaitu menunggu serangan dan menyerang. Dalam kelas kemahiran, para penuntut disaran supaya berlatih bersungguh-sungguh. Jika menunggu serangan, pastikan kemenangan. Ketika menyerang, seratus peratus perlu menggunakan tumbuk serang dan tetap pastikan kemenangan.

Apabila para penuntut SC menguasai aspek menunggu dan menyerang, maka puncak kemahiran akan diisi dengan gerak menunggu atau menyerang tanpa pakat. Tanpa pakat membawa maksud menghadapi serangan sama ada tangan yang tidak diketahui kiri atau kanan dan menghadapi serangan kaki yang tidak diketahui punca serangan.

Ketika menunggu serangan, pesilat akan dilatih secara berterusan untuk menghadapi pelbagai jenis serangan tangan atau kaki. Pesilat dikehendaki berjaya menghadapi pelbagai serangan tersebut.

Begitu juga ketika pesilat membuat serangan. Serangan pesilat tetap menggunakan tangan. Manakala pasangannya akan bebas bertindak sama ada menggunakan tangan kiri atau kanan dan kaki kiri atau kaki kanan. Matlamat pesilat yang menyerang adalah mesti menang. ’Dua campur tua mesti empat.’

Setelah para penuntut menguasai pergerakan sebelah kanan maka mereka digalakkan berlatih menggunakan pergerakan sebelah kiri. Walau bagaimanapun, latihan yang mereka terima membolehkan mereka bergerak bagi mengatasi segala gerak sama ada serangan tersebut daripada kanan atau sebelah kiri.

Saya selalu tegaskan kepada para penuntut betapa pelajaran SC ini semakin lama maka terasa semakin sikit dan berfokus. Sesuailah dengan bentuk piramid yang tirus di bahagian atas. Data-data yang terkumpul, akhirnya membentuk generalisasi. Itu sebabnya pada fahaman saya menguasai pelajaran ini maka para pesilat akan memahami maksud SC itu adalah segenggam.

Segenggam adalah hasil daripada pelajaran yang bergantang. Daripada segenggam maka wujudlah perkataan ’sekapit’. Maknanya, lagi lama kita berada dalam SC maka mengertilah kita betapa pelajaran SC itu mudah dan ringkas. Pelajaran itulah merupakan kesimpulan pada gerak yang dipelajari selama ini. Kalau diukur konsep kesimpulan pada ayat karangan, maka ayatnya pendek dan bernas. Maka kalau diukur pada kesimpulan gerak bermakna geraknya ringkas dan padat. Itu sebabnya juga kata-kata, ”kalau belajar setakat pelajaran SRP, maka setakat SRPlah ilmu yang dapat. Kalau setakat universiti maka pelajaran tahap universitilah yang pesilat itu dapat.”
Setelah memahami dan menguasai pelajaran SC, maka kita akan memahami maksud kata-kata tersebut.

Namun begitu saya tidak nafikan betapa pada peringkat awal pembelajaran SC, kita dapat rasakan, lagi lama menuntut SC maka lagi banyak pelajaran yang ada dan perlu dikuasai. Pesilat ’disogokkan’ dengan pelbagai bentuk gerak. Itulah dugaan atau cubaan yang perlu ditempuh bagi mempastikan kehebatan pesilat di hari muka. Kalau kita ’menyerah’ diri kita pada Jurulatih yang hebat, akhirnya kita tahu betapa pelajaran yang banyak itu ada gunanya. ”Setiap sesuatu yang diajar adalah merupakan alat untuk melatih setiap satu yang baru.” Ayat tersebut hanya difahami oleh pengamal SC sahaja.

Mungkin tulisan saya yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran SC agak kurang jelas dan sukar memahaminya. Maka oleh itu,
Carilah mereka yang pernah menuntut dengan saya. Semua pelajaran yang dibincangkan adalah sebenarnya telah disampaikan kepada para penuntut SC yang bersama dengan saya sejak tiga puluh tahun yang lalu. Tidak rugi kita bertukar-tukar pendapat bagi memantapkan kehebatan kita dalam SC. Jangan sombong dan berfikiran terbukalah.

Dalam proses menjadi ahli SC yang hebat, jangan lupa aspek ketabahan, keyakinan, kesabaran dan pelbagai sifat yang lain. Pokok pangkalnya, SC ada tuannya. Carilah tuan yang ada kesinambungan agar ilmu yang kita peroleh akan membawa keberkatan pada pengamalnya.

Saya berhenti setakat ini tentang pelajaran SC. Saya akan teruskan penulisan dalam tajuk yang lain. Walau bagaimanapun, jika terdapat persoalan tentang gerak SC, maka saya akan sentuh dalam tulisan yang lain. Sekian.